TAJAM... Mohamad Nasir menunjukkan parang yang dirampas daripada suspek.
Oleh SALMAN HAMAT
salman@hmetro.com.my
TAJAM... Mohamad Nasir menunjukkan parang yang dirampas daripada suspek.
MUAR: Risau dirinya ditetak, seorang lelaki melanggar penjenayah bersenjata parang dengan keretanya dalam usaha menyelamatkan diri selepas gagal menenangkan suspek yang tiba-tiba mengamuk di depan rumah adiknya di Jalan Sungai Abong, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian 6.40 petang, mangsa berusia 30-an dikatakan pergi ke rumah itu untuk melihat keadaan anak saudara dan adik iparnya selepas adiknya menelefon untuk memaklumkan ada individu mengugut mencederakan anak dan isterinya.
Mangsa yang tiba di lokasi keluar dari keretanya dan menuju ke arah lelaki berkenaan untuk berbincang sebelum dihambat dengan parang, menyebabkan lelaki terbabit terpaksa berlindung di dalam kereta.
Bagaimanapun, suspek terus bertindak agresif, menyebabkan mangsa terpaksa melanggar lelaki yang cuba menyerangnya dalam usaha menyelamatkan diri.
Telahan mangsa bahawa suspek berusia 38 tahun itu cedera akibat dilanggar meleset, apabila dia hampir ditetak ketika keluar untuk melihat keadaannya.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, adik mangsa berusia 30-an tiba di lokasi tidak lama kemudian dan turut diserang, menyebabkan dia terpaksa mempertahankan diri dengan membaling batu-bata hingga terkena kepala suspek.
Beliau berkata, keadaan kelam kabut itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek yang kemudian berjaya ditahan sepasukan polis manakala parang dirampas.
“Siasatan awal mendapati, adik mangsa menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali itu yang mengugut akan mencederakan anak dan isterinya serta mengarahkannya segera pulang ke rumah.
“Risau keselamatan keluarganya, dia menghubungi abangnya yang tinggal berhampiran untuk melihat keadaan di rumahnya sebelum mendapati seorang lelaki berparang menunggu di depan pintu pagar,” katanya.
Mohamad Nasir berkata, akibat kejadian itu, adik mangsa cedera di jari manakala abangnya tidak cedera.
Semakan rekod mendapati suspek sebelum ini mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah, ugut dan penipuan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati, ketika kejadian, suspek di bawah pengaruh dadah dan kami turut merampas parang digunakannya.
“Suspek yang cedera di kepala dan rusuk kini dirawat di hospital dan kita mendapat perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes,” katanya.