Search This Blog

Friday, February 10, 2012

Anjing baham muka pengacara televisyen

DENVER: Seorang pengacara utama sebuah stesen televisyen dikejarkan ke hospital selepas mukanya dibaham seekor anjing yang baru diselamatkan ketika program itu disiarkan secara langsung.

Media semalam melaporkan, haiwan seberat 39 kilogram itu, Max, membaham muka Kyle Dyer ketika pengacara itu membongkokkan badannya untuk menepuk anjing Argentine Mastiff berkenaan.


Program bual bicara pagi itu disiarkan stesen KUSA-TV. Pada Isnin lalu, kru stesen berkenaan merakamkan sejumlah anggota bomba menyelamatkan Max yang terkapai-kapai di tasik dalam cuaca sejuk selepas tergelincir.

Ekoran insiden semalam, Max diletakkan dalam sangkar dan diawasi pegawai kawalan haiwan, manakala pemiliknya, Michael Robinson, didenda.


KUSA-TV berkata, Kyle kini stabil dan semakin pulih di sebuah hospital di Denver.


“Pasukan trauma sedang menilai kesan kecederaan di mula Kyle,” kata jurucakap stesen televisyen berkenaan.


Sementara itu, Robinson berkata, dia bersiar-siar dengan Max pada Isnin apabila anjing itu ternampak seekor serigala dan mengejarnya.


Menurut pihak berkuasa, Max terperangkap dalam tasik itu selama 20 minit sebelum anggota bomba tiba dan menariknya keluar.

Ekoran insiden itu, KUSA-TV menjemput Robinson, Max serta anggota bomba yang menyelamatkan anjing berkenaan untuk ditemubual KUSA-TV berkata, insiden serangan Max itu dipotong daripada siaran, tetapi sebahagian daripada klip berkenaan kemudian didedahkan untuk tatapan umum.


Sementara itu, Pengarah Kawalan Haiwan Denver, Doug Kelley, berkata kecederaan dialami Kyle agak serius. - DM

myMetro | Anjing baham muka pengacara televisyen:

'via Blog this'

Lelaki sembunyi ais, pil ekstasi dalam kotak sabun basuh

SINGAPURA: Seorang lelaki disiasat kerana disyaki mengimport 558 gram kristal methampethamine atau ‘ais’ dan 100 butir ekstasi bernilai lebih S$170,600 (RM411,453).

Dalam kenyataan oleh Biro Pusat Narkotik, lelaki itu yang memandu kereta ibunya, 54, ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands kira-kira jam 5.30 petang, Selasa lalu.

Teman wanitanya berusia 24 tahun, juga berada di dalam kenderaan itu.

Anggota polis menemui sebuah kotak sabun basuh di dalam but kereta yang digunakan untuk menyembunyikan tiga bungkusan bahan kristal berkemungkinan ‘ais’ dan dua paket yang dipercayai 100 butir pil ekstasi.


Satu kotak pengokot berisi sepeket bahan kristal empat gram, mungkin ‘ais’, juga ditemui dalam seluar dalam lelaki itu.


Beg kantung hitam mengandungi dua paip kaca, beg plastik kalis air dan alat timbang ditemui di tempat penyimpan di antara tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan. - Straits Times

myMetro | Lelaki sembunyi ais, pil ekstasi dalam kotak sabun basuh:

'via Blog this'

Guru besar mati dalam rumah pelacuran

JAKARTA: Seorang guru besar sekolah rendah kerajaan, SD Kemasan, Sugiono, berusia 52 tahun, dijumpai mati di dalam sebuah bilik bersama seorang pelacur di sebuah rumah pelacuran di Kediri, Jawa Timur, petang semalam.

Ketua Polis Kendiri Komisioner Adjutan, Wayan Winata berkata, “Kami tidak tahu sebab kematiannya. Kami masih menyiasat kes itu.”

Wayan berkata, Sugiono baru berurusan dengan pelacur yang bernama Titik Andayani, 27 dan setuju untuk membayar Rp50,000 (RM17) untuk khidmatnya.

Mereka menempah sebuah bilik di rumah kepunyaan seorang lelaki, Samiran, 48.


“Pelacur itu menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri setelah keluar dari bilik air,” katanya.


