Search This Blog

Wednesday, February 8, 2012

Dua lelaki didakwa bunuh pemandu lori




2012/02/08

KLANG: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang pemandu lori yang mayatnya ditemui di luar sebuah kuil di sini pada bulan lalu.

M Kalimurali, 28, K Mailvagam, 42, dan bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Pajan Singh, 55, berhampiran Kuil Periyachikali Aman, Simpang Lima, Jalan Langat di sini kira-kira jam 3.30 petang pada 23 Januari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Kalimurali seorang mekanik dan Mailvagam, pengawal keselamatan, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Hurman Hussain menetapkan 11 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Iskandariah Md Tahir sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA Berita Harian Online | Dua lelaki didakwa bunuh pemandu lori:

'via Blog this'

Budak pecah kepala digilis bapa


Oleh Rosli Abdul Jalil
bhnews@bharian.com.my
2012/02/08

KERETA kepunyaan bapa mangsa,   di pekarangan rumahnya di Kampung Dusun, Kuala Lipis. Gambar kecil menunjukkan keadaan Nurfazliyana selepas digilis.
KERETA kepunyaan bapa mangsa, di pekarangan rumahnya di Kampung Dusun, Kuala Lipis. Gambar kecil menunjukkan keadaan Nurfazliyana selepas digilis.
Mangsa maut ekori kenderaan tanpa disedari pemandu sedang mengundur

KUANTAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun maut selepas digilis kenderaan pacuan empat roda yang dipandu bapanya ketika mengundur di rumahnya di Kampung Dusun, Kuala Lipis, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.05 petang, Nurfazliyana Jais, dipercayai mengekori bapanya yang hendak ke kebun melihat tanaman.
Bapanya, Jais Selamad, 45, tanpa menyedari perkara itu terus menghidupkan kenderaan untuk berundur tetapi berasa seperti melanggar sesuatu lalu keluar untuk melihatnya.

Beliau terkejut apabila mendapati anak bongsunya terbaring berlumuran darah di kepala dan terus membawanya ke Hospital Kuala Lipis (HKL).

Sebelum kejadian, Jais bersama isteri, Rosaida Mustafa, 39, dan empat anaknya termasuk Nurfazliyana menikmati bubur di rumah mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata siasatan awal mendapati, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat digilis tayar pacuan empat roda berkenaan.
Katanya, polis sudah mengambil keterangan bapa mangsa bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jais yang dihubungi masih dalam kesedihan kerana kehilangan anak bongsu kesayangannya.

Walaupun reda dengan kejadian itu, dia tetap sedih kerana kejadian itu amat memilukan.

“Saya tidak akan dapat memaafkan diri saya dengan kejadian ini.

“Kami sekeluarga sedang menikmati bubur yang saya beli di sebuah restoran makanan segera di bandar Jerantut.

“Seketika kemudian, saya menyatakan hasrat pergi melihat tanaman di kebun tanpa menyedari arwah berada di belakang kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dusun, kira-kira jam 11 pagi, semalam. Berita Harian Online | Budak pecah kepala digilis bapa:

'via Blog this'

Bayi baru lahir dijumpai di tepi bangunan di Tawau




2012/02/08

TAWAU: Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan dijumpai di tepi bangunan milik sebuah syarikat swasta di Jalan Tanjung Batu, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin, berkata bayi yang dibungkus menggunakan kain batik dan ditinggalkan di tepi bangunan berkenaan dijumpai seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas kira-kira jam 5.05 pagi.
"Ketika mendekati bungkusan itu, dia mendengar suara tangisan bayi lalu terus menghubungi polis," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, bayi yang cukup sifat berkenaan kini ditempatkan sementara di Hospital Tawau untuk tujuan pemantauan.

Beliau meminta pengusaha klinik yang didatangi wanita yang baru melahirkan bayi dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi itu supaya menghubungi Rakan Cop di talian 089-772121 atau terus kepada Inspektor Nur Intan Jamri, di talian 019-8416591.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

