Search This Blog

Friday, February 17, 2012

14 GRO asing ditahan di rumah urut



KUALA LUMPUR - Polis menahan 14 orang wanita pelayan pelanggan (GRO) asing dan dua lelaki tempatan di tiga buah rumah urut di dalam serbuan di Jalan Radin Anum, Sri Petaling di sini malam semalam.

Ketua Unit Maksiat Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maskiat Bukit Aman, ASP Shahrul Nizam Jaafar berkata, 13 daripada wanita berkenaan ialah dari China dan seorang daripada Indonesia berumur antara 21 hingga 35 tahun.

"Siasatan awal menunjukkan enam daripada mereka menyalah guna visa pelajar, enam lagi tidak memiliki permit kerja dan yang lain menyalah guna pas lawatan sosial,” katanya kepada pemberita.

Beliau juga berkata, dua daripada premis tersebut tidak mempunyai lesen.

"Pusat-pusat ini menawarkan rawatan dengan harga RM80 untuk 45 minit pertama dan mengenakan bayaran tambahan untuk perkhidmatan seterusnya bergantung kepada kehendak pelanggan,” kata Shahrul Nizam.

Serbuan dilakukan oleh lima pegawai dan lapan anggota unit berkenaan. - BERNAMA

Rasuah: Lans Koperal dijatuhi hukuman penjara 30 bulan

JOHOR BAHARU 17 Feb. - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara 30 bulan dan denda RM25,000 atau penjara tujuh bulan terhadap seorang anggota polis selepas didapati bersalah menerima rasuah pada 2007.

Lans Koperal Muhammad Raffi Sarin, 45, didapati bersalah kerana menerima suapan berjumlah RM4,900 daripada Hang Chiek Siong pada 1 April 2007.

Tertuduh yang bertugas di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian menerima suapan tersebut pada lebih kurang 5 petang di nombor 516, Jalan Kukup, Pontian sebagai dorongan untuk tidak melakukan tangkapan ke atas Chiek Siong kerana kesalahan memiliki pil ecstacy.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16A akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Hakim Madihah Hairullah bagaimanapun membenarkan rayuan tertuduh melalui peguamnya, Rosli Kamarudin untuk menangguhkan hukuman itu bagi membolehkan rayuan dibuat di Mahkamah Tinggi.

Dalam rayuannya untuk penangguhan itu, tertuduh berkata, dia tidak mempunyai wang untuk membayar denda kerana hanya menerima separuh gaji setelah digantung tugas dan hanya dia sahaja yang bekerja untuk menyara keluarganya.

Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ridzuan Abdul Malik. — BERNAMA

Lelaki ditemui mati di bawah jambatan

MELAKA – Seorang lelaki ditemui mati di bawah Jambatan Syed Abdul Aziz, Muara Sungai Melaka di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Salehhudin Abd Rahman berkata, mayat yang berseluar denim gelap tanpa baju itu ditemui orang awam pada pukul 5.30 petang.

"Mangsa dipercayai berusia antara 30 dan 40 tahun dan tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kematian lelaki itu tidak mempunyai unsur jenayah dan kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk dibedah siasat dan polis meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga supaya tampil bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Wanita hamil mahu ke Malaysia lahir bayi


CHENNAI – Seorang wanita hamil yang mahu ke Malaysia melahirkan bayinya di Lapangan Terbang Anna selepas “berperang mulut” dengan petugas syarikat penerbangan yang tidak membenarkannya menaiki pesawat itu.
Bagaimanapun bayi Syhamala Sundari, 31, dilahirkan mati.

Dalam kejadian semalam, wanita tersebut yang hamil tujuh bulan tidak dibenarkan menaiki penerbangan selama tiga jam menuju ke Kuala Lumpur atas faktor keselamatan, selepas dia gagal menunjukkan sijil perubatan yang membenarkannya berbuat demikian.

"Berlaku perang mulut antaranya dan petugas syarikat penerbangan sebelum wanita itu berasa sakit mahu bersalin dan cuba ke bilik air namun dia rebah.

“Wanita itu melahirkan anaknya di bilik air,” lapor akhbar tempatan hari ini.

Wanita itu kini dirawat di sebuah pusat perubatan swasta dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Syhamala dari Andhra Pradesh dilapor dalam perjalanan berjumpa suaminya yang bekerja di Kuala Lumpur. – BERNAMA

Wanita mati ditetak di Alor Setar



ALOR SETAR — Seorang wanita maut, manakala anak angkatnya cedera parah akibat ditetak dengan parang oleh seorang lelaki dalam kejadian amuk di sebuah rumah di Taman Saga di sini tengah malam tadi.
Ung Siew Lin, 46, maut selepas mengalami cedera parah di kepala, perut dan lengan, manakala anak angkat perempuannya Chn”g Sheve Mei, 26, yang parah di kepala dilapor dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Zakaria Ahmad ketika dihubungi, berkata, dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, Siew Lin yang juga ibu tunggal berada di rumah tersebut bersama empat anaknya termasuk Sheve Mei.
Suspek berusia yang berusi 54 tahun itu dikenali Siew Lin dan dipercayai datang ke rumah mangsa dengan memandu sebuah kereta sebelum melanggar bahagian depan rumah, katanya.
Lelaki tersebut kemudian bertindak membakar kereta Perodua Myvi milik mangsa yang diletakkan di depan rumah sebelum menyerang mangsa dan empat anaknya.
"Mangsa yang cedera parah berjaya diselamatkan orang awam namun disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital,” katanya.
Tiga anak kandung mangsa Wong Chew Ying, 26; Wong Hew Shen, 22 dan Wong Chew Wei, 21 mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di HSB.
Mohd Zakaria berkata polis berjaya memberkas suspek hasil bantuan jiran mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Motif kes dipercayai berpunca daripada masalah keluarga kerana suspek dikatakan sering datang ke rumah mangsa sejak berpisah dengan mangsa tiga tahun lepas,” katanya.
Kes tersebut turut mendapat perhatian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk, Chor Chee Heung yang meluangkan masa melawat anak mangsa di HSB tengah hari tadi. — BERNAMA

