Search This Blog

Sunday, February 12, 2012

Rotavirus: Keputusan punca jangkitan diketahui esok



12 Februari 2012
Rotavirus

GENTING HIGHLANDS - Keputusan awal mengenai punca kejadian jangkitan akut gastroenteritis (AGE) yang berlaku di kawasan Batang Padang dan Hilir Perak di Perak dijangka diketahui esok pagi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, pihaknya sedang bekerja keras untuk mengenal pasti punca kejadian dengan sepasukan anggota telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk
mengambil kira-kira 1,000 liter contoh air dari 24 kawasan yang dikenal pasti bagi dianalisa dan dikaji.

"Setakat ini keadaan adalah terkawal dan tidak ada kes baru yang dilaporkan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina bersama 500 kanak-kanak dan warga tua daripada 13 sekolah dan rumah kebajikan dalam kawasan Parlimen Bentong di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting hari ini.

Kejadian wabak itu yang berlaku sejak akhir bulan lepas mengakibatkan dua kematian dan demam ke atas lebih 2,200 orang kanak-kanak.

Rotavirus, sejenis virus dalam air adalah punca paling biasa penyebab kepada cirit-birit di kalangan bayi dan kanak-kanak.

Dalam pada itu, Liow berkata kementeriannya akan menimbang kemungkinan untuk menaikkan kadar kompaun bagi kesalahan membiak jentik-jentik Aedes sehingga RM500 bagi satu kesalahan berbanding RM100 ketika ini.

Langkah itu katanya, bagi menangani peningkatan mendadak jumlah kes denggi yang dilaporkan untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini.

"Sehingga hari ini sebanyak 2,854 kes denggi telah dikenal pasti dengan 11 kematian direkodkan, peningkatan ketara berbanding 2,781 kes dan enam kematian bagi tempoh sama tahun lepas.

"Jika ia berlarutan kementerian tiada pilihan lain selain meningkatkan kompaun tetapi setakat ini kami belum membuat sebarang keputusan mengenainya," katanya.

Liow berkata daripada jumlah itu, Selangor mencatat bilangan tertinggi iaitu 1,271 kes, hampir 50 peratus dari keseluruhan kes yang direkodkan dan kadar tersebut jauh berbeza berbanding Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di tempat kedua dengan 313 kes.

Beliau berkata penguatkuasaan sedemikian pernah dilakukan kementerian itu pada tahun 2010 di mana tindakan tegas menaikkan kompaun kepada RM500 telah
membantu mengurangkan kadar peningkatan kes denggi yang pernah mencapai 1,000 kes seminggu ketika itu.

"Kita bukan nak ambil penalti terhadap sesiapa. Kementerian Kesihatan bukan nak penalti orang. Kita nak nasihatkan mereka tetapi kadang-kadang orang tidak mahu dengar," katanya. - Bernama


Rotavirus: Keputusan punca jangkitan diketahui esok - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Sekurang-kurangnya 7 maut dalam runtuhan salji di Kosovo




2012/02/12

MITROVICA, Kosovo: Sekurang-kurangnya empat mayat ditemui selepas runtuhan salji melanda perkampungan di kawasan gunung selatan Kosovo menjadikan angka kematian kini tujuh orang.

Seramai tiga lagi masih dilaporkan hilang tetapi seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun berjaya diselamatkan dalam runtuhan berkenaan.

Pegawai Daerah, Behar Ramadani berkata, kanak-kanak itu diselamatkan pada kedalaman salji 10 meter selepas runtuhan berkenaan meranapkan tujuh rumah di perkampungan itu di Restelica, bersempadan dengan Macedonia dan Albania semalam. - AP
Rotavirus: Keputusan punca jangkitan diketahui esok - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pelajar, Pensyarah kolej swasta dikesan positif Chikungunya



12/02/2012 7:14pm

KUALA LUMPUR 12 Feb. — Sebanyak 22 pelajar dan pensyarah sebuah kolej swasta disahkan positif penyakit Chikungunya, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak itu kepada 23 kes setakat hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata, kes terbaru membabitkan 53 daripada 94 orang pelajar dan pensyarah sebuah kolej swasta di Kuang, Selangor, yang dikesan mengalami demam, sakit badan, sakit kepala, sakit sendi dan batuk, seminggu selepas balik dari berkursus di Pulau Pangkor.
"Hasil keputusan ujian makmal terhadap 53 sampel darah yang diambil daripada mereka yang mempunyai gejala-gejala dan mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), 22 kes telah disahkan positif untuk penyakit Chikungunya melalui ujian antibodi,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Hasan berkata, dua lagi sampel didapati negatif dan 29 lagi masih menunggu keputusan.
Manakala terdapat juga satu kes didapati positif untuk Leptospirosis, yang menunjukkan gejala hampir sama seperti Chikungunya.
Menurut Hasan, kes pertama penyakit Chikungunya tahun ini dilaporkan dari Johor pada 11 Februari lepas. — BERNAMA

