Search This Blog

Tuesday, February 7, 2012

Terus masuk balai

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Aksi gila seorang lelaki dan teman wanitanya ketika cuba melarikan diri daripada polis di satu sekatan jalan raya di Jalan Datuk Keramat, di sini, dengan memecut keretanya nyaris membawa padah kepada tujuh anggota polis yang bertugas, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, kereta pasangan kekasih ‘lalok’ berusia 20-an itu pada mulanya perlahan apabila menghampiri sekatan jalan raya polis sempena sambutan Thaipusam.
Bagaimanapun, apabila anggota polis menghampiri mereka untuk melakukan pemeriksaan, tiba-tiba lelaki yang memandu kenderaan jenis Perodua Alza putih itu memecut kenderaannya.

Berikutan itu, polis mengejarnya dengan kereta peronda dan ketika cuba melarikan diri, lelaki berkenaan memandu secara berbahaya dengan merempuh sebuah kereta lain.



Namun, dia masih enggan mengalah sebaliknya terus memecut laju keretanya dan kenderaan dipandunya terbabas lalu merempuh pembahagi jalan hingga masuk ke laluan sehala bersebelahan.

‘Menangis sepanjang hari’

TUNJANG: Seorang bayi lelaki berusia enam bulan menangis sepanjang hari kerana menanggung derita mempunyai kandungan air dalam otak berikutan terdapat benjolan pada kepalanya sejak dilahirkan.

Keadaan bertambah rumit apabila keluarga Muhamad Aidil Afifi hidup dihimpit kemiskinan kerana bapanya, Othman Ahmad, 32, hanya bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM500 sebulan.


Othman dari Kampung Keluang, dekat ini, berkata, dengan RM500 itulah dia menyara isteri, Norain Ridzuan dan dua anak termasuk Muhamad Aidil Afifi.

Menurutnya, penyakit anaknya dikesan seminggu selepas dilahirkan Ogos tahun lalu kerana terdapat benjolan di belakang kepalanya lalu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan lanjut.


Katanya, setiap bulan anaknya perlu menjalani pemeriksaan walaupun imbasan sudah dilakukan, tetapi sehingga kini doktor belum mengenal pasti kandungan sebenar benjolan dalam kepala Muhamad Aidil Afifi.


“Pihak hospital tidak mahu mengambil risiko melakukan pembedahan memandangkan anak saya baru berusia enam bulan,” katanya.

Othman berkata, dia pernah memohon bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi ditolak kerana faktor usianya masih muda walaupun dia turut menghidap buasir hingga sukar bekerja.


Katanya, dengan gaji RM500 itu, dia perlu membayar sewa rumah RM200 manakala selebihnya digunakan untuk menyara keluarga termasuk berulang-alik ke hospital setiap bulan.

Sementara itu, Norain berkata, setiap kali menjalani pemeriksaan, doktor mengukur lilitan kepala anaknya bagi mengetahui sama ada benjolan itu semakin membesar atau tidak, namun dia bersyukur kerana sehingga kini saiz benjolan itu masih sama. “Saya amat berharap mendapat bantuan bulanan untuk Muhamad Aidil Afifi kerana sekurang-kurangnya meringankan beban kami menampung kos berulang-alik ke hospital setiap bulan,” katanya.


Penderitaan Muhamad Aidil Afifi turut mendapat perhatian Unit Aktiviti dan Hubungan Luar Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Geng Generasi Muda Kubang Pasu apabila turut memberi sumbangan kepada keluarga berkenaan.


Dalam pada itu, Pegawai JKM Kubang Pasu, Mohd Shabbri Othman berkata, pihaknya akan menyiasat kes itu terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan permohonan Othman.

Mayat mangsa bot meletup ditemui

BENTONG: Mayat seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai akibat bot dinaiki meletup dan putus dua ketika menangkap ikan di Lubuk Gading, Sungai Bentong, di sini, petang kelmarin ditemui pagi semalam.

Mayat Zainal Abidin Mat Yatim, 61, dari Karak, ditemui pasukan penyelamat yang memulakan gerakan operasi mencari dan menyelamat seawal jam 6 pagi.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Yusri Hassan Basri, berkata mayat mangsa ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian pada jam 9.30 pagi.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong (HB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya, petang semalam.


Katanya, susulan penemuan itu, polis menutup bilik gerakan operasi mencari serta menyelamat dan mengesahkan kejadian itu tidak membabitkan sebarang unsur jenayah.


“Polis mengucapkan terima kasih kepada 103 termasuk anggota Bomba dan Penyelamat Bentong, Rela, Skuba Bomba dan orang awam yang memberi kerjasama baik ketika operasi mencari mangsa dijalankan,” katanya.

Drebar maut lori terbabas

CAMERON HIGHLANDS: Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Ringlet-Sungai Koyan, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, S Visuvanathan, 52, dari kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR), Brinchang, di sini, maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala.


Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang memandu lori membawa muatan batu menghala ke Bertam Valley dari Ringlet terbabas ketika menuruni bukit sebelum kenderaan itu terbalik.

Azab tebusan 10 jam

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang bekerja sebagai mekanik berusia 21 tahun terpaksa menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila diculik sekumpulan empat lelaki sebelum dijadikan tebusan lebih 10 jam di sebuah lokasi tidak diketahuinya.

