Search This Blog

Monday, January 23, 2012

Lelaki bogel ditembak, kanak-kanak jadi tebusan bebas


AHMAD ISMADI ISMAIL & HIDAYAH HAIROM
January 23, 2012

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Kampung Baru di sini, yang dijadikan tebusan oleh lelaki bogel lebih lima jam dengan memasuki rumahnya, berjaya diselamatkan kira-kira jam 4.09 petang tadi.

Mangsa dapat diselamatkan setelah polis melepaskan tembakan mengenai lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, polis terpaksa melepaskan empat das tembakan, yang mengenai rusuk kiri lelaki berkenaan untuk menyelamatkan mangsa.

"Kami terpaksa mengambil tindakan itu kerana lelaki itu bertindak agresif, mangsa selamat dan dihantar ke HKL (Hospital Kuala Lumpur) untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, polis berhadapan dengan sitiuasi sukar apabila lelaki itu berada dengan mangsa di dalam bilik serta bersenjatakan pisau.

"Lelaki berusia 34 tahun itu tidak menuntut wang tetapi mahu dadah dan jaminan dia selamat. Pakar psikiatri turut membantu dalam kejadian ini, lelaki itu tiada rekod masalah mental," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi tadi, suspek masuk ke dalam rumah mangsa lalu bertindak mengambil sebilah pisau dari bahagian dapur lalu meletakkannya di leher mangsa dan mengugut ahli keluarganya supaya tidak melawan. Rumah mangsa yang terletak di Jalan Raja Mahmud mempunyai tiga bilik.

Dia kemudian membawa kanak-kanak itu masuk ke dalam bilik utama.

Sehingga jam 3 petang tadi, pasukan keselamatan mendapatkan bantuan beberapa pakar dari HKL untuk memujuk lelaki berkenaan.

Kanak-kanak perempuan itu dijadikan tebusan oleh lelaki berkenaan yang menyerbu masuk ke rumahnya ketika dia bersama sekeluarganya sedang menonton televisyen.

Pasukan keselamatan turut membawa teman wanita lelaki berkenaan ke lokasi kejadian untuk memujuk dan membebaskan mangsa.

Menurut bapa mangsa, Syafrudin, 47, yang juga seorang OKU, ketika kejadian dia berada dalam bilik dan lima ahli keluarga lain berada di ruang tamu.

Katanya, dia terkejut apabila suspek tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menarik salah seorang anaknya.

"Isteri, seorang lagi anak dan anak buah saya sempat berlari keluar.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaan saya dan suspek ketika itu sudah mengacukan pisau di leher anak saya serta mengugut akan mencederakan anak saya jika kami datang dekat," katanya.

Dia bagaimanapun dibawa keluar oleh anggota polis dan suspek ketika itu sudah membawa mangsa ke dalam bilik.

Menurut polis, lelaki itu dipercayai bukan penduduk di sini, tetapi berasal dari Sabah serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan samun dan pernah ditangkap sebelum ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3A Akta Culik 1961.

Lelaki bogel ditembak, kanak-kanak jadi tebusan bebas - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

4 hari penduduk kampung putus bekalan air


23/01/2012 1:23pm

KUNAK - Penduduk Kampung Simpang Empat yang menghuni kira-kira 160 buah rumah dekat sini merayu pihak berkuasa air Kunak supaya segera mengatasi masalah bekalan air yang terputus di kampung berkenaan sejak empat hari lalu.
Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Simpang Empat, Ibrahim Tabir berkata, penduduk kampung berkenaan bergantung sepenuhnya kepada bekalan air dari loji air Sungai Kalumpang dan bekalan air yang terputus sejak Jumaat lalu benar-benar menyukarkan kehidupan harian penduduk.
"Untuk makluman, sejak tahun lalu, Kampung Simpang Empat hanya dibekalkan air paip pada waktu malam. Itupun untuk tempoh tiga jam sahaja sehari. Pada waktu siang, bekalan air paip tidak ada. Bagaimanapun, penduduk masih mampu bertahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ibrahim, pihaknya menghubungi Jurutera Air Kunak untuk mengetahui punca masalah bekalan air namun gagal dan masalah berkenaan pula tidak dapat dimajukan ke pejabat air Kunak kerana kakitangan sedang bercuti sempena Tahun Baru Cina.
Katanya, keadaan itu memaksa ramai penduduk terutama suri rumah mencari punca air alternatif seperti di sungai berhampiran di kawasan ladang kelapa sawit untuk membasuh pakaian dan pinggan mangkuk kerana tangki simpanan air mereka sudah hampir kering malah ada yang sudah kosong sama sekali. - BERNAMA
Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Pelajar dijumpai mati lemas di Pantai Seri Telong