Pemandu Maut Selepas Kereta Merempuh Pembahagi Jalan



KUALA LUMPUR: Seorang perunding kewangan maut setelah kereta yang dipandunya merempuh pembahagi jalan di KM12.5 Lebuhraya Maju Expressway dari arah Putrajaya menghala ke Bukit Jalil di sini, awal Ahad.
Chong Chung Hsien, 23, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superitendan Abdullah Roning berkata, dalam kejadian pada 2.40 pagi itu, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Vios dipercayai memandu dengan laju sebelum gagal mengawal kenderaannya dan merempuh pembahagi jalan di sebelah kanan lebuh raya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Rasuah: Rayuan Pengarah JPAM Kedah ditolak



12/02/2012 1:02pm

ALOR SETAR — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kedah, Mohamad Abdullah untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM21,200 bagi kesalahan rasuah.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata tiada alasan untuknya menerima rayuan itu kerana beliau mendapati hukuman yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini tidak melampau (berat).
Sehubungan itu, beliau berkata, sabitan dan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan ke atas Mohamad kekal.
Pada 29 Julai 2010, Mohamad dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM11,200 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda itu bagi tuduhan pertama dan penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau empat bulan penjara bagi tuduhan kedua.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.
Mohamad didapati bersalah memberi satu dokumen bertarikh 16 Feb 2005 kepada seorang pembantu tadbir JPAM negeri yang mengandungi butiran palsu memperakukan bahawa pembekal makanan, Mohd Roshid Hussain telah menyediakan 70 tempahan makanan untuk peserta Latihan Pertahanan Awam Unit Giat Mara Sungai Tiang berjumlah RM2,240 pada 17 hingga 20 Mac 2005, sedangkan tiada bekalan sedemikian.
Dia juga didapati bersalah melakukan perbuatan sama dengan memperakukan bahawa Mohd Roshid, 34, telah menyediakan 80 tempahan makanan untuk peserta Latihan Asas Intensif Unit Giat Mara Sungai Tiang berjumlah RM1,920 pada 19 hingga 21 Mei 2005. — BERNAMA

Tangan kanan hancur digilis mesin



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Februari 2012
Tangan kanan hancur digilis mesin
KUANTAN - Kehilangan tangan kanan akibat kemalangan di tempat kerja pada 2003 tidak melemahkan semangat Ahmad Ramli, 41, dari Felda Sungai Kemahal, Jerantut ­untuk berdikari dengan mengusahakan penternakan lembu bagi ­menampung kehidupan keluarganya.
Tragedi yang menyebabkan sebahagian tangan kanannya hancur akibat digilis mesin ketika bekerja di sebuah kilang percetakan di Batu Caves menyebabkan dunia kehidupannya berubah daripada insan ­normal menjadi Orang Kurang Upaya (OKU).
Kini, Ahmad yang memiliki 40 lembu serta dua pekerja OKU juga berhasrat menambahkan lagi jumlah ternakannya menerusi peruntukan geran RM70,000 yang diterima daripada Skim Bantuan Perniagaan OKU Peringkat Negeri.

Dia antara 12 penerima geran dari seluruh negeri ini yang terpilih menerusi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung.

Menurutnya, dia terharu kerana penantiannya berbaloi dan mula ­memohon sejak 2008 dan meng­hargai usaha kerajaan yang mem­bantu ­golongan sepertinya.

“Syukur kepada ALLAH SWT kerana saya sendiri tidak sangka ter­pilih dan peruntukan geran ini membantu mengurangkan beban dan ­memudahkan usaha saya.
“Saya bercadang menambahkan jumlah ternakan selain mempel­bagaikan lagi usaha seperti menambahkan baka, menghasilkan dedak sendiri dan menanam anak benih untuk meningkatkan lagi pen­dapatan,” kata bapa kepada empat anak itu.

Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Februari 2012
Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang
KUBANG PASU – “Tiba-tiba saya ternampak asap dan api kecil dari arah bilik tidur ayah sebelum cuba memadamkannya namun api mula marak beberapa minit kemudian,” kata seorang mangsa, Khairul Azhar Muhamad, 27, selepas tiga pintu rumah kedai termasuk rumah mereka terbakar di Kampung Pida Empat di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, tiga pintu kedai terdiri daripada kedai makan, kedai runcit termasuk rumah mangsa yang baru dibina empat tahun lalu musnah menyebabkan tiga beranak di situ tinggal sehelai sepinggang.

Bagaimanapun sewaktu kejadian, hanya mangsa berada di rumah sementara kedua-dua ibu bapanya pergi ke Wang Tepus melawat neneknya yang sakit.

Menceritakan detik cemas itu, Khairul Azhar yang leka menonton televisyen ketika itu berkata, dia tidak menyangka cubaan memadam api yang pada mulanya kecil itu kemudian bertukar menjadi marak dalam sekelip mata.

Menurutnya, bagaimanapun dia hanya sempat menyelamatkan diri, sebuah motosikal dan enam tong gas dari kedai runcit milik bapanya itu.

“Sebuah motosikal dalam rumah selain beberapa dokumen penting termasuk geran tanah tidak sempat diselamatkan kerana api marak dengan cepat,” katanya.

Bapanya, Muhamad Abdullah, 67, berkata dia yang menerima panggilan daripada anaknya segera pulang ke rumah namun tidak sempat berbuat apa-apa kerana keseluruhan rumahnya telah musnah.

Menurutnya, bagaimanapun dia bersyukur kerana anaknya selamat dan redha dengan apa yang berlaku.

“Kerugian yang dianggarkan melibatkan semua harta benda dalam rumah, di kedai makan dan kedai runcit melebihi RM50,000.

“Buat sementara waktu kami akan tinggal di rumah lama yang terletak kira-kira satu kilometer dari sini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mohd Isa berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.39 tengah hari dan tiba di tempat kejadian empat minit kemudian.

“Kebakaran melibatkan empat premis perniagaan terdiri daripada dua buah kedai makan dan masing-masing sebuah kedai runcit dan kedai gunting rambut,” katanya.

Hasbullah berkata, bomba berjaya memadamkan api sepenuhnya pada pukul 2.05 petang dengan menggunakan sumber air dari sungai berhampiran.

Terjun ala ‘Superman’



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Februari 2012
Terjun ala ‘Superman’
KUALA BERANG - Sebuah rumah seorang warga emas di Taman Indah Sari dipecah masuk kira-kira 11 pagi semalam.

Kejadian berlaku ketika Mandak Salleh, 67, pulang ke rumahnya untuk mengambil ubat kencing manis dan darah tinggi selepas dua hari bermalam di rumah anak perempuannya, Wan Faizatul Akmawati Wan Muda, 44, tidak jauh dari situ.

Menurutnya, ketika dia, anaknya, Wan Faizatul Akmawati dan menantunya Mabath Khan Silah Ayob, 48, tiba di rumah berkenaan, mereka dikejutkan dengan kelibat seseorang yang berada di dalam rumah, sedangkan tiada siapa yang menghuni rumahnya sejak dia tinggal bersama anaknya.

“Ketika makcik hendak membuka pintu utama rumah, menantu makcik, Mabath ternampak orang di dalam rumah seolah-olah cuba keluar dari kawasan ini.

“Kata Mabath, dia seolah-olah mengenali pencuri itu dan mendakwa sudah beberapa kali memecah masuk untuk mencuri,” katanya ketika ditemui rumahnya di sini semalam.
Mandak berkata, menantunya meminta Wan Faizatul Akmawati ke belakang rumah bagi mengepung pencuri itu sebelum memaklumkannya kepada polis.
“Dalam keadaan kelam kabut, Mabath nekad hendak masuk ke rumah itu untuk menangkap pencuri berkenaan. Dia meminta kunci rumah daripada isterinya yang ketika itu berada di belakang rumah,” katanya.

Bagaimanapun, ketika Wan Faizatul Akmawati menyerahkan kunci kepada suaminya, pencuri itu nekad terjun ala ‘Superman’ melalui tingkap dari rumah dua tingkat tersebut.

“Dalam sekelip mata sahaja, pencuri berkenaan hilang tanpa sebarang bunyi kerana setelah diperiksa di dalam rumah, dia sudah tiada,” katanya.