Lebih mengerikan apabila mangsa bukan saja dibelasah keempat-empat suspek sehingga cedera di seluruh badan dan kepala sebaliknya turut dipaksa menandatangani satu surat akuan kononnya dia membuat pinjaman dengan kumpulan terbabit.
Mangsa yang diculik di kawasan Cheras pada jam 5 pagi Ahad lalu hanya dibebaskan kumpulan terbabit pada jam 8.30 malam selepas bayaran RM4,000 diberikan kepada mereka.

Menceritakan kejadian itu, sumber berkata, mangsa mendakwa didatangi empat lelaki tidak dikenalinya.


“Kumpulan terbabit menuduhnya menyamun kedai mereka sebelum mengarahkannya membayar RM36,000.

2 sahabat maut

TEMERLOH: Kegembiraan empat sahabat dalam perjalanan pulang dari ibu negara selepas menghabiskan cuti Maulidur Rasul berakhir dengan tragedi apabila kenderaan Perodua Myvi dinaiki terbabas dan terbalik mengakibatkan dua daripada mereka maut di Kilometer 117.7, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 6.20 pagi itu, mangsa terbunuh pemandu Ismadi Kechik, 25, dan penumpang hadapan, Muhammad Nazir Abd Khalit, 22, masing-masing dari Kampung Bangau, di sini, maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala.


Dua lagi rakan mangsa, Alif Ridzuan Mohamad Nazeri, 19, dari Taman Sri Semantan dan Ahmad Ridzuan Rokbi, 23, dari Kampung Bangau mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Md Noor Mansor berkata, siasatan awal mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu Ismadi dipercayai hilang kawalan dan merempuh besi penghadang di tengah jalan.


Menurutnya, akibat rempuhan itu, kenderaan dinaiki mangsa terbalik menyebabkan semua tercampak dan bergelimpangan di jalan sebelum Ismadi dan Muhammad Nazir maut di tempat kejadian.


Katanya, pada masa sama, Alif Ridzuan dan Ahmad Ridzuan kemudian dibantu orang awam dan dikejarkan ke Hoshah untuk menerima rawatan sebelum dibenarkan pulang, tengah hari semalam.

"Polis tidak menolak kemungkinan kenderaan terbabit dipandu laju sebelum Ismadi hilang kawalan mengakibatkan semua mangsa tercampak keluar selepas kenderaan itu terbalik.


"Ketika kejadian, keadaan permukaan jalan kering manakala aliran trafik tidak sibuk," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, jenazah mangsa sudah dituntut oleh ahli keluarganya selepas bedah siasat selesai dijalankan di Hoshah, tengah hari semalam.


Katanya, bagaimanapun, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Peronda jumpa mayat di kawasan dulang emas

MERSING: Rondaan berjadual dilakukan kakitangan Pejabat Perhutanan Mersing bagi mencegah pendulang emas haram di kawasan Hutan Simpan Gunung Arong di sini, petang kelmarin, membawa kepada penemuan mayat seorang wanita dipercayai warga asing.

Pasukan berkenaan melakukan rondaan berjadual bagi mengesan pencerobohan pendulang emas haram yang dikatakan sering melakukan aktiviti itu di kawasan berhampiran terutama hujung minggu dan cuti umum.


Bagaimanapun, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, pasukan terbabit terkejut apabila rondaan di laluan masuk ke kawasan Sungai Mawar iaitu kawasan sering diceroboh pendulang emas haram di Kilometer 18, Jalan Mersing-Endau, membawa kepada penemuan mayat seorang wanita.

Berikutan penemuan itu, mereka membuat laporan di Balai Polis Endau sebelum sepasukan polis dikerah ke lokasi bagi melakukan siasatan. Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, mayat wanita lengkap berpakaian bersama sebuah beg galas hijau dipercayai warga asing berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun ditemui kakitangan Pejabat Perhutanan Mersing hanya beberapa meter dari jalan utama Mersing-Endau.


“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang tanda kecederaan ditemui pada tubuh mangsa dan wanita itu tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri.


“Berdasarkan warna kulit dan tiada kesan suntikan BCG ditemui pada lengannya, kami percaya wanita itu warga asing,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa memakai anting-anting di kedua-dua belah telinga dan polis tidak tidak menolak kemungkinan wanita itu beragama Islam berdasarkan penemuan telekung dalam beg dibawanya.


“Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa, punca kematian serta tujuan dia berada di situ.

“Setakat ini polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

‘Mereka salah faham’

SEREMBAN: “Kejadian itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham berkaitan haiwan ternakan,” kata Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang.

Beliau mengulas laporan Harian Metro mengenai kejadian seorang lelaki warga emas yang parah di muka dipercayai dibelasah individu yang mengesyaki lembu peliharaan mereka mati diracun di Kampung Wong Seng Chow, Sikamat, di sini, Sabtu lalu.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan daripada kedua-dua pihak.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah,” katanya di sini, semalam.


Sementara itu, ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) semalam, pemilik lembu berusia 60-an mendakwa, dia mempertahankan diri ketika pergelutan dengan penyerangnya.

Cinta abadi warga emas uzur

RANTAU PANJANG: Demi kasih terhadap isteri, seorang warga emas, Hasan Jusoh, 75, tetap setia menemani isterinya, Eshah Che Lah, 80, yang nyanyuk dan terlantar biarpun dirinya sendiri uzur.

Lebih menyedihkan, pasangan itu menghabiskan sisa hidup dalam keadaan miskin dan tanpa anak kerana mereka tidak dikurniakan zuriat.


