Search This Blog

Sunday, February 19, 2012

Dihempap lori angkut sampah

Dihempap lori angkut sampah

KAMUNTING – Bunyi seakan letupan mengejutkan saksi kejadian pertembua­ngan­ sebuah lori sampah dengan Proton Iswara dalam satu kejadian di hadapan stesen minyak Petronas Kamunting, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu menyebabkan seorang pekerja lori sampah, Abdul Rahman Razali, 40, maut di tempat kejadian.

Saksi yang mahu dikenali sebagai Siti berkata, ketika kejadian dia sedang menunggu di perhentian bas berhampiran.

Menurutnya, secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Iswara dari Pekan Kamunting yang dipandu seorang lelaki tiba-tiba meluru ke arah lori sampah di laluan bertentangan sebelum bertembung.

“Akibat pertembungan ini, seorang pekerja yang berdiri di bahagian tepi lori gagal menyelamatkan diri sebelum dihempap lori ini. Manakala tiga lagi pekerja sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Siti berkata, sementara itu, kereta Honda Civic yang ketika itu berada di belakang Proton Iswara tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang Proton Iswara namun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelemat Kamunting, Penolong Penguasa Bomba M Mahandran berkata, mayat yang dihempap lori terbabit berjaya dikeluarkan dengan bantuan kren daripada syarikat swasta.

Menurutnya, manakala, mangsa yang cedera parah dan tersepit dalam Proton Iswara dikeluarkan menggunakan hydrolic rescue carter.

“Tiga pekerja lori sampah itu hanya mengalami cedera ringan dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar. Kami mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk membantu mangsa yang terselamat, mengeluarkan mayat yang dihempap lori sampah dan kemudiannya membersihkan minyak yang tertumpah di jalan ini,” katanya.

Katanya, laluan utama Kamunting-Taiping menjadi sesak kira-kira satu kilometer dari kedua-dua arah.

Seramai 12 anggota dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting telah bergegas di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Polis daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah mengesahkan kejadian dan kes masih disiasat.


Dihempap lori angkut sampah - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lapan suspek ditahan termasuk isteri mangsa

PETALING JAYA - Polis menahan lapan suspek, termasuk isteri mangsa, dalam kes pembunuhan seorang pemandu lori di rumahnya di Flat Taman Petaling Utama, Jalan PJS 1/52 Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata motif pembunuhan dipercayai mempunyai kaitan dengan hubungan isterinya, yang berusia 34 tahun, dan seorang lelaki berumur 22 tahun, yang dihalang mangsa.

Arjunaidi berkata empat remaja termasuk dua pelajar sekolah menengah yang ditahan polis sehari selepas kejadian, mendakwa isteri mangsa merancang pembunuhan itu dan berpakat dengan teman lelakinya untuk mengupah mereka melakukan perbuatan tersebut serta menjanjikan bayaran RM5,000 untuk setiap orang.
"Pada hari mangsa dibunuh, empat remaja terbabit bersama teman lelaki isteri mangsa telah masuk ke dalam rumah dengan bantuan isteri mangsa yang membuka pintu, sebelum menyerang mangsa yang sedang tidur," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata mangsa mati akibat kecederaan parah di belakang badan dan tangan setelah diserang dengan sebilah parang.

"Polis turut menahan ibu bapa suspek utama (teman lelaki isteri mangsa) bagi membantu siasatan berikutan mereka merupakan jiran mangsa, dan dipercayai membantu kedua-dua suspek utama merancang komplot pembunuhan itu," katanya.
Arjunaidi berkata semua suspek direman selama seminggu mulai semalam dan polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam insiden yang berlaku pada 3 pagi itu, M. Ganesan, 35, mati akibat diserang beberapa lelaki menggunakan parang dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.- Bernama

Dua lelaki disimbah asid ketika tidur di Kampung Padang Merchang



MARANG - Seorang remaja yang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang rakannya melecur setelah disimbah cecair, dipercayai asid, dalam satu insiden awal pagi ini di Kampung Padang Merchang di sini.

Kejadian kira-kira 5.10 pagi itu berlaku ketika Mohd Fadzil Hanafi Idrus, 18, dan Shahurzaman Salim, 38, sedang nyenyak tidur bersama empat lagi rakan mereka di sebuah rumah bujang selepas menonton perlawanan bola sepak di televisyen.

Mohd Fadzil melecur di bahagian muka, badan serta kaki manakala Shahurzaman, yang bekerja sebagai nelayan, cedera di muka serta mata, dan mereka kini dirawat di unit kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dilaporkan stabil.

Seorang penyewa di rumah itu, Mohd Harmizi Hussin, 29, berkata ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan dihubungi seorang rakannya mengenai kejadian tersebut.

"Setibanya di rumah, saya terkejut melihat keadaan (Mohd) Fadzil yang melecur di muka sambil menggelupur menjerit kesakitan.

"Saya terus menghantar kedua-dua mangsa ke Klinik Kesihatan Mercang sebelum mereka kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Harmizi, seorang pemandu bas kilang, berkata Mohd Fadzil biasa datang ke rumah sewanya untuk menonton perlawanan bola sepak.

"Saya percaya suspek melontar cecair berkenaan melalui tingkap yang tidak ditutup, dan kebetulan pula (Mohd) Fadzil dan Shahurzaman tidur di atas katil berhampiran tingkap tersebut," katanya.

Pada mulanya, Mohd Harmizi menyangkakan cecair itu adalah sejenis minyak namun sangkaannya meleset setelah melihat kesan terbakar pada tilam dan kain pelekat yang dipakai Mohd Fadzil.

Bapa Mohd Fadzil, Idrus Mohd Nor yang ditemui di HSNZ berkata dia terkilan dengan kejadian itu, yang belum diketahui motif sebenarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung perkara tersebut.

Beliau berkata polis masih mengenal pasti motif sebenar kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - Bernama

15 pekerja asing ditahan


15 pekerja asing ditahan
MANJUNG - Seorang bayi berusia sebulan antara 340 warga asing yang diperiksa dalam operasi 6P oleh Imigresen Perak bagi mengesan pendatang tanpa izin (Pati) yang menggunakan slip 6P palsu, 16 Februari lalu.

Ketua Imigresen Lumut, Zaidi Dali berkata, operasi dijalankan di sebuah tapak pembinaan pasar raya, di sini.

Menurutnya, daripada jumlah itu hanya 15 pekerja asing ditahan kerana didapati tinggal lebih masa, menggunakan slip 6P palsu dan salah guna pas lawatan.

“Daripada 340 pekerja asing itu, 183 warga Indonesia, 132 warga Bangladesh, 11 warga India, tiga warga Pakistan, dua warga Myanmar dan sembilan orang pemegang status penduduk tetap (PR).

“Siasatan awal mendapati 15 pekerja yang ditahan melibatkan dua Pati Indonesia yang tinggal lebih masa, dua Pati Bangladesh yang salah guna pas lawatan, manakala bagi kesalahan 6P palsu melibatkan seorang Indonesia dan 10 Bangladesh,” katanya katanya kepada Sinar Harian.

Zaidi berkata, kesemua tahanan dibawa ke depoh tahanan di Langkap selama 14 hari untuk siasatan selanjutnya.

Menurutnya, pekerja asing yang mempunyai dokumen sah yang lengkap dilepaskan dalam operasi berkenaan.

“Daripada siasatan yang kita buat ada pekerja asing yang memegang slip 6P yang sah dan ada juga yang mempunyai passport.

“Operasi ini juga tertumpu di sektor pembinaan dan kita akan melakukan operasi selanjutnya di tempat-tempat lain pula,” katanya.

Sementara itu, katanya, majikan yang belum memohon untuk program 6P berkenaan diminta berbuat demikian dengan kadar segera sebelum tamat tempoh.

