SHAH ALAM 2 Feb. – Isteri Shafiq Abdullah, ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah yang dilaporkan hilang sejak dua tahun lalu, hari ini mengesahkan bahawa resit penyata Affin Bank yang dijumpai di dalam salah sebuah kereta di Ladang Gadong, Banting pada 10 September 2010 adalah milik suaminya.
Samson Nahar Mohamed Dali, 37, semasa memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-96 di Mahkamah Tinggi di sini berkata, beliau mengecam resit tersebut berdasarkan nama Shafiq Davendram Abdullah yang tertulis padanya selain mengetahui suaminya mempunyai akaun di bank tersebut.
‘‘Ada nama Davendram sebab suami saya mualaf. Nama asal beliau Rajendran a/l Davendram. Alamat pada penyata Kondominium Sri Desa ini adalah alamat rumah lama sebelum berpindah ke Meedo Park,’’ katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.
Wanita itu memberi keterangan dalam kes terhadap bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, yang dituduh membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Pada 12 Januari lalu, bekas pegawai polis forensik, Ooi Chew Peng, 52, memberi keterangan bahawa satu resit Affin Bank atas nama Shafiq Davendram Abdullah antara barang yang ditemui hasil pemeriksaan ke atas dua kenderaan yang ditemui di Ladang Gadong pada 1 September 2010.
Dalam keterangannya, Samson Nahar turut menyatakan, beliau melihat Shafiq buat kali terakhir pada 5 April 2010 sebelum suaminya bertolak dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur atas urusan perniagaan dengan seorang peguam bernama Datuk Pathma di Banting, Selangor.
Katanya, Shafiq yang terlibat dalam projek membina jalan raya, bangunan dan perniagaan emas bersama peguam itu berjanji akan balik pada 9 April 2010.
‘‘Dia kata ada urusan dengan Datuk Pathma sahaja. Setahu saya pejabat dia di Banting. Kerja dia peguam. Saya tidak pernah jumpa Datuk Pathma, suami yang beritahu pada tahun 2009.
‘‘Pada 7 April 2010, saya ada terima panggilan daripada suami. Dia macam biasa. Dia kata akan balik pada 9 April 2010 selepas solat Jumaat,’’ kata saksi.
Semasa ditanya sama ada suaminya pulang pada tarikh yang dijanjikan, Samson Nahar yang kini menyara hidup dengan menjadi pengasuh memberitahu, Shafiq tidak pulang sehingga hari ini.
Berikutan itu beliau membuat laporan polis berhubung kehilangan suaminya di Balai Polis Sungai Petani, Kedah pada 13 April 2010.
Ketika disoal balas oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan, saksi mengakui tidak pernah tinggal bersama Shafiq di Kuala Lumpur melainkan hanya selama tiga minggu pada November 2009.
Beliau juga mengakui tidak mengetahui nombor akaun Affin Bank milik suaminya yang berasal dari Tanjung Rambutan, Perak serta mendapat pendidikan sekolah rendah di situ.
Sementara itu, Pegawai Turus Bahagian Operasi Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Pemangku Asisten Supritendan (ASP) Koh Fei Cheow, 43, pula memberitahu, beliau dan pasukannya menahan Pathmanabhan dan N. Surendran (adik Pathmanabhan) di sebuah rumah banglo di Banting pada 5 September 2010.
Katanya, selepas menemu bual Pathmanabhan di pejabatnya pada 21 April 2010, beliau dan pasukannya pergi ke pejabat peguam Pathma Nalli & Patners di Banting bersama-sama tertuduh dan merampas dua fail.
Operasi pencarian turut dibuat di Sungai Lang, Banting selepas dipandu arah oleh Pathmanabhan bagi mencari telefon bimbit tetapi hanya seutas gelang berwarna keemasan ditemui pada hari itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-64 bersambung esok.Utusan Malaysia Online - Mahkamah:
'via Blog this'