Search This Blog

Tuesday, January 24, 2012

Jangkitan kuman bukan punca dua bayi mati



January 24, 2012

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan jangkitan kuman bukan penyebab utama kematian mengejut membabitkan dua bayi di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Adila Kids, di Taman Permata, di sini, Khamis lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata ini berdasarkan keputusan awal pemeriksaan histopatologi sampel tisu paru-paru dan beberapa organ lain kedua-dua bayi tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata kemungkinan kejadian tersedak susu sebagai penyebab utama kematian mengejut kedua-dua bayi tersebut masih belum dapat ditolak.

"Keputusan muktamad akan hanya dapat dibuat setelah semua keputusan ujian termasuk ujian analisis kimia oleh Jabatan Kimia diperolehi, yang dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Khamis lalu, dua bayi lelaki, Muzaffar Mohd Faizal berusia tiga bulan setengah dan Arif Amsyar Ruhi Budiman, 7 bulan, yang ditinggalkan di pusat asuhan tersebut meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu.

Katanya memandangkan laporan polis telah dibuat oleh waris kedua-dua bayi itu, kejadian itu kini sudah menjadi kes perundangan perubatan dan laporan akhir berhubung kes tersebut akan diserahkan oleh kementerian itu kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Dr Hasan berkata sehingga semalam 53 daripada 55 kanak-kanak yang dijagai pusat jagaan tersebut dalam keadaan sihat, sementara dua lagi mengalami demam selsema yang ringan.

Kementerian itu juga mendapati tiada wabak penyakit berjangkit yang serius berlaku di kalangan kanak-kanak di pusat jagaan tersebut berdasarkan kajian epidemiologi serta keputusan ujian makmal.

"Sejumlah sembilan sampel tekak yang diambil di kalangan kanak-kanak di pusat jagaan tersebut, telah diuji dan didapati negatif terhadap virus Influenza A," katanya.

Beliau berkata anggota kesihatan telah membuat pemeriksaan ulangan di pusat jagaan berkenaan dan turut memberi tunjuk ajar daripada segi aspek penjagaan bayi dan amalan kebersihan diri serta persekitaran kepada pengasuh pusat tersebut.

Kesemua tujuh pekerja pusat jagaan itu telah diarahkan untuk menjalani pemeriksaan perubatan rutin, dan pusat jagaan itu akan hanya dibenarkan beroperasi apabila semua syarat operasi termasuk nisbah pekerja dengan kanak-kanak dipatuhi. – Bernama

Jangkitan kuman bukan punca dua bayi mati - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

3 lemas ketika mandi di Pantai Kota Tinggi




2012/01/24

KOTA TINGGI: Dua beradik dan seorang remaja dilaporkan mati lemas dalam dua kejadian berasingan di sini semalam, kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik.

Dalam kejadian pertama, dua beradik Mohamad Akmal Sanudin, 21 dan adiknya, Mohamad Izzudin Sanudin, 12 mati lemas pada jam 2 petang di Sedili Kecil.
Che Mahazan berkata, Mohamad Akmal ditemui terapung kira-kira jam 2.30 petang manakala adiknya dijumpai setengah jam kemudian.
Dalam kejadian satu lagi, seorang remaja, R Richard ditemui mati lemas di Pantai Tanjung Balau pada jam 2 petang.

Katanya, kesemua mangsa dilaporkan mati lemas apabila ditarik ombak kuat ke kawasan air dalam.

Kesemua mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat.

Orang ramai mengunjungi kawasan pantai di daerah ini sejak Sabtu lalu susulan cuti panjang hujung minggu dan Tahun Baru Cina. - BERNAMA
Berita Harian Online | 3 lemas ketika mandi di Pantai Kota Tinggi:

'via Blog this'

15 nelayan Filipina maut ditembak




2012/01/24

MANILA: Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh manakala tiga yang lain cedera apabila kumpulan bersenjata melepaskan tembakan ke arah tiga bot dalam apa yang dipercayai pertembungan antara kumpulan nelayan, menurut tentera Filipina.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Randolph Cagangbang, berkata serangan itu berlaku di Pulau Sibago, wilayah Basilan.
Bagaimanapun, Cabangbang menolak pembabitan kumpulan Abu Sayyaf yang ada kaitan dengan al-Qaeda dan sering dipersalahkan ke atas beberapa siri serangan tahun lalu.
Katanya, nelayan berkenaan dipercayai diserang kumpulan nelayan lain kerana memasuki kawasan tangkapan mereka. - AP
Berita Harian Online | 15 nelayan Filipina maut ditembak:

