Search This Blog

Saturday, February 18, 2012

Curi empat bungkus susu, penganggur dipenjara dua bulan

KUANTAN - Seorang penganggur menerima hukuman penjara dua bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencuri empat bungkus susu tepung bernilai RM91.96.


Majistret Rini Triany Muhamad Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap SH Zainal SH Mokhtar, 28, selepas mengaku bersalah dan berdepan hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.

SH Zainal, dari Felda Timur Chini 1, Pekan didakwa mencuri empat bungkus susu Nestle Omega Plus Acticol bernilai RM22.99 setiap satu di pasaraya The Store, Kuantan Parade, pada 1.30 petang, 4 Feb lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Cif Inspektor Azman Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- Bernama

Curi empat bungkus susu, penganggur dipenjara dua bulan - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kekasih menyamun direman

Kekasih menyamun diremanBUTTERWORTH - Pasangan kekasih yang berjaya ditahan polis ketika cuba menyamun wang tunai RM40,000 milik seorang kerani bank di Jalan Kampung Gajah di sini Rabu lalu direman antara tujuh dan 14 hari bermula kelmarin.

Perintah tahanan reman terhadap Ladino Cardona, 46, warganegara Colombia, selama 14 hari dan teman wanitanya rakyat tempatan, Anne Charmaine Skelchy, 43, selama seminggu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen 2, Mohd Zairan Aman.

Tempoh tahanan reman Cardona lebih tujuh hari dari teman wanitanya kerana dia perlu disiasat di bawah dua kesalahan iaitu cubaan melakukan samun di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan tinggal melebihi tempoh di bawah Seksyen 15 (1) C, Akta Imigresen 1953.

Anne Charmaine yang berasal dari Selangor ditahan reman untuk disiasat kerana cuba melakukan samun bersama teman lelakinya dan ketika dibawa ke mahkamah petang semalam, keduanya dikawal ketat oleh anggota polis.

Rabu lalu, pasangan itu berputih mata apabila cubaan mereka menyamun seorang kerani bank yang membawa wang tunai RM40,000 berjaya digagalkan sepasukan pegawai polis yang sedang melakukan rondaan di Kampung Gajah di sini.

Mangsa dikatakan baru mengeluarkan wang itu di sebuah bank di Taman Selat terpaksa memberhentikan kereta dipandunya di tepi jalan di Kampung Gajah selepas menyedari tayar belakangnya pancit sebelum didatangi oleh Cardona sambil menghunuskan sebilah pisau mengugut menikamnya jika enggan menyerahkan wang dibawanya.

Kejadian yang berlaku itu sempat dilihat pasukan polis berkenaan dan dengan pantas mereka berjaya menahan Cardona dan pasangannya yang menunggu di dalam sebuah kereta lain dipercayai digunakan untuk mengekori mangsa sejak dari Taman Selat lagi.

Hasil siasatan awal, pasangan in dikatakan mempunyai empat kes jenayah membabitkan samun yang menggunakan modus operandi sama iaitu mengekori mangsa yang baru mengeluarkan wang dari bank sebelum bertindak menyamun mereka.


Kekasih menyamun direman - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ibu tunggal tidak serik

Ibu tunggal tidak serik

DUYONG - Tidak sampai dua bulan selepas didakwa di Mahkamah Majistret negeri ini berkaitan kes dadah, seorang wanita ditahan polis lagi bagi kes sama di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Permatang Pasir, di sini, kelmarin.

Ibu tunggal berusia 29 tahun itu ditangkap bersama teman lelakinya, berusia 22 tahun di dalam sebuah bilik tidur, yang juga terdapat lebih 100 gram disyaki pelbagai jenis dadah dalam serbuan jam 11 pagi.

Sinar Harian difahamkan, dadah pelbagai jenis termasuk heroin, estacy dan syabu itu ditemui di dalam bilik air, berbalut dengan surat khabar di dalam bakul sampah, selain disorokkan di luar tingkap bilik tingkat atas rumah tersebut.

Selain kedua-dua suspek, empat individu yang duduk di ruang tamu tingkat bawah dan seorang wanita bersama seorang kanak-kanak lelaki di dalam bilik belakang tingkat atas turut diperiksa sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Ketua JSJN negeri, Superintendan Md Azmi Othman berkata, wanita berusia 29 tahun bersama teman lelakinya itu ditahan selepas dipercayai memiliki 113 gram dadah, disyaki heroin.

“Kami menjumpai 50 biji pil estacy, 30 biji pil eramin 5, 1 gram ketamin dan 8.5 gram syabu yang kesemuanya ditemui di beberapa tempat di dalam bilik dan disorokkan di luar rumah berdekatan tingkap bilik tersebut.

“Selain dadah yang bernilai kira-kira RM12,200 itu, sebuah kereta jenis Proton Satria dan Perodua Viva turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya ujian saringan urin dilakukan terhadap semua yang ditahan, positif methamphetamin.

Ibu tunggal tidak serik - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Sangggup acu pisau dileher

Sangggup acu pisau dileher

ALOR TEMBESU – “Ya Allah, matilah aku,”jerit seorang nenek ketika berdepan seorang penjenayah bersenjatakan pisau yang menyelinap masuk ke rumahnya, sebelum meragut gelang tangan dipakainya dekat sini, pagi kelmarin.

Gara-gara peristiwa hitam itu, mangsa yang tinggal seorang diri di rumahnya ketika kejadian, mengalami trauma sehingga hilang selera makan.

Kejadian kira-kira 11.30 pagi itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Mek Hitam @ Rajnan Mohamad, 70 sedang berehat di ruang dapur rumahnya sebelum didatangi seorang penjenayah bersenjatakan pisau.