Setiap hari, pasangan itu meneruskan hidup dengan mengharap ihsan jiran, penduduk setempat selain anak saudara dan cucu saudara yang menghulurkan makanan serta minuman.

Kunjungan Harian Metro ke rumah pasangan berkenaan di Kampung Pusu Sireh, Lubok Stol, di sini, kelmarin, mendapati kediaman mereka usang dan hidup dalam keadaan daif.


Hasan berkata, dia dan isteri bergantung kepada keprihatinan jiran dan saudara yang membantu memberi makanan setiap hari untuk mengalas perut.

Anak buta hati

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my

RANAU: Seorang lelaki bagaikan dirasuk setan apabila sanggup menikam rusuk kanan bapanya sehingga terkena usus dengan sebilah pisau pemotong sayur berukuran 20 sentimeter di Sinarut Baru, di sini, kelmarin.

Lebih kejam, suspek berusia 39 tahun itu turut melibas pisau ke arah ibunya yang cuba meleraikan pergaduhan dua beranak itu, menyebabkan wanita itu cedera teruk di bibir dan menerima sekurang-kurangnya lima jahitan.


Mangsa, Agut Tabut, 69, dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan berada dalam keadaan stabil, manakala isterinya, Jairi Anggau, 55, sudah dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan.

Sumber berkata, kejadian berlaku jam 9.30 malam apabila lelaki terbabit pulang ke rumah dalam keadaan mabuk selepas berjumpa rakan menyebabkan si bapa menegurnya.


“Suspek yang berang kemudian menuduh mangsa menceritakan perkara buruk mengenainya kepada rakan, tetapi dinafikan.


“Dia mengeluarkan pisau dan terus menikam bapanya, malah ibunya yang cuba meleraikan pergaduhan itu turut dilibas dengan senjata itu menyebabkan bibir terkoyak sepanjang tiga sentimeter,” katanya.

Sumber berkata, adik lelaki dan abang ipar suspek yang melihat kejadian itu segera campur tangan dan menahan suspek yang cuba menyerang ibunya sekali lagi.


“Mereka menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Abdul Rahman Kassim berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan menahan suspek yang dalam keadaan mabuk.


“Polis merampas sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 20 sentimeter dipercayai digunakan suspek untuk menyerang ibu dan bapanya dan suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.


“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Ranau sebelum dipindah ke HQE untuk rawatan lanjut,” katanya.


Beliau berkata, bapa suspek cedera di rusuk kanan akibat ditikam manakala ibunya cedera sepanjang tiga sentimeter di bibir

Suami isteri disamun

AMPANG: Sepasang suami isteri yang menjalankan perniagaan kafe siber berdepan maut apabila disamun dua lelaki bersenjata parang dalam tempoh lima minit di Pandan Indah, di sini, kelmarin.

Menurut sumber, dalam kejadian jam 11 malam itu, pasangan suami isteri terbabit berusia 20-an bersama seorang lagi rakan berada di kafe berkenaan selepas selesai menjalankan perniagaan.


“Tiba-tiba sebuah motosikal ditunggangi dua lelaki memakai topi keledar berhenti di depan premis dan meluru masuk.

“Seorang lelaki berusia 20-an itu menarik isteri mangsa sebelum mengacukan parang ke arahnya. Mangsa dan rakannya hanya mampu berdiam diri kerana takut dicederakan,” katanya.

Suspek guna kereta curi

KUALA LUMPUR: Kereta yang merempuh gerai di Jalan Mawar, Taman Kinrara Seksyen 5, Puchong, di sini, yang mengakibatkan dua orang awam cedera malam kelmarin dipercayai kenderaan curi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei ketika dihubungi berkata, sebelum kejadian, pemandu kereta Proton Perdana V6 itu cuba memecut ketika diperiksa anggota Unit Peronda Polis (UPP). “Ketika dikejar polis dan tiba di kawasan perumahan berkenaan kenderaan itu terbabas lalu merempuh gerai makanan dan mencederakan pemiliknya serta seorang pelanggan,” katanya. Beliau berkata, sebelum itu, ketika melakukan rondaan di Lebuhraya Kesas anggota UPP berkenaan terserempak dua lelaki yang menaiki sebuah kereta yang dilaporkan hilang di Nilam Puri, Kelantan, bulan lalu.


“Anggota UPP terbabit menahan kenderaan dipandu suspek di sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya berkenaan untuk diperiksa, namun mereka terus memecut,” katanya. — Bernama

Nyaris dibelasah tukar RM100

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Seorang pemandu teksi nyaris dibelasah pemandu teksi lain gara-gara disangka cuba menipu dengan memberi wang palsu RM100 sebagai duit tukar dalam kejadian berhampiran Masjid Putra, Putrajaya, malam kelmarin.

Menceritakan semula detik yang mencetuskan salah faham itu, Mohd Fairus Ahmad Jahari, 34, berkata dia memperoleh duit palsu RM100 itu daripada tiga penumpang warga Bangladesh berusia 30-an ketika mengambil mereka di stesen transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya, jam 9.30 malam.


Menurutnya, penumpang terbabit meminta untuk dihantar ke Putrajaya dan diturunkan di kawasan masjid berkenaan sebelum menyerahkan wang palsu itu sebagai tambang.

“Saya mengenakan tambang RM42 dan penumpang terbabit menyerahkan sekeping not RM100. Memandangkan saya tidak cukup duit kecil untuk memulangkan baki tambang lalu saya menukar duit RM100 itu dengan pemandu teksi lain.