January 23, 2012

BACHOK- Mayat seorang pelajar berusia 14 tahun yang dipercayai lemas ketika mandi di Pantai Seri Telong di sini, ditemui kira-kira tiga jam setengah selepas kejadian itu, malam tadi.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Bachok, Nordin Zakaria, berkata mayat Amirol Wafiy Abdul Manaf, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, dijumpai terapung-apung tidak jauh dari tempat kejadian pukul 9.30 malam tadi.

"Mangsa bersama dua lagi adiknya pergi mandi ke pantai berkenaan bersama jiran-jirannya pukul 6 petang semalam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata pada kejadian itu Amirol dilihat terkapai-kapai lemas dibawa ombak oleh adiknya, Amirol Risqi dan segera meminta tolong jirannya Mohd Noor Awang, 42, tetapi gagal.

Nordin berkata, sebaliknya Mohd Noor dan Amirol Risqi juga hampir lemas ketika berusaha menyelamatkannya tetapi kedua-duanya sempat diselamatkan oleh penduduk kampung yang melihat kejadian itu.

Sementara itu, ibu mangsa, Nellyariana Anuar Kamal, 44, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kandis berkata beliau tidak menyangka kejadian itu berlaku ke atas anaknya.

Katanya, beliau terkilan sebelum kejadian itu Amirol Wafiy berada bersamanya untuk menemani dan membantunya ketika beliau sakit kepala.

"Beliau seorang anak yang rajin dan sentiasa mematuhi setiap arahan saya," katanya.

Jenazah Amirol Wafiy selamat disemadikan di kawasan perkuburan Kampung Kandis pada pukul 9 pagi tadi.- Bernama

Pelajar dijumpai mati lemas di Pantai Seri Telong - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kes kematian H5N1 di Barat daya China


23/01/2012 1:06pm

BEIJING - Seorang lelaki berusia 39 tahun mati akibat patogenik avian influenza (H5N1), selesema burung di Barat daya China petang semalam, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.

Agensi Berita Xinhua memetik kenyataan kementerian itu melaporkan, lelaki tersebut yang mula demam sejak 6 Januari mati di sebuah hospital di Guiyang, ibu negara Wilayah Guizhou setelah menerima rawatan rapi selama tiga hari.

Pusat kawalan dan pencegahan penyakit itu di kedua-dua peringkat wilayah dan nasional mengesahkan kes itu adalah jangkitan H5N1.

Setakat ini, 71 individu yang telah mendekati mangsa tidak menunjukkan tanda-tanda luar biasa, menurut kementerian berkenaan. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Warga emas rentung dalam kebakaran di Beluran




2012/01/23

BELURAN: Seorang warga emas mati rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Cinabutan, Jalan Sapi Nangoh di sini malam tadi.

Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan, Alias Abu, berkata mangsa dikenali sebagai Domine Tuati berusia 75 tahun.
Katanya, mengikut laporan yang diterima, ketika kejadian dua lagi keluarga mangsa iaitu anak perempuan dan cucunya tidak berada di rumah tersebut kerana keluar ke klinik bagi mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
"Sebuah jentera bersama empat anggota ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 malam.