Penghuni rumah pelacuran itu kemudian menelefon doktor dari klinik kesihatan awam Ngasem, tetapi gagal menyelamatkan Sugiono.

“Kami sudah siasat tempat kejadian dan tidak menemui bukti (yang mungkin dapat menjadi punca kematiannya), seperti pil dadah atau rangsangan,” katanya.

Polis sudah menghubungi keluarga Sugiono yang tinggal di Singonegaran, Pesantren, Kediri, katanya. - Jakarta Post

myMetro | Guru besar mati dalam rumah pelacuran:

'via Blog this'

Empat nelayan terselamat bot karam di Kedah




2012/02/10

ALOR SETAR: Empat nelayan nyaris maut apabila bot pukat tarik yang mereka naiki karam berhampiran Pulau Songsong, Yan, dekat sini, hari ini.

Ketua Operasi dan Menyelamat Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Bahari Ahmad, berkata keempat-empat nelayan itu menyelamatkan diri dengan naik semula ke atas bot yang ketika itu terbalik sebelum dibantu oleh nelayan lain.

"Semua mangsa bot karam itu telah dipindahkan ke bot nelayan lain untuk dibawa ke Jeti Kuala Kedah. Jarak antara lokasi bot karam dengan pantai terlalu dekat iaitu kira-kira 30.48 meter sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 1.03 tengah hari dan orang awam yang berada berhampiran tempat kejadian memaklumkan kejadian itu berlaku pagi tadi. - BERNAMA
Berita Harian Online | Empat nelayan terselamat bot karam di Kedah:

'via Blog this'

Wanita Thai ke tali gantung edar kokain




2012/02/10

SHAH ALAM: Seorang wanita warga Thailand dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kokain seberat 765.9 gram dengan cara menelannya dua tahun lalu.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan Raveeploy Sangkam, 28, dari Bangkok gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tandas bilik Wad 6B, Hospital Serdang, antara 6.35 petang 5 November dan 11.05 malam 8 November 2010.
Wanita itu, yang telah bercerai dan mempunyai tiga orang anak, didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Noor Azian berkata berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL melalui penerbangan dari Buenos Aires, Argentina.

Beliau berkata ketika diperiksa tiada apa-apa ditemui di dalam bagasi atau pada badan tertuduh dan wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk menjalani pemeriksaan x-ray yang menunjukkan terdapat 83 bungkusan kecil mengandungi dadah di dalam badan tertuduh.

"Pembelaan tertuduh adalah pembelaan teknikal iaitu dia berada dalam transit ketika ditahan dan tidak dinafikan tertuduh ada tiket penerbangan untuk meneruskan perjalanan dari Malaysia ke Bangkok.
"Bagaimanapun mahkamah ini terikat dengan nas undang-undang Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa transit bukan satu pembelaan yang boleh digunakan supaya tuduhan dikurangkan agar tidak dijatuhi hukuman mati," katanya.

Hakim Noor Azian berkata beliau tidak dapat menerima pembelaan tertuduh dan menjatuhkan satu-satunya hukuman di bawah seksyen itu iaitu hukuman mati.

Dalam pembelaannya yang dibuat secara bersumpah dari kandang saksi, Raveeploy berkata dia dijanjikan bayaran US$5,000 oleh teman lelakinya bernama Rado, seorang warga Argentina, untuk membawa dadah berkenaan dari Buenos Aires ke Bangkok.

Dia berkata Rado, yang dikenalinya melalui Internet, berjanji akan membayar wang berkenaan apabila dia tiba di Bangkok.

Wanita itu berkata dia telah menelan dadah itu tujuh jam sebelum penerbangan.
Seramai 16 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suzana Abdul Latiff manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali. - BERNAMA
Berita Harian Online | Wanita Thai ke tali gantung edar kokain:

'via Blog this'

Kanak-kanak dua tahun maut motosikal dinaiki bersama bapa langgar besi




2012/02/10

KUANTAN: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang duduk di dalam bakul depan motosikal bapanya, maut selepas motosikal itu terlanggar peralatan besi khemah dibawa sebuah lori.

Dalam kemalangan jam 6.20 petang semalam, Muhammad Zawawi Kamarulhisam cedera parah di kepala.

Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, berkata bapa kepada kanak-kanak terbabit, Kamarulhisam A Rahman, 34, seorang pekerja ladang dari Felda Lakum di sini, mengalami luka kecil di tangan dan badan.
“Motosikal yang dinaiki Kamarulhisam terlanggar besi khemah dalam sebuah lori yang berhenti di hadapan pagar Dewan Orang Ramai Kampung Bolok Hilir, dekat Lanchang,” katanya. - BERNAMA
Berita Harian Online | Kanak-kanak dua tahun maut motosikal dinaiki bersama bapa langgar besi:

'via Blog this'

Bekas eksekutif akaun wanita didakwa 28 tuduhan pecah amanah




2012/02/10

SHAH ALAM: Seorang bekas eksekutif akaun wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 28 pertuduhan pecah amanah dan menggunakan cek palsu membabitkan nilai RM131,894.23.

Tan Ai Lian, 43, dari Kampung Idaman Pandamaran, Pelabuhan Klang, dekat sini, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Fadhir Harun.

Tan, bekas eksekutif akaun Syarikat Agronite Ultrafina Minerals Sdn Bhd, didakwa melakukan 14 kesalahan pecah amanah dan 14 kesalahan menggunakan cek palsu di premis syarikat itu di alamat Lot 10, Jalan Selat Selatan 14, Pandamaran, Klang, antara 29 Disember 2006 hingga 24 April 2007.
Bagi tuduhan pecah amanah, Tan, yang ditangkap pada 9 Feb lepas, didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan menggunakan cek palsu, wanita itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Fadhir membenarkan Tan dibebaskan dengan jaminan RM25,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 9 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Beliau turut memerintahkan agar pasport tertuduh ditahan di mahkamah sehingga kes itu selesai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya C.Vignesh Kumar sementara Tan diwakili peguam Kamarul Zaman Abdul Rahman. - BERNAMA Berita Harian Online | Bekas eksekutif akaun wanita didakwa 28 tuduhan pecah amanah:

'via Blog this'

'2 YB PKR terbabit skandal pasir'


Oleh Norfatimah Ahmad dan Zanariah Abd Mutalib

2012/02/10

KUALA LUMPUR: Raja Petra Kamaruddin mendakwa ADUN Sri Muda, Mat Suhaimi Shafiei dan ADUN Batu Caves, Amirudin Shari, kedua-duanya dari PKR terbabit dalam skandal perlombongan pasir di Selangor.

Dalam artikel yang disiarkan portal berita Malaysia Today semalam, beliau mendakwa ada unsur rasuah dalam urusan mendapatkan kontrak melombong pasir antara Mat Suhaimi dengan seorang kontraktor menerusi beberapa pertemuan di Pulau Pinang dan Subang serta rakaman perbualan telefon mereka.

Beliau mendakwa, Mat Suhaimi beberapa kali meminta wang daripada kontraktor berkenaan antara 15 Ogos 2009 hingga 5 Januari 2010, antaranya RM5,000 untuk perbelanjaan kempen pilihan raya, RM35,000 perbelanjaan Ramadan, RM10,000 jamuan Hari Raya dan RM50,000 yang masukkan dalam akaun bank sebuah syarikat untuk kegunaan pilihan raya.
Wang RM50,000 itu dimasukkan ke akaun Affin Bank, Klang menerusi transaksi pada 11 Januari 2010.

Pendedahan semalam adalah susulan kepada pendedahan yang disiarkan kelmarin berhubung kematian kenalannya, Datuk Patrick Wong, seorang ahli perniagaan dalam rompakan di kediamannya di Bukit Bandaraya pada 2009 yang didakwa ada kaitan dengan skandal perlombongan pasir.

Raja Petra mendakwa Mat Suhaimi turut meminta kontraktor pasir berkenaan bergabung dengan sebuah syarikat, Double Dignity (M) Sdn Bhd dengan Mat Suhaimi serta Amirudin menjadi antara lima pengarahnya dengan bayaran RM5,000.

Beliau mendakwa pada 18 Januari 2010, syarikat berkenaan menghantar surat permohonan untuk melombong pasir di kawasan seluas 18 hektar di Dengkil kepada Mat Suhaimi dengan tandatangan sokongan oleh Amirudin.
“Apa yang penting, Mat Suhaimi dan Amirudin berdaftar sebagai Pengarah Double Dignity (M) Sdn Bhd pada hari yang sama, iaitu 18 Januari 2010 dan ia bukan satu kebetulan.