“Ketika mahu beredar selepas menyerahkan baki tambang kepada penumpang terbabit, tiba-tiba pemandu teksi yang saya temui untuk menukar wang itu menghalang teksi saya sebelum keluar dari kenderaannya dalam keadaan marah,” katanya.


Katanya, pemandu teksi terbabit menuduhnya cuba menipu dengan memberi wang palsu dan menahannya bersama empat rakan lain serta hampir memukulnya.

“Berdebar jantung saya apabila dikepung dan dituduh cuba menipu mereka. Bagaimanapun, mereka memahami keadaan sebenar selepas saya menjelaskan memperoleh duit itu daripada penumpang,” katanya.


Mohd Fairus berkata, dia dan kumpulan pemandu teksi terbabit berpakat mencari tiga penumpang yang menggunakan duit palsu itu dan menemui mereka dalam kawasan masjid berkenaan.

“Kami mengejar tiga penumpang itu, namun hanya memberkas seorang daripada mereka manakala dua lagi melarikan diri.


“Lelaki terbabit diserahkan kepada anggota peronda polis sebelum dibawa ke Balai Polis Putrajaya, Presint 7, untuk tindakan lanjut,” katanya.


Katanya, dia sudah banyak kali ditipu penumpang yang membayar tambang menggunakan wang palsu, namun ini kejadian kali pertama diberi not palsu RM100.


“Saya banyak kali tertipu dengan wang kertas palsu terutama not RM10 dan RM50. Mereka sangat licik apabila cepat-cepat beredar selepas menerima baki tambang sehingga sukar untuk dikesan.


“Penumpang bayar guna duit palsu yang kita tidak boleh gunakan untuk apa-apa. Sedangkan dia dapat baki dari wang tulen,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan Mak Pak Chuai, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan dan katanya suspek kini direman seminggu bagi membantu siasatan.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menggunakan wang palsu dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Beg pakaian berisi mayat

DIBUNUH...anggota polis mengangkat mayat wanita warga Indonesia yang disumbat dalam beg.
DIBUNUH...anggota polis mengangkat mayat wanita warga Indonesia yang disumbat dalam beg
 
Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my
DIBUNUH...anggota polis mengangkat mayat wanita warga Indonesia yang disumbat dalam beg.
KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita warga Indonesia ditemui dengan kesan jerut dan luka di kepala sebelum disumbat dalam sebuah beg pakaian dan diletakkan di depan pintu bilik sebuah hotel di Jalan Raja Laut, di sini, malam kelmarin.

Mayat berkenaan ditemui penghuni hotel jam 10.30 malam di tingkat tiga bangunan empat tingkat itu sebelum memaklumkannya kepada polis.


Menurut sumber polis, mayat wanita warga asing berusia 30-an itu mempunyai kesan jerutan di leher dan luka di kepala dipercayai dipukul dengan objek keras.

Katanya, kejadian itu mungkin dilakukan teman lelaki mangsa yang kini sudah menghilangkan diri.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi berkata polis menerima maklumat orang awam jam 11 malam memaklumkan penemuan mayat wanita disumbat di dalam beg pakaian berkenaan.


Katanya, berdasarkan hasil bedah siasat mangsa mati akibat sesak nafas kesan dari jerutan di lehernya.

“Mangsa dikenali sebagai Rumiyati dan berasal dari Indonesia. Semakan kemasukan pendaftaran hotel menunjukkan mangsa memasuki hotel sejak jam 2 petang semalam.


“Polis mengenal pasti suspek dan usaha memburu giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Kk),” katanya.

Gempa bumi landa Filipina

Foto
ORANG ramai melarikan diri selepas gempa melanda bandar Cebu, semalam.
Foto
PENDUDUK di Guihulngan meninjau kerosakan selepas gempa bumi melanda wilayah Negros Oriental di selatan Manila, semalam.



Sekurang-kurangnya 13 dilaporkan terbunuh, 40 masih hilang

MANILA: Anggota penyelamat terpaksa menggunakan tukul dan penyodok untuk mencari berpuluh-puluh orang yang terperangkap di celah bangunan runtuh, apabila gempa bumi berukuran 6.8 melanda bahagian tengah Filipina mengakibatkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, manakala 40 lagi masih hilang.
Datuk Bandar Negros, Ernesto Reyes berkata gempa bumi melanda selat sempit di Pulau Negros, menyebabkan tanah runtuh di Guihulngan, di bandar Negros Oriental yang dihuni 180,000 penduduk.
“Sekurang-kurang 30 buah rumah tertimbus tanah runtuh manakala 40 orang masih hilang. Keadaan sangat teruk kerana jika anda terperangkap di dalam tanah runtuh selama sejam anda tidak boleh bernafas,” katanya.

Institut Gunung Berapi dan Seis-mologi Filipina mengeluarkan amaran tsunami bagi bahagian tengah pulau dan berkata bahawa gempa itu berkemungkinan mencetuskan ombak setinggi satu meter di sepanjang pantai timur pulau, begitu juga bahagian barat bandar kedua besar, Cebu.

Pusat Kajian Geologikal Amerika berkata gempa berpusat di kawasan kira-kira 72 kilometer ke utara bandar Dumaguete di Negros dan pada kedalaman 46 kilometer. Kawasan ini terletak kira-kira 650 kilometer tenggara ibu negara, Manila.

