MELAKA: Seorang lelaki terbunuh selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan lori membawa tempe di Jalan Johor, di Semabok, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3.51 pagi itu, Chua Gin Foo, 37, maut di tempat kejadian selepas tersepit 18 minit dalam kereta Honda City yang remuk sebelum dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Jalan Kubu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, sebelum kejadian Chua dipercayai dari persimpangan lampu isyarat simpang empat Semabok menghala ke lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) apabila keretanya terbabas memasuki laluan lori dipandu Zainudin Abu Hassan, 58.
“Pertembungan itu menyebabkan mangsa tersepit dan cedera parah serta disahkan meninggal di tempat kejadian manakala pemandu lori yang tersepit dalam lori dihantar ke Hospital Melaka,” katanya.
Salehhudin meminta saksi kejadian menghubungi Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di talian 06-283 4139 bagi membantu siasatan.
Sementara itu berlaku kekecohan apabila seorang lelaki, dipercayai ahli keluarga mangsa menyerang jurukamera sambilan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) cawangan Melaka, Salim Hanafiah, 29 dan Lufty Ahmad, 30, dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang membuat liputan.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, Salim dan Lufty baru tiba di tempat kemalangan dan merakam aksi anggota bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta sebelum dihampiri lelaki itu.