Peniaga dijel 8 bulan curi pati ayam

Peniaga dijel 8 bulan curi pati ayam

GEORGETOWN - “Saya mohon agar tidak dipenjarakan, puan… isteri saya baru bersalin dan hanya kepada saya mereka bergantung. Saya mohon hanya hukuman denda dikenakan.”

Itu yang dipohon seorang peniaga dengan nada terketar-ketar apabila didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencuri.

Mohd Yazid Ismail, 37, dari Jalan Pantai, Kuala Kurau, Perak dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas didapati bersalah mencuri enam kotak pati ayam Brands bernilai RM269.60 di pasar raya Sunshine, Times Square 10 Febuari lalu.

Mohd Yazid didakwa melakukan kesalah di bawah Seksyen 280 Kanun Keseksaan.

Dia yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Terdahulu, Majistret Noor Aini Yusof dalam penghakimanya berkata, hukuman penjara tetap akan dikenakan terhadap tertuduh kerana ia adalah hukuman mandatori yang diperuntukkan di bawah seksyen itu.

“Walaupun kamu merayu supaya tidak dipenjarakan, namun mahkamah tiada pilihan kerana hukuman itu adalah hukuman mandatori yang perlu dikenakan terhadap pesalah kesalahan ini.

“Mengambil kira pengakuan salah kamu yang telah menjimatkan kos mahkamah selain kepentingan awam dan faktor mitigasi, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap kamu dan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap,” katanya.

Peniaga dijel 8 bulan curi pati ayam - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Trauma dicabul pemandu bas

ocpd-utr

KULIM - Seorang remaja berusia 20 tahun membuat laporan polis di Balai polis Kulim kira-kira jam 9.50 pagi kelmarin berikutan trauma akibat dicabul seorang lelaki dalam bas ekspres.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke Kulim.

“Memandangkan perjalanan jauh, mangsa tertidur dan tidak ramai penumpang berada dalam bas. Apabila sampai di sekitar kawasan Junjung, mangsa dapat merasakan dia telah dicium di bahagian bibir manakala buah dadanya diraba seseorang.

“Mangsa terkejut apabila mendapati lelaki itu adalah pemandu kedua bas terbabit,” katanya.

Menurutnya, akibat terlalu takut mangsa tidak berbuat apa-apa sebaliknya cuba menjauhkan diri daripada suspek.

“Tanpa rasa bersalah, suspek yang bersahaja kemudiannya meminta nombor telefon mangsa dengan tujuan untuk berkenalan.

“Mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian berkenaan kepada waris dan segera menghubungi syarikat bas terlibat untuk mendapat nama dan nombor telefon suspek sebelum menyerahkan butiran suspek kepada polis,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Penumpang bas terutama wanita dinasihatkan supaya tidak duduk berseorangan terutama di bahagian belakang bagi mengelak kejadian seperti ini berlaku.

Trauma dicabul pemandu bas - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Gara-gara upah warga asing

buruh asing

GEORGETOWN – Gara-gara mengupah pekerja warga asing tanpa lesen, seorang pemilik pusat urut berdepan denda RM50,000.

Tertuduh, Lim Yeik Lee dari Air Itam dalam pertuduhannya ditahan pada jam 4 petang di sebuah kedai kecantikan di Air Itam.

Ketika siasatan mendapati tertuduh berusia 35 tahun itu telah mengambil dua wanita warga asing bekerja di tempatnya secara tidak sah.

Atas kesalahan itu, tertuduh telah didakwa dibawah Seksyen 55B (1) Akta Imegresen 1959/63 (pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Tertuduh kemudiannya mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Noor Aini Yusof.

Dua pekerja wanita warganegara Thailand yang turut hadir ke mahkamah tidak memahami pertuduhan yang dikemukakan.

Tertuduh berkenaan, Saruttaya Chancow dan Ratree Phokprakhon ketika di kandang tertuduh hanya mampu menggeleng kepala apabila pertuduhan dibacakan.

Tetamu di dalam kamar agak bising apabila dua wanita berkenaan pada awalnya mengakui tidak tahu berbahasa Inggeris, namun apabila Noor Aini mengarahkan mereka duduk dalam bahasa Inggeris, mereka terus duduk.

Disebabkan tidak faham berbahasa Inggeris, mahkamah terpaksa membawa jurubahasa Thailand pada perbicaraan seterusnya.

Kedua-dua wanita itu dituduh atas kesalahan di bawah peraturan 39 (B) peraturan-peraturan imegresen 1963 dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.

Kedua mereka boleh didenda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Yeik Lee yang juga majikan kepada dua wanita berkenaan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000.


Gara-gara upah warga asing - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pondok tol runtuh dirempuh treler

Runtuh-akibat-dirempuh-treler

LUNAS - Seorang pekerja tol di Plaza Tol Lebuhraya Butterworth Kulim Ekspress nyaris maut apabila pondok tol di mana dia bekerja runtuh setelah dirempuh treler sarat dengan muatan kayu balak kira-kira jam 2.45 petang semalam.