“Ambil peluang yang ada ini untuk melakukan demikian sebelum tindakan selanjutnya diambil oleh pihak kami,” katanya.

Zaidi berkata, operasi itu dilakukan sebelum operasi besar-besaran yang dijangka pada April depan.

“Hari ini seramai 58 anggota melibatkan pegawai dari Ipoh dan juga semua pejabat cawangan di Perak sahaja yang turut serta dalam operasi,” katanya.

Rempuh empat motosikal


Rempuh empat motosikal
KUALA KANGSAR – Kecuaian seorang pemandu bas hampir meragut nyawa empat penunggang motosikal dalam satu kemalangan yang berlaku di Jalan Kuala Kangsar-Taiping, berhampiran kawasan Taman Indah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Abdul Gaffar Mohamad berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 9.40 malam dan empat motosikal terbabit berhenti di situ kerana lampu isyarat merah.

Menurut beliau, siasatan awal di tempat kejadian juga mendapati bas terbabit tidak membawa penumpang atau sebarang muatan pada masa kejadian.

“Bas itu dipercayai dipandu dengan laju dan gagal dikawal oleh pemandu terbabit ketika sampai di tempat kejadian lalu merempuh keempat-empat motosikal berkenaan.

“Semua kenderaan terbabit datang dari arah sama, iaitu dari arah Kuala Kangsar menuju ke arah Taiping, dan empat motosikal berkenaan sedang menunggu lampu isyarat merah pada ketika itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Gaffar berkata, rempuhan berkenaan telah menyebabkan seorang penunggang motosikal berusia 23 tahun mengalami kecederaan parah, sementara tiga yang lain cedera ringan.

Katanya, semua penunggang motosikal terbabit telah dihantar ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk menerima rawatan.

“Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan kita masih mengumpul maklumat berkaitan untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu dalam keadaan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa kepada pengguna jalan lain,” katanya.

Tambah Abdul Gaffar, pemandu bas terbabit sudah memberi kerjasama serta membuat laporan polis untuk membantu siasatan dan sehingga kini tiada penahanan dibuat ke atasnya.

Mayat lelaki ditemui terapung


Mayat lelaki ditemui terapung
BULOH KASAP – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Buloh Kasap dekat Taman Rekreasi Jambatan Putus Buloh Kasap di sini, pagi kelmarin, ditemui mati lemas semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra, Mohd Aizat Mamat berkata, mangsa berjaya ditemui sekitar jam 11.55 pagi oleh anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Segamat bersama pihak Bomba dan Penyelamat.

Mangsa yang dikenali sebagai Veeraman, 42, itu ditemui terapung di sungai itu oleh anggota penyelamat iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa terjatuh.

“Operasi mencari dan menyelamat dilakukan bersama pihak polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam sejurus menerima panggilan daripada orang awam pada hari pertama kejadian (kelmarin).

“Namun operasi itu dihentikan pada sebelah malamnya demi keselamatan anggota dan pasukan skuba," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, operasi disambung semula pada jam 8 pagi semalam dengan bantuan anjing pengesan, pasukan skuba dan pihak polis untuk membuat pencarian dengan jarak yang lebih jauh dari lokasi asal mangsa dipercayai terjatuh.

Mohd Aizat berkata, pasukan penyelamat berjaya menemui mangsa yang masih berpakaian lengkap dan terapung permukaan sungai.

“Operasi menyelamat ditutup secara rasminya sebaik mangsa ditemui. Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasat.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati hati ketika berada di tempat yang boleh mengundang bahaya demi keselamatan,” katanya.

Sebelum itu, mangsa yang tinggal di Taman Yayasan dipercayai jatuh ke sungai terbabit dipercayai untuk mengambil air sungai bagi membersihkan tempat upacara sembahyang berhampiran sungai berkenaan.

Sebelum kejadian, dia bersama lima rakan lain datang ke kawasan berkenaan sekitar jam empat pagi kelmarin bagi menjalankan upacara sem­bahyang.

Panik dilanda hujan batu


Panik dilanda hujan batu
PASIR GUDANG - Lebih sepuluh rumah di Kampung Sentosa, dekat sini, mengalami kerosakan selepas dilanda ribut dalam kejadian jam kira-kira 4.30 petang, kelmarin.

Kejadian itu menyebabkan beberapa atap rumah tercabut diterbangkan angin, manakala ada di antara penduduk memberitahu ribut berkenaan turut disulami dengan hujan batu.

Susulan kejadian terbabit, kesemua mangsa ribut menerima kunjungan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tebrau yang diketuai oleh Ketua Pemudanya, Syahrin Md Jamaludin dan wakil Bailtulmal, semalam.

Seorang mangsa, Isa Paksun, 53, berkata, ia merupakan kejadian kali ketiga sejak menetap lebih 10 tahun di kediaman berkenaan.

Menurutnya, dia segera memasang kanvas selepas melihat kebanyakan atap bumbung rumah sudah diterbangkan angin kuat sekali gus merosakkan beberapa peralatan elektrik miliknya.

“Ketika kejadian, saya tiada di rumah. Hanya isteri bersama dua anak dan seorang cucu berada di rumah. Saya diberitahu isteri mengenai kejadian sekitar jam 4 petang dan terus bergegas pulang.

“Selepas tiga kali kejadian seperti ini berlaku ke atas keluarga saya, ini adalah kali pertama menerima kunjungan lawatan yang mengambil tindakan bagi mendapatkan bantuan segera,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, dekat sini, semalam.

Isterinya, Junainah Sahadon, 49, berkata, kejadian berkenaan benar-benar menakutkannya, dua anak dan seorang cucu yang ketika itu sedang berehat di rumah.

“Terkejut apabila kedengaran bunyi bising pada atap rumah yang ditimpa hujan batu. Bimbang berlaku perkara tidak diingini, saya hanya memeluk cucu dan duduk berdekatan antara satu sama lain bersama anak sambil membaca ayat suci al-Quran,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Suminah Banun, 57, berkata, lantai di bahagian dapur yang berlecak pada mulanya disangka tempias kerana hujan.

“Mula-mula tidak pula makcik perasan lantai yang basah adalah kerana atap rumah tercabut diterbangkan angin. Saya hanya mop lantai sahaja.

“Tiba-tiba, saya menerima panggilan daripada Ketua Umno Cawangan Kampung Sentosa, Mohd Rahim Harun yang memberitahu sebahagian atap dapur sudah diterbangkan angin,” katanya.

Sementara itu, Syahrin berkata, kehadirannya bersama wakil Baitulmal merupakan sebahagian gerak kerja Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tebrau untuk membantu golongan memerlukan termasuklah mangsa bencana alam.

“Saya terima laporan mengenai kejadian semalam (kelmarin). Melalui pengamatan saya, kerosakan yang dialami adalah pelbagai. Ada yang rosak teruk dan ada yang rosak sedikit.

“Justeru, saya membawa wakil daripada Baitulmal untuk melakukan bancian kerosakan dialami penduduk yang terlibat bagi mendapatkan bantuan kecemasan segera.Saya percaya inisiatif Pemuda Umno pada hari ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dihadapi mangsa,” katanya.

Lagi wanita diperas ugut oleh bekas kekasih berhubung gambar bogel

KUALA LUMPUR - Biro Pengaduan Awam MCA menerima satu lagi kes membabitkan seorang wanita yang diperas ugut oleh bekas kekasihnya untuk mendedahkan gambar bogelnya melainkan mangsa bersetuju menjadi hamba seksnya.


Ketua Bironya, Datuk Michael Chong berkata ia adalah kes ketiga yang dilaporkan pada tahun ini di mana mangsa terbaru yang dikenali sebagai Woon, 29, telah diugut oleh bekas teman lelakinya yang berusia 29 tahun sejak 9 Februari lepas.