"Bagaimanapun, lokasi kejadian yang jauh menyebabkan anggota bomba hanya tiba di tempat kejadian kira-kira 2.45 pagi dan mendapati rumah tersebut sudah musnah terbakar sepenuhnya, katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, rangka mayat mangsa ditemui di bawah rangka rumah yang terbakar itu.

"Punca kejadian masih disiasat," katanya. - BERNAMA
Berita Harian Online | Warga emas rentung dalam kebakaran di Beluran:

'via Blog this'

Pelajar Indonesia maut bas PLKN dirempuh bas persiaran


NUR FARHANA ABDUL MANAN
January 23, 2012
bas-hancur

SERDANG – Seorang pelajar Sekolah Menengah (SM) dari Makassar, Indonesia maut apabila bas Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) yang dinaikinya bersama 29 ahli rombongan lain dirempuh sebuah bas persiaran di Kilometer 307.8 Lebuh Raya Utara Selatan dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, lima daripada 11 penumpang bas persiaran turut mengalami kecederaan parah dan masih mendapat rawatan di Hospital Serdang.

Difahamkan, rombongan dua bas membawa 35 pelajar, 18 mahasiswa, dua pensyarah dan lima guru. Masing-masing dari Pasca Sarjana Universitas Halvoleo, Sulawei Tenggara; Sekolah Menengah (SM) Atas Negeri 1 Kendari; SM Atas Negeri3, Makassar; SM Negeri 2 Kendari dan SM Atas Kartika Kendari Indonesia.

Sinar Harian dimaklumkan kesemua 60 ahli rombongan mengikuti lawatan sambil belajar ke Malaysia dan Songkhla, Thailand.

Kejadian berlaku ketika semuanya dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian membabitkan dua bas yang meragut nyawa seorang penuntut Indonesia, Uci Luciana Adil Taulo, 17, kira-kira jam 7 pagi.

Menurutnya, mangsa yang cedera dikenali sebagai, Saderi Mat Jedin, 48; Tan Sze Yie, 18; P Sajidaran, 21, warganegara Thailand, Armeeldatumada, 24; dan warga Indonesia Hartimertirasitulius, 30.

Jelasnya, siasatan awal mendapati bas persiaran yang berada di bahagian belakang laluan kiri lebuh raya mengekori bas membawa rombongan pelajar itu dengan jarak terlalu dekat.

“Mengikut keterangan awal, tayar bas depan meletup secara tiba-tiba menyebabkan bas persiaran yang berada di belakangnya tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan belakang bas JLKN itu.

“Rempuhan kuat menyebabkan mangsa yang duduk di tempat duduk terakhir mengalami hentakan kuat dan cedera parah. Mangsa dikejarkan ke hospital, bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir ketika mendapatkan rawatan,” katanya.

Abd Razak berkata, kedua-dua bas akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Kimia untuk tindakan selanjutnya.

“Berdasarkan keterangan pemandu, dia mendakwa memandu dengan kelajuan 90 kilometer/jam. Namun melihat kepada impak kemalangan, didapati wujud keraguan kelajuan dan perkara itu akan disiasat dengan lebih lanjut.

“Apa yang pasti siasatan awal mendapati bas belakang mengekori dengan jarak yang tidak selamat antara bas dengan bas,” katanya memaklumkan saringan awal ujian air kencing dilakukan kepada kedua-dua pemandu bas didapati negatif.

Pelajar Indonesia maut bas PLKN dirempuh bas persiaran - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pegawai Khas MB kena ugut



NORSHIKIN MOHD SALLEH
January 22, 2012
Low-Teh-Hian-menunjukan-laporan-polis-dan-sms-ugutan-yang-diterimanya
JOHOR BAHRU – Usaha Pegawai Khas Menteri Besar, Low Teh Hian menyelesaikan hampir 300 kes berkaitan pinjaman wang tidak berlesen sepanjang 10 tahun bagaikan tidak berbaloi apabila kini beliau pula menerima ancaman ah long.

Teh Hian yang juga Ketua MCA Bahagian Pulai menerima ugutan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) pada jam 7.26 malam kelmarin, ketika berada di rumahnya, dekat sini.