Pekerja tol yang berada di tempat kejadian berkata, mereka telah menghalang treler itu dari melalui lebuh raya terbabit sebaliknya menggunakan jalan lama dari Lunas ke Seberang Jaya memandangkan muatan dibawa terlalu lebar.

“Kami telah maklum kepada pemandu bahawa muatan yang dibawa terlalu banyak dan lebar, ini mengakibatkan laluan tol menjadi sempit. Dia hanya tersenyum dan meneruskan juga niatnya itu.

“Pekerja tol yang ketika itu berada dalam pondok melarikan diri sebelum pondok itu runtuh. Bagaimanapun tidak berlaku sebarang kecederaan terhadap mana-mana pihak,” katanya.

Melihatkan keadaan plaza tol yang runtuh, pemandu treler terlibat melarikan diri sebelum membuat laporan polis di Seberang Jaya.


Pondok tol runtuh dirempuh treler - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

2 suspek simbah asid dikenal pasti

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengenal pasti dua suspek berhubung kejadian simbah asid yang melibatkan seorang penjaga bot yang nyaris maut di Kampung Padang Purut Beta Hulu, Nilam Puri pada 13 Februari lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kedua-dua suspek yang dikenali sebagai Mohd Al Badawi Ab Kadir, 25, dan Mohd Nurfino Omar, 29, juga disyaki turut terlibat dalam kes dua kenderaan yang dipercayai dibakar bersama seorang lagi suspek, Mohd Amin Hashim, 23, di hadapan sebuah kedai di Kampung Pachakan Semerak, Pasir Puteh pada 10 Februari.

“Seorang suspek ini juga pernah mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan di atas kesalahan mencederakan seseorang menggunakan senjata dan 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh sehingga menyebabkan mangsa cedera).

“Mereka merupakan antara orang yang dikehendaki polis berhubung dua kejadian itu dan terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar negeri ini.

“Saya minta orang ramai agar memberi kerjasama bagi membantu polis menyelesaikan kes ini dan boleh membuat laporan di mana-mana balai polis terdekat serta menyalurkan maklumat di bilik gerakan Kontinjen Kelantan di talian 09-7450999,”katanya.

Dalam kejadian terbabit, mangsa, Mohd Khaidzir Hanafi, 31, mengalami kecederaan parah di bahagian muka serta luka di beberapa bahagian badan dan kaki.

Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan (dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata tajam atau lain-lain benda yang berbahaya).

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

2 suspek simbah asid dikenal pasti - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bapa kejam dipenjara - Melaka & NS - Sinar Harian

Anak koma

AYER KEROH - Seorang bapa sanggup bertindak kejam, memukul anaknya menggunakan besi, seterika dan botol sos, selain menumbuk dan menendang hingga menyebabkan mangsa koma selama 12 hari, hanya kerana mahu ‘mengajar’ anaknya yang nakal.

Akibatnya, bapa kepada lima anak yang bekerja sebagai penebang pokok, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
M Anbalagan, 39, dari Pulau Sebang, Alor Gajah, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Ahmad Sazali Omar selepas dia menukar penga­kuan kepada bersalah pada hari perbicaraan, semalam.
Anbalagan didapati mendatang kecederaan parah dengan menggunakan sebatang besi ke atas seorang lelaki berusia 17 tahun di sebuah rumah di Taman Baiduri, Pulau Sebang, Alor Gajah, kira-kira jam 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi pada 14 Julai 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, Anbalagan menangis memohon hukuman diringankan kerana insaf dengan perbuatannya itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pen­dakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat meminta mahkamah memberikan hukuman berat.
“Mangsa adalah anak sulung daripada lima beradik. Apa juga alasan diberikan tertuduh tidak boleh dijadikan sebab yang membenarkan dia bertindak sedemikian rupa terhadap anak kandungnya.
“Akibat perbuatannya, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan seluruh tubuh selepas dipukul menggunakan besi, seterika, botol sos dan mangkuk kaca selain ditumbuk dan ditendang,” katanya.

Bapa kejam dipenjara - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Adik temui mayat abang bogel, berulat

mayat-berulat

BANDAR KLANG - Seorang penjaga hotel bajet ditemui sudah berulat oleh adiknya di sebuah bilik tingkat satu sebuah hotel di Lintang Raja Bot, di sini semalam.

Mangsa Lian Pno Chuan, 55, mati dalam keadaan bogel dipercayai pengsan sebelum terjatuh dalam keadaan tertiarap sejak beberapa hari lalu.

Kematian mangsa hanya disedari adiknya yang terhidu bau busuk ketika ingin menghantar bekalan susu yang dipesan mangsa.

Adik mangsa dikenali Lian Tee, 46, berkata, abangnya yang masih bujang tinggal di situ berseorangan sejak lima tahun lalu.

“Setiap kali dia perlukan bantuan atau ingin memesan makanan, saya akan beli dan hantar ke hotel itu.

“Namun sejak kebelakangan ini, dia jarang memesan makanan kecuali beberapa hari lalu secara tiba-tiba dia pesan susu kambing. Puas saya mencari susu berkenaan di merata-rata tempat dan (semalam) baru saya berkesempatan untuk menghantar susu itu.

“Kira-kira jam 2 petang ketika tiba di depan pintu hotel, beberapa kali saya ketuk namun tiada sahutan,” katanya.

Dalam masa yang sama, menurutnya, dia terhidu bau busuk dari dalam bilik berkenaan dan mengesyaki sesuatu yang tidak baik berlaku.

“Saya maklumkan kepada seorang saudara mengenai bau itu yang kemudiannya menghubungi polis memaklumkan kejadian itu.