Penjenayah terbabit yang dipercayai memasuki rumahnya melalui tingkap dan terus meluru ke arah nenek 20 cucu itu sebelum mengacukan pisau ke leher mangsa.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Mek Hitam berkata, dia pada mulanya terkejut apabila mendapati penjenayah yang bersenjatakan pisau itu merupakan seorang lelaki yang dikenalinya.

Katanya, tidak terlintas difikirannya yang suspek ingin melakukan perbuatan jenayah kerana suspek merupakan anak jirannya.

Lebih mendukacitakan, suspek sanggup bertindak ganas terhadap warga emas itu dengan mengacukan pisau ke lehernya, semata-mata ingin mendapatkan barang yang dihajati.

Mek Hitam berkata, terkejut dengan tindakan suspek mengacukan pisau ke arahnya, dia cuba melarikan diri melalui kerusi di dapur namun dihalang suspek terbabit.

“Ketika dia cuba menyentap gelang tangan, mak cik sempat bergelut dengannya, namun dia terus mengacukan pisau di leher mak cik.

“Akhirnya mak cik terpaksa akur dengan kehendaknya kerana tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk, masa itu mak cik hanya sebut nama Allah, ingat mati sahaja,” katanya.

Menurutnya, dia tidak kisah sekiranya suspek ingin mencuri barang miliknya, tetapi dia amat kecewa kerana suspek sanggup menggunakan senjata tajam untuk mencederakannya jika enggan menyerahkan barang kemas yang diminta.

Namun, tindakan suspek yang berjaya melarikan barang kemas milik Mek Hitam itu tidak berbaloi apabila nilai barangan yang dilarikan itu dikatakan hanya bernilai RM100.

Berikutan pergelutan itu, Mek Hitam yang juga ibu kepada Pengerusi Persatuan Pasar Minggu dan Pasar Malam Dungun, Hassan Abdul Aziz, turut mengalami kecederaan di bahagian tangan.

Mek Hitam bersama anak lelakinya Hassan yang juga Ketua Pas Cawangan Alor Tembesu kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Dungun berkaitan kejadian tersebut.

“Ibunya ada datang berjumpa mak cik, minta mak cik tarik balik laporan polis, tapi mak cik tak dapat maafkannya kerana perbuatan itu satu jenayah. Mak cik serah kes ini pada pihak polis, biar mereka yang selesaikan ikut saluran, negara kita ada undang-undang, tak boleh buat sesuka hati,” kata Mek Hitam.

Berikutan laporan dibuat, polis melancarkan gerakan menjejaki suspek lalu berjaya menahannya di sebuah rumah dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ismail Abdullah yang mengesahkan tangkapan tersebut memaklumkan suspek yang dipercayai turut mempunyai rekod penyalahgunaan dadah kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.



Sangggup acu pisau dileher - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Helah tidak menjadi

Helah tidak menjadi

KEMAMAN – Helah sekumpulan 26 nelayan asing warga Vietnam mengibarkan bendera Malaysia dan menggunakan bot bernombor pendaftaran tempatan ketika menceroboh perairanan negara gagal mengaburi mata pihak berkuasa setelah kesemua mereka dicekup.

Nelayan asing berkenaan yang menaiki dua bot berjaya dicekup kira-kira 53 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu berdekatan Pulau Tenggol, Dungun, pagi kelmarin.

Dalam tangkapan kira-kira jam 9 pagi itu, kehadiran dua buah bot nelayan terbabit yang dicat menyerupai bot nelayan Kelantan mencurigakan pegawai Jabatan Perikanan Negeri Terengganu yang sedang melakukan rondaan sebelum bertindak menahan kedua-dua bot berkenaan.

Dengan penahanan terbabit, kedua-dua bot yang bernilai RM1.5 juta berserta kelengkapan menangkap ikan disita sementara hasil tangkapan sebanyak 5 tan metrik bernilai RM5,000 dirampas.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Abdul Khalil Abdul Karim berkata, sewaktu menjalankan rondaan kira-kira jam 8.30 pagi kapal ronda Jabatan P201 yang diketuai Pegawai Rintah, Zamzuri Setaffa mengesan dua bot yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan menunda pukat secara beriringan sekitar 20 batu nautika dari Pulau Tenggol.

Katanya, cara tangkapan ikan sedemikian diharamkan di negara ini.

“Justeru, pihak kami merapati bot berkenaan yang menggunakan nombor pendaftaran nelayan tempatan dan mengibarkan bendera Malaysia untuk menjalankan pemeriksaan sebelum mendapati kesemua mereka ialah nelayan Vietnam yang menyamar sebagai nelayan tempatan.

“Kedua bot berkenaan tidak menyedari kehadiran bot kami dari arah belakang kerana mereka asyik menjalankan aktiviti menangkap di kawasan berkenaan,” katanya semalam setelah kedua-dua bot nelayan asing itu ditunda ke Pusat Tahanan Vesel Kemaman, dekat Geliga.

Kata Abdul Khalil, setelah pemeriksaan lanjut dilakukan kesemua nelayan terbabit gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dan tidak mempunyai lesen menangkap ikan daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

Katanya, mereka juga gagal menunjukkan ‘Tin Plate’ dengan cop penukul dikeluarkan Jabatan Perikanan yang sepatutnya ditampal pada bot mereka.

“Kedua-dua bot menggunakan nombor pendaftaran nelayan tempatan KNF7483 dan KNF7484 yang ditampal di atas nombor pendaftaran asal bot berkenaan bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa dan menyamar sebagai nelayan tempatan,” katanya.

Kesemua nelayan yang ditahan berumur antara 21 dan 48 tahun termasuk dua tekong yang masing-masing berusia 29 dan 48 tahun di mana 21 daripadanya di tahan di dalam bot besar sementara lima lagi dalam bot yang saiznya lebih kecil.

Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan jika sabit kesalahan setiap seorang daripada mereka boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Helah tidak menjadi - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Hanya mampu lihat terbakar

Hanya mampu lihat terbakar

PASIR MAS – Seorang wanita yang baru menerima pinjaman dari Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Selasa lalu, hanya mampu melihat rumah serta wang tunai berkenaan hangus depan matanya sekelip mata dalam kejadian di Kampung Chenerai, pagi semalam.

Mangsa, Mastura Abdullah, 34, berkata, mengikut perancangannya, wang RM2,000 itu akan digunakan sebagai modal perniagaan kecil-kecilan tidak lama lagi.

Bagaimanapun katanya, sebelum memulakan perniagaan, dia berhasrat menyimpan dahulu wang berkenaan di bank pada Ahad ini kerana bimbang terus menyimpan di rumah, memandangkan dia sering keluar rumah pada sebelah pagi untuk menoreh getah.

Menurutnya, dia hanya menyedari kebakaran itu ketika menyiang ikan untuk makan tengah hari mereka sekeluarga sebaik pulang dari kebun getah.

“Ketika sedang menyiang ikan, saya nampak cahaya api dari bilik yang terletak bersebelahan dengan dapur lantas keluar menjenguk.

“Apabila ke bilik, saya dapati api sedang marak dan menjerit meminta anak sulung, Normaisarah, 15, yang berada di ruang tamu bersama adik lelaki, Mohd Nizam, 18, menyelamatkan diri kerana sudah tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu,” katanya.

Mastura berkata, dia hanya sempat menyelamatkan pam racun, peti sejuk dan tong gas sementara kesemua dokumen penting miliknya sekeluarga hangus terbakar.

Menurutnya, jiran-jiran yang menyedari rumahnya terbakar memaklumkan kejadian kepada bomba dan penyelamat.

“Saya bersyukur walaupun rumah yang saya diami sejak 13 tahun lalu musnah bersama wang tunai serta dokumen penting, tetapi semua ahli keluarga selamat.

“Ketika kejadian, empat dari lima anak saya berada di halaman rumah sementara suami, Abdullah Hanafi, 37, keluar menangkap ikan tidak jauh dari rumah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Dunya Saat yang juga Ketua Operasi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 10.59 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, rumah berkenaan telah musnah terbakar.

“Bomba dan penyelamat bagaimanapun dapat mengawal api dari merebak ke madrasah yang terletak bersebelahan dengan rumah berkenaan.

“Operasi melibatkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas dan dibantu satu jentera dari Rantau Panjang,” katanya ketika dihubungi petang semalam.

Dunya berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan api dipercayai bermula dari bilik tidur rumah berkenaan. Menurutnya, berikutan kejadian, mangsa berdepan kerugian dianggarkan RM60,000.


Hanya mampu lihat terbakar - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tabika jadi sasaran perompak

Tabika jadi sasaran perompak

BACHOK – Kebelakangan ini, jenayah berleluasa di mana sahaja, tidak tertumpu dengan rompakan di rumah, Taman Bimbingan Kanak- Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sekitar daerah ini turut menjadi mangsa.

Tinjauan ke beberapa Tabika Kemas terlibat mendapati barangan dicuri termasuklah peralatan elektrik seperti komputer, televisyen, pemain DVD dan duit tabung.

Curi makanan Tabika

Selain itu, perompak seakan terdesak turut melarikan bekalan makanan dari dapur Tabika seperti milo, biskut dan vitamin yang diperuntukkan khusus untuk kanak-kanak Tabika berkenaan.

Pemaju Masyarakat (PM) Tabika Kemas terbabit mendakwa kebanyakan kes pecah masuk berlaku pada waktu malam.

PM Tabika Kemas Kuala Melawi, Che Aini Ismail, 52, berkata, Tabika di situ kerap menjadi mangsa pecah masuk yang dipercayai dilakukan penagih dadah.

“Biasanya mereka memotong gerigi tingkap di bahagian belakang tabika pada waktu malam untuk mengambil apa sahaja yang terdapat di sini. Tahun lalu mencatatkan sejarah hitam apabila lima kali tabika ini dimasuki perompak dan setiap hari ia menimbulkan keresahan bagi kami yang bimbangkan keadaan semakin tidak selamat,” katanya.

Peralatan mengajar dilarikan

Seorang lagi PM di Tabika Kemas Al-Hasanah 1, Kampung Nelayan Kandis, Siti Sarah Ab Rajab, 52, mendakwa pihaknya kerugian lebih RM7,000 apabila Tabika itu dipecah masuk awal pagi akhir tahun lalu.

“Kes pecah masuk ini pertama kali berlaku dan mereka melarikan papan putih (Interactive White Board) yang diberikan pihak Kemas untuk tujuan pembelajaran,” katanya yang mengajar di Tabika Kemas selama 29 tahun.

Bagi PM Tabika Kemas Mokhtar, Kampung Hujung Repek, Sarimah Awang,48, beliau kecewa kerana ketika kejadian pecah masuk itu, pihaknya baru menerima barangan daripada pihak Kemas.

“Pelbagai peralatan mengajar yang diterima pihak Kemas baru sahaja tiba, tetapi keesokkan harinya, saya menerima panggilan telefon daripada pembantu tabika, Rokiah Dollah, yang memaklumkan tabika kami berselerak akibat digeledah.

“Selepas pemeriksaan dijalankan, kami dapati pelbagai peralatan hilang. Saya rasa mereka dapat tahu bila kelengkapan baru tiba, dan mereka mengambil kesempatan itu untuk merompak,” katanya turut kerugian RM200 dari tabung peribadi yang disimpan di Tabika berkenaan.

Bagi mengelakkan kejadian berulang, beliau dan pembantunya mengambil langkah berjaga-jaga dan menempatkan barangan berharga dan kelengkapan elektrik seperti komputer di tempat yang terlindung daripada pandangan orang luar.

