Search This Blog

Saturday, February 11, 2012

Guna pistol kutip hutang


MOHD FIRDAUS YON
10 Februari 2012
Guna pistol kutip hutang

JOHOR BAHRU – Tindakan ganas seorang lelaki yang mahu mengutip hutangnya dengan mengeluarkan sepucuk pistol akhirnya membawa padah apabila ditahan polis dalam kejadian di Taman Bukit Jaya, Bukit Siput, Segamat, 29 Januari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokthar Mohd Shariff berkata, suspek berusia 39 tahun dikatakan bertengkar dengan mangsa sebelum mengeluarkan senjata itu dan melepaskan tembakan mengena rumah bersebelahan.

“Suspek ditahan di Plaza Tol Sedenak, Kulaijaya dan hasil pemeriksaan polis menemui sepucuk pistol Semi Auto bersama tiga butir peluru. Dia dipercayai datang ke rumah mangsa untuk mengutip hutang secara mengugut.

"Hasil tindakan pantas polis, dia ditahan dan polis menemui pistol berserta peluru dalam keretanya,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, semalam.

Menurutnya, suspek memiliki dua rekod jenayah iaitu Seksyen 4A(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Akta Dadah Berbahaya di Segamat selain direman sehingga 12 Februari ini.

Mohd Mokhtar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan boleh dipenjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

“Suspek juga ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi (penalti lebih berat) dan Seksyen 8(a) akta sama kerana memiliki pistol berkenaan berserta peluru.

“Ini mungkin gaya baru mereka yang melakukan kerja kutip hutang. Bagaimanapun, mereka harus ingat bahawa negara ini ada undang-undang. Jika mahu bebas menggunakan pistol, duduklah di negara lain,” katanya.

Guna pistol kutip hutang - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tidak mengaku salah rogol kakak ipar OKU


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Februari 2012
Tidak mengaku salah rogol kakak ipar OKU

KUALA TERENGGANU - Akibat tidak dapat mengawal nafsu, seorang lelaki sanggup merogol kakak iparnya sendiri yang juga orang kurang upaya (OKU).

Bagaimanapun, keseronokannya hanya seketika apabila tertuduh, Che Rohimi Che Rahim, 34, berjaya dicekup polis dan akhirnya dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah merogol kakak iparnya yang berusia 32 tahun pada 24 Januari lalu antara jam 12 hingga 12.01 pagi di sebuah rumah di Bukit Tunggal.

Dengan itu, dia telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebat jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamaruddin, yang kemudiannya menetapkan 15 Mac depan sebagai tarikh sebut semula.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmud @ Mamat.

Tidak mengaku salah rogol kakak ipar OKU - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Curi pisau, sudu demi kedai kopi


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Februari 2012
Curi pisau, sudu demi kedai kopi

GEORGETOWN – Seorang peniaga kedai kopi mengaku terpaksa mencuri barangan di sebuah pasar raya semata-mata untuk kegunaan kedai kopinya.

Tertuduh, Syamsuardy Agus, 44, dalam kandang tertuduh mengaku mencuri sembilan sudu, 11 pisau pemotong kek, 11 pisau pelbagai jenama serta satu minyak rambut jenama Gatsby.

Dia yang mempunyai taraf penduduk tetap (PR) di negara ini melakukan kesalahan itu pada 7 Februari lalu di Pasaraya Plaza Penang Jalan Burmah pada jam 12 tengah hari.

Dalam fakta pertuduhan, pihak petugas pasar raya berkenaan mencurigai tingkah laku tertuduh apabila tidak membuat sebarang pembayaran namun, keluar begitu sahaja dari pasar raya dengan memegang sebuah beg kertas.

Kesemua nilai barangan curi itu berjumlah RM316.70 dan ditemui ketika pengawal keselamatan membuat pemeriksaan dalam beg kertas tertuduh yang dibawa keluar.

Akibat kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut 380 Kanun Keseksaan dan sekiranya bersalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tidak lebih 10 tahun atau boleh dikenakan denda.

Sementara itu sekiranya ia adalah kesalahan kedua, pesalah boleh dipenjara dan denda atau kedua-duanya sekali.

Dia yang kemudiannya mengaku bersalah merayu supaya hukuman direndahkan kerana terpaksa mencuri demi kedai kopinya.

“Tolonglah rendahkan hukuman saya, saya mempunyai tanggungan dan sudah empat bulan saya tidak bekerja.