“Sebaik pintu dibuka, kami terkejut melihat mayat abang sudah berair dan dipenuhi ulat.

“Kemungkinan sudah lebih tiga hari dia mati. Saya percaya mungkin dia ada penyakit yang menyebabkannya tiba-tiba pengsan dan terjatuh ke lantai,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, katanya, kali terakhir dia bertemu abangnya pada Tahun Baru Cina lalu.

“Kami sempat menikmati makan besar selain turut bermain mahjung bersama-sama. Abang kelihatan amat gembira ketika itu apabila dia memenangi seluruh permainan itu,” katanya.

Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih tiga hari berdasarkan penemuan mayatnya yang berair dan dipenuhi ulat.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintenden Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Mohamad Shukor berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Hasil daripada bedah siasat mendapati mangsa mengidap penyakit jantung dan darah tinggi.,” katanya.


Adik temui mayat abang bogel, berulat - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

2 dituduh tipu Tabung Haji RM200 juta bebas

tabung-haji

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini melepas dan membebaskan dua bekas pengurus besar kanan Tabung Haji (TH) yang dihukum penjara 10 tahun atas kesalahan pecah amanah dan menipu melibatkan wang RM200 juta institusi itu, 10 tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali, Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Azhar Ma'ah sebulat suara membenarkan rayuan terakhir Datuk Mohd Amin Sidek dan Datuk Mohammad Shafie bagi mengenepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen.

Sebaik sahaja penghakiman, Mohd Amin, 60 dan Mohammad, 62, tidak dapat menahan perasaan sebak dan memeluk satu sama lain.

Selepas itu, mereka memeluk ahli keluarga, rakan-rakan dari TH dan jiran masing-masing yang berada di mahkamah sejak pagi tadi.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih pada keluarga dan kawan-kawan dari Tabung Haji yang banyak memberikan sokongan kepada saya, juga terima kasih kepada peguam-peguam saya," kata Mohammad dalam nada yang sebak ketika ditanya
wartawan mengenai keputusan itu.

Beliau berkata, selama 10 tahun menunggu kes itu selesai, akhirnya keputusan yang dinanti itu amat menggembirakannya sambil menyifatkan badan kehakiman negara ini adil dan telus.

Mohd Amin pula berkata beliau amat bersyukur dengan keputusan itu dan percaya kebenaran akan tetap dibuktikan.

"Daripada awal lagi saya menjangkakan keputusan ini kerana saya tahu saya tidak bersalah," katanya.

Kedua-dua mereka diwakili oleh peguam Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Sulaiman Abdullah dan Zamani Ibrahim.

Hakim Ramly ketika membacakan keputusan itu berkata setelah meneliti hujahan dan semua fakta, mahkamah mendapati pelaburan asing melibatkan wang TH itu telah didedahkan dalam kertas cadangan yang dimajukan kepada menteri yang
berkenaan.

Katanya, penemuan fakta berkaitan pelaburan asing yang bertentangan dengan keterangan saksi pendakwaan itu menyebabkan pertuduhan menipu tidak boleh dipertahankan.

Ramly berkata, Hakim Bicara (Hakim Mahkamah Sesyen) telah tersilap arah ketika membuat keputusan mensabitkan mereka terhadap pertuduhan pecah amanah kerana tiada elemen niat ketidakjujuran.

Beliau berkata tiada isu penyembunyian fakta mengenai pelaburan asing perlu mendapat kelulusan menteri kerana keterangan daripada saksi pendakwaan dalam keterangan berkata pelaburan jangka pendek itu tidak memerlukan kelulusan
menteri.

Ramly berkata keterangan itu telah menimbulkan keterangan yang munasabah pada perayu (Mohd Amin dan Mohammad) berhubung elemen ketidakjujuran.

"Oleh itu sabitan dan hukuman tidak selamat untuk dipertahankan. Dengan ini rayuan perayu dibenarkan, sabitan dan hukuman diketepikan dan perayu dilepaskan
dan dibebaskan," katanya.

Mohd Amin, bekas pengurus besar kanan (kewangan) dan Mohammad, bekas pengurus besar kanan (pelaburan), masing-masing dikenakan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 23 Januari 2007, selepas mendapati
mereka bersalah melakukan pecah amanah wang TH.

Bagi tuduhan melakukan pecah amanah, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak di ibu negara di antara 14 Julai 2000 dan 11 Mei 2001.

Kedua-dua bekas pegawai kanan itu turut dihukum penjara enam tahun setiap seorang atas dua kesalahan menipu dua menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung kelulusan pelaburan dana itu.

Mereka dituduh bersama-sama menipu Tan Sri Abdul Hamid Othman dan Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin di JPM Putrajaya antara 29 Jun 2000 dan 27 Julai 2001.

Mahkamah Sesyen memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak. - Bernama



2 dituduh tipu Tabung Haji RM200 juta bebas - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Otak berkecai atas jalan

otak berkecai

MUAR - Seorang penoreh getah menemui ajal dalam keadaan mengerikan dengan otaknya berkecai apabila terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Mor, Parit Jawa dekat sini, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.50 pagi, mangsa, Kiman Sabar, 86, dari Parit Jawa menunggang basikal seorang diri menghala ke Jalan Parit Yusof.

Difahamkan, Kiman yang juga bapa kepada Penghulu Parit Jawa, Nasir Kiman dalam perjalanan dari rumahnya untuk menoreh getah di kebunnya yang terletak di Parit Jamil.

Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, basikal yang ditunggangi mangsa dipercayai digesel sebuah kereta Proton Waja yang melalui jalan berkenaan.

Akibat pergeselan itu menyebabkan basikal ditunggangi Kiman hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan mangsa tercampak ke tengah jalan.

Namun, malang bagi Kiman kerana ketika itu sebuah lagi kereta yang kebetulan melalui jalan berkenaan tidak sempat mengelak lalu menggilis kepala mangsa sebelum melarikan diri.

Kiman meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa bahagian anggota badan.

Manakala, pemandu kereta Proton Waja itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemudiannya membuat laporan di balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.

“Kami masih belum dapat mengenal pasti pemilik kereta dan identiti suspek yang terbabit dengan insiden langgar lari ini kerana dia masih belum membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis meminta kerjasama orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mursyidah Abd Malik di talian, 017-3535386,” katanya.



Otak berkecai atas jalan - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Janji manis lebur ratusan ribu

timbalan_ocpd_hilir_perak

TELUK INTAN - Terpedaya kata-kata manis yang ditabur sindiket kaki auta dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah bernilai hingga ratusan ringgit, 10 orang pelanggan tertipu dengan helah liciknya mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superitenden Mohamad Zaki Harun berkata, sindiket penipuan itu mula dikesan beroperasi pada bulan November tahun lalu, apabila memulakan operasinya dengan menyewa sebuah premis dekat Intan Nova, di sini.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 15 laporan diterima melibatkan syarikat sama melakukan sindiket penipuan itu yang dipercayai dilakukan oleh dua lelaki serta tiga wanita.

“Operasi memperdaya mangsa berusia antara 30 hingga 50 tahun itu bermula apabila suspek menelefon mangsa secara rawak sebelum menabur janji-janji manis sehingga memperdaya mereka,” katanya.

Tambah Zaki, operasi memperdaya mangsa itu dipercayai dijalankan sekumpulan suspek bagi mengerakkan modus operandi menggunakan habuan mencecah ratusan ribu ringgit.

“Apabila kesemua mangsa dihubungi, mereka mulai terpancing dengan janji-janji manis yang ditabur suspek. Kemudian, mangsa dikehendaki untuk datang ke pejabat suspek bagi menuntut hadiah cabutan bertuah yang telah mereka menangi.

“Setelah mangsa datang untuk menuntut hadiah cabutan bertuah yang dimenangi itu, mereka diminta oleh seorang perempuan untuk membayar cagaran sebanyak RM8,450,” Zaki berkata demikan ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Hilir Perak, di sini.

Setelah mangsa bersetuju membayar jumlah yang diminta, pihak sindiket memberikan sebuah set kerusi urut jenis Omigawa dan jika mangsa mahukan hadiah lain, perlu membuat bayaran lain sebelum barang itu diberikan.

“Daripada 15 kes yang dilaporkan, 10 kes disiasat pihak kami manakala lima kes disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)” katanya.

Menurutnya, setelah mendapat laporan daripada mangsa, pihaknya ada menjalankan serbuan ke atas premis yang dikatakan menjadi pejabat sindiket penipuan namun ia ditinggalkan kosong dipercayai kumpulan berkenaan telah melarikan diri.

“Pihak kami akan mengesan pemilik premis yang digunakan dan disewa oleh kumpulan sindiket tersebut untuk mendapatkan maklumat berkenaan suspek.

“Kami juga sedang menyiasat bagaimana suspek mendapat nombor telefon mangsa penipuan yang dilakukan oleh sindiket itu dan jumlah kerugian daripada 10 kes tersebut disiasat oleh pihaknya bernilai RM245,649,” katanya.

Selain itu, lima orang individu dikesan yang percaya boleh membantu siasatan pihak polis dalam kes sindiket penipuan di kawasan daerah ini melibatkan 15 kes dikesan.

“Individu yang dicari, Tan Tiong Khoon nombor kad pengenalan 720219-01-5281, seterusnya Tan Hui Lin, bernombor 68112501-01-5748, Mohd Azlan Ahmat bernombor 831017-08-5555, Nor Azura Mohamed bernombor 821220-11-53-86 dan Siti Atiqah Ahmat 900506-08-5894,” katanya.

Zaki menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan taktik penipuan menggunakan modus operandi dengan menawarkan cabutan hadiah bertuah bernilai hingga ratusan ribu ringgit.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes penipuan tersebut bolehlah menyalurkan maklumat mereka kepada pegawainya, Inspektor Siti Zubedah M. Kasim di talian 05-6299222 dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Janji manis lebur ratusan ribu - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Guru dakwa teraniaya, ditukar 24 jam

guru ditukar

IPOH – Seorang guru di sebuah sekolah menengah terkenal di sini mendakwa ditukarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dalam tempoh 24 jam tanpa sebab serta diarah melapor diri ke sekolah lain.

Lebih malang lagi, guru berkenaan diarahkan melapor diri sehari selepas surat dikeluarkan dan ia berkuat kuasa serta-merta hingga mengakibatkan guru berkenaan tidak membuat sebarang persiapan untuk bertukar.

Suami guru berkenaan, S Saravanan, 43, berkata, isterinya menerima surat pertukaran pada 18 Januari lalu dan menyatakan pertukaran berkenaan tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.

“JPN dalam surat PPDKU/01/09/005-2 bertarikh 17 Januari lalu mengarahkan isteri saya bertukar nyata tidak mematuhi prosedur kerana tidak memberikan sebab munasabah, tidak mengadakan perbincangan dengan pihak terkilan selain menunjukkan tidak profesional dalam mengendalikan isu ini.