Reyes berkata empat orang mati termasuk seorang pelajar kolej dan dia lagi pelajar sekolah menengah. Seorang lagi mati dalam pasar awam yang runtuh.
Gempa yang berlaku kira-kira jam 11.49 pagi waktu tempatan menyebabkan satu lagi kejadian tanah runtuh di pergunungan kampung Solongon di pekan La Libertad, juga dalam Negros Oriental. Masih tidak diketuai berapa jumlah mereka yang terperangkap, kata ketua polis Inspektor Eric Arrol Besario.

“Kami menggunakan penyodok dan gergaji untuk memulakan operasi penyelamat tetapi ada orang yang terperangkap di dalamnya. Sesetengah mereka menjerit meminta tolong,” kata Besario kepada AP. Tiga jambatan utama turut retak dan tidak boleh digunakan, katanya.

Lima rumah buluh dan kayu dihanyutkan dari pusat peranginan pantai La Libertad oleh ombak besar tetapi tiada laporan kecederaan, kata Superintendan Polis, Ernesto Tagle.

Di sepanjang pantai, orang ramai bergegas keluar dari sekolah, pasar raya dan pejabat.

Pusat gempa berada paling hampir dengan Tayasan, pekan pantai di mana kira-kira 32,000 orang melarikan diri ke kawasan pergunungan di wilayah Negros Oriental.

Ketua pejabat pertahanan Benito Ramos berkata, seorang kanak-kanak terbunuh apabila pagar konkrit di rumahnya runtuh.

“Setakat ini, seorang terbunuh tetapi kita masih belum mengetahui kemusnahan harta benda,” kata pegawai polis Tayasan, Alfred Vicente Silvosa memberitahu Associated Press.

Beliau berkata gegaran susulan masih berlaku, justeru mereka semua berada di luar di dataran pekan.

“Kami tidak boleh memeriksa bangunan kerana ia sangat berbahaya.

“Saya dapat rasakan bangunan bergegar, jadi saya bergegas keluar. Komputer, rak, pinggan dan almari serta tabung penapis air turut jatuh,” katanya.

Bangunan tingkat balai polis turut runtuh di pekan La Libertad di Negros Oriental tetapi tiada kecederaan dilaporkan. Penghuni bangunan berjaya menyelamatkan diri meninggalkan bangunan.

Ketua Polis Negros Oriental Edward Carranza berkata gempa itu memusnahkan banyak rumah di Guihulngan dan beliau mengarahkan orangnya membantu memindahkan mangsa ke tempat perlindungan. – AP Berita Harian Online | Gempa bumi landa Filipina:

'via Blog this'

Dua beradik maut dirempuh lori sampah

Foto
POLIS mengangkat mayat mangsa nahas akibat dilanggar lori sampah di Batu Caves, semalam
Foto


.GOMBAK: Dua beradik dalam perjalanan bersama rakan untuk mandi di kolam renang awam di sini, terbunuh apabila motosikal ditunggangi dirempuh lori sampah di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran kuil Hindu di Batu Caves, semalam.

Dentuman kuat akibat kemalangan jam 1 tengah hari itu turut menyebabkan orang ramai yang menghadiri perayaan Thaipusam, gempar dan berpusu-pusu ke lokasi kejadian menyebabkan kesesakan lalu lintas bertambah teruk.
Ketika kejadian, Farouk Norshahiran Nasharudin, 18, yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 bersama abangnya, Rizal Norshahiri, 22, dalam perjalanan ke Kompleks Sri Siantan, Taman Selayang, untuk mandi kolam bersama rakan yang turut menunggang motosikal.
Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, kedua-dua mangsa yang berada di lorong kiri laluan menuruni bukit dari arah Gombak menghala ke Kepong itu tiba-tiba dirempuh lori sampah dari belakang menyebabkan Nor Shahrizal tercampak, manakala adiknya digilis dan diseret kira-kira 30 meter.

Kedua-dua mangsa yang juga anak kepada seorang pesara polis serta abang mereka pula bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan seluruh badan.

Lori berkenaan dipercayai dipandu laju kemudian merempuh sebuah lagi motosikal dinaiki sepasang suami isteri menyebabkan wanita berkenaan cedera dan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Azmi Mansor, berkata kemalangan berlaku selepas lori sampah terbabit hilang kawalan akibat kerosakan brek sebelum masuk ke laluan kiri ketika cuba mengelak sebuah lori lain sebelum merempuh motosikal dinaiki kedua-dua mangsa.
Katanya, pemandu lori sampah berusia 51 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan, manakala mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga di Taman Koperasi Polis di sini.

Di KUANTAN, dua maut manakala dua penumpang cedera selepas kereta dinaiki terbabas di Kilometer 117.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 6.20 pagi itu, mangsa bersama dua lagi rakan dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Temerloh apabila kejadian berlaku.

Mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta, Ismadi Kechik, 25, dan Muhammad Nazir Abd Khalit, 22, dari Kampung Bangau Tanjung, Temerloh yang duduk di kerusi penumpang depan, sementara dua lagi penumpang, Alif Ridzuan Mohamad Nazeri, 19, dari Taman Seri Semantan dan Ahmad Ridzuan Rokbi, 23, dari Kampung Bangau Tanjung, Temerloh cedera dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh.

