Search This Blog

Sunday, January 29, 2012

Polis tahan 13 Orang Asli bantah pencerobohan




29 Januari 2012
GUA MUSANG - Polis menahan 13 Orang Asli, yang dipercayai mengetuai perhimpunan haram 800 penduduk kaum itu di Kampung Parik di sini, kerana mengingkari arahan untuk bersurai.

Perhimpunan itu diadakan sejak awal pagi dan menghalang pelbagai kenderaan daripada melalui Jalan Kuala Betis - Pos Tohoi sebagai membantah tanah adat mereka diceroboh dengan aktiviti pembalakan dan pembukaan ladang.

Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Aziz Hassan berkata suspek ditahan pada kira-kira 5.20 petang selepas rundingan polis dengan beberapa ketua perhimpunan terbabit gagal, dan mereka berkeras untuk meneruskan perhimpunan itu.

"Mereka membuat tindakan sendiri dengan menghalang kenderaan yang melalui jalan terbabit dan kita khuatir juga perhimpunan berkenaan ada dalang daripada penduduk luar dari kampung itu," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan itu disuraikan.

Beliau berkata peserta perhimpunan itu kemudian bersurai tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

Suspek ditahan di Ibu Pejabat Daerah Gua Musang untuk siasatan lanjut, katanya. - Bernama
Polis tahan 13 Orang Asli bantah pencerobohan - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Warga Myanmar hampir putus kepala dilanggar tren LRT



28 Januari 2012

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Myanmar maut dengan kepalanya hampir putus akibat dilanggar sebuah tren LRT Laluan Ampang di Stesen Chan Sow Lin di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata dalam kejadian 6.45 pagi itu, lelaki berusia 26 tahun itu telah menceroboh kawasan stesen itu melalui tempat yang tidak berpagar sebelum dilanggar tren berkenaan dan diseret sejauh 10 meter.

"Mangsa mengalami patah tulang pada keseluruhan anggota badan dan lehernya hampir putus. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Pengarah Divisyen Rail RapidKL Khairani Mohamed berkata berikutan insiden itu, perkhidmatan tren laluan Ampang diberhentikan selama 31 minit mulai 8.15 pagi bagi membantu siasatan polis.

Perkhidmatan itu disambung semula pada 8.46 pagi, katanya dalam satu kenyataan.

"Perkhidmatan tren diteruskan selepas kejadian dengan menggunakan landasan alternatif, dan hanya diberhentikan selepas diarahkan polis untuk tujuan siasatan," katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai bahawa menceroboh landasan LRT merupakan kesalahan menurut Akta Keretapi 1991 selain boleh membahayakan nyawa dan menyusahkan orang ramai akibat gangguan perkhidmatan.

Menurutnya, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. - Bernama

Warga Myanmar hampir putus kepala dilanggar tren LRT - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Wanita Indonesia mati ditikam 6 kali, diperosok


WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Januari 2012

GEORGETOWN - Polis menemui mayat seorang wanita warga Indonesia, dipercayai dibunuh, di sebuah rumah dua tingkat di Halaman Ariffin, Jalan Burmah semalam.

Mangsa, Rosni Kholijah, 39, dijumpai polis dalam keadaan separuh bogel dengan enam kesan tikaman pada leher dan badannya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Mohd Nasir Salleh berkata polis menemui mangsa dalam keadaan terperosok di sebelah katil di bilik yang terletak di tingkat bawah rumah terbabit selepas mendapat maklumat daripada orang awam lewat petang semalam.

"Mangsa dipercayai dirompak sebelum dibunuh kerana rantai dan gelang yang dipakainya gagal ditemui," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar hari ini.

Sebilah pisau dapur turut ditemui berhampiran mangsa, dipercayai digunakan sebagai senjata.

Mohd Nasir berkata polis kini mencari teman lelaki dan rakan mangsa bagi membantu siasatan.