“Secara amnya, jika seseorang kakitangan kerajaan yang dikenakan tindakan tatatertib sahaja yang dikenakan tindakan sebegini namun sepanjang isteri saya berkhidmat, beliau tidak mempunyai apa-apa masalah disiplin,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Saravanan berkata, pihaknya mengambil keputusan mendapatkan penjelasan dan sebab pertukaran isterinya namun sehingga ke hari ini semua pihak hanya mendiamkan diri.

“Pada 19 Januari saya ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk berjumpa dengan pihak yang mengeluarkan surat namun beliau tiada di pejabat.

“Kemudian saya berjumpa pihak penyelia pengurusan guru untuk mendapatkan maklum balas namun pihaknya mengakui tidak tahu menahu tentang pertukaran tersebut dan berjanji akan menjalankan siasatan.

“Saya kembali ke sekolah tempat isteri mengajar berjumpa pengetuanya dan pihaknya menyatakan ia perkara biasa malah merupakan pergerakan guru tetapi beliau tidak boleh menjelaskan rasional pertukaran guru kurang dari 24 jam yang tidak mempunyai rekod tatatertib.

“Kami sekali lagi ke JPN pada 25 Januari untuk mendapatkan maklumat namun pihak berkenaan menyatakan tidak mempunyai maklumat berkenaan pertukaran dan akan melakukan siasatan,” katanya.

Menurutnya, selepas gagal mendapatkan jawapan, pihaknya menghantar surat kepada Menteri Pelajaran dan salinan kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Ketua Nazir Sekolah, Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

“Saya mengambil keputusan untuk pergi ke peringkat lebih tinggi apabila gagal mendapatkan sebarang maklum balas daripada JPN dan PPD namun sehingga hari ini tiada makluman yang diterima daripada pihak berkenaan.

“Saya mahukan penjelasan mengapa isteri saya dipindahkan secara begini kerana ia adalah jelas satu pencabulan hak asasi dan keadilan asasi dalam negara yang berperlembagaan,” katanya.

Beliau menambah, hingga kini isterinya mengalami kemurungan dan reputasi kerja termasuk ketenteraman peribadi serta keluarga hambar.

Lebih mengejutkan, katanya, ketika isterinya melaporkan diri ke sekolah baru, pengetua sekolah berkenaan terkejut kerana tidak menerima sebarang makluman pertukaran dan tidak boleh melapor diri selagi surat arahan tidak diterima pihak sekolah.

“Jadi isteri saya ditukarkan hanya dengan sepucuk surat yang diberikan kepadanya dan selepas 26 Januari barulah pihak sekolah menerimanya daripada JPN.

“Apa makna semua ini, jadi saya pohon perkara ini disiasat dan saya melihat terdapat penyalahgunaan kuasa berlaku malah mereka yang berkenaan perlu dikenakan hukuman jika terbukti bersalah,” katanya.



Guru dakwa teraniaya, ditukar 24 jam - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kedai makan simpan dadah

TELUK INTAN - Tindakan mencurigakan tiga lelaki warga Myanmar berdekatan sebuah premis berhampiran pelantar ikan di Jalan Tepi Sungai, Hutan Melintang, membawa kepada tertumpasnya port simpanan dadah di kawasan itu.

Tangkapan itu dilakukan oleh pasukan dari Siasatan Jenayah Narkotik, kira-kira jam 5.45 petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintenden Mohamad Zaki Harun berkata, sebaik sahaja anggotanya memperkenalkan diri kepada tiga lelaki berkenaan mereka cuba melarikan diri namun, gagal.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas tiga lelaki tersebut, pihaknya menjumpai enam peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah heroin dengan anggaran berat antara 1.73 hingga 1.8 gram.

“Kami turut menyerbu premis makanan tersebut dan menahan seorang lelaki warga Myanmar dan seorang wanita warga Vietnam.

“Selepas memeriksa kedai makan tersebut, kami menjumpai sebuah beg plastik hitam di atas lantai berdekatan dengan pintu masuk ke bilik tidur kedai tersebut,” katanya pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut mendapati dalam plastik hitam berkenaan mengandungi tiga paket plastik warna biru berisi pil yang disyaki pil kuda anggaran berat 59.45 gram.

Jelasnya, selain dadah, wang tunai berjumlah RM4,025 disyaki hasil jualan dadah juga dirampas dalam serbuan itu.

“Kesemua suspek gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah dan ujian saringan yang dijalankan ke atas mereka mendapati tiga lelaki Myanmar positif morfin manakala dua lagi negatif.

“Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39 A (1), Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Kedai makan simpan dadah - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ibu nekad kejar peragut

ibu kejar peragut

PORT DICKSON – Seorang ibu nekad mengejar dua lelaki yang meragut rantai yang dipakainya ketika dalam perjalanan ke sekolah bagi menghadiri Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Ketika kejadian yang berlaku sekitar jam 3 petang kelmarin, mangsa, G Mala, 43, menunggang motosikal bersendirian di Jalan Batu 4 menghala ke Telok Kemang, dekat sini sebelum menyedari diekori penunggang motosikal lain.

Menurutnya, selepas itu rantai lehernya seolah-olah ditarik dan dia memegangnya bagi mengelakkan ia diragut.

“Saya sempat menjerit meminta tolong dan berlaku pergelutan dengan peragut berkenaan.

“Dalam pergelutan itu, salah seorang daripada peragut berkenaan bertindak menendang ­motosikal saya dan mujur tidak terjatuh,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mala berkata, dia nekad me­ngejar peragut berkenaan yang menunggang motosikal jenis Honda dan bertopi kaledar.