2 beranak bergelut dua penyamun



PADANG SERAI 7 Feb. - Tindakan berani dua beranak bergelut dengan dua penjenayah berjaya menggagalkan cubaan mereka untuk menyamun kedai menjual peralatan telekomunikasi milik mangsa di Jalan Lunas di sini malam tadi.
Kejadian berlaku pukul 8 malam ketika suspek berusia antara 20 dan 30 tahun itu yang memakai topi keledar dan bersenjatakan parang panjang meluru masuk ke dalam premis terbabit.
Dua lagi rakan suspek dipercayai menunggu di luar premis. Dua suspek yang masuk ke premis itu kemudian mengacukan parang kepada pemiliknya yang berusia 29 tahun.
Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Ghuzlan Saleh berkata, mangsa lalu bergelut dengan suspek menyebabkannya dilibas dengan parang yang mengenai kepala dan lengannya.
"Mangsa kemudian menjerit meminta pertolongan daripada bapanya yang berada di dalam sebuah bilik di kedai itu. Setelah terdengar jeritan itu, bapanya yang berusia 60 tahun itu keluar dan bergelut dengan suspek.
"Bapanya berjaya merampas parang daripada salah seorang lelaki itu dan menyebabkan suspek yang ketakutan melarikan diri bersama rakannya dengan menaiki dua motosikal tanpa hasil samun," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan dimasukkan ke Hospital Kulim (HK) sementara bapanya yang menerima lapan jahitan dibenarkan pulang selepas dirawat sebagai pesakit luar.
"Polis akan meneliti rakaman CCTV (kamera litar tertutup) yang dipasang dalam premis itu untuk mengenal pasti identiti suspek," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di talian 04-4906222 untuk membantu siasatan.

'Ingat ayah yang kejutkan, rupa-rupanya pencuri'



Mangsa menunjukan kain batik dan pengecas komputer riba yang digunakan perompak untuk mengikat mangsa dalam satu kejadian rompakan di sebuah rumah di Jalan Parit Mahang, Ijok, Selangor, semalam.


KUALA SELANGOR 7 Feb. - "Saya ingat ayah yang kejut saya bangun, rupa-rupanya pencuri," kata Mohd. Aminudin Abd. Rahin, 20, ketika menceritakan detik cemas berhadapan dengan sekumpulan penyamun yang memecah masuk ke dalam rumahnya di Jalan Berkat, Kampung Parit Mahang di sini awal pagi ini.
Menurut pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara Seri Gading, Johor itu, dia terpaksa akur apabila salah seorang penyamun mengikat kedua-dua belah tangannya ke belakang dan menyuruhnya menuju ke ruang makan.
Katanya, ketika empat penyamun yang bersenjatakan parang itu memecah masuk ke dalam rumahnya kira-kira pukul 3 pagi, dia sedang tidur di bahagian ruang tamu.
Tambahnya, penjenayah tersebut juga mengejutkan semua ahli keluarga termasuk kedua-dua ibu bapanya, Rahim Din, 42, dan Noratimah Jamari, 42, serta empat lagi adiknya sebelum mengumpulkan mereka di ruang makan.
"Penjenayah itu mengikat kami kecuali ibu serta adik saya yang kecil dan mengarahkan kami diam. Mereka kemudian terus menggeledah rumah dan mengambil barangan berharga antaranya komputer riba, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai," kata Mohd. Aminudin ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Ekoran kejadian samun tersebut, polis menembak mati tiga daripada empat penjenayah bersenjatakan pistol dan parang dalam kejadian berbalas tembak di dalam ladang kelapa sawit di Jalan Parit Mahang, Ijok di sini awal pagi ini.
Seorang lagi penjenayah berjaya melarikan diri ke dalam hutan dan kini sedang diburu. Identiti kesemua suspek masih belum dikenal pasti memandangkan tiada dokumen pengenalan diri ditemui.
Mohd. Aminudin memberitahu, penjenayah itu juga meminta kunci kenderaan bapanya bagi mengambil sebuah telefon bimbit di dalamnya sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta, 20 minit kemudian.
"Selepas itu tiba-tiba timbul rasa berani hingga saya nekad mengejar penjenayah itu dengan menaiki motosikal tetapi gagal menjejaki mereka.
"Dalam perjalanan, saya terserempak dengan anggota polis yang kebetulan membuat rondaan, jadi saya terus melaporkan kejadian samun yang berlaku di rumah saya," katanya.
Mohd. Aminudin yang merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik itu berkata, bapanya juga telah menghubungi pihak polis selepas kejadian samun tersebut dan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor dekat sini.
Katanya, ini adalah kali pertama rumahnya yang separuh kayu dan batu itu dipecah masuk oleh penjenayah sejak mereka sekeluarga menetap di situ.
"Sebelum ini, kawasan di sekitar rumah saya memang banyak kejadian pecah masuk dan pukau. Kali terakhir semasa hari raya tahun lepas tetapi tiada kejadian sedemikian berlaku selepas itu.
"Tidak sangka pula kali ini rumah saya yang kena. Saya bersyukur kerana kami sekeluarga tidak diapa-apakan walaupun barangan berharga kami dilarikan oleh penjenayah itu," katanya yang sepatutnya memulakan pengajian hari ini.