“Kesemua barangan yang saya curi adalah untuk kedai kopi saya, jika saya tidak bekerja siapa lagi yang akan menanggung keluarga saya.

“Puan, saya juga menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, banyak duit hendak digunakan untuk penyakit saya ini,” katanya.

Ketika di kandang tertuduh, Syamsuardy juga mengakui dia mempunyai hutang sebanyak RM1,800 namun tidak mampu membayarnya.

“Saya ada minta pada kawan namun tiada siapa yang mahu memberikan saya duit,” katanya.

Majistret Noor Aini Yusof kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama empat bulan kepada tertuduh bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 7 Februari lalu.

Curi pisau, sudu demi kedai kopi - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

140 Pati Myanmar dijatuhi hukuman penjara


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Februari 2012
140 Pati Myanmar dijatuhi hukuman penjara

KUAH - Seramai 140 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) sejak Disember lalu hingga Januari, dijatuhi hukuman penjara lima bulan.

Ketua Penguat kuasa Wilayah Maritim Utara, Laksamana Maritim Tan Kok Khee berkata, hukuman itu dijatuhkan Mahkamah Majistret Langkawi Selasa lalu.

“Tujuh lagi Pati Myanmar yang di bawah umur diserahkan kepada Jabatan Imigresen bagi tujuan pengusiran,” katanya.

Menurutnya, 89 orang yang ditahan pada 1 Disember lalu dituduh mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan dijatuhi hukuman penjara lima bulan bermula tarikh tangkapan.

“Dua orang diserah kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran kerana masih bawah umur,” katanya.

Kok Khee berkata, seramai 51 orang lagi yang dikenakan hukuman penjara lima bulan itu ditahan pada 18 Januari dan dituduh mengikut seksyen sama, lima lagi diserah kepada Jabatan Imigresen.

140 Pati Myanmar dijatuhi hukuman penjara - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Penghuni nyaris maut rumah terbakar di Alor Setar



11 Februari 2012

ALOR SETAR - Seorang penyewa sebuah rumah dua tingkat di Taman Nuri di Jalan Datuk Kumbar di sini nyaris maut apabila rumah itu terbakar pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, Nor Azman Zakaria, 34, sedang tidur seorang diri dan hanya sedar ketika pintu rumahnya diketuk jiran.

"Ketika bangun saya nampak api sedang marak di bahagian atas rumah. Saya segera keluar mengambil air untuk cuba memadam api, namun api marak terlalu cepat.

"Saya hanya sempat menyelamatkan barang-barang yang ada di ruang tamu," katanya.

Pihak bomba menghantar dua jentera dan 16 anggota untuk memadam kebakaran.

Penghuni nyaris maut rumah terbakar di Alor Setar - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pekerja kontrak putus tangan


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Februari 2012
Pekerja kontrak putus tangan

IPOH - Seorang pekerja kontraktor putus tangan kiri selepas dipercayai diserang sekumpulan lima lelaki berhampiran Pangsapuri First Garden, Silibin, kelmarin.

Lebih malang lagi, beberapa bahagian badannya termasuk muka turut cedera akibat diserang kumpulan lelaki terbabit.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Nantha Kumar, 41, kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Permaisuri Bainun Ipoh (HRPB) akibat kecederaan tersebut.

Pihak HRPB juga gagal menyambung tangan kiri mangsa yang putus akibat serangan itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam kira-kira jam 8.30 malam berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, selepas menerima laporan sebuah unit peronda polis (MPV) bersama pegawai penyiasat dihantar ke kawasan kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Ketika tiba di tempat kejadian pihak kami mendapati terdapat seorang lelaki cedera parah dipercayai diserang menggunakan senjata tajam.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyerang mangsa akibat masalah yang berkaitan dengan dadah.

“Bagaimanapun, suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an itu berjaya ditahan di kawasan perumahan dekat Buntong jam 9.45 pada malam yang sama,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, suspek dan mangsa masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu polis menjalankan siasatan berhubung kes itu.

“Pihak polis juga sedang mengenal pasti dan mengesan beberapa individu yang terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa yang hanya dikenali sebagai Susilawaty, 40-an ketika ditemui di HRPB turut menceritakan detik cemas yang menimpa suaminya.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, suaminya diserang sehingga cedera parah oleh sekumpulan lelaki.