"Kami diberitahu, mangsa menjalin hubungan dengan bekas kekasihnya sejak tahun 2000 ketika mereka belajar di sekolah yang sama di Kepong. Hubungan itu putus pada Jun 2003.

"Bagaimanapun, ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak itu, bertemu kembali bekas teman lelakinya pada Mei 2010 pada satu perjumpaan dan menyambung kembali hubungan dengannya," kata Chong pada sidang berita di sini.

Katanya laporan polis telah dibuat pada 12 Feb lalu di Balai Polis Tun H.S. Lee terhadap lelaki itu.

"Woon kini menderita akibat tekanan dan ketakutan yang keterlaluan angkara perbuatan bekas kekasihnya selain diganggu berkali-kali dengan panggilan telefon untuk mengadakan hubungan seks atau gambar itu didedahkan di internet dan di kalangan anggota keluarga serta kawan-kawannya," katanya.

Chong berkata tahun lepas, biro itu menerima 14 kes serupa membabitkan sembilan wanita dan lima lelaki.- Bernama

Lagi wanita diperas ugut oleh bekas kekasih berhubung gambar bogel - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tentera maut kemalangan

Tentera maut kemalangan

REMBAU – Seorang anggota tentera yang bertugas di Rejimen ke-4 Artileri Diraja, Kem Sikamat, Seremban, maut apabila motosikal yang ditungganginya jenis Honda Wave terbabit dalam kemalangan di kilometer 230.9, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira, 8.30 malam itu, mangsa, Khairulddin Abdullah, 29, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala susulan sebahagian daripada­nya pecah.

Manakala, seorang lagi mangsa, Mohd Zulhilmi Mohd Zain, 23, dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban selepas dipercayai motosikal yang dinaiki bergesel antara satu sama lain dalam kejadian berkenaan.

Menurut ibu Khairulddin, Habibah Idris, 59, dia berjumpa dengan anaknya pada pagi hari arwah mengalami kemalangan yang mana ketika itu arwah sedang mengecat kediamannya mereka di Taman Pangkalan Indah, Alor Gajah Melaka.

“Anak bongsu saya ini ti­dak menunjukkan sebarang perubahan sebagai petanda dia akan meninggalkan kami. Namun, saya sangat bersedih kerana persiapan perkahwinan arwah bulan Jun ini sudah siap sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), semalam.

Manakala, bagi Pegawai Memerintah Rejimen ke-4 Artileri Diraja, Kem Sikamat, Seremban, Leftenen Kolonel, Majdi Kamaruddin berkata, arwah sudah berkhidmat lebih tiga tahun dengannya sebagai pemandu.

Menurutnya, arwah seorang yang sangat baik, pendiam, sangat menghormati individu lain dan rajin lebih-lebih lagi arwah sudah berkhidmat agak lama dalam bidang ketenteraan iaitu lebih lapan tahun.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara, namun pada minggu lepas, arwah kelihatan seolah-olah mengelamun dalam perjalanan ke Kem Sungai Besi sehingga menyebabkan dia terlepas kem berkenaan.

“Susulan insiden ini, lebih 100 anggota tentera dari pelbagai peringkat pangkat dan pegawai tentera memberikan penghormatan terakhir kepada arwah dari awal lagi sehingga dikebumikan.

Sementara itu, Jurucakap Polis berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila salah sebuah motosikal yang terlibat bergesel antara satu sama lain.

Menurutnya, mangsa yang maut di lokasi kejadian dipercayai telah melanggar besi pengadang jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, manakala seorang lagi penunggang di kejarkan ke HTJ.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan. Sehubungan itu, orang awam yang melihat kejadian berkenaan diharap dapat menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan di talian 06-6852222. Mayat mangsa dihantar ke HT untuk dibedah siasat.


Tentera maut kemalangan - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pegawai palsu peras pekedai

Pegawai palsu peras pekedai

TELOK KEMANG – Der­ma ikhlas RM1,000 untuk dimasukkan dalam tabung anak yatim. Itulah tawaran menggantikan kompaun yang dikenakan tiga individu menyamar sebagai pegawai Jabatan Kesihatan negeri terhadap seorang peniaga kedai makan di Batu 8, dekat sini.

Tidak cukup dengan itu, pegawai kesihatan palsu itu turut meminta makan dan minuman percuma selepas peniaga berkenaan hanya mampu menderma RM50 sahaja.

Kejadian Isnin lalu berlaku kepada Maimon Bacheck, 64, selepas didatangi dua lelaki dan seorang wanita dianggarkan antara lewat 30-an dan 50-an ke gerainya, kira-kira 1 petang.

Menurut Maimon, semasa kejadian, dia tidak berada di kedai, sebaliknya ia diuruskan anak dan menantunya.

“Individu terbabit yang berpakaian kemas itu pada mulanya berlagak seperti pelanggan dengan memesan makanan serta minuman. Selesai makan, mereka memperkenalkan dirinya sebagai Pegawai Kesihatan Daerah Port Dickson dan mahu membuat pemeriksaan ke atas kedai makan saya,” katanya.

Katanya, salah seorang daripada pegawai itu kemudian menghubunginya selepas anak Maimon enggan menerima surat sama dikeluarkan.

“Pegawai itu memberitahu kedai saya melanggar beberapa peraturan lesen perniagaan dan dikenakan kompaun sebanyak RM3,000. Mendengar jumlah kompaun yang besar dan tidak munasabah itu, saya terkejut dan bergegas ke kedai bertemu pegawai terbabit,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kedainya, semalam.

Maimon berkata, setibanya di kedai, pegawai berkenaan bertanyakan bermacam-macam termasuk lesen perniagaan dan surat kesihatan.

Malah, katanya, pegawai wanita itu bertindak masuk ke bahagian dapur memeriksa dan menulis senarai kesalahan di atas sebuah kertas dalam buku nota, lalu diserahkan kepadanya.

Bagaimanapun, Maimon hairan apabila pegawai wanita itu memberitahu akan mengabaikan kompaun berkenaan atas dasar kemanusiaan, sebaliknya dia perlu menyumbang derma ikhlas sebanyak RM1,000 untuk anak yatim dan ibu tunggal.

“Pegawai itu turut menunjukkan resit derma, tetapi saya hanya membayar sebanyak RM50 sehingga pegawai terbabit persoalkan jumlah berkenaan.

“Bagaimanapun, mereka kemudian bersetuju menerima RM50 saja, dengan syarat makanan dan minuman mereka tadi tidak dikenakan bayaran,” katanya.

Maimon berkata, sebelum meninggalkan kedai, dia bertanya sebab hanya kedainya saja diperiksa, sedangkan kedai lain tidak.

“Pegawai itu memberitahu, operasi seperti ini tidak boleh dijalankan serentak bagi mengelakkan pemilik premis kedai tahu pemeriksaan sedang dijalankan,” katanya.

Musykil dengan tindakan pegawai terbabit, Maimon kemudian merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah keesokan hari dan terkejut apabila mendapati pegawai dan resit bayaran berkenaan bukan daripada mana-mana cawangan Jabatan Kesihatan.

Menyedari kemungkinan ditipu, Maimon membuat laporan di Balai Polis Telok Kemang, di sini.


Pegawai palsu peras pekedai - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Foto isteri permintaan terakhir

Foto isteri permintaan terakhir

TEMERLOH – Maimunah Yaacob, 39, tidak menyangka hasrat suaminya untuk menyimpan sekeping gambarnya sebagai kenangan kira-kira dua minggu lalu adalah permintaan terakhir suaminya sebelum ditemui lemas di kampung Bohor, Kuala Bera, semalam.