“Ia jelas wang itu adalah bayaran bagi membantu Double Dignity mendapatkan kelulusan daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd untuk melombong pasir di Selangor. Mat Suhaimi memberitahu kontraktor itu perlu membayar segelintir orang dalam Kumpulan Semesta,” katanya. Kumpulan Semesta adalah anak syarikat kerajaan Selangor yang menguruskan pengeluaran pasir di negeri berkenaan.

Selain itu, rakaman perbualan telefon berkenaan ada menyebut Mat Suhaimi akan berbincang dengan individu yang dikenali sebagai Azmin selepas kontraktor itu meminta bantuan untuk melombong pasir di Batang Kali. Mat Suhaimi kemudian memberitahu, wang RM50,000 itu perlu dibayar kerana Azmin ketika itu sedang mengumpul wang untuk perbelanjaan pilihan raya.

Raja Petra juga mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak meneruskan siasatan selepas skandal perlombongan pasir di Selangor didedahkan tahun lalu.

Sementara itu, Amirudin ketika dihubungi berkata, isu yang didedahkan Raja Petra sudah dijelaskan secara terperinci kepada SPRM pada Julai 2010.

“Ini bukan isu baru. Saya juga tidak ada kaitan dalam proses pengeluaran permit pasir kerana surat sokongan yang saya keluarkan adalah berasaskan peraturan dan etika. Oleh itu, ia tidak mempengaruhi keputusan yang dibuat mana-mana pegawai yang bertanggungjawab,” katanya.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu juga mendakwa tidak pernah mengenali Datuk Patrick Wong dan hanya mendengar nama ahli perniagaan itu beberapa hari lalu.

Mat Suhaimi menerusi blog srimuda.blogspot.com pula mempertikaikan kredibiliti Raja Petra kerana gaya penulisan yang bertentangan berbanding sebelum ini.

“Dalam dunia hari ini, objek manusia, gambar dan apa saja bahan spin (putar belit) boleh direka cipta dan disolek menjadi seperti asli, apatah lagi dokumen asli untuk maksud lain, boleh disalah guna bagi menjadikan tujuan spin dapat dibuktikan seyakin yang boleh,” katanya. Berita Harian Online | '2 YB PKR terbabit skandal pasir':

'via Blog this'

Anak temui jasad ibu tak bernyawa


Oleh M Hifzuddin Ikhsan

2012/02/10

KUCHING: Seorang pensyarah kanan sebuah institusi pengajian tinggi awam di sini ditemui mati di rumahnya di Taman Synergy, di sini dengan pisau tertusuk pada leher dan pergelangan tangan kanannya cedera akibat digerudi.

Mayat Azizah Sapawi, 42, pensyarah kursus perakaunan di Politeknik Kuching ditemui dalam stor rumah oleh anak sulungnya berusia 11 tahun dan ketika itu, mesin gerudi yang berada berhampiran mangsa masih berfungsi.

Suami wanita berkenaan yang pulang dari kerja kira-kira jam 6.15 petang kemudian membuat laporan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad, berkata siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah berikutan tikaman kuat.

“Pemeriksaan mendapati kediaman mangsa tidak dipecah masuk, malah semua barangan berharga tidak diusik. Kes ini diklasifikasi sebagai mati mengejut.

“Suami mangsa memaklumkan Azizah tidak bertugas kerana mendapat cuti
sakit dua hari dan dia dinasihatkan doktor agar membawa isterinya melakukan pemeriksaan mental,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mayat Azizah kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan.

Pasangan berkenaan mempunyai tiga anak lelaki berusia lima, lapan dan 11 tahun.

Sementara itu, seorang kenalan rapat mereka yang enggan dikenali, berkata suami mangsa yang bertugas sebagai juruteknik di sebuah institusi pengajian tinggi swasta pernah meminta bantuan rakan mencari ustaz bagi merawat isterinya.

