Search This Blog

Thursday, February 9, 2012

Pelanggan leka judi terkejut


SYAMILAH ZULKIFLI
8 Februari 2012
judi-siber

SEREMBAN – Polis menyerbu tiga premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian siber, dalam Ops Judi Ciber, di sini, malam kelmarin.

Hasil serbuan dilancarkan serentak oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Kontinjen Polis negeri itu, sebanyak 65 set komputer yang diubah suai menjadi mesin perjudian haram berjaya dirampas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, serbuan bermula kira-kira jam 11.30 malam itu diadakan di dua lokasi berasi­ngan iaitu di Temiang dan Rasah.

“Seramai 25 lelaki dan empat wanita warga tempatan yang leka berjudi ditahan. Tiga lelaki tempatan dipercayai penjaga premis juga ditahan untuk membantu siasatan.

“Mereka berusia lingku­ngan 20 hingga 40-an terkejut ketika serbuan kerana tidak menyangka kehadiran polis membuat pemeriksaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, semua pelanggan dibebaskan selepas keterangan diambil.

“Selain komputer, turut dirampas wang tunai RM3,038 dipercayai kutipan hasil perjudian daripada tiga premis terbabit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap mesin yang dirampas atau penjara lima tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

Hamdan berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 Enakmen Pusat Hiburan yang membawa hukuman denda minima RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun sekiranya sabit kesalahan.Pelanggan leka judi terkejut - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Cemas bumbung pangsapuri tercabut


NORAIZURA AHMAD & AHMAD ISMADI ISMAIL
8 Februari 2012
flat-bumbung tercabut

SHAH ALAM - Empat beranak terpaksa bersembunyi dalam bilik untuk menyelamatkan diri ketika kejadian ribut yang melanda Pangsapuri Teratai, Bukit Subang petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, Roshidah Daud, 35, bersama dua anaknya berada di bilik kedua, manakala seorang lagi anaknya yang berusia dua tahun sedang tidur di bilik utama.

Menurutnya, ketika kejadian itu, hujan lebat berserta angin seperti puting beliung menyebabkan dia segera menutup tingkap sebelum anaknya yang tidur di bilik utama datang kepadanya.

“Dalam keadaan yang mencemaskan itu saya bersama tiga anak berada di dalam bilik kedua ketika bumbung rumah tercabut. Saya tidak fikir apa-apa selain keselamatan anak-anak kerana suami tidak ada di rumah,” katanya.

Ibu mengandung sembilan bulan itu berkata, selepas beberapa minit kejadian, jirannya datang menyelamatkan mereka sekeluarga.

Menurutnya, dia tidak sempat untuk menyelamatkan barangan peribadi dan hanya memikirkan tentang keselamatan anak-anak.

Seorang lagi mangsa, Umi Kalsom Selamat, 31, berkata, ketika kejadian, dia bersama suami dan dua anaknya berada dalam rumah sedang menonton televisyen.

Menurutnya, selepas menyedari keadaan angin yang kencang dan hujan lebat, suaminya menutup tingkap dan melihat bumbung rumah di hadapan rumahnya sudah tercabut.

“Kami bergegas turun untuk menyelamatkan diri dan hanya sempat membawa barangan peribadi,” katanya yang baru sahaja dua bulan tinggal di pangsapuri tersebut.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M. Zin berkata, empat pangsapuri iaitu pangsapuri Teratai, Melur, Melati dan Cendana terlibat membabitkan lebih kurang 100 penghuni.

Menurutnya, penghuni di pangsapuri Teratai mengalami kerosakan teruk akibat kejadian itu.

“Bumbung sembilan unit rumah diterbangkan angin sejauh 100 meter dan mujurlah tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.