Enam sekeluarga sesat empat jam di hutan rekreasi



KULAIJAYA 7 Feb. - Hasrat enam sekeluarga menjalankan aktiviti fizikal sebagai persiapan menyertai satu pertandingan renang tidak lama lagi berakhir dengan mereka tersesat selama empat jam di Hutan Rekreasi Gunung Pulai di sini semalam.
Mangsa ialah Gan Kock Kiong, 42, bersama tiga anaknya, Gan Jie En, 16; Gan Jie Ying, 12, dan Gan Hong Jun, 10. Dua lagi ialah anak saudara Kock Kiong, Gan Kai Boon, 15, dan Gan Kai Qi, 9.
Mereka dilaporkan hilang oleh keluarganya di hutan itu pukul 5.30 petang dan hanya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pukul 9.30 malam sebelum dibawa keluar dua jam kemudian.
Kesemua mereka sebelum itu dikatakan pergi ke pusat rekreasi itu untuk beriadah dan menjalani latihan stamina sebagai persediaan menghadapi pertandingan renang.
Mereka kemudian memilih untuk menggunakan jalan denai dan bukan trek yang biasa digunakan pendaki lain.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Zulkefly Yahaya berkata, pihaknya difahamkan keenam-enam mereka membuat keputusan menggunakan jalan itu kerana menganggap lebih mencabar dan lasak.
"Ahli keluarga lain yang menunggu di kaki gunung mula bimbang apabila mereka tidak muncul selepas sejam menunggu sebelum menghubungi polis.
"Sejurus menerima laporan, kami menjalankan operasi bersama pasukan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
"Kesemua mangsa akhirnya berjaya ditemui 700 meter dari trek utama dan dibawa turun dua jam kemudian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak polis menggunakan alat pengesan kedudukan (GPS) bagi mengesan kedudukan mangsa berdasarkan isyarat telefon bimbit sebelum melepaskan tembakan lampu ke udara.
Katanya, ketika ditemui mangsa berada agak jauh dari tempat rekreasi pengunjung.
Zulkefly memberitahu, hasil siasatan awal mendapati laluan trek yang berbukit serta agak curam serta gelap dipercayai punca menyebabkan mangsa keliru dan gagal untuk mencari jalan keluar.
"Kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil dan telah pulang ke rumah selepas menerima rawatan awal daripada unit kecemasan perubatan yang turut bersiap sedia di kawasan pergunungan itu semasa operasi mencari dijalankan," katanya.
Sementara itu, Kock Kiong berkata, dia bersama keluarga pergi ke pusat rekreasi itu untuk mendaki bagi meningkatkan stamina sebagai persiapan menyertai pertandingan renang di Johor Bahru bulan ini.
Katanya, pada mulanya mereka menggunakan laluan mendaki biasa sebelum mengubah ke laluan hutan yang dianggap lebih mencabar.
"Selepas sejam melalui jalan hutan, kami gagal mencari jalan keluar. Mujur saya membawa telefon bimbit dan menghubungi isteri untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Maut digilis kereta bapa



KUANTAN 7 Feb. – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan maut digilis kereta yang dipandu oleh bapanya sendiri dalam kejadian di rumahnya di Kampung Dusun dekat Kuala Lipis semalam.
Mangsa, Nurfazliyana Jais dilaporkan meninggal dunia di rumah keluarganya akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, kejadian berlaku pada pukul 6.05 petang apabila bapa mangsa berusia 45 tahun dikatakan sedang mengundur keretanya tanpa menyedari anak bongsu daripada empat beradik terbabit berada di belakang kenderaan tersebut.
Menurutnya, semasa kejadian, mangsa dipercayai sedang makan bubur bersama adik-beradiknya yang lain di dalam rumah manakala bapanya keluar menghidupkan enjin kereta untuk pergi ke kebun.
“Apabila kereta diundurkan, secara tiba-tiba dia meluru keluar dan pergi ke belakang kenderaan itu tanpa disedari oleh bapanya.
“Akibatnya, mangsa dipercayai dilanggar dan kepalanya dilenyek kereta itu sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Razak berkata, kejadian hanya disedari oleh ibu mangsa yang berusia 39 tahun apabila dia terdengar bunyi kuat seakan- akan benda terhantuk di luar rumah.
“Jenazahnya dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya,” katanya.



