Search This Blog

Tuesday, February 14, 2012

Tukar nombor seal, 86 ketuhar hilang

SHAH ALAM - Seorang pekerja operasi gudang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan melakukan pecah amanah dan menyebabkan kehilangan 86 ketuhar, dua tahun lalu.


Mohd Jannatul Firdauss Jusoh, 26, didakwa pecah amanah dengan cara menukar nombor seal kontena di dalam sistem syarikat itu kepada nombor seal yang lain untuk menyebabkan kehilangan ketuhar itu.

Dia didakwa melakukannya di syarikat CJ GLS (M) Sdn Bhd, Klang.

Timbalan Pendakwa Raya, Iswa Tonie memohon mahkamah membenarkan ikat jamin RM6,000 terhadap Mohd Jannatul dan syarat tambahan menyerah pasport kepada mahkamah serta lapor diri ke balai polis setiap bulan.

Hakim Mohd Fadhir Harun membenarkan permohonan itu dan menetapkan Mohd Jannatul perlu mendaftar diri di balai polis pada Sabtu pertama setiap bulan.

Pendakwaan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Kes ditetapkan 2, 3 dan 4 Mei depan untuk sebutan semula.

Sementara itu, seorang rakan sekerja Mohd Jannatul turut didakwa di Mahkamah Seysen berasingan atas tuduhan sama, iaitu menyebabkan kehilangan 86 unit ketuhar itu dengan tidak menghantarnya ke tempat sepatutnya.

Mohd Khairul Amri Arifin, 27, yang bekerja sebagai pemandu lori di gudang Samsung Electronics (M) Sdn Bhd diamanahkan menghantar 791 ketuhar gelombang mikro ke United Kingdom.

Bagaimanapun, dia telah pecah amanah terhadap 86 daripada keseluruhan unit ketuhar itu dengan menyebabkan kehilangannya dari kontena.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 307 kanun sama yang memper­untukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Hakim Aslam Zainuddin membenarkan Mohd Khairul diikat jamin RM6,000 dan dikehendaki melapor diri ke balai polis berhampiran pada Isnin pertama setiap bulan. Kedua-dua kes akan dibicarakan serentak pada tarikh sama.

Tukar nombor seal, 86 ketuhar hilang - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mayat penjual makanan haiwan rentung

Mayat penjual makanan haiwan rentung

KUALA LUMPUR – Seorang penjual maka­nan haiwan bukan hanya dibunuh, malah turut dibakar bersama kereta dalam keja­dian berhampiran padang bola Batu Muda Tambahan 3, Kampung Batu Tambahan, awal pagi semalam.

Mangsa hampir 100 peratus terbakar itu dikenal pasti sebagai P Rodney, 30, berasal dari Taman Sri Gombak.

Kejadian itu disedari orang awam yang melalui kawasan tersebut, kira-kira jam 4.15 pagi, selepas melihat ke­reta Proton Wira terbakar.

Insiden tersebut dimaklumkan kepada pengawal keselamatan, Shahruddin Ahmad, 52, sebelum dia menghubungi bomba.

Shahruddin berkata, dia tidak mengetahui terdapat mayat terbakar di dalamnya.

“Saya tidak berani menghampiri kenderaan berke­naan kerana bimbang meletup.

“Selepas api padam, saya diberitahu di dalamnya terdapat mayat yang sudah ha­ngus,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan tiba di lokasi, kira-kira jam 4.42 pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan penemuan mayat di bahagian hadapan tempat duduk penumpang.

“Siasatan mendapati, ke­reta itu disimbah dengan minyak petrol sebelum dibakar.

“Kita sedang menyiasat sama ada mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dibawa ke kawasan itu untuk dibakar bersama kereta,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disia­sat mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan kerana membunuh.


Mayat penjual makanan haiwan rentung - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Wanita ditahan cuba rasuah polis RM1,900 di Kelantan


BACHOK - Seorang wanita cuba merasuah anggota polis bagi melepaskan suaminya daripada ditahan kerana disyaki memiliki dadah seberat 31 gram di Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan Supt Amran Ramli berkata dalam serbuan ke sebuah rumah di kampung itu petang semalam, polis menemui dadah jenis heroin yang dianggar bernilai RM21,000.

"Isteri suspek cuba merasuah anggota kami sebanyak RM1,900 bagi melepaskan suaminya daripada ditahan kerana memiliki dadah seberat 31 gram," katanya.

Beliau berkata suami wanita terbabit yang berumur 39 tahun dan bekerja sendiri itu ditahan mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Wanita itu pula diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut, katanya kepada pemberita di Balai Polis Gunong di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun adalah antara 168 orang yang ditahan kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam Operasi Tapis Bersepadu di sini.

Polis turut merampas 58 biji pil kuda dipercayai untuk pasaran tempatan, katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kesemua 168 yang ditahan itu positif dadah jenis Metaphetamin.

Operasi yang bermula petang semalam hingga hari ini di dua kawasan tumpuan iaitu Bekelam dan Kampung Kuchelong itu melibatkan 110 anggota polis bersama 16 pegawai dari seluruh negeri.- Bernama

Wanita ditahan cuba rasuah polis RM1,900 di Kelantan - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Padah hiburan awam tanpa lesen

padah berhibur

GEORGETOWN – Gara-gara mengadakan hiburan awam tanpa berlesen, seorang lelaki berusia 40 tahun dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Georgetown akibat kesalahan itu.

Tertuduh, Lew Yew Fuat didapati melakukan kesalahan tersebut pada 7 Februari 2012 bermula jam 10.25 malam.

Yew Fuat ditahan melakukan kesalahan tersebut di Lorong Aboo Siti Georgetown.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh mengadakan hiburan awam tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Tertuduh di dapati mengadakan hiburan muzikal di dalam premis yang mana terus disabitkan atas kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (a) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1998 dan boleh dihukum di bawak Seksyen 6 (2) enakmen yang sama.

Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang datang dengan berpakaian kemas mengaku bersalah namun meminta supaya hukuman diringankan.

“Saya memohon kepada mahkamah supaya ringankan hukuman saya kerana ini adalah kesalahan pertama saya.

“Tujuan saya mengadakan hiburan ini hanyalah untuk mencari duit untuk menanggung keluarga sahaja.

“Saya tiada niat lain, saya hanya ada anak-anak dan saya berharap supaya hukuman diringankan,” katanya.

Majistret Noor Aini Yusof kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 kepada tertuduh.

Sekiranya gagal bayar, tertuduh akan dikenakan penjara selama empat bulan.

Padah hiburan awam tanpa lesen - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kembar melambung terlanggar kereta

melambung

PENDANG – Sepasang kembar perempuan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dikhuatiri patah tulang paha kerana melambung setelah motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 2.10 minit petang itu mengejutkan penduduk berhampiran kawasan berkenaan dengan bunyi dentuman kuat apabila sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang pasangan kembar terbabit terlanggar kereta Proton Iswara Aeroback yang melintas jalan utama di situ.

Azizan Ibrahim, 27, berkata, dia terkejut dengan bunyi dentuman akibat pelanggaran itu ketika sedang berbual dengan rakan di hadapan kedai berhampiran jalan Pendang Sungai Tiang, sebelum tiba-tiba melihat dua pelajar sekolah melambung.

“Selepas bunyi dentuman itu tiba-tiba ternampak dua pelajar sekolah yang merupakan pasangan kembar terbabit melambung jatuh ke atas kereta bahagian hadapan, manakala seorang lagi melambung jatuh atas jalan.

“Saya segera ke tempat kejadian bagi mengangkat mangsa terbabit dan terus menghantar pasangan kembar itu ke Klinik Kesihatan Pendang untuk mendapatkan rawatan setelah melihat kecederaan mereka di bahagian kepala dan kaki,” katanya kepada Sinar Harian.

Azizan berkata, pasangan kembar itu merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Temenggung sedang menunggang motosikal dari arah Pendang untuk pulang ke rumah mereka di Chegar, manakala kereta itu datang dari arah Kampung Hampar kanan.

Menurutnya, kereta itu dipandu seorang lelaki Melayu lingkungan 20an bersama adiknya cuba melintas jalan terbabit dan tiba-tiba motosikal dari arah Pendang melanggar sisi hadapan kanan kereta itu sehingga menyebabkan bahagian itu remuk dan cermin pecah.

Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan bahawa pasangan kembar itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk mendapat rawatan lanjut.

Sementara itu, seorang penduduk kawasan terbabit, Audzir Muhammad, 70, berkata laluan itu sering berlaku berlaku kemalangan sehingga meragut banyak nyawa.

“Saya menetap di kawasan ini sekian lama dan boleh dikatakan setiap hari berlaku kemalangan di laluan ini te-rutamanya penunggang motosikal sehingga ada yang terpelanting jatuh ke sungai dan ada yang maut di tempat kejadian.

“Kemalangan di jalan ini sering berlaku disebabkannya sempit dan banyak kenderaan pelbagai jenis menggunakan laluan ini pada setiap masa,” katanya.

Kembar melambung terlanggar kereta - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ibu tunggal dicekup berkhalwat dengan suami orang

ditangkap khalwat

KULIM - Tindakan seorang lelaki yang menyorokkan kereta miliknya di bahagian tepi rumah keluarga seorang ibu tunggal di sini memakan diri apabila mereka ditangkap kerana dipercayai berkhalwat.

Bertindak atas maklumat orang awam, Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) bersama lima penguat kuasa berjaya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun dan seorang wanita berusia 40 tahun di sebuah rumah di Karangan kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Dari pemeriksaan dijalankan mendapati seorang wanita hanya memakai baju tanpa lengan dan berkain batik manakala pasangan lelaki hanya memakai kain pelekat tanpa pakaian.

Suspek kemudiannya memaklumkan kepada PADK, dia bersama teman lelakinya itu terpaksa tidur di rumah ibunya kerana hendak menjamin seorang ahli keluarga yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim pada keesokan harinya.

Ketua Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, pihaknya dimaklumkan, ketika serbuan dibuat, PADK turut menemui seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun sedang tidur di bahagian belakang rumah suspek.

“PADK menerima maklumat tentang pasangan itu dan pergi ke lokasi kejadian. Apabila tiba di sana, PADK mendapati seorang lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai sebarang hubungan mahram tinggal bersama dalam rumah itu. Dari siasatan awal mendapati kedua-dua
suspek tinggal di Kuala Lumpur tetapi sering balik ke rumah wanita itu bersama. Wanita berkenaan merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai anak manakala pasangan lelaki merupakan bekas kakitangan sektor awam dan sudah beristeri serta mempunyai anak.

“Penguat kuasa PADK kemudiannya membuat pemeriksaan di dalam rumah itu dan mendapati hanya mereka berdua dan seorang kanak-kanak berada dalam rumah itu. Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan tangkapan terhadap mereka,” katanya.

Menurutnya, selepas membuat laporan polis, PADK telah mengeluarkan notis hadir ke pejabat PADK untuk memberi keterangan. Kedua-dua suspek kemudiannya dibebaskan setelah membayar wang jaminan diri RM1,000 setiap seorang.

Azmi berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 9 (1) (2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988, jika sabit kesalahan kedua-dua suspek boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ibu tunggal dicekup berkhalwat dengan suami orang - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Premis judi digempur lagi

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superitendan Stapa Yusof.