'via Blog this'

Kilang plastik kitar semula di Tawau musnah dalam kebakaran


HANGUS... Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau terpaksa memanjat di atas sebuah lori ketika memadamkan sisa-sisa kebakaran yang berlaku di Kampung Pasir Putih, awal pagi tadi. --fotoBERNAMA
HANGUS... Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Tawau terpaksa memanjat di atas sebuah lori ketika memadamkan sisa-sisa kebakaran yang berlaku di Kampung Pasir Putih, awal pagi tadi. --fotoBERNAMA


TAWAU: Sebuah kilang plastik yang menjalankan aktiviti kitar semula milik sebuah syarikat dan pejabat serta stor sebuah syarikat pemungut sampah di Kampung Pasir Putih di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.
Turut musnah dalam kebakaran itu ialah enam kenderaan dan empat motosikal milik kedua-dua syarikat berkenaan dan pekerja.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Tawau, Zaugarana Kuning ketika ditemui berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.35 pagi dan tiba di tempat kejadian tujuh minit kemudian beserta 20 anggota.

Katanya api dapat dikawal daripada merebak ke kawasan perumahan berhampiran kira-kira setengah jam kemudian dan dipadamkan sepenuhnya pada 10 pagi.

"Ketika anggota kami tiba, kilang dan kemudahan di kilang yang dibina daripada kayu telah dijilat api sepenuhnya,” katanya.

Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. -- BERNAMA
myMetro | Kilang plastik kitar semula di Tawau musnah dalam kebakaran:

'via Blog this'

Lima PATI ditahan cuba diseludup keluar


24/01/2012 11:25am

BUKIT KAYU HITAM - Jabatan Imigresen negeri menahan empat lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba diseludup keluar ke Thailand melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (KIK) Bukit Kayu Hitam petang semalam.

Pengarahnya, Mohd. Hatta Kassim berkata, PATI tersebut berumur antara 15 dan 32 tahun dipercayai masuk ke Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah dua atau tiga bulan lepas untuk bekerja.

Katanya, pegawai Imigresen yang menahan sebuah kereta dipandu warga tempatan berumur 30-an di laluan keluar arah Thailand kira-kira pukul 2 petang semalam, mendapati penumpang di sebelah pemandu cuba berlakon sebagai penduduk tempatan.

"Apabila diperiksa lelaki itu tidak dapat mengemukakan sebarang dokumen perjalanan dan pemeriksaan seterusnya menemui tiga lagi PATI bersembunyi dalam but belakang kereta,” katanya kepada pemberita di sini. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Sembilan maut hari kelapan Ops Sikap ke-25


24/01/2012 11:23am

KUALA LUMPUR - Ops Sikap ke-25 sempena sambutan Tahun Baru Cina mencatatkan 93 kematian setakat ini, setelah sembilan lagi maut dalam kemalangan di seluruh negara pada hari kelapan, semalam.

Laman web Polis Diraja Malaysia melaporkan enam kematian membabitkan penunggang motosikal dan tiga pengguna kereta.

Laporan itu juga menyebut jumlah kemalangan menurun kepada 973 kes semalam berbanding 1,161 pada hari sebelumnya.

Jalan bandaran kekal mencatatkan rekod kemalangan tertinggi dengan 310 kes, diikuti jalan persekutuan (302), jalan negeri (170), lebuh raya (124) dan 63 kes bagi jalan-jalan lain.

Sebanyak 17,736 saman dikeluarkan menjadikan jumlah terkumpul 138,574 saman membabitkan pelbagai kesalahan.

Ops Sikap kali ini akan berakhir pada 30 Januari. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Pekerja Kilang Warga Myanmar Ditemui Mati Di Asrama


KLANG: Seorang pekerja kilang rakyat Myanmar ditemui mati dengan kesan tetakan dan hentakan di kepala di asrama pekerja sebuah kilang besi di Jalan Kapar di sini pagi Ahad.