"Kami juga akan memanggil tuan rumah itu untuk membantu dalam siasatan. Kita mahu tahu berapa ramai orang yang tinggal di rumah ini," katanya.

Beliau berkata bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia lebih dari 12 jam semasa ditemui dan polis masih menyiasat motif pembunuhan.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, polis meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat dalam kes ini menghubungi balai polis berdekatan. - Bernama

Wanita Indonesia mati ditikam 6 kali, diperosok - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Maut ditetak lelaki mabuk


WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Januari 2012
Maut ditetak lelaki mabuk

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja restoran maut ditetak di tangan, kaki dan muka setelah terlibat dalam pergaduhan melibatkan tujuh pelanggan di Taman Daya, Kepong, semalam.

Mangsa, Tan Ching Chon, 46, maut ditetak menggunakan pisau pemotong daging yang sebelum itu digunakannya untuk mempertahankan diri.

Pemilik restoran Lim Kok Keng, 41, juga cedera parah selepas diserang di perut, muka dan kepala. Dia dirawat di Hospital Selayang dan dilaporkan stabil.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, suspek berumur antara 24 hingga 32 tahun, minum di restoran itu, kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, kira-kira jam 12.45 tengah malam, suspek dikatakan mabuk dan berlaku perselisihan faham ketika mangsa meminta mereka menjelaskan bil minuman.

Beliau berkata, suspek yang enggan membayar kemudiannya bertindak menyerang mangsa menggunakan botol kaca dan kerusi.

“Dalam keadaan cemas, Ching Chon berlari ke dapur dan mengambil pisau untuk mempertahankan diri.

“Bagaimanapun, mangsa tergelincir sebelum suspek merampas pisau tersebut dan menetaknya,” katanya.

Katanya, majikannya itu cuba membantu mangsa de­ngan menggunakan pisau, tetapi tidak berjaya dan akibatnya, dia turut ditetak.

Mohd Adnan berkata, semua suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Saga dan sebuah motosikal.

“Seorang suspek ditahan selepas ditemui dalam keadaan mabuk di sekitar tempat kejadian, manakala lima lagi ditahan dalam operasi khas dari awal pagi hingga tengah hari semalam, di sekitar Gombak,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas dua bilah pisau dipercayai senjata yang digunakan untuk menetak mangsa.

Adnan berkata, seorang lagi suspek masih diburu dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126222 bagi membantu siasatan.

Maut ditetak lelaki mabuk - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Menggigil cam mayat bapa


SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
28 Januari 2012
Menggigil cam mayat bapa

TELUK INTAN - “Badan saya menggigil apabila mendekati mayat yang dibungkus di tepi sungai dan hanya mampu berharap agar mayat itu bukan bapa saya. Namun semuanya itu berkecai apabila mendapati mayat itu memang bapa saya,” kata anak mangsa lemas, P Vijian.

Menurut Vijian, pada Rabu lalu, dia menerima panggilan berhubung kehilangan bapanya namun tidak mengambil serius kerana menganggap mendiang mungkin ke rumah ahli keluarga yang lain.

Namun, dia terkejut apabila diberitahu mayat bapanya ditemui terapung di Sungai Perak berdekatan sebuah kilang membuat simen.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mayat yang dijumpai itu adalah bapa saya dan saya terima walaupun berat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohammad Zaki Harun berkata, mangsa dikenali sebagai S Perumal, 58, ditemui terapung oleh seorang pemancing yang kebetulan memancing di kawasan berdekatan kira-kira jam 7.30 pagi semalam, sebelum menghubungi polis.

Katanya, mayat itu yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu, ditemui terapung di Sungai Perak di Batu 2 ½, Jalan Maharaja Lela berdekatan sebuah kilang membuat barang simen.

Menurutnya, sebelum ini mangsa dikatakan hilang dari rumahnya di Taman Desa Aman, pada pagi Rabu lalu sebelum kali terakhir dilihat oleh saksi mangsa berkeliaran di atas Jambatan Sultan Yusof, kira-kira 500 meter dari rumah, pada malam sebelum kejadian.