“Saya percaya SMS tersebut dikirim ah long kerana ia berpunca daripada seorang lelaki yang meminta bantuan saya bagi menyelesaikan masalah pinjaman wang sebanyak RM2,000 tetapi ah long memintanya bayar RM5,000.

“Saya cuba berbincang dengan ah long terbabit tetapi dimarahi kerana masuk campur hal berkenaan," katanya.

Menurut Teh Hian, setelah mematikan talian telefon, ah long berkenaan bertindak menghubung beliau sebanyak lapan kali dan akhirnya menghantar SMS berbaur ugutan,” katanya pada sidang media di Kelab Media Cina Selatan, di sini, semalam.

Teh Hian yang bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya terus membuat laporan polis sebaik menerima SMS ugutan yang berbunyi 'Takut jawabkah Yb? Saya tahu awak siapa. Saya akan bawa orang simbah cat ke syarikat awak pada Tahun Baru Cina'.

Katanya, beliau telah biasa menerima ugutan setelah hampir sedekad berkhidmat menyelesaikan pelbagai masalah penduduk di Pulai, namun ini kali pertama ugutan diterima daripada ah long.

“Kita tidak tahu sejauh mana mereka (ah long) ini akan bertindak, justeru saya mahu polis mengambil tindakan serius berhubung perkara ini.

“Ia boleh disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah,” katanya.

Teluk Bidara ragut nyawa



NIK MUHD RAFIQ ABD GHANI
January 23, 2012
jenazah
TELUK BIDARA – Kegembiraan empat sahabat mandi-manda di pantai peranginan dekat sini sempena cuti Tahun Baru Cina berakhir tragedi apabila seorang daripadanya mati lemas.

Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Mohd Alif Asyari Norhanuddin, 16 bersama tiga lagi rakannya yang lain, Mohd Ariff Aizat Azman, 16, Abdul Halim Zakaria, 16 dan Amirul Abdul Jalil, 16 sedang mandi di kawasan gua berdekatan Pantai Teluk Bidara.

Tragedi lemas di pantai peranginan yang sering meragut nyawa itu mula disedari salah seorang rakan mangsa, Mohd Ariff apabila melihat rakan sekolahnya itu dalam keadaan tenggelam timbul selepas dipercayai terjerumus dalam pasir di dasar laut sebelum cuba untuk menarik tangan rakannya itu.

Dalam keadaan kelam kabut itu, seorang lagi rakan mangsa, Abdul Halim naik ke darat untuk meminta ban-tuan penduduk kampung sebelum mangsa berjaya diselamatkan beberapa minit kemudian.

Bagaimanapun Mohd Aliff dikatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Dungun dan mayatnya dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Seberang Pintasan, Dungun untuk urusan pengkebumian.


Hajat pakai seluar baru tidak kesampaian

Impian seorang remaja untuk memakai seluar baru tidak kesampaian apabila dia menemui ajal dalam tragedi lemas, dekat sini, petang semalam.

Sebelum tragedi, mangsa, Mohd Aliff Asyari, 16, dikatakan ada meminta RM50 daripada ibunya untuk memotong kaki seluar yang dibeli ibunya sempena Aidilfitri lalu.

Mengimbas kembali detik terakhir sebelum tragedi, ibu mangsa, Azimah Abdul Ghani, 49 berkata, anak lelakinya itu beiya-iya memakai seluar tersebut dan dia sempat menghulurkan wang sebanyak RM50 pada jam 11.30 pagi, kira-kira dua jam sebelum tragedi yang meragut nyawa anak ketiga daripada empat beradik itu.

“Dia kata nak baiki seluar di kedai jahit dan nak beli barang keperluan sebelum buka sekolah nanti, jadi saya hulurkan wang tersebut kepadanya.

“Namun belum sempat dia pakai seluar itu, ajal sudah menjemputnya, lebih menyedihkan wang yang saya berikan sebanyak RM50 itu ditemui dalam poket seluar yang dipakainya,” kata Azimah.