“Kita menasihatkan penghuni untuk membuat laporan polis dan pihak berkuasa seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Bomba dan Penyelamat serta polis datang memberi bantuan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini, semua mangsa yang terlibat ditempatkan di surau berdekatan dan bantuan susulan akan diagihkan.Cemas bumbung pangsapuri tercabut - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Indonesia penjara 3 bom masjid



9 Februari 2012

JAKARTA - Tiga pengganas yang mempunyai kaitan dengan pengeboman sebuah masjid di Jawa Barat, Indonesia tahun lalu, dijatuhi hukuman penjara antara tujuh dan sembilan tahun, semalam.

Hakim Mahkamah Daerah Tangerang, menjatuhkan hukuman penjara selama sembilan tahun ke atas Achmad Basuki yang juga adik bongsu pengebom berani mati, Muhammad Syarif, 32.

Basuki didapati bersalah kerana terlibat dalam rancangan serangan di masjid ibu pejabat polis daerah Cirebon, Jawa Barat pada 15 April tahun lalu.

Dalam kejadian itu, seramai 30 orang kebanyakkanya anggota polis termasuk Ketua Polis Cirebon, cedera parah selepas Syarif meletupkan badannya yang diikat bom ketika umat Islam mengerjakan solat Jumaat.

Seorang lagi yang dikaitkan dengan perbuatan itu, Arif Budiman, yang bertindak membantu Syarif dan Basuki merancang serangan dan dia dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun.

Defendan ketiga, Mardian­syah atau Abu Maryam turut dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun berikutan penglibatan secara tidak langsungnya dalam menjual senjata api kepada sel pengganas yang dimiliki Syarif.Indonesia penjara 3 bom masjid - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Huang, ketua sindiket tipu RM10b diberkas



9 Februari 2012

KUALA LUMPUR - Ketua sindiket penipuan antarabangsa terbesar menggunakan internet berpangkalan di Pulau Pinang, yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM10 bilion, dikenali sebagai Huang berjaya diberkas Polis Taiwan.

Difahamkan, Huang ditahan di lapangan terbang Tai Joo, Taiwan pada 22 Januari lepas sebaik tiba dari China setelah polis Taiwan menggunakan 10 warga Taiwan, yang ditahan di Malaysia, untuk memujuk Huang pulang ke negara itu.

Kejayaan penangkapan Huang ekoran satu serbuan ke pangkalan pusat penipuan internetnya di Pulau Pinang pada 6 Januari lepas hasil kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan polis Taiwan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu dan ia merupakan kejayaan polis dalam membanteras penipuan melalui internet melibatkan sindiket antarabangsa.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya.

Pada 6 Jun lalu, polis berjaya menahan 37 orang dalam dua serbuan serentak di Pulau Pinang yang dipercayai terbabit dengan sindiket yang lebih dikenali sebagai “Penipu Macau” dan diketuai seorang warga Taiwan.

Tempat tersebut dijadikan pusat membuat panggilan kerana polis menemui beberapa peralatan khidmat komunikasi termasuk, komputer riba, moderm, penyambung panggilan, telefon dan telefon bimbit di situ.

Media melaporkan mereka yang ditahan dalam serbuan itu ialah lima orang rakyat Malaysia, 22 warga China dan 10 rakyat Taiwan cara penipuan dilakukan sindiket itu ialah dengan menghubungi mangsa menyamar sebagai pegawai polis atau bank.

Sindiket itu, yang beroperasi sejak 2010, telah berjaya menipu ramai warga China secara memperdayakan mereka supaya memasukkan wang ke dalam akaun pihak ketiga.

Cara penipuan dilakukan sindiket itu ialah dengan menghubungi mangsa menyamar sebagai pegawai polis atau bank.

Mereka memberitahu mangsa bahawa akaun bank atau kad kredit mereka (mangsa)telah diceroboh oleh pihak ketiga dan wang dalam akaun akan dicuri oleh penipu sekiranya tidak dipindahkan ke akaun lain.

Difahamkan kesemua warga Taiwan yang ditahan itu telah diekstradisi ke negara mereka oleh Polis Taiwan untuk membantu siasatan. - BernamaHuang, ketua sindiket tipu RM10b diberkas - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

DNA tumpu barang aksesori ibu, anak


NURAINN AZHAR
9 Februari 2012
Dynas Mokhtar

Bermula dengan perniagaan atas talian Dynas Nursing Attire (DNA) kini melebarkan sayapnya dengan membuka sebuah premis jualan aksesori dan pakaian ibu hamil sejak setahun lalu.