Katanya, suaminya sempat memberitahu dia diserang lima lelaki menaiki kereta menggunakan pisau.

“Seminggu sebelum kejadian, memang ada beberapa individu datang meminta wang RM500 daripada suami.

“Bagaimanapun suami saya merayu diberikan tempoh masa sedikit masa lagi untuk membayar hutang itu memandangkan pekerjaan dan gajinya yang tidak menentu.

Menurutnya, dia terkejut apabila suaminya diserang sebelum dihantar ke HRPB untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Sekarang siapa yang akan menanggung kehidupan keluarga kami memandangkan tangan suami saya sudah kudung,” katanya yang sedih akan kejadian tersebut.

Pekerja kontrak putus tangan - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pencuri kereta mewah kantoi


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Februari 2012
Pencuri kereta mewah kantoi

SEREMBAN - Seorang lelaki dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri kereta ditahan dalam serbuan di sebuah rumah dekat Taman Dusun Nyior, di sini semalam.

Lelaki berusia 25 tahun itu juga disyaki terlibat dalam kes curi kereta milik Setiausaha Politik Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Dalam serbuan kira-kira 8.30 pagi itu, lelaki berkenaan turut mengeluarkan pisau Rambo sebaik saja menyedari kehadiran anggota polis.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, berikutan suspek yang mula bertindak ganas menyerang anggota polis, anggotanya terpaksa melepaskan tembakan ke arah penjenayah terbabit.

Beliau betkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Aman dan Negeri Sembilan, hasil daripada maklumat orang ramai.

Semasa serbuan, katanya, suspek bersama seorang lagi lelaki berada dalam rumah.

“Disebabkan suspek enggan memberi kerjasama sehingga berani menyerang anggota kita, polis melepaskan satu das tembakan dan mengenai kaki suspek. Bagaimanapun, rakan suspek itu berjaya melarikan diri melalui pintu belakang,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk mendapatkan rawatan susulan.

Menurutnya, pihak polis menemui sebuah kereta jenis Proton Perdana milik setiausaha politik menteri terbabit di kawasan rumah berkenaan, selain sebuah kereta BMW yang dilaporkan hilang di Ulu Tiram, Johor, dekat sebuah rumah yang berasingan,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini semalam.

Osman berkata, polis masih menyiasat kes berkenaan termasuk mengenal pasti sama ada suspek yang diberkas bergerak sendirian atau mempunyai kaitan dengan sindiket curi kenderaan

Pencuri kereta mewah kantoi - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Hasil titik peluh tinggal debu


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Februari 2012
Hasil titik peluh tinggal debu

PEKAN - Seorang warga emas sayu melihat rumah yang dibinanya sendiri pada 1970 hasil pendapatan selama 10 tahun sebagai tukang kayu termasuk membuat bot nelayan hangus dijilat api dalam sekelip mata.

Dalam kejadian di Kampung Sepauk, Nenasi, dekat sini, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, Chik Sulong, 77, tinggal sehelai sepinggang dan kerugian lebih RM150,000 setelah rumah papan yang diperbuat dari kayu cengal serta balau musnah dalam masa tidak sampai 10 minit.

Menurutnya, kenangan membina kediaman sendiri untuk tempat berteduh bersama keluarga kini hanya tinggal kenangan.

“Saya reda dengan apa yang berlaku walaupun terlalu sukar untuk diterima terutama dalam sekelip mata semua harta benda, wang tunai RM800 dan rumah tempat berteduh kini menjadi abu.

“Ini dugaan yang begitu berat terpaksa saya hadapi dan betul-betul menguji kesabaran. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Chik berkata, dia tinggal bersama anak dan cucunya di rumah itu, tetapi semasa kejadian dia berada di rumah anaknya yang lain terletak kira-kira lima meter dari rumahnya.

Menurutnya, dia difahamkan api bermula dari bilik bahagian depan berkemungkinan akibat litar pintas, tambahan cuaca panas dan angin kencang semasa kejadian menyebabkan api cepat merebak dan sukar dikawal.

Katanya, usaha memadam kebakaran mengambil masa kira-kira 15 minit oleh anggota Bomba dan Penyelamat Balai Nenasi. Bagi anak mangsa, Shamsulkala, 45, berkata, kejadian begitu pantas menyebabkan usaha memadam api yang dilakukan penduduk setempat tidak berhasil.