Pegawai Penguat Kuasa Trafik Negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman, berkata siasatan awal mendapati kereta dinaiki empat sahabat itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar besi penghadang jalan sebaik tiba di tempat kejadian. Berita Harian Online | Dua beradik maut dirempuh lori sampah:

'via Blog this'

Tiga penjenayah samun ditembak mati




2012/02/07

KUALA SELANGOR: Polis menembak mati tiga penjenayah yang baru menyamun sebuah rumah dalam insiden berbalas tembakan di Jalan Parit Mahang di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, seorang lagi penjenayah berjaya melarikan diri ke arah ladang kelapa sawit dan kini sedang diburu oleh pihak polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC, Mohd Adnan Abdullah, berkata sebelum itu penjenayah terbabit dilaporkan menyamun sebuah rumah di Kampung Berkat di sini kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian.
Beliau berkata, mangsa dilaporkan turut diikat dan dicederakan oleh penjenayah terbabit. Berita Harian Online | Tiga penjenayah samun ditembak mati:

'via Blog this'

Suami maut, isteri parah nahas dua kereta




2012/02/07

KUANTAN: Seorang lelaki maut manakala isterinya parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam nahas jalan raya di Km23 Jalan Lipis-Merapoh, dekat Kuala Lipis, malam tadi.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, kereta yang dipandu mangsa, Azizan Yajid, 40,dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis ke Merapoh.
Menurut Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Negeri Pahang, Asisten Superintendan Zainal Abidin Othman, berkata mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala isterinya, 30an (nama belum diketahui) cedera parah dan kini dirawat di Hospital Lipis.
"Tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan, namun gagal dan bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemandu sebuah lagi kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. - BERNAMA Berita Harian Online | Suami maut, isteri parah nahas dua kereta:

'via Blog this'

Pelajar POLIMAS maut dalam kemalangan di Jitra




2012/02/07

JITRA: Seorang pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kenderaan penyelenggara lebuh raya dan kemudian dilanggar sebuah pikap di Kilometer 34.5 Lebuhraya Utara Selatan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusuf, berkata kemalangan itu berlaku pada jam 9.12 pagi semasa pelajar terbabit, Muhamad Izam Azhar Khairuddin, 20, yang menuju ke arah utara dipercayai leka melihat lori pasir dari arah bertentangan lalu terbabas ke tepi jalan.
"Mangsa tidak menyedari terdapat sebuah kenderaan penyelenggara lebuh raya di hadapannya lalu merempuh kenderaan berkenaan mengakibatkan mangsa terjatuh ke kiri jalan sebelum dilanggar pikap yang lalu di lorong itu," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, Muhamad Izam Azhar meninggal dunia di tempat kemalangan kerana mengalami cedera parah dan mayatnya dihantar ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat.

Ibu saudara mangsa, Aishah Ibrahim, 50, berkata anak saudaranya yang mengambil jurusan Kejuruteraan Pembuatan itu baru saja menjalani latihan industri di sebuah kilang di Napoh, dekat sini.

Mayat Muhamad Izam Azhar dikebumikan di Kampung Lepai, Jalan Langgar, Alor Setar selepas solat Asar. - BERNAMA Berita Harian Online | Pelajar POLIMAS maut dalam kemalangan di Jitra:

'via Blog this'

Mayat mangsa bot karam ditemui




2012/02/07

TAWAU: Mayat mangsa bot pukat tunda yang karam di perairan Inderasabah di sini Sabtu lalu ditemui malam tadi.

Mayat ditemui nelayan kira-kira 7.30 malam, 60 jam selepas mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Tawau, Kapten Maritim Wan Mohd Affandi Wan Ahmad, berkata mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai Nadin, 27, seorang rakyat tempatan, ditemui tidak jauh daripada lokasi bot mereka karam ketika menangkap ikan.
Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Besar Tawau.

Dalam kejadian itu, dua lagi warga Indonesia yang berada di dalam bot tersebut berjaya diselamatkan oleh bot nelayan yang kebetulan berada di situ. - BERNAMA Berita Harian Online | Mayat mangsa bot karam ditemui:

'via Blog this'

Mangsa melawan, perompak cabut lari




2012/02/07

PADANG SERAI: Cubaan empat lelaki bersenjata parang panjang merompak sebuah kedai menjual alat telekomunkasi di sini malam tadi digagalkan oleh pemilik kedai yang melawan dan bergelut dengan penjenayah.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ghuzlan Salleh, berkata mulanya dua daripada empat suspek yang bertopi keledar menyerbu masuk ke dalam kedai ketika pemilik dan bapanya hendak menutup perniagaan kira-kira 8 malam.
"Dua suspek menunggu di luar sementera pemilik berusia 29 tahun itu berada di dalam dan bapanya berusia 60 tahun dalam sebuah bilik lain.
"Suspek menggertak meminta wang dan barang-barang seperti telefon bimbit tetapi pekedai enggan mematuhi malah melawan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ghuzlan berkata, seorang daripada suspek terus melibas parang terhadap mangsa menyebabkannya cedera di kepala dan lengan.

Beliau berkata, apabila mendengar jeritan, bapa mangsa keluar cuba menyelamatkan anaknya dann ketika itu seorang daripada suspek terlepas parang yang dipegangnya.

"Bapa mangsa terus mengambil parang lalu dihunuskan ke arah kedua-dua suspek menyebabkan dua lagi rakan mereka masuk cuba membantu tetapi ketakutan terus cabut lari," katanya.
Polis kemudian menemui dua bilah parang yang digunakan suspek berhampiran pintu masuk kedai berkenaan.