Sementara itu, Wan Faizatul Akmawati berkata, pencuri berkenaan mungkin masuk ke dalam rumah berkenaan melalui sisir angin bilik mandi kerana cermin tingkap tersusun di atas pagar dan kerusi diatur elok untuk memudahkannya memanjat masuk.
“Kejadian ini adalah kali keempat dan saya percaya ia kerja penagih dadah yang mahu mencuri barangan di dalam rumah ini ketika ibu saya tiada,” katanya.

Mangsa sudah membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang.

Kerugian RM3,000 lembu peliharaan hilang



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Februari 2012
Kerugian RM3,000 lembu peliharaan hilang
TANAH MERAH – Seorang penternak kerugian lebih RM3,000 apabila seekor lembunya hilang pada malam Jumaat lalu dekat Bukit Hangus.

Min Yusof, 62, berkata, keadaan tersebut amat merisaukannya kerana lembu ternakan sering dibiarkan berkeliaran di kawasan tersebut pada waktu malam kerana lebih lapang.

Menurutnya, pada malam tersebut lima lembunya ditambat satu kilometer dari kawasan Bukit Hangus manakala 11 lagi dilepaskan.

“Ketika datang menjenguk lembu ternakan, saya rasa tidak sedap hati apabila lihat kurang seekor, apabila meninjau kawasan sekitar tetapi tidak jumpa juga saya terus membuat laporan polis di balai berdekatan.

“Saya mahu masalah ini diselesaikan secepat mungkin, kerana tidak mahu masalah kehilangan lembu semakin berleluasa lebih-lebih lagi di kawasan ini,” katanya.

Min berkata, lagipun kawasan tersebut banyak berlaku kes kecurian dan sebagainya kerana berada di kawasan pendalaman dan jauh dari penempatan.

Katanya, kes kehilangan lembu miliknya adalah kali pertama berlaku sejak lima tahun dia menternak haiwan tersebut.
“Sebelum sudah ada yang menawarkan hendak membeli lembu tersebut dengan nilai RM4,000 namun saya tidak mahu kerana sayang. Tidak sangka kejadian seperti ini akan berlaku kerana sudah biasa menambat dan membiarkannya di kawasan tersebut.

“Pagi selepas lembu hilang saya terus tinjau tempat tersebut dan mendapati ada kesan tempat menyembelih lembu, dan saya percaya ia adalah ternakan saya yang hilang tersebut,” katanya.

Anggota polis mati lemas, dua anak tiri masih lemas




12 Februari 2012
KUANTAN - Seorang anggota polis mati lemas manakala dua anak tirinya masih belum ditemui ketika mereka mandi-manda di Pantai Kampung Budaya Cherating, dekat sini, petang semalam.

Mayat Lans Koperal Asri Kamis, 28, yang bertugas di Balai Polis Mentakab ditemui orang ramai berhampiran kuala Sungai Cherating iaitu kira-kira lima kilometer dari pantai tersebut pada pukul 6.50 petang.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata kedua-dua anak tiri mangsa iaitu Muhammad Hasryzam Hasry, 15, dan Muhammad Hairul Nizam Hasry, 14, bagaimanapun masih belum ditemui sehingga kini.
Katanya mangsa bersama lima anggota keluarganya datang ke pantai berkenaan pada pukul 4.15 petang sebelum kedua-dua anak tirinya itu turun mandi

berhampiran Chalet Duyung pada pukul 4.45 petang dan kemudian diikuti oleh Asri. Menurut isteri mangsa, Norsaharulizam Osman, 32, ketika suami bersama dua anak lelakinya itu sedang mandi, dia membawa dua anak perempuannya yang berusia
11 dan enam tahun pergi mandi di kawasan berhampiran.  

"Ketika pukul 5.30 petang saya tidak nampak kelibat suami dan anak-anak di pantai jadi saya ingatkan mereka sudah naik ke darat dan saya pun bawa anak-anak perempuan pergi mandi," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Katanya sebaik sahaja kembali ke tempat mereka berkelah, dia mendapati orang ramai dan anggota polis berkerumun di situ sebelum dia diberitahu bahawa suaminya lemas manakala dua anaknya hilang.
Mohd Jasmani berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan kemudian dibawa ke kampung halamannya di Kampung Jening, Gurun, Kedah untuk dikebumikan.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa sedang giat dilaksanakan oleh 150 anggota yang terdiri daripada Polis Marin, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Rela dan penduduk kampung seawal pukul 8 pagi ini.- Bernama

Lelaki khayal mengamuk



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Februari 2012
Lelaki khayal mengamuk
RAUB – Seorang lelaki ber­usia 30-an ditahan polis Raub berikutan tindakan luar kawalnya mendatangkan kecederaan kepada kakaknya sendiri.