“Rakan saya itu pernah beberapa kali bertanya kepada kami jika ada kenal ustaz yang mahir untuk merawat isterinya yang dipercayai diganggu secara ‘halus’. Kami ada mencadangkan beberapa individu yang mahir perubatan Islam.

“Mengikut perancangan, rakan saya mahu membawa Azizah mendapatkan rawatan tradisional hujung minggu ini selepas dia mendapati isterinya tidak lagi mampu menguruskan diri dan anak-anak di rumah,” katanya.
Berita Harian Online | Anak temui jasad ibu tak bernyawa:

'via Blog this'

Kematian Patrick Wong diklasifikasi kes bunuh


Oleh Hardi Effendi Yaacob

2012/02/10

Polis percaya ada kaitan cubaan dedah skandal kes pasir

KUALA LUMPUR: Polis semalam menjelaskan kematian ahli perniagaan yang juga bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Datuk Patrick Wong pada 2009 diklasifikasikan sebagai kes bunuh sejak dari awal lagi.

Malah, polis masih menjalankan siasatan kes bunuh Wong, yang dipercayai ada kaitan dengan cubaan beliau mendedahkan skandal pasir membabitkan pemimpin dalam pakatan pembangkang di Selangor pada 2009.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata pihaknya tidak pernah menutup siasatan kes itu seperti didakwa pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin (RPK) dalam artikelnya bertajuk "Episode 2: The Murder of a Whistleblower" yang disiarkan dalam portal berita online berkenaan.
"Kita tidak pernah melaporkan kematian mangsa adalah disebabkan kemalangan akibat terjatuh dari tempat tinggi seperti didakwa RPK dalam portal miliknya semalam.

“Dari awal lagi, iaitu pada November 2009, kematian ahli perniagaan itu diklasifikasikan sebagai kes pembunuhan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai pendedahan RPK, kelmarin yang mendakwa wujud keraguan di sebalik kematian Wong selepas dikatakan mati akibat terjatuh dari balkoni rumahnya ketika melarikan diri daripada perompak di Bukit Bandaraya di sini, pada November 2009.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira sebulan selepas ahli perniagaan itu dan isterinya mengadakan pertemuan bersama RPK di United Kingdom (UK) bagi meminta bantuannya mendedahkan skandal berkenaan.
Antara lain, penulis blog itu mendakwa berdasarkan kesan 'tekanan' ditemui pada leher mangsa seperti dinyatakan dalam laporan bedah siasat, kematian ahli perniagaan terbabit yang juga rakannya mempunyai kaitan dengan skandal melombong pasir di Selangor.

RPK yang dipetik Malaysia Today, berkata pendedahan terperinci akan dilakukannya selepas ini, termasuk nama dan bukti pembayaran kepada pemimpin tertentu dalam kerajaan negeri itu berhubung skandal berkenaan.

Sementara itu, Mohd Bakri menjelaskan pihaknya tidak pernah menutup kes berkenaan, malah meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu, termasuk RPK tampil membantu siasatan.

“Kita akan menyiasat kes ini secara terperinci dengan mengambil kira semua aspek berkaitan, termasuk segala dakwaan dibuat oleh penulis blog itu," katanya. Berita Harian Online | Kematian Patrick Wong diklasifikasi kes bunuh:

'via Blog this'

Saksi kes Ampatuan terjun bangunan




2012/02/10

MANILA: Seorang saksi penting dalam pembunuhan beramai-ramai 58 orang awam pada 2009 di Maguindanao dilaporkan membunuh diri dengan terjun, Isnin lalu ketika dia bercakap dengan isterinya dari tingkat empat sebuah bangunan penjara.

Pegawai polis Hernanie Decipulo sedang berbual dengan isterinya dalam satu daripada bangunan di Kem Bagong Diwa di Bandar Taguig Isnin lalu, apabila dia secara tiba-tiba melompat dari tingkap, kata satu laporan dari ibu pejabat polis di pinggir Quezon City.

Tindakan secara tiba-tiba dan tidak dijangka pegawai polis itu mengejutkan isterinya dan dia gagal menghalang Decipulo daripada terjun. Pegawai itu maut akibat kecederaan dialami.
Decipulo, 38, saksi pendakwaan dalam apa yang digelar ‘Maguindanao Massacre’ dan pihak berkuasa sedang menyiasat jika kematiannya adalah bunuh diri atau perbuatan khianat.