Sebaik menerima laporan mengenai kehilangan mangsa yang dikatakan tergelincir dan jatuh ke dalam sungai, sepasukan anggota polis dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat dikerah ke tempat kejadian untuk melakukan gerakan mencari dan menyelamat, bagaimanapun gerakan itu dihentikan kerana cuaca gelap.

Katanya, usaha mencari diteruskan kelmarin dan pagi semalam pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan satu mayat di lokasi berkenaan.

“Siasatan mendapati mayat yang ditemui itu adalah mayat lelaki yang dicari berdasarkan kepada pengecaman yang dibuat anak mangsa.

Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat dan mendapati mangsa mati akibat lemas dan tiada sebarang perbuatan khianat boleh dikaitkan,” katanya.

Menggigil cam mayat bapa - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Teguran berakhir kematian


SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI
28 Januari 2012
Teguran berakhir kematian

GEORGETOWN – Seorang pelajar kolej maut dikelar dengan pisau pemotong kertas di tempat letak kereta di hadapan sebuah restoran di Krystal Point, Bayan Baru, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, R Navitharan, 24, bersama teman wanitanya keluar dari sebuah pusat hiburan di situ selepas meraikan hari lahir teman wanitanya itu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Hatta Md Zin berkata, mangsa yang dalam proses latihan amali sebagai chef kemudian bertindak menegur seorang lelaki yang cuba membunyikan enjin kenderaannya dan berlaku pertengkaran selama lima minit antara mereka.

“Pergaduhan dikatakan sudah berlaku sewaktu mangsa dan suspek berada dalam premis berkenaan dan berlarutan sehingga di luar.

“Mangsa kemudiannya didatangi seorang lelaki yang juga rakan suspek dengan menaiki sebuah kenderaan lalu bertindak mengelar mangsa menggunakan senjata tajam sebelum melarikan diri.

“Bagaimanapun, kita sudah mengambil keterangan daripada teman wanita mangsa dan percaya penahanan kedua-dua suspek akan dilakukan dalam tempoh terdekat. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah akibat kesan torehan di bahagian kepala, pergelangan tangan, perut, bahu, badan dan di bahagian belakang sebelum disahkan meninggal dunia dua jam kemudian di sebuah hospital swasta di Bayan Baru kira-kira jam 5.20 pagi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, seorang lelaki bernama B Dharma Raj, 23, yang berasal dari Jalan Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak diminta tampil untuk membantu siasatan.

“Selain lelaki itu, pemilik kenderaan jenis Proton Satria bernombor plat ADW 6646 juga diminta tampil membantu polis menyiasat kes bunuh ini. Orang ramai yang mempunyai maklumat turut diminta bekerjasama bagi memudahkan siasatan dijalankan,” katanya.

Teguran berakhir kematian - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Anak sangka ibu tidur dalam bilik





2012/01/29

ANAK mangsa membaca surah Yasin di lokasi kejadian ibunya, Rosmariah Mohamad (gambar kecil) maut  dipercayai dilanggar kenderaan kira-kira 250 meter dari rumahnya di Jalan Tun Teja, Cheng, Melaka, semalam.
ANAK mangsa membaca surah Yasin di lokasi kejadian ibunya, Rosmariah Mohamad (gambar kecil) maut dipercayai dilanggar kenderaan kira-kira 250 meter dari rumahnya di Jalan Tun Teja, Cheng, Melaka, semalam.
MELAKA TENGAH: Seorang ibu yang keluar berjalan kaki mencari dua anaknya yang belum pulang ke rumah walaupun sudah lewat malam, maut dalam keadaan menyayat hati dipercayai dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Tun Teja, Cheng dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, Rosmariah Mohamad, 34, ibu empat anak berusia antara 12 hingga 16 tahun, mati di tempat kejadian selepas kepalanya pecah dan cebisan otak tercampak dalam pagar berhampiran kawasan kejadian.
Difahamkan, mangsa keluar dari rumahnya di Rumah Pangsa Cheng Mutiara selepas bimbang keselamatan dua anaknya, Mohd Shazurin Farhan Samad, 15, dan Mohd Syazrul Fahmi, 12, yang tidak pulang ke rumah sejak keluar bermain futsal di pusat sukan, kira-kira 500 meter dari rumah mereka pada jam 10.30 malam kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah, berkata siasatan unit forensik terhadap kes itu menemui cermin sisi kenderaan yang tercabut dipercayai selepas melanggar mangsa selain beberapa pokok patah berhampiran lokasi.