Ketua Polis Daerah, Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kakak suspek menasihatinya supaya tidak lagi mengambil minuman keras atau menghidu gam sehingga menyusahkan keluarga.

Menurutnya, difahamkan suspek bertindak memukul belakang kakaknya yang berusia 30-an selepas dipercayai berlaku pertelingkahan antara mereka.

“Pengadu terpaksa mengambil tindakan membuat laporan di Balai Polis Raub kerana tidak tahan sering menjadi mangsa dipukul setiap kali adiknya itu ketagihan gam dan mabuk.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan boleh dikenakan hukuman ­sehingga tiga tahun penjara atau denda jika disabitkan ­kesalahan,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, lelaki itu dituduh di Mahkamah Majistret Raub dan dibenarkan jaminan RM3,000 sebelum diarahkan hadir semula perbicaraan pada 6 Mac nanti.

Katanya, kes ini adalah ­salah satu daripada banyak ­laporan lagi direkodkan berkaitan perlakuan kekerasan terhadap ahli keluarga dan ­komuniti sendiri akibat daripada ketagihan dadah atau gam serta pengambilan ­minuman keras.

“Suasana seperti ini menunjukkan institusi ­kekeluargaan dan kemasyarakatan kian rapuh disebabkan penularan gejala negatif seperti penyalah­gunaan ­dadah, gam atau mabuk.

“Kecenderungan ini juga mengakibatkan peningkatan kadar jenayah harta benda atau ­tubuh badan dan pihak terlibat seperti jabatan berkaitan dan masyarakat setempat perlu ­mengambil serius per­kara ini serta mencari usaha mengekangnya daripada terus ber­leluasa,” katanya.

Beliau berkata, lazimnya perkara seperti ini sampai kepada polis pada tahap tindakan ­penguatkuasaan dan masyarakat perlu sedar ­bahawa pencegahan perlu bermula dari awal dengan kerjasama pihak berkaitan.

Beliau berharap masyarakat setempat dapat memanfaatkan talian kilat polis Raub menerusi 09-3554999 sekiranya terdapat sebarang kecemasan atau menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan komuniti.

Tiga sekawan merompak dipenjara 15 tahun, 8 sebatan



WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Februari 2012
KOTA BHARU - Tiga sekawan dijatuhi hukuman 15 tahun penjara dan lapan sebatan setiap seorang selepas mengaku bersalah merompak secara berkumpulan di Pasir Puteh.
Hukuman tersebut diputuskan hakim Mahkamah Sesyen, Azman Mustapha hari ini terhadap Rishairul Anwar,28, Lukman,26 dan Amrizal,28 yang masing-masing berasal dari Indonesia serta bekerja sebagai buruh.

Bumbung rumah sewa runtuh, 11 pelajar Malaysia selamat



12 Februari 2012

JAKARTA - Kira-kira 30 mahasiswa wanita termasuk 11 mahasiswa dari Malaysia terselamat daripada sebarang kecederaan apabila bumbung bahagian hadapan rumah sewa yang mereka diami di Grogol, Jakarta Utara, di sini tiba-tiba runtuh tengah malam tadi.

Kejadian di rumah dua tingkat di Jalan Tawakal 6, A-B, Grogol itu dipercayai berlaku kerana tiang penyangga kayu bahagian hadapan rumah itu yang reput tidak lagi mampu menampung beban sehingga mengakibatkan bumbung bahagian depan rumah itu runtuh.

Atase Pendidikan yang juga Setiausaha l (Pendidikan) Education Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di sini, Ludinata Misnun berkata runtuhan bumbung itu telah menutup pintu keluar rumah berkenaan sehingga memaksa para penghuni memecah tingkap di salah sebuah bilik di tingkat bawah untuk keluar menyelamatkan diri.

Hanya bahagian hadapan bumbung rumah itu yang runtuh, katanya di sini pada Ahad.

Kira-kira 30 mahasiswa wanita Universiti Trisakti, termasuk 11 dari Malaysia menyewa bilik-bilik yang terdapat di rumah itu. Penghuni lain ialah mahasiswa dari Indonesia.