Mayat Ahmad Riduan Kam Abdullah, 48, yang merupakan seorang nelayan ditemui terapung oleh penduduk kampung Bohor, Kuala Bera lebih 20 kilometer dari lokasi dipercayai jatuh dekat Kampung Bangau Parit di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zundin Mahmood berkata, mayat Ahmad Riduan Kam Abdullah, 48, dikenal pasti selepas polis membawa isterinya Maimunah Yaacob membuat pengecaman di lokasi penemuan tengah hari semalam.

Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang berhampiran muka sauk Loji Air Seberang Temerloh di sini ketika pergi memukat ikan seorang diri tengah malam kelmarin.

“Kita mengenal pasti mayat ditemui penduduk kampung ini ialah mangsa yang kita cari sejak operasi bermula petang kelmarin, mayat kini dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini untuk bedah siasat,” katanya semalam.

Dalam kejadian kelmarin, mangsa keluar memukat ikan seorang diri selepas minum bersama rakannya di bandar Temerloh kira-kira jam 12.30 pagi.

Zundin berkata, kehilangan mangsa disedari seorang nelayan yang menemui bot mangsa terdampar di satu lokasi berhampiran loji tersebut.

“Nelayan terbabit yang mengesyaki sesuatu kemudian memberitahu penduduk kampung sebelum berusaha menjejak keluarga mangsa,” katanya.

Maimunah berkata, dia berkahwin dengan arwah kira-kira tiga tahun lalu dan tidak mempunyai anak.

Dia yang kini menetap di Paya Pulai di sini berkata, sebelum kejadian, arwah ada meminta wang RM140 daripadanya untuk membaiki keretanya yang rosak dan baki wang itu digunakan untuk membeli pukat baru.

“Saya terkilan kerana, tengah hari kelmarin saya ada ajaknya keluar makan bersama, namun dia menolak kerana ada urusan lain.

“Dia juga ada meminta izin daripada saya untuk menyimpan sekeping gambar sebagai kenang-kenangan kira-kira dua minggu lalu, saya tidak sangka niatnya untuk menyimpan gambar itu petanda dia akan pergi selamanya,” katanya.

Maimunah berkata, arwah berasal dari Jerantut dan mempunyai tiga anak bersama isteri terdahulu dan bergantung hidup dengan menjadi nelayan di Sungai Pahang.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bangau Parit Fadhli Dzulkarnain mengucapkan penghargaan kepada Pegawai Daerah, wakil rakyat, penghulu, bomba, JPAM, polis dan penduduk kampung yang memberikan kerjasama sepanjang operasi mencari dijalankan.


Foto isteri permintaan terakhir - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pembela hamster berisiko Leptospirosis

Pembela hamster berisiko Leptospirosis

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu kini sedang menjalankan kajian kaitan pemeliharaan hamster dengan risiko jangkitan Leptospirosis.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, jabatan itu sudah diminta membuat kajian bagi mengesahkan sama ada pemeliharaan hamster boleh menyebabkan jangkitan penyakit tersebut.

Menurutnya, Leptospirosis adalah sejenis penyakit zoonosis (penyakit yang berjangkit daripada haiwan kepada manusia) disebabkan oleh bakteria daripada genus Leprospira interrogans.

“Manusia boleh dijangkiti apabila terdedah kepada air, makanan atau tanah dicemari dengan dengan air kencing haiwan jenis mamalia berjangkit seperti tikus, kucing, anjing, lembu, kambing, babi dan kuda.

“Kebanyakan haiwan mamalia termasuk haiwan pemeliharaan seperti hamster berpotensi dijangkiti dan tempoh masa inkubasi iaitu tempoh masa daripada terdedah sehingga timbul gejala antara dua hingga 10 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis Penyerahan Sumbangan Dana Bantuan Kebajikan Sosial Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kompleks Rawatan Harian.

Menurutnya, jabatan kesihatan juga sedang menyiasat kesahihan maklumat mengenai seorang pemelihara haiwan mamalia itu yang terpaksa dipotong tangan dan kakinya bagi menentukan punca sebenar penyakit.

Katanya, antara gejala jangkitan penyakit ini adalah demam yang tinggi, sakit kepala, menggigil, sakit otot, muntah, penyakit kuning, radang mata, sakit perut, cirit-birit, batuk dan ruam.

A Rahman juga meminta orang ramai mengambil langkah pencegahan dan kawalan agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran.

Menurutnya, memandangkan cara jangkitan utama Leptospirosis melalui kulit atau selaput membran, orang ramai mestilah berhati-hati sekiranya ada luka, calar pada kulit, kudis dan sebagainya ketika mengendalikan haiwan peliharaan.

“Bagi yang mempunyai risiko terdedah kepada air tercemar hendaklah sentiasa berkasut dan berpakaian sempurna atau berpakaian kalis air. Elakkan bermain air atau mandi-manda di sungai atau kolam jika luka di kulit.

“Jika masih juga terpaksa terdedah kepada air, tutup luka atau kudis tersebut dengan sempurna dengan plaster kalis air,” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai segera mendapatkan rawatan jika terdapat gejala penyakit dalam tempoh dua minggu dari tempoh mengunjungi air terjun, sungai, tasik dan kolam.

Pembela hamster berisiko Leptospirosis - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Nenek nyaris maut

Nenek nyaris maut

KOTA BHARU - Seorang nenek nyaris maut apabila kereta yang dipandunya dilanggar sebuah lori ketika dalam perjalanan ke Pasar Wakaf Che Yeh pagi semalam.

Kereta dipandu sendirian oleh mangsa berusia 60-an dan dikenali sebagai Kak Jah itu dikatakan dilanggar lori yang membawa muatan bongkah batu kira-kira jam 9.35 pagi di Pintu Geng, di sini.

Biarpun lori yang membawa muatan batu melebihi 20 tan itu melanggar bahagian kanan kereta mangsa ketika mahu memasuki simpang untuk ke Wakaf Che Yeh namun, warga emas itu masih terselamat.

Dalam kejadian itu juga, lori yang dipandu oleh Mohd Yusuf, 48, terbalik dan warga emas berkenaan bernasib baik kerana muatan berat tersebut tidak menghempap keretanya.

Mangsa yang juga tinggal berhampiran tempat kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan namun bahagian sisi kanan kereta jenis Proton Iswara miliknya kemek akibat kemalangan tersebut.

Sementara itu, Mohd mendakwa sebelum kejadian dia melihat kereta yang dipandu warga emas tersebut keluar dari bahu jalan dan terus masuk ke simpang sebelah kanan laluan berkenaan.

“Saya bunyikan hon untuk menyedarkan pemandunya dan dalam masa sama saya menekan brek bagi mengelak daripada melanggar kereta ini kerana ketika itu jaraknya terlalu hampir dengan lori.

“Saya cuba mengawal keadaan tetapi gagal dan terus melanggar keretanya yang kemudiannya lori saya terbalik menyebabkan semua muatan jatuh,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Mohd berkata, kejadian berkenaan berlaku ketika dia yang dalam perjalanan dari arah sama mahu menghantar muatan bongkah batu yang di ambilnya di Gunong, Bachok untuk gunakan sebagai benteng hakisan di pesisir Sungai Kelantan.

Mangsa juga berkata, dia yang terperangkap di dalam lori itu berjaya dikeluarkan dengan segera oleh orang kampung selepas mendengar dentuman di tempat kejadian.


Nenek nyaris maut - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pekerja kedai aksesori kereta mati dibunuh

SUNGAI PETANI - Mayat seorang pekerja kedai aksesori kereta dipercayai dibunuh ditemui dalam bilik air tempat kerjanya di Taman Cindai di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, Raja Dzulhairi Raja Ali, 19, ditemui dalam keadaan terbaring oleh majikannya pada kira-kira pukul 10 pagi tadi.