Pengasasnya, Dynas Mokhtar berkata, produk dihasilkan bertumpu pada pakaian hamil dan penyusuan susu ibu yang boleh digunakan dua dalam satu iaitu ketika hamil sehingga selepas melahirkan.

Menurutnya, pakaian hamil yang dijual itu direka sendiri olehnya dan sesuai digunakan di tempat awam, malah memudahkan golongan ibu mengepam susu di pejabat atau tempat awam.

“Tidak hanya bertumpu pada pakaian hamil, saya yang sememangnya berminat dengan lukisan dan perniagaan juga menerima tempahan mereka pakaian sedondon antara ibu dan anak.

“Pakaian bagi tempahan khas termasuk jubah, baju kurung juga diterima. Malah, pelanggan diberi kebebasan menghasilkan rekaan sendiri dan membuat tempahan dengan kami,” katanya.

Dynas berkata, selain itu, pelbagai aksesori mengandung, bersalin, berpantang dan penjagaan ibu serta bayi dijual dan lebih menarik perusahaannya kini mendapat kerjasama beberapa pengusaha barangan berjenama lain.

Menurutnya, bagi melengkapkan perniagaan yang berasaskan ibu dan anak itu dia juga turut menjual produk termasuk bantal, pil organik untuk menambah susu, beg penyejuk, pam susu ibu dan lain-lain.

“Pelanggan boleh mendapatkan produk kami di pusat membeli-belah The Curve dan stokis di Bangi, Seri Kembangan, Pulau Pinang dan Wangsa Maju,” katanya.DNA tumpu barang aksesori ibu, anak - Bisnes - Sinar Harian:

'via Blog this'

Diserang kerana cemburu


NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
9 Februari 2012
diserang kerna cemburu

IPOH – Niatnya berniaga hasil kampung adalah untuk menyara isteri dan sembilan anaknya disalah erti oleh sesetengah pihak sehingga sanggup menyerang keluarga itu di sebuah pasar di bandar raya ini.

Peniaga, Mohd Nor Azman Mat, 47, yang baru memulakan perniagaan menjual pisang, telur dan ayam menahan sabar dengan karenah seorang peniaga yang hanya dikenali sebagai ‘Ida’ yang seolah-olah mahu tutup rezekinya.

Menurutnya, kemuncak iri hati Ida tercetus apabila dia memaki hamun selain mengancam keselamatan isteri, Rohani Ahmad, 38, serta anak-anaknya yang membantu menjalankan perniagaan pada 22 Januari lalu.

“Dia mengambil telur yang dijual membaling ke arah saya selain menghambur kata-kata kesat. Saya cuba bertanya masalah dengannya sedangkan saya tidak pernah mengganggunya. Dia juga mengugut untuk mengapa-apakan anak saya.

“Selang 10 minit kemudian, kami didatangi seorang lelaki yang membawa besi dan menghayun ke arah saya dengan alasan saya mengganggu anak saudaranya.

“Saya tidak tahu apa punca mereka mengamuk sehingga laporan polis terpaksa dibuat di Balai Polis Pekan Baru kerana bimbang dengan tindakan agresif mereka yang mungkin menjejaskan keselamatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Namun Mohd Nor Azman terkilan kerana tiada tindakan susulan dibuat oleh pihak berkenaan selepas kejadian itu.

“Lebih teruk lagi, perniagaan kami diganggu oleh pihak berkuasa yang datang membuat serbuan sebanyak dua kali dalam satu hari dengan alasan meletakkan barang sehingga mengganggu laluan pejalan kaki.

“Lebih pelik, peniaga lain yang turut membuat kesalahan sama tidak dikenakan apa-apa tindakan malah dibiarkan pula,” katanya.