Ludinata berkata berikutan kejadian itu, kesemua 11 pelajar Malaysia terbabit kini menumpang di rumah rakan-rakan pelajar Malaysia yang lain di sekitar kampus Universiti Trisakti.

Katanya pihaknya dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia akan menempatkan sementara 11 pelajar terbabit di Malaysia Hall Jakarta agar mereka lebih selesa, lebih-lebih lagi sebahagian besar pelajar itu akan menghadapi peperiksaan pada minggu hadapan.

Beliau berkata pihaknya dan kedutaan akan terus memantau keadaan mahasiswa Malaysia di republik ini bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terus terpelihara. - Bernama

Rasa bahang panas sebelum terjaga tidur

ALOR SETAR: “Ketika itu, saya rasa bahang panas sebelum terjaga apabila mendengar jeritan jiran lalu bergegas naik ke tingkat atas untuk mencari isteri dan anak tetapi mendapati mereka tiada di dalam rumah.”

Begitu kata pemandu lori, Norazman Zakaria, 34, yang berjaya menyelamatkan diri daripada rentung apabila tingkat atas rumah sewanya musnah dalam kebakaran di Taman Nuri, dekat sini, semalam.


Dalam kejadian jam 9.30 pagi, tingkat atas sebuah rumah musnah manakala rumah bersebelahannya hanya terkena tempias selepas berjaya diselamatkan anggota bomba yang tiba sejurus menerima panggilan daripada orang ramai.

Menurutnya, isterinya, Rossila Effendy, 28, mengejutkannya sebelum kejadian ketika dia mahu menghantar anak lelaki, Afiq Zulkafli, 6, ke tadika, tetapi terlelap semula hingga dikejutkan jiran yang menyedari kebakaran berlaku di rumahnya.


“Terkejut dengan jeritan jiran serta rasa panas dalam rumah, saya bergegas bangun dan berlari ke bahagian atas rumah kerana menyangkakan anak dan isteri berada di atas sebelum keluar menyelamatkan diri selepas mendapati mereka tiada.


“Jika bukan kerana tindakan pantas jiran memanggil dan memecah masuk ke dalam rumah ini, mungkin saya sudah rentung,” katanya ketika ditemui di sini.


Menurutnya, isterinya memberitahu, dia sudah memastikan semua barangan elektrik seperti seterika atau ubat nyamuk dipadam sebelum keluar rumah.


Katanya, selepas kejadian itu, mereka sekeluarga mungkin terpaksa menumpang di rumah kakaknya di Taman Jaya, dekat sini.

Saksi, Ramli Mat, 48, berkata dia menyedari rumah terbabit terbakar ketika berada dalam bilik di bahagian atas rumahnya yang terletak tidak jauh dari situ.


Menurutnya, dia bersama jiran lain berlari ke rumah berkenaan dan mengumpil pintu jeriji untuk memastikan tiada penghuni di dalamnya.


“Kami terkejut apabila mendapati mangsa tidur dalam rumah tanpa menyedari api marak di bahagian atas rumah itu, dan memintanya keluar menyelamatkan diri,” katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Mahmad Fauzi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.44 pagi dan tiba di tempat kejadian lapan minit kemudian.


“Api dipercayai bermula di bahagian atas rumah teres dua tingkat ini yang mempunyai tiga bilik, namun dengan kecekapan dan kepantasan 16 anggota bomba serta dua jentera, api berjaya dikawal 10 minit kemudian,” katanya.

myMetroRasa bahang panas sebelum terjaga tidur:

'via Blog this'

Unit kediaman hangus

Oleh ZAITIE SATIBI
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Kemeriahan pengunjung membeli-belah dan mencuci mata di Jalan Masjid India, di sini, semalam dikejutkan dengan bunyi siren tiga jentera bomba apabila satu unit kediaman di tingkat lapan pangsapuri Selangor Mansion di kawasan pusat beli-belah terkemuka ibu kota itu terbakar.

Kejadian jam 10.15 pagi itu menyebabkan orang-ramai gempar kerana bimbang kebakaran di tingkat atas pangsapuri tertua di ibu negara itu merebak ke bangunan lain berikutan kedudukannya di tengah-tengah kawasan pusat beli-belah.


Pelajar kolej, Nor Aisyah Kamarudin, 20, berkata, dia sibuk memilih baju di kedai kain berhampiran pangsapuri itu apabila melihat orang ramai riuh dan berlari-lari sambil mendongak ke atas.