"Pemilik kedai yang juga saudara mangsa, tiba kira-kira pukul 10 pagi mendapati kedai yang sepatutnya dibuka pada pukul 8 pagi, tidak dibuka, lalu meneriak memanggil nama Raja Dzulhairi tetapi tidak dijawab.

"Setelah memeriksa, beliau dapati pintu tidak berkunci lalu masuk dan menemui mayat mangsa di dalam bilik air," katanya.

Beliau berkata, polis tidak menemui tanda pergelutan pada mayat dan yakin Raja Dzulhairi mengenali pembunuhnya yang melemaskan mangsa serta mengambil barangan berharga.

"Motosikal dan komputer riba mangsa juga hilang manakala beberapa aksesori kereta dalam kedai turut dilarikan suspek," katanya yang membuka kertas siasatan kes mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA


Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

RM100,000 lesp dalam masa 5 minit

PETALING JAYA - Dua penjenayah dengan seorang bersenjata pistol hanya mengambil masa lima minit untuk melarikan beg berisi pelbagai mata wang berjumlah RM100,000 dari sebuah premis pengurup wang berlesen di pusat membeli-belah Empire Gallery, Subang Jaya, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi itu, dua suspek mengacukan senjata kepada pekerja premis berkenaan, 31, di kaunter dan meminta pintu premis dibuka, 15 minit selepas premis itu memulakan operasinya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, ketika kejadian, pekerja berkenaan sedang membuat persiapan operasi premis itu apabila didatangi dua suspek bertopeng lalu mengacu senjata api.

Katanya, suspek berkenaan dipercayai warga tempatan memaksa pekerja berkenaan membuka pintu premis lalu mengikat mangsa sebelum melarikan beg berisi wang.

“Suspek dengan salah seorang daripadanya memakai topi keledar bertutup penuh dan seorang lagi memakai topeng penutup hidung kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja yang menunggu di luar pusat membeli-belah itu,” katanya.

Menurut beliau, pekerja premis itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.

Yahaya berkata, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu menunjukkan suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun dan nombor pendafataran kereta berkenaan direkodkan. - BERNAMA


Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

4 lelaki positif dadah ditahan dalam operasi trafik

 KUALA LUMPUR: Empat lelaki berusia 20 hingga 30-an ditahan kerana positif dadah dalam operasi bersepadu polis trafik Selangor di Plaza Tol Batu 9 Hulu Langat di sini malam tadi.

Penguasa Trafik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, ASP Hambazi Abdul Rahman, berkata ujian saringan air kencing mendapati semua mereka positif dadah dengan tiga daripadanya positif ganja manakala seorang positif heroin.
"Mereka yang akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah, turut didapati tidak mempunyai lesen memandu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan 97 saman atas pelbagai kesalahan dan empat kompaun kerana kesalahan bunyi enjin yang terlalu bising melebihi kiraan standard.

Katanya, operasi lebih tiga jam itu yang bermula 10 malam yang membabitkan 12 anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu memeriksa sebanyak 250 motosikal dan 70 kereta dengan.

"Sebanyak 45 saman dikeluarkan kerana tidak mengikut lorong, 11 saman kerana tiada lesen, 9 saman kerana nombot plat tidak mengikut spesifikasi manakala baki adalah kesalahan lain," katanya.

Sementara itu, dalam Ops Samseng Jalan Raya di Jalan Gereja, Dataran Merdeka di sini awal pagi tadi, 185 saman dikeluarkan terhadap 171 pemilik motosikal dan 14 kereta serta 46 orang tidak mempunyai lesen, jumlah kesalahan yang paling tinggi.
Katanya, Ketua Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur, ASP Azmi Wahid berkata sebanyak 35 saman dikeluarkan kerana tidak mempunyai insurans kenderaan, 12 cukai jalan tamat tempoh dan pelbagai kesalahan yang lain. - BERNAMA

Gembira tukar tragedi

       
PONTIAN: Kegembiraan seorang penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bertukar pilu apabila anak yang menghantarnya pulang maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya dalam kemalangan di Kilometer 45.7, Jalan Johor Bahru-Pontian, berhampiran Pusat Giat Mara, Pekan Nanas, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi, Rozaimah Mohd Badawi, 24, jurutera di kilang Shimano, Pekan Nanas, di sini, meninggal dunia di lokasi apabila kereta Toyota SE dipandunya bertembung dengan sebuah Proton Wira dari arah bertentangan, sejurus selepas menghantar ibunya Rosnah Bedu, 47, pulang ke rumah di Lorong Warisan Batu 29, Pengkalan Raja, satu kilometer dari tempat kejadian.


Rosnah ketika ditemui di rumah mayat Hospital Pontian berkata, dia tidak menyangka kelakuan arwah yang beriya-iya menghalangnya menaiki kereta ke tempat kerja sama adalah petanda sebelum meninggal dunia.

Sebelum kejadian, katanya, arwah menghantarnya mengambil wang BR1M di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, sebelum menghantarnya pulang kerana arwah ingin ke tempat kerja.


“Patutlah arwah beria-ia menghalang saya mengikutnya ke tempat kerja, rupa-rupanya petanda dia meninggalkan saya selama-lamanya.


“Saya masih terbayang wajah arwah menghantar saya mengambil wang BR1M dan selepas itu menghantar saya pulang, sedangkan saya sepatutnya pergi ke tempat kerja bersama arwah.

“Bagaimanapun, dia menghalang saya menaiki keretanya, menyebabkan saya berehat seketika di dalam rumah sebelum tiba-tiba seorang penduduk memberitahu arwah terbabit kemalangan,” katanya.

Suami kencing muka isteri ditahan

       
KANGAR: Suami kepada seorang wanita yang melarikan diri dari rumah selepas tidak tahan diliwat serta dikencing di mukanya, akhirnya dicekup polis, kelmarin.

Lelaki berusia 43 tahun yang juga penjawat awam di negeri ini ditahan di rumahnya jam 4 pagi oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar sebaik menerima maklumat.


Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, lelaki terbabit hanya terpinga-pinga tanpa mengetahui alasan dirinya ditahan sehingga diberitahu anggota polis.

Katanya, suspek tidak menyedari isterinya melarikan diri dan membuat laporan polis sehingga dia dicekup untuk membantu siasatan.


“Suspek kini direman sehingga 20 Februari ini dan tempoh remannya akan disambung selepas tarikh berkenaan bagi siasatan.


“Kesalahan dilakukan suspek dianggap serius dan jarang berlaku di negeri ini, malah yang menjadi mangsa dalam kes ini ialah isterinya,” katanya.

Katanya, anak mangsa kini dijaga keluarga terdekat dan isteri suspek juga kini dalam keadaan selamat.


Muka depan Harian Metro semalam melaporkan derita seorang ibu kepada tiga anak yang terpaksa melarikan diri dari rumah selepas sering diliwat suaminya sebelum dikencing pada mukanya setiap kali ‘bersama’.

Mangsa berusia 38 tahun itu juga terpaksa menanggung derita berkenaan sejak lima tahun lalu selepas suaminya berkenalan dengan seorang wanita yang jauh lebih muda daripadanya.


Suami bertopengkan syaitan itu juga bertindak ganas dan akan memukul mangsa jika kemahuan jijiknya tidak dituruti isterinya.

Hantar MMS jual orang

       
KUALA LUMPUR: Sindiket pelacuran di negara ini turut menggunakan khidmat pesanan multimedia (MMS) kepada pelanggan tertentu atau nombor telefon yang dipilih secara rawak, selain promosi melalui Internet atau laman web.

Lebih unik, sindiket juga dikesan menggunakan kod tertentu seperti jenis kereta untuk memberi gambaran kasar kepada pelanggan, selain mengelirukan pihak berkuasa.