Lihat rakan tercungap-cungap dalam air

“Apabila saya mendengar dia menjerit meminta tolong dan lihat keadaannya tercungap-cungap dalam air, saya dapat rasakan dia sudah lemas, saya cuba membantunya dengan menolak tubuhnya ke atas, namun saya tidak terdaya, akhirnya saya berenang naik ke atas untuk menyelamatkan diri,” kata Mohd Arif Aizat Azman, 16 salah seorang rakan kepada Mohd Aliff Asyari.

Mohd Ariff bagaimanapun hanya terpaku setelah melihat rakan karibnya itu dalam keadaan tidak bermaya di atas pasir pantai selepas berjaya diselamatkan penduduk kampung.

Namun ajal menentukan rakan sepermainan sejak kecil itu lebih awal meninggalkan mereka sebelum sempat meneruskan sesi persekolahan selepas cuti perayaan Tahun Baru Cina nanti.

Mohd Arif yang masih trauma dengan kejadian menimpa sahabatnya itu berkata, tragedi tersebut berlaku di luar dugaan kerana ketika dia sedang mandi di lokasi terbabit, keadaan laut tenang dan paras air hanya pada aras pinggangnya.

Katanya, ketika sedang asyik mandi, paras air laut dikatakan naik secara tiba-tiba sebelum mangsa yang mandi hanya beberapa meter daripadanya diheret arus ombak lalu terjerumus ke dalam pasir menyebabkan dia dan beberapa sahabatnya yang lain gagal mengawal diri.

“Saya cuba sedaya upaya membantunya yang dalam keadaan tercungap-cungap itu, namun gagal kerana diheret arus air ke tengah laut.

“Jika saya terus membantunya, saya mungkin turut lemas bersamanya, jadi saya buat keputusan untuk berenang ke darat,” kata Mohd Ariff.


Berlari sekuat hati minta tolong

Seorang lagi rakan mangsa yang turut mandi bersama, Abdul Halim Zakaria, 16, berkata, sebaik menyedari mangsa yang difahamkan tidak pandai berenang itu mulai dibawa arus laut, dia terus naik ke darat untuk meminta bantuan penduduk kampung.

“Saya berlari sekuat tenaga mendapatkan pertolongan penduduk berdekatan.

“Selepas Mohd Alif berjaya dibawa ke atas, saya dapati mulutnya berbuih, namun nadinya ketika itu didapati masih berdenyut, saya bersyukur kerana dia selamat, namun tidak sangka yang dia menemui ajal ketika dibawa ke hospital,” kata Abdul Halim yang masih trauma dengan kejadian menimpa sahabat karibnya itu.

Tragedi meragut nyawa anak pengawal keselamatan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Ismail itu ketika mangsa dan tiga rakannya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Serai sedang mandi laut berdekatan sebuah gua di Pantai Teluk Bidara.

Mayat mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut sebelum dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Seberang Pintasan.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Seberang Pintasan, selepas Isyak, malam tadi.

Pistol dilarikan penjenayah ditemui


BANDARAYA MELAKA - Polis akhirnya menemui sepucuk pistol milik seorang anggota yang dilarikan penjenayah sebelum dibuang di Sungai Melaka, berhampiran Jambatan Hang Jebat, Pengkalan Rama, sejak Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, senjata api itu ditemui kira-kira 4.50 petang semalam.

“Operasi disertai sekumpulan polis dari JSJ dibantu anggota marin itu bermula jam 2.30 petang selepas tiga hari operasi pencarian dilakukan.

“Dua belas butir peluru masih di dalam sarung selain kami turut menemui t-baton kira-kira dua hingga tiga meter daripada lokasi pistol terbabit,” katanya.

Raja Shahrom berkata, penemuan pistol dan t-baton itu dapat membantu polis menyelesaikan siasatan kes pecah rumah di Batu Berendam pada 12 Januari lalu.

