Search This Blog

Friday, January 27, 2012

Protes: PM Australia terpaksa diiring keluar



SYDNEY 26 Jan. - Perdana Menteri Australia, Julia Gillard hari ini terpaksa diiring keluar oleh ejen pasukan keselamatan dari sebuah restoran di Canberra selepas premis itu dikepung penunjuk perasaan hak asasi orang asli yang berang.
Gillard dan pemimpin pembangkang, Tony Abbot terkandas di restoran The Lobby ketika mereka dikejar oleh berpuluh-puluh penunjuk perasaan yang berdemonstrasi sempena Hari Australia yang menandakan kedatangan peneroka Britain ke negara ini pada 1788.
Kedua-dua pemimpin itu kemudian diiringi oleh ejen keselamatan dan polis antirusuhan.
Gillard yang kelihatan gelisah, terjatuh ketika diiringi oleh ejen berkenaan.
Penunjuk perasaan dilaporkan mengetuk dinding restoran yang diperbuat daripada kaca sambil melaungkan perkataan 'memalukan' dan 'bersifat perkauman'.
Penunjuk perasaan itu menghadiri majlis memperingati Hari Penjajahan di sebuah kem tetap yang dibina aktivis orang asli untuk menyambut ulang tahun ke-40 tahun ini.
Pengasas kem, Michael Anderson berkata, penunjuk perasaan marah dengan kenyataan Abbott awal hari ini yang menyatakan kem itu tidak lagi relevan.
"Kami mendengar ucapan itu di radio. Apa yang Abbot katakan sama seperti menghasut sehingga menyebabkan rusuhan perkauman,'' ujarnya. - AFP

Bangunan runtuh di Brazil, tiga maut




Sebuah kereta remuk di bawah runtuhan, sementara (gambar kecil) menunjukkan beberapa buah kenderaan yang berdebu serta serpihan-serpihan bangunan selepas dua buah bangunan runtuh di pusat bandar Rio de Janeiro, Brazil, kelmarin. – AFP


RIO DE JANEIRO 26 Jan. – Sekurang-kurangnya tiga maut, sementara 16 yang lain hilang apabila dua bangunan runtuh di sini, petang semalam.
Kejadian itu berlaku berhampiran bangunan teater perbandaran di dataran bersejarah Cinelandia.
Menurut Datuk Bandar Rio De Janeiro, Eduardo Paes, dua bangunan yang runtuh tersebut masing- masing setinggi 10 dan 20 tingkat.
“Empat mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital. Masih terdapat ramai mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan, namun kami tidak dapat pastikan jumlahnya,” katanya.
Sebelum ini, siaran televisyen Globo News yang memetik kenyataan Kementerian Pertahanan melaporkan, seramai 11 maut dan cedera dalam kejadian tersebut.
Menurut saksi, terdapat beberapa kejadian letupan di kawasan terbabit sebelum kedua-dua bangunan tersebut runtuh.
Paes, bagaimanapun menjelaskan punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti dan berkemungkinan disebabkan masalah ketidakstabilan struktur.
Sisa runtuhan memenuhi jalan-jalan sekitar bangunan 20 tingkat terbabit manakala debu tebal menyelubungi beberapa kereta berhampiran.
Bangunan 20 tingkat itu sebelum ini menempatkan beberapa buah pejabat perundangan.
Berpuluh-puluh pasukan bomba dan kecemasan dikerahkan ke tempat kejadian untuk membantu mangsa yang terperangkap.
Bangunan tersebut turut menempatkan sebuah restoran dan cawangan bank, namun tidak diketahui sama ada ia beroperasi atau sebaliknya ketika kejadian berlaku. – AFP

Angkara ubat 'pembunuh'



LAHORE 26 Jan. - Kira-kira 100 pesakit jantung Pakistan maut dan berpuluh orang lagi berada dalam keadaan kritikal selepas mengambil ubat yang dibuat oleh syarikat tempatan, kata pegawai hari ini.
Ketua kerajaan negeri wilayah Punjab, Shahbaz Sharif berkata, hampir 100 pesakit maut akibat reaksi teruk kepada ubat jantung tersebut.
"Kebanyakan mangsa merupakan pesakit miskin yang menerima ubat percuma daripada Institut Kardiologi Punjab (PIC) yang diselia kerajaan,'' katanya.
Kerajaan berkata, kira-kira 287 pesakit lagi dimasukkan ke hospital-hospital di Lahore selepas mengambil ubat tersebut.
Polis menahan pemilik tiga syarikat farmasi yang disyaki membekalkan ubat tersebut selepas siasatan awal menunjukkan ubat terbabit yang dibekalkan pembuat tempatan, tidak menepati standard ditetapkan.
Pesakit maut akibat penurunan mendadak jumlah darah putih, platelet dan kerosakan tulang sumsum.
Masalah itu mula dikesan pada Disember lalu apabila ubat tercemar ditemui pada sekurang-kurangnya satu kumpulan ubat yang menyebabkan 23 orang maut.
Sharif berkata, sampel ubat berkenaan telah dihantar ke makmal di Pakistan, London dan Paris untuk diuji.
Pegawai kerajaan, Khwaja Salman Rafiq berkata, punca kebanyakan kematian adalah akibat sekurang-kurangnya satu daripada lima ubat yang diberikan oleh PIC kepada pesakit.
"Ubat itu tidak lagi diedarkan oleh hospital dan farmasi,'' katanya. - AFP

