 |
Sebahagian daripada GRO warga asing yang ditahan dalam Ops Noda yang dilancarkan di kawasan Pudu, Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 12 Feb. - Polis menggempur serentak tiga sarang maksiat di Pudu, Bukit Bintang dan Serdang Perdana di sini, dalam operasi besar-besaran dan berjaya menahan 104 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing, awal pagi ini.
Ops Noda bermula pada pukul 1 pagi itu turut melibatkan 25 pegawai dan 50 anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
Kesemua GRO terbabit terdiri daripada 42 warga Thailand, China (39), Vietnam (22) dan seorang warga Uganda yang berusia antara 16 dan 35 tahun.
Hasil pemeriksaan mendapati ada antara GRO berkenaan pernah lima hingga 10 kali keluar masuk ke negara ini dalam tempoh beberapa bulan lalu menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong.
Malah ada yang dikesan pernah ditangkap kerana menyalahgunakan pas itu dengan bekerja sebagai GRO dan dihantar pulang ke negara asal namun kembali melakukan kesalahan yang sama di sini.
Ketua Penolong Pengarah D7 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, serbuan dilakukan ekoran maklumat dan risikan berhubung kegiatan premis berkenaanyang mengupah wanita warga asing bekerja sebagai GRO.
Malah katanya, siasatan awal mendapati terdapat usaha pihak sindiket yang cuba membahagikan kawasan tersebut mengikut warganegara GRO terbabit.
"Misalnya kawasan Pudu dikuasai oleh GRO dari China, Serdang Perdana pula didominasi oleh GRO warga Vietnam manakala kawasan Bukit Bintang menampilkan GRO Thailand sebagai tarikan utama kepada pelanggan.
"Sehubungan itu, polis menggempur tiga lokasi tersebut iaitu sebuah restoran di Pudu, pusat hiburan tanpa lesen di Serdang Perdana dan pusat hiburan berlesen di Bukit Bintang bagi memastikan ia tidak terus dijadikan sebagai sarang maksiat yang didominasi oleh GRO berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Bintang di sini.
Tambahnya, ketiga-tiga lokasi yang menjadi tumpuan pelanggan untuk berhibur diambil kesempatan oleh GRO terbabit untuk menawarkan khidmat seks dengan bayaran antara RM150 dan RM300.
"Antara cara untuk menarik perhatian pelanggan adalah dengan membuat persembahan tarian di atas pentas," katanya.
Abdul Jalil memberitahu, pihaknya menyedari cabaran dan kesukaran untuk mengekang kegiatan GRO di kawasan berkenaan berikutan kedatangan mereka ke negara ini atas tiket pelancong.
"Justeru itu, apabila mereka memasuki negara ini, kita sukar untuk membuktikan tujuan mereka datang ke Malaysia sebenarnya adalah untuk bekerja sebagai GRO atau melakukan kegiatan tidak bermoral.
"Bagi menangani masalah ini, kita akan memberi cadangan kepada Jabatan Imigresen supaya membuat penyaringan lebih ketat di pintu masuk negara ke atas mana-mana wanita yang pernah ditahan kerana kesalahan bekerja sebagai GRO bagi menyekat kemasukan mereka semula," ujarnya lagi.
Menurut beliau, pelbagai laporan diterima daripada peniaga tempatan di sekitar Pudu mengenai kebanjiran GRO yang menggugat operasi perniagaan mereka.
"Peniaga menyatakan suasana menjadi tidak selesa untuk dikunjungi masyarakat tempatan mahupun pelancong.
"Justeru, bertindak atas laporan tersebut, serbuan dijalankan bagi membanteras kegiatan mereka," tegas beliau.
Katanya, sasaran seterusnya adalah bagi memastikan ketiga-tiga lokasi itu bersih daripada sebarang aktiviti tidak bermoral bagi menjadikan tempat itu sebagai tumpuan masyarakat dan pelancong.
"Sehubungan itu, kerjasama dan maklumat awam diperlukan bagi memudahkan polis menjalankan serbuan," katanya sambil memaklumkan operasi akan dijalankan dari semasa ke semasa.
Tambah Abdul Jalil, kebanyakan wanita yang ditahan tidak memiliki pasport dan sebahagiannya kerana menyalahgunakan pas lawatan dengan bekerja secara haram di negara ini.
"Kesemua warga asing yang ditahan itu kini disiasat mengikut Peraturan 39 (b) Akta Imigresen 1963 kerana bekerja tanpa sebarang dokumen sah dan juga di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:
'via Blog this'