Pemilik kedai itu dirawat di Hospital Kulim kerana luka akibat libasan parang manakala bapanya menerima rawatan pesakit luar kerana luka pada tangan selepas bergelut dengan suspek.

Ghuzlan berkata, polis sedang mengenalpasti identiti semua suspek melalui rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di kedai itu. - BERNAMA Berita Harian Online | Mangsa melawan, perompak cabut lari:

'via Blog this'

Polis rampas 65 set komputer judi di Seremban




2012/02/07

SEREMBAN: Polis menyerbu tiga buah premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian siber dalam ‘Ops Judi Ciber’ di sini malam tadi dan merampas 65 set komputer yang diubah suai menjadi mesin perjudian haram.

Serbuan itu dilancarkan serentak oleh pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Kontinjen Polis negeri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid, berkata serbuan yang bermula kira-kira jam 11.30 malam itu diadakan di dua lokasi berasingan iaitu di Temiang dan Rasah.
"Dalam serbuan itu, seramai 25 lelaki dan empat wanita warga tempatan yang sedang leka berjudi ditahan polis dan tiga lelaki tempatan dipercayai penjaga premis turut ditahan untuk membantu siasatan.

"Kesemua mereka yang berusia lingkungan 20 hingga 40-an kelihatan terkejut ketika serbuan dilakukan kerana tidak menyangka kehadiran pihak polis membuat pemeriksaan," katanya di sini, hari ini.

Katanya, semua pelanggan dibebaskan selepas keterangan mereka diambil manakala penjaga premis ditahan untuk membantu siasatan.

Hamdan berkata, selain komputer, turut dirampas wang tunai RM3,038 dipercayai kutipan hasil perjudian dari tiga premis terbabit.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda sebanyak RM10,000 bagi setiap mesin yang dirampas atau penjara lima tahun jika sabit kesalahan.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6 Enakmen Pusat Hiburan yang membawa hukuman denda minimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun sekiranya sabit kesalahan," katanya.

Serbuan dilancarkan susulan maklumat orang ramai berhubung kegiatan perjudian di premis berkenaan dan hasil risikan pihak polis. - BERNAMA Berita Harian Online | Polis rampas 65 set komputer judi di Seremban:

'via Blog this'

Penarik kenderaan lagak ‘samseng’



WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Februari 2012
Penarik kenderaan lagak ‘samseng’
LAGAKNYA seperti ‘samseng’, terus menerjah ke arah kenderaan dan menggertak pemilik kereta di khalayak ramai, gara-gara gagal melangsaikan ansuran bulanan.

Kegiatan ejen penarik kenderaan terutamanya kereta yang sering berlagak seperti ‘samseng’ ini, kadang kala menjadi igauan setiap pemilik kenderaan.

Dalam kejadian pada dua tahun lalu yang pernah dipaparkan dalam sebuah akhbar, seorang pemilik restoran di Puchong, mendakwa menjadi mangsa sekumpulan empat penarik kereta yang berlagak samseng.

Mangsa, N Jiwanathan, 43, berkata, tanpa sebarang surat arahan tarik kereta dari bank, empat individu itu menceroboh ke dalam rumah abang iparnya di Hulu Langat untuk menarik kereta Mercedes Benz miliknya.

Insiden berlaku ketika mangsa berada di Puchong dan kejadian itu hanya diketahui apabila dimaklumkan abang iparnya. Dia berkata, kereta itu ditarik kerana dia tidak dapat membuat bayaran ansuran selama lapan bulan.

“Penarik kereta datang seperti samseng, menarik kereta tanpa mahu berbincang atau menunjukkan dokumen bagi tujuan itu. Selepas ditarik, saya percaya barulah mereka meminta surat bank. Saya syak kejadian itu mendapat kerjasama bank,” dakwanya.

Menurutnya, lebih mengecewakan, kereta itu ditunda dari hadapan mengakibatkan kotak gear kenderaan tersebut menga­lami kerosakan.

Katanya, dia kemudian membuat bayaran tunggakan RM20,000 di bank, sebelum diminta mengambil keretanya di sebuah stor, lima hari kemudian.

“Ketika ingin mengambil kereta tersebut, saya dapati pemain cakera dan skrin LCD dipasang berharga RM2,900 hilang. Enjin kereta juga gagal dihidupkan kerana kotak gearnya rosak. Saya terpaksa menanggung kerugian RM20,000 akibat kejadian itu,” katanya.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Gombak kerana kehilangan barangan tersebut. Dia meminta pihak berkuasa memandang serius perkara berkenaan kerana insiden itu bukan sahaja menimpanya, malah turut terjadi kepada banyak pihak sebelum ini.

Pihak berkuasa perlu buka mata

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihak berkuasa harus memandang serius sikap penarik kenderaan yang diupah oleh syarikat kewangan kerana terdapat beberapa kes yang berlaku turut mengancam keselamatan orang ramai.

“PPIM menerima banyak laporan tentang perbuatan penarik kenderaan yang menggunakan kekerasan dan mengancam nyawa pengguna,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan ejen penarik kenderaan turut menggunakan khidmat samseng semasa melakukan operasi mereka terhadap pengguna yang lewat membayar ansuran, terdapat juga sebilangan daripada mereka turut mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki polis.

“PPIM berharap kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan terhadap penarik kenderaan yang berlagak samseng dengan membuat beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pihak mereka bagi memberi keadilan kepada pemilik,” katanya.