Mangsa, Nyo Chaw, 36, ditemui tertiarap dengan berlumuran darah di dalam kabin yang dijadikan bilik oleh seorang rakan senegaranya pada pukul 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superitendan Mohd Shukor Sulong berkata, polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan daripada pengurus kilangterbabit pada pukul 9.52 pagi. Beliau berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati telah meninggal dunia akibat pendarahan yang teruk di bahagian kepala.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa yang telah empat tahun bekerja di premis itu dipercayai bertengkar dengan seorang rakan sebiliknya, malam semalam namun punca pertengkaran itu tidak diketahui.

Bagaimanapun, rakannya itu disyaki telah melarikan diri selepas kejadian tersebut.

Mohd Shukor berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian menemui sebilah pisau pemotong daging dan sebatang besi di luar bilik asrama yang dipercayai digunakan suspek untuk membunuh mangsa.

Selain itu, dua dokumen pengenalan diri milik si mati dengan rakan sebiliknya itu turut ditemui, katanya di sini Ahad.

Mohd Shukor tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan adalah akibat pergaduhan antara mangsa dan rakan sebiliknya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis kini mengesan rakan sebiliknya itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk dibedah siasat.- BERNAMA

mStar Online : Pekerja Kilang Warga Myanmar Ditemui Mati Di Asrama:

'via Blog this'

Mayat Lelaki Ditemui Dalam Kereta


KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki warga tempatan, dengan kesan kelar di leher, ditemui di tempat duduk belakang sebuah kereta berhampiran laluan pejalan kaki di Pasar Borong Selayang pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata mangsa yang berusia lingkungan 40-an ditemui orang ramai kira-kira pukul 2 pagi.
"Mangsa dipercayai dikelar dan dibiarkan di dalam kereta yang ditempatkan berdekatan kawasan tong ikan di dalam pasar tersebut... hasil pemeriksaan, kita tidak menemui senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa, tetapi kita masih lagi meneruskan siasatan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri atau barang berharga mangsa.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA
mStar Online : Mayat Lelaki Ditemui Dalam Kereta:

'via Blog this'

Penculik bogel terima padah


PETUGAS media berkumpul sambil berbincang sesama sendiri mengenai kejadian seorang kanak-kanak yang dijadikan tebusan selama enam jam.


KUALA LUMPUR - Siapa sangka keseronokan lapan sekeluarga yang sedang asyik menonton televisyen dicemari insiden berdarah apabila salah seorang daripada mereka dijadikan tebusan oleh seorang lelaki sebelum 'drama' itu mencapai klimaksnya dengan suspek mati ditembak polis enam jam kemudian.

Kejadian pukul 10.30 pagi semalam di Lorong Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini itu berlaku apabila suspek berusia 34 tahun tanpa seurat benang tersebut dikejar sekumpulan penduduk yang mengesyaki lelaki tersebut hendak mencuri.

Suspek yang buntu untuk melarikan diri kemudian telah menerjah masuk ke dalam rumah mangsa sebelum mengambil pisau di dapur lalu menangkap dan mengacukan di leher seorang kanak-kanak, Fifi Ramadhani Syafrudin, 10.

Enam ahli keluarga yang terkejut dengan kejadian itu kemudian melarikan diri kecuali bapa mangsa, Syafrudin Marlis, 47. Suspek yang bagikan kerasukan itu kemudian membawa mangsa masuk ke dalam bilik manakala bapanya kekal di ruang tamu.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

'Dia ugut mahu bunuh Fifi saya'


KUALA LUMPUR - Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan seorang lelaki yang begitu gelisah dan takut apabila terpaksa menyaksikan leher anak sulung perempuannya diacukan pisau oleh seorang lelaki bogel untuk dijadikan tebusan selama enam jam semalam.

Kelibat Syafrudin Marlis, 47, yang sebelum itu tidak dipedulikan oleh masyarakat sekeliling tiba-tiba menjadi tumpuan apabila dia memperkenalkan diri kepada wartawan sebagai bapa Fifi Ramadhani, 10, iaitu kanak-kanak yang dijadikan tebusan itu.

Walaupun nampak tenang tetapi naluri kebapaan yang terbit dari hati kecilnya memaksa dia mengalirkan air mata sebelum dia sudi menceritakan kejadian yang mencemaskan itu.