KEMPAS - Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita warganegara Indonesia dalam satu serbuan di premis judi kira-kira jam 7.30, malam semalam.

Serbuan yang dilakukan di premis terletak di Taman Bukit Kempas itu ­diketuai Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superitendan Stapa Yusof.

Stapa berkata, dua lagi yang ditahan merupakan lelaki warga ­tempatan dan ketiga-tiga mereka ­berusia lingkungan 20-an hingga 30-an.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka yang ditahan tidak memiliki rekod jenayah lampau.

“Wanita berkenaan merupakan penjaga premis judi terbabit manakala kedua-dua lelaki itu merupakan pengunjungnya.

“Polis turut merampas 13 set k­omputer dipercayai digunakan untuk aktiviti judi siber di premis berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Stapa berkata, berdasarkan rekod terkini, ia serbuan kali pertama yang dibuat di lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun saya percaya pada tahun sebelumnya, polis pernah ­menyerbu kawasan berkenaan.

“Wanita yang ditahan itu memasuki negara ini menggunakan premit sah walau bagaimanapun dia berhadapan tuduhan di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001),” katanya.

Difahamkan, jika sabit kesalahan wanita berkenaan boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas atau penjara selama lima tahun.

Manakala kedua-dua lelaki yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) dan jika sabit ­kesalahan boleh didenda sebanyak RM5,000.


Premis judi digempur lagi - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Elak kecurian kayu karas semakin berleluasa

karas

GEORGETOWN - Jabatan Perhutanan digesa meningkatkan rondaan dalam kawasan hutan bagi mengelakkan kecurian kayu karas yang semakin berleluasa di hutan simpan kekal di negeri ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pihaknya menerima laporan berlaku beberapa kes kecurian kayu karas sejak November lalu menyebabkan lebih 200 pokok kayu karas musnah.

Beliau berkata, antara kawasan yang didapati menjadi sasaran ialah hutan taman botani, hutan kekal Cherok Tok Kun dan hutan kekal Bukit Panchor di Nibong Tebal.

“Mengikut laporan yang diterima, modus operandi kumpulan ini adalah mereka akan membuat pemantauan dengan menanda pokok yang bakal ditebang pada siang hari dan disusuli dengan aktiviti mengambil kayu pada sebelah malam sehingga awal pagi.

“Pokok karas mendapat permintaan tinggi di pasaran. Nama saintifiknya ‘Aquilaria’ boleh diproses menjadi gaharu dan dikomersialkan sebagai bahan pewangi dan kosmetik,” katanya kepada media selepas membuat tinjauan di hutan taman botani di sini kelmarin.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan pemangku Pengarah Jabatan Perhutanan Pulau Pinang, Azahar Ahmad.

Guan Eng berkata, kegiatan itu menyebabkan kerugian terhadap hasil hutan dan memusnahkan alam semula jadi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu jawatankuasa tindakan operasi bersepadu diadakan yang dianggotai Jabatan Perhutanan, Polis Diraja Malaysia, Taman Botani, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Angkatan Tentera Malaysia dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).

Guan Eng berharap orang ramai terutama pencinta alam sekitar dan pendaki bukit segera melaporkan kepada Jabatan Perhutanan sekiranya terlihat sebarang aktiviti yang mencurigakan di dalam hutan dengan menelefon 04-6505250.


Elak kecurian kayu karas semakin berleluasa - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kes curi pisang menjadi-jadi

Jaharuddin-menunjukkan-cara-pencuri-mencuri-pisang-tanpa-menebang-pokok-di-kebunnya-di-Kampung-Dengi

KAMPUNG DENGIR – Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) hampir berjaya memberkas dua lelaki yang dipercayai cuba mencuri pisang di kebunnya di sini kelmarin.

Anggota Rela terbabit, Jaharuddin Putih, 46, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, dia mendapati lelaki berusia 20-an dalam keadaan mencurigakan berada di luar pagar kebunnya.

Menurutnya, ketika dia cuba menghubungi polis, tiba-tiba lelaki tersebut memecut laju melarikan diri dengan sebuah kereta Perodua Kancil.

“Pada petang itu, saya sedang memancing di sungai tidak jauh dari kebun apabila menerima panggilan daripada seorang penduduk kampung memberitahu melihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan berhampiran kebunnya,” katanya.

Jarahuddin berkata, dia bergegas ke kebunnya dan mendapati dua lelaki berlegar di luar pagar kebunnya.

Ketika ditanya tujuan mereka berada di situ, salah seorang daripada mereka memberitahu kononnya melarikan diri daripada polis kerana mempunyai kesalahan lalu lintas.

“Saya tidak mempercayai cakap mereka lalu mengarahkan mereka membuka bonet belakang kereta dan mendapati tidak ada pisang, sebaliknya mempunyai kesan getah pisang di dalam kereta itu.

“Saya meminta kad pengenalannya dan salah seorang daripada mereka memberikan satu kad pengenalan kepada saya tetapi kata lelaki kad pengenalan itu milik adiknya yang menyebabkan saya semakin curiga,” katanya.

Menurutnya, yakin dua lelaki mempunyai niat jahat, dia cuba menghubungi polis tetapi secara tiba-tiba lelaki itu memecut melarikan diri dan mereka gagal diberkas.

Jaharuddin yakin dua lelaki itu cuba mencuri pisangnya pada hari itu tetapi tidak sempat berbuat demikian kerana dia terlebih dahulu datang, malahan dia juga yakin orang sama yang bertindak mencuri hampir lima kali pisangnya sebelum ini.

“Pisang saya dicuri sejak 2010 lagi menyebabkan saya kerugian melebihi RM1,000. Setiap kali, suspek mencuri sehingga 15 tandan pisang,” katanya yang sempat mencatat nombor pendaftaran kereta berkenaan.