Maklum balas agensi

Pegawai Kemas Daerah Bachok, Shamfaizzal Hussin, ketika ditemui di pejabatnya di Kampung Badak, mengesahkan pihaknya menerima lebih 10 laporan berhubung kejadian pecah masuk melibatkan Tabika Kemas bagi tahun 2010 dan 2011.

“Antara peralatan kerap menjadi sasaran perompak ialah komputer dan alat bantuan mengajar yang melibatkan kerugian puluhan ribu ringgit.

“Justeru saya harap pihak berkuasa dapat mempergiat rondaan bukan saja di tabika tetapi juga bangunan kerajaan dan sekitar terutamanya pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Bachok, Deputi Superintenden, Ab Rahim Che Ghani ketika dihubungi berkata, bukan saja Tabika Kemas malah kes pecah rumah adalah yang tertinggi dilaporkan berlaku di daerah ini selain kes kecurian motosikal.

“Kita telah mengambil langkah pencegahan dan operasi bersepadu yang dijalankan secara harian ataupun mingguan seperti sekali seminggu bukan saja di Tabika malah kawasan sekitar,” katanya.

Namun, katanya, pihak berkuasa memerlukan kerjasama anggota masyarakat dalam menangani jenayah yang berlaku.

Justeru itu, beliau berharap agar jawatankuasa seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berperanan lebih aktif di samping peranan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) bagi menjamin keselamatan setempat.


Tabika jadi sasaran perompak - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Penjenayah dari negara jiran ancaman baru keselamatan di Sarawak

KUCHING - Peningkatan kes rompak dan pecah rumah menggunakan senjata secara nekad membabitkan kumpulan penjenayah dari negara jiran sejak kebelakangan ini menjadi satu ancaman baru kepada keamanan di Sarawak.


Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata merujuk kes sebelum ini polis mengenal pasti modus operandi suspek turut membabitkan penjenayah warganegara tempatan yang arif dengan sasaran mereka.

"Rompakan menggunakan senjata secara berkumpulan kebanyakan membabitkan warganegara jiran dan mereka ini biasanya lebih cepat dan mereka berani bersemuka dengan mangsa," katanya dalam satu sesi dialog bersama peserta Zamalah Wartawan Muda 1Malaysia 2012 di sini hari ini.

Beliau berkata polis sedang memantau aktiviti penjenayah terbabit yang keluar masuk ke negara ini selepas mereka melakukan aktiviti jenayah ataupun
rompakan.

Menurutnya sasaran utama kumpulan penjenayah itu ialah rumah-rumah mewah milik ahli perniagaan yang mempunyai simpanan wang tunai yang banyak di rumah selain memiliki banyak barang perhiasan mewah.

Kes terbaru tujuh perompak bertopeng menggunakan senjata senapang patah dan parang telah memecah masuk sebuah rumah di Jalan Matang petang semalam dengan mengikat kesemua enam sekeluarga dalam rumah tersebut sebelum melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM13,000 selain beberapa barang berharga seperti telefon bimbit dan pasport mangsa.

Dalam pada itu, katanya polis akan meneruskan Ops Cantas Kenyalang yang dilancarkan sejak 2007 dalam membasmi jenayah gengsterisma di seluruh Sarawak khasnya di beberapa bandar utama seperti Sibu dan Miri.

"Ops Cantas Kenyalang ini adalah operasi yang berterusan dan ia ibarat sebuah rumah yang perlu kita jaga dari semasa ke semasa," katanya.

Tahun lalu polis berjaya mengurangkan kadar jenayah sebanyak 5.7 peratus di Sarawak.- Bernama

Penjenayah dari negara jiran ancaman baru keselamatan di Sarawak - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Polis serbu ‘karaoke jamban’

KLANG - Keasyikan enam remaja termasuk seorang pelajar sekolah rendah yang sedang menyanyi di ‘karaoke jamban’ di sebuah pusat membeli-belah di sini atas alasan mahu menenangkan fikiran 'terganggu' berikutan serbuan polis, semalam.


Remaja berusia 12 hingga 16 tahun itu diberkas dalam serbuan di tiga premis karaoke yang dilakukan Jabatan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor, kira-kira jam 4.30 petang.

Semua remaja itu memberi alasan ingin menenangkan fikiran selepas tamat waktu persekolahan dan mengakui ibu bapa tidak mengetahui kunjungan mereka di premis ini.

Pegawai Turus D7 IPPK Selangor, Deputi Superintendan Izwan Abdul Karim berkata, selain itu 60 pengunjung dewasa tempatan dan warga Indonesia, berumur 19 hingga 36 tahun turut ditahan.

Katanya, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat aduan terdapatnya pengunjung mabuk dan mengganggu ketenteraman awam selepas berhibur di pusat karaoke.

“Terdapat juga aduan mengatakan premis ini menjual minuman keras kepada remaja bawah umur dan pelanggan beragama Islam. Tiga premis ini juga beroperasi tanpa lesen.

“Semua pengunjung termasuk remaja itu diarah menjalani ujian air kencing untuk memastikan mereka bebas daripada pengaruh dadah ketika berhibur di premis ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Izwan berkata, pemeriksaan terhadap 28 warga asing yang ditahan mendapati, sebahagian daripada mereka gagal mengemukakan dokumen sah dan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Utara untuk siasatan lanjut.

Katanya, pelajar yang ditahan itu akan diberikan kaunseling dan beliau menasihati ibu bapa agar mengawasi setiap pergerakan anak mereka.


Polis serbu ‘karaoke jamban’ - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tidak sempat rai habuan ragut

SHAH ALAM – Dua penjenayah tak sempat meraikan habuan ragut apabila salah seorang daripada mereka diberkas orang awam di Taman Sri Batu Caves, kelmarin.