"Saya sebenarnya memakai kaki palsu sebelah kanan selepas ia kudung beberapa lama dulu. Saya tidak mampu untuk melawan penculik yang memasuki rumah dan menjadikan Fifi sebagai tebusan.

"Ketika itu kami sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum lelaki itu menerjah masuk. Dia kemudian mengambil pisau di dapur lalu mengacukannya ke leher anak sulung daripada dua beradik itu," ceritanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Tiga sahabat gagal selamatkan rakan


DUNGUN – Pengorbanan tiga sahabat untuk membantu rakan mereka yang lemas dipercayai selepas terjerlus ke dalam pasir ketika mandi di Pantai Teluk Bidara di sini tidak kesampaian apabila mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, mangsa Mohd. Alif Asyari Nirhanuddin dikatakan datang ke pantai berkenaan bersama tiga rakannya, Mohd. Arif Aizat Azman, 16, Abd. Halim Zakaria, 16 serta Amirul Abd. Jalil,16 untuk menghabiskan cuti sekolah sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Bagaimanapun, ketika sedang asyik bermandi- manda, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Pulau Serai dikatakan terjerlus ke dalam pasir sebelum terkapai-kapai meminta pertolongan daripada tiga rakannya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Rumah kerabat diraja dipecah masuk


KUALA LUMPUR - Kejahatan perompak memang tidak pernah mengenal mangsanya apabila mereka memecah masuk kediaman seorang kerabat diraja sebelum melarikan gading gajah dan barangan perhiasan di sini Jumaat lalu.

Kejadian tersebut disedari pada pukul 7 pagi oleh tukang kebun kediaman tersebut yang datang untuk menjalankan kerja rutin hariannya.

Difahamkan, tukang kebun warga asing berusia lingkungan 30-an itu dikatakan terkejut apabila mendapati pintu jeriji besi rumah majikannya yang juga seorang wanita diumpil.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

6,800 paket minyak dirampas



ANGGOTA penguat kuasa KPDNKK memeriksa sebahagian minyak masak yang dirampas di Bukit Payung, Marang semalam.


MARANG – Tembelang sebuah premis yang menjalankan perniagaan membungkus minyak masak secara haram di Batu Sembilan, Bukit Payung dekat sini terbongkar selepas diserbu anggota penguat kuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu semalam.

Serbuan kira-kira pukul 2 petang itu dilakukan selepas menerima maklumat awam mengenai kegiatan premis itu menjual minyak masak dalam paket tanpa lesen.

Dalam serbuan itu, sebanyak 6,800 paket minyak masak bernilai RM16,660 telah dirampas.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati pemilik premis berkenaan telah menyorok 400 buah kotak berisi barang kawalan itu di dalam sebuah gudang.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Gerabak kereta api terbakar - Jenayah - Sinar Harian

Gerabak kereta api terbakar
AZMAN CHE MAN
January 24, 2012
gerabak-terbakar

KUALA KRAI - Perjalanan kira-kira 120 penumpang terlewat selama 20 minit apabila gerabak jana ­kuasa tren dinaiki mereka terbakar berhampiran Stesen Keretapi Kuala Krai, di sini, kelmarin.

Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Mohd Fazil Ismail berkata, kejadian jam 7.20 malam itu melibatkan Tren 86 dari Kuala Lipis, Pahang ke Tumpat, Kelantan yang mempunyai lima gerabak.

Katanya, kebakaran melibatkan gerabak menjana elektrik untuk tren itu disedari pemandu lokomotif yang segera memberhentikan tren sebelum menghubungi bomba.

“Bila menyedari berlaku kebakaran, pemandu segera memisahkan gerabak jana kuasa yang terletak di bahagian belakang bagi me­ngelakkan api merebak ke gerabak penumpang.

“Kira-kira 10 minit selepas bomba tiba iaitu pada jam 7.40 malam, tren terbabit meneruskan semula perjalanan ke Tumpat,” katanya.

Ditanya punca kejadian, Mohd Fazil berkata, Bahagian Depoh dan Keselamatan KTMB diarah melakukan siasatan sama ada kebakaran berpunca daripada litar pintas, kecuaian manusia atau kesilapan teknikal.