Menurutnya, jiran hanya mampu menyelamatkan peti sejuk dan tong gas, sementara semua perabot dan peralatan termasuk dokumen penting seperti geran tanah, buku bank serta Mykad terbakar.

“Walaupun semua harta benda musnah, tetapi saya bersyukur ayah selamat walaupun ketika kejadian, saya resah kerana menyangka ayah terperangkap dalam rumah.

“Rumah tempat saya dan adik-beradik lain membesar kini hilang sekelip mata, yang tinggal hanyalah kenangan pahit melihat tapak rumah kosong dan hanya tinggal abu,” katanya.

Hasil titik peluh tinggal debu - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Dua penjenayah hati kering


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Februari 2012
Dua penjenayah hati kering

MENTAKAB – Dua penjenayah berhati kering sanggup memecah masuk tiga rumah dalam tempoh tiga tengah hari, kelmarin.

Dua lelaki berkenaan yang menaiki sebuah kenderaan sukan pelbagai guna (SUV) jenis Honda CRV dipercayai menggunakan modus operandi meninjau rumah yang pemiliknya keluar bekerja sebelum melakukan kegiatan jenayah tersebut.

Dalam kejadian kelmarin, tiga rumah masing-masing satu di Taman perumahan Bendera Intan, Taman Rimba dan Sempalit di sini dipecah masuk mengakibatkan kerugian lebih RM20,000.

Dalam kejadian yang berlaku di Taman Rimba jam 12 tengah hari kelmarin, seorang pengusaha bengkel kerugian lebih RM20,000 apabila barang kemas dan wang tunai dilarikan selepas penjenayah terbabit memecah masuk kediaman ketika mangsa berada di bengkelnya.

Lai Teck Chee berkata, kejadian berlaku semasa dia sedang bekerja dan kebetulan isterinya Au Kim Fong juga keluar. Isterinya menyedari kejadian apabila pulang kira-kira jam 2 petang.

Menurutnya, dia kerugian lebih RM20,000 apabila barang kemas dan wang tunai dalam tabung besar dilarikan penjenayah terbabit.

“Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Mentakab jam 3 petang,” katanya.

Sementara itu, dua lagi rumah penduduk di Taman Sempalit dan Taman Bendera Intan dipecah masuk dipercayai dilakukan dua penjenayah sama.

Sejam kemudian seorang guru dari Taman Sempalit kerugian lebih RM5,000 apabila barangan berharga dan wang tunai dilarikan penjenayah.

Sementara di Taman Bendera Intan sepasang suami isteri bangsa Cina kehilangan wang tunai RM4,000 dan televisyen juga dipercayai dilakukan kumpulan sama kira-kira jam 2 petang.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Dae­rah (IPD) Temerloh Deputi Superintendan R Sundra­lin­gam mengesahkan kejadian dan pihaknya menerima laporan polis dari salah seorang mangsa.

Menurutnya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian melaporkan terus ke balai polis berhampiran.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong yang melawat tempat kejadian semalam menggesa penduduk meningkatkan keselamatan selain lebih peka dengan keadaan sekeliling.

Menurutnya, penjenayah akan mengambil kesempatan apabila penduduk hanya mementingkan diri sendiri dan tidak bercampur dengan masyarakat lain.

Dua penjenayah hati kering - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Akauntan ING dipenjara tujuh tahun kerana mencuri A$$45 juta



10 Februari 2012

MELBOURNE – Rajina Rita Subramaniam, seorang akauntan di Sydney, dipenjara tujuh tahun pada Jumaat kerana mencuri A$45 juta daripada
majikannya, ING Holdings.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Daerah New South Wales di Sydney, Michael Finnane menyifatkan jumlah yang dicuri daripada majikannya itu selama lima tahun, sebagai mengejutkan, lapor Associated Press Australia.

Wanita berusia 42 tahun itu mengaku salah terhadap 22 dakwaan memperoleh manfaat hasil penipuan dan empat dakwaan terlibat dalam jenayah.

Ketika polis pergi ke pejabatnya, mereka menemui 21 kotak yang disimpan di bawah meja dan kawasan sekitarnya.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui sebahagian besar barang kemas, pen, arak, kristal dan memorabilia Michael Jackson," kata hakim.

Menurut hakim, Rajina menjalani kehidupan sebagai manusia biasa bersama suaminya dan tidak menggunakan wang itu untuk membayar hutang mereka.