3 maut, 35 cedera ribut di Indonesia



JAKARTA 26 Jan. - Sekurang-kurangnya tiga maut dan 35 cedera semalam apabila beratus-ratus rumah musnah dihempap pokok ketika ribut berserta hujan lebat melanda Jakarta, Malang dan Jawa Timur, lapor pihak berkuasa, hari ini.
Ribut itu turut menyebabkan bekalan elektrik terputus.
"Ribut semalam menyebabkan tiga penduduk terbunuh, seorang di Jakarta, manakala lagi dua di Malang dan daerah Blitar di Jawa Timur," kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.
Jelasnya, ribut tersebut melanda lapan daerah di kepulauan Jawa termasuk Jakarta.
Menurut laporan terkini, lebih 450 rumah dan empat sekolah musnah dalam kejadian terbabit.
Akhbar Jakarta Globe melaporkan, cuaca buruk itu turut meragut satu nyawa dan mencederakan enam yang lain di Bali.
Nugroho bagaimanapun tidak mengesahkan laporan tersebut.
Akhbat tersebut turut melaporkan, sebuah feri yang membawa lebih 200 penumpang termasuk lima warga Australia yang menuju ke kepulauan Gili hampir karam selepas dipukul ombak setinggi tiga meter. - AFP

Firma Malaysia didakwa beroperasi haram di Indonesia



JAKARTA 26 Jan. - Sebuah syarikat telekomunikasi Malaysia didakwa menjalankan operasi secara haram di kawasan perairan Natuna berdekatan Pulau Riau, kata tentera.
Akhbar Jakarta Post melaporkan, PT Sacofa Indonesia yang merupakan firma pelaburan asing dari Malaysia dipercayai menggunakan kawasan perairan itu sebagai pangkalan untuk kemudahan gentian optik dasar laut yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Malaysia Timur.
Ketua tentera Pulau Riau, Kolonel Adi Suryanto berkata, penemuan itu dibuat pegawai pentadbiran apabila mereka melakukan pemeriksaan mengejut ke atas syarikat tersebut.
Beliau berkata, penemuan tersebut menimbulkan beberapa persoalan.
"Sistem keselamatan syarikat itu sangat ketat. Terdapat bilik peralatan yang mengawal kemudahan optik dasar laut. Ketika pemeriksaan, mereka hanya menemui pengawal keselamatan, manakala pegawai bertugas dikatakan bekerja pada waktu tertentu,'' katanya semalam.
Pemeriksaan diketuai Timbalan Pegawai Pemerintah Natuna, Imalko bersama pegawai polis, tentera, dan pegawai Pangkalan Udara Ranai terhadap syarikat di Penarik, Sunguran Selatan itu dilakukan pada 20 Januari lalu.
Imalko berkata, berdasarkan penjelasan beberapa pekerja, kawasan itu merupakan pangkalan untuk operasi gentian optik dari Mersing dan Kuching.
"Kami tidak dapat memberi maklumat lanjut ketika ini kerana masih belum mendapat penjelasan mengenai operasi syarikat itu,'' katanya.
Menurut laman web syarikat itu, ia menjalankan operasi sistem kabel timur-barat sepanjang 950 kilometer bagi sambungan transmisi kapasiti tinggi antara Malaysia Timur melalui Buntal Sarawak dan Semenanjung Malaysia melalui Mersing, Johor dengan dua stesen pendaratan di Tarempa dan Penarik, Indonesia. - AGENSI

Kenyataan palsu: Bekas pegawai polis dipenjara setahun



Azmi Osman dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, semalam selepas didapati bersalah atas tuduhan menggunakan surat akuan bersumpah dan kenyataan palsu, tujuh tahun lalu.


JOHOR BAHRU 26 Jan. - Seorang bekas pegawai kanan polis berpangkat Supritendan dihukum penjara setahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menggunakan surat akuan bersumpah palsu dan membuat kenyataan palsu, tujuh tahun lalu.
Hakim Mohd. Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Azmi Osman, 57, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh.
Bagi pertuduhan pertama, Azmi didakwa secara tidak jujur menggunakan sebagai benar suatu akuan iaitu surat akuan bersumpah oleh D. Jethalal bertarikh 12 Ogos 2005 yang diketahui palsu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah, Blok D6, Putrajaya, antara 29 September dan 10 Oktober 2005.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 200 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 193 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun serta denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membuat satu pernyataan iaitu surat akuan bersumpah bertarikh 8 Oktober 2005 beserta senarai harta alih dan harta tidak alih bertarikh 29 September 2005, yang diketahui adalah palsu kepada pendakwa raya di Bandar Baru Uda di sini, antara 29 September dan 10 Oktober 2005.
Azmi didakwa mengikut Seksyen 19(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya.
Mohd. Haldar memerintahkan Azmi dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama dan penjara setahun bagi pertuduhan kedua.
Kedua-dua hukuman itu diperintah berjalan serentak mulai hari ini.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi esok.
Beliau turut menetapkan wang jaminan RM25,000 terhadap Azmi sementara menunggu keputusan rayuan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Muhammad Saifuddin Hashim Musaini manakala Azmi diwakili peguam belanya, Adam Yap dan C N Sritharan.