“Bagi pihak KTMB, saya memohon maaf kepada penumpang terbabit atas sedikit kelewatan perjalanan dialami mereka berikutan kejadian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Che Nasir Che Seman berkata, pihak­nya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.25 malam dan menghantar sebuah jentera bersama tiga ang­gota ke tempat kejadian.

Katanya, anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian pada jam 7.30 malam berdepan sedikit kesukaran apabila terpaksa meletakkan jentera kira-kira 150 meter dari gerabak terbakar.

“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 7.38 malam sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.27 malam,” katanya yang menge­tuai operasi tersebut.

Gerabak kereta api terbakar - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Khemah kenduri runtuh


NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
January 24, 2012
khemah

ULU KINTA – “Dalam sekelip mata, angin kuat mengangkat dua khemah di hadapan rumah lalu menghempap bumbung rumah dan tersadai di bahagian belakang.

“Kami yang berada dalam rumah panik terus menyelamatkan anak-anak yang sedang tidur termasuk yang menonton televisyen, berlari keluar menyelamatkan diri, bimbang bumbung runtuh,” cerita Nur Asyikin Mohamed Zulkifli, 38, kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Detik mengejutkan itu dilalui beliau termasuk 30 ahli keluarga dalam satu kejadian ribut di Taman Putra Indah, 6.30 petang kelmarin.

Keluarga berkenaan yang baru selesai mengadakan kenduri kesyukuran bagaimanapun terselamat ketika dua khemah menempatkan tetamu menghempap rumah dalam kejadian itu.

Kata Nur Asyikin, umpama mendengar bunyi letupan, rempuhan itu menyebabkan bumbung rumahnya yang baru diduduki empat bulan lalu rosak sehingga air hujan membanjiri bahagian dalam.

Menurutnya, dia bersama sanak saudara yang sedang berkemas selepas majlis kenduri terkejut mendengar bunyi angin yang amat kuat menyebabkan mereka ketakutan.

“Dalam suasana kelam kabut itu, kami bersyukur tiada ahli keluarga yang cedera walaupun serpihan bumbung rumah hampir mengenai anak-anak yang sedang menonton televisyen.

“Kami menempatkan ahli keluarga di rumah saudara berhampiran. Penat kenduri tidak habis, terpaksa pula membersihkan rumah yang basah. Kerja-kerja pembaikan akan dilakukan selepas sambutan tahun baru cina,” katanya yang rugi lebih RM1,500 apabila dinding dan siling di bilik tidur, ruang tamu dan bilik air rosak.

Sementara itu, Ketua Kampung Bandar Baru Putra, Mohd Tahir Zakaria berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) disaran menanam pokok sebagai penampan angin lintang di kawasan lapang berhampiran rumah bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Kawasan Bandar Baru Putra kerap dilanda ribut sehingga menimpa tujuh rumah tahun lalu. Ia juga mendapat jolokan sebagai kawasan laluan angin.

“Bagaimanapun, tiga rumah terlibat dalam kejadian ini dan bantuan bencana alam akan dihulurkan setelah dikemukakan kepada Pejabat Ahli Parlimen Tambun,” katanya.

Khemah kenduri runtuh - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

RM15,000 lesap sekelip mata


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 24, 2012
disamun

KUALA KEDAH - Tindakan seorang warga emas membawa barang kemas yang dianggarkan bernilai RM15,000 sewaktu keluar berjalan bersama anak-anaknya mengundang padah apabila barang tersebut lesap tanpa disedari.

Mangsa, Azizah Abdul Hamid, 66, berkata, kejadian berlaku pada 31 Disember tahun lalu dan dia hanya menyedari barangnya hilang semasa hendak menunaikan solat Isyak di rumah.

Menurutnya, barang kemas termasuk cincin berusia lebih 100 tahun itu dibalut dengan sapu tangan dan diletakkan di dalam poket baju kurung yang dipakai.

“Kebiasaannya saya tidak membawa barang kemas sewaktu keluar berjalan dan menyimpannya di rumah, namun pada hari tersebut saya terpaksa membawanya kerana tiada siapa di rumah.

“Saya tidak menyangka langkah berjaga-jaga itu mengundang padah apabila barang tersebut hilang tanpa saya sedari bagaimana kejadian itu boleh berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Nelayan.