“Empat suspek ditangkap berikutan kes terbabit dan mereka kini masih dalam tahanan reman sebelum didakwa di Mahkamah dalam masa terdekat.

Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan rumah seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dipecah masuk dan turut dicuri sepucuk pistol jenis vector automatik.

Kejadian berlaku kira-kira 9 malam ketika anggota berkenaan sedang mandi dan rumahnya dipecah masuk empat lelaki berusia lingkungan 21 hingga 28 tahun.

Mereka mencuri sebuah beg sandang yang mengandungi pistol terbabit di belakang di bilik mangsa.

Kempunan makan besar



NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
January 23, 2012
Keadaan-kereta-Perodua-Myvi-yang-dinaiki-mangsa
LEDANG – Kegembiraan sepasang suami isteri untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama keluarga di kampung tidak kesampaian apabila mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Parit Bunga dekat sini, semalam.

Lebih malang lagi apabila isteri mangsa, Cheng Le Ping, 23, mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala juga anggota badan yang lain.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu melibatkan kereta Perodua MyVi yang dinaiki mangsa dari arah Muar menghala ke Tangkak, manakala kereta Mercedes dari Tangkak menghala ke Muar.

Mangsa bersama suaminya dari Taman Sakeh Baru, Muar dalam perjalanan pulang ke kampung di Ledang.

Setiba di tempat kejadian dipercayai kereta mangsa cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan tetapi gagal dan hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan.

Ini menyebabkan kereta Mercedes dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan mangsa.

Kereta Perodua MyVi remuk teruk di bahagian hadapan dan mangsa tersepit di tempat duduk penumpang.

Pemandu kereta Mercedes dilaporkan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan dan suami mangsa pula patah kaki kanan.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Ledang di talian 06-9781222,” katanya.

Jambatan baru runtuh



NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
January 23, 2012
jambatan-baru-runtuh
IPOH - Jambatan baru yang hanya sempat digunakan sebulan oleh penduduk, tiba-tiba runtuh dipercayai akibat struktur binaan yang tidak kukuh.

Jambatan berukuran sembilan meter panjang untuk kegunaan lebih 300 penduduk di Taman Gopeng Baru dekat Gopeng itu, dibina oleh sebuah kontraktor yang dilantik oleh Majlis Daerah Kampar (MDK) itu.

Kejadian pada jam 10.30 malam itu hampir meragut nyawa seorang penunggang motosikal yang melalui kawasan berkenaan.

Adun Teja, Chang Lih Kang berkata, penduduk memberitahu jambatan itu tiba-tiba runtuh selepas sebuah kereta di hadapan motosikal berkenaan berjaya melepasi laluan.

Menurutnya, kawasan gelap serta tiada tanda keselamatan itu boleh membahayakan pengguna jalan sekali gus mengancam keselamatan penduduk terutama kanak-kanak.

“Jambatan itu pada mulanya diturap bagi mengelak hakisan di bahagian tebing longkang berkenaan akibat hujan lebat. Runtuhan itu menyebabkan bunyi kuat seperti letupan dan menggemparkan penduduk berhampiran.

“Tinjauan malam semalam (kelmarin), runtuhan itu menghasilkan lubang besar dan agak dalam. Lebih pelik, bagaimana sebuah jambatan baru dibina boleh runtuh selepas sebulan digunakan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Bagaimanapun, Lih Kang berkata, kerosakan jambatan itu tidak menggusarkan penduduk berikutan mempunyai jalan alternatif lain untuk ke bandar berhampiran

Beliau meminta pihak yang bertanggungjawab membuat siasatan terperinci berhubung kejadian itu.

“Difahamkan, runtuhan itu disebabkan ada paip air bawah tanah pecah. Namun, siasatan lengkap perlu dibuat bagi mengelakkan adanya unsur-unsur penyelewengan.

“Ia perlu melibatkan MDK dan Jabatan Kerja Raya selain mengharapkan pembinaan semula jambatan berkenaan dapat disegerakan,” katanya.