SERPIHAN zink dan kayu bumbung bertaburan di halaman Pangsapuri Teratai di Bukit Subang, Subang Jaya akibat dipukul ribut kencang dan hujan lebat semalam. (Gambar kecil) Roshidah Daus. – UTUSAN/AMRUL YUSOF



SUBANG JAYA 7 Feb. – Sebanyak 23 unit rumah di beberapa buah pangsapuri di Bukit Subang di sini mengalami kerosakan termasuk sembilan daripadanya tercabut bumbung akibat diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut petang ini.
Sembilan unit itu melibatkan Pangsapuri Teratai setinggi lima tingkat yang bumbungnya melayang sejauh 100 meter sehingga ke Pangsapuri Melor yang terletak bersebelahan, dalam insiden kira-kira pukul 4 petang itu.
Unit-unit kediaman di pangsapuri lain hanya mengalami kerosakan kecil. Tiada kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan.
Kejadian yang berlaku selama 10 minit itu menyebabkan 100 penghuni terjejas dan kerugian harta benda termasuk ada beberapa kenderaan remuk dihempap bumbung dan pokok-pokok tumbang.
Penyelaras Barisan Nasional (BN) Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Md. Zin yang meluangkan masa melawat mangsa meminta mereka yang terlibat membuat laporan polis dan mendaftar nama serta jumlah kerosakan masing-masing.
“Buat sementara waktu, kesemua mangsa bencana akan ditempatkan di surau pangsapuri-pangsapuri terlibat sementara bantuan disalurkan.
“Kami akan melihat bentuk bantuan yang diperlukan termasuk perlindungan insurans dan tabung bencana,” katanya.
Sementara itu, seorang kanak-kanak berusia dua tahun nyaris dihempap bumbung rumahnya di Pangsapuri Teratai yang tercabut.
Namun ibunya yang sarat mengandung sembilan bulan sempat mendukung anaknya, Muhammad Hadith Al Baini Mohd. Hanafiah, keluar dari bilik.
Menurut Roshidah Daud, 36, dia sedang tidur di dalam bilik namun dikejutkan anak sulungnya yang berusia sembilan tahun yang memaklumkan hujan memasuki rumahnya.
“Dalam keadaan cemas itu, saya hanya fikirkan keselamatan anak-anak. Saya dukung Muhammad Hadith dan dalam beberapa saat bumbung terhempas ke katilnya.
“Seorang jiran datang membantu mengeluarkan kami anak-beranak dari rumah sebelum keadaan bertambah teruk. Suami yang sedang bekerja terkejut menerima berita tersebut,” katanya.
Ibu kepada tiga anak itu bersyukur kerana terselamat dalam bencana itu walaupun kerugian harta benda.

3 penjenayah mati ditembak



Anggota Forensik mengangkat mayat perompak yang mati ditembak dalam satu kejadian berbalas tembakan di Jalan Parit Mahang, Ijok, Selangor, semalam.


KUALA SELANGOR 7 Feb. – Polis menembak mati tiga daripada empat penjenayah bersenjatakan pistol dan parang dalam kejadian berbalas tembak di dalam ladang kelapa sawit di Jalan Parit Mahang, Ijok di sini awal pagi ini.

Seorang lagi penjenayah berjaya melarikan diri ke dalam hutan dan kini sedang diburu. Identiti kesemua suspek masih belum dikenal pasti memandangkan tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

Difahamkan, sebelum kejadian berbalas tembak, kesemua suspek baru menyamun rumah seorang pemandu lori di Jalan Berkat, Kampung Parit Mahang, kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian pada pukul 3 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, sebaik sahaja menerima laporan kejadian itu, polis yang kebetulan menjalankan rondaan berdekatan tempat kejadian terserempak dengan kenderaan suspek terbabit.

Beliau berkata, suspek yang cuba lari telah dikejar sejauh tiga kilometer sebelum tiga daripada mereka mati selepas berbalas tembak dengan polis di tempat kejadian.

“Semasa polis sedang mengejar suspek di dalam kawasan ladang kelapa sawit, kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam lopak di Jalan Parit Mahang. Keempat-empat suspek keluar daripada kereta dan dua daripada mereka terus melepaskan tembakan ke arah pihak polis.