Tindakan itu dilihat sebagai langkah terdesak dalam usaha mencari pelanggan berikutan kekerapan polis, terutama Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) seluruh negara menggempur lokasi maksiat.

Ketua Unit Maksiat, D7 Bukit Aman, Asisten Superintendan Shahrul Nizam Jaafar (gambar) berkata, melalui khidmat MMS, sindiket menggunakan kod tertentu untuk menunjukkan status wanita yang mereka sediakan mengikut kelas tersendiri dan biasanya menggunakan model kereta sebagai kod.


Sebagai contoh, katanya, wanita yang mempunyai paras rupa dan bentuk badan menarik digelar Mercedes, manakala wanita pertengahan usia menggunakan kod Toyota atau Honda dan kelas bawahan dikelaskan sebagai Proton Saga.


“Sebenarnya ia rekaan sendiri sindiket untuk memberi gambaran kepada pelanggan dan biasanya mereka menghantar gambar kereta berserta mesej berbunyi ‘Mercedes sekali guna RM300 +++ bawa pulang RM500++’ dan ia menurun kepada RM300 hingga RM150 mengikut jenis ‘kereta’.

“Polis menyedari ada pihak menggunakan Internet mengiklankan perkhidmatan seperti itu, malah ada antara mereka menyediakan laman sesawang khas untuk berbincang mengenai perkhidmatan atau wanita dilanggan,” katanya.


Menurutnya, ada perbincangan di laman hanya membabitkan pelanggan dan ada juga mungkin pekerja atau orang tengah yang mengendalikan aktiviti persundalan dan cuba mencari pasaran di kalangan lelaki hidung belang dalam web berkenaan.

Pusat urut sebar penyakit seks



         
KUALA LUMPUR: Pekerja seks dari China yang menghidap Aids atau HIV mudah dilanggan di sebahagian besar pusat urut atau spa di seluruh negara yang turut menawarkan khidmat seks, terutama di Lembah Klang dan bandar besar lain.

Ini menyebabkan lelaki tempatan yang gemar melanggan wanita terbabit mudah dijangkiti virus HIV sebelum menyebarkannya kepada dan pasangan sah masing-masing.


Tinjauan Metro Ahad di beberapa pusat urut dan spa sekitar ibu kota mendapati kebanyakannya menawarkan khidmat ‘China Doll’, cuma pendekatan digunakan berbeza.

Sebahagian besar premis menayangkan ‘amoi’ masing-masing secara terus kepada pelanggan, tetapi ada juga premis yang perlu dipesan terlebih dulu.


Sebagai contoh, tinjauan di sebuah premis di ibu kota malam Khamis lalu mendapati 10 wanita berusia awal 20-an dari China menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.


Mereka diminta berbaris di depan pelanggan kira-kira lima minit sebelum dipilih. Bagaimanapun, premis terbabit turut menyediakan wanita dari negara lain selain wanita tempatan.

“Encik mau mandi dulu atau macam mana? Rehat dulu boleh, mandi terus pun boleh, sila duduk mau minum apa,” itulah pelawaan kakitangan spa terbabit kepada pengunjung.


Pengunjung diminta memasukkan barangan berharga dalam peti besi dan menyimpan satu daripada anak kuncinya sebelum berehat di ruang disediakan bagi menyejukkan badan.

Beberapa minit selepas itu, pengunjung dipelawa menyalin pakaian dan diberikan seluar pendek untuk membersihkan badan dan mandi di ruang jakuzi yang disediakan selama mana diingini.


Selepas hampir 30 minit mandi, kebanyakan pengunjung menyalin pula baju nipis yang menutupi bahagian badan dan kembali di ruang disediakan dan di sini mereka boleh memilih untuk bersantai sambil menonton filem di ‘pawagam mini’ atau makan mengikut menu disediakan.


Ketika inilah seorang kakitangan pusat berkenaan mula mempelawa pengunjung mendapatkan khidmat mengurut antara RM90 hingga RM110 atau pakej penuh RM210.


“Encik mahu yang mana, pakej atau urut. Ambil pakejlah, encik rileks-rileks boleh urut sama manja-manja dia boleh kasi servis,” katanya.

Suami palsu kaut untung

       
KUALA LUMPUR: Kebanjiran wanita pekerja seks, terutama dari China, bukan sekadar memenuhi permintaan lelaki hidung belang, tetapi turut membuka peluang ‘bisnes’ kepada segelintir individu yang mengaut keuntungan dengan menjadi suami palsu.

Ini berikutan warga tempatan yang berperanan sebagai ‘suami’ akan berusaha mendapatkan visa sementara kerana mereka diberi komisen terhadap status suami yang dimiliki apabila ‘isteri’ keluar menjaja tubuh.


Namun, apabila wanita asing terbabit menghilangkan diri, suami palsu yang putus punca pendapatan akan mengemukakan aduan mendakwa ‘isterinya’ hilang’ sebagai tindak balas terhadap keengganan wanita itu terus membiayainya.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, trend itu berdasarkan siasatan pihaknya berikutan keraguan terhadap beberapa aduan membabitkan kehilangan ‘isteri’ warga asing.


“Tidak dinafikan ramai lelaki tempatan mengadu isteri hilang dengan mendakwa wanita itu bekerja sebagai pelayan kelab malam dan tidak pulang semula ke rumah.


“Apabila ditemui, isteri yang juga pelacur asing mendakwa lelaki berkenaan sebenarnya diupah sebagai suami bagi memudahkannya tinggal di Malaysia untuk tempoh lama.

“Laporan kehilangannya hanya palsu kerana dia tidak lagi menanggung suami tumpangnya, menyebabkan lelaki berkenaan marah lalu membuat aduan bagi mendedahkan ‘belang’ si isteri,” katanya kepada Metro Ahad.


Beliau berkata, kini pihaknya terpaksa menapis dan menyelidiki latar belakang setiap aduan membabitkan isteri lari atau hilang bagi mengelak ada pihak menyalah guna khidmat biro itu.

“Disebabkan hal itu, saya perlu mengenal pasti dan menyelidik setiap aduan kehilangan isteri kerana mereka mengaut keuntungan sebagai suami ‘tumpang’, manakala pelacur pula mengambil kesempatan.


“Selepas ‘si isteri’ mahir dengan selok-belok di sini, mereka melarikan diri untuk mencari peluang lebih baik di tempat lain,” katanya.

Sundal hitam

KUALA LUMPUR: Kemasukan pekerja seks dari pelbagai negara, terutama Afrika dan Timur Tengah, adalah untuk memenuhi selera lelaki benua berkenaan yang bekerja atau menuntut di negara ini, selain segelintir rakyat tempatan.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, setakat ini kehadiran kumpulan itu masih terkawal, malah dilihat seakan-akan dikekang sepenuhnya kerana selepas beberapa siri tangkapan baru-baru ini, tiada lagi kelibat mereka dikesan.


“Memang ada wanita bersaiz lebih besar berbanding orang kita, terutama dari Timur Tengah, Uganda, Uzbekistan, India dan beberapa negara lain dilaporkan, selain negara yang sering dikesan sebelum ini, namun jumlahnya tidak terlalu besar.

“Mereka didapati hanya menjalankan operasi di Kuala Lumpur, mungkin cuba mencari pasaran tapi kami berjaya mengekang kegiatan mereka,” katanya.


Menurutnya, antara pelanggan wanita asing dari negara yang jarang ditemui ini adalah lelaki tempatan dan ia secara tidak langsung menunjukkan sikap masyarakat tempatan yang mula menunjuk minat yang pelbagai.