"Namun, beliau dianggap sebagai wanita kaya dan pelanggan setia beberapa kedai emas terkemuka," katanya.

Ada ketikanya beliau membelanjakan berjuta-juta dollar untuk satu hidangan makan tengah hari dan memberi hadiah mewah kepada pembantu kedai.

"Beliau menghadirahkan A$1.3 juta kepada seorang pembantu kedai dan ada masanya sebanyak A$240,000 kepada pembantu kedai yang lain supaya diterima dan disukai," kata hakim.

"Wanita itu mengaku terlibat dalam aktiviti seks dengan penyelia di tempat kerja serta penipuan untuk melepaskan rasa geram terhadap petugas ING atas layanan buruk mereka ke atasnya selain untuk membalas dendam," kata hakim itu. - Bernama

Akauntan ING dipenjara tujuh tahun kerana mencuri A$$45 juta - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Israel-Palestin: Haram terima negara haram, kata Pas


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Februari 2012

SHAH ALAM - Pas menegaskan pendiriannya menolak formula penyelesaian dua negara bagi mengatasi konflik Asia Barat membabitkan Israel dan Palestin sambil menyifatkan adalah "haram menerima kewujudan negara haram."

Sehubungan itu kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagi pihaknya hanya ada satu negara Palestin bagi penduduknya yang berhak manakala Israel tidak wujud sama sekali.

Beliau melahirkan pendirian ini ketika kenyataan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Israel, dalam satu temu bual bersama Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini, menjadi isu kontroversi.

Pandangan Anwar itu berhadapan dengan kritikan dan kecaman pemimpin-pemimpin BN dan sebahagian pertubuhan bukan kerajaan.

Menulis di blognya, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, walaupun banyak kalangan negara Arab menerima penyelesaian secara mewujudkan dua negara, pihak berkenaan perlu menyedari bahawa Palestin bukan hak orang Arab sahaja.

"Palestin adalah hak umat Islam seluruhnya. Kalangan penganut agama Yahudi yang kuat berpegang dengan agama Yahudi menolak wujudnya negara Israel dan menghukumnya dosa besar kerana tindakannya adalah menggali kubur untuk kaum Yahudi sendiri, yang disedari melakukan jenayah dosa besar, membasahi bumi Palastin dengan darah para anbiya dan ulama yang soleh," katanya lagi.

Abdul Hadi berkata, bumi Palestin adalah salah satu daripada tiga tanah suci bagi umat Islam selepas Mekah dan Madinah.

Katanya, Islam mewajibkan penganutnya memegang amanah memelihara bumi Palestin dan tidak melarang penganut Yahudi dan Kristian melakukan ibadat mengikut agama mereka dan mengunjungi tempat suci mereka.

Malah katanya, sejarah membuktikan hanya pemimpin Islam dapat menunaikan amanah memakmurkan bumi Palestin dengan memberi hak yang adil kepada semua.

Menurut Abdul Hadi, negara bernama Israel sebenarnya tidak wujud dalam peta dunia sejak Allah mencipta bumi.

"Negara ini diwujudkan secara haram oleh kuasa besar dunia selepas perang dunia kedua bagi mengotakan Perjanjian Balfore yang melibatkan British yang dibantu oleh Yahudi, sejak Perang Dunia Pertama lagi.

"Negara ini hukumnya haram mengikut hukum agama dan undang-undang antarabangsa ciptaan manusia.

Ini kerana ia merampas daripada penduduk asalnya dan menghalau sebahagian besar daripada mereka," katanya lagi.

Abdul Hadi juga berkata, negara kuasa besar dunia yang menjajah memejam mata bagi menghilangkan sifat perikemanusiaan mereka untuk melakukan jenayah bersejarah ini demi kepentingan mereka.

Katanya, bagi umat Islam sudah menjadi perkara wajib membebaskan Palestin sepenuhnya dan membela saudara mereka yang dizalimi, sehingga menjadi fardu ain kepada penduduk tempatan dan yang berjiran dan wajib mengikut kedudukan masing-masing di tempat yang jauh.
"Haram menerima kewujudan negara haram," katanya.

Israel-Palestin: Haram terima negara haram, kata Pas - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ibu dakwa anak dipukul


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Februari 2012
Ibu dakwa anak dipukul

KAJANG – Seorang ibu mendakwa anaknya dipukul di bahagian muka sehingga berdarah oleh salah seorang kakitangan sebuah hospital kerajaan dekat sini pada 5 Januari lalu di rumahnya, dekat Balakong.