“Akibat rempuhan, mangsa terpelanting ke pokok dan pagar berhampiran, sebelum terhumban ke dalam longkang.

“Mangsa disahkan mati di tempat kejadian akibat parah di kepala. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian, apabila suami mangsa, Samad Saliman, 37, duduk di sebelah jenazah isterinya, manakala empat anak mereka membaca surah Yassin.
Selain Mohd Shazurin Farhan dan Mohd Syazrul Fahmi, mangsa meninggalkan dua lagi anak, Mohd Isyazwan Firdaus, 16 dan Mohd Nor Syarin, 13.

Samad berkata, dia yang tidur hanya menyedari isterinya tiada di rumah pada kira-kira jam 4 pagi dan keluar mencarinya.

“Saya gagal menemuinya dan pulang semula ke rumah kira-kira jam 5 pagi. Ketika bersiap untuk keluar mencarinya semula pada jam 8 pagi tadi (semalam), saya dimaklumkan jiran ada mayat dalam longkang.

“Saya terus berlari ke tempat kejadian dan sedih sungguh apabila melihat mayat itu adalah isteri saya,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua anaknya yang keluar bermain futsal pulang ke rumah kira-kira jam 1.30 pagi, tidak menyangka Rosmariah keluar mencari mereka dan beranggapan ibu mereka tidur di bilik.
Berita Harian Online | Anak sangka ibu tidur dalam bilik:

'via Blog this'

Murid Tahun Enam antara 30 disaman



Oleh Junita Mat Rasid

2012/01/29

SEBAHAGIAN daripada 30 penunggang motosikal yang disaman di Kulaijaya, semalam.
SEBAHAGIAN daripada 30 penunggang motosikal yang disaman di Kulaijaya, semalam.
KULAIJAYA: Tindakan dua murid Tahun Enam menunggang motosikal sejauh 40 kilometer, dari Pontian ke Pekan Kelapa Sawit, di sini kononnya untuk membeli alat ganti, menerima padah apabila masing-masing disaman, manakala kenderaan mereka disita polis trafik, pagi semalam.

Dua kanak-kanak terbabit adalah antara 30 penunggang motosikal yang disaman manakala kenderaan mereka disita dalam operasi Polis Trafik Kulaijaya, bermula jam 9 pagi semalam.
Dalam operasi selama tiga jam itu, dua murid terbabit, bersama seorang pelajar Tingkatan Satu yang membonceng, turut tidak memakai topi keledar sepanjang perjalanan, selain menunggang laju.
Operasi diketuai Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Polis Kulaijaya, Asisten Superintendan Gurbindir Singh, bersama 26 anggota itu dijalankan selepas kempen keselamatan jalan raya dan agihan topi keledar percuma dijalankan, selain pemerhatian mendapati ramai remaja bawah umur di kawasan itu menunggang motosikal tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap dua murid terbabit.

“Mereka mendakwa membeli alat ganti motosikal berupa fairing dan lampu daripada seorang rakan di sebuah kedai tetapi tiada resit rasmi dikeluarkan, kita bimbang kemungkinan itu barangan curi,” katanya.