“Tetapi sebaik tiba di kawasan Batu 5, saya lihat lelaki itu sekali lagi meragut seorang penunggang motosikal wanita bersama anaknya.

“Wanita terbabit terjatuh ­sebaik rantai lehernya diragut dan saya membantu sebelum mengajaknya untuk bersama-sama ­me­ngejar peragut berkenaan namun mengelak untuk berbuat demikian,” katanya.

Katanya, dia nekad mahu mengejar peragut itu bagi mendapatkan nombor pendaftaran ­motosikal yang ditunggangnya, namun tidak berhasil.

Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.


Ibu nekad kejar peragut - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

25 kereta disembur cat

PUCHONG – Didalangi pelajar sekolah!. Itu yang mengejutkan penduduk Puchong Jaya di sini berhubung kes 25 kereta disembur cat pelbagai warna, malam Ahad lalu.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara, Dr Kow Cheong Wei berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk mengenai kes terbabit selepas kejadian disedari dan dipercayai berlaku antara jam 8 dan 9 malam.

Menurutnya, penduduk memaklumkan kesemua kenderaan yang diletakkan di luar pagar perumahan Jalan Tempua 2, 8 dan Jalan Tempua 9 Puchong Jaya disembur cat tanpa diketahui motifnya.

“Semua kereta pelbagai jenis yang diletakkan di luar pagar di ketiga-tiga jalan disembur cat warna jingga, hijau dan coklat dan turut diconteng dengan perkataan lucah.

“Sekurang-kurangnya 25 pemilik kenderaan menjadi mangsa akibat kejadian tidak bermoral mereka yang melakukan tindakan itu,” katanya.

Cheong Wei berkata, bagi mendapatkan maklumat mengenai kejadian itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei semalam.

“Saya terkejut dan sedih apabila dimaklumkan mereka yang disyaki melakukan perkara ini adalah pelajar sekolah.

“Polis memaklumkan suspek belum dapat dikesan tetapi sudah dikenalpasti dan perlu mengambil sedikit masa kerana membabitkan pelajar sekolah,” katanya.

Beliau berkata, selain 25 kereta disembur dengan cat, kumpulan yang melakukan kegiatan vandalisme itu turut menyembur cat di bahagian dinding lorong belakang rumah dengan perkataan lucah.

“Selain kereta, dinding belakang lorong perumahan turut ditulis dengan perkataan lucah tanpa diketahui motif sebenar,” katanya.

Sementara itu, Chien Fei ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu pihaknya mengesyaki kes dilakukan budak sekolah.

“Setakat ini kita baru menerima empat laporan daripada pemilik kenderaan yang menjadi mangsa kejadian itu.

“Siasatan menyeluruh akan dijalankan berhubung kejadian itu,” katanya.

25 kereta disembur cat - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Rumah enam sekeluarga terbakar angkara khianat

rumah wook terbakar

KUANTAN - Enam sekeluarga nyaris hilang tempat tinggal selepas rumah mereka terbakar dipercayai angkara perbuatan khianat individu tidak dikenali dalam satu kejadian di Tanjung Api di sini, awal pagi semalam.

Kebakaran kira-kira jam 3 pagi itu bagaimanapun berjaya dipadamkan dan menyelamatkan rumah tersebut daripada hangus terbakar.

Pemiliknya, Wook Mohd, 62, berkata, akibat kebakaran itu, dia kerugian kira-kira RM1,000 apabila terpaksa menanggung kos untuk membaiki sebuah bilik tidur rumahnya akibat kebakaran itu.

Menurutnya, dia kesal kerana ada pihak tergamak cuba membakar rumahnya nyawa mereka juga boleh melayang.

“Mujurlah kebakaran ini disedari lebih awal dan kami anak-beranak sempat keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Wook berkata, ketika kejadian, dia dan semua ahli keluarga sedang nyenyak tidur di bilik masing-masing sebelum dikejutkan dengan suara jeritan jiran memberitahu rumahnya terbakar.

“Saya bingkas bangun dan ternampak salah seorang anak perempuan, Rosleda Yasin, 39 terjerit-jerit mengejutkan ahli keluarga kami yang lain,” katanya.

Menurutnya, tindakan pantas Rosleda dan beberapa jirannya berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak sebelum tugas itu diambil alih anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang tiba selepas dihubungi.

“Penemuan dua helei kemeja-T dengan kesan minyak tanah yang terlekat di dinding bilik tidur amat memeranjatkan kerana bukti itu jelas menunjukkan ada pihak cuba untuk ‘membunuh’ kami sekeluarga dengan membakar rumah ini,” katanya.

Sementara itu, Rosleda berkata, dia bersyukur kerana kebakaran itu tidak serius sebaliknya hanya sebahagian dinding serta siling bilik tidur sahaja yang terbakar.

Menurutnya, dia bersama jiran-jiran cuba memadam kebakaran itu dengan menyimbah air menggunakan baldi dan usaha mereka berhasil apabila api berjaya dikawal daripada terus membakar rumah tersebut.

‘’Saya agak terkejut apabila ternampak dua helai baju-t berwarna hitam yang di simbah minyak tanah diselitkan di dinding bilik itu dan baunya cukup kuat hingga menusuk hidung,” katanya.

Dia berkata, kebakaran itu dipercayai sengaja dilakukan pihak tertentu namun motif dan identiti mereka yang bertanggungjawab tidak dapat dipastikan.

“Saya tidak mensyaki sesiapa setakat ini kerana kami tiada musuh,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.15 pagi sebelum 17 anggota bersama tiga jentera dikerahkan ke lokasi kebakaran.