Mohd Nor Azman berkata, tidak habis menggunakan kuasa, ada segelintir masyarakat yang jelas ingin melingkupkan perniagaannya dengan menggunakan ‘cara halus’ beberapa kali.

“Ia terbukti apabila terdapat taburan beras kunyit dan lada hitam serta tanah kubur di hadapan kedai sebelum memulakan perniagaan. Lebih tergamak lagi apabila mereka meletakkan tahi kucing di tempat letak barang jualan.

“Kami hanya menjalankan perniagaan bagi menyara keluarga setelah sekian lama berusaha keluar dari kemiskinan. Kami bersyukur dengan bantuan dari Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim yang memberi nafas baru kepada keluarga kami,” katanya.Diserang kerana cemburu - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Misteri empat kereta terbakar


NUR FARHANA ABDUL MANAN
9 Februari 2012
Misteri empat kereta terbakar

SUBANG JAYA -“Jiran ketuk rumah berkali-kali memaklumkan kedai runcit yang diusahakan saya di tingkat bawah pangsapuri Seri Nipah, Subang Mas di sini terbakar. Namun sebaik tiba di bawah saya terkedu melihat kereta Proton Iswara milik saya sebenarnya yang terbakar,” kata Mohd Nazim Nasaruddin, 28, salah seorang daripada empat pemilik kereta yang musnah terbakar, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, Mohd Nazim berkata, sebaik diberitahu oleh jirannya mengenai kejadian, dia bergegas meluru ke tingkat bawah pangsapuri.

“Sampai sahaja di tingkat bawah, saya lihat kereta jenis Mini Cooper yang diletakkan betul-betul di depan kedai runcit diusahakan sudah musnah terbakar.

“Bimbang api merebak ke kereta saya yang diletakkan bersebelahan, saya kemudian mengambil keputusan mengalihkan kereta ke tempat lain tetapi perbuatan itu ditegah penduduk lain,” katanya ia berikutan kedengaran bunyi letupan dari kereta yang musnah terbakar.

Mohd Nazim berkata, dia cuba memadamkan api yang mula merebak ke keretanya dan dua kereta lain menggunakan pakaian yang terdapat di dalam kereta.

“Apabila merasakan keadaan mulai selamat, saya terus mengalihkan kereta ke tempat lebih selamat.

“Kejadian menyebabkan saya kerugian ribuan ribu ringgit, namun bersyukur ia tidak merebak hingga ke kedai runcit diusahakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 pagi itu disedari oleh salah seorang peniaga kedai makan berhampiran.

Katanya, pekerja restoran itu memaklumkan terlihat kepulan asap keluar dari sebuah kereta menyebabkan dia bingkas mendapatkan bantuan dan berusaha memadamkan api.

Tambahnya, saksi memaklumkan kebakaran bermula dari bahagian enjin kereta jenis Mini Cooper sebelum merebak ke tiga lagi kereta bersebelahan.

Punca kebakaran dipercayai daripada litar pintas yang berlaku di bahagian enjin kereta itu.

“Empat kereta yang musnah terbakar termasuk kereta jenis Proton Iswara, Mini Cooper, Toyota Corolla, dan Perodua Kelisa. Kerugian dianggarkan melebihi RM200,000.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur khianat dan setakat ini ia diklasifikasikan sebagai kes bencana,” katanya.Misteri empat kereta terbakar - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kren tumbang hempap empat kenderaan


AHMAD ISMADI ISMAIL
9 Februari 2012

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus projek sebuah syarikat pembinaan nyaris maut selepas kepala sebuah kren di tapak pembinaan bangunan 35 tingkat berhampiran Hotel InterContinental di Jalan Ampang di sini, patah petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari itu, empat kenderaan termasuk sebuah kereta jenis Perodua Kelisa, Proton Wira dan Proton Satria, yang diletakkan di kawasan berkenaan manakala sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Lexus, yang sedang melalui kawasan itu remuk teruk di bahagian belakang.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Eric, 52 berkata, dia sedang dalam perjalanan denga memandu Toyota Lexus untuk mengambil majikannya yang sedang membeli-belah di Menara Berkembar Petronas.