“Dalam usaha mempertahankan diri, pihak polis melepaskan tembakan balas dan tiga daripada penjenayah terbabit mati di tempat kejadian namun seorang lagi suspek berjaya melarikan diri ke dalam hutan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Mohd. Adnan berkata, hasil pemeriksaan terhadap mayat tiga suspek tersebut dan kereta Proton Wira yang dinaiki mereka, polis menemui dua pucuk pistol jenis revolver dan Smith and Wesson, satu parang, sabit, beg komputer riba serta sejumlah wang.

Menurut beliau, semakan terhadap kereta yang dinaiki suspek mendapati, kenderaan itu dilaporkan dicuri di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 17 Januari lalu.

“Kita kini sedang menyiasat sama ada kesemua suspek terlibat dengan 13 kes samun bersenjata di sekitar Selangor.

“Kita juga telah mengerahkan Unit Anjing Pengesan untuk mengesan suspek yang masih bebas,” katanya sambil memberitahu kejadian disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 307 Kanun Keseksaan.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

Fanatik Kristian pertahan tindakan keganasan


OSLO 7 Feb. – Ahli keluarga dan mangsa yng terselamat dalam serangan fanatik Kristian, Anders Behring Breivik menangis dan mengutuk penyerang tersebut ketika dia mempertahankan tindakannya itu dengan senyuman di mahkamah, semalam.

Breivik yang membunuh kira-kira 77 orang dalam serangan pada Julai lalu memberikan tabik hormat dan menyatakan dia berbuat demikian bagi menghalang kemusnahan budaya negaranya.

Lelaki berumur 33 tahun itu berkata demikian ketika sesi pendengaran mengenai permohonan untuk melanjutkan tahanan reman ke atasnya.

Dia yang memakai baju sut hitam dan bertali leher warna perak berkata, serangan ke atas ibu pejabat kerajaan merupakan pendekatan pencegahan ke atas pengkhianat negara, mereka yang melakukan atau merancang melakukan kemusnahan budaya dan etnik Norway.

Breivik mengaku meletupkan bom diperbuat daripada bahan baja yang mengakibatkan lapan orang maut di bangunan kerajaan di Oslo pada Julai lalu dan beberapa jam kemudian melepaskan tembakan ke atas kem musim panas anjuran Parti Buruh yang menyebabkan kematian 69 orang.

Hakim Wenche Gjelsten melanjutkan tempoh tahanan reman ke atasnya sehingga perbicaraan bermula.

Perbicaraan kes Breivik ditetapkan pada 16 April ini.

Seorang mangsa yang terselamat, Helene Georgesen, 17, berkata, cara lelaki itu bercakap dan tersenyum menunjukkan dia mempunyai pemikiran berlainan daripada orang lain. – AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Askar Brazil gempur polis lancar mogok


SAO PAOLO 7 Feb. - Pasukan askar terpaksa bertindak melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah ke arah penunjuk perasaan yang menyokong tindakan polis melancarkan mogok dalam usaha mereka menduduki bangunan perundangan Bahia di sini, semalam.

Menurut pihak berkuasa, lebih satu pertiga daripada 30,000 anggota polis negara ini terlibat dengan mogok tersebut.

Angka kematian di Salvador, Bahia meningkat lebih dua kali ganda sejak serangan bermula seminggu lalu, namun keganasan berkurang selepas askar dikerah ke bandar itu hujung minggu lalu.

Kedutaan Amerika Syarikat di Brazil, semalam mengeluarkan amaran berjaga-jaga kepada rakyatnya bagi mengelak mereka melancong ke Bahia.

Kira-kira 1,000 askar berkumpul di bangunan yang diduduki anggota polis terbabit sejak minggu lalu bagi membantah soal pembayaran gaji dan ganjaran yang rendah.

Sumber rasmi berkata, askar yang berada di bangunan itu ingin menangkap 11 pegawai polis yang bersembunyi di situ.

Mereka dikehendaki kerana didakwa menubuhkan kumpulan yang ingin merampas bangunan dan merompak kereta polis pada minggu lalu.

Gabenor Jaques Wagner berkata, tindakan kumpulan terbabit dilihat sebagai menimbulkan panik di kalangan rakyat.