“Kebakaran tidak serius dan api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya mengambil masa hanya 15 minit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kecuali kerosakan kecil pada bahagian dinding bilik akibat terbakar.

“Bagaimanapun anggota kami menemui kain yang di­simbah dengan minyak tanah dan percaya kebakaran di­sebabkan perbuatan khianat,” katanya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Deputi Superintendan Kamaruz­za­man Jaafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kebakaran itu dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes
tersebut.



Rumah enam sekeluarga terbakar angkara khianat - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ibu maut, 3 anak bonceng motosikal parah

BESUT -- Seorang wanita terbunuh manakala tiga anaknya yang membonceng motosikal ditungganginya cedera parah dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjemput dua daripada anaknya dari sekolah.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang semalam, motosikal yang dinaiki empat beranak itu bertembung dengan sebuah kereta di kilometer 3 Jalan Jerteh–Pasir Putih dekat Kampung Padang Landak, di sini.

Kemalangan itu menyebabkan Norhaima Mamat, 44, yang tinggal di Kampung Padang Landak, dekat sini, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zainy Mohd Noor kepada pemberita di sini.

Beliau berkata pemandu kereta yang dikenali sebagai Yeoh Thean Yunn, 31, seorang jurujual yang berasal dari Pulau Pinang itu tidak mengalami kecederaan.

Sebelum kejadian itu, Norhaima seorang surirumah pergi ke Sekolah Kebangsaan Padang Landak bersama seorang anaknya yang berumur 4 tahun untuk menjemput dua lagi anaknya pulang daripada belajar kelas agama petang di sekolah itu.

"Dalam perjalanan pulang mangsa telah melintasi satu lorong kecil di satu pembahagi jalan untuk ke sebelah kanan jalan dua hala itu," katanya. Katanya kereta yang dipandu Yeoh dari arah Pasir Putih, Kelantan dipercayai gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa yang dinaiki empat beranak itu.

Akibat kejadian itu ketiga-tiga anak Norhaimi cedera parah, dua daripada patah kaki dan ketiga-tiganya dikejarkan untuk rawatan lanjut ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Tiga anak mangsa dikenali sebagai Nik Mohamad Hafizudin Nik Ismail, 10; Nik Muhammad Saifullah, 7, dan Nik Mohamad Haries Haikal, 4 tahun.

Noor Zainy menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan jalan raya dua hala supaya tidak melintasi jalan dengan menggunakan lorong-lorong kecil yang dibuat sendiri di atas pembahagi jalan untuk ke ke satu-satu arah.

Katanya pengguna perlu menggunakan jalan di pusingan U yang disediakan dan bukan sesuka hati melalui lorong-lorong yang dibina sendiri yang kadangkala dilindungi pokok-pokok hiasan jalan menyebabkan pemandu lain tidak dapat melihat mereka.

Ibu maut, 3 anak bonceng motosikal parah - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tanaman rosak diserang gajah

Penduduk-tunjuk-tanaman-pisang-mereka-musnah-diserang-gajah-liar

GUA MUSANG - Penduduk di Kampung Serian, dekat sini, kerugian teruk apabila tanaman­ pisang dan getah di kawasan seluas lapan hektar musnah diserang sekumpulan­ sembilan ekor gajah liar, awal pagi kelmarin.

Kemusnahan kebun itu adalah yang ketiga selepas sekumpulan gajah berkenaan berkeliaran di sekitar kampung terbabit sejak empat tahun lalu hingga penduduk pendapatan penduduk berkenaan terjejas teruk.

Berikutan kejadian terbaru itu juga kebanyakan penduduk takut untuk keluar menoreh getah kerana bimbang berdepan dengan haiwan ganas itu yang dipercayai masih bersembunyi dalam kawasan kebun getah mereka

Penduduk, Husin Senik, 63, berkata beliau yang mengalami kerugian paling teruk apabila kawasan kebun pisang dan getah diusahakan setahun lepas membabitkan keluasan 2.4 hektar musnah diserang gajah berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 300 daripada 700 pohon pisang yang ditanam itu sepatutnya dipungut hasil kelmarin, tetapi tidak sempat berbuat demikian kerana diserang gajah lebih awal daripada itu.

”Saya sedar mengetahui kejadian ini sekitar jam 7 pagi apabila menerima telefon daripada seorang rakan. Ketika itu, saya sedang bersiap untuk ke kebun bagi menebang pisang yang sudah tua sebelum menjualnya kepada seorang pembeli dari Kota Bharu.

”Selepas itu, saya bergegas ke kebun untuk melihatnya dan sedih dengan keadaan pokok pisang yang sedang mengeluarkan hasil musnah diserang gajah liar,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Rofi Ismail, 46, berkata, kampung itu kerap menjadi tempat sekumpulan gajah berkeliaran sejak beberapa tahun lalu dan menanggung kerugian kerap kali apabila tanaman musnah.

Beliau berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan pada Oktober tahun lepas sudah menangkap dan memindah seekor gajah dari kumpulan itu bagi mengelakkan kejadian seumpama ini.

”Bagaimanapun, masalah itu tidak dapat diatasi apabila masih terdapat sembilan ekor lagi yang berada dalam kebun penduduk dan membimbangkan jika tidak ada tindakan untuk memindahnya.

”Kami juga menyedari beberapa anggota Jabatan Perhilitan dari Gua Musang sedang berada dalam kawasan kebun penduduk itu untuk memburu sekumpulan gajah tersebut,” katanya.



Tanaman rosak diserang gajah - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'