Dia juga yakin orang sama yang terlibat mencuri pisang milik beberapa penduduk kampung berkenaan sebelum ini.

Kes curi pisang menjadi-jadi - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mayat bayi perempuan dijumpai di bilik air kolej

KOTA BHARU - Mayat seorang bayi perempuan dijumpai dalam sebuah baldi di bilik air surau sebuah kolej swasta di Kampung Kandis, Telong, Bachok hari ini.


Bayi yang cukup sifat dan dipercayai baru dilahirkan itu, dijumpai oleh dua orang pembersih tandas sebelum melaporkan kepada penyelia kolej berkenaan kira-kira pukul 10.40 pagi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata polis menerima aduan mengenai penemuan mayat bayi itu daripada seorang pegawai dari kolej tersebut.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, untuk dibedah siasat dan setakat ini polis belum mengetahui motif pembuangan bayi itu, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jalaluddin berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat bagaimanapun polis sudah mengenal pasti suspek yang membuang bayi tersebut.- Bernama


Mayat bayi perempuan dijumpai di bilik air kolej - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Geng Castello kantoi ketika jual lembu curi

lembu curi

PEKAN – Seorang lelaki yang bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti jenayah sekitar daerah ini akhirnya berjaya diberkas bersama empat ahli kumpulannya ketika sedang berurus niaga dengan seorang pelanggan yang mahu membeli lembu curi mereka.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah berjaya memberkas semua suspek dan pelanggan tersebut di Bukit Rangin, Kuantan, beberapa hari lalu.

Menurutnya, pelanggan itu merupakan peniaga ayam di Pasar Besar Kuantan dan disyaki membantu mencari rakan peniaga yang menjual daging sebagai pelanggan.

“Polis berjaya menahan anak-beranak berusia 40-an dan 18 tahun ketika mereka menaiki sebuah lori membawa empat lembu curi yang sudah siap dipotong kepala serta kaki untuk dijual.

“Dua lagi lelaki yang juga adik-beradik dari Temerloh berusia 30-an dan 19 tahun yang menaiki sebuah kereta turut ditahan. Mereka disyaki ahli kumpulan Castello serta membantu kerja mencuri lembu di sekitar gugusan Felda Chini dan sekitarnya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Yahaya berkata, Castello yang juga suspek utama berasal dari Kampung Salong itu mempunyai sebanyak 25 kes lampau termasuk pecah rumah, rogol, mencuri dan pelbagai lagi perlakuan jenayah.

“Kegiatan terkini suspek ialah mencuri lembu dan ternakan lain di sekitar Felda Chini. Polis sudah menyelesaikan beberapa kes kehilangan ternakan dilaporkan sebelum ini.

“Semua suspek masih ditahan dan akan didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun,” katanya.

Geng Castello kantoi ketika jual lembu curi - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Jentera hilang kawalan rempuh pagar rumah

jentera rempuh rumha

SHAH ALAM - Seorang guru terkejut apabila terdengar dentuman kuat sebelum menyedari tembok dan pagar rumahnya di Taman Desa, Seksyen U12, di sini dirempuh sebuah forklift yang diubahsuai sebagai traktor.

Akibat rempuhan yang berlaku kira-kira jam 11.40 pagi, semalam kereta Nissan Grand Livina milik mangsa, Rozaidah Muhammad, 37, turut rosak.

Rozaidah berkata, ketika kejadian, dia sedang bersiap-siap untuk keluar mengajar di sekolah berhampiran.

“Ketika itu, saya bersama dua anak berada di rumah, sebaik terdengar dentuman kuat, saya tinjau ke luar tingkap dan mendapati jentera berkenaan telah merempuh pagar, tembok dan kereta saya.

“Jentera itu turut merempuh sebuah kereta Perodua Kancil dan pagar rumah jiran berhampiran,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Difahamkan, pemandu jentera berkenaan gagal mengawal kenderaan akibat masalah brek ketika menuruni kawasan bukit berhampiran kawasan perumahan itu.

Jentera berkenaan, sebelum itu dikatakan menjalankan kerja-kerja membaik pulih tangki air di kawasan perumahan yang kebetulan berada di atas bukit.

Walaupun mengalami kerugian besar, Rozaidah bersyukur kerana anak-anaknya tidak berada hampir dengan kawasan rempuhan itu.

Seorang lagi mangsa yang pagar rumahnya turut musnah, Azhar Mohd, 45, berkata, laporan polis telah dibuat oleh suami jirannya itu.

Setakat ini katanya, pemaju bersetuju untuk membiayai keseluruhan kos baik pulih kerosakan.

“Pemaju perumahan sudah datang dan melihat sendiri kerosakan malah bersetuju untuk menanggung kesemua kos kerugian yang dialami,” katanya.
Sementara itu, dimaklumkan pemandu jentera yang mengalami kecederaan parah dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut. - Bernama


Jentera hilang kawalan rempuh pagar rumah - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kanak-kanak sembilan tahun maut dalam kemalangan

IPOH - Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun terbunuh selepas kereta dipandu bapanya terbabit dalam kemalangan di Jalan

Kuala Kangsar-Chemor dekat sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata mangsa R. Valermarthy, berasal dari Kampung Benggali, Chemor, cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan berlaku 12 tengah malam ketika kedua-duanya dalam perjalanan dari bandaraya ini menuju rumah bertembung dengan sebuah kereta lain, katanya ketika di hubungi hari ini.