Beliau juga berkata, kumpulan anggota polis yang melancarkan mogok itu terlibat dengan beberapa pembunuhan yang berlaku baru-baru ini, walaupun tiada dakwaan pembunuhan dikaitkan dengan mana-mana polis setakat semalam. - AGENSIUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Dominasi warga Myanmar



Pekerja dari Myanmar sanggup berkerja tujuh hari seminggu dengan gaji antara RM40-RM50 sehari di Pasar Borong Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR 7 Feb. – Hampir 80 peratus warga Myanmar dilihat masih bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur walaupun rata-rata daripada mereka tidak mempunyai permit pekerjaan yang sah di negara ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di situ mendapati kebanyakan warga Myanmar yang diambil bekerja diakui oleh majikan mereka tidak mempunyai permit kerja yang sah dan alasan yang diberikan adalah kerana prosedur mendapatkan permit sangat rumit.

Rata-rata majikan di pasar borong itu juga mengambil warga Myanmar berikutan sukar mendapatkan pekerja tempatan dan sikap rajin yang ditunjukkan pekerja asing tersebut memudahkan lagi perniagaan mereka.

Seorang peniaga sayur, yang mahu dikenali sebagai Chong , 43, berkata, sikap warga Myanmar yang tidak mengeluh dan sanggup bekerja tujuh hari seminggu menyebabkan dia mengambil pekerja asing untuk bekerja di kedainya.

“Saya mempunyai empat orang pekerja warga Myanmar dan sebahagian daripada mereka tidak mempunyai permit bekerja yang sah.

“Namun saya sedang berusaha untuk mendapatkan permit yang sah untuk mereka,” katanya ketika ditemui di pasar borong itu hari ini.

Peniaga buah-buahan, Yap, 43, berkata, prosedur yang rumit menyebabkan kebanyakan majikan mengambil ringan terhadap keperluan mendapatkan permit untuk pekerja asing mereka.

“Saya mempunyai 10 pekerja warga Mynmar dan kebanyakan daripada mereka mempunyai permit bekerja yang sah dan lain-lain sedang dalam proses untuk mendapatkan permit,” katanya.

Peniaga buah-buahan, Lai, 42, pula berkata, kebanyakan daripada warga Mynmar hanya memegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan tidak memiliki permit kerja yang sah.

“Bukan tidak mahu mengambil pekerja warga tempatan, tetapi kebanyakan daripada mereka tidak berminat dan tidak mampu melakukan tugas berat seperti pekerja asing,” ujarnya.

Sementara itu, rata-rata pekerja warga Myanmar ketika ditemui memberitahu, tawaran gaji yang agak tinggi iaitu sekitar RM40 hingga RM50 sehari menyebabkan mereka suka bekerja di pasar borong tersebut walaupun terpaksa bekerja tujuh hari seminggu.Utusan Malaysia Online - Kota:

'via Blog this'

Kematian Zulkifli belum dapat disahkan





JOHOR BAHRU 7 Feb. – Usaha pihak berkuasa Filipina untuk mengesahkan sama ada pengganas Jemaah Islamiyah (JI) kelahiran Johor, Zulkifli Hir @ Marwan (gambar) benar-benar terbunuh dalam serangan udara di selatan negara itu Khamis lepas masih menemui jalan buntu.

Menurut sumber keselamatan serantau, sehingga kini pihak berkuasa Filipina masih gagal menemui sebarang mayat di lokasi serangan udara terbabit yang terletak di kawasan hutan Pulau Jolo, selatan negara itu.

“Dakwaan kematian Zulkifli itu sehingga kini masih belum disahkan kerana mereka (tentera Filipina) sehingga kini masih gagal menemui sebarang mayat di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, penemuan mayat di lokasi kejadian adalah amat kritikal kepada sebarang usaha untuk mengesahkan sama ada Zulkifli yang dilahirkan di Muar itu, benar-benar terkorban sebagaimana yang didakwa.

Sumber keselamatan itu berkata, sebarang usaha pengesahan mayat menggunakan kaedah DNA bergantung kepada penemuan mayat.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menghantar pegawainya ke Manila untuk mengesahkan sama ada Zulkifli merupakan salah seorang yang terkorban itu.

Khamis lepas, tentera Filipina mengumumkan Zulkifli dan pemimpin kanan pengganas Abu Sayyaf, Umbra Jumdail serta pengganas JI warga Singapura, Abdullah Ali @ Muawiyah termasuk dalam kira-kira 15 yang terkorban serangan udara itu.

Selain Zulkifli, terdapat juga laporan yang mendakwa seorang lagi pengganas rakyat Malaysia, Amin Bacho, dan Jeknal Adil yang kewarganegaraannya tidak dapat dipastikan turut terbunuh dalam kejadian itu.