Suspek sebelum itu menunggang motosikal dan meragut seorang wanita berumur 48 tahun, yang sedang berjalan kaki di Jalan SBC 3, di taman berkenaan, kira-kira jam 1.15 petang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, suspek lelaki menunggang motosikal dari arah hadapan mangsa.

Katanya, pembonceng cuba meragut beg tangan dan berlaku pergelutan, di mana mangsa enggan menyerahkan beg tangan tersebut.

“Rantai emas mangsa berjaya dilarikan suspek. Bagaimanapun, seorang suspek dapat diberkas orang awam yang terlihat kejadian tersebut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek 25 tahun itu baru dibebaskan daripada penjara di Simpang Renggam, Johor dan memiliki tiga rekod jenayah lampau.

Tidak sempat rai habuan ragut - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Penghuni tidak pasti punca rumah terbakar

KUALA LUMPUR - "Biasannya waktu pagi, isteri saya tidak masak dan hanya masak air. Jadi saya tidak tahu, macam mana kejadian ini boleh berlaku," kata M. Gunaseelan, 36, yang rumahnya di Tingkat 10, Pangsapuri Sri Shamelin, Cheras hangus terbakar pagi tadi.


Beliau berkata sebelum keluar bekerja beliau sentiasa memeriksa keadaan rumahnya bagi memastikan ia selamat.

Isterinya G. Santha, 35, serta seorang anak lelaki mereka berumur lima tahun turut tidak berada di rumah ketika kejadian kira-kira 11.30 pagi.

Gunaseelan hanya mengetahui tentang kebakaran itu apabila diberitahu jiran-jiran.

Seorang penghuni berhampiran, Nor Ezhani Saberi, 20, beliau bersama beberapa rakannya baru pulang dari kolej dan semasa melalui rumah tersebut, mereka terhidu bau gas yang sangat kuat.

"Lima minit kemudian, saya terdengar bunyi letupan serta gegaran yang sangat kuat dari rumah tersebut dan terus bertindak lari menyelamatkan diri sebelum menghubungi pihak bomba," katanya.

Pihak bomba dan penyelamat yang bergegas untuk memadam kebakaran, mengesahkan kebakaran berpunca dari kebocoran tabung gas dari dapur rumah berkenaan.

"Bila pihak bomba tiba, dilihat asap banyak serta api besar. Kita juga ada masalah dengan tekanan air yang tidak sampai ke tingkat itu," kata Penolong Penguasa Balai Bomba Pusat, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Irlinda Harun.

Bomba menghantar empat jentera dan 30 anggota ke tempat kejadian.- Bernama

Penghuni tidak pasti punca rumah terbakar - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Anak yatim maut kemalangan

remaja-maut

KUALA KRAI - Hasrat seorang anak yatim berusia 19 tahun untuk memiliki motosikal ‘baru’ tidak kesampaian selepas maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Lata Rek, Manek Urai, dekat sini, kelmarin.

Mangsa, Muhamad Hamdan Ibrahim dari kampung itu terbunuh apabila motosikal dinaikinya merempuh sisi hadapan sebuah Ford Econovan yang dikatakan cuba membuat pusingan ‘U’ di kawasan kejadian.

Nahas kira-kira jam 5.30 petang menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di leher, manakala pemandu van berusia 40-an dan berasal dari kampung sama tidak mengalami sebarang kecederaan.


Motosikal ‘baru’

Abang tiri mangsa, Fakrol Che Adi, 20, berkata, ketika kejadian, Muhamad Hamdan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas baru habis kerja dan bercadang keluar semula untuk melihat sebuah motosikal terpakai yang akan dibelinya.

“Dua tiga hari lepas, arwah sudah tengok motosikal Yamaha RXZ dan duit RM1,300 pun sudah ada, cuma tunggu emak saudara yang pergi berubat di Rantau Panjang balik, baru dia nak bayar.

“Dia simpan duit gaji hasil kerja di tapak semaian anak getah dekat Laloh untuk beli motosikal sendiri kerana motosikal kami guna sekarang milik abang yang tinggal di Gua Musang,” katanya.

Fakrol ditemui ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah yang menziarahi jenazah Muhamad Hamdan di Bilik Mayat Hospital Kuala Krai (HKK), di sini, kelmarin.


Sumbangan Adun

Simpati dengan nasib anak yatim terbabit, Mohd Fauzi menyumbangkan set lengkap peralatan kain kapan dan menampung sebahagian kos menguruskan jenazah.

Usaha mendapatkan gambar remaja terbabit bagaimanapun gagal kerana kemiskinan hidup menyebabkan mangsa tidak memiliki kad pengenalan dan hanya mempunyai surat beranak.

Kejadian menimpa Muhamad Hamdan mengulangi sejarah pahit tujuh tahun lalu apabila ibunya, Zainab Mamat meninggal dunia selepas 17 hari berada di unit rawatan rapi (ICU), juga akibat kemalangan jalan raya.

Mangsa ketika itu berusia 10 tahun turut ada bersama ibunya semasa kejadian berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh, namun bernasib baik kerana terselamat dan hanya cedera ringan.


Tiada bantuan

Fakrol berkata, dia tahu adiknya kemalangan selepas dimaklumkan seorang rakan ketika berada di rumah, hampir dua kilometer dari lokasi kemalangan.

“Masa saya sampai di tempat kejadian, arwah masih bernyawa tetapi sudah tidak sedarkan diri sebelum dia menghembuskan nafas terakhir kira-kira lima minit kemudian.

“Sebelum itu, saya cuba tahan beberapa kereta untuk bawa arwah ke hospital tetapi tidak ada seorang pun yang berhenti beri bantuan,” katanya yang mempunyai 10 adik beradik seibu termasuk Muhamad Hamdan.