“Saya cuba mengelak sesuatu yang jatuh dari atas bangunan itu, namun sebahagian kren menghempap bahagian belakang kereta, mujurlah saya selamat,” katanya.

Seorang lagi saksi kejadian, Albert Sam, 37, berkata, dia biasanya memandu di kawasan itu untuk menghantar majikannya ke pejabat.

“Saya bernasib baik tidak melalui jalan itu pada hari ini kerana mengikut gerak hati, saya melihat kren yang jatuh ketika itu seperti ‘gempa bumi’ sedang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khairudin Drahman berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan telah mengarahkan kerja pembinaan itu ditangguhkan sehingga siasatan selesai.

“Kami menerima panggilan kira-kira jam 1.23 tengah hari, seramai 15 anggota dan dua buah jentera dari Balai Bomba dan penyelamat Pusat dan Chow Kit, jentera pertama sampai ke lokasi kejadian 14 minit kemudian,” katanya.

Bagaimanapun, katanya tiada kemalangan jiwa dilaporkan.Kren tumbang hempap empat kenderaan - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tak sanggup jadi pemuas nafsu


WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Februari 2012

BALIK PULAU - Gara-gara tidak sanggup lagi menjadi bahan pemuas nafsu seks teman lelaki ibunya sejak awal tahun lalu, seorang pelajar tingkatan dua bertindak melarikan diri dari rumahnya bagi mengelak terus menjadi mangsa keadaan.

Remaja perempuan berkenaan dipercayai bertindak demikian pada 6 Februari lalu selepas suspek berusia 46 tahun itu dikatakan mengugut mahu memukul mangsa sekiranya memberitahu ibunya mengenai perbuatan jijiknya itu.

Difahamkan, suspek dikatakan tinggal bersama keluarga mangsa sejak empat tahun lalu selepas kematian bapanya akibat kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Hatta Md Zin ketika dihubungi berkata, kejadian itu berlaku apabila ibu mangsa tiada di rumah dan kali terakhir mangsa didakwa dirogol suspek pada dua minggu lalu, kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, mangsa bertindak meninggalkan rumah tanpa disedari ibunya pada Isnin lalu dan tinggal bersama seorang rakan di Seberang Perai.

Beliau berkata, remaja terbabit bagaimanapun dibawa rakannya untuk membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut kelmarin, kira-kira jam 8 pagi.

“Mangsa turut mengatakan kejadian sama berlaku sejak awal tahun lalu tetapi dia terpaksa mendiamkan diri kerana takut dicederakan.

“Remaja terbabit kini berada di Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan lanjut kesihatan dan polis telah memanggil ibunya untuk siasatan,” katanya.Tak sanggup jadi pemuas nafsu - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

KDN: Tiada laporan rasmi Hilmi ditahan


WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Februari 2012

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya belum menerima laporan rasmi mengenai penahanan Azmin Hilmi di Batam Indonesia yang disyaki terlibat menyebar gambar bogel bekas teman wanitanya, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

"Kita belum terima laporan rasmi. Tapi kita telah mendapat kerjasama Interpol sejak awal lagi dan dalam kes ini seperti biasa siasatan akan dijalankan.

"Jadi bila saya dapat laporan daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Datuk Seri Mohd Bakri Zinin) mengenai kes ini, saya harap kita boleh umumkan kepada orang ramai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata pihaknya telah menerima pengesahan identiti lelaki itu daripada pihak berkuasa Indonesia.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pihak berkuasa Batam, Indonesia ketika dia cuba memperbaharui pasport dengan menggunakan kad identiti dan sijil lahir palsu di Jabatan Imigresen Batam.