Datuk didakwa cabul cucu



KUALA LUMPUR 26 Jan. - Seorang bekas pengarah urusan sebuah syarikat berusia 73 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat tuduhan mencabul seorang cucu perempuannya yang berusia lapan tahun sejak dua tahun lalu.
Lelaki berketurunan Inggeris itu mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Zulkpli Abdullah.
Tertuduh didakwa mencabul cucunya di tiga tempat berasingan iaitu di bilik Hotel Cititel Mid Valley, sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Bangsar dan di dalam kereta jenis Hyundai Matrix yang berada di tempat meletak kereta di kondominium terbabit antara Mei dan Oktober 2011.
Selain itu, ahli perniagaan tersebut mohon dibicarakan atas tuduhan mencabul kanak-kanak tersebut di bilik Hotel Sheraton Imperial, Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang di sini antara pukul 1 dan 6 petang, April 2010.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Ketika kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa, kelihatan ibu mangsa selaku pengadu kes itu menangis teresak-esak, bagaimanapun keadaan wanita itu kembali terkawal apabila dia ditenteramkan oleh ahli keluarganya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S. Maline Anne mencadangkan jaminan sebanyak RM70,000 bagi kesemua tuduhan dengan seorang penjamin, bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam bela Muhammad Fauzi memohon agar jumlah itu dikurangkan.
Zulkpli kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 28 Februari ini.
Beliau turut memerintahkan lelaki tersebut supaya tidak berkomunikasi dan tidak menganggu mangsa secara langsung atau tidak langsung sehingga kes selesai.
Mengikut laporan akhbar minggu lalu, seorang ahli perniagaan ditahan polis selepas menerima aduan daripada bekas menantunya yang mendakwa lelaki itu telah mencabul cucunya sendiri sejak dua tahun lalu.
Kejadian tersebut mula terbongkar ketika kanak-kanak itu dimasukkan ke sebuah hospital swasta pada dua minggu lalu kerana menghidap penyakit apendiks.
Doktor dan jururawat yang merawat mangsa mengesyaki sesuatu yang tidak kena kerana kanak-kanak itu secara tiba-tiba akan berang selepas dia dimaklumkan bahawa datuknya akan datang melawat.
Kanak-kanak tersebut kemudian menceritakan perkara sebenar kepada ibunya.

