Search This Blog

Saturday, January 28, 2012

Rugi RM7,000 disamun tiga lelaki depan anak, isteri

SERDANG: Seorang pegawai kerajaan yang berhasrat memasukkan wang sebanyak RM7,000 ke dalam akaun bank sebuah syarikat berhadapan saat cemas apabila diacu parang panjang oleh tiga lelaki di depan isteri dan anaknya di Balakong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, mangsa berusia 31 tahun menaiki kereta bersama isteri dan anak lelakinya yang masih kecil berhenti berhampiran sebuah bank untuk mendepositkan wang milik syarikatnya ke akaun sebuah syarikat lain.


Menurut sumber, tiba-tiba mereka didatangi tiga lelaki dipercayai warga Indonesia dengan seorang daripadanya mengacukan parang panjang ke arah mangsa dan mengarahkannya menyerahkan beg berisi wang bersama dompet miliknya.

“Tidak sempat berbuat apa-apa, mangsa terpaksa menyerahkan beg berisi wang syarikat serta dompet miliknya kerana bimbang penyamun terbabit mencederakan ahli keluarganya.


“Sejurus selepas itu, suspek meninggalkan mangsa dengan melarikan diri ke arah jalan raya,” katanya.


Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Serdang kira-kira jam 1 pagi semalam sebelum kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.

myMetro | Rugi RM7,000 disamun tiga lelaki depan anak, isteri:

'via Blog this'

Anak minta sarapan kena campak

BATU PAHAT: Hanya kerana merengek meminta disediakan sarapan, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dicampakkan ke dinding oleh ibunya selepas dipukul berkali-kali di rumah mereka di sini, kelmarin.

Kejadian dikatakan berlaku pada jam 7 pagi ketika kanak-kanak berkenaan sudah siap memakai pakaian seragam untuk ke sekolah. Sumber polis berkata, sebelum kejadian ibu mangsa yang berusia 30-an, sedang bersiap hendak menghantar anaknya itu ke sekolah berhampiran, namun mangsa merengek meminta diberikan sarapan terlebih dulu.


“Berikutan itu, suspek dikatakan naik angin lalu memukul mangsa berkali-kali sebelum mencampaknya ke dinding. Wanita itu kemudian menghantar anaknya ke sekolah dan memberi amaran supaya tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa.

“Bagaimanapun, beberapa ahli keluarga menyedari kesan lebam pada mangsa memujuk kanak-kanak itu menceritakan apa yang berlaku,” katanya.


Menurutnya, dalam keadaan ketakutan, mangsa menceritakan kejadian menimpanya dan ahli keluarga ibunya cuba menghantarnya ke hospital bagi mendapatkan rawatan, namun usaha itu dihalang suspek .


“Suspek turut memberi amaran kepada ahli keluarganya supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa,” katanya.

Keluarga suspek kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada hari yang sama.

myMetro | Anak minta sarapan kena campak:

'via Blog this'

Tandas laluan rahsia kaki judi


PERIKSA...anggota polis memeriksa mesin judi di premis terbabit.
PERIKSA...anggota polis memeriksa mesin judi di premis terbabit.

KLANG: Serbuan polis ke atas sebuah premis di Bandar Baru Klang, di sini, kelmarin membongkar kegiatan perjudian yang berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga.
Lebih mengejutkan sebuah tandas wanita diubah suai pemilik terbabit untuk dijadikan laluan rahsia bagi memudahkan kaki judi ke bilik menempatkan mesin judi. Kegiatan perjudian itu tumpas dalam serbuan polis dilakukan Unit Risikan Operasi NKRA Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang melakukan intipan.

Operasi diketuai Asisten Superintendan Aimy Shah Fadhil itu turut menumpukan beberapa lagi premis di kawasan berkenaan yang menjalankan operasi mesin judi.
Aimy ketika ditemui di lokasi selepas serbuan itu, berkata tandas wanita berkenaan diubah suai sebagai laluan rahsia ke bilik berasingan yang menempatkan 14 mesin judi.

“Operasi pada jam 8 malam bersama sepasukan lapan anggota dilakukan selepas seminggu melakukan intipan. Seramai 10 pelanggan lelaki termasuk dua warga Indonesia berusia 22 hingga 55 tahun ditahan ketika bermain judi mesin komputer dan mesin slot judi.

“Enam pelanggan ditahan di luar bilik itu, manakala di dalam bilik yang menggunakan tandas sebagai laluan, polis menahan empat lagi pelanggan.
“Sebelum itu, empat penjaga premis termasuk dua warga Myanmar berusia 30 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya. Menurutnya, selepas pemeriksaan, seorang daripada penjaga premis itu yang berusia 60 tahun yang juga warga tempatan didapati menyembunyikan wang RM750 di dalam seluar dalamnya.

Katanya, pemeriksaan terhadap penjaga premis warga Myanmar itu pula mendapati mereka tidak memiliki dokumen yang sah.
Selain itu, Aimy berkata, 22 mesin judi komputer dan 14 mesin judi slot dirampas dalam serbuan berkenaan.

“Semua mesin judi yang dirampas itu dianggarkan bernilai lebih RM100,000. Empat penjaga premis ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dua daripadanya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Selangor.
myMetro | Tandas laluan rahsia kaki judi:

'via Blog this'

Dadah di pusat mel PBB

NEW YORK: Sebuah bungkusan mengandungi 16 kilogram kokain dirampas di pusat penerimaan mel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 16 Januari lalu, kata jurcakap polis New York semalam.
Ketua jurucakap polis New York, Paul Browne, berkata dadah itu dibungkus dalam beg putih dan kelihatan seperti beg diplomatik.

Bagaimanapun, kata Browne, beg itu menimbulkan kecurigaan ketika diimbas kerana logo PBB yang ada padanya tidak meyakinkan.

“Tiada nama atau alamat pada bungkusan dihantar dari Mexico City melalui Cincinnati itu,” katanya.

Pegawai keselamatan PBB menghubungi polis dan agensi Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah yang kemudian mengesahkan bahan berkenaan adalah dadah.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Keselamatan PBB, Gregory B Starr, berkata tiada bukti mengaitkan sesiapa di badan dunia itu dengan bungkusan berkenaan.

“Dadah itu dibungkus dalam dua beg dan dimateri dengan logo biru muda PBB dalam usaha mengelirukan pihak berkuasa.

“Ia dibuat seolah-olah beg diplomatik dan tidak sepatutnya diperiksa.

“Dadah itu disembunyikan dalam buku tulis yang dilubangkan,” katanya.

Pegawai PBB juga menunjukkan gambar beg dirampas itu.

Apabila dibandingkan, logo itu besar dan menggunakan bahan berbeza.

Kata Starr, logo itu bukan dikeluarkan PBB. - AP

2 pegawai tentera Thai kena cekup

BANGKOK: Seorang pegawai tentera berpangkat mejar yang disyaki terbabit dengan kes dadah berbilion baht ditahan, manakala waran tangkap dikeluarkan ke atas seorang daripada orang bawahannya.
Mejar Piyanat Ketchamras daripada Batalion Kejuruteraan Pasukan Tiga dibawa oleh helikopter semalam dari kem askar di Phitsanulok di daerah Muang ke BiroKawalan Narkotik di Bangkok.

Mahkamah Jenayah mengeluarkan waran tangkap terhadap Mejar Ketchamras selepas dia mempunyai kaitan dengan suspek dadah di kalangan orang awam.

Mahkamah turut meluluskan waran tangkap ke atas Sarjan Mejar Weenas Srijai.

Ketua Tentera Prayuth Chan-ocha berkata, pihaknya tidak akan melindungi pegawai yang terbabit dengan dadah dan mereka perlu melalui prosiding undang-undang. “Tentera tidak akan melindungi mereka dan suspek perlu didakwa,” katanya yang turut menambah tentera akan membentuk jawatankuasa untuk menyiasat isu itu.

Rabu lalu, polis menahan Niphon Kanchat yang mengakui mempunyai 3.8 juta pil ecstasy dan 71 kilogram serbuk methamphetamine bernilai lebih 1 bilion baht (RM9.75 juta).

Dadah itu pada awalnya ditemui di kediaman teman wanitanya di kawasan perumahan Summakorn di Jalan Rangsit-Nakhon Nayok. Polis berkata Kanchat menamakan Mejar Ketchamras sebagai dalang dalam rangkaian penyeludupan dadah. Kad pengenalan palsu Arahan Operasi Keselamatan Dalaman dengan gambar Kanchat ditemui dalam sebuah van di kediaman itu yang digunakan untuk menyimpan dadah.

Dipercayai dia menggunakan kad itu bagi mengelak dicurigai pihak berkuasa. - Bangkok Post

Lelaki perkosa pelajar dalam van awam ditahan

JAKARTA: Polis di Surakarta di Jawa Tengah menahan seorang daripada enam suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian rogol di dalam van di bandar raya ini.
“Suspek ditahan ketika dalam perjalanan,” kata Ketua Polis Jakarta Selatan, Adjutan Komisioner Kanan Budi Irawan kepada tempo.com, semalam.

Bagaimanapun, Budi enggan mendedahkan identiti dan lokasi di mana suspek ditahan. Seorang pelajar kejururawatan diperkosa sekumpulan enam lelaki ketika menaiki van awam di Jakarta Selatan, Jumaat lalu. Kumpulan penyerang kemudian meninggalkan mangsa di tepi landasan kereta api di Kebayoran Lama selepas kejadian itu.

Mangsa berkata, dia dalam perjalanan pulang ketika insiden itu berlaku kira-kira jam 9 malam. Dia menaiki van untuk laluan Ciledug-Kebayoran Baru. - Jakarta Post

Sapu bersih wang ATM

KUALA LUMPUR: Dengan kepakaran dimiliki, dua penjenayah menyapu bersih wang tunai berjumlah RM388,000 dalam mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Taman Connaught, Cheras, di sini, tanpa meninggalkan kesan rompakan.
Kedua-dua penjenayah licik yang memakai seragam pekerja syarikat kawalan keselamatan untuk mengelirukan orang ramai di stesen minyak itu dipercayai memiliki kemahiran tinggi yang membolehkan mereka memecahkan kod rahsia untuk menyelongkar mesin ATM berkenaan.
Kelicikan dan kepakaran mereka menyebabkan kehilangan wang tunai di mesin ATM itu hanya disedari jam 2.30 petang kelmarin dan pemeriksaan pada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati rompakan dipercayai dilakukan pada 4 Januari lalu.

Sumber polis berkata, kejadian disedari selepas petugas syarikat kawalan keselamatan memeriksa mesin ATM berkenaan sebelum memaklumkannya kepada pihak bank dan laporan kehilangan wang dibuat di Balai Polis Cheras.


“Petugas syarikat kawalan keselamatan berkenaan terkejut apabila mendapati semua wang di dalam mesin ATM itu hilang sedangkan tiada sedikitpun kesan pecah atau rosak. Mereka kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pihak bank.

“Selepas rakaman CCTV di tempat kejadian diperiksa, didapati pada jam 5.30 petang, 4 Januari lalu, dua lelaki memakai pakaian seragam seakan-akan pekerja syarikat kawalan keselamatan membuka mesin ATM itu dan melarikan wang,” katanya.

Pengguna tertipu sofa tidak berkualiti



HASRAT seorang kerani dan seorang akauntan untuk menikmati keselesaan set sofa kulit bagi tempoh yang lama tidak kesampaian apabila produk yang dibeli mereka pada November 2009 rosak dalam tempoh tidak sampai enam bulan digunakan.
Akibat tidak berpuas hati dengan perkara itu, kedua-duanya membawa kes itu kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Johor Bahru baru-baru ini selepas mereka gagal mendapat bayaran balik daripada syarikat pengeluar perabot berkenaan, Kian (Johore) Sdn. Bhd.
Haryati Iswadi, 32, memberitahu, dia membeli set sofa kulit berharga RM2,599 dari sebuah kedai perabot yang terletak di sebuah pasar raya terkemuka di Plentong dengan harapan dapat digunakan bagi jangka masa panjang memandangkan fabrik yang digunakan kelihatan berkualiti tinggi.
Namun, selepas enam bulan digunakan, set sofa berkenaan mula menggelupas dan bahagian tepinya turut patah.
Akibat tidak berpuas hati dengan kualiti sofa berkenaan, dia kemudian pergi semula ke kedai itu untuk mendapatkan ganti rugi tetapi gagal kerana premis berkenaan telah ditutup.
''Saya kemudian pergi ke kilang pembuat perabot berkenaan di Ulu Tiram untuk mendapatkan ganti rugi tetapi hampa kerana mereka menafikan sofa itu dibuat di kilang tersebut. Mereka turut mencabar saya untuk mengambil tindakan undang-undang.
''Tidak puas hati dengan keadaan itu, saya pergi ke cawangan syarikat perabot tersebut yang terletak di Kluang bagi mendapatkan penjelasan. Selepas diberikan penerangan, saya dapati bahawa set sofa yang dibeli itu bukan daripada jenama perabot tersebut,'' katanya.
Nasib sama turut dialami Ho Yin Chyang, 50, apabila sofa kulit yang dibelinya dengan harga RM2,859 turut menggelupas dalam tempoh lapan bulan dan lebih menyedihkan pihak syarikat memintanya untuk membayar RM800 sebagai kos untuk menggantikan fabrik tersebut.
''Mereka beritahu tidak akan bertanggungjawab jika kulit yang digantikan pada sofa itu rosak atau menggelupas pada masa akan datang.
''Ini kali terakhir saya membeli perabot dari syarikat berkenaan kerana selepas ini memang saya tidak akan beli lagi di syarikat tersebut,'' katanya kesal.
Setelah mendengar kedua-dua tuntutan itu, Presiden TTPM, Siti Naaishah Hambali mengarahkan syarikat perabot terbabit membayar pampasan sebanyak RM1,400 kepada Haryati dan RM1,700 kepada Yin Chyang.
Bagaimanapun, wakil syarikat berkenaan tidak hadir ketika award tersebut diberikan.

Rakan disangka rusa mati ditembak



HULU TERENGGANU 27 Jan. - Gara-gara terlalu asyik memburu rusa, seorang kakitangan Jabatan Kesihatan di sini tidak menyedari telah tertembak rakannya sendiri di kawasan hutan Kampung Kuala Menjing dekat sini malam tadi.
Berikutan insiden pukul 9.10 malam itu, mangsa, Yaseer Janudin, 26, yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal maut di tempat kejadian selepas peluru dilepaskan mengenai rusuk kirinya.
Difahamkan, ketika kejadian, terdapat seorang lagi rakan mereka berusia 30-an bersama-sama berburu.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Supritendan Mohd. Rosli Mohd. Amir berkata, siasatan mendapati kakitangan berusia 49 tahun itu dikatakan terlihat satu 'cahaya putih' yang dipercayainya mata rusa lalu menembaknya.
Katanya, lelaki itu kemudian memanggil dua lagi rakannya untuk menyembelih 'rusa' yang berjaya ditembak.
"Bagaimanapun, dia terkejut mendapati Yaseer pula yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah. Sehubungan itu, dia membuat laporan polis.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat hospital itu di sini hari ini.
Jelasnya, mangsa yang berasal dari Melaka telah bertugas di Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu sejak lima tahun lalu.
"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dua rakan mangsa kini ditahan bagi siasatan lanjut," ujar beliau.
Tambahnya, jenazah mangsa akan disembahyangkan di surau kuarters IPD berkenaan sebelum dihantar ke kampung halamannya di Kampung Permatang Pasir, Melaka Tengah.


60 pengusaha restoran desak Presiden Presma disiasat



KUALA LUMPUR 27 Jan. - Seramai 60 pengusaha restoran yang mendaftar dengan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) hari ini tampil membuat laporan polis mendesak siasatan dilakukan terhadap Presiden persatuan itu, Noorul Hassan Saul Hameed yang disyaki terlibat dalam penyelewengan wang hampir RM6 juta.
Laporan tersebut dibuat bekas Presiden Presma, Datuk Jamarulkhan M.S Kadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada pukul 11.12 pagi.
Menurut Jamarulkhan, beliau membuat laporan terhadap Noorul Hassan bagi mewakili 60 pengusaha yang memiliki 300 rangkaian restoran mamak di seluruh negara setelah mereka mengadu kepadanya bahawa Noorul Hassan mungkin menyeleweng wang persatuan hampir RM6 juta Disember tahun lalu.
Menurutnya, wang yang diselewengkan itu merupakan pembayaran bagi ahli-ahli untuk mendapatkan kelulusan bagi membawa masuk 15,000 pekerja asing melalui Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) serta menguruskan proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P).
"Berdasarkan aduan dibuat, saya telah menyiasat dan mengadakan perjumpaan dengan beberapa ahli Presma untuk mendapatkan penjelasan dan mendapati aduan tersebut adalah benar," katanya pada sidang akhbar di Restoran Syed, Jalan Dang Wangi, di sini hari ini.

30 tonto serang penguat kuasa




ANGGOTA penguat kuasa MBMB merampas kelengkapan premis siber kafe haram di Taman Seri Duyong Seksyen 2, Duyong, Melaka, kelmarin.


MELAKA 27 Jan. - Pengusaha-pengusaha kafe siber haram di negeri ini kini bukan sahaja berani melanggar undang-undang malah bertindak lebih ganas sehingga sanggup mencederakan anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas.
Dalam kejadian pukul 11.45 malam tadi, seorang anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Azizan Abbas, 26, cedera di tangan akibat terkena libasan pisau selepas diserang sekumpulan lebih 30 lelaki dipercayai geng tonto di Taman Seri Duyong Seksyen 2, Kandang, di sini.
Turut cedera dalam kejadian itu ialah empat lagi pegawai dan penguat kuasa MBMB yang terlibat dalam operasi itu akibat dipukul kumpulan lelaki tersebut yang bersenjatakan batang besi, rotan dan kayu, mengakibatkan mereka mengalami lebam-lebam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kejadian berlaku selepas sepasukan lima anggota penguat kuasa dan pegawai MBMB merampas sejumlah peralatan termasuk komputer dari kafe siber berkenaan setelah didapati beroperasi tanpa lesen.
Katanya, siasatan mendapati kafe haram tersebut baru empat hari beroperasi.
"Tindakan lima penguat kuasa tanpa uniform itu bagaimanapun cuba dihalang sekumpulan enam hingga tujuh lelaki dipercayai tonto sehingga bilangannya bertambah kepada kira-kira 30 orang.
"Dalam pertengkaran itu, salah seorang daripada mereka yang bersenjatakan pisau tiba-tiba menyerang salah seorang penguat kuasa itu sehingga mangsa cedera di lengan kanan," katanya di sini hari ini.
Tambahnya, pada masa sama, empat lagi anggota penguat kuasa yang lain turut cedera akibat diserang kumpulan lelaki itu menggunakan besi, rotan dan kayu.
"Polis sudah mengenal pasti mereka yang melakukan serangan ini dan akan menangkap suspek dalam tempoh terdekat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata tajam," katanya.
Raja Shahrom memberitahu, hasil maklumat yang diterima, pihak MBMB tidak memaklumkan operasi yang dilakukan malam tadi kepada polis.
"Ia bukan menjadi satu kesalahan kerana mungkin mereka tidak menjangka akan diserang, namun, kebiasaannya dalam operasi sebegini wajar memaklumkan kepada polis demi keselamatan mereka," katanya.
Datuk Bandar MBMB, Zainal Abu yang meluangkan masa melawat Azizan di Hospital Melaka berkata, kejadian itu adalah yang pertama berlaku sehingga mencederakan anggotanya.
"Sebelum ini, memang kita pernah menerima ugutan daripada tonto-tonto ini tetapi serangan sehingga mencederakan anggota penguat kuasa malam tadi membuktikan mereka sanggup bertindak apa sahaja," katanya.
Tambah beliau, operasi bermula pukul 6 petang itu bertujuan membanteras kewujudan kafe-kafe siber haram dengan pasukan mereka dibahagikan kepada dua kumpulan termasuk penguat kuasa berpakaian biasa sebagai penyamaran.
Menurutnya, premis yang diserbu di Taman Seri Duyong Seksyen 2 itu adalah lokasi ketiga serbuan dan ia merupakan kafe siber haram yang baru empat hari beroperasi.
Zainal memberitahu, pihaknya tidak memaklumkan operasi itu kepada polis kerana kebiasaannya hanya serbuan kafe siber berlesen yang menjalankan kegiatan judi haram sahaja akan melibatkan pasukan berkenaan.
"Selain itu, kami juga tidak menyangka tindakan ganas ini boleh berlaku kerana kafe siber haram yang diserbu itu baru empat hari beroperasi.
"Bagaimanapun, selepas ini MBMB akan sentiasa melibatkan polis dalam setiap operasi dilakukan bagi mengelak insiden ini daripada berulang," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, pihak berkuasa tempatan itu telah merampas sebanyak 1,132 unit komputer dalam operasi kafe siber tanpa lesen pada tahun lalu bermula September sehingga Disember lalu.

Jumlah korban bangunan runtuh di Brazil meningkat



28/01/2012 2:53am

RIO DE JANEIRO 28 Jan. – Jumlah korban insiden dua bangunan runtuh di sini petang kelmarin meningkat kepada tujuh orang manakala 20 lagi masih hilang, lapor siaran televisyen Globo News, semalam.
Runtuhan yang berlaku berhampiran bangunan teater perbandaran di dataran bersejarah Cinelandia itu melibatkan dua bangunan masing-masing setinggi 20 dan 10 tingkat.
Sebelum ini, media melaporkan tiga maut manakala empat cedera dalam kejadian tersebut. – DPA

25 kedai musnah dalam kebakaran




ANGGOTA bomba memadam kebakaran 25 kedai di Terminal Sementara Penang Sentral, Butterworth, Pulau Pinang malam kelmarin.


BUTTERWORTH 27 Jan. - Sebanyak 25 buah kedai sederet bersebelahan terminal sementara Penang Sentral berhampiran jeti Pangkalan Sultan Abdul Halim di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Kejadian pukul 11.39 malam itu yang dipercayai bermula dari sebuah bengkel berhampiran, memusnahkan kedai menjual pelbagai jenis jeruk, kaunter tiket bas, kedai runcit serta kedai makanan dan minuman.
Ini merupakan kebakaran kedua di kawasan itu apabila kebakaran pertama pada 2001 memusnahkan Kompleks Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) yang menempatkan dua pasar raya, The Tops dan Parkson Ria di tingkat dua selain terminal bas ekspres dan bas tempatan di tingkat bawah kompleks tersebut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Azmi Tamat berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran daripada orang awam pukul 11.39 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, 74 anggota bomba melibatkan lima jentera dari sini, Perai dan Bandar Perda dengan dibantu 157 anggota bomba sukarela dan 19 jentera bertungkus lumus memadamkan kebakaran itu.
"Semasa kita sampai, api telah marak dengan cepat kerana struktur kedai itu yang bersambung-sambung dan diperbuat daripada papan.
"Kita berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 25 minit dari merebak ke beberapa kedai dan sebuah tangki simpanan minyak milik Syarikat Esso, kira-kira 50 meter dari tempat kejadian," katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi.
Azmi berkata, siasatan awal mendapati, kebakaran dipercayai berpunca dari gas yang digunakan oleh sebuah bengkel berhampiran kawasan itu.
Bagaimanapun, katanya, tiada kemalangan jiwa dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Dibunuh kejam selepas disamun


Seorang wanita yang dipercayai adik mangsa tidak dapat mengawal emosi apabila mendapati kakaknya mati dibunuh dengan kejam di sebuah rumah kedai tiga tingkat di Jalan Radin Anum, Sri Petaling, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Jan. – Seorang adik yang mahu melawat kakaknya yang sedang bercuti hari ini, terkejut apabila menemui wanita itu dibunuh dengan kejam selepas disamun di bilik sewanya di sebuah rumah kedai tiga tingkat di Sri Petaling di sini hari ini.
Mayat wanita warga Indonesia dikenali sebagai Kurnani, 45, ditemui oleh adik perempuannya dalam keadaan berlumuran darah, hanya memakai coli dan digulung dengan selimut di tepi katil pada pukul 4.45 petang.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Bari Wan Abdul Khalid berkata, adik mangsa yang hairan apabila kakaknya tidak membuka pintu setelah diketuk beberapa kali telah mengambil tangga dan memanjatnya untuk menjenguk ke dalam bilik disewa wanita tersebut.
Beliau berkata, adik mangsa terkejut melihat kakaknya terbaring berlumuran darah lalu segera memaklumkan kejadian itu kepada polis.
“Polis yang menjalankan siasatan, mendapati mangsa mati akibat ditikam dan dikelar di beberapa bahagian badan, manakala barang kemas yang biasa dipakai wanita itu juga didapati hilang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini malam ini.
Wan Bari berkata, polis mengesyaki suspek yang membunuh mangsa mungkin individu yang dikenali kerana pintu bilik mangsa dikunci dari dalam, manakala keadaan dalam bilik tidak berselerak.
Beliau berkata, mangsa yang bekerja di restoran terletak sebaris dengan rumah sewanya sudah 10 tahun tinggal di negara ini dan mempunyai dokumen perjalanan sah.
Katanya, rumah kedai tersebut mempunyai tiga tingkat dengan tingkat dua dan tiga masing-masing mempunyai sembilan bilik yang disewakan kepada warga asing yang bekerja di restoran berhampiran.
“Saya minta orang ramai khususnya penghuni yang tinggal berhampiran dengan bilik sewa mangsa agar menghubungi Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Brickfields, Asisten Supritendan Ari Krisnan di talian 012-6107965 jika mempunyai maklumat mengenai kejadian pembunuhan ini,” katanya.
Sementara itu, seorang kenalan mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui memberitahu, Kurnani yang mesra dipanggil Nani sudah kematian suami dan mempunyai lima anak.
Katanya, seorang anak mangsa tinggal di Ampang dekat sini, manakala empat lagi berada di Indonesia.
“Nani diberi cuti oleh majikannya sejak Sabtu lalu sempena Tahun Baru Cina dan pada pukul 11 pagi ini, majikannya ada menelefon Nani memintanya membuat persediaan membuka kedai esok.
“Sebelum ditemui mati dibunuh, ada rakan memaklumkan mereka ada bertemu Nani pergi ke bank berhampiran untuk berurusan dengan memakai barang kemas,” katanya sambil memberitahu wanita itu ditemui hanya bercoli sebab mahu pergi mandi.

21 diberkas lepas gian di ladang sawit




Sebahagian lelaki ditahan dipercayai penagih dadah di ladang kelapa sawit di Kampung Pokok Pauh, Pokok Sena, semalam.


POKOK SENA 27 Jan. - Polis menahan 21 lelaki dipercayai penagih dadah dalam satu serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Pokok Pauh di sini hari ini.
Serbuan itu menyusul seminggu selepas operasi polis ke atas sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Menerong, kira-kira 20 kilometer dari lokasi itu pada 21 Januari lalu yang berjaya memberkas 33 lelaki termasuk pengedar dadah dan ubat batuk.
Dalam serbuan terbaru itu, kumpulan penagih tersebut turut menjadikan ladang kelapa sawit sebagai tempat melepas gian.
Operasi berlangsung selama lapan jam bermula pukul 6.30 pagi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar yang diketuai Asisten Supritendan Muhammad Safuan Abdul Rashid.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, kumpulan lelaki berusia 20 hingga 50 tahun itu yang bekerja kampung disyaki menagih heroin dengan mendapatkan bekalan dari kawasan berdekatan.
Katanya, ladang kelapa sawit tersebut dipercayai dijadikan sarang mereka sejak sebulan lalu dan serbuan dibuat hasil maklumat awam serta risikan polis selama dua minggu.
"Polis turut merampas 18 motosikal dan pemeriksaan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti status kenderaan itu sama ada curi atau sebaliknya," katanya di sini hari ini.
Menurut Adzaman, serbuan itu bagi mengelakkan penularan aktiviti penagihan dadah di kawasan tersebut selain untuk mengurangkan kegiatan curi motosikal serta getah sekerap di kawasan berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati separuh daripada kumpulan lelaki terbabit merupakan penagih berulang yang melebihi tiga kali.
"Siasatan dijalankan menurut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983," katanya.

'Kami dikepung 30 lelaki bersenjata'



MELAKA 27 Jan. - "Kami dikepung lebih 30 lelaki bersenjatakan pisau Rambo, batang besi, rotan dan kayu".
Begitu detik cemas dilalui anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Azizan Abbas, 26, ketika menjalankan operasi membanteras kafe siber haram di Taman Seri Duyong Seksyen 2, Kandang di sini malam tadi.
Azizan berkata, semasa kejadian, dia bersama empat anggota penguat kuasa menyerbu premis kafe siber berkenaan dan merampas 20 unit komputer.
Katanya, beberapa lelaki kemudian memulakan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat.
"Bagaimanapun, selepas semua komputer itu dimasukkan ke dalam van MBMB, seorang daripada mereka dipercayai tonto mendekati Pembantu Penguasa Kanan, Mutahir Abdul Rashid.
"Mereka meminta waran daripada Mutahir dan mempertikaikan tindakan itu.
Mutahir bagaimanapun meminta mereka yang tidak berpuas hati berurusan di pejabat MBMB.
"Mereka terus berang, lalu bertindak memukul belakang Mutahir sehingga dia tersungkur," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka di sini hari ini.
Tambahnya, mereka kemudian dikepung lebih 30 lelaki bersenjatakan batang besi, rotan dan kayu termasuk seorang lelaki menggunakan pisau Rambo sepanjang 30 sentimeter.
"Dalam suasana tegang, kami ditumbuk dan dipukul sebelum akhirnya saya diserang oleh lelaki yang memegang pisau itu, namun saya sempat menahannya dengan tangan," katanya.
Menurut Azizan, tidak cukup dengan itu, kumpulan lelaki tersebut bertindak ganas dengan memecahkan cermin hadapan van MBMB.

Pekerja restoran maut ditetak tujuh pelanggan



KUALA LUMPUR 27 Jan. - Seorang pekerja restoran maut akibat ditetak dengan pisau pemotong daging di muka, tangan dan kaki oleh tujuh pelanggannya yang berang hanya kerana diminta menjelaskan bil minuman di sebuah restoran di Taman Daya Kepong, di sini tengah malam tadi.
Kejadian pukul 12.45 tengah malam itu bermula apabila mangsa yang dikenali sebagai Ah Chun, 46, meminta kesemua lelaki itu menjelaskan bil minuman kerana premis tersebut hendak ditutup.
Kumpulan lelaki yang berada di bawah pengaruh alkohol itu bagaimanapun enggan menjelaskan bil tersebut mengakibatkan berlaku pertengkaran.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kumpulan itu kemudian menyerang mangsa dan pemilik restoran itu, Lim Kok Keng, 41, dengan menggunakan kerusi dan botol.
"Ah Chun lalu mengambil sebilah pisau yang digunakan untuk memotong daging dari dapur untuk mempertahankan diri menyebabkan salah seorang suspek mengalami kecederaan.
"Malangnya, Ah Chun tiba-tiba tergelincir lalu terjatuh bersama pisau yang dipegangnya. Salah seorang suspek kemudian mengambil pisau itu lalu menetaknya beberapa kali di muka, tangan dan kaki sehingga mati," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, pemilik restoran yang melihat mangsa ditetak cuba untuk membantu dengan mengambil pisau pemotong sayur, namun pisau terbabit berjaya dirampas kumpulan berkenaan.
"Pemilik restoran itu turut ditetak di bahagian kepala, muka dan perut. Selepas insiden itu, kesemua suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Saga dan sebuah motosikal," ujarnya.

Ahli perniagaan didakwa tipu RM103,000



KLANG 27 Jan. - Ahli perniagaan yang sebelum ini dituduh menipu pengarah syarikat National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFC), Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail hari ini didakwa lagi atas dua tuduhan menipu berhubung pelaburan dan pembekalan pembantu rumah yang tidak wujud.
Prosiding pendakwaan terhadap Datuk Shamsubahrin Ismail, 46, sepatutnya diadakan di Mahkamah Majistret di sini dan Mahkamah Majistret Shah Alam sebaliknya dijalankan di Wad 8A, Hospital Tengku Ampuan Rahimah berikutan tertuduh sedang menjalani rawatan di situ sejak tiga hari lalu.
Lelaki itu mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Hurman Hussin dan Majistret Nor Kamilah Aziz selang sejam.
Tertuduh yang dirawat bagi penyakit kencing manis kronik dan masalah jantung itu didakwa menipu pemandu teksi, Limat Jonit, 57, dengan mempelawa lelaki itu melabur dalam perniagaannya yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa memasukkan RM90,000 ke dalam akaun tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Pelabuhan Klang di sini, pada 24 Mac 2010.
Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Hurman membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan ikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 27 Februari ini untuk sebutan kes itu.
Shamsubahrin juga didakwa memperdayakan Aina Naridar Abdullah, 45, untuk membekalkan dua pembantu rumah sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM13,000 ke dalam akaunnya.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Bhd. di Seksyen 14, Shah Alam dekat sini pada 28 Julai tahun lalu.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Nor Kamilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 1 Mac ini untuk sebutan kes itu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Noor Husnita Mohd. Radzi dan Elya Ezrin Mohd. Roslan manakala tertuduh diwakili peguam N. Surendran dan Lateefa Koya.
Difahamkan, Shamsubahrin yang dibenarkan keluar dari hospital petang ini telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk ditahan kerana gagal mengemukakan wang jaminan.
Pada 30 Disember tahun lalu, Shamsubahrin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan pemberian cek bernilai RM1.75 juta.
Tertuduh yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Shamsubahrin Ismail Resources Sdn. Bhd. dituduh menjanjikan kepada mangsa satu perkhidmatan rundingan dan nasihat yang tidak benar.
Perbuatan itu bertujuan memperdaya suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu sehingga mendorong mangsa bersetuju membayar wang perkhidmatan tersebut.

Pengarah Eksekutif NFC nafi seleweng dana kerajaan



KERATAN Kosmo! 20 Januari 2012.


KUALA LUMPUR - Selepas dua bulan isu berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) yang didakwa berlaku penyelewengan terhadap dana kerajaan, semalam Pengarah Eksekutif syarikat itu menafikan dakwaan bahawa beliau dan anggota keluarganya terlibat dalam perkara itu.

Wan Shahinor Izmir Salleh berkata, tidak munasabah kalau keluarganya berfoya-foya menggunakan wang tersebut yang merupakan pinjaman yang wajib dibayar balik.

Menurut beliau, pinjaman yang diberikan kepada NFC adalah jutaan ringgit dan disebabkan itu komitmen untuk membayar balik pinjaman tersebut perlu dilakukan dengan cara yang betul.

"Saya dan anak-beranak akan hancur kalau tak boleh bayar pinjaman yang sebegini besar.

"Bermula tahun ini kita sudah kena membayar balik pinjaman yang telah diberikan termasuk kadar faedahnya sekali.

"Tidak mungkin ada penyelewengan berlaku dalam perkara ini kerana setiap sen yang dipinjam akan dibayar balik sepenuhnya," katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Kilang penapis udara terbakar, rugi RM1 juta



ANGGOTA bomba memadam kebakaran kilang membuat penapis udara di Seksyen 15, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Sebuah kilang penapis udara, OYL Manufacturing Company Sdn. Bhd., kerugian lebih RM1 juta apabila hampir 80 peratus premis itu musnah dalam satu kebakaran di Jalan Pengapit, Seksyen 15 di sini semalam.

Pada kejadian pukul 1.20 petang itu, seramai 40 pekerja sedang bertugas manakala 20 lagi keluar menunaikan solat Jumaat.

Seorang pekerja, Armey Safuan, 32, berkata, ketika sibuk bekerja, dia terdengar jeritan pekerja lain mengatakan kilang sedang terbakar.

"Saya terdengar jeritan api beberapa kali dan apabila saya keluar, kilang sedang terbakar dan dipenuhi asap.

"Kami kemudian lari menyelamatkan diri dan berkumpul di pekarangan kilang," katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Cuba bunuh diri sebab tertekan



CUBAAN seorang pelajar Pakistan untuk terjun dari tingkat 24 di Pangsapuri Vista Komanwel, Bukit Jalil dapat digagalkan selepas dipujuk polis dan ahli keluarganya semalam.


KUALA LUMPUR - Niat seorang pelajar warga Pakistan untuk membunuh diri setelah dipercayai tertekan dengan peperiksaan yang bakal dihadapinya tidak lama lagi tidak kesampaian apabila dia berjaya dipujuk oleh pihak polis dan saudaranya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tera Singh berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.57 tengah hari semalam, pelajar berusia 20-an yang menuntut di sebuah kolej swasta di sini cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat 28, Pangsapuri Vista Komanwel, Bukit Jalil di sini.

"Polis yang menerima panggilan bergegas ke tempat kejadian dan mendapati pelajar lelaki itu berada di balkoni rumahnya di tingkat 23 dan seperti mahu melompat.

"Melihatkan keadaan cemas itu, pihak polis meminta bantuan dua sepupu pelajar itu yang juga tinggal di kawasan pangsapuri sama untuk memujuk mangsa," katanya di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Rakan berburu disangka rusa



JALAN masuk ke Kampung Kuala Menjing, Hulu Terengganu yang menjadi tempat Yaseer mati tertembak rakan sendiri ketika berburu rusa kelmarin.


HULU TERENGGANU - Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang anggotanya berpangkat Lans Koperal yang mati ditembak selepas dia disangka rusa oleh rakan-rakannya itu ketika mereka pergi berburu di kawasan hutan Kampung Kuala Menjing dekat sini kelmarin.

Yaseer Janudin, 26, disahkan meninggal dunia dalam kejadian pukul 9.10 malam itu. Salah seorang rakannya merupakan kakitangan Jabatan Kesihatan di sini.

Yaseer bertugas di Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu sejak lima tahun lalu.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Pelayan ditetak sampai mati



ANGGOTA polis menjalankan siasatan di sebuah restoran yang menyebabkan Ching Chon mati ditetak di Kepong, Kuala Lumpur semalam.


KEPONG – Sekumpulan tujuh lelaki mabuk bertindak melampaui batas apabila bukan sahaja enggan menjelaskan bil minuman keras yang diminum malah, menetak sampai mati seorang pekerja sebuah restoran dan mencederakan pemiliknya dalam kejadian di Taman Daya di sini semalam.

Kejadian pukul 12.45 tengah malam itu berlaku apabila salah seorang suspek naik angin dengan tindakan Tan Ching Chon, 46, yang meminta mereka pulang dan membayar harga 13 gelas arak sebanyak RM136 dan dua pinggan sayur goreng hampir RM30.

Ching Chon mati di tempat kejadian selepas ditetak dengan pisau di tangan, kaki dan muka.

Pergaduhan itu turut mengakibatkan tauke yang merangkap chef restoran, Lim Kok Keng, 41, cedera di perut, muka dan kepala namun keadaannya dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Selayang.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'