Azisman berkata mangsa duduk di bahagian hadapan sebelah penumpang ketika kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, manakala bapanya dan pemandu kereta yang sebuah lagi itu hanya cedera ringan. - Bernama


Kanak-kanak sembilan tahun maut dalam kemalangan - Semasa - Sinar Harian:

'via Blog this'

Wanita ditumbuk lelaki angkara mulut celupar

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd Rafar

KOTA BHARU - Gara-gara celupar seorang wanita menerima padah apabila hidungnya patah ditumbuk seorang lelaki di pekarangan Pasar Siti Khadijah di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa yang juga peniaga di pasar tersebut cedera parah dan sakit badan akibat pergaduhan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd Rafar, berkata, kejadian berlaku kerana sebelum ini terdapat pertengkaran mulut antara kedua-duanya apabila mangsa mengatakan suspek anak penagih dadah.

Idris berkata, sebelum kejadian mangsa berusia 20-an itu menuruni tangga di pasar berkenaan dan ketika itu lelaki terbabit tiba-tiba menahannya lalu menendang paha mangsa, menyebabkan wanita berkenaan terjatuh.

“Pada masa sama, mangsa melawan menyebabkan suspek membaling topi keledar ke arahnya. Berikutan itu, mangsa juga ditumbuk di bahagian mata dan sempat dileraikan orang awam yang berada di situ,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), dekat
Pengkalan Chepa, semalam.

Akibat kejadian itu, mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dan keadaannya dilaporkan stabil.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan gerakan mengesan suspek yang berusia lingkungan 20-an dilakukan bagi membantu siasatan.

”Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah,” katanya.

Wanita ditumbuk lelaki angkara mulut celupar - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Guru wanita hilang kawalan rempuh Hilux

Keadaan-kereta-Azizah-yang-merempuh-Hilux-sehingga-masuk-ke-dalam-kedai-Petronas
Gagal-mengawal-kereta-menyebabkan-kereta-milik-seorang-guru-merempuh-sebuah-4x4-yang-diletakkan-diha

PASIR PUTEH - Akibat hilang kawalan, kereta seorang guru wanita merempuh sebuah kereta 4x4 jenis Hilux sebaik sahaja selesai mengisi minyak di Stesen Minyak Petronas Pasir Puteh Dua, di sini.

Kejadian yang berlaku jam 6 petang kelmarin itu dipercayai berlaku apabila Azizah Mat Noor, 44, memandu kereta Cherry miliknya merempuh dengan laju Hilux yang diletakkan di hadapan Petronas sehingga memasuki kedai tersebut.

Pemilik Hilux, Sufian Abdullah, 21, berkata, semasa kejadian tersebut berlaku dia baru sahaja memasuki kedai Petronas tersebut tidak sampai tiga minit sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat.

“Semasa kejadian saya sedang berurusan di mesin wang di dalam kedai itu dan apa yang berlaku ini sangat mengejutkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian tersebut, kereta milik Azizah rosak teruk di bahagian hadapan akibat merempuh bahagian belakang kereta milik Sufian.

Azizah tidak mengalami sebarang kecederaan kerana semasa kejadian dia memakai tali pinggang keledar.

Sementara itu, Pengurus stesen minyak tersebut, Mohd Azli Abdullah berkata, sehingga sekarang pihaknya masih tidak dapat memberitahu berapa jumlah kerugian akibat kejadian tersebut.

“Ini kerana kami terpaksa menunggu wakil daripada pihak Petronas terlebih dahulu untuk datang menilai jumlah kerugian,” katanya.

Menurutnya, kejadian tersebut merupakan yang pertama berlaku di stesen minyak tersebut dan dia bersyukur kerana ia tidak melibatkan orang ramai dan pekerja.

Guru wanita hilang kawalan rempuh Hilux - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Gaji RM450 habis diragut

diragut

PASIR MAS – Seorang wanita di sini, bukan sahaja cedera akibat diragut, malah kesemua wang gaji hasil kerja sebagai pembantu kantin, habis setelah diragut, pada jam 4.30 petang, kelmarin.

Mangsa, Wan Maheran Abdul Razak, 46, menerima lima jahitan di bahagian kening, bengkak di muka, kepala dan kaki setelah dicederakan­ seorang lelaki tidak dikenali.

“Hari itu, saya nak ke bank, tetapi tidak sempat kerana bank tutup, jadi saya ingat akan ke bank semula esok.

“Saya berhajat, hendak ke bank semula esok untuk menyimpan wang itu tetapi tidak kesampaian apabila wang gaji saya dilarikan peragut berkenaan,” katanya, semalam.

Wan Maheran berkata, kejadian bermula ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah, dengan menunggang motosikal secara bersendirian.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, pandangannya tiba-tiba menjadi kabur dan berasa sakit akibat dihentak dengan objek keras.

“Akibat hentakan yang kuat, saya terjatuh ke dalam parit dan hanya sedarkan diri beberapa jam setelah menerima rawatan di Hospital Pasir Mas.

“Saya mendapati beg hilang, malah kesemua wang gaji sebanyak RM450 juga hilang.

“Loket emas dan pelbagai dokumen penting juga hilang dipercayai diragut oleh lelaki yang menyerang saya itu,” katanya.

Katanya, selepas menyedari kejadian­ itu, penduduk setempat membantunya dan menghubungi pihak polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Tengku Azman Tengku Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berhubung­ kejadian itu.

Gaji RM450 habis diragut - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lima das tersasar

       
IPOH: Nasib benar-benar menyebelahi seorang tauke lembu apabila tiada satu pun daripada lima das tembakan perompak mengenainya walaupun tembakan bertalu-talu itu dilepaskan dari jarak tidak sampai lima meter di rumahnya di Jalan Jelapang Tambahan, di sini, semalam.

Difahamkan penjenayah melepaskan lima das tembakan pistol automatik ke arah mangsa, tetapi semua tembakan itu tersasar dan hanya mengenai kereta kereta serta dinding rumah. Dalam kejadian jam 3.15 pagi semalam, G Parathippan, 32, sempat membaling batang besi ke arah seorang daripada tiga perompak yang menceroboh masuk banglo miliknya.


