Search This Blog

Friday, January 20, 2012

Kastam berkas warga India cuba seludup ketamin



20/01/2012 3:33pm

BUTTERWORTH - Seorang lelaki rakyat India yang cuba menyeludup masuk 3.3 kilogram dadah jenis ketamin bernilai RM100,000 ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) semalam.
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Yahya berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an dari selatan India itu, ditahan kira-kira 9.30 pagi selepas imbasan terhadap bagasinya menunjukkan imej meragukan.
"Pemeriksaan pegawai kastam cawangan penguatkuasaan narkotik menemui sebuah bungkusan mengandungi serbuk putih kristal dipercayai dadah jenis ketamin di dalam ruang rahsia bagasi itu,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan pas pelancong dan memasuki negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari New Delhi, India sebelum tiba di LTAPP. - BERNAMA

Wanita ditembak dalam cubaan samun kereta



20/01/2012 4:48pm

JOHOR BAHRU - Seorang wanita cedera apabila ditembak dalam cubaan untuk menyamun kereta Toyota Camry keluarganya di Jalan Landak, Taman Abad di sini awal hari ini.
Kejadian pada pukul 1.10 pagi itu menyebabkan Lim Sui Kim, 62, cedera di paha kanan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah di sini.
Sui Kim yang ditemui di hospital itu hari ini berkata, empat lelaki, dua daripadanya bertopeng, memecahkan kunci pagar untuk memasuki kawasan rumah teres setingkat mereka dan meminta suami saya menyerahkan kunci kereta.
"Tapi suami saya kata kunci itu telah dibawa oleh anak lelaki saya yang bekerja di Singapura dan melihat keadaan itu, saya yang berada di dalam bilik terus menghubungi polis,” katanya. - BERNAMA

Pelakon drama dituduh curi barang solek



20/01/2012 5:13pm

KUALA LUMPUR - Seorang pelakon drama televisyen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan mencuri barang solek di sebuah pusat beli-belah dua minggu lepas.
Mazni Mahmud, 20, dituduh mencuri tiga bedak padat, tiga pengilat bibir dan beberapa barangan lain bernilai RM246.40 di Pasar Raya Carrefour Sri Petaling di sini pada pukul 9.30 malam 7 Januari.
Di dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Majistret Mohd. Azali Ibrahim menetapkan 22 Februari ini sebagai tarikh sebutan kes dan membenarkan wanita itu diikat jamin RM700 oleh seorang penjamin.
Cif Insp. Nom Phot Prackdit bertindak sebagai pegawai pendakwa manakala Mazni tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Ratu AS 2010 didakwa mabuk ketika memandu





2012/01/20

Rima Fakih
Rima Fakih
HIGHLAND PARK: Bekas ratu Amerika Syarikat 2010, Rima Fakih, 26, yang pernah dinobatkan sebagai ratu pertama daripada keturunan Arab dan beragama Islam, akan dibicarakan atas dakwaan memandu dalam keadaan mabuk Mac ini, kecuali jika dia mengemukakan rayuan, kata hakim. 

Hakim Brigette Officer, menetapkan tarikh 14 Mac untuk membicarakan Rima yang hadir di mahkamah buat kali pertama sejak dia didakwa melakukan kesalahan itu di Highland Park, Detroit, 3 Disember lalu.
Fakih menafikan dia mabuk pada malam kejadian, tetapi ujian pernafasan yang dilakukan oleh dua anggota polis mengesahkan bahawa kandungan alkohol di dalam darahnya adalah dua kali ganda melebihi paras dibenarkan.
“Saya minta maaf. Peguam tidak membenarkan saya membuat sebarang kenyataan,” katanya kepada wartawan yang menunggu di luar mahkamah. 

Rima dan keluarganya berhijrah ke Amerika dari Lubnan pada 1993 sebelum berpindah ke Dearbon di Detroit, 10 tahun kemudian. 

Dia menang pertandingan ‘Miss USA’ pada 2010 dan menjadi menjadi tajuk berita hangat apabila dinobatkan wanita keturunan Arab pertama memenangi gelaran itu. 

Penyokongnya menyifatkan kemenangan itu mampu menangani pandangan negatif terhadap warga Amerika keturunan Arab yang semakin memuncak sejak peristiwa serangan 11 September. 
Sementara itu, peguam tertuduh, W Otis Culpepper, berkata beliau akan menyediakan semua dokumen yang diperlukan untuk perbicaraan tetapi mengetahui bahawa anak guamnya boleh mengemukakan rayuan. 

“Sudah tentu Fakih kesal apa yang berlaku. Dia adalah contoh bagi wanita muda. Dia juga seorang yang bijak dan berwibawa,” katanya. – AP 

Penyokong bola sepak "tawan" bilik bersalin di hospital Argentina





2012/01/20

BUENOS AIRES: Sekumpulan penyokong bola sepak nakal memenuhi bilik bersalin di sebuah hospital di sini dengan harapan untuk membalas dendam akibat kematian ahli mereka selepas bergaduh dengan kumpulan lain. 

Presiden Persatuan Doktor di Hospital Santojanni, berkata ahli kumpulan bagi kelab Argentina, Nueva Chicago meluru ke bilik bersalin dan bahagian lain hospital berkenaan untuk mencari ahli kumpulan lain yang dikenali sebagai "Aldo The Paraguayan". - AP

47 maut dalam pertempuran di antara tentera Mali dan pemberontak





2012/01/20

BAMAKO: Seramai 45 pemberontak dan dua anggota tentera terbunuh dalam dua pertempuran di antara askar Mali dan pemberontak Tuareg, kata Kementerian Pertahanan negara itu. 