Terdapat dakwaan mengatakan Jeknal itu adalah warga Malaysia, tetapi sumber keselamatan itu menafikannya dengan berkata, tiada kepastian mengenainya.

Dalam pada itu, sumber itu turut menyatakan kemungkinan mayat-mayat pengganas yang terkorban itu telah dikebumikan oleh rakan-rakan seperjuangan mereka. – BERNAMAUtusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

Tidak mengaku bakar muka isteri



WAN MUSTAFA dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan mencederakan muka isterinya dengan mancis api di rumahnya Khamis lalu.

Tertuduh, Wan Mustafa Mamat, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan di depan Majistret Mohd. Hafiz Mohd. Noor.

Mengikut pertuduhan, Wan Mustafa didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rohana Abdullah, 40, di rumahnya Kampung Kedai Buloh di sini pada pukul 9.30 malam, 2 Februari lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Wan Mustafa turut tidak mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan lain iaitu memiliki dua tiub straw warna biru cerah setiap satu berisi serbuk putih disyaki dadah heroin seberat 0.2 gram pada 8.15 malam 3 Februari lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hafiz Abd. Rahman menawarkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan yang dikenakan terhadapnya dikurangkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mac depan untuk sebutan kes.

Kosmo! Ahad lalu melaporkan seorang suami bukan sahaja tergamak memukul isterinya dengan kerusi bahkan mencucuh mata kiri wanita itu dengan api sehingga melecur di Kedai Buluh, Badang di sini pada Khamis lalu.

Pada kejadian lebih kurang pukul 7 malam itu, lelaki berusia 40 tahun yang juga bekas banduan itu meminta wang daripada anak perempuannya yang berusia 19 tahun untuk membeli dadah.

Apabila anaknya enggan memberinya wang, suspek mengamuk dan merampas beg duit anaknya dan memukul isterinya.

Dilaporkan, selepas itu, suspek telah bertindak membakar wang kertas RM1 menggunakan pemetik api lalu mencucuh mata kiri isterinya.Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Bumbung diterbang puting beliung



keadaan Pangsapuri Teratai di Bukit Subang, Subang Jaya yang rosak akibat dilanda puting beliung semalam.


SUBANG JAYA – Seorang wanita yang sarat mengandung sempat menyelamatkan anak bongsunya berusia dua tahun daripada dihempap bumbung rumah yang terbang akibat dilanda angin puting beliung di Pangsapuri Teratai Seksyen 16, Bukit Subang di sini semalam.

Semasa kejadian pada pukul 4 petang itu, Roshidah Daud, (gambar kecil) 36, yang sedang menghitung hari untuk melahirkan anak keempatnya terus menarik tangan Muhammad Hadith Al Bani Mohd. Hanafiah yang ketika itu lena di dalam sebuah bilik di rumah di tingkat lima.

“Sebelum kejadian saya yang berehat terkejut mendengar bunyi hujan dan angin kencang bertiup sebelum diikuti air hujan mencurah-curah memasuki rumah saya.

“Dalam cemas, saya hanya memikirkan untuk menyelamatkan Hadith yang tidur dalam bilik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Semasa kejadian, dua lagi anak Roshidah yang masing-masing berumur lima dan sembilan tahun turut berada di rumah itu.

Cerita suri rumah itu, dia yang terus mendukung Hadith kemudian menarik dua lagi anaknya keluar dari rumah.

“Sebaik keluar, kedengaran bumbung jatuh menghempap katil tempat Hadith tidur sebelum itu,” katanya yang bersyukur kerana anak-anaknya selamat.

Kejadian menakutkan itu berlaku dalam tempoh 10 minit dengan kedengaran ramai penduduk di pangsapuri itu menjerit.

Akibat kejadian itu, hampir semua bumbung tingkat lima Blok 2, Pangsapuri Teratai tercabut dan berterbangan.

Ada antara bumbung yang terbang itu terjatuh dalam kawasan Pangsapuri Melur yang terletak kira-kira 100 meter dari Pangsapuri Teratai.

Namun nasib baik tiada mangsa yang cedera dihempap bumbung tersebut.

Kejadian puting beliung yang pertama kali melanda kawasan itu menyebabkan kira-kira 100 keluarga Pangsapuri Teratai terjejas kerana kehilangan bumbung rumah.

Seorang lagi penduduk di pangsapuri itu, Noorina Mohamad, 38, berkata, dia terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi bumbung rumah bergetar sebelum bumbung itu tercabut dan jatuh ke dalam rumahnya yang terletak di tingkat lima blok 2.