Selain cincin berusia lebih 100 tahun, Azizah turut meletakkan empat gelang tangan, seutas rantai tangan, sepasang subang, dua bentuk cincin dan loket.

Azizah berkata, dia sendiri buntu dengan kejadian yang berlaku kerana bungkusan itu hilang begitu sahaja tanpa disedari, walaupun dia ada memeriksa poket baju kurungnya sepanjang perjalanan dia ke pusat membeli belah dan kedai makan di Kuala Kedah.

Lebih menghairankan, katanya, dompet bersama kad pengenalan yang disimpan dalam poket sama, tidak hilang dan masih dalam keadaan baik.

“Selepas kejadian itu, perasaan saya sentiasa tidak menentu dan hanya memikirkan bagaimana kejadian itu boleh berlaku.

“Lagipun barang kemas ini adalah harta yang saya ada, terutama sewaktu terdesak dan digunakan bagi menampung perbelanjaan dapur harian untuk keluarga saya setelah kematian suami sejak 12 tahun lalu,” katanya yang hanya mengharapkan wang pencen suami RM300 sebulan untuk perbelanjaan harian mereka sekeluarga.

Azizah membuat laporan polis pada 16 Januari lalu, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan berharap sekiranya ada individu yang menjumpai bungkusan barang kemas itu agar memulangkannya semula.

RM15,000 lesap sekelip mata - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Reda hilang dua anak serentak


ERMA YUSNIDAJUSOH
January 24, 2012
lemas

KUANTAN - Kegembiraan menyambut cuti persekolahan bersama-sama menjadi kenangan terakhir buat ibu tunggal, Saleha Abdul Ghani, 42, selepas dua anak lelaki mati lemas dalam kejadian di Pantai Sepat kelmarin.

Saleha berkata, kejadian tersebut berlaku terlalu cepat dan tidak menyangka ia meragut nyawa dua permata hatinya, Muhammad Zaiful Mohd, 11, dan Muhammad Saiful Abdul Latif, 13.

“Kejadian tersebut berlaku dalam sekelip mata, saya melihat mereka mandi sebelum mereka tiba-tiba hilang dari pandangan.

“Ketika itu, saya menjerit meminta tolong tetapi air pasang dan keadaan pasir jerlus di situ menyebabkan mereka gagal diselamatkan,” katanya ketika ditemui di HospitalTengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, semalam.

Dalam kejadian petang kelmarin, Saleha bersama empat anak dan dua anak saudara mandi manda di Pantai Sepat.

Dua daripada mereka mati lemas, manakala dua anaknya yang lain, Norfaiza, 17, Siti Nur Zazila Mohd, 8, berjaya diselamatkan dan dibawa ke HTAA untuk rawatan lanjut.

Selain itu, dua anak saudaranya, Mohd Iskandar Khan, 10 dan Samiha Khan, 7, turut dirawat di HTAA selepas mengalami sesak nafas.

Saleha berkata, kedua-dua adik-beradik itu sangat rapat malah kehilangan mereka sangat dirasai.

“Biasanya, keluarga kami riuh rendah dengan kerenah mereka berdua, kini saya sangat terasa ketiadaan mereka.

“Sebelum kejadian, Zaiful dan Saiful teruja mahu membeli kelengkapan sekolah bersama kakaknya, bagaimana pun hasrat tersebut tidak kesampaian,” katanya yang trauma dengan kejadian tersebut.

Sementara itu, Norfaiza berkata, ketika kejadian, dia berada di tengah laut, sebelum melihat sepupu, Samiha terkapai-kapai.

Namun, keadaan air pasang menyebabkan dia gagal untuk menyelamatkan malah dia turut tenggelam.

“Saya tidak ingat apa-apa, kejadian tersebut berlaku begitu cepat. Saya sedih kerana tidak dapat menyelamatkan dua adik saya,” katanya yang dirawat di HTAA.

Reda hilang dua anak serentak - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Warga emas nyaris maut dipatuk ular tedung


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 24, 2012
Mangsa-masih-lemah,-namun-dilaporkan-stabil-selepas-menerima-rawatan-di-HRPZ-II

KOTA BHARU - Seorang warga emas nyaris maut dipatuk ular tedung ketika sedang membasuh pinggan di dapur rumahnya di Kampung Gong Manok, Pasir Puteh di sini, Sabtu lalu.