‘Kami sudah ada bukti’



WARTAWAN SINAR HARIAN
January 23, 2012
nelayan-bukti
KUALA DULANG KECHIL- ‘Kami sudah ada bukti’. Begitu tegas nelayan tradisional di sini yang bengang tindakan segelintir nelayan bot pukat jerut sering menceroboh kawasan unjam atau tuas mereka di tengah lautan.

Nelayan, Mohd Khairul Muazzin Che Ani, 25, berkata, pelbagai laporan dibuat berhubung pencerobohan nelayan bot pukat jerut zon C atau dikenali nelayan komersial, namun pihak berkuasa mahu mereka mengemukakan bukti dakwaan terbabit.

Menurutnya, dia bernasib baik apabila terserempak bot nelayan terlibat di kawasan tuas dibinanya kira-kira 14 batu nautika dari sini, Rabu lalu, dan telah merakamkan gambar kegiatan berkenaan.

“Saya sudah ada bukti pencerobohan nelayan komersial ke kawasan tuas milik nelayan tradisional melalui gambar dirakamkan ketika terserempak dengan mereka.

“Saya akan menghantar gambar ini kepada pihak bertanggungjawab dan memohon mereka memberikan perhatian serius mengenainya yang telah mendatangkan kerugian kepada kami,” katanya.

Mohd Khairul Muazzin berkata, tuas yang mereka bina mendapat kelulusan namun sering dicerobohi nelayan komersial hingga mereka terpaksa menanggung rugi.

Sobri Manan, 38, berkata, mereka berharap pihak berkuasa memandang serius pencerobohan itu dan mengambil tinda-kan segera kerana tuas dibina merupakan sumber pendapatan utama mereka.

“Saya mempunyai tiga tuas dan setiap satunya menelan kos tinggi hampir RM1,000 sebulan bagi menyelenggarakanmya agar ikan sentiasa ada di kawasan tuas.

“Tindakan bot pukat jerut mengambil jalan mudah melepaskan pukat ke kawasan tuas dan mengambil pelbagai jenis ikan ada me-ngakibatkan kami menanggung kerugian besar,” katanya.

Sanusi Hamzah, 39, pula berkata, rata-rata nelayan di sini menjalankan aktiviti sukan memancing yang mendapat sambutan pelancong domestik dan luar negara.

“Jika pencerobohan dilakukan, bagaimana kami hendak bawa pelancong ke kawasan tuas sedangkan ikan sudah tiada akibat diceroboh nelayan komersial,” katanya.

Sanusi berkata, dia mohon pihak berkuasa agar dapat mengambil tindakan sewajarnya mengenai pencerobohan bot nelayan komersial itu agar mereka tidak lagi menanggung kerugian.

Mayat duda berulat ditemui

mayat-duda-berulat
KOTA BHARU - Mayat seorang duda ditemui berulat di bilik tidur rumahnya, dekat Kampung Guntong Limbat, Kubang Kerian petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mayat Md Noor Zakaria, 49, ditemui sepupunya, Roslan Mat Zin, 38, selepas terhidu bau busuk berhampiran rumah mangsa ketika mahu membersihkan kawasan kediaman.

Roslan berkata, sebelum penemuan mayat mangsa, dia juga melihat lalat mengerumuni tingkap rumah saudaranya dan bau busuk itu semakin kuat apabila menghampiri kawasan berkenaan.

Katanya, mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku terhadap sepupunya, selepas panggilan tidak dijawab, dia cuba membuka pintu rumah terbabit tetapi dikunci dari dalam.

“Saya terkejut ketika mengintai di tingkap rumahnya, saya melihat kaki mangsa berubah warna kegelapan dan terus memaklumkan kepada ahli keluarga yang lain sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Roslan berkata, mangsa yang mempunyai dua anak itu tinggal bersendirian di rumah terbabit 10 tahun lalu selepas bercerai dengan bekas isterinya.