Pemeriksaan lanjut pihak berkuasa Indonesia terhadap lelaki itu kemudian mendapati dia warga Malaysia dan mendakwa dirinya adalah anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengenai sama ada Azmin Hilmi perlu dibawa pulang ke Malaysia, Hishammuddin berkata ia juga bergantung pada siasatan polis.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata pengendali portal berita 'Malaysia Today' Raja Petra Kamaruddin boleh membuat laporan polis berhubung dakwaan terdapat keraguan di sebalik kematian ahli perniagaan Datuk Patrick
Wong.

Polis hari ini menjelaskan kematian bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) itu pada 2009 telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh sejak awal lagi. - BernamaKDN: Tiada laporan rasmi Hilmi ditahan - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Nama pemain rasuah didedah





KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengotakan janji untuk tidak ‘beri muka’ kepada pemain yang terlibat dalam rasuah bola sepak apabila menyiarkan nama pemain dan pegawai yang terlibat mengatur perlawanan, semalam.

Dalam kenyataan kepada media semalam, FAM mendedahkan nama 11 pemain pasukan Piala Presiden 2011 Negeri Sembilan yang didakwa terlibat dalam rasuah setelah Jawatankuasa Tatatertib mendapati wujudnya unsur-unsur rasuah dan gejala mengatur perlawanan.

Hukuman penggantungan pemain dan pegawai tersebut berkuatkuasa pada 30 November lalu.

Empat pemain iaitu Mohd. Yatim Abdullah, Adrian Davadas, Norhairi Abdul Rahman dan Muhammad Zulfadhlie Mohamad A’ashari dikenakan hukuman gantung selama setahun daripada terlibat dengan semua aktiviti bola sepak di peringkat kebangsaan.

Mereka juga tidak boleh mengemukakan sebarang rayuan kepada FAM.

Tujuh lagi pemain itu Muhammad Zaidi Othman, Hamirul Fahamie Abu Yazid, Anwarul Hafiz Ahmad, Muhamad Haikal Mohamad Nazri, Suhairy Johari dikenakan hukuman lebih berat iaitu gantung lima tahun.

Pemain terbabit hanya dibenarkan membuat rayuan selepas menjalani hukuman penggantungan setahun.

Rayuan yang dibuat perlu dilakukan secara bertulis kepada FAM.

Ketua jurulatih pasukan Piala Presiden 2011 Negeri Sembilan, Yusarman Yusof pula digantung seumur hidup dan tidak boleh terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak.

Yusarman hanya boleh mengemukakan rayuan secara bertulis kepada FAM selepas 10 tahun menjalani hukuman.

Dalam kenyataannya, FAM turut mengumumkan pegawai-pegawai dan para pemain pasukan Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy 2011, pasukan Piala Presiden Johor MP Muar FC 2011, pasukan Piala Presiden Terengganu PBDKT/T-Team 2010 digantung sementara sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang akan datang.

Minggu lalu, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mendedahkan badan induk itu sudah mengenal pasti 18 pemain dan seorang jurulatih yang didapati terbabit dalam skandal rasuah pada Liga Malaysia musim lepas.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco FAM yang dipengerusikan Tengku Abdullah sendiri.

Kontroversi mengenai rasuah mula menggegar bola sepak tanah air apabila beberapa pemain pasukan Perlis disoal siasat kerana disyaki menerima wang daripada bookie untuk mengatur perlawanan ketika dibelasah 7-2 oleh MP Muar dalam aksi pertama Liga Perdana musim ini.

Sebagai langkah awal membanteras kegiatan itu, FAM melaksanakan pendekatan 3E (education, engagement, enforcement) atau pendidikan, pembabitan dan penguatkuasaan untuk membanteras kegiatan rasuah dalam arena bola sepak tempatan.

Tengku Abdullah memberitahu, melalui pendekatan 3E, selepas ini semua proses pendaftaran pemain perlu melalui satu badan khas yang akan ditubuhkan bagi mengenal pasti pemain yang memiliki rekod buruk.

“Kalau ada pemain yang mempunyai rekod tidak baik, kita tidak benarkan mereka beraksi dan lesen tidak akan dikeluarkan,” ujarnya.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

Tiga lelaki didakwa edar 640 gram heroin


PASIR MAS 8 Feb. - Tiga lelaki berdepan dengan hukuman mati di tali gantung apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 640 gram bernilai hampir RM1 juta pada hujung bulan lalu.