Mangsa terbabit, Azizah Hassan, 53, berkata, ketika kejadian, jam 1.30 petang, dia hanya menyedari kakinya digigit reptilia terbabit selepas terasa sakit dan kebas.

“Apabila saya memegang kaki yang sakit, saya lihat seekor ular tedung berwarna hitam berada betul-betul di bawah sinki tempat saya membasuh pinggan.

“Saya panik lalu terus memanggil anak saya, Shaida, 19, yang ketika itu berada di ruang tamu bagi menghalau haiwan terbabit dan melalui seorang jiran, saya dapatkan bantuan untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya kepada Sinar Harian ketika di rawat di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II).

Azizah berkata, akibat bisa terbabit, kakinya tidak dapat digerakkan namun mujurlah tindakan pantas anaknya membawa dia ke hospital menyelamatkan nyawanya.

“Mujur anak bertindak cepat, jika tidak mungkin bisa terbabit akan merebak ke seluruh badan, lagipun bisanya begitu kuat sehingga terasa lenguh seluruh bahagian kaki.

“Makcik menerima rawatan di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh kemudian dirujuk ke HRPZ II, Kota Bharu untuk rawatan susulan,” katanya.

Azizah berkata, selama seminggu dia ditahan di wad dan doktor melakukan pembedahan bagi membuang sel-sel kulit mati di bahagian kaki kanannya.

Sementara itu, Azizah turut menerima lawatan wakil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.

Pihak terbabit menerima maklumat pada 17 Februari lalu dan mengadakan lawatan bagi melihat keadaan mangsa.

Azizah dimaklumkan, bahawa pihak jabatan terbabit ada menyediakan ‘Tabung Bantuan Mangsa Serangan Buas’ dan dia bakal menerima pampasan berhubung kejadian itu dalam masa terdekat.

Warga emas nyaris maut dipatuk ular tedung - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Gagal curi motosikal, kereta


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 24, 2012
pencuri-motor

PASIR MAS – Cubaan mencuri dua motosikal dan sebuah kereta gagal, apabila dia dihalang seorang mekanik dan ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) Banggol Perdana, di Kampung Banggol Ara, jam 10.30 pagi, kelmarin.

Mekanik, Mat Ju berkata, dia ternampak kelibat seorang lelaki, dalam lingkungan 30-an, sedang memanjat pagar seterusnya bersembunyi di sebalik semak berdekatan kedai membaiki dan membasuh kereta.

Mat Ju yang juga pekerja di kedai berkenaan berkata, suspek terus berlari ke kedai membaiki kenderaan dan cuba membuka kereta Perodua Kancil yang diletakkan di sana.

“Melihatkan keadaannya yang mencurigakan, saya cuba bertanya, tetapi dia mengaku kereta Kancil berkenaan merupakan milik adiknya, tetapi dia terlupa untuk membawa kunci.

“Selepas gagal mengambil kereta, dia cuba mengambil motosikal Kriss Modenas yang diletakkan di kedai membasuh kereta,” katanya, semalam.

Mat Ju berkata, dia menghalang dan cuba menangkap suspek, tetapi suspek berjaya merlarikan diri ke arah sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan.

Sementara itu, Ketua SRS Banggol Perdana, Shafie Awang berkata, pihaknya mendapati suspek sekali lagi cuba mencuri motosikal untuk cubaan kali ke tiga, berdekatan bangunan tersebut.

Menurutnya, selepas mendapat halangan daripada orang ramai, dia melarikan diri di kawasan bendang dan menyembunyikan diri selama kira-kira 20 minit.

“Seramai 20 anggota SRS dan penduduk kampung mengepung kawasan itu dan memulakan operasi mencari suspek di setiap pelusuk kawasan.

“Kita menjumpainya bersembunyi di sebalik semak dan suspek kelihatan seperti dalam keadaan berkhayal, mata kemerahan serta tidak mampu untuk berdiri dengan stabil,” katanya.

Berdasarkan makluman orang ramai, pasukan SRS Banggol Perdana berjaya menahan lelaki berkenaan, seterusnya diserahkan kepada pihak polis.

Gagal curi motosikal, kereta - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'