Zulkefly berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan seorang lagi murid Tahun Enam yang menunggang motosikal dengan alasan membeli barang di kedai berhampiran rumahnya di pekan terbabit.
“Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan murid sekolah dan remaja bawah umur menunggang motosikal dengan pengetahuan ibu bapa atau penjaga mereka dan seolah-olah mengambil mudah peraturan jalan raya hingga mengabaikan keselamatan diri sendiri, serta pengguna lain,” katanya.

Beliau berkata, semua penunggang itu dibawa ke IPD Kulaijaya untuk siasatan lanjut, termasuk pemeriksaan ujian air kencing, manakala ibu bapa penunggang motosikal bawah umur turut dipanggil kerana kesalahan membiarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen dan dikenakan saman
Berita Harian Online | Murid Tahun Enam antara 30 disaman:

'via Blog this'

Dukung anak demam main judi



Oleh Rudy Syareme Sheriffudin dan Norhayati Umor

2012/01/29

GEORGETOWN: Akibat ketagih judi, seorang lelaki sanggup membawa anak lelakinya berusia tiga tahun yang demam untuk menemaninya berjudi di sebuah premis judi internet tanpa lesen di Relau di sini, semalam.

Lelaki berusia 40-an itu mendakwa dia terpaksa membawa anak lelakinya bersama kerana isterinya sakit dan tiada orang untuk menjaga kanak-kanak berkenaan.
Lelaki itu adalah antara 105 orang yang berusia 20-an hingga 40-an, termasuk 21 wanita warga China, Vietnam dan Indonesia diberkas dalam ‘Ops Sepadu Judi’ bagi membanteras kegiatan judi di sekitar daerah Timur Laut bermula jam 5 petang kelmarin hingga 3 pagi semalam.
Operasi dilakukan sepasukan anggota polis dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di 10 lokasi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Gan Kong Meng, berkata dalam operasi itu pihaknya menggempur pusat perjudian internet yang dipercayai beroperasi secara haram, termasuk sebuah kasino rimba di Mount Eskrine yang sudah tiga kali diserbu sebelum ini.

Serbuan dilakukan di sekitar Mount Eskrine, Relau, Batu Feringgi, Sungai Nibong, Jelutong, Datuk Keramat, Jalan Patani dan Jalan Hatin hasil maklumat awam dan intipan polis.

Dalam serbuan ke atas sembilan premis kafe berinternet yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian, polis merampas 111 unit komputer pelbagai jenis yang dipercayai diubahsuai untuk kegiatan perjudian.
Turut dirampas wang tunai berjumlah hampir RM41,000 dan beberapa peralatan perjudian untuk siasatan lanjut.

Mengenai operasi di premis judi yang membawa kepada penahanan lelaki yang membawa anaknya, Kong Meng berkata kafe itu dipercayai menjalankan kegiatan perjudian yang menawarkan pertaruhan antara RM10 hingga RM100.

Siasatan polis mendapati pengusaha premis itu mampu mengutip pertaruhan sehingga RM100,000 sehari.

“Polis menahan 13 penjaga dan 23 pelanggan berusia antara 20 hingga 50-an di premis itu,” katanya.

Kong Meng berkata, kira-kira jam 5 petang kelmarin, pihaknya menyerbu ‘kasino rimba’ di Mount Eskrine buat kali kedua dalam tempoh 18 jam.

Dua puluh lima lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 60-an ditahan di situ dan pelbagai peralatan perjudian serta wang tunai berjumlah RM37,865 dirampas.
Berita Harian Online | Dukung anak demam main judi:

'via Blog this'

26 motosikal, teksi hangus dibakar


ANGGOTA bomba memeriksa sebahagian daripada 26 buah motosikal yang dibakar di kawasan letak kereta Apartmen Desa Mentari, Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Angkara dendam, sebanyak 26 motosikal dan sebuah teksi dibakar dalam satu kejadian di kawasan letak kereta Apartmen Desa Mentari di sini pada pukul 4 pagi semalam.