Difahamkan kumpulan perompak bersenjatakan pistol automatik itu terlebih dahulu memotong kunci pagar dan jeriji pintu rumah berkenaan ketika mangsa bersama isteri, ibu bapa dan dua anak kecilnya sedang tidur.

Menurutnya, suspek memakai topeng muka masuk ke dalam bilik tidur isteri yang tidur bersama dua anak berusia tiga bulan dan dua tahun.


“Seorang penjenayah mengejutkan isteri dan mengacukan pisau ke lehernya serta mengugut isteri menyerahkan semua wang.


“Bagaimanapun isteri memberitahu tidak menyimpan wang ketika itu selain rantai leher dipakainya,” katanya.


Menurutnya, isterinya yang diugut akan dibunuh jika menjerit, sempat membebaskan diri dari tawanan penjenayah sebelum memekik meminta tolong.


“Saya terkejut lalu bingkas bangun dan melihat dua perompak di ruang tamu rumah.

“Saya mencapai sebatang besi dan membalingnya ke arah penjenayah. Pada masa sama, bapa saya turut keluar dari bilik tidurnya sampai memegang kayu rotan,” katanya.


Menurutnya, seorang penjenayah mengacukan pistol sebelum melepaskan tiga das tembakan mengenai dinding rumah.


“Mulanya saya sangkakan pistol itu adalah pistol mainan dan tembakan itu hanyalah peluru kapur untuk menakut-nakutkan kami.


“Namun saya tergamam apabila mendapati dinding rumah berhampiran saya berlubang terkena tembakan itu,” katanya.


Menyedari senjata digunakan itu pistol tulen, dia segera mengarahkan ibu dan bapanya masuk semula ke dalam bilik manakala penjenayah terbabit berlari keluar dan dia mengejar mereka. “Seorang penjenayah sekali lagi melepaskan dua tembakan ke arah saya dan satu daripadanya mengenai kereta Proton Waja dan manakala sedas lagi mengenai dinding rumah. Menurutnya, unit polis forensik yang melakukan siasatan di rumahnya awal pagi semalam, menemui tiga kelongsong peluru di dalam rumah, dua kelongsong peluru berhampiran pintu pagar dan satu peluru hidup.


“Saya amat bernasib baik kerana lima das tembakan pistol itu tidak mengenai tubuh saya. Rompakan itu menyebabkan kami sekeluarga kerugian lebih RM15,000 kerana penjenayah sempat melarikan wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit,” katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim yang dihubungi mengesahkan berhubung kejadian rompakan itu dan usaha memburu penjenayah sedang giat dilakukan.

Didakwa pecah masuk rumah

        
SHAH ALAM: Seorang pekerja penyelenggaraan dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan memecah masuk rumah seorang penduduk di Seksyen 31, Jumaat lalu.

Tertuduh Lai Swee Kee, 36, mengaku tidak bersalah. Mengikut pertuduhan, Lai didakwa memecah masuk rumah No 20, Jalan Anggerik Aranada, Seksyen 31 dan melarikan pelbagai barangan termasuk kamera digital, telefon bimbit dan komputer riba.

Tragedi berdarah di kelab malam

        
KUALA LUMPUR: Gara-gara berebut wanita, seorang lelaki berusia 23 tahun maut akibat ditikam enam kali di dada dan leher dalam kejadian di sebuah kelab malam di Jalan Dang Wangi, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, mangsa dikatakan mengunjungi kelab malam itu bersama bapa saudaranya yang masing-masing berasal dari Kota Damansara sebelum dilayan teman wanitanya yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di kelab malam berkenaan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa berkata, ketika berada di kelab malam itu, teman wanita mangsa dipercayai turut diganggu seorang lagi pelanggan yang kemudian mengajak wanita itu menemaninya.

Beliau berkata, akibat tidak puas hati, berlaku pertengkaran antara mangsa dan kumpulan lelaki berkenaan, namun dengan bantuan pelanggan lain, pergaduhan antara dua kumpulan itu dapat disuraikan.



“Bagaimanapun kumpulan penyerang itu tetap berdendam dengan mangsa dan menunggunya keluar dari kelab itu sebelum mangsa ditikam enam kali dengan senjata tajam di dada, leher, paha kanan dan kening sebelum suspek terus melarikan diri,” katanya.

Polis tahan penculik

 SHAH ALAM: Polis menahan seorang penganggur yang dipercayai terbabit dengan kes culik seorang remaja lelaki berusia 14 dalam satu serbuan di Teluk Intan, Perak, Sabtu lalu.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan selepas menculik mangsa dan meminta wang tebusan RM50,000 daripada keluarganya.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, polis menerima maklumat daripada keluarga mangsa sebelum menubuh satu pasukan khas bagi mengesan suspek dan menahannya.

“Siasatan awal polis turut mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau,” katanya.


“Sebaik menerima maklumat tentang kes penculikan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kemudian menubuhkan satu pasukan khas dan berjaya mengesan suspek di Teluk Intan, Perak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.


Mangsa sihat dan tidak dicederakan suspek.

Idam kamera murah rugi RM17,830

 KUALA TERENGGANU: Akibat terpesona dengan tawaran mendapatkan kamera dengan harga murah, seorang pelajar sebuah kolej di Kuala Lumpur kerugian RM17,830 apabila ditipu seorang lelaki tidak dikenali sebaik membuat pesanan sebuah kamera Nikon DSLR 700 menerusi Internet pada 26 Januari lalu.