Fakrol berkata, selepas tragedi meragut nyawa ibu mereka pada 2007, dia bersama Muhamad Hamdan dan seorang lagi adik perempuan berusia lapan tahun tinggal bersama emak saudara di kampung itu.

Menurutnya, nasib Muhamad Hamdan lebih malang berbanding adik-beradik yang lain kerana tidak pernah mengenali bapa kandung selepas ditinggalkan sejak kecil.


Perubahan arwah

Katanya, dia juga tidak menyangka beberapa perubahan ditunjukkan Muhamad Hamdan beberapa hari sebelum kejadian menjadi petanda adiknya itu akan pergi buat selama-lamanya.

“Arwah seorang pendiam dan sebelum ini tidak kisah jika saya pinjam barang dia seperti selipar tetapi beberapa hari lalu, tiba-tiba dia larang saya guna barang-barang dia.

“Motosikal yang dia naik masa kemalangan itu pun baru dua tiga hari lepas saya benarkan dia naik sendiri kerana sebelum ini, saya akan hantar dan ambil dia di tempat kerja,” katanya.

Dalam pada itu, jenazah Muhamad Hamdan dimandikan dan disembahyangkan di Bilik Mayat HKK dengan diimamkan Mohd Fauzi dan disertai Penghulu Mukim Batu Lada, Abd Razak Taib.

Jenazah kemudian dibawa keluar dari hospital pada jam 2 pagi semalam untuk disemadikan berdekatan pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Laloh, Manek Urai, dekat sini.

Anak yatim maut kemalangan - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lemas selepas terjun sungai

lemas

TUMPAT - Seorang lelaki ditemui mati lemas selepas terjun ke dalam Sungai Golok, dipercayai cuba melarikan diri daripada serbuan polis dalam satu operasi cegah jenayah di Pengkalan Kubur, dekat sini.

Mayat lelaki berkenaan ditemui pada jam 10.25 pagi berhampiran Jeti Jabatan Kerja Raya (JKR) Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor, pagi semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Rosli Mohamad berkata, mangsa ditemui dalam keadaan meniarap di dasar sungai tersebut, sedalam hampir lima meter.

“Operasi dan menyelamat dimulakan pada malam semalam lagi selepas pihak bomba menerima panggilan kira-kira jam 10.08 malam.

“Operasi disambung jam 8 pagi ini (semalam) dan selepas dua jam setengah usaha mencari dan menyelamat, mayat ditemui berhampiran jeti tersebut hanya beberapa meter dari tempatnya terjun,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor ditugaskan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat mangsa lemas itu.

Operasi menyelamat turut dibantu Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor.

Mangsa yang berasal dari Kampung Tanjung, Pengkalan Kubor tinggal berdekatan dengan Pangkalan Haram tersebut meninggalkan seorang isteri yang sedang hamil tujuh bulan dan bakal menimang cahaya mata sulung.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Suprintendan Shariffuddin Yusoff berkata, ketika anggotanya menjalankan tugas di kawasan tersebut bagi membanteras kegiatan jenayah termasuk penyeludupan dadah, mereka terserempak dengan lelaki tersebut kira- kira jam 9.30 malam.

Katanya, lelaki terbabit kemudian­ melarikan diri dan terjun ke dalam sungai Golok itu apabila menyedari kehadiran anggotanya.

“Anggota polis kemudian cuba mencari di sekitar kawasan tersebut tetapi gagal, lalu meminta bantuan PGM untuk menjalankan gerakan mencarinya,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui berhampiran jeti JKR Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor pagi ini (semalam) dan kemudian dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Jenazah kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung, Pengkalan Kubor.


Lemas selepas terjun sungai - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Gadis sorok belakang almari

Gadis sorok belakang almari

AMPANG - Taktik seorang gadis menyorok di belakang almari kanvas bagi mengelak ditahan, gagal apabila dia berjaya dicekup Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, awal pagi kelmarin.

Pasangan itu antara tujuh orang termasuk seorang perempuan yang ditahan di sebuah rumah di Taman Mawar dalam serbuan Operasi Cegah Maksiat kira-kira jam 2 pagi.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kegiatan maksiat yang berlaku di rumah itu.

“Kami mendapati tiga lelaki hanya berseluar pendek ketika serbuan dijalankan, manakala dua perempuan itu pula berpakaian lengkap, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 25 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, gadis yang menyorok di belakang almari itu memberi alasan baru datang dan menumpang tidur di rumah kekasihnya itu kerana bapa saudaranya tiada di rumah.

“Operasi dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam operasi yang berasingan, seorang ibu kecewa apabila mengetahui anaknya yang berusia 18 tahun itu minum minuman keras.

Ahmad Nawi berkata, remaja itu ditahan bersama empat rakannya termasuk dua perempuan dalam sebuah kereta jenis Toyota Avanza di Bukit Langat.

“Kami mendapati tiga lelaki itu dalam keadaan mabuk, mereka di antara 13 orang yang ditahan di Bukit Langat kerana disyaki berkelakuan kurang sopan yang boleh menimbulkan syak di tempat awam,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa remaja berkenaan yang dipanggil ke Masjid Al-Azim terkejut apabila mengetahui anak masing-masing dalam keadaan mabuk.

“Ibu remaja terbabit tidak mengetahui anaknya itu keluar bersama rakannya setelah dimaklumkan pergi bekerja di pasar malam,” katanya.

Menurutnya, operasi tersebut dijalankan mengikut Seksyen 31, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit bersalah, boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara.

“Kesemua yang ditahan itu perlu menghadiri sesi kaunseling di Masjid Al-Azim Mac ini,” katanya.