Sarang maksiat diserbu



         
PUCHONG: Mahu mengaut untung lebih, seorang lelaki berusia 52 tahun tergamak menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Puchong Jaya di sini, sebagai sarang maksiat.

Difahamkan, lelaki itu menyewa rumah berkenaan sebanyak RM700 sebulan bagi menyediakan perkhidmatan seks bagi mengaut keuntungan lumayan.


Sumber polis berkata, aktiviti terbabit terbongkar hasil maklumat awam dan polis menjalankan risikan sebelum menyerbu rumah berkenaan, malam kelmarin.

Dua maut tanah runtuh

       
LAHAD DATU: “Dua bunyi dentuman kuat dari bukit di belakang rumah mengejutkan saya yang tidur di ruang tamu dan beberapa saat kemudian rumah kami bergegar. Saya segera mengejutkan adik-beradik lain dan emak untuk keluar rumah.

“Namun, emak dan anak buah saya gagal berbuat demikian kerana kejadian itu berlaku dengan pantas,” kata Suhardi Masdar, 24, anak kepada Farida Jompa, 40, yang maut selepas rumah mereka yang terletak di lereng bukit, ranap dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Terusan, di sini, awal pagi semalam.


Dalam kejadian itu, turut maut seorang kanak-kanak iaitu anak saudara Farida, Nisdawati Jamal, 8, yang ditemui tertimbus dalam sebuah bilik rumah mereka, sementara suami Farida, Masdar Laning, 50, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Difahamkan, ketika kejadian, tujuh sekeluarga berada di dalam rumah berkenaan dan sedang tidur. Bagaimanapun, Suhardi bersama dua adiknya iaitu Mariam Masdar, 19, Mohd Azizul Masdar, 15, dan anak kepada Mariam iaitu Nurasheema Humaira Abd Rashid, empat bulan, berjaya menyelamatkan diri.


Suhardi berkata, dia berlari 100 meter untuk mendapatkan pertolongan jirannya di kampung berkenaan.


“Saya bersama lapan penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian dan melakukan kerja-kerja mencari ibu dan anak buah saya yang masih di dalam rumah.

“Ketika sibuk menggali tanah, kami terkejut apabila tanah berkenaan menggelongsor. Ketika itu kami bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.


“Dua rakan kami terperangkap, namun berjaya keluar dan hanya cedera ringan,” katanya di tempat kejadian di sini, semalam.

Katanya, dia memaklumkan polis sebelum sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Lahad Datu tiba untuk kerja-kerja menyelamat.


“Pada jam 3 pagi, bapa saya (Masdar) ditemui sepasukan anggota bomba selepas terselamat daripada runtuh terbabit, namun cedera parah dan terus dibawa ke Hospital Lahad Datu,” katanya.

Syabu dalam anu


       
IPOH: Bagai menempah maut apabila seorang wanita ‘keldai dadah’ warga Malaysia ditahan polis Indonesia kerana cuba menyeludup syabu dengan menyembunyikannya di dalam kemaluan.

Wanita berusia 25 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Sepinggan, Balik Papan, Kalimantan sebaik tiba dengan menaiki pesawat melalui penerbangan dari Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Menurut sumber, suspek ditahan selepas pemeriksaan polis mendapati dia menyumbat tiga ketulan syabu di dalam plastik seberat 175 gram ke dalam kemaluannya.

“Suspek dipercayai keldai dadah ditahan pihak berkuasa lapangan terbang selepas didapati dalam keadaan gelisah ketika melepasi pemeriksaan kastam.


“Dia kemudian diarah membuka pakaian untuk pemeriksaan rapi oleh anggota polis wanita dan dicekup selepas satu daripada tiga bungkusan dadah itu terjatuh sebaik seluar dalam dipakainya dilucutkan,” katanya.


Menurutnya, suspek kemudian dibawa untuk ujian x-ray sebelum polis mendapati dua lagi bungkusan dadah tertinggal dalam kemaluannya.

Polis tidak menolak kemungkinan suspek diupah sindiket dadah warga Afrika dan usaha dilakukan bagi mengesan dalang yang memperguna gadis Malaysia itu untuk menyeludup dadah.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Noor Rashid Ibrahim yang dihubungi berkata, kebanyakan wanita ‘keldai dadah’ yang ditahan di luar negara menyedari risiko ditanggung dan melakukannya secara sukarela.

Menurutnya, kebanyakan mereka sedar kesalahan dan kandungan dadah yang cuba diseludup, namun lebih tertarik kepada kemewahan dijanjikan sindiket.


“Taktik penyeludupan digunakan semakin licik apabila sindiket memilih wanita berperwatakan lemah lembut untuk mengelak rasa syak pihak berkuasa di lapangan terbang. Malah, biasanya keldai dadah mendaftar masuk di lapangan terbang pada saat akhir bagi mengelak pemeriksaan terlalu ketat.


“Aktiviti gadis Malaysia yang dijadikan keldai dadah makin meningkat kebelakangan ini berikutan syabu diseludup dari negara ini dijual dengan harga tinggi di Indonesia dan Australia,” katanya.


Menurutnya, syabu biasanya dijual RM250,000 sekilogram di Malaysia, namun boleh meningkat kepada RM1 juta di Indonesia dan RM3 juta di Australia.


“Faktor ini mungkin menjadikan sindiket dadah di Malaysia berlumba-lumba cuba menyeludup dadah ke dua negara ini berikutan keuntungan tinggi bakal diperoleh.


“Berdasarkan kajian, wanita yang berdepan masalah kewangan paling mudah dipujuk menjadi keldai dadah. Lebih serius, mereka dipergunakan pula sindiket didalangi warga Afrika untuk melatih wanita tempatan lain untuk turut dijadikan keldai,” katanya.


Menurutnya, seramai 49 wanita Malaysia yang ditahan sepanjang tahun lalu di luar negara membabitkan kes dadah, menyedari kesalahan menyeludup syabu yang dilakukan.

Maut hadir kursus haji

       
KANGAR: Suasana sayu diiringi tangisan anak, isteri dan saudara mara menyelubungi pekarangan Masjid Syed Alwi, di sini, seorang warga emas ditemui meninggal dunia di kawasan tempat letak kereta masjid itu, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi, hasrat Hamad Mahamud, 63, untuk menunaikan ibadat haji pada musim akan datang tidak kesampaian apabila dia dikatakan terjatuh di tempat letak kereta sebelum menghembuskan nafas terakhir.


Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, Allahyarham berasal dari Kampung Kenangan, Simpang Empat dikatakan ke masjid bagi menghadiri kursus haji.

Katanya, sebaik melangkah keluar selepas meletakkan kereta, mangsa dikatakan terjatuh sebelum cuba dibantu orang ramai.


“Mangsa dipercayai mengalami serangan jantung sebelum rebah di sisi kenderaannya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


“Mangsa mempunyai latar belakang penyakit jantung dan menghidap penyakit itu sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, polis mendapat maklumat mengenai latar belakang penyakit dialami arwah daripada ahli keluarganya yang hadir di lokasi kejadian.


Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah mangsa sudah dibawa pulang ke rumah keluarga untuk urusan pengebumian.

Bersepai otak

       
REMBAU: Seorang anggota tentera yang bakal melangsungkan perkahwinan Jun depan, maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan motosikal lain di Kilometer 230, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam, Khairulddin Abdullah, 29, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Pengkalan Indah, Alor Gajah, Melaka, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.


Penunggang sebuah lagi motosikal jenis sama, Zulhilmi Mohd Zain, 23, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki kedua-dua mangsa bergesel antara satu sama lain.


Lebih mengerikan, serpihan otak anggota tentera itu bersepai di atas jalan, dipercayai akibat terkena besi penghadang.


Ibu mangsa, Habibah Idris, 54, berkata, dia sempat menemui anak bongsunya pada pagi sebelum kejadian.