Mangsa, berusia 19 tahun, berasal dari Kampung Sekati, Kertih, Kemaman, berhajat membeli kamera bernilai RM2,800 itu sebaik melihat iklan dipaparkan suspek melalui satu laman web.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata selepas berminat dengan kamera itu, mangsa menghubungi nombor telefon tertera pada laman web dan diminta memberi alamat e-mel serta nombor telefon sebelum diberikan alamat syarikat yang menjual kamera berkenaan di Bintulu, Sarawak.

Beliau berkata, selepas memasukkan wang RM2,800 ke dalam akaun lelaki itu di sebuah bank di Kertih, mangsa dijanjikan untuk mendapat kamera itu dalam masa 48 jam dari tarikh dia memasukkan wang itu.


“Pada hari berikutnya mangsa ke Kuala Lumpur dan dia dihubungi oleh suspek mengatakan pihak syarikat tersalah menghantar lima kamera berharga RM12,000.


“Bagaimanapun, suspek akan meneruskan penghantaran kamera itu sekiranya mangsa membayar wang tambahan dalam waktu terdekat atau dijanjikan pulangan semula bayaran asal sebelum mangsa yang tertarik dengan tawaran baru itu membuat dua pembayaran RM8,000 pada 3 dan 4 Februari lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Diheret 5 meter

          
MIRI: Seorang mekanik membaiki jentolak rosak di tepi jalan maut selepas dirempuh pacuan empat roda (4 x 4) miliknya dilanggar lori di Kilometer 67, Jalan Miri-Bintulu, di sini, semalam.

Sebelum kejadian jam 10.30 pagi, mangsa, Cheng Loong Lee, 40, dari Bandar Baru Permyjaya, di sini, dikatakan meletakkan kenderaan 4 x 4 miliknya di belakang jentolak sedang dibaikinya.
Difahamkan, hanya beberapa minit selepas mangsa mula membaiki jentolak berkenaan yang rosak dan ditinggalkan di situ sejak beberapa hari lalu, sebuah lori melanggar pacuan empat rodanya dari arah belakang.

Pegawai Penyiasat Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, Inspektor Muralle Vennu berkata, akibat itu 4 x 4 itu merempuh dan mengheret mangsa sejauh lima meter.



Menurutnya, pemeriksaan mendapati, pemandu lori berusia 40-an itu dipercayai dalam perjalanan ke Bintulu.

Bekas ketua pendakwa dijel 8 tahun, denda RM55,000




         
IPOH: Bekas Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM55,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas dituduh meminta wang suapan bagi membebaskan seorang anggota polis daripada kes khalwat, lima tahun lalu.

Hakim Tan Hooi Leng menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahrunnazri Abdul Samad, 44, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap empat tuduhan meminta dan menerima suapan RM5,000.
Hooi Leng bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan kes itu di Mahkamah Tinggi dengan syarat tertuduh menjelaskan denda RM55,000 serta-merta atau berdepan penjara tambahan dua bulan.

Tertuduh yang diwakili peguam Yusri Kamaruddin membayar denda berkenaan, petang semalam.



Pendakwaan dilakukan Peguam Kanan Persekutuan yang juga Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Badan Pencegahan Rasuah (BPR) Putrajaya, Datuk Abdul Razak Musa.

Mayat mangsa bunuh ditemui rentung dalam kereta

       
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui rentung dalam sebuah Proton Wira dipercayai dibunuh di kawasan padang bola di Kampung Batu Muda Tambahan, dekat Gombak, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mayat Rodnay Ponadaran, 32, ditemui di tempat penumpang depan kereta berkenaan.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, polis yang menerima maklumat kejadian itu bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui mangsa yang rentung dalam sebuah kereta.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui kesan bahan bakar disyaki petrol yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.


“Pemeriksaan lanjut terhadap nombor pendaftaran kereta itu menemui seorang wanita di Taman Sri Gombak yang mendakwa mangsa sebagai anaknya.


“Wanita itu memberitahu anaknya bekerja sebagai penjual makanan haiwan yang keluar dari rumah pada jam 11.30 malam sebelum dimaklumkan penemuan mayat rentung beberapa jam selepas itu,” katanya.


Beliau berkata, polis belum dapat mengesahkan mayat ditemui itu anak kepada wanita berkenaan kerana perlu menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukliek (DNA).


“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Setakat ini, kita belum membuat sebarang tangkapan dan akan menyoal ibu mangsa dan rakan-rakannya bagi mencari petunjuk dan motif pembunuhan itu,” katanya.

Luluh hati ibu lihat anak terperosok bawah kereta


LENGGENG: “Luluh hati melihat mayat anak terperosok di bawah kereta,” kata Fatimah Mohamad, 38, ibu mangsa kemalangan maut di Kampung Machang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Klana Putra, dekat sini, Abdul Azim Abdul Rahmat, 16, dan rakannya, Zafeer Irfan Ahmad Shukri, 13, maut selepas motosikal mereka dipercayai terbabas dan bertembung sebuah kereta di satu selekoh. Abdul Azim mati di tempat kejadian, manakala Zafeer Irfan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) beberapa jam selepas kejadian.


Fatimah berkata, dia menerima berita itu 20 minit selepas kejadian daripada jiran yang memberitahu anak lelaki sulungnya terbabit kemalangan.

Sementara itu, ibu Zafeer Irfan, Yanti Ariani Aminudin, 40, berkata dia mengajak anaknya itu ke pasar malam jam 8 malam, tetapi dia menolak kerana mahu keluar dengan kawan.


“Tidak lama kemudian saya menerima berita dia terbabit kemalangan dan dirawat di HTJS,” katanya.


Menurutnya, sebaik tiba di hospital, dia terkejut melihat anaknya dalam keadaan nazak dan beberapa jam kemudian meninggal dunia.


Jurucakap polis berkata, Abdul Azim yang menunggang motosikal Honda Wave dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas setibanya di satu selekoh.