Gadis sorok belakang almari - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lelaki nyaris maut ditikam

Lelaki nyaris maut ditikam

SHAH ALAM – Gara-gara tidak berpuas hati isterinya ditemani lelaki lain ketika temu duga kerja, dua lelaki nyaris maut ditikam di hadapan sebuah kedai serbaneka di Seksyen 2 di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa yang hanya dikenali Zack, 21, cedera di dada kanan manakala, rakannya parah selepas ditikam dirusuk kanan.

Zack berkata, sebelum kejadian tersebut, dia bersama rakannya itu menemani seorang rakan wanita menghadiri temu duga kerja.

Menurutnya, rakan wanitanya itu membawa seorang lagi perempuan yang tidak dikenali.

Zack berkata, selepas itu, rakannya berusia 20-an mendapat panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai suami wanita tidak dikenali itu.

Menurut Zack, satu pertemuan diatur untuk mereka menyelesaikan salah faham tersebut.

“Kami menunggu hingga pagi dan didatangi empat kereta dinaiki 10 lelaki termasuk lelaki yang mahu menyelesaikan masalah isterinya.

Pertemuan itu bertukar ganas di mana mereka mengeluarkan senjata seperti pisau pemotong daging dan kerambit.

“Kami diacukan senjata. Rakan saya melarikan diri dan terus ditikam di dalam restoran makanan segera,” katanya.

Menurutnya, suspek turut menghunus pisau kepadanya dan sempat menepis sebelum melarikan diri ke arah sekolah berhampiran.

“Mereka pada mulanya mengejar saya, namun berpatah semula apabila ternampak kereta polis peronda,” katanya.

Zack berkata, dia kemudiannya mendapatkan rakannya yang cedera dan menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Mazlan Othman yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an ditahan untuk siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian mungkin berpunca daripada salah faham dan cemburu.

Katanya, polis sedang mengesan suspek lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.


Lelaki nyaris maut ditikam - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

2 cedera ditetak dan ditembak, rumah dibakar

2 cedera ditetak dan ditembak, rumah dibakar

PASIR PUTEH - Berang akibat enggan keluar ketika dipanggil keluar dari rumah, 10 lelaki yang tidak dikenali nekad membakar sebuah kereta kelisa milik penghuni rumah terbabit dalam satu kejadian di Kampung Che Arus Dalam, Kok Lanas, awal pagi tadi.

Api kereta menyambar rumah terbabit lalu menyebabkan penghuninya, seramai lima orang, lari keluar dari rumah.

Sewaktu berada di luar rumah, berlaku pergaduhan antara penghuni rumah dan penyerang-penyerang terbabit sehingga menyebabkan dua mangsa ditetak dan ditembak.

Mangsa, Mohd Azreen Mohd Zain, 23, berkata, semasa kejadian, dia sedang tidur lena di rumah sepupunya sebelum dikejutkan dengan kehadiran 10 lelaki.

Lima penghuni rumah itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan termasuk seorang bayi berusia enam bulan.

"Mereka menaiki dua kereta dan saya memang tidak mengenali mereka," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Hospital Tengku Anis di sini, pagi tadi.

Mohd Azreen yang berasal dari Kampung Slow Machang, Pasir Mas cedera parah di bahagian tangan kanan kerana ditetak manakala kaki kanannya ditembak, ditemui masih berada dalam keadaan trauma dan sukar berkata-kata.

Dia yang baru dua minggu tinggal di rumah tersebut dikatakan mengambil upah menjaga kambing milik sepupunya itu.

Seorang lagi mangsa, iaitu rakan kepada Mohd Azreen, Mohd Raihan Mohd Razali, 25, berasal dari Kampung Kubang Gatal turut mengalami cedera parah apabila ditetak dan ditembak dibahagian badannya.


2 cedera ditetak dan ditembak, rumah dibakar - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mangsa diserang kumpulan lelaki bertopeng

Mangsa diserang kumpulan lelaki bertopeng

KOTA BHARU- Pantang maut sebelum ajal, apabila dua terselamat selepas ditembak sekumpulan lelaki bertopeng dan rumah mereka turut dibakar dalam kejadian di Kampung Che Arus, Kok Lanas, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi, mangsa Raihan Razali, 25 cedera di kaki kiri dan Azreen Mohd Zin, 23, pula cedera di paha akibat terkena tembakan yang dilepaskan lelaki terbabit.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa bersama tiga lagi ahli keluarga berada di dalam rumah sebelum didatangi dua lelaki.

Katanya, kejadian disedari oleh Nurul Farah Izwani Abdullah, 21, selepas terdengar pintu rumah dipecahkan.

Beliau berkata, ketika itu Nurul Farah berada di dalam bilik bersama anaknya yang berusia enam bulan.

Menurutnya, pada masa sama, dia juga terdengar dua das tembakan dilepaskan dan ketika itu, suspek mengarahkan Nurul Farah supaya keluar.

“Sebaik keluar dari bilik, dia (Nurul Farah) ternampak kedua-dua mangsa dalam keadaan kesakitan ketika berada di ruang tamu,” katanya dalam sidang media, semalam.

Jalaluddin berkata, ketika itu juga, ruang tamu rumah berkenaan turut dibakar dan Nurul Farah diarahkan keluar oleh suspek dari rumah terbabit.

Katanya, sebaik membakar rumah, dua lelaki bertopeng itu kemudian melarikan diri.

Sementara itu, seorang lagi penghuni rumah terbabit Mohd Fahmi Anuar berjaya menyelamatkan diri selepas terjun menerusi tingkap rumah itu.

Beliau berkata, polis yang menerima maklumat kebakaran berkenaan daripada pihak Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, pada jam 7.15 pagi dan bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan 436 Kanun Keseksaan dan siasatan yang dijalankan, mendapati kes melepaskan tembakan yang berlaku di negeri ini adalah berpunca daripada masalah pengedaran dadah dan sehingga kini sebanyak empat kes sudah dilaporkan.

Jalaluddin berkata, setakat ini tiga kes sudah pun dilaporkan sepanjang Januari manakala satu kes bagi bulan ini.

“Kita sudah mengenal pasti satu kumpulan yang dikenali sebagai ‘Buyung’ yang mempunyai lebih 10 ahli dan diketuai oleh seorang lelaki Melayu Nor Tarmimi Md. Salleh, 29, berkaitan kes terbabit.

"Setakat ini polis sudah menubuhkan satu pasukan Gerakan Khas untuk mengesan dan mengumpul maklumat berhubung kumpulan ini,” katanya.


Mangsa diserang kumpulan lelaki bertopeng - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tukang masak didakwa curi BlackBerry peguam


KUALA LUMPUR: Seorang tukang masak dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan mencuri telefon pintar BlackBerry Torch milik seorang peguam dalam mahkamah, empat hari lalu.

Tertuduh, Lim Chou Huat, 39, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri telefon bernilai RM1,500 milik Nur Ain Jaafar, 32, di Mahkamah Majistret Jenayah Enam, Aras 3, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, jam 12.30 tengah hari pada 13 Februari 2012.


Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya R Hemavthi menawarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Penjamin iaitu adiknya memohon jaminan itu dikurangkan kerana selepas abangnya ditahan dia yang terpaksa menanggung keluarga dan hanya membawa RM1,000 menjamin tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM4,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan seminggu sekali sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan ditetapkan pada 14 Mac ini.


myMetro | Tukang masak didakwa curi BlackBerry peguam:

'via Blog this'

Dosa ambil wang haram

JOHOR BAHRU: Padah menerima suapan bernilai RM4,900 enam tahun lalu, seorang anggota polis dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan denda RM25,000 apabila Mahkamah Sesyen, di sini menjatuhkan hukuman, semalam.

Tertuduh, Muhammad Raffi Sarin, 46, yang ketika itu bertugas sebagai lans koperal, Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, mengaku bersalah kerana bersetuju menerima suapan bernilai RM4,900 daripada seorang lelaki, Hang Chiek Siong.


Suapan itu menjadi dorongan supaya tertuduh tidak melakukan tangkapan terhadap Siong atas kesalahan memiliki pil ecstacy, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, 1 April 2007.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 11 9A) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Undang-Undang Malaysia, Akta 575) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.


Pendakwaan dilakukan di hadapan Hakim Madihah Hairullah, diketuai Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rizuan Abd Malik manakala tertuduh diwakili peguam bela, Rosli Kamarudin.


Hakim turut memerintahkan Muhammad Raffi ditambah hukuman tujuh bulan penjara bagi pertuduhan itu sekiranya gagal membayar denda.

Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, peguam bela memohon supaya hukuman ditangguh bagi membolehkan permohonan rayuan berikutan pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh terhadap tuduhan dikenakan dan berkelakuan baik sepanjang prosiding dijalankan. Tertuduh yang digantung kerja tidak mampu membayar denda tinggi serta menginsafi perbuatannya.


Madihah menerima rayuan tertuduh supaya hukuman ditangguhkan sehingga rayuan dibuat.


myMetro | Dosa ambil wang haram:

'via Blog this'

3 sekawan mengaku merusuh didenda RM2,400

PETALING JAYA: Tiga sekawan masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, selepas mengaku bersalah melakukan rusuhan dengan bergaduh dan menggunakan parang sebagai senjata di Bukit Puchong, dekat sini, hujung tahun lalu.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap Khairul Zhafri Mohamed, 23, Shaki Azhari Mohamed, 29, masing-masing penganggur dan penghantar surat, Mohamad Arres Mohamad Asrry, 21, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengadakan rusuhan di Jalan Anggerik 7, Puchong Indah, Bukit Puchong, kira-kira jam 6 pagi, pada 25 Disember 2011.

Bagi perbuatan itu, masing-masing didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, ketika pengadu, Abdul Hakim Walid, 21, berada di tempat kejadian berlaku satu pergaduhan di antara tertuduh bersama tiga kawan pengadu dan kemuncak pergaduhan itu salah seorang daripada tertuduh dikatakan mengeluarkan parang dan cuba untuk menetak pengadu akibat campur tangannya yang ingin meleraikan pergaduhan mereka.


Bimbang dengan kejadian itu, pengadu membuat laporan polis dan tertuduh, Khairul Zhafri dan Shaki Azhari ditangkap pada hari kejadian manakala Mohamad Arres ditangkap pada hari berikutnya.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan oleh Siti Ruvinna Mohd Rawi.


myMetro | 3 sekawan mengaku merusuh didenda RM2,400:

'via Blog this'

‘Saya cuba kejar...’

PORT DICKSON: “Saya cuba mengejar lelaki itu dengan motosikal, namun gagal,” kata M Nirmala, 42, mangsa ragut di Jalan Pantai, Batu 4, dekat sini, Rabu lalu.

Kejadian jam 3.30 petang itu menyebabkan wanita yang bekerja sebagai penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) itu kerugian RM7,000.


Menurut Nirmala, dia dalam perjalanan menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah di sekitar kawasan berkenaan.

“Seorang lelaki menaiki motosikal Honda EX5 hitam mengekori, namun saya tidak mengesyaki apa-apa.


“Sejurus tiba di lokasi kejadian, lelaki itu meragut dua rantai leher saya termasuk rantai perkahwinan menyebabkan saya luka di belakang leher dan kaki,” katanya.


Menurutnya, kejadian berlaku amat pantas dan dia sempat mengejar lelaki itu dengan motosikal. “Saya mengejar suspek hingga ke Bandar Sunggala sebelum hilang jejaknya,” katanya.

Nirmala membuat laporan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zulkifli Adam Sah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.


myMetro | ‘Saya cuba kejar...’:

'via Blog this'