Amizudin dakwa tak terima dokumen Rais



KUALA LUMPUR 26 Jan. - Penulis blog yang juga ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amizudin Ahmat yang sebelum ini dicari-cari oleh peguam, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, hari ini hadir ke Mahkamah Tinggi di sini untuk memberikan penjelasan berhubung permohonan menghina mahkamah yang dihadapinya.
Amizudin berbuat demikian di hadapan Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof dalam prosiding komital yang dikemukakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim terhadapnya kerana didakwa melanggar perintah mahkamah dalam satu kes saman sivil yang dihadapinya.
Rais, 70, memfailkan permohonan itu kerana mendakwa Amizudin telah melanggar perintah yang melarangnya daripada terus menerbitkan artikel memfitnah beliau menerusi satu artikel yang dipaparkan dalam blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com.
Amizudin yang tidak diwakili peguam mendakwa, dia tidak menerima sebarang dokumen yang diserahkan oleh firma guaman Tetuan Shafee & Co sebanyak tujuh kali sebelum ini.
Malahan Amizudin yang mendakwa amat terkejut dengan perkara tersebut berkata, dia telah pergi sendiri ke pejabat peguam berkenaan di sini baru-baru ini untuk membuat pertanyaan.
Muhammad Shafee terdahulunya berkata, pihaknya telah tujuh kali cuba untuk menyerahkan kausa permohonan berkenaan di alamat kediaman Amizudin di Bukit Mertajam, Pulau Pinang namun tidak berjaya.
Serahan tersebut menurut Muhammad Shafee telah dibuat pada pukul 6.30 petang, 25 November tahun lalu dan juga pada pukul 9.30 pagi dan 4 petang keesokan harinya.
Seterusnya ujar peguam itu, serahan dibuat pada pukul 11.15 pagi dan 6.15 petang pada 29 November tahun lalu dan juga pada pukul 8.45 pagi, esoknya selain pukul 12 tengah hari, 7 Disember 2011.
Pada prosiding pada 13 Januari lalu, Muhammad Shafee juga memaklumkan mahkamah telah membuat temu janji dengan firma guaman yang mewakili Amizudin untuk menyampaikan dokumen itu kepadanya pada 19 Disember 2011, namun dia gagal hadir.
Usaha penyampaian, menurut Muhammad Shafee, diteruskan lagi dalam episod terbaru pada 11 Januari lalu ketika Amizudin menghadiri prosiding rayuannya di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Hakim Zabariah, namun peguam itu mendakwa penulis blog itu langsung tidak menghormati proses mahkamah.
"Semua orang di negara ini tahu kami mencari Amizudin, melainkan Amizudin sendiri yang tidak tahu kami mencarinya,'' kata Muhammad Shafee dengan nada sinis.
Amizudin bagaimanapun memohon supaya prosiding tersebut ditangguhkan bagi memberi peluang kepadanya untuk melantik peguam.
Hakim Zabariah sebelum itu memberitahu Amizudin, dia dikatakan telah melanggar perintah mahkamah yang telah dipersetujui bersama bahawa dia tidak akan menerbitkan komen-komen tersebut lagi namun masih berbuat demikian.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan prosiding itu ditangguhkan dan memerintahkan Amizudin memfailkan afidavit balasan pada atau sebelum 10 Februari ini serta perlu dijawab oleh pihak pemohon pada atau sebelum 24 Februari.
Hakim Zabariah turut menetapkan 2 Mac depan untuk mendengar permohonan Rais itu, selain mengingatkan Amizudin agar hadir ke mahkamah pada tarikh tersebut.
Sebelum kes ditangguhkan, Muhammad Shafee sempat mempelawa Amizudin hadir sekali lagi ke pejabat beliau untuk mendapatkan semua dokumen yang difailkan pihaknya bagi tujuan perbicaraan tersebut kelak.
Pada 21 November 2011, Rais memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Amizudin, 43, berhubung penghakiman mahkamah tersebut ke atas saman yang difailkan oleh Menteri Kabinet itu pada 31 Januari tahun lalu.
Rais dalam pernyataan tuntutannya, menyatakan, pada 28 Disember 2010, Amizudin sama ada secara sendiri mahupun melalui ejen-ejennya telah menyebabkan satu penerbitan artikel bertajuk, Hei Pak Menteri...mana mau lari...
Pada 19 Julai tahun lalu, Rais memenangi saman itu dan penulis blog terbabit diperintah membayar ganti rugi RM300,000 kepada menteri tersebut.

Rasuah: Bekas pegawai SPAD direman



KOTA BHARU 26 Jan. - Seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) Wilayah Timur ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah daripada syarikat pengangkutan lori.
Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurut sumber, suspek berusia 44 tahun itu ditahan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu selepas dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Kelantan di sini petang semalam.
''Penahanan ini dibuat bagi membantu siasatan SPRM kerana disyaki menerima suapan secara bulanan daripada syarikat pengangkutan lori yang melakukan kesalahan pelesenan.
''Dia dipercayai menerima rasuah bernilai RM800 sehingga RM1,000 sebulan sejak setahun lalu,'' katanya kepada Utusan Malaysia.
Difahamkan, suspek sebelum ini bertugas di pejabat SPAD Wilayah Timur di Kuala Terengganu dan kini bertugas di sebuah agensi penguatkuasaan yang lain di negeri ini.
Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
''Penahanan ini dibuat selepas kita mendapat aduan dan risikan yang dilakukan oleh pegawai penguat kuasa SPRM Terengganu,'' katanya.

Penculik rakyat Malaysia di Jolo letak syarat baru, turunkan nilai tebusan RM100,000



KUALA LUMPUR 26 Jan. - Kumpulan penjenayah Abu Sayyaf yang dipercayai menculik rakyat Malaysia di kepulauan Jolo, Filipina, Mohd. Nazaruddin Saidin sejak Mei lalu, telah menurunkan jumlah wang tebusan daripada RM200,000 sebelum ini kepada RM100,000 daripada keluarga mangsa.
Bagaimanapun, kumpulan penculik tersebut dikatakan telah meletakkan syarat iaitu mereka sanggup membunuh ahli perniagaan cicak tokek itu dalam tempoh terdekat sekiranya permintaan itu gagal ditunaikan.
Menurut sumber, Nazaruddin yang kini diculik dan berada di selatan Filipina dalam keadaan selamat, namun dia semakin tertekan kerana nyawanya kini diibaratkan seperti 'telur di hujung tanduk'.
"Dalam beberapa rundingan sebelum ini, jumlah wang tebusan yang awalnya bernilai jutaan ringgit telah dikurangkan sehingga RM200,000. Bagaimanapun, jumlah wang tebusan terakhir yang diberi adalah RM100,000.
"Ini merupakan peluang terakhir untuk selamatkan Nazaruddin dan jumlah tuntutan paling rendah ditawarkan berbanding tebusan-tebusan lain sebelum ini.
"Kumpulan penculik beranggapan tiada gunanya lagi mereka terus menyimpan (menculik) Nazaruddin lagipun dia beragama Islam," kata sumber itu.
Nazaruddin ke kepulauan terbabit awal Mei lalu untuk menambah pendapatan keluarga dengan berniaga cicak tokek. Namun, langkahnya ternyata silap apabila dia akhirnya menjadi mangsa sindiket penculikan yang dipercayai anggota kumpulan Abu Sayyaf.
Dalam laporan Utusan Malaysia pada 14 Mei lalu, isteri Mohd. Nazarudin, Mazlina Mohamad, 38, mendedahkan kumpulan penculik berkenaan menuntut wang tebusan sebanyak 80 juta Peso (RM5.6 juta) sebagai syarat pembebasan suaminya.
Katanya, jumlah wang tebusan itu dimaklumkan kumpulan penculik kepada orang tengah yang juga salah seorang ejen broker cicak tokek di Malaysia.