“Anak saya pulang bercuti untuk menyiapkan kerja mengecat rumah. Dia bagaimanapun hanya sempat mengecat separuh kerana bergegas pulang ke kem selepas menerima panggilan dari tempat kerja.


“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, tetapi yang meruntun hati saya apabila semua persiapan kahwinnya siap dilakukan.

“Nampaknya hasrat saya untuk melihatnya bersanding tidak kesampaian apabila Allah lebih menyayanginya,” katanya di sini, semalam.


Sementara itu, Pegawai Memerintah Rejimen ke-4 Artileri Diraja Kem Sikamat, Leftenan Kolonel Majdi Kamarudin berkata, mangsa bertugas sebagai pemandunya sejak lebih tiga tahun lalu.


“Sikap arwah berubah minggu lalu ketika dalam perjalanan ke kem Sungai Besi apabila kelihatan mengelamun, menyebabkannya terlepas beberapa lokasi yang ingin dituju.


“Berita kematiannya sangat mengejutkan, apatah lagi dia bakal melangsungkan perkahwinan. Saya berharap ahli keluarga arwah tabah dan kami turut merasai kehilangan anggota yang rajin dan hormat pada ketua,” katanya.


Tinjauan Metro Ahad mendapati, lebih 100 anggota tentera daripada pelbagai jawatan, pangkat dan pegawai memberi penghormatan terakhir kepada mangsa di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua motosikal dipercayai bergesel antara satu sama lain.

Lelakikhayalditahan

KUANTAN Seorang lelaki, dipercayai penagih dan pengedar dadah, ditahan ketika melalui sekatan jalan raya di Teluk Chempedak, di sini, jam 3 pagi semalam.
Lelaki berusia 20-an itu ditahan untuk menjalani ujian saringan air kencing apabila dia kelihatan tidak tentu arah dan gagal menyembunyikan rasa khayal selepas dipercayai baru mengambil dadah di pantai peranginan itu.

Dia yang memandu kereta untuk pulang ke rumah pada mulanya cuba melarikan diri namun tindakannya gagal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Yap Thoon Khuan berkata, sebaik ditahan, polis menemui satu tiub straw mengandungi objek mencurigakan.

Sembunyi bersama wanita

ALOR GAJAH: Polis yakin seorang lelaki yang melarikan kereta peronda (MPV) di pekarangan Balai Polis Cawangan Trafik daerah ini Khamis lalu masih bersembunyi di negeri ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid berkata, suspek dipercayai bersembunyi bersama seorang wanita dipercayai isteri keduanya di satu lokasi.

“Siasatan awal polis mendapati, lelaki itu mempunyai dua isteri di mana seorang daripada isterinya ketika kejadian berada di hospital menemani anaknya berusia empat bulan yang menerima rawatan,” katanya.

“Polis juga memaklumkan semua hospital kerajaan dan swasta serta klinik kesihatan di daerah ini supaya memantau pergerakan individu mencurigakan yang datang untuk merawat kecederaan akibat kemalangan,” katanya.

Tiada istilah tidak sengaja



         
PETALING JAYA: Tidak puas hati dan mahu tindakan susulan. Berikutan penafian jurulatih pengakap sebuah sekolah menengah di sini mencabul lebih 10 pelajar perempuan di bawah pengawasannya ketika menjalankan latihan fizikal, tiga pelajar tampil sekali lagi membuat laporan polis, semalam.

Jurulatih dikenali sebagai Hoo, 44, Khamis lalu, mengadakan sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Selangor menafikan dakwaan dia mencabul selepas pelajar terbabit membuat laporan polis dan kes disiarkan akhbar pada hari sama.


Bagaimanapun, seorang bapa dikenali Leong, 40-an, yang tidak puas hati dengan kenyataan jurulatih itu, menemani anak gadisnya berusia 14 tahun membuat laporan sekali lagi di Balai Polis Bandar Sri Damansara, di sini.

“Saya mahu polis mengambil tindakan terhadap Hoo dan kes ini disiasat seadil-adilnya. Anak perempuan saya mendakwa pernah dicabul enam bulan lalu ketika mengikuti latihan di sekolahnya.


“Namun, dia tidak menceritakan kejadian itu kerana menyangka jurulatih terbabit tidak sengaja. Namun selepas bercerita dengan beberapa rakan lain dan mereka juga mendakwa diperlakukan sedemikian, baru mereka sedar jurulatih itu sengaja melakukannya,” katanya.


Sebelum itu, Leong dilihat masuk ke balai polis berkenaan bersama isteri dan anak perempuannya pada jam 9.30 pagi sebelum keluar semula sejam kemudian.

Leong berkata, sebaik anak perempuannya menceritakan kejadian itu kepadanya, dia dan isteri membawanya membuat laporan pada 8 Februari lalu.


“Saya percaya jurulatih itu sengaja mencabul anak perempuan saya dan pelajar lain. Tiada istilah tidak sengaja apabila perbuatan memalukan itu dilakukan kepada ramai pelajar dan berulang kali.

“Laporan polis kedua ini dilakukan untuk menuntut keadilan dan mahu siasatan diteruskan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima tiga laporan daripada tiga pelajar di sekitar daerahnya, semalam.

Lihat ibu ayah tak bernyawa


       
DUNGUN: “Adik (Tengku Nor Azira) beritahu dia dan keluarga kemalangan. Saya ingat kemalangan kecil tetapi sebaik sampai di tempat kejadian, saya dapati ibu dan ayah tercampak di luar kenderaan dan tidak bernyawa,” kata Tengku Muhammad Atman Tengku Shafuddin, 23, selepas ibu bapa dan seorang adiknya maut nahas di Kilometer 21.5, Jalan Dungun-Bukit Besi, di sini, semalam.

Menurutnya, ahli keluarganya bertolak dari rumah di Kampung Syukur, Pasir Raja, Hulu Dungun jam 10 pagi untuk menghadiri kenduri perkahwinan saudara mereka di Kampung Gong Pasir, di sini, dan dia tidak mengikut sama kerana kereta penuh.


“Ayah dan ibu memberitahu mahu ke kenduri dan pulang lewat kerana selepas menghadiri kenduri, ayah bercadang ke kedai membuat cermin mata untuk Tengku Amir Haziz dan meminta saya menjaga rumah,” katanya yang juga anak sulung daripada empat beradik.

Katanya, selepas sejam ahli keluarganya bertolak, dia menerima panggilan telefon daripada adiknya, Nor Azira yang memaklumkan mereka mengalami kemalangan, menyebabkan dia bersama beberapa rakan bergegas ke tempat kejadian.


Menurutnya, ayah dan ibunya tidak menunjukkan perubahan pelik tetapi pada pagi kejadian sebelum bertolak ke kenduri, ayahnya sempat membersihkan halaman rumah.


“Ayah membersihkan halaman rumah dan menebang sebatang pokok rambutan kerana sudah tua. Cuma ketika menebang pokok itu, saya nampak ayah banyak termenung,” katanya.

Sementara itu, pemandu sebuah Proton Wira lain yang terbabit dalam kemalangan, Mohd Adli Rashid Abdullah, 36, berkata dia sempat mengelak sebaik mendapati kereta mangsa berpusing ke arahnya selepas bertembung dengan lori itu.


“Saya memusing stereng dengan sekuat hari sebelum kereta saya melanggar sebatang tiang lampu di tepi jalan itu dan tersadai di dalam parit,” katanya.

Mohd Adli berkata, dia menggigil ketakutan selepas melihat kedua-dua mangsa tercampak ke jalan raya dalam keadaan mengerikan sebelum menyelamatkan isterinya, Haslinda Mohamad, 35, dan dua anaknya masing-masing berusia empat dan sembilan tahun.