Roslan Hanapi, 34, Abdul Razak Senik, 39, dan Mohd. Hafizul Aswan Azman, 29, dituduh mengedar dadah tersebut kira-kira pukul 2.15 pagi, 30 Januari lalu di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Bakat, Rantau Panjang, di sini.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali mengikut Seksyen 39(B)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 39(B)(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh.

Hakim Irwan Suainbon menetapkan 20 Mac ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Sementara itu, Roslan yang berasal dari Kampung Banggol Kulim di sini turut menghadapi tiga pertuduhan lain termasuk memiliki senjata api dan peluru hidup tanpa lesen.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan sepucuk pistol jenis Revolver .32 3" Mod 31-1 Smith & Wesson bagi menghalang pihak polis daripada menangkapnya di sebuah stor belakang rumah tersebut pada masa dan tarikh yang sama.

Roslan didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 5 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 dan boleh dihukum penjara seumur hidup beserta sebatan tidak kurang daripada enam sebatan.

Tertuduh turut didakwa memiliki pistol tersebut tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun serta sebatan tidak melebih enam kali.

Sementara bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa memiliki empat butir peluru hidup jenis Rds .32 Auto PMC tanpa lesen iaitu kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Roslan mengaku tidak bersalah dan Irwan menetapkan 20 Mac ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan daripada pakar senjata.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Pelakon Nasha tarik balik rayuan bayar RM10,000 kepada bapa


PUTRAJAYA 8 Feb. - Model dan pelakon terkenal, Nasha Aziz (menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahnya membayar ganti rugi am RM10,000 kepada bapa kandung yang menyamannya kerana didakwa memfitnah.

Kes itu disebut hari ini di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zainun Ali yang bersidang bersama Datuk Ramly Ali dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Permohonan artis itu bagi menarik balik rayuan tersebut dikemukakan melalui peguam Siti Maspuah Maulan yang mewakilinya. Bapanya, Abdul Aziz Mohd. Ali, 63, diwakili oleh M. Visvanathan.

Pada 9 Oktober 2009, Mahkamah Tinggi memerintahkan Nasha atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, 40, membayar ganti rugi am RM10,000 dan juga faedah lapan peratus mulai 31 Mac 2005 sehingga penyelesaian penuh saman tersebut.

Bapa artis tersebut memfailkan saman terhadap Nasha pada 31 Mac 2005 setelah mendakwa artikel bertajuk Jangan Tanya Hal Peribadi dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 24 Oktober 2004 berunsur fitnah terhadapnya.

Abdul Aziz selaku plaintif yang ketika itu merupakan Presiden Pertubuhan Seni Silat Kegayungan (A) Helang Putih Malaysia dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, Nasha ialah anak kandungnya.

Secara alternatif artikel tersebut, dakwa plaintif, apabila dibaca secara keseluruhannya memfitnah kerana ia membawa maksud bahawa dia bukan bapa kandung Nasha dan telah meninggal dunia.

Ekoran artikel tersebut, dakwa plaintif, reputasinya terjejas dan mengalami kesengsaraan selain malu yang keterlaluan.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Dua pegawai TH terlibat 'haji ekspres' didakwa hari ini


KUALA LUMPUR 8 Feb. - Dua pegawai Lembaga Tabung Haji yang dipercayai terlibat dalam sindiket melangkau giliran menunaikan haji atau 'haji ekspres' dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta di sini esok.

Kedua-duanya berusia 30-an dan 40-an itu akan didakwa di bawah Seksyen 5(1) akta Jenayah Komputer 1997 dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Menurut sumber, seorang daripadanya dikatakan telah membuat capaian ke Pangkalan Data Tabung Haji dan memasukkan rekod jemaah haji menggunakan program khas tanpa kuasa.