Seorang mangsa yang ditemui, K. Elumalai, 44, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan penduduk yang ternampak api di kawasan tempat letak motosikal.

Katanya, dia terus berlari ke arah tempat kejadian dan terkejut melihat dua motosikal miliknya dan isteri sedang terbakar.

“Seorang penduduk kemudiannya menghubungi bomba dan polis memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya.

Difahamkan, sebelum kebakaran itu, terdapat sebuah kenderaan yang dinaiki beberapa lelaki dilihat melontarkan sesuatu yang dipercayai botol berisi petrol ke kawasan itu.

Seorang lagi mangsa, M. Guru, 40, berkata, dia hanya mampu melihat teksi miliknya yang turut disambar api dalam kejadian tersebut kerana api merebak dengan cepat,

“Saya tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan ini, mungkin orang luar yang sakit hati dengan penduduk di sini.

“Kebakaran ini menyebabkan saya hilang mata pencarian kerana teksi saya musnah dalam kebakaran itu,” katanya yang mahu pihak berkuasa memantau kawasan tersebut kerana sering berlaku kejadian curi kereta, motosikal dan pergaduhan.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Ibu maut ketika mahu jemput anak



MAYAT Rosmariah ditemui tercampak di dalam longkang kira-kira lima meter dari jalan di Cheng, Melaka semalam.


MELAKA - Tindakan seorang ibu keluar berjalan kaki bersendirian ke sebuah gelanggang futsal setelah risau terhadap dua orang anaknya yang belum pulang berakhir dengan tragedi apabila dia maut dilanggar lari di Jalan Tun Teja, Cheng di sini awal pagi semalam.

Mangsa, Rosmariah Mohamad, 34, maut setelah mengalami kecederaan parah di kepala selepas tercampak kira-kira lima meter ke dalam longkang bersebelahan jalan setelah dilanggar sebuah kenderaan yang masih belum dapat di kenal pasti.

Suami mangsa, Samad Saliman (gambar kecil), 38, berkata, sebelum kejadian, dua anak lelaki mereka, Mohamad Shazurin Farhan, 15, dan Mohamad Shazrul Fahmi, 12, keluar dari rumah di Rumah Pangsa Cheng Mutiara pada pukul 10.30 malam untuk bermain futsal di sebuah gelanggang serbaguna yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.

"Namun sehingga pukul 12.30 tengah malam, dua anak saya masih belum balik menyebabkan isteri bimbang dan keluar rumah dan berjalan kaki ke gelanggang futsal untuk memanggil anak-anak saya pulang.

"Saya tidak menyedari isteri tidak pulang ke rumah kerana tertidur selepas dia keluar mencari anak.

"Namun, saya terjaga pada pukul 4 pagi, saya dapati isteri tiada di rumah sedangkan dua anak saya sudahpun pulang," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Pemandu teksi cekik darah ditahan



SEBAHAGIAN pemandu teksi yang ditahan SPAD ketika operasi di Kuala Lumpur malam semalam.


KUALA LUMPUR - Seramai 12 pemandu teksi ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak menggunakan meter dalam satu operasi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) di sini malam semalam.

Pengurus Besar Penguatkuasaan dan Latihan SPAD, Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad berkata, enam pemandu ditahan kerana menetapkan tambang sesuka hati, dua tidak menggunakan meter, dua kerana tiada dokumen pemandu dan dua lagi kerana mengambil dan menurunkan penumpang di tempat yang tidak dibenarkan.

"Kesemua mereka berumur 30 hingga 50 tahun itu ditahan selepas 30 penguat kuasa menyamar menjadi penumpang dengan menaiki teksi dari Terminal Tambang Murah sehingga ke KL Sentral," katanya selepas operasi selama tiga jam yang bermula pukul 8 malam itu.

Che Hasni berkata, pemandu yang tidak menggunakan meter akan didakwa di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang jika sabit kesalahan akan didenda maksimum RM500,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali.