“Ketika itu saya yang memasak terus memanggil tiga anak saya membantu membawa ibu saya yang uzur keluar dari rumah,” katanya yang bersyukur kerana tiada ahli keluarganya yang cedera.

Dalam kejadian luar biasa itu, lebih 20 buah kereta di Pangsapuri Teratai turut rosak akibat dihempap bumbung-bumbung terbang. Malah banyak pokok yang tumbang.

Puting beliung itu turut menjejaskan beberapa blok di Pangsapuri Melur, Melati dan Cendana yang terletak di kawasan Bukit Subang. Bagaimanapun, tingkat lima Blok 2 Pangsapuri Teratai yang paling teruk terjejas akibat kejadian itu.

Penyelaras Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M. Zin berkata, kira-kira 23 unit rumah pangsapuri di kawasan Bukit Subang rosak akibat kehilangan bumbung selepas dilanda puting beliung.

“Seramai 100 mangsa yang rumah mereka terjejas ditempatkan di surau di Bukit Subang sementara bantuan lain akan menyusul,” katanya ketika ditemui di Bukit Subang di sini semalam.Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Hilang nyawa lepas merompak



ANGGOTA polis memeriksa kawasan mayat perompak yang mati ditembak selepas melakukan rompakan
ke atas rumah pemandu lori di Ijok semalam.


KUALA SELANGOR - Tindakan empat lelaki merompak sebuah keluarga di Jalan Parit Mahang, Kampung Parit Mahang, Ijok di sini semalam menerima balasan apabila tiga daripada mereka mati ditembak polis.

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, ketiga-tiga perompak dipercayai warga Indonesia terbabit, mati ditembak selepas mereka melepaskan tembakan ke arah polis terlebih dahulu.

Seorang lagi penjenayah sempat melarikan diri ke arah ladang kelapa sawit berdekatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah (gambar kecil) berkata, sebelum kejadian, empat penjenayah berusia dalam lingkungan 20 dan 30-an baru menyamun sebuah rumah yang didiami tujuh beranak yang bekerja sebagai pemandu lori di Jalan Berkat di Kampung Parit Mahang.

Menurut beliau, empat suspek bertopeng itu telah memasuki rumah batu dan kayu setingkat itu sebelum mengikat tiga daripada tujuh penghuninya.

"Suspek-suspek itu menggeledah seluruh rumah itu dan mereka melarikan barangan berharga seperti komputer riba, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai milik keluarga itu," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Adnan memberitahu, polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke Kampung Parit Mahang sebelum terserempak dengan sebuah kereta Proton Wira yang mencurigakan dinaiki empat lelaki.

Polis cuba menahan kereta tersebut namun, tidak dihiraukan menyebabkan polis mengejar kereta itu.

Selepas dikejar sejauh kira-kira tiga kilometer, kenderaan tersebut terbabas ke tepi Jalan Parit Mahang berdekatan Jambatan Sungai Buloh.

"Empat lelaki dalam kereta itu keluar dari kereta tersebut dengan dua daripada mereka terus melepaskan tembakan ke arah anggota polis.

"Polis terpaksa membalas tembakan ke arah penjenayah terbabit bagi mempertahankan diri menyebabkan tiga daripada penjenayah itu terkena tembakan dan mati di tempat kejadian.

"Namun seorang lagi penjenayah sempat melarikan diri ke arah ladang kelapa sawit berdekatan," kata beliau.

Adnan memberitahu, pemeriksaan pada mayat tiga lelaki terbabit tidak menemui kad pengenalan diri tetapi mereka dipercayai warga Indonesia.

Ketiga-tiga perompak itu mati ditembak hanya selepas kira-kira 10 minit mereka melakukan rompakan.

Pemeriksaan ke atas kereta Proton Wira pula menjumpai sebuah komputer riba, beberapa unit telefon bimbit, kad pengenalan dan sejumlah wang tunai dipercayai milik mangsa samun.

Kata Adnan, polis yang memeriksa mayat tiga penjenayah itu menemui dua pucuk pistol, sebilah parang dan sebilah sabit.

Kereta Proton Wira yang dinaiki kumpulan penjenayah itu merupakan kereta dilaporkan hilang di Kota Damansara dekat sini pada 17 Januari lalu.

"Dengan terbunuhnya penjenayah ini, polis sedang menyiasat kemungkinan mereka terlibat dengan 13 kes samun bersenjata di negeri ini," ujarnya.Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'