“Saya segera keluar dari kedai sebelum ternampak asap tebal dari sebuah kediaman di tingkat atas pangsapuri itu.


“Saya sangka ia mungkin hanya kebakaran biasa. Bagaimanapun, tidak lama kemudian tersentak apabila terdengar letupan kecil dan mendapati api mula marak,” katanya.


Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, tiga jentera masing-masing dari balai Jalan Hang Tuah, Sentul dan Chow Kit bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 10.29 pagi.


“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati api marak di kediaman berkenaan yang dipercayai tidak berpenghuni dan api dapat dikawal dalam 15 hingga 30 minit.


“Siasatan lanjut dijalankan forensik kebakaran untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Sementara itu, 100 buruh kontrak warga asing hilang tempat tinggal apabila enam kontena yang mereka diami di tapak kawasan pembinaan sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya, musnah dalam kebakaran jam 11.20 pagi semalam.


Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Damansara Utama, Shamsul Anuar Antang berkata, dua jentera, termasuk dari balai Sungai Buloh, bersama tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 11.28 pagi.


Menurutnya, ketika bomba tiba di tempat kejadian, api marak namun buruh warga asing terbabit sempat menyelamatkan diri dan membawa bersama dokumen penting, perkakas elektrik dan perabot.


“Tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kontena lain yang turut dijadikan kediaman pekerja warga asing terbabit.


“Api padam sepenuhnya jam 12 tengah hari. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih disiasat,” katanya.
myMetroUnit kediaman hangus:

'via Blog this'

Wanita jual VCD cetak rompak ditahan

TUMPAT: Selain cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) terbaru filem Hollywood, peniaga VCD dan DVD cetak rompak di negeri ini kini mengambil kesempatan menjual lagu dikir barat moden selepas mendapati lagu dinyanyikan penyanyi tempatan itu mendapat sambutan.

Difahamkan, peniaga kebiasaannya membeli sekeping VCD atau DVD tulen di kedai sebelum membuat salinan sendiri.


Dengan modal tidak sampai RM1, mereka akan menjualnya dengan harga antara RM5 hingga RM7 bagi sekeping VCD atau DVD cetak rompak berbanding yang tulen iaitu sekitar RM12 sekeping.

Ketua Cawangan Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan (Kelantan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ngeh Kiet Fock berkata, pihaknya menyedari keadaan itu dan membuat operasi di pasar malam, di sini, petang kelmarin, bersama Rakan Bistari iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani masalah cetak rompak.


Katanya, operasi terbabit juga disertai penerbit lagu dikir barat tempatan daripada beberapa syarikat seperti Sinar Ilham, Etnik Production dan Seri Tanjong serta penyanyi dikir barat moden terkenal, Man Khan.


“Dalam operasi itu, kita menahan seorang wanita berusia 30-an yang didapati menjual VCD dan DVD cetak rompak lagu dikir barat moden penyanyi tempatan.

myMetro Wanita jual VCD cetak rompak ditahan:

'via Blog this'

Dadah dalam kotak pengisar

SEPANG: Tiga lelaki warga asing ditahan secara berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, selepas dipercayai menyeludup dadah jenis ketamin dan syabu bernilai RM1.68 juta ke negara ini.

Dalam kes pertama, seorang lelaki warga India berusia 38 tahun yang tiba dari Hyderabad, India, ditahan pada 1 Februari lalu selepas menyembunyikan ketamin seberat 7.95 kilogram (kg) bernilai RM1.43 juta dalam sebuah kotak mengandungi alat pengisar.


Timbalan Pengarah Kastam KLIA, Siti Baya Berahan berkata, sebaik kotak itu melalui mesin pengimbas, ia menunjukkan imej meragukan dan pegawai kastam meminta suspek membukanya.

“Pemeriksaan terperinci dilakukan kemudian menjumpai dua bungkus dadah disorok di ruang paling bawah kotak itu,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA, semalam.


Dalam kes kedua, seorang lelaki warga Nigeria berusia 27 tahun menaiki pesawat dari Lagos, Doha, ditahan pada jam 11 malam, Khamis lalu kerana menyembunyikan dadah dengan cara menelan 75 ketulan kecil kondom berbalut plastik disyaki berisi syabu.


Menurutnya, lelaki itu dikesan membawa dadah ketika melakukan imbasan badan, sekali gus menemui imej meragukan dalam perut suspek.