Penolong pendakwa raya serantau Peter Medalle, berkata walaupun kes itu mungkin bunuh diri, polis masih belum memutuskan kemungkinan dia ditolak keluar tingkap. Medalle berkata polis dijangka memfailkan satu siasatan rasmi ke atas kes terbabit.

Ketika Decipulo seorang daripada suspek dalam pembunuhan kejam 58 orang pada 23 November 2009, dia dan 11 lagi anggota polis bertukar kepada saksi pendakwaan pada satu tahap ketika proses mahkamah dan menawar diri memberi keterangan yang membantu mengaitkan keluarga politik berkuasa Maguindanao, Ampatuan untuk pembunuhan beramai-ramai itu.

Menurut laporan, beberapa hari sebelum terjun, Decipulo mengalami kemurungan dan tertekan dengan perkembangan lembap perbicaraan itu.
Pemerhati berkata kematiannya tidak menjejaskan perbicaraan berterusan kes pembunuhan beramai-ramai Maguindanao.

Decipulo, anggota Kumpulan Bergerak Serantau 1508 daripada Polis Nasional Filipina dan dikatakan hadir ketika Timbalan Datuk Bandar, Datu Unsay, Andal Ampatuan Jr dan sekumpulan lelaki militia menahan satu konvoi terdiri daripada wartawan dan penyokong politik Timbalan Datuk Bandar Buluan ketika itu, Esmael ‘Toto’ Mangudadatu. – Agensi Berita Harian Online | Saksi kes Ampatuan terjun bangunan:

'via Blog this'

Ketua sindiket internet diberkas


KUALA LUMPUR 9 Feb. - Ketua sindiket penipuan antarabangsa terbesar menggunakan internet berpangkalan di Pulau Pinang, yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM10 bilion, dikenali sebagai Huang berjaya diberkas polis Taiwan.

Difahamkan Huang ditahan di Lapangan Terbang Tai Joo, Taiwan pada 22 Januari lepas sebaik tiba dari China, setelah polis Taiwan menggunakan 10 warga Taiwan yang ditahan di Malaysia untuk memujuk Huang pulang ke negara itu.

Kejayaan penangkapan Huang ekoran satu serbuan ke pangkalan pusat penipuan internetnya di Pulau Pinang pada 6 Januari lepas hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis Taiwan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan mengesahkan perkara itu dan ia merupakan kejayaan polis dalam membanteras penipuan melalui internet melibatkan sindiket antarabangsa.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya.

Pada 6 Jun lalu, polis berjaya menahan 37 orang dalam dua serbuan serentak di Pulau Pinang yang dipercayai terbabit dengan sindiket yang lebih dikenali sebagai 'Penipu Macau' dan diketuai seorang warga Taiwan.

Tempat tersebut dijadikan pusat membuat panggilan kerana polis menemui beberapa peralatan khidmat komunikasi termasuk komputer riba, modem, penyambung panggilan, telefon dan telefon bimbit di situ.

Media melaporkan mereka yang ditahan dalam serbuan itu ialah lima orang rakyat Malaysia, 22 warga China dan 10 rakyat Taiwan.

Cara penipuan dilakukan sindiket itu ialah dengan menghubungi mangsa menyamar sebagai pegawai polis atau bank.

Sindiket itu, yang beroperasi sejak 2010, telah berjaya menipu ramai warga China secara memperdayakan mereka supaya memasukkan wang ke dalam akaun pihak ketiga.

Mereka memberitahu mangsa bahawa akaun bank atau kad kredit mereka (mangsa) telah diceroboh oleh pihak ketiga dan wang dalam akaun akan dicuri oleh penipu sekiranya tidak dipindahkan ke akaun lain.

Difahamkan kesemua warga Taiwan yang ditahan itu telah diekstradisi ke negara mereka oleh polis Taiwan untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Lima pucuk pistol, 22 peluru dirampas


JOHOR BAHRU 9 Feb. – Polis menahan lima lelaki dan merampas lima pucuk pistol termasuk dua tiruan beserta 22 butir peluru yang disyaki ada kaitan dengan kes jenayah dan pemerasan dalam tiga kejadian berasingan pada 29 Januari dan 1 Februari lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dalam kejadian pertama pada 29 Januari lalu, pihaknya merampas sepucuk pistol semi automatik dan tiga butir peluru daripada seorang lelaki berusia 39 tahun.