Ejen Pemilikan Semula perlu ada permit

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan, Abu Samah Shabudin berkata, setiap individu atau ejen penarik kenderaan atau dikenali Ejen Pemilikan Semula (EPS) perlu mempunyai permit.

“Permit ini bertujuan memastikan proses penarikan balik atau perolehan semula dilaksanakan mengikut peraturan. Sebelum ini terdapat kes melibatkan ejen menggunakan kekerasan semasa menarik semula kenderaan, termasuk menceroboh premis persendirian,” katanya.

Beliau berkata, KPDNKK turut bekerjasama dengan polis, sebelum seseorang itu diberikan permit, ejen berkenaan perlu menjalani tapisan oleh pihak berkuasa.

“Difahamkan seramai 133 individu atau ejen mempunyai permit di Kuala Lumpur, notis 21 hari sebelum tarikh akhir proses penarikan kenderaan mesti disampaikan kepada pemilik terbabit,” katanya.

Menurut, Abu Samah, proses pengambilan semula perlu dilakukan dengan kehadiran penyewa atau sesiapa berkenaan terhadap kenderaan atau barangan tersebut. Pencerobohan ke atas premis persendirian tidak dibenarkan kecuali dengan perintah mahkamah.

“Pemegang permit perlu membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam, selepas proses pengambilan semula selesai dijalankan. Pengecualian hanya diberi bagi situasi tertentu, di mana tempoh masa pelanjutan tidak melebihi 48 jam,” katanya.
Beliau berkata, pemegang permit terikat dengan segala undang-undang, peraturan, terma dan syarat, kod etika dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh KPDNKK bagi menjalankan aktiviti pengambilan semula.

“Pemegang permit harus peka dan mematuhi sebarang Kod Etika dan Garis Panduan yang dikeluarkan oleh KPDNKK dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan berhubung perkara ini boleh disiasat di bawah Seksyen 17 A (2) atau 17 B (2) Pindaan Akta Sewa Beli 2010 dan Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Permohonan Permit dan Tatacara Pemilikan Semula Barangan) 2011 Beliau berkata, pemilik kereta seharusnya membayar ansuran seperti tercatat di dalam perjanjian sewa beli.

“Bagi pengguna yang menghadapi masalah atau aduan berhubung perkara ini, mereka boleh menghubungi pejabat KPDNKK KL menerusi talian 03-40454555 atau bilik gerakan Seksyen Penguat Kuasa 03-40454471 untuk mendapat bantuan dan nasihat,” katanya.

3 geng pecah rumah ditembak mati di lebuh raya



MOHD ISKANDAR OTHMAN
5 Februari 2012
3 geng pecah rumah ditembak mati di lebuh raya
JAWI - Tiga ahli geng pecah rumah ditembak mati di Kilometer 160 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran hentian rehat dan rawat Sungai Bakap dekat sini, awal pagi ini.

Pemeriksaan polis dalam kenderaan yang mereka gunakan menemui sepucuk pistol, dua bilah parang, satu keris dan peralatan digunakan untuk pecah rumah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC II Zahrudin Abdullah berkata, lelaki tempatan dan dua warga Indonesia itu ditembak apabila salah seorang dari mereka cuba melarikan diri ketika diperiksa dengan melepaskan dua das tembakan ke arah polis.
Ketika bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, kata beliau, lelaki tempatan dan dua warga Indonesia berusia antara 30 dan 40 tahun itu aktif menjalankan kegiatan pecah rumah dan samun di sekitar negeri ini sejak tahun lepas.
Dalam pada itu, laporan Bernama memetik Zahrudin berkata, dengan tertumpasnya kumpulan yang memang  dikehendaki itu, polis percaya berjaya menyelesaikan 56 kes pecah rumah di sekitar negeri ini.
Polis menemui sepucuk pistol, dua butir peluru dan dua butir kelongsong peluru di tempat kejadian dalam insiden kira-kira 1.30 pagi itu.
Selain itu, katanya polis turut menemui pisau, tali, parang, topeng muka, sebatang besi, sarung tangan, keris, pisau lipat dan sebuah komputer riba dalam kereta yang dinaiki tiga lelaki itu.
Menurutnya, pada awalnya polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di laluan PLUS mendapat maklumat mengenai kumpulan berkenaan daripada sumber dan telah mengesan mereka.
"Polis berjaya mengesan kumpulan itu pada pukul 1.30 pagi di tol Juru menghala selatan dan kita mengekori mereka sebelum memintas kenderaan jenis Hyundai yang dinaiki mereka," katanya.
Beliau berkata sebaik anggota polis mendekati kereta yang berhenti itu dan memperkenalkan diri sambil meminta tiga lelaki terbabit mengeluarkan dokumen pengenalan diri dan lesen memandu, seorang daripada penumpang belakang bertindak
keluar dan melarikan diri ke arah semak berhampiran.
"Lelaki itu juga bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah  polis manakala dua rakannya turut cuba melarikan diri. Bagaimanapun  usaha mereka gagal kerana terkena tembakan daripada polis yang mempertahankan diri," katanya.
Zahrudin berkata, ketiga-tiga lelaki itu mati di tempat kejadian dan menurutnya, warga Indonesia itu masuk ke Malaysia menggunakan pasport yang sah.
Beliau berkata, polis sedang mengesan dua lagi anggota kumpulan berkenaan yang dipercayai masih berada di Pulau Pinang.