Miniamah Thambiran, 58, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 4 pagi tersebut, dia menghubungi ambulans hospital terbabit selepas anaknya, Thanasegaran Subramaniam, 33, yang menghidap sakit jantung dan kemurungan menghadapi masalah kesihatan serta tidak dapat bangun.

“Ketika ambulans sampai ada tiga kakitangan lelaki di dalamnya dan salah seorang daripada kakitangan tersebut memarahi anak saya dan mempersoal tindakan kami menghubungi ambulans pada awal pagi.

“Anak saya cuba menepis salah seorang lelaki yang memarahinya sebelum lelaki terbabit bertindak memukul anak saya di bahagian muka sehingga berdarah,” katanya.

Miniamah berkata, sebelum ini dia sering menghubungi ambulans berikutan anaknya sering menghadapi masalah kesihatan tidak kira masa dan dia tidak mempunyai kenderaan untuk mendapatkan rawatan.

“Sebaik tiba di hospital, kakitangan tersebut menghilangkan diri sebelum salah seorang kakitangan lain membawa kerusi roda untuk anak saya mendapatkan rawatan di hospital.

“Saya membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan kakitangan tersebut dan mohon agar tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya

Sementara itu, Pengarah Biro Aduan Rakyat Pakatan Rakyat (PR) merangkap Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagan berkata, pihaknya kesal atas tindakan kakitangan hospital terbabit dan telah menghantar surat kepada pihak kementerian semalam agar tindakan lanjut dapat diambil.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan laporan berkenaan dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Ibu dakwa anak dipukul - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Dua beradik dituduh cederakan rakan


WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Februari 2012
Dua beradik dituduh cederakan rakan

KOTA BHARU – Dua beradik dari Kampung Bunchit, Machang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap rakan mereka, tahun lalu.

Dakwaan ke atas Muhamad Syafiq Lod, 24 dan adiknya, pesalah juvenil, 16, dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Mohd Farhan Mohd Lazim, 23 dengan menggunakan kayu dan besi antara jam 7.15 dan 8 malam, 3 Jun 2011.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Ilyas Mohd Noor.

Jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dijatuhi hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.
Pada prosiding semalam, kedua-duanya bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Susulan pengakuan itu, Hakim Azman Mustapa menetapkan sebutan semula kes pada 8 Mac depan sementara adik beradik lelaki itu dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.

Dua beradik dituduh cederakan rakan - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Nelayan jadi penyelamat


WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Februari 2012
Nelayan jadi penyelamat

KOTA BHARU – Ketangkasan seorang nelayan bersama lima rakannya menghulurkan bantuan cemas, berjaya menyelamatkan tiga lelaki daripada mati lemas selepas bot mewah dinaiki mereka karam di sini, pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 5 batu nautika dari Jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Besar di sini.

Saksi, Hazahar Mat Sanisah, 40, berkata, dia menerima panggilan pada jam 10 pagi daripada Balai Polis Badang yang meminta bantuan awal sementara menunggu ketibaan anggota penyelamat Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Tok Bali.

“Saya bertolak dari jeti ini bersama rakan dan sampai kira-kira setengah jam kemudian. Pada masa itu, saya nampak ketiga-tiga mangsa sedang berpaut di depan hujung bot yang terbalik.

“Keadaan mereka sudah lemah dan lesu. Tanpa berlengah, seorang daripada kami terjun dan menghulurkan pelampung sebelum membantu mereka naik ke atas bot,” katanya.

Menurutnya, dia dan rakannya itu mengambil masa dua jam untuk tiba semula ke jeti sama kerana terpaksa menunda bot milik persendirian itu.

“Tiba di jeti, mangsa diambil ahli keluarga masing-masing sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi APMM Tok Bali, Bintara Muda Mohd Zamzuri Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam berhubung kejadian sebelum pasukan penyelamat dikerah ke kawasan terbabit.

“Setibanya kami di tengah lautan, tiga mangsa itu sudah pun berjaya diselamatkan enam nelayan berkenaan. Bagaimanapun, kami tetap mengiringi bot mereka sehingga selamat sampai ke jeti.

Menurutnya, kejadian berlaku dipercayai akibat bot dinaiki, mengalami kebocoran.


Nelayan jadi penyelamat - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'