Sindiket RM1.53j tumpas




Noor Rashid Ibrahim menunjukkan rampasan dadah serta alat penimbang dadah pada sidang akhbar mengenai rampasan dadah terbaru pada tahun 2012 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 26 Jan. – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa setelah menahan lapan individu termasuk dua wanita tempatan yang dipercayai keldai dadah di sekitar ibu negara, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, salah seorang daripada suspek wanita itu merupakan orang tengah sindiket yang merekrut wanita tempatan untuk dijadikan keldai dadah.
Hasil tiga serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.53 juta.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan dua lelaki warga Nigeria bersama dua wanita tempatan di KL Sentral di sini pada Jumaat lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan dalam kenderaan dinaiki suspek, pihaknya menemui 30 bungkusan kecil dadah dipercayai kokain dalam besi troli beg pakaian beroda.
“Siasatan awal mendapati, dadah itu cuba diseludup ke luar negara oleh salah seorang wanita yang dijadikan keldai dadah.
“Salah seorang wanita lagi yang ditahan merupakan orang tengah untuk merekrut wanita tempatan menjadi keldai dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Difahamkan, wanita itu pernah beberapa kali membawa keluar dadah dari negara ini sebelum merekrut wanita lain. Dia juga dipercayai telah merekrut lebih daripada dua wanita untuk menjadi keldai dadah.
Tambah Noor Rashid, serbuan kedua pihaknya ke sebuah rumah kedai di Puchong, Selangor dan menemui 33 peket dadah jenis heroin yang diletakkan di dalam beberapa kotak set pinggan mangkuk dan sebuah beg sandang serta menahan tiga lelaki warga Pakistan.
Katanya, ketiga-tiga suspek dipercayai baru beberapa hari masuk ke negara ini dengan membawa 40.2 kilogram dadah tersebut.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua alat penimbang berat dan sudip yang dipercayai digunakan bagi proses membungkus dadah terbabit dalam peket-peket kecil untuk edaran pasaran tempatan.
“Kita percaya suspek bergiat aktif selama lebih setahun dalam pengedaran dadah jenis heroin di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Isnin lalu, Noor Rashid berkata, pihaknya menangkap seorang lelaki warga Guinea kerana menyeludup masuk 971 gram dadah syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, hasil ujian imbasan, pihaknya menemui 57 ketulan dadah dalam badan suspek.
“Kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga lingkungan 40-an kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Lebih 167,000 tangkapan dadah sepanjang 2011



KUALA LUMPUR 26 Jan. - Polis telah menahan seramai 167,001 individu yang terlibat dalam pelbagai kesalahan berhubung pengedaran dadah di seluruh negara sepanjang tahun lalu.
Jumlah tangkapan itu menunjukkan penambahan sebanyak 16 peratus tangkapan berbanding 157,756 individu yang ditahan sepanjang tahun 2010.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, seramai 11,648 orang yang ditahan terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah berbanding hanya 10,427 orang pada tahun 2010, meningkat sebanyak 12 peratus.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah pada tahun lalu dilihat merosot iaitu sebanyak RM243.32 juta berbanding RM270.78 juta pada tahun 2010.
Katanya, kemerosotan nilai itu bukan disebabkan kurangnya operasi PDRM tetapi pasukan itu lebih memfokuskan kepada pengedaran dadah jenis heroin sepanjang tahun lalu.
"Dadah jenis heroin masih lagi mencatatkan nilai rampasan tertinggi dengan 445.13 kilogram iaitu dua kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun 2010 iaitu sebanyak 234.27 kilogram.
"Lain-lain dadah yang dirampas syabu (830.29 kilogram), pil yava (364,879 biji), ketamin (106.75 kilogram) dan ganja (796.2 kilogram) sepanjang tahun 2011," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Tambah Noor Rashid, seramai 141 individu termasuk enam warga tempatan ditahan pihaknya ketika cuba menyeludup dan membawa masuk dadah melalui pintu masuk negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau berkata, hasil tangkapan di KLIA, polis berjaya merampas 281.48 kilogram dadah jenis syabu, ketamin (36.1 kilogram), ephidrin (6.3 kilogram), kodin (7 liter) dan heroin sebanyak 310 gram.
Katanya, kesemua suspek masih menggunakan kaedah sembunyi dalam ruang khas bagasi dan menyeludup secara menelan dalam badan untuk membawa masuk bekalan dadah ke negara ini.

Ahli perniagaan bergelar Datuk disamun RM200,000



PULAU PINANG 26 Jan. - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk rugi kira-kira RM200,000 selepas rumahnya di Jalan Kebun Bunga di sini dipecah masuk sekumpulan penjenayah, awal pagi ini.
Kejadian berlaku pukul 3.30 pagi ketika mangsa berusia lingkungan 60-an bersama isteri, pembantu rumah, anak lelaki serta rakan anaknya sedang tidur.
Empat penjenayah dipercayai warga asing bertindak mengumpil salah satu tingkap rumah sebelum memasuki rumah ahli perniagaan itu.
Penjenayah itu kemudian bertindak mengugut keluarga berkenaan dengan senjata tajam iaitu pedang dan pisau yang diambil dari dalam rumah sebelum mengarahkan mereka menyerahkan semua barang berharga.
Suspek juga bertindak mengikat tangan dan kaki kesemua mangsa serta menutup mulut mereka dengan kain sebelum ditempatkan dalam dua bilik.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, rompakan berlaku dengan pantas dan penjenayah hanya mengambil kira-kira 10 minit sebelum melarikan diri.
Menurutnya, penjenayah yang menutup separuh daripada muka dengan kain bagi mengelak dikenali mangsa melarikan beberapa utas jam tangan berjenama, barang kemas, berlian serta wang tunai yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM200,000.
"Sebaik selesai, mereka melarikan diri melalui semak dan lorong kecil di belakang rumah dan menaiki kenderaan yang dipandu rakan mereka," katanya ketika ditemui pada majlis Polis Diraja Malaysia Bersama Pelanggan di Bayan Baru hari ini.
Zahruddin berkata, mangsa berjaya melepaskan diri kira-kira 30 minit kemudian sebelum menghubungi polis.
"Kita sudah mengenal pasti suspek melalui cara mereka melakukan jenayah dan polis sedang giat menjalankan siasatan bagi menangkap mereka.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penjenayah ini diminta tampil memberi maklumat bagi memudahkan siasatan," ujarnya.

Polis rampas dua pistol, empat penjenayah diberkas



JOHOR BAHRU 26 Jan. - Polis memberkas empat penjenayah dan merampas dua pucuk pistol dalam dua serbuan melibatkan beberapa kes samun di sekitar bandar raya ini sepanjang minggu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dalam kes pertama pada Isnin lalu, sepasukan polis peronda menahan dua lelaki berusia 30-an yang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan.
"Dalam kejadian pukul 5.20 petang, kedua-dua suspek bertindak agresif dengan cuba menyerang dan merampas pistol anggota polis yang menahan mereka. Berikutan itu, polis terpaksa melepaskan tembakan dan mengenai kaki salah seorang suspek.
"Seorang lagi suspek berjaya melarikan diri, manakala suspek yang cedera diberkas. Polis menjumpai sepucuk pistol tanpa kelopak bertulis United States Property 856918 yang menyerupai senjata sebenar, sebuah beg berwarna hitam, lapan anak kunci, sehelai topeng muka dan sebuah telefon bimbit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam satu lagi kes, polis menemui sepucuk pistol semi auto menyerupai senjata sebenar selepas menyerbu sebuah bilik hotel di Jalan Permas 10, Permas Jaya kelmarin.
Turut ditemui dalam serbuan itu, sebilah pisau, satu pita hitam, satu kelopak berisi peluru berbiji, leraian bahagian pistol dan bateri pistol yang sedang dicas.
"Ekoran penemuan tersebut, polis memberkas seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan penyewa bilik di hotel berkenaan. Semakan rekod jenayah mendapati suspek memiliki dua rekod kesalahan lampau iaitu di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 379 kanun yang sama," katanya lagi.
Mohd. Mokhtar berkata, suspek ditahan reman sehingga Ahad ini dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun dan denda tidak melebihi RM5,000 jika sabit kesalahan.

Puting beliung akibatkan tujuh mati




26 Januari 2012
JAKARTA - Puting beliung dan angin kencang yang melanda beberapa kawasan di pulau Jawa dan Bali pada Rabu mengakibatkan tujuh orang maut, 51 cedera dan lebh 1,000 rumah penduduk rosak. 
Mangsa yang terbunuh akibat ditimpa pokok terdiri daripada tiga orang di Purbalingga, masing-masing seorang di Jakarta Selatan dan Wonosobo serta dua orang di Bali.
 
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) mencatatkan 22 daerah dan bandar dilanda puting beliung pada Rabu iaitu Jakarta Selatan, Kepulauan Seribu, Bekasi, Sukabumi, Indramayu,  Magelang, Semarang, Sleman, Wonosobo, Purbalingga, Banjarnegara, Ponorogo, Ngawi, Magetan, Situbondo, Kediri, Blitar, Malang, Bangkalan, Sumenep dan Bali.
 