“Saya dimaklumkan oleh ahli keluarga yang lain dia kurang berkomunikasi sejak berpisah dengan bekas isterinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di dalam bilik berkenaan dan tiada unsur jenayah.

“Berdasarkan maklumat jiran, mangsa dilihat kali terakhir menyapu sampah di rumahnya pada Selasa lalu kira-kira jam 7 petang.

“Anggota forensik dihantar ke lokasi kejadian untuk siasatan dan mayat diserahkan kepada ahli keluarga selepas bedah siasat dilakukan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II,” katanya.

9 warga Indonesia maut dirempuh kereta

JAKARTA - Sebuah kereta yang hilang kawalan merempuh sekumpulan pejalan kaki di Jalan M Ridwan Rais, Gambir, Jakarta Pusat semalam mengakibatkan lapan terbunuh dan lima lagi cedera.
Mangsa yang meninggal berusia antara dua setengah tahun hingga 51 tahun.

Polis berkata, kereta berkenaan sedang menghala ke arah Tugu Tani apabila kemalangan berlaku di hadapan bangunan Kementerian Perdagangan kira-kira jam 11.15 pagi.

Pemandu dan tiga penumpang kerta berkenaan, hanya cedera ringan.

Mayat dihantar ke Hospital Cipto Mangunkusumo manakala lima mangsa yang cedera dirawat di sebuah hospital lain.

Polis telah menahan pemandu kereta yang berusi 29 tahun itu dan akan didakwa mengikut undang-undang lalu lintas kerana memandu secara lalai. - Bernama

Ops Sikap: 84 mati, 120,838 saman dalam 7 hari

KUALA LUMPUR - Penunggang motosikal menjadi penyumbang utama kepada kemalangan maut pada hari ketujuh Ops Sikap ke-25 dengan mencatatkan sembilan kematian daripada 14 kes yang dilaporkan semalam.
Dengan ini, jumlah keseluruhan angka korban sejak Ops Sikap ke-25 dilancarkan Isnin lepas ialah sebanyak 84 orang, menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi laman webnya.
Pengguna kereta merupakan penyumbang kedua kepada jumlah kematian dengan merekodkan sebanyak empat kematian, manakala pengguna basikal satu kematian.
Daripada 1,161 kemalangan yang dilaporkan, Jalan Bandaran mencatatkan rekod tertinggi iaitu 459 kemalangan, diikuti Jalan Persekutuan 298, Jalan Negeri 189, lebuh raya 161 dan 54 kes bagi jalan-jalan lain.
Polis juga mengeluarkan 18,722 saman semalam, menjadikan jumlah terkumpul setakat tujuh hari operasi itu, kini 120,838 saman atas pelbagai kesalahan.
Ops Sikap sempena Tahun Baru Cina itu akan berakhir pada 30 Januari ini. - Bernama

Nelayan berdepan hukuman mati

Hukum mati
KOTA BHARU - Dua nelayan berdepan hukuman mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin ketika ditahan polis di sebuah hotel di Tanah Merah, 8 Januari lalu.
Mohd Hafiz Mamat, 31 dan Tuan Aziz Tuan Hitam, 49 didakwa dalam pertuduhan pertama mengedar dadah jenis heroin kira-kira 24 gram ketika ditahan di sebuah hotel di Jalan Jedok Tanah Merah pada jam 10.30 pagi tarikh berkenaan.
Kedua-dua tertuduh dari Chendering, Kuala Terengganu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori.
Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 16.0 gram di tempat dan masa yang sama.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39(A)(1) akta sama. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara dua hingga lima tahun dan juga sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Salam Yusof tidak menawarkan jaminan kepada mereka kerana kesalahan pertama itu memperuntukkan gantung mandatori.
Bagaimanapun, Mohd Hafiz dan Tuan Aziz tidak mengaku salah bagi pertuduhan kedua dan minta dibicarakan.
Majistret Muhamad Safuan Azahar kemudian menetapkan 22 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan menawarkan jaminan masing-masing RM12,000 terhadap mereka bagi pertuduhan kedua.