“Motosikal mangsa memasuki laluan bertentangan dan bertembung kereta dinaiki satu keluarga,” katanya.

Lelaki ditetak tiga penyamun

PETALING JAYA: Seorang lelaki bukan saja ditetak dengan parang oleh tiga lelaki hingga cedera di dahi, malah turut disamun RM100 dalam kejadian di rumahnya di Bandar Baru Sungai Buloh, kelmarin.

Kejadian jam 8 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 25 tahun didatangi tiga lelaki menaiki dua motosikal sambil membawa sebilah parang.


Mangsa, K Siva, 25, berkata, dia berehat apabila tiga lelaki berusia 20-an itu masuk ke rumahnya dengan membawa senjata berkenaan.

myMetro | Lelaki ditetak tiga penyamun:

'via Blog this'

Mayat dalam longkang

PETALING JAYA: Mayat seorang lelaki dipercayai berketurunan India ditemui dalam sebuah longkang besar berhampiran pasar borong di Kampung Baharu Sungai Way, dekat sini, semalam.

Mayat berkenaan ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dalam longkang sedalam enam meter sebelum melaporkan kepada polis jam 1.30 tengah hari.


Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan itu jam 2 petang sebelum sepasukan anggotanya dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

myMetro | Mayat dalam longkang:

'via Blog this'

Bekas pegawai KFA didakwa seleweng gaji



ALOR SETAR 13 Feb. - Bekas pegawai akaun Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan menyeleweng wang gaji pemain bola sepak negeri itu membabitkan jumlah RM76,026 hampir lima tahun lalu.
Izhan Abdullah Sani, 45, yang kini bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah institusi pengajian awam di negeri ini mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Rosli Osman.
Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di Pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah, Kota Setar pada Julai, Ogos dan September 2007.
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM17,000 bagi kesemua pertuduhan itu beserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 18 Mac depan.
Bagi pertuduhan pertama, pada bulan Julai 2007, Izhan didakwa dengan sengaja melebihkan jumlah gaji bersih bagi 14 pemain bola sepak Liga Super Kedah Musim 2006-2007 yang keseluruhannya berjumlah RM5,817.
Kemudian setelah baucar bayaran gaji pegawai dan pemain skuad Liga Super Kedah ditandatangani oleh KFA, tertuduh didakwa telah memasukkan namanya dalam penyata kredit gaji sebagai pemain bola sepak Liga Super Kedah dan menghantar dokumen itu ke CIMB Bank Bhd., Bangunan UMNO, Cawangan Alor Setar dan menerima gaji berjumlah RM5,817 itu.
Izhan pada Ogos 2007 turut didakwa mengulangi perbuatan tersebut membabitkan jumlah wang yang sama iaitu RM5,817.
Bagi pertuduhan ketiga pula, pada bulan September 2007, tertuduh didakwa dengan sengaja membuat bayaran balik kepada KFA wang gaji tiga pemain import yang keseluruhannya berjumlah RM64,392 sedangkan gaji bagi tiga pemain itu telah pun dibuat bagi bulan tersebut.
Tertuduh didakwa telah memasukkan namanya dalam Penyata Kredit Gaji Bulan September 2007 sebagai pemain bola sepak Liga Super Kedah dengan niat untuk memperoleh wang berjumlah RM64,392 itu.
Ketiga-tiga pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang dari 14 hari dan tidak lebih dari 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fieza Fazlin Fandi manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Ketua Pendakwa Syarie dipenjara 2 tahun, denda RM55,000


IPOH 13 Feb. - Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Shahrunnazri Abdul Samad hari ini dihukum penjara dua tahun dan denda RM55,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas empat tuduhan rasuah lima tahun lalu.

Shahrunnazri, 44, dijatuhi hukuman tersebut selepas Hakim Tan Hooi Leng mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Hooi Leng menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM25,000 bagi tuduhan pertama dan RM10,000 bagi setiap pertuduhan kedua, ketiga dan keempat.

Mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Shahrunnazri yang memaki baju kemeja warna biru nila dan ditemani ibu bapa serta keluarga, didakwa melakukan empat kesalahan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM5,000 daripada seorang anggota polis yang disyaki berkhalwat bersama pasangannya, lima tahun lalu.

Mengikut tuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan wang tunai RM5,000 daripada Mohamad Asri A. Bakar yang merupakan pengadu dalam kes ini di Restoran Capati Medan Gopeng, No. 41 dan 43, Medan Gopeng 1, di sini kira-kira pukul 11 pagi, 29 Julai 2007.

Tuduhan seterusnya, Shahrunnazri didakwa memperoleh suapan wang tunai RM1,000 menerusi akaun simpanannya daripada pengadu di Maybank Jalan Sultan Idris Shah, lebih kurang pukul 3.25 petang, 1 Ogos 2007.

Lelaki itu turut didakwa menerima suapan wang tunai RM2,000 melalui akaun simpanannya di Maybank Taman Ipoh Jaya di sini kira-kira pukul 11.30 pagi, 13 Ogos 2007.

Bagi tuduhan keempat, Shahrunnazri didakwa memperoleh suapan wang tunai RM2,000 melalui kaedah yang sama di Maybank Jalan Sultan Idris Shah di sini lebih kurang pukul 4.25 petang, 25 September 2007.

Hooi Leng turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Yusri Kamaruddin yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut sehingga rayuan didengar di Mahkamah Tinggi.

Dengan kebenaran itu, Hooi Leng juga menaikkan wang jaminan tertuduh daripada RM15,000 kepada RM20,000 dengan seorang penjamin.

Shahrunnazri telah digantung kerja dan hanya dibayar separuh gaji sejak perbicaraan kes tersebut berjalan pada 2008.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa.