Search This Blog

Wednesday, January 25, 2012

6 remaja ditahan gaduh di ceramah politik



25/01/2012 8:21pm

SHAH ALAM - Polis setakat ini menahan enam remaja berusia di antara 16 hingga 20 tahun dari Kampung Jalan Kebun di sini bagi membantu siasatan kes pergaduhan pada ceramah politik di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam di kampung itu pada malam Sabtu lepas.
Ketua Polis Shah Alam, ACP Zahedi Ayob berkata, seorang ditahan pada Sabtu lepas manakala lima lagi ditahan semalam.
Mereka yang merupakan kumpulan penyerang ditahan berdasarkan rakaman video dan kamera pada malam kejadian, bagaimanapun mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Polis setakat ini menerima enam laporan berhubung kejadian itu dan meneruskan siasatan berdasarkan rakaman kejadian itu yang diambil dari laman web tertentu seperti YouTube dan sumber-sumber lain, katanya. - BERNAMA

Polis tahan lima lelaki, rampas dadah RM190,000


25/01/2012 7:10pm

KLANG - Polis Klang menahan lima lelaki dipercayai pengedar dadah serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM190,000 dalam tiga serbuan di daerah ini sejak Rabu minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata, tangkapan terbaru membabitkan dua lelaki berusia 53 dan 34 tahun di sebuah rumah teres di Taman Sentosa, di sini awal hari ini.

Dalam serbuan pukul 4 pagi itu, polis menemui 11 paket lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu, 3,450 biji pil eramin 5, dua botol plastik candu, satu ketulan mampat disyaki ganja seberat 15.5 gram dan 655 biji pil ecstasy.

Kesemua dadah itu dianggar bernilai RM181,415 dan dipercayai untuk diedarkan di kawasan Lembah Klang, katanya pada sidang media di sini.

"Rumah berkenaan dipercayai tempat transit dadah sebelum diedarkan. Kedua-dua suspek juga positif dadah,” katanya. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Polis cari pemandu kes langgar lari kanak-kanak


25/01/2012 7:11pm

IPOH - Polis sedang mengesan seorang pemandu kenderaan bagi membantu siasatan berhubung kes langgar lari membabitkan kematian seorang kanak-kanak 10 tahun dalam satu kemalangan di Jalan Gula, Bagan Serai semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt. Mat Fauzi Nayan meminta saksi kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di talian 05-7210566 untuk membantu siasatan.

Mohd. Aizat Haikal Yakob dipercayai dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta ketika dia sedang menunggang motosikal untuk ke rumah rakannya pada pukul 7 malam.

"Mangsa cedera parah di kepala dan meninggal di tempat kejadian,” katanya ketika di hubungi hari ini. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Penoreh mati akibat bom ikan buatan sendiri


25/01/2012 5:38pm

PASIR MAS - Seorang penoreh getah ditemui mati dipercayai akibat terkena bom ikan buatan sendiri di Sungai Keladi, dekat Chetok, di sini petang semalam.

Mayat Yunus Yusoff, 46, ditemui pasukan penyelamat tidak jauh dari tempat kejadian pada pukul 9.55 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Haliluddin Rahim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, Yunus dikatakan sedang menangkap ikan seorang diri dengan menggunakan bahan letupan itu.

"Mangsa mati dipercayai akibat terkena bom ikan buatan sendiri dan lemas di sungai. Mayat lelaki itu juga mempunyai kesan cedera di tangan akibat terkena bom itu.

"Ini adalah kejadian kedua kematian melibatkan bom ikan buatan sendiri dan saya nasihatkan nelayan sungai agar menggunakan kaedah lama supaya kejadian yang tidak diingini ini tidak berlaku lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Wartawan akhbar Cina kerugian RM48,000 disamun


25/01/2012 5:34pm

KUANTAN - Seorang wartawan akhbar berbahasa Cina kerugian kira-kira RM48,000, apabila disamun lelaki bersenjatakan sebilah pisau yang melarikan kereta Perodua Myvinya dan barangan lain, di sini semalam.

Dalam kejadian 7 petang itu, wartawan akhbar China Press, Chow Siew Chin, 26, juga mengalami cedera ringan selepas ditumbuk oleh penyamun terbabit.

Mengulas kejadian kepada Bernama ketika ditemui di kediamannya hari ini, Chow berkata, insiden berlaku di hadapan pejabatnya di Jalan Dato’ Lim Hoe Lek ketika beliau mahu pulang ke rumah selepas tamat waktu bertugas.

"Sampai di kereta, seperti biasa saya membuka pintu dan tiba-tiba seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an memakai topi melompat masuk di tempat duduk penumpang hadapan,” katanya.

Lelaki itu yang mengacukan pisau ke lehernya kemudian menyuruh beliau menghidupkan enjin kereta dan memandu meninggalkan kawasan tersebut. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Lelaki peluk mayat teman wanita kira-kira sejam


25/01/2012 4:44pm

GEORGETOWN - Polis mengambil masa kira-kira sejam untuk memujuk seorang lelaki melepaskan mayat teman wanitanya daripada pelukannya, yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 17, Flat Taman Utara, Batu Uban, awal pagi ini.

Jurucakap polis berkata, kira-kira pukul 1.15 pagi, polis menerima laporan daripada orang awam bahawa terdapat dua mayat yang dipercayai terjatuh dari bangunan flat berkenaan.

"Namun bila polis tiba di sana, hanya ada satu mayat wanita yang sedang dipeluk erat seorang lelaki berusia 20-an sambil terbaring di sebelah mayat itu dan dia dipercayai teman lelaki si mati,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Katanya, polis terpaksa mengambil masa kira-kira sejam untuk memujuk lelaki itu melepaskan mayat teman wanitanya itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt. Ahmad Baktiar Kassim ketika dihubungi berkata, mayat wanita berumur 22 tahun itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes itu setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Empat maut, ramai cedera dalam kebakaran di Bangkok




2012/01/25

BANGKOK: Empat orang maut dan hampir 90 mengalami kecederaan selepas letupan bunga api mengakibatkan lebih 100 rumah terbakar pada sambutan Tahun Baru Cina di Thailand, lewat semalam.

Pihak berkuasa percaya letupan itu berpunca apabila bunga api tersasar menyebabkan mercun roket yang belum digunakan meletup pada pertunjukan di bandar Suphan Buri, kira-kira 100 kilometer barat laut Bangkok.
Tiga lelaki mati di tempat kejadian manakala seorang penonton wanita terbunuh selepas mengalami kecederaan. - AFP
Berita Harian Online | Empat maut, ramai cedera dalam kebakaran di Bangkok:

'via Blog this'

Dua rumah, gerai musnah dalam kebakaran


25/01/2012 1:33pm

KANGAR - Dua buah rumah dan dua gerai musnah dalam kebakaran di Simpang Tiga Bukit Keteri dekat sini hari ini.

Ketua Balai Bomba Arau, Mohd. Rahim Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.08 minit dan dua jentera dengan 18 anggota dari balai Arau dan Kangar dengan dibantu bomba sukarela berjaya mengawal kebakaran dalam masa lima minit.

Kerugian dianggar RM260,000 manakala punca kebakaran sedang disiasat, katanya di sini.

Sementara itu Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat negeri Mansor Jusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Mata Ayer, Khairi Hassan turut melawat tempat kejadian. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Tiga pusat judi komputer diserbu, 11 tahan


25/01/2012 2:43pm

GEORGETOWN - Polis menahan 11 orang termasuk tiga wanita dalam serbuan serentak di tiga buah premis yang menjalankan kegiatan judi berkomputer secara haram di sini tengah malam semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt. Ahmad Baktiar Kassim berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia 30-an dan 40-an.

"Dalam operasi di Lebuh Maccalum, dua premis diserbu dan lima lelaki dan dua wanita termasuk dua penjaga premis judi ditahan. Manakala serbuan di premis di Jelutong, polis berjaya menahan tiga lelaki termasuk seorang penjaga premis dan seorang wanita,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Lori bawa cecair kimia terbalik


25/01/2012 3:21pm

JOHOR BAHRU - Sebuah lori tangki seberat 15 tan yang membawa muatan cecair kimia terbalik ketika pemandunya membuat pusingan U di kilometer 19, Jalan Johor Baharu-Ayer Hitam menghala ke Kulaijaya hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.50 pagi itu, lori yang dipandu A. Hamid Md. Said, 56, dalam perjalanan dari Pasir Gudang untuk menghantar cecair kimia jenis ”caustic soda” ke sebuah kilang di Taman Teknologi di sini.

"Pemandu lori berkenaan cedera ringan di kepala dan telinganya. Punca sebenar kejadian masih disiasat,” kata Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, ACP Ruslan Hassan di sini hari ini.

Sementara itu, Shahrir Abu Bakar, Pengurus Pentadbiran dan Akaun New Port Bulk Terminal Sdn. Bhd., syarikat lori tangki itu berkata, tiada tumpahan bahan kimia berlaku.

Beliau yang ditemui di tempat kejadian berkata, bahan cecair kimia itu kebiasaanya diguna oleh pihak industri untuk merawat air. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Kanak-kanak 6 tahun maut dihempap van


25/01/2012 4:09pm

SEREMBAN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut dalam kemalangan di KM254.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Plaza Tol Senawang, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6.45 pagi itu, Danish Abdul Latif mati di tempat kejadian apabila van jenis Toyota Joylong yang dinaiki bersama lapan lagi anggota keluarganya terbabas sebelum terbalik ke dalam longkang di tepi lebuh raya itu.

Danish mati akibat kecederaan parah di kepala selepas tercampak keluar dan dihempap van berkenaan, kata polis.

Lapan lagi termasuk bapanya, Abdul Latif Abdul Rahim, 38; ibunya, Zurina Omar, 36; bersama enam lagi anggota keluarga mereka cedera ringan dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini.

Jurucakap polis berkata, van yang dipandu Abdul Latif itu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di longkang lebuh raya itu. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Juruterbang terselamat nahas jet pejuang terhempas di Pakistan




2012/01/25

ISLAMABAD: Sebuah jet pejuang Tentera Udara Pakistan terhempas ketika menjalani latihan hari ini tetapi juruterbangnya berjaya menyelamatkan diri, kata jurucakap tentera.

"Pesawat itu adalah jenis latihan FF-7. Ia terhempas berdekatan Mianwali sebaik berlepas dari pangkalan," katanya.
Juruterbang pelatih wanita dan pengajarnya berjaya menyelamatkan diri.
"Kedua-duanya selamat," kata jurucakap itu. - AFP
Berita Harian Online | Juruterbang terselamat nahas jet pejuang terhempas di Pakistan:

'via Blog this'

40 mayat ditemui dalam tanah runtuh di Papua New Guinea




2012/01/25

PORT MORESBY: Sekurang-kurangnya 40 mayat ditemui selepas tanah runtuh melanda perkampungan di tengah Papua New Guinea, awal pagi tadi.

Laporan media tempatan menyebut, seramai 20 lagi masih hilang.
Pengarah Pusat Bencana Kebangsaan di pulau itu, Martin Mosi, berkata beberapa perkampungan terletak berhampiran kejadian berkenaan, dekat bandar Mendi dan jumlah kematian sebenar belum dapat disahkan.
Ahli Parlimen tempatan, Francis Potape, berkata kejadian itu meranapkan dua perkampungan ketika penduduk sedang tidur. - AP
Berita Harian Online | 40 mayat ditemui dalam tanah runtuh di Papua New Guinea:

'via Blog this'

24 lelaki ditahan terbabit dalam judi sabung ayam




2012/01/25

SANDAKAN: Kegiatan sekumpulan 24 lelaki yang berjudi sabung ayam di kawasan tidak jauh dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan berakhir apabila mereka ditangkap dalam serbuan polis pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Rowell Marong, berkata serbuan hasil maklumat orang awam itu dilakukan pada jam 5.10 petang di kawasan lapang berbumbung yang dijadikan gelanggang sabung ayam di kuarters Jabatan Kerja Raya.
Kesemua yang ditahan berusia antara 25 hingga 60 tahun dan polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan judi itu, katanya di sini, hari ini.
Antara peralatan yang dirampas adalah tujuh ayam sabung, kerusi, meja, alat penimbang dan sebuah kamera. - BERNAMA
Berita Harian Online | 24 lelaki ditahan terbabit dalam judi sabung ayam:

'via Blog this'

Ayam berbulu disalut tepung

ayam-berbulu-bersalut-tepung
BUKIT MERTAJAM – “Saya tidak akan makan lagi di restoran itu,” luah seorang pelanggan selepas insiden terjumpa bulu ayam pada hidangan makanan yang dibeli dari sebuah restoran terkenal, di sini.

Ismail Halim, 45, berkata, dia membawa isteri dan tiga anaknya ke restoran berkenaan, kira-kira jam 12 malam Jumaat lalu dan memesan beberapa jenis hidangan, termasuk hidangan ayam itu.

Menurutnya, kerana kekenyangan, dia membungkus hidangan ayam itu untuk dibawa pulang ke rumah, namun, pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa kerana ayam itu disalut dengan tepung.

“Keesokan harinya (Sabtu) kira-kira jam 12 tengah hari, isteri saya, Rosmawati Mustafa, 45, mengeluarkan hidangan ayam itu untuk dimakan.

“Bagaimanapun, ketika mengoyak lapisan tepung, dia terkejut apabila mendapati bulu ayam sepanjang kira-kira setengah inci masih melekat pada ayam itu, lalu menunjukkannya kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Ismail berkata, dia bertindak menghubungi restoran berkenaan melalui nombor talian mudah alih yang tertera pada kotak bungkusan bagi memaklumkan mengenai penemuan itu, namun, kecewa apabila kakitangannya mengambil sikap endah tak endah dengan meminta dia membawa ayam itu kembali ke restoran untuk ditukar dengan ayam baru.

Tidak berpuas hati dengan respons yang diberikan, dia kemudiannya menghubungi nombor pejabat pula setengah jam kemudian, dan sekali lagi, dia kecewa apabila mendakwa kakitangan itu tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Ismail berkata, dia kesal dengan pengurusan restoran yang seolah-olah bersikap lepas tangan dengan apa yang terjadi.

Menurutnya, bukan soal wang yang difikirkannya kerana harga hidangan itu hanyalah sekitar RM14 sahaja, namun, apa yang ingin dituntut adalah permohonan maaf dari pihak restoran kepada keluarganya.

“Sebagai sebuah restoran terkenal dan dikunjungi ramai pelanggan, sepatutnya mereka menjaga kualiti makanan yang dihidangkan, “ katanya.

Menurutnya, insiden itu menyebabkan isteri dan anak-anaknya yang memakan hidangan sama pada malam berkenaan menjadi loya dan trauma dek kerana teringat akan bulu ayam itu.

Malah, kesannya masih terasa hingga ke hari ini dan mereka dilihat seperti sudah serik untuk memakan hidangan ayam.

“Hingga hari ini pihak restoran tidak menghubungi saya untuk meminta maaf. Saya bukannya ingin menuntut ganti rugi, sekurang-kurangnya mereka hubungi saya dan minta maaf pada isteri dan anak-anak,” katanya yang sudah dua kali mengunjungi restoran berkenaan sebelum kejadian.

Ismail berharap apa yang terjadi ke atas keluarganya dijadikan pengajaran, dan menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menikmati hidangan di mana-mana restoran sekali pun.

Dia juga berharap pihak restoran menjaga kualiti makanan yang dihidangkan kepada pelanggan kerana ia mampu memberi kesan kepada tahap kesihatan.

Lampung Selatan: Penduduk bergaduh, puluhan rumah dibakar dan dirosakkan

JAKARTA - Sekurang-kurangnya 70 rumah dibakar atau dirosakkan dalam pergaduhan antara penduduk dua buah kampung di daerah Lampung Selatan, Sumatera semalam.

Pergaduhan dikatakan berpunca daripada pertengkaran dua remaja di tempat letak motosikal sehari sebelumnya, dan bertukar menjadi konflik berkaitan etnik, agama dan bangsa antara penduduk Kampung Kotadalam dan Kampung Napal, di daerah kecil Sidomulyo, yang keluar beramai-ramai membawa buluh runcing dan senjata tajam untuk bergaduh.

Laporan awal menyebut 48 rumah dibakar, 27 lagi dirosakkan di Kampung Napal namun sehingga kini belum ada kemalangan jiwa dilaporkan selain dua orang yang dilaporkan cedera parah dalam kejadian itu.

Polis menghantar ratusan anggota untuk mengawal keadaan yang dilapor kembali tenang, namun suasana pagi ini di Kampung Kotadalam masih tegang apabila penduduknya terus berjaga-jaga dengan senjata di tangan di beberapa tempat, bagi menghadapi kemungkinan serangan balas penduduk Kampung Napal.

Sehingga kini polis belum dapat memastikan punca sebenar pergaduhan.   
  
Ada laporan menyatakan pergaduhan bermula dengan pertengkaran antara seorang penunggang motosikal dan seorang penjaga parkir, apabila dia enggan membayar Rp1,000 (35 sen) sebagai bayaran meletak motosikal di luar kawasan pasar Sidomulyo.

Dalam pertengkaran itu, lelaki terbabit dikatakan menolak penjaga parkir yang berasal dari Kampung Kotadalam sehingga jatuh dan insiden diadu kepada penduduk Kampung Kotadalam.

Laporan lain pula menyebut pergaduhan disebabkan pertengkaran antara kumpulan remaja yang berebut penguasaan kawasan tempat letak motosikal di luar pasar terbabit.

Kedua-dua pihak terlibat ialah daripada etnik penduduk Lampung dari Kampung Kotadalam dan etnik Bali dari Kampung Napal.

Pihak berkuasa tempatan menyatakan bantuan akan diberi bagi membaiki rumah penduduk yang dibakar atau dirosakkan, selain berusaha mempertemukan pemimpin dan tokoh agama untuk mencari penyelesaian kepada masalah tersebut.- Bernama

‘Letak bom bawah pentas’

bom
ALOR SETAR - Pejabat Umno Bahagian Alor Setar digemparkan dengan panggilan palsu mendakwa terdapat bom di kawasan pejabat itu, lewat petang semalam.

Pembantu Am pejabat, Shamshul Anuar Aziz, 30, berkata, dia menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali itu sekitar 4:45 petang, yang memaklumkan ‘aku letak bom bawah pentas’.

Sebelum itu, katanya, telefon pejabat itu berdering sebanyak lima kali namun tidak dijawabnya kerana pejabat itu yang juga Pusat Khidmat Wakil Rakyat Adun Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah ditutup sempena cuti umum Tahun Baru Cina.

“Saya jawab panggilan keenam itu kerana bimbang ada kecemasan. Tak sangka pula ianya panggilan bom. Mulanya saya tidak percaya dengan apa yang saya dengar, mungkin ada orang nak bergurau sahaja, selepas fikir sejenak, bimbang pula ianya benar,” katanya.

Shamshul Anuar kemudian memaklumkan perkara itu kepada Setiausaha pejabat, Abdul Kader Mohamad yang menasihatinya supaya membuat laporan polis.

“Saya kemudian ke Balai Polis Daerah Kota Setar membuat laporan mengenai kejadian ini sekitar 7.05 malam,” katanya.

Ahmad Bashah yang ditemui selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA Kedah, malam semalam berkata, ini adalah kejadian pertama berlaku sepanjang beliau bergelar wakil rakyat.

“Saya difahamkan anggota polis terus ke lokasi pejabat saya untuk membuat pemeriksaan, namun tiada bahan seperti bom ditemui. Walaupun hanya panggilan palsu namun kawalan keselamatan terhadap pekerja dan diri saya perlu dibuat,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini hanya bangunan pejabat Umno diconteng dengan kata-kata nista beberapa kali, namun inilah kali pertama ugutan seperti ini dibuat terhadapnya.

“Saya andaikan perkara ini ada unsur ugutan untuk menakut-nakutkan saya dan pekerja. Mungkin ada pihak yang marahkan saya, dan buat perkara tidak berfaedah seperti ni. Namun ianya tidak jejaskan apa-apa,” katanya.

Ahmad Bashah turut menyelar perbuatan individu yang cuba menimbulkan kekecohan dalam kawasan pejabatnya dan menyifatkan ianya tindakan seorang pengecut.

Misteri bau busuk terjawab

ALLAHYARHAM-MOHD-NOR-SENIK
KOTA BHARU - Misteri bau busuk di sebuah rumah di Kampung Gok Kapur, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini terjawab, apabila mayat seorang warga emas ditemui dalam keadaan terbaring oleh jirannya, malam kelmarin.

Saksi terbabit, Mohd Khairul Azwan Anwar, 19, berkata selepas pulang bersiar-siar dengan rakannya, dia singgah ke rumah mangsa, Mohd Nor Senik, 60, untuk melawat sebelum memberi salam dan memanggil mangsa.

Beliau berkata, selepas hairan panggilan tidak dijawab, remaja terbabit pergi ke bilik mangsa yang berada di bawah rumah dan terhidu bau busuk selain melihat lalat keluar dari bawah pintu bilik mangsa.

”Biasanya arwah akan menyahut dengan sekali panggilan saja namun saya pelik selepas beberapa kali memanggil tidak kedengaran suaranya dan saya meluru ke bilik dan terhidu bau busuk selain ada lalat yang keluar dari bawah pintu biliknya.

”Saya intai arwah melalui tingkap dan melihat dia terbaring seperti orang sudah meninggal dan bergegas meminta bantuan rakan untuk membuka pintu dan sebelum laporan di Balai Polis Kota Bharu,” katanya.

Mohd Khairul Azwan berkata, kali terakhir dia melihat lelaki berkenaan berjalan di sekitar kampung pada Khamis lalu dan tidak menyangka arwah yang dikenali dengan panggilan Abang Li itu di kampung berkenaan meninggal dunia seorang diri di biliknya.

Mengikut jirannya itu, arwah tinggal seorang diri di rumah terbabit sejak 15 tahun lalu dan bekerja di sebuah kilang batik berdekatan rumahnya selepas berpisah dengan isteri dan anaknya.

“Saya masih tidak percaya dia mati dalam keadaan terbabit kerana semasa terserempak dengannya Khamis lalu arwah nampak sihat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat terbabit dan mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk dibedah siasat.

”Pihak kami masih menunggu keputusan bedah siasat dari Unit Forensik, namun kami percaya punca kematian mangsa tiada unsur jenayah dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pihak berkuasa,” katanya.

Pelajar tak sempat habis laung azan

sekolah dihempap pokok kelapa ketika ribut
IPOH  - Seorang pelajar Maahad Tahfiz al-Quran dan Hadis Al-Ansari, Muhammad Ubaidillah Mohd Zamri, 12, tidak sempat menghabiskan laungan azan Maghrib kerana terpaksa menyelamatkan diri dari dihempap pokok kelapa dalam satu kejadian ribut.

Dalam kejadian pada jam 7.15 petang kelmarin, dia cedera di bahagian muka akibat terkena serpihan siling yang pecah ketika berlari keluar bersama 39 pelajar lain.

Menurutnya, dia bersama rakan-rakan berada di ruang rehat sekolah berkenaan setelah ruang solat basah terkena tempias hujan lebat berserta angin kuat.

“Ruang solat basah menyebabkan kami beralih ke ruang rehat. Kemudian, ustazah mengarahkan saya supaya azan sebelum berbuka puasa bersama pelajar lain.

“Ketika saya sedang azan, terdengar bunyi hentakan kuat menyebabkan sekolah kami bergegar dan siling mula runtuh.

“Kami berlari menyelamatkan diri dan ketika itulah saya rasa perit di muka,” katanya di sini, semalam.

Pengerusi sekolah berkenaan, Azhari Abu Hassan melahirkan rasa syukur apabila semua pelajar dan tenaga pengajar terselamat dari kejadian ribut itu walaupun sekolah berkenaan uzur.

“Rumah yang diwakafkan kepada kami akan dibersihkan secara gotong-royong dan akan menempatkan sementara pelajar ini di rumah rakan. Alhamdulillah semua mereka selamat,” katanya.

Sekolah berkenaan antara 24 rumah di Kampung Ulu Chemor yang mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan dinding akibat ribut yang melanda, malam kelmarin.

Sementara itu, seorang mangsa, Nor Hisyam Mustafa, 42, ketika menceritakan saat cemas bersama sembilan ahli keluarganya sempat berlari keluar dan melaungkan azan apabila pokok durian berusia lebih 40 tahun menghempap bilik tidur mereka.

“Saya terperanjat apabila seluruh rumah tiba-tiba bergegar dengan bunyi angin kuat sebelum sebahagian bumbung bilik tidur tercabut.

“Tidak lama kemudian, pokok durian turut tumbang dan menghempap bumbung bilik. Saya terus bingkas mencari ahli keluarga lain, kerana takut berlaku kejadian lebih buruk,” katanya yang mengalami kerugian lebih RM3,000.

Kejadian itu dianggap paling buruk pernah dialaminya.

Mengamuk makan diri

cedera
KULIM - Seorang lelaki berusia 20-an cedera di bahagian dahi dan belakang kepala setelah dipukul keluarga mertuanya di Taman Teratai kira-kira jam 8.30 malam, kelmarin.

Saksi yang berada di tempat kejadian berkata, mangsa telah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Menurutnya, kerana terlalu merindui anaknya, mangsa datang ke rumah mertua untuk melawat bagaimanapun berlaku perselisihan faham dan pergelutan.

“Ketika kejadian, mangsa dikatakan membawa parang buatan sendiri dan cuba mencederakan seorang waris isterinya tetapi berjaya dielak.

“Mereka kemudiannya merampas parang di tangan mangsa dan mencederakannya,” katanya.

Mangsa yang mengalami kecederaan di kepala rebah di hadapan rumah mertuanya sebelum menerima bantuan kecemasan dari anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang datang bersama ambulans.

Mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya Pulau Pinang.

Sehingga kini keadaan mangsa dilaporkan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, keluarga mertua mangsa akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Katanya, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Dalam kes ini, polis akan menyiasat punca sebenar berlakunya perselisihan faham antara mangsa dan keluarga mertuanya sehingga menyebabkan kejadian ini berlaku.

“Ketika kejadian berlaku, isteri mangsa tidak berada di rumah kerana bekerja di negara jiran.

Menurutnya, keterangan dari kedua-dua belah pihak penting untuk membantu siasatan yang dijalankan.

“Kita akan mengambil kenyataan kedua-dua pihak sebelum siasatan dilakukan,” katanya.

Kanak-kanak sambut hari jadi lemas

farah mati lemas
PORT DICKSON – Dijemput Ilahi pada usia muda. Peristiwa itu pasti sukar dilupakan keluarga Norfaraniza Rumizim, 6, yang mati lemas di Pantai Batu 5 di sini, malam kelmarin.

Lebih menyedihkan, kek yang sudah ditempah untuk meraikan hari jadinya pada malam kejadian itu, masih terbiar begitu sahaja dalam bungkusan.

Mayat Norfaraniza ditemui terdampar di tepi pantai kira-kira jam 10.30 malam, empat jam selepas dia disedari hilang.

Ibu Allahyarham, Faridah Ali, 35, berkata, mereka sekeluarga datang dari Klang ke Port Dickson untuk meraikan hari lahir Norfaraniza, anak keempat daripada enam beradik itu.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka anaknya yang dipanggil dengan nama Farah itu akan pergi buat selama-lamanya tepat pada hari jadinya.

“Kami tiba di Port Dickson sekitar 1.30 petang. Farah terus mahu bermain di pantai dan dia kelihatan begitu seronok.

“Saya sukar lupakan tragedi ini. Ibu mana yang tidak sedih melihat jenazah anak, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Bapa Allahyarham, Rumi­zim Rosli, 34, berkata, mereka menghubungi polis selepas gagal menemuinya.

“Ketika itu, semua anak-anak saya sedang bermain-main air dan pasir tepi pantai. Mungkin terlalu leka sehingga tidak sedar kehilangan Farah.

“Apabila menyedari Farah tiada di situ, kami terus mencarinya, tetapi tidak menemui sebarang petunjuk, lalu saya hubungi polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya kepada Sinar Harian di Bilik Mayat Hospital Port Dickson di sini, semalam.

Rumizin berkata, orang ramai yang berada di lokasi ada memberitahu mereka melihat seorang kanak-kanak seperti Farah bermain di kawasan taman permainan menye­babkan mereka me­nyangka anaknya hilang di sekitar kawasan itu.

“Usaha mencari dilakukan di kawasan berkenaan berlarutan hingga malam, namun masih tidak juga jumpa.

“Bagaimanapun, sekitar jam 10.30 malam, bapa saudara saya turun ke pantai dan menemui mayat Farah terdampar di tepi pantai yang ketika itu air sudah surut,” katanya.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang dari Hospital Port Dickson kira-kira jam 10 pagi semalam untuk dikebumikan di Klang selepas Zuhur, semalam.

Sembunyi atas loteng elak ditangkap

Lelaki_yang_menyorok_di_loteng_(baju_merah)_bersama_pasanganya
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang bersembunyi atas loteng ditahan pihak berkuasa bersama pasangannya di sebuah hotel bajet di Pandan Indah, awal pagi semalam.

Serbuan itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) selepas menerima maklumat orang awam.

Ketika ditahan, lelaki berusia 20-an itu berpa­kaian lengkap, bersama pasa­ngannya berusia 22 tahun, yang hanya memakai baju tidur, kira-kira jam 4 pagi.

Pegawai masjid berkenaan, Ahmad Nawi Osman berkata, gadis itu bekerja sebagai pegawai pemasaran insurans. Pasangannya baru bekerja di syarikat yang sama.

“Gadis itu mendakwa dia seorang sahaja di bilik itu, tetapi kami mengesan lelaki berkenaan menyorok di loteng. Mereka antara dua pasangan lain yang ditahan selepas disyaki berkhalwat di hotel berkenaan,” katanya.

11 dicekup ketika minum arak

Ahmad_Nawi_menyoal_siasat_sekumpulan_lelaki_dan_wanita_yang_dipercayai_minum_arak._(muka_semua_kasi_
KUALA LUMPUR - Seramai 11 individu ditahan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Masjid Al-Azim Pandan Indah dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) kerana minum arak di khalayak ramai di Bukit Permai dan Bukit Langat, Ampang, awal pagi semalam.

Seorang daripada mereka, seorang lelaki, pernah ditahan anggota penguat kuasa tahun lalu di lokasi yang sama.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Osman berkata, ketika serbuan di Bukit Permai, pihaknya mendapati sekumpulan daripada tujuh lelaki dan dua perempuan sedang bergurau senda.

“Sebotol arak dan air berkarbonat diletakkan berhampiran mereka dan seorang anggota unit beruniform bersama kekasihnya, isteri orang yang sarat mengandung, turut ditahan,” katanya.

Beliau berkata, di Bukit Langat, dua lelaki ditahan anggota penguat kuasa apabila sebotol arak dijumpai di dalam kereta yang dinaiki.

Kesemua individu yang ditahan itu pekerja swasta berusia 23 hingga 30 tahun.

Ahmad Nawi, yang mengetuai operasi bermula jam 12.30 hingga 4 pagi itu berkata, kesemua individu terbabit akan diberi kaunseling di Masjid Al-Azim pada 29 Januari ini.

Pejalan kaki tak pernah serik

Maut
PUCHONG – Beberapa kes kematian yang pernah dilaporkan berlaku di Lebuhraya Bukit Jalil di sini sebelum ini tidak menjadi pengajaran apabila seorang lagi menjadi korban ketika cuba melintas lebuh raya itu, di kilometer 1.6 di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa warganegara Bangladesh yang masih tidak diketahui identitinya maut serta-merta selepas dirempuh dan diseret sebuah kenderaan sebelum tercampak di bahu jalan berdekatan simpang masuk ke Bandar Kinrara.
Jurucakap polis Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berkata, tindakan lelaki terbabit yang melintas lebuh raya mengundang padah apabila diseret beberapa meter sebelum tercampak di tepi pengadang besi lebuh raya.
“Mangsa ditemui mukanya tersembam oleh penunggang motor yang melalui jalan itu.
“Akibat kecederaan parah dan patah tangan mangsa maut serta-merta di tempat kejadian,”katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-89422222 atau 016-9055595 untuk bantu siasatan.

Traktor tergelincir, hempap pemandu

Hempap
SUNGAI SIPUT – Tugas mengangkut hasil kelapa sawit tidak sempat diselesaikan pemandu traktor, V Subramaniam, 58 apabila dia maut dalam satu kemalangan di Ladang Kemuning, di sini, semalam.

Mangsa mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian akibat tersepit di bawah traktor yang dipandunya selepas kenderaan berat itu tergelincir dan jatuh ke dalam gaung sedalam lima meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Rozaman Wok berkata, panggilan berkenaan kejadian diterima pada jam 1.16 petang dan seramai tujuh anggota diketuai Norazam Abdul Rahman bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, Pasukan Bomba dan Penyelamat Sungai Siput tiba di tempat kejadian pada jam 1.32 pertang tetapi menghadapi kesukaran berikutan jentera tidak dapat memasuki lokasi kejadian untuk usaha mengeluarkan mayat mangsa.
“Pasukan bomba terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Perodua Kembara untuk masuk ke lokasi kejadian dan ketika sampai di situ, mayat mangsa masih tersepit di bawah traktor.
“Usaha mengeluarkan mayat mangsa yang mengambil masa beberapa minit terpaksa dibantu sebuah jentolak dan operasi menyelamat tamat pada jam 3.10 petang membolehkan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput (HSS) untuk bedah siasat,” katanya ketika
ditemu di lokasi kejadian, semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintendan Arnest John berkata, mangsa yang tinggal di Taman Lintang dalam perjalanan untuk mengangkut hasil kelapa sawit ketika kejadian dan ditemani seorang rakan sekerja.
“Jentera yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan semasa menuruni bukit dan tergelincir lalu jatuh ke dalam gaung menyebabkan mangsa tersepit di bawahnya.
“Rakan mangsa bagaimanapun bernasib baik kerana sempat terjun daripada traktor untuk menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurut beliau, sebagai langkah keselamatan, rakan mangsa tetap dihantar ke HSS untuk diperiksa dan polis masih menjalankan siasa­tan­ ke atas kejadian itu.

Pusat wakil rakyat terima panggilan bom palsu

ALOR SETAR: Seorang pembantu am Pusat Khidmat Wakil Rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata, di sini, terkejut apabila menerima panggilan bom palsu oleh seorang lelaki mendakwa meletakkan bom berkenaan di kawasan premis itu, petang kelmarin.
Shamshul Anuar Aziz, 30, berkata, dia menerima panggilan pada jam 4.55 petang daripada seorang individu memaklumkan terdapat sebutir bom diletakkan di bawah pentas belakang pejabat berkenaan.

Katanya, dia memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan pusat khidmat berkenaan sebelum satu laporan polis dibuat bagi memastikan kawasan itu selamat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kejadian itu pertama kali berlaku di pusat khidmatnya dan menjelaskan tidak pernah berlaku di mana-mana pusat khidmat wakil rakyat Umno di negeri itu. “Pekerja itu datang ke pusat berkenaan untuk mengambil barang selain memeriksa surat di pusat khidmat itu sebelum dikejutkan dengan panggilan bom.

“Pusat khidmat ini ditutup sempena sambutan Tahun Baru Cina. Bagaimanapun, kakitangan saya ke premis itu untuk memeriksa surat sebelum telefon pejabat berdering.

“Dia berasa pelik apabila telefon pejabat berdering beberapa kali, sebelum terkejut apabila pemanggil tidak dikenali memberitahu mengenai bom yang didakwa diletakkan di kawasan premis berkenaan,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Sempena Tahun Baru Cina MCA Kedah, di sini, semalam.

Bagi salam tak berjawab

KOTA BHARU: Seorang remaja yang kebetulan singgah di rumah jirannya terkejut mendapati lelaki warga emas itu sudah meninggal dunia dalam keadaan terbaring dalam bilik di rumahnya, di Kampung Gok Kapur, Jalan Pantai Cahaya Bulan, di sini, Ahad lalu.
Mayat Mohd Nor Senik, 60, ditemui Mohd Khairul Azwan Anwar, 19, yang tinggal berhampiran rumah mangsa.

Menurut Mohd Khairul Azwan, dia bercadang melawat mangsa selepas pulang bersiar-siar bersama rakan.

Katanya, dia memberi salam dan memanggil mangsa beberapa kali, namun tidak berjawab.

“Biasanya, jika arwah ada di rumah, dia menyahut selepas dipanggil.

“Keadaan itu menyebabkan saya terus ke bilik sebelum terhidu bau busuk.

“Saya mengintai melalui tingkap dan mendapati dia terbaring sebelum bergegas meminta bantuan rakan membuka pintu.

“Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu,” katanya.

Katanya, arwah dikenali dengan panggilan Abang Li, tinggal bersendirian sejak 15 tahun lalu.

“Ketika terserempak dengannya, dia masih sihat dan tidak sangka dia meninggal dalam keadaan begini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, mangsa disahkan mengalami jangkitan kuman dan meninggal dunia sejak Jumaat lalu.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah,” katanya.

Diserang anjing jiran

MELAKA: Niat seorang suri rumah ke rumah jiran untuk meminta daun kesum bertukar tragedi apabila dia diserang anjing peliharaan jiran menyebabkan dia cedera di Taman Sri Duyong, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.55 pagi, Latipah Ali, 57, diserang selepas tali anjing berkenaan yang dipegang anak perempuan pemiliknya terlepas dari genggaman.

Menurut Latipah, dia tidak menyangka akan menjadi mangsa kerana ketika mahu melalui lorong bersebelahan rumah jirannya itu, anjing yang bertali itu dipegang anak perempuan pemilik haiwan itu.

“Malah, sebelum melintasi kawasan anjing berkenaan, saya sudah meminta anak pemilik haiwan itu mengalihkan anjing berkenaan kerana takut dengan salakan yang semakin kuat selain anjing terbabit meronta cuba melepaskan diri.

“Namun, permintaan tidak diendah dan apabila saya cuba melintasinya secara tiba-tiba tali berkenaan terlepas dan anjing itu cuba menerkam saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, dipercayai anak pemilik haiwan berkenaan membawa anjing peliharaan bersiar-siar dan membuang najis.

Katanya, dia yang terkejut dengan kejadian serangan itu cuba menyelamatkan diri sebelum terjatuh ke dalam longkang berhampiran.

“Saya terlalu takut dan menjerit meminta tolong, bersyukur ada jiran datang membantu,” katanya.

Menurutnya, akibat kejadian itu dia cedera di tangan, badan serta kaki kanan dan dibantu jiran lain mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Latipah berkata, dia kecewa kerana pemilik haiwan itu tidak memohon maaf berikutan kejadian itu sebaliknya mentertawakannya yang ketika itu menahan sakit.

“Saya sangat bernasib baik kerana ketika itu jiran yang lain terdengar jeritan saya sebelum cuba membantu dan membawa mendapatkan rawatan ke hospital,” katanya membuat laporan polis di Balai Polis Kandang.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Zainal Abu, berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik anjing itu.

Menurutnya, pemilik anjing dinasihatkan sentiasa mengambil kira faktor keselamatan orang ramai setiap kali membawa binatang peliharaan mereka bersiar-siar.

“Mangsa perlu membuat salinan laporan polis dan membuat aduan kepada MBMB, pihak kami akan menjalankan siasatan terperinci, jika benar pemilik mempunyai lesen, kita boleh mengambil tindakan jika didapati pemilik berkenaan cuai.

“Malah, kita juga akan melihat jenis anjing berkenaan sama ada sesuai untuk dijadikan binatang peliharaan atau tidak. Pemilik anjing dinasihati memastikan tali anjing yang digunakan selamat dan memberi haiwan itu makan secukupnya sebelum dibawa bersiar-siar bagi mengelakkan haiwan itu bertindak ganas,” katanya ketika dihubungi semalam.

Niat ke taman tema lebur

MELAKA: Hasrat seorang ibu muda membawa empat anak berusia antara satu hingga lima tahun bertemu nenek angkat mereka di Batu Pahat, Johor tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan pagi kelmarin.
Sebelum kejadian, mangsa, Nurfadzlin Hani Zainal Abidin, 19, yang menunggang motosikal Honda EX5 dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja di pusat beli-belah Dataran Pahlwan, di sini, sebelum kenderaan ditunggangi terbabas ke bahu jalan ketika cuba mengelak kenderaan di depan, kira-kira jam 10.30 pagi. Rakan mangsa, Munirah Al Baniah Mohamed, 19, berkata, arwah merancang membawa anaknya pulang ke kampung nenek angkatnya di Johor.

“Arwah yang dibesarkan keluarga angkat sejak kecil di negeri ini sudah berpisah dengan suami tahun lalu dan bekerja di sebuah kedai aksesori di Dataran Pahlawan pada Disember tahun lalu.

“Saya tidak sangka arwah pergi meninggalkan kami dan empat anak lelakinya,” katanya.

Seorang lagi rakan mangsa, Nur Hidayu Ya’cob, 19, mengakui terkilan kerana tidak sempat membawa arwah dan anaknya ke sebuah taman tema air di negeri ini.

“Kali terakhir saya melihat arwah pada Disember lalu dan menyatakan hasrat membawa mereka sekeluarga mandi-manda di Melaka Wonderland, namun tidak sangka arwah meninggal dunia sebelum hasrat itu tercapai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal daripada persimpangan lampu isyarat Perigi Hang Tuah menuju ke arah Persimpangan Lebuh AMJ dan Bukit Katil terbabas dipercayai mengelak sebuah kenderaan lain di depannya.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian. Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan dituntut waris untuk dikebumikan di kampung keluarga angkat di Batu Pahat, Johor.

Bunyi penggera selamatkan lori 3 tan daripada dicuri

CHUKAI: “Saya sedang tidur sebelum tiba-tiba dikejutkan bunyi penggera lori menyebabkan terus bangun dan keluar dan mendapati seorang lelaki cuba melarikan kenderaan itu,” kata Rahman Sulong, 57, kepada Harian Metro kelmarin.
Menceritakan cubaan seorang lelaki cuba mencuri lori tiga tan kira-kira jam 2 pagi, Sabtu lalu di rumahnya di Kampung Jaya, dekat sini, Rahman berkata, terkejut mendengar bunyi penggera kenderaannya, dia bingkas bangun dan menyergah lelaki terbabit sebelum suspek yang terkejut melarikan diri dengan motosikal bersama rakannya menghala ke bandar Chukai.

Dia yang bekerja sebagai pemandu lori kemudian terus ke Balai Polis Chukai membuat laporan berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, anggota polis yang membuat rondaan kemudian berjaya mengesan suspek bersama motosikal yang dicamkan nombor pendaftarannya oleh mangsa ditinggalkan berhampiran sebuah taman perumahan.

“Rondaan anggota polis membawa kepada penemuan dua suspek,” katanya.

Mayat berkemban di atas katil

KUALA TERENGGANU: “Kebiasaannya, arwah akan datang ke rumah saya setiap petang. Bagaimanapun, saya mula mengesyaki sesuatu apabila sudah dua hari tidak melihat kelibatnya.
“Kali terakhir saya melihatnya petang Khamis lalu menyebabkan tergerak menjenguknya dan tanda tanya ketiadaan arwah terjawab apabila melihat keadaannya yang terbujur kaku atas katil di ruang tamu rumahnya,” kata Azizah Mohamad, 45, jiran kepada Lijah Abdullah, 67, yang ditemui mati di Taman Perumahan Wakaf Tengah, Batu Rakit, , Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mayat Lijah yang berkemban ditemui atas katil di ruang tamu dalam keadaan kebiruan dan kembung.

Menurutnya, dia mula mengesyaki sesuatu menimpa jirannya itu apabila tidak melihat kelibat mangsa sebelum mengambil keputusan menjenguknya.

“Biasanya, jika arwah tidak ke rumah, saya atau jiran lain akan nampak kelibatnya menyapu di luar rumah atau membeli keperluan harian di pasar. “Petang itu (Ahad), saya bersama seorang rakan, Khotijah Zainun, 52, pergi ke rumah arwah dan tidak sedap hati apabila salam diberikan tidak disambut selain keadaan pintu tidak berkunci.

“Sebaik menolak pintu, kami terhidu bau busuk dan terkejut apabila melihat arwah sudah tidak bernyawa dengan keadaan mayatnya sudah kembung dan kebiruan sebelum menghubungi polis,” katanya.

Difahamkan, mangsa yang kematian suami sejak tiga tahun lalu tinggal berseorangan di rumah berkenaan dan mempunyai empat anak, tiga lelaki dan seorang perempuan.

Bagaimanapun, dua anaknya sudah meninggal dunia manakala anak perempuannya yang sudah berkahwin tinggal di Johor dan seorang lagi anak lelaki dipercayai tinggal di kawasan berhampiran.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin yang dihubungi semalam mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa dipercayai sudah meninggal dua hari sebelum ditemui dan pihaknya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.

Kepala berkecai dihentam bunga api


KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut apabila kepalanya berkecai ketika cuba memeriksa satu daripada tiga bunga api disangkakan tidak berfungsi, tetapi meletup secara tiba-tiba dalam kejadian di Taman Seputeh, Luyang, di sini, awal pagi kelmarin.
Sebelum kejadian, mangsa dikenali sebagai By Shaow Yong, 26, dikatakan menyalakan tiga bunga api berkuasa tinggi yang mampu membentuk objek di udara, berhampiran rumahnya sempena Tahun Baru Cina, kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Dua daripada bunga api dipercayai sama jenis digunakan pihak berkuasa bagi menyambut sesuatu perayaan meletup di udara, manakala satu lagi tidak berfungsi, menyebabkan mangsa cuba melakukan pemeriksaan sebelum ia meletup.

Letupan secara tiba-tiba itu menyebabkan mangsa terpelanting beberapa meter dan ahli keluarga yang cuba memberikan bantuan terkejut apabila mendapati sebahagian daripada kepalanya hancur.


Difahamkan, bunga api berkenaan dibeli dengan harga RM500 dan dipercayai dibawa masuk secara haram dari China.

13 jam keluar serpihan mercun

SITIAWAN: Seorang lelaki parah, manakala dua lagi cedera ringan apabila sekotak mercun tiba-tiba meletup ketika sambutan Tahun Baru Cina di hadapan sebuah Tokong Cina, di Jalan Pantai di sini, malam kelmarin.
Seorang daripada mangsa, Sim Kit Chong, 34, yang mengalami kecederaan serius di kepala dihantar menjalani pembedahan di Unit Rawatan Kecemasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, selama 13 jam untuk mengeluarkan serpihan mercun.

Sumber polis memaklumkan kejadian berlaku jam 12 tengah malam kelmarin ketika mangsa membuat persiapan menyambut perayaan itu.

Tokong berkenaan menjadi antara lokasi tarikan utama masyarakat sekitar daerah itu untuk sembahyang dan bermain mercun ketika malam tahun baru.

Difahamkan, ada antara mercun yang meletup sendiri dalam kuantiti besar sehingga mengakibatkan kecederaan kepada mereka di tempat kejadian.

Sumber memaklumkan, sebelum kejadian letupan mercun sudah dimulakan sejam lebih awal.

Seorang mangsa yang cedera ringan adalah Bendahari Tokong, Goh Meng San, 65, yang cedera di muka dan tangan kanan.

Dia menerima rawatan di hospital sebelum dibenarkan keluar pada hari yang sama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan, Shaharuddin Abdullah mengesahkan kejadian berkenaan namun memaklumkan belum menerima laporan daripada mangsa.

Penjamin 24 rakan

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas hidup dalam ketakutan selepas menerima ugutan along yang mahu menggantung kepala babi dan menyimbah cat merah di depan rumahnya di Taman Melawati, berikutan kegagalan menyelesaikan hutang sebanyak RM2.6 juta.
Ugutan itu diterima Khamis minggu lalu pada jam 11 pagi selepas mangsa dihubungi along yang meminta menjelaskan tunggakan hutang setiap bulan dengan bayaran RM2,500.
Mangsa, seorang suri rumah berusia 60 tahun, sebelum ini menjadi penjamin kepada 24 rakan yang membuat pinjaman dua tahun lalu dan tidak menyangka along mencarinya untuk menuntut baki hutang.

Sumber polis berkata, mangsa terkejut selepas dimaklumkan dirinya mempunyai hutang RM2.6 juta ekoran tidak melunaskan bayaran pinjaman dibuat sebanyak RM28,000.


Katanya, mangsa hanya menjadi penjamin kepada rakannya yang membuat pinjaman dengan niat mahu membantu, tetapi kini terpaksa menanggung beban selepas along memburu dan mengugutnya.

Arwah adik minta basikal

KOTA TINGGI: “Abang, belikan Jud basikal sebagai hadiah hari jadi ya,” itu antara permintaan Mohamad Izzuddin Sanudin, 12, kepada abang sulungnya, Mohamad Hazwan, 23, sebelum dia lemas bersama seorang lagi abangnya, Mohamad Aqhmal, 21, di Pantai Tanjung Buluh, Sedili Kecil, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, arwah Mohamad Izzuddin ditemui selang 30 minit selepas orang ramai menemui mayat abangnya, Mohamad Aqhmal terapung di pantai berkenaan ketika mereka bersama enam beradik dan ibu bapa bercuti di pantai berkenaan sempena cuti Tahun Baru Cina.

Abang sulung mereka, Mohamad Hazwan berkata, dalam perbualan telefon dengan Izzuddin minggu lalu, adiknya itu yang dipanggil Jud, memintanya membelikan basikal sebagai hadiah hari lahir ke-12 pada 18 Januari lalu.

“Bagaimanapun, sibuk bekerja dan tidak sempat mengambil cuti menyebabkan saya menangguh membelikannya basikal serta mengadakan sambutan hari lahirnya.

“Saya tergamam dengan kejadian ini, seolah-olah masih terdengar permintaannya itu. Sebagai abang, saya terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaannya,” katanya yang bekerja di McDonald Ulu Tiram dekat sini.

Difahamkan, ibu bapa mereka, Sanudin Abu, 45, dan Norhayati Ibrahim, 43, yang tinggal di Ulu Tiram, membawa lapan daripada 10 anak mereka berkelah ke pantai itu yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Tanjong Sedili.

Norhayati ketika ditemui berkata, anak sulung mereka, Hazwan tidak menyertai perkelahan kerana bekerja manakala anak ketiga menjalani latihan amali di Langkawi.

Menurutnya, ketika berehat pada jam 12.30 tengah hari, dua beradik itu naik dari pantai dan menemuinya kerana Jud luka di lutut manakala Aqhmal yang mesra dipanggil ‘Boboi’, luka kecil dan berdarah di dagu dipercayai terkena batu.

“Selepas makan mereka ke pantai manakala kami berehat. Pada jam 2 petang, pengunjung pantai dikejutkan dengan seorang kanak-kanak nyaris lemas dan didukung ke pantai sebelum diberikan bantuan kecemasan.

“Kami menuju ke arah orang berkumpul dan tiba-tiba tidak sedap hati kerana dua anak kami tidak kelihatan. Saya dan suami mencari Jud serta Boboi di sepanjang pantai, namun gagal menemui mereka,” katanya.

Menurutnya, pada jam 2.30 petang seorang pemancing yang duduk di atas batu ternampak mayat terapung lalu menarik mayat itu ke pantai.

“Terperanjat kami apabila mendapati mayat itu adalah Boboi dan meminta bantuan orang ramai mencari Jud yang masih hilang.

“Setengah jam kemudian seorang pengunjung meredah air apabila ternampak tubuh manusia separuh terapung yang kemudian dicam sebagai Jud,” katanya.

Jenazah dua beradik itu dituntut keluarga pada jam 9 malam selepas bedah siasat di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi sebelum dibawa pulang ke rumah keluarga di Bestari Indah, Ulu Tiram dan dikebumikan pada malam sama di Tanah Perkuburan Islam, Ulu Tiram.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Che Mahazan Che Aik mengesahkan kejadian dua beradik itu yang lemas di Sedili Kecil.

Hutang RM28,000 jadi RM2.6 juta

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas hidup dalam ketakutan selepas menerima ugutan along yang mahu menggantung kepala babi dan menyimbah cat merah di depan rumahnya di Taman Melawati, berikutan kegagalan menyelesaikan hutang sebanyak RM2.6 juta.
Ugutan itu diterima Khamis minggu lalu pada jam 11 pagi selepas mangsa dihubungi along yang meminta menjelaskan tunggakan hutang setiap bulan dengan bayaran RM2,500.
Mangsa, seorang suri rumah berusia 60 tahun, sebelum ini menjadi penjamin kepada 24 rakan yang membuat pinjaman dua tahun lalu dan tidak menyangka along mencarinya untuk menuntut baki hutang.

Sumber polis berkata, mangsa terkejut selepas dimaklumkan dirinya mempunyai hutang RM2.6 juta ekoran tidak melunaskan bayaran pinjaman dibuat sebanyak RM28,000.


Katanya, mangsa hanya menjadi penjamin kepada rakannya yang membuat pinjaman dengan niat mahu membantu, tetapi kini terpaksa menanggung beban selepas along memburu dan mengugutnya.

106 majikan ingkar ditahan

SEPANG: Seramai 4,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan 106 majikan ditahan Jabatan Imigresen dalam operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P), yang bermula Oktober tahun lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, mereka adalah sebahagian daripada 38,000 pekerja asing yang diperiksa dalam 3,700 operasi di seluruh negara kerana melakukan pelbagai kesalahan. “Saya meminta semua majikan yang menggaji pekerja asing supaya mendaftarkan kakitangan mereka di lapan Cawangan Pusat Setempat (OSC) ditetapkan.

“Gunakan masa yang ada untuk melakukan pendaftaran secara pentadbiran bagi proses permohonan pemutihan untuk Pati yang berlangsung pada 1 hingga 31 Ogos lalu,” katanya pada sidang media selepas Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Agensi KDN di Balai Polis Sungai Pelek, di sini, malam kelmarin. Hadir sama, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan dan Aset KDN, Datuk Mohmed Asri Yusof. Operasi yang berlangsung bermula jam 10 malam hingga 2 pagi itu membabitkan kawasan seperti Sungai Pelek, Bukit Bangkong dan Bagan Lalang. Katanya, KDN juga mengeluarkan kompaun kepada 257 Pati dan 24 majikan dalam operasi yang dilakukan sempena usaha pengampunan dan pemutihan besar-besaran di bawah Program 6P. “Sehingga kini, 341,956 Pati menjalani proses pemutihan dan pengampunan di bawah Program 6P,” katanya.