“Suspek dirujuk ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan lanjut bagi mendapatkan dadah di dalam perutnya melalui kaedah buang air besar.


“Setakat ini, lelaki itu mengeluarkan 35 ketulan kecil kondom yang disyaki mengandungi dadah dan kita dang menunggu baki 40 ketulan lagi. Semua dadah yang dikeluarkan itu bernilai RM200,000,” katanya.

Dalam kes ketiga, seorang lelaki warga Bangladesh tiba dari Dhaka ditahan pada jam 2.20 pagi kelmarin kerana membawa masuk syabu seberat 6.15 kg bernilai RM1.5 juta dengan menyembunyikannya dalam ruang khas di dalam dua bagasi.


Siti Baya berkata, hasil pemeriksaan pada bagasi pertama mendapati ruang bawah beg itu ditutup rapi dan apabila dibuka, ditemui satu lapisan keras mengandungi serbuk kristal putih dipercayai dadah.


“Pemeriksaan pada bagasi kedua pula mendapati wujud ruangan berasingan dan pada setiap ruang itu mengandungi serbuk kristal putih yang dipercayai syabu,” katanya.


Katanya, bagi kes pertama, suspek ditahan reman selama 14 hari untuk tujuan siasatan, manakala suspek kes kedua dan ketiga ditahan reman selama tujuh hari.


Ketiga kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.


Sementara itu, beliau berkata, bermula 1 Januari hingga Jumaat lalu, sebanyak enam kes penyeludupan dadah di KLIA dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) berjaya dipatahkan.


“Ia membabitkan 34.8 kg dadah pelbagai jenis bernilai RM6.85 juta,” katanya.

myMetroDadah dalam kotak pengisar:

'via Blog this'

Armiyati maut, motosikal bapa gesel treler

11 Februari 2012
KUALA LUMPUR - Seorang gadis maut digilis sebuah treler apabila motosikal yang ditunggangi bersama bapanya bergesel dengan kenderaan itu di Kilometer 9 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika Armiyati Ajis, 25, yang membonceng motosikal itu, dalam perjalanan ke Batu Caves dengan bapanya.

"Mangsa maut di tempat kejadian akibat digilis di seluruh badan manakala bapanya dan pemandu treler tidak cedera," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati treler itu dipandu laju di lorong tengah laluan.

Abdul Rahim berkata mayat Armiyati dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai hingga menyebabkan kematian, katanya. - Bernama
Armiyati maut, motosikal bapa gesel treler - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bayi mati tersedak susu, ibu bapa mahu saman HSA



11 Februari 2012

JOHOR BAHRU - Ibu bapa bayi yang meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di Hospital Sultanah Aminah (HSA), akan mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital itu.

Cassindra Gelungan, 24, dan suaminya Jacbeline Jemmy, 22, mendakwa terdapat kecuaian manusia di pihak hospital itu yang menyebabkan anak sulung mereka Angel Cassandra Jacbeline meninggal dunia.

Cassindra berkata bayinya itu lahir sebulan lebih awal pada 4 Feb dan tidak mengalami sebarang komplikasi selama empat hari selepas itu.

"Bagaimanapun, doktor memberitahu oleh kerana anak kami lahir pramatang, dia perlu diletakkan di bawah perhatian hospital.

"Apabila melawat anak kami pada 8 Feb kami dapati ada kesan susu kering pada bibirnya dan mukanya kelihatan pucat," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Nusantara hari ini.

Beliau mendakwa jururawat menggunakan cawan kecil untuk menyusukan bayinya dan bukan botol susu. Bayi itu juga tidak diletakkan dalam inkubator walaupun lahir pramatang.

"Angel diletakkan hanya semeter daripada kaunter jururawat, bagaimana mereka tidak perasan anak saya tersedak susu. Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Rabu lepas kerana menghadapi masalah pernafasan," katanya.

Angel meninggal dunia pada pukul 4.20 petang Khamis dan keluarganya dimaklumkan 25 minit selepas itu.

Cassindra berkata tindakan undang-undang itu dibuat bagi mencari kebenaran di sebalik kematian anaknya itu.

Pengarah Kesihatan Johor Dr Khairy Yaakob ketika dihubungi berkata satu jawatankuasa khas akan ditubuh untuk menyiasat kejadian itu.

"Saya ucapkan takziah kepada keluarga berkenaan dan jabatan akan membuat siasatan bagi mencari kebenaran di sebalik kejadian itu," katanya. - Bernama