"Pemandu teksi yang mengenakan tambang lebih atau meletakkan harga sesuka hati pula akan disabit kesalahan di bawah Seksyen 75 akta yang sama dengan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya," katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

GRO skirt paras punggung dicekup



SEBAHAGIAN daripada GRO warga Vietnam dan Indonesia yang ditahan di sebuah pusat hiburan karaoke di Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Seramai 21 Pegawai Khidmat Pelanggan (GRO) warga Vietnam dan Indonesia yang memakai skirt paras punggung di sebuah pusat hiburan karaoke di Sunway Mentari di sini dicekup polis semalam.

Menurut Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, pusat hiburan itu diserbu selepas mendapat maklumat mengatakan premis tersebut mengupah wanita-wanita warga asing sebagai pelayan.

Selain itu, risikan polis juga percaya GRO terbabit bukan sahaja melayan pelanggan menyanyi malah memberi khidmat seks.

"Premis tersebut pernah diserbu sebanyak tiga kali tahun lalu.

"Kesalahan yang dilakukan adalah mengupah pekerja asing yang tidak mempunyai permit sah kerana siasatan polis mendapati mereka memegang pas lawatan sosial," katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

'Kilang' pelacur 24 jam di Meru





KLANG - Sebuah bangunan kilang industri kecil dan sederhana (IKS) di sekitar Meru dipercayai menjadi tempat menyediakan perkhidmatan seks sejak tiga tahun lalu.

Dengan bayaran serendah RM50, perkhidmatan itu disediakan khusus untuk warga asing. Difahamkan, lelaki tempatan tidak dibenarkan memasuki premis itu kerana pengusaha khuatir rahsia mereka diketahui.

Bagaimanapun, kegiatan tersebut mula terbongkar selepas penduduk berhampiran mendapati premis itu semakin kerap dikunjungi warga asing akhir-akhir ini.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 40, berkata, apa yang dibimbangi ialah aktiviti tidak bermoral itu akan mempengaruhi generasi muda di kawasan sekitar.

"Kita tidak mahu kawasan ini dijadikan pusat pelacuran. Kegiatan tidak bermoral itu sekarang semakin mengundang ketidakselesaan penduduk," ujarnya.

Kata Ahmad, pelanggan tempat tersebut terdiri daripada warga Nepal, Bangladesh, Myanmar dan Vietnam.

"Saya difahamkan pengusaha premis terbabit menggunakan wanita warga Indonesia sebagai pelayan khidmat seks dan ia amat laris pada hujung minggu," katanya.

Jelasnya lagi, pusat tersebut beroperasi 24 jam sehari. Semua pelanggan perlu menggunakan pintu belakang bagi memasuki tempat itu.

"Sekali pandang bahagian hadapan bangunan tidak ubah seperti penempatan setinggan warga Bangladesh," beritahu beliau.

Ahmad berkata, beliau pernah cuba memasuki tempat tersebut namun telah dihalang pengusaha terbabit yang mengetahui beliau orang tempatan.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Mayat lelaki hampir reput ditemui


TASEK GELUGOR 28 Jan. - Misteri bau busuk yang menghantui penduduk Kampung Tepi Sungai, Padang Menora di sini sejak 10 hari lalu akhirnya terungkai apabila mereka menemui mayat yang hampir reput di dalam sebuah rumah di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, berdasarkan keadaan mayat, pihaknya percaya lelaki itu meninggal dunia lebih 10 hari lalu.

"Mayat itu ditemui pada pukul 12.15 tengah hari. Pemeriksaan mendapati lelaki itu tinggal seorang diri di rumah pusaka milik keluarganya.

"Menurut maklumat ahli keluarganya, mangsa menghidap penyakit jantung dan kita percaya kematiannya tiada unsur jenayah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini semalam.

Utusan Malaysia Online - Utara:

'via Blog this'