Katanya, ia sekali gus menyebabkan pengubahsuaian kandungan pangkalan data sistem haji untuk Lembaga Tabung Haji.

"Seorang lagi didakwa telah secara rasuah menerima suapan sebagai upah untuk menguruskan nama-nama jemaah haji yang tidak layak menunaikan haji pada 2010," kata sumber itu.

Difahamkan, tarikh pendakwaan kes itu telah dipercepatkan selepas isu tersebut mendapat perhatian ramai.

Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan satu sindiket haji ekspres dikesan beroperasi sejak 2009 dengan menawarkan orang ramai melangkau giliran bagi menunaikan ibadat haji.

Difahamkan, sindiket itu turut dianggotai oleh pegawai Tabung Haji dan beberapa bekas kakitangannya. Kegiatan sindiket itu berjaya dikesan pihak berkuasa pada 2009 apabila mereka dilaporkan meminta suapan bagi membolehkan jemaah haji menunaikan ibadat itu lebih awal daripada jadual.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Sorok dadah dalam omboh



NOOR Rashid Ibrahim (kiri) menunjukkan omboh kereta yang digunakan untuk menyembunyikan dadah jenis syabu pada sidang akhbar di Bukit Aman, semalam.


KUALA LUMPUR 8 Feb. - Polis berjaya menumpaskan cubaan mengedar 2.8 kilogram dadah jenis syabu yang disorokkan di dalam 16 buah omboh kenderaan dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Orkid, Cheras di sini pada 1 Februari lalu.

Taktik terbaru itu didalangi warga Afrika ekoran penahanan dua lelaki masing-masing dari Nigeria dan Guinea serta seorang wanita tempatan yang berusia 24 hingga 42 tahun dalam serbuan pukul 6 petang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan menemui satu guni plastik yang mengandungi empat kotak komponen kenderaan itu.

"Setelah diperiksa terdapat bungkusan dadah diletakkan di dalam omboh itu. Kita percaya ia taktik terbaru digunakan tetapi kita yakin ia bukan kali pertama dilakukan mereka," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Noor Rashid berkata, pihaknya juga berjaya menumpaskan cubaan seorang lelaki warga Singapura untuk menyeludup 1,000 pil Eramin 5 di Taman Austin Perdana, Johor Bharu pada 31 Januari lalu.

Katanya, suspek dikesan bersembunyi di Johor atas kesalahan dadah serta memiliki pelbagai rekod jenayah lain seperti pecah rumah, mencabul dan bergaduh.

Tambahnya, kejayaan itu adalah hasil maklumat yang disalurkan oleh Biro Narkotik Pusat Singapura.

"Suspek ditahan bersama seorang wanita tempatan dan seorang wanita Filipina yang kesemua mereka berusia 30 hingga 49 tahun," katanya.

Noor Rashid berkata, kedua-dua kes terbabit melibatkan nilai RM700,000 dan disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Padah curi besi pagar landasan


TAPAH 8 Feb. - Akibat terdesak untuk membeli dadah, seorang lelaki sanggup mencuri tiang besi pagar landasan keretapi di Kilometer 241.50 Bidor menghala ke Kuala Lumpur milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini petang kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan berbahaya suspek bersama seorang lagi rakannya berjaya dihidu orang awam yang kemudian melaporkan kejadian tersebut di Balai Polis Bidor, pukul 6.15 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abdullah Arshad berkata, dengan bantuan polis bantuan KTMB, polis menahan seorang lelaki dipercayai penagih dadah berusia 19 tahun dan merampas lapan batang tiang besi pagar milik KTMB dan sebilah gergaji besi.

Bagaimanapun, kata Abdullah, rakan suspek berjaya melepaskan diri sebaik sahaja polis menyerbu kawasan kejadian.

"Ketika diserbu kedua-duanya sibuk memotong tiang besi pagar itu. Hasil soal siasat, suspek yang ditahan mengaku telah mencuri batang besi untuk dijadikan modal membeli dadah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Abdullah memberitahu, suspek akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau menambah, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai penduduk tempatan.

Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'