Kerosakan rumah paling banyak ialah di Kepulauan Seribu yang melibatkan sejumlah 499 rumah.
 
BNPB berkata puting beliung dan angin kencang yang berlaku semalam dipengaruhi siklon tropika IGGY yang berada di Lautan Hindi di sebelah Selatan Bali dan Nusa Tenggara.
 
Mengikut ramalan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia, siklon tropika IGGY membawa kesan tiupan angin berkelajuan lebih 36 km sejam dan gelombang laut setinggi empat hingga enam meter di beberapa perairan Indonesia. - BERNAMA

25 kedai dekat Penang Sentral terbakar




27 Januari 2012
BUTTERWORTH - Sebanyak 25 buah kedai berhampiran terminal bas Penang Sentral di sini hangus dalam satu kebakaran lewat malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pulau Pinang Azmi Tamat berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 11.39 malam.
"Ketika pihak bomba sampai di tempat kejadian, api sedang marak,"  katanya kepada pemberita di tempat kejadian awal pagi ini. 
Seramai 74 anggota bomba dari Perai, Perda dan Butterworth menggunakan lima jentera bomba terlibat dalam operasi memadam kebakaran berkenaan.
Mereka dibantu 157 anggota bomba sukarela yang menggunakan 19 jentera bomba.
Azmi berkata pihaknya mengambil masa 25 minit untuk  memadamkan kebakaran itu.
"Api marak dengan cepat kerana struktur kedai-kedai berkenaan dibina daripada papan. Tiada sebarang kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.
Azmi berkata punca kebakaran dan kerugian sedang disiasat.
Antara kedai yang terlibat dalam kejadian itu ialah kedai  menjual jeruk, kaunter tiket bas ekspres, kedai makanan dan kedai runcit. - Bernama 

Juruterbang didenda khalwat isteri orang



WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Januari 2012
Juruterbang didenda khalwat isteri orang
SUBANG - Seorang juruterbang dan seorang suri rumah dihukum denda masing-masing RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam selepas mereka mengaku bersalah berkhalwat di sebuah rumah di Tropicana Golf Resort di sini, Mei lalu.

Juruterbang, Mohd Zafrie Mohd Jasbir Khan, 30, dan pasangannya, Nur Sarah Euzen Petrus, seorang suri rumah, turut diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya mereka gagal membayar denda.
Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohamad turut menasihatkan kedua-dua pasangan itu supaya insaf dan tidak mengulangi perbuatan itu.
"Insaf bukan terletak kepada pakaian sahaja. Datang mahkamah pakai tutup aurat, pakai kopiah tapi kalau dalam hati tak insaf, tak guna juga.

“Tertuduh kedua (Nur Sarah), kamu masih ada suami yang sepatutnya kamu taati. Tetapi kamu telah menderhaka kepada suami. Sepatutnya kamu wajar dipenjarakan, tetapi atas ehsan mahkamah, kamu dijatuhi hukuman denda,” katanya.

Pasangan itu didakwa berkhalwat di Blok K, Kondo Riana Green, Jalan PJU 3/1C, Tropicana Golf Resort di sini, kira-kira jam 4 pagi, 16 Mei lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Shafezan Rosli mengikut Seksyen 29 (1) (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Shafezan ketika mengemukakan fakta kes berkata, pasangan itu ditangkap penguat kuasa yang membuat pemeriksaan ke rumah itu selepas mendapat maklumat awam.

Penguat kuasa mengambil masa lebih 40 minit untuk mendapatkan kerjasama penghuni sehingga memaksa mereka memecahkan pintu hadapan.

Pasangan itu ditemui dalam rumah berkenaan yang tidak memasang lampu.

3 lelaki, ibu tunggal ditahan



WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Januari 2012
3 lelaki, ibu tunggal ditahan
KULIM - Tiga remaja lelaki berusia 16, 17 dan 19 ditahan orang awam ketika sedang melakukan perbuatan sumbang bersama seorang ibu tunggal berusia 22 di tahun di padang permainan di Taman Desa Impiana, kira-kira jam 3.15 pagi semalam.

Saksi yang enggan namanya disiarkan berkata, dia ternampak suspek terlibat menunggang tiga motosikal berasingan dan mengekori mereka dari Taman Alma Jaya sehingga ke Taman Selasih.

“Perlakuan mereka mencurigakan apabila berlegar di sekitar kawasan perumahan. Mereka kemudiannya melarikan diri apabila ternampak Unit Peronda MPV Polis yang sedang membuat rondaan.

“Kira-kira jam 2 pagi, mereka berhenti di kedai makan. Apabila selesai makan, mereka berlegar sekali lagi di kawasan Taman Selasih sebelum berhenti di padang permainan di Taman Desa Impiana.

Menurutnya, dia kemudiannya membuat pemantauan dari jauh dan mendapati dua remaja lelaki bersama seorang remaja perempuan masuk dalam lubang papan luncur di taman permainan itu manakala seorang lagi berada di luar.
“Saya kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada Polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim untuk tindakan lanjut, ” katanya.