Menurutnya, lelaki tersebut ditahan di Tol Sedenak dekat Kulaijaya pukul 12.30 tengah hari dan pemeriksaan di dalam kereta dipandu suspek menemui pistol berkenaan.

“Suspek terdahulu pergi mengutip hutang di sebuah rumah di Bukit Siput, Segamat sebelum bertengkar dan melepaskan tembakan yang mengenai rumah jiran mangsa.

“Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes perjudian serta dadah dan kini ditahan reman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, dalam kejadian kedua pukul 10.30 malam pada 1 Februari lalu, pihaknya menahan empat lelaki berusia 39 hingga 41 tahun di sebuah rumah di Taman Sentosa, Ledang.

Pihaknya turut merampas sepucuk pistol Smith & Wesson .22, dua pucuk pistol semi automatik tiruan, sembilan butir peluru .38, sebilah pedang samurai, tiga bilah pisau, lapan biji pil Eramin 5 dan sejumlah dadah jenis syabu.

“Semakan mendapati seorang daripada lelaki terbabit memiliki tiga rekod jenayah berkaitan dadah dan menakutkan secara jenayah yang dilakukan pada 1999 dan 2002 dan kini ditahan reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Kata beliau, dalam kejadian berasingan pukul 8.45 malam hari sama, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan sepucuk pistol semi auto bersama 10 butir peluru dan satu kelopak di hadapan Surau Taman Sri Panchor, Batu Pahat.

Siasatan mendapati pistol itu dilaporkan hilang di kawasan Tongkang Pechah, Batu Pahat dan polis masih menyiasat kes tersebut, katanya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Pelajar tingkatan satu dikhuatiri dibaham buaya


KUCHING 9 Feb. - Seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semerah Padi dikhuatiri dibaham buaya selepas tiba-tiba dilihat tenggelam ketika leka mengumpul hasil tangkapan ketam bersama seorang rakannya di Sungai Midin di sini petang semalam.

Mohd. Idris Roni, 13, dari Tanjung Sungai Midin, Kampung Semerah Padi, di sini dilaporkan hilang ketika mengharungi air sungai itu untuk memeriksa bubu yang dipasang dalam kejadian pukul 6.30 petang itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Terry Robson berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 7.30 petang dan empat anggota dikejarkan ke lokasi bagi meninjau keadaan di kawasan tersebut.

"Operasi mencari dan menyelamat terus digerakkan dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta penduduk kampung dengan kekuatan keseluruhan seramai 39 orang.

"Kita melakukan operasi mencari meliputi kawasan Sungai Midin hingga ke Sungai Semariang Batu dan ditangguhkan pada pukul 12.30 tengah malam tadi.

Operasi pencarian disambung semula pada pukul 7.30 pagi ini," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Sebelum kejadian, mangsa yang baru pulang dari sekolah pada pukul 6.20 petang telah pergi ke sungai yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya bersama seorang rakan, Mohd. Uzait Jeffry, 15, untuk memeriksa bubu ketam yang dipasang.

Bagaimanapun ketika mengharungi air sungai, Mohd. Idris yang berada di belakang Mohd. Uzait tiba-tiba tenggelam sebelum hilang menyebabkan rakannya cemas lalu memanjat pokok sementara menunggu mangsa timbul semula.

Mangsa namun tidak timbul-timbul dari dalam sungai terbabit menyebabkan Mohd. Uzait terus menunggu di atas pokok kerana khuatir mangsa disambar buaya memandangkan sungai terbabit sememangnya terkenal dengan reptilia berkenaan.

Dalam pada itu, ibu Mohd. Uzait yang bimbang selepas anaknya tidak pulang ke rumah keluar mencarinya dan menemui remaja tersebut di atas pokok sebelum memaklumkan kepada penduduk.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Taktik restoran tawar pelacuran dalam ladang terbongkar



SEBAHAGIAN GRO keluar dari premis pelacuran dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Langat, kelmarin.


KUALA LANGAT 9 Feb. - Taktik sebuah restoran menjalankan kegiatan pelacuran di dalam sebuah ladang kelapa sawit di Jenjarom di sini, sebagai 'pelaris' untuk menarik pelanggannya terbongkar dengan penahanan 13 wanita warga China dalam serbuan malam tadi.

Serbuan pukul 8.30 malam itu dilakukan sepasukan 12 anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, hasil maklumat dan risikan.

Turut ditahan seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai juruwang selain 15 pelanggan premis terbabit.

Pegawai Turus D7 IPK Selangor, Deputi Supritendan Izwan Abd Karim berkata, kesemua wanita warga asing berusia 20-an itu ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO).

"Premis itu terletak jauh daripada kesibukan bandar dan agak terpencil bagi mengelak kegiatan haram mereka dikesan pihak berkuasa," katanya ketika ditemui selepas serbuan itu diadakan di sini.

Izwan berkata, kesemua wanita warga asing yang ditahan tersebut dibawa ke Balai Polis Sungai Jarom bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Peraturan-Peraturan Imigresen 59/63.

"Jika sabit kesalahan, mereja boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan dan denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Pil ekstasi RM9.2 juta dirampas


IPOH 9 Feb. - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses pil ekstasi terbesar di Lembah Kinta selepas merampas dadah bernilai lebih RM9.2 juta dalam satu serbuan di sebuah rumah yang dijadikan makmal memproses bahan itu di Taman Malim Permai di sini Jumaat lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 9 pagi di rumah teres itu, polis turut menahan seorang wanita berusia 31 tahun dipercayai pengedar dan pemilik makmal memproses dadah tersebut.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahalan berkata, serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) selepas beberapa bulan menjalankan intipan hasil maklumat orang ramai.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis menemui peralatan memproses dadah termasuk 126 gram ketamin dan dua botol plastik mengandungi cecair disyaki asid yang dijadikan ramuan untuk menghasilkan pil ekstasi.

"Keseluruhan berat dadah yang dirampas boleh menghasilkan 462,000 biji pil ekstasi yang dianggarkan bernilai kira-kira RM9.2 juta," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, katanya, polis turut menyita barangan milik suspek iaitu sebuah kereta jenis Toyota Vios bernilai RM40,000.

Mohd. Shukri berkata, suspek yang ditangkap adalah warga tempatan dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Tambah beliau, ketika serbuan, suspek berada sendirian di rumah teres itu, tetapi polis percaya ada suspek lain turut terlibat dalam kegiatan tersebut dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan.

"Siasatan awal mendapati sindiket tersebut bergiat aktif sejak dua bulan lalu bagi kerja-kerja memproses dadah untuk pasaran Lembah Kinta khususnya di Ipoh, Kampar, Batu Gajah dan Tapah," katanya.

Tambah beliau, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga esok. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Hilmi ubah penampilan



HILMI... gambar terbaharu.


KUALA LUMPUR 9 Feb. - Hilmi Hazimin Malek yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan penyebaran gambar separuh bogel Elizabeth Wong sejak tiga tahun lalu dikesan mengubah penampilannya sepanjang berada di Indonesia.

Hilmi (gambar), 37, menyimpan jambang dan janggut serta tidak mempunyai misai ketika ditahan pihak Imigresen Indonesia di Pulau Batam.

Sumber berkata, Hilmi ketika berada republik tersebut juga mengubah cara pemakaian supaya kelihatan lebih matang.

Menurutnya, ketika disiasat Hilmi mengaku dia adalah Hilmi Hazimin dan bukan Azmin Helmi seperti dalam dokumen palsu.

"Hilmi turut mengaku dia orang yang dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana pengedaran gambar bogel Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam laporan sebuah portal dari negara jiran itu Sabtu lalu, rakyat Malaysia tersebut yang dikenali sebagai 'Azmin Helmi', 37, ditahan oleh pegawai Imigresen Indonesia di Batam sehari sebelum itu kerana memiliki dokumen palsu.

Lelaki tersebut yang dikesan mempunyai alamat di Ampang, Selangor dan dilahirkan pada 27 Mac 1975 dikatakan mempunyai kad pengenalan Indonesia dan kad keluarga palsu dan dikeluarkan di Batam selain kad kelahiran palsu daripada Karimun.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'