Dari pemeriksaan dijalankan, polis mendapati mereka tinggal di sekitar kawasan Kulim dan Permatang Pauh. Polis turut menemui senjata buku lima buatan sendiri dalam beg galas yang dibawa salah seorang remaja yang ditahan.
Selain itu, terdapat kesan lebam di leher sebelah kanan ibu tunggal berkenaan.

 Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk diambil keterangan sebelum diserahkan kepada Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK).

Ketua Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, semua remaja lelaki terlibat tidak bersekolah manakala ibu tunggal yang ditahan bekerja di kantin kilang di Perai.

“PADK sudah mengambil keterangan semua suspek dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988. Jika sabit kesalahan, setiap suspek boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Mereka dibebaskan dengan ikat jamin RM500 setiap seorang dan diarahkan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada tarikh ditetapkan. Sekiranya gagal berbuat demikian, waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mereka,” katanya.

'Tandas perempuan' jadi pintu laluan judi haram




27 Januari 2012
KLANG - Taktik pengusaha sebuah pusat hiburan di sini yang meletakkan label 'tandas perempuan' pada sebuah pintu di dalam premis bagi melindungi aktiviti perjudian haram, terbongkar dalam serbuan polis terhadap pusat hiburan itu semalam.
Serbuan oleh Unit Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang diketuai ASP Emmi Shah Fadhil mendapati pintu berkenaan sebenarnya ialah laluan untuk pelanggan bermain mesin judi haram.
Emmi Shah berkata taktik itu dipercayai digunakan oleh pengusaha pusat hiburan itu untuk mengelak daripada kegiatan haram itu dihidu pihak berkuasa.
Beliau berkata, ruangan judi berkenaan turut dibahagikan kepada dua bahagian iaitu untuk bidaan kecil dan bidaan VVIP yang dijalankan di dalam sebuah bilik khas yang lebih besar serta ditutup dengan cermin hitam.
"Ketika serbuan, terdapat 10 pelanggan berusia antara 20 dan 55 tahun sedang leka bermain mesin slot dan komputer judi. Kita turut merampas 12 mesin judi slot dan 22 buah komputer yang diubah suai untuk dijadikan mesin judi dalam talian," katanya kepada pemberita di  sini hari ini.
Emmi Shah berkata kesemua pelanggan, termasuk seorang warganegara Myanmar dan seorang warga emas berusia 60-an serta empat pekerja, ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, premis dua tingkat itu beroperasi sejak tiga tahun lepas dan berdasarkan rekod, ia pernah diserbu beberapa kali oleh pihak berkuasa.
Emmi Shah berkata, sebelum ditahan, warga emas terbabit bertindak menyembunyikan wang tunai bernilai RM750 di dalam seluar dalamnya untuk mengelak daripada ditahan polis.
Namun, helahnya gagal apabila wang tersebut ditemui setelah pemeriksaan dijalankan terhadapnya. - Bernama

Tonto serang penguat kuasa


NORDIANA JOHARI
27 Januari 2012
Tonto serang penguat kuasa

DUYONG – Sekumpulan samseng bertindak kurang ajar apabila menyerang anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang sedang melakukan operasi di sebuah kafe siber dekat Taman Seri Duyung, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.45 malam itu, kumpulan seramai hampir 30 orang itu dipercayai tonto dan rakan kepada pengusaha siber kafe yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian berkomputer tanpa lesen sejak empat hari lalu.

Akibat serangan itu, empat anggota penguat kuasa cedera dibelasah termasuk seorang daripadanya parah akibat ditikam di lengan.

Mangsa yang parah dikenali sebagai Azizan Abbas, 26, yang mengalami luka sepanjang kira-kira 12.7 sentimeter di lengan kanannya selepas ditikam menggunakan pisau Rambo oleh seorang suspek.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka, di sini dan kini dirawat manakala, empat lagi anggota penguat kuasa yang cedera mendapat rawatan pesakit luar.

Akibat serangan itu juga, anggota penguat kuasa terpaksa mengeluarkan kembali sejumlah komputer yang disita dan diletakkan di dalam van penguat kuasa untuk mengelak tindakan lebih ganas.

Difahamkan, sebuah van MBMB yang digunakan dalam operasi berkenaan turut dipecah suspek.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, semasa kejadian, pergelutan berlaku selepas kesemua penguat kuasa terbabit selesai menyita komputer dan membawa keluar dari premis berkenaan.

"Polis sudah mengenal pasti kumpulan yang terbabit dalam kejadian itu dan siasatan serta tindakan lanjut akan diambil," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri, di Bukit Beruang, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, Kes terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyerang menggunakan senjata.

“Polis nasihatkan supaya mana-mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ingin menjalankan operasi supaya mendapatkan kerjasama serta bantuan polis untuk keselamatan mereka,” katanya.

Tonto serang penguat kuasa - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'