"Pemberontak kehilangan ramai anggota mereka," kata kenyataan itu.
Pertempuran tercetus di tiga bandar sebelah utara turut menyebabkan beberapa orang mengalami kecederaan.
Pemberontak Tuareg melancarkan serangan bagi merampas beberapa bandar di negara padang pasir itu di mana mereka menuntut autonomi. - AFP 

Pasukan khas pakar kaji punca kematian bayi tersedak susu





2012/01/20

KUALA KUBU BHARU: Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian dua orang bayi di sebuah pusat asuhan di Ampang semalam yang dipercayai akibat tersedak susu. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata satu pasukan khas terdiri daripada doktor pakar dari Hospital Kuala Lumpur telah diarah untuk menjalankan bedah siasat dan mengkaji punca kematian sama ada terdapat sebab lain seperti jangkitan bakteria atau sebagainya.
"Bila siasatan selesai kita akan dedahkan laporan bedah siasat itu kepada orang ramai," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Loji Pendobian Bukit Beruntung Faber Medi-Serve Sdn Bhd dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian petang semalam, Muzaffar Mohd Faizal berusia tiga bulan setengah, dan seorang lagi bayi yang hanya dikenali sebagai Hariz, tujuh bulan, yang ditinggalkan di sebuah pusat asuhan di Taman Permata, Ampang, meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu. 

Dalam perkembangan lain, Liow berkata, sebanyak 481 kes demam denggi direkodkan bagi tempoh 8 Jan hingga 14 Jan lalu, meningkat 41 kes berbanding pada minggu sebelumnya. 

Katanya, berdasarkan statistik tersebut jelas menunjukkan berlaku peningkatan ketara dalam jumlah kes demam denggi di seluruh negara jika dibandingkan dengan tahun lalu. 

"Jika kita lihat ada peningkatan bilangan kes pada tahun lalu dalam seminggu jumlah kes yang direkodkan ialah 200 ke 300 tapi untuk tahun ini dah cecah 400 lebih," katanya. 
Menurut Liow, peningkatan ketara itu mungkin disebabkan oleh cuaca yang tidak menentu dengan hujan dan banjir di beberapa negeri sejak akhir tahun lalu selain pergerakan pergi balik kampung oleh orang ramai sempena musim cuti perayaan. 

"Pergerakan masyarakat boleh menularkan demam denggi ke tempat baru terutama jika yang pulang ke kampung itu menghidap demam denggi," katanya. 

Liow juga berkata, kementerian membelanjakan RM90 juta setahun untuk perkhidmatan linen dan pendobian bagi hospital kerajaan di seluruh negara membabitkan 51,000 tan linen. 

Ia dikendalikan oleh tiga syarikat konsesi yang dilantik sejak perkhidmatan itu diswastakan pada 1997. 

"Tujuan penswastaan perkhidmatan ini adalah untuk meningkatkan kualiti pengurusan linen-linen di hospital selain mewujudkan peluang pekerjaan," katanya. - BERNAMA 

Mayat bayi ditemui di tapak pelupusan sampah





2012/01/20

KOTA KINABALU: Mayat bayi yang masih bertali pusat ditemui dalam bungkusan baju buruk di dalam plastik sampah di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok di sini hari ini. 

Mayat bayi yang belum dikenalpasti jantinanya itu ditemui sekumpulan pemungut sampah pada jam 9.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Ahmad Sofi Zakaria, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
Beliau berkata, berdasarkan keadaan mayat, bayi itu dipercayai dilahirkan empat hari lalu. 

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk bedah siasat. 

Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA 

Penduduk kampung di Jabi, Setiu dipindahkan kerana banjir





2012/01/20

BESUT: Beberapa kampung di kawasan Jabi, Setiu, hari ini dilanda banjir kilat berikutan limpahan air Sungai Tok Dor dan Sungai Selasih kira-kira 5 pagi tadi. 

Seramai 30 penduduk daripada 10 keluarga dari Kampung Tok Dor dan Kampung Renek terpaksa dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan, termasuk di Sekolah Kebangsaan Anak Ikan dan BangunanPasar Kampung Renek, selepas kawasan rumah mereka dinaiki air kira-kira satu hingga dua meter.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tok Dor, Zuhdi Ariffin, 48, ketika ditemui, berkata penduduk cemas apabila air mula bergenang di kawasan rumah mereka kira-kira 5 pagi.
Beliau berkata, mangsa yang terbabit mula dipindahkan ke pusat pemindahan kira-kira 7 pagi. 

Katanya, ini kali ketiga banjir melanda kawasan berkenaan dengan kejadian pertama pada pertengahan Disember tahun lalu dan yang kedua pada awal tahun ini. 

Beberapa kampung lain yang turut terbabit ialah Kampung Bukit Jerok, Kampung Tok Dalam dan Kampung Umur. 

Zuhdi berkata, hari ini penduduk kampung itu dijadualkan mengadakan gotong-royong membersih masjid kampung itu yang turut ditenggelami banjir baru-baru ini tetapi terpaksa dibatalkan kerana berlaku banjir kilat pagi ini. 
Katanya, penduduk percaya paras air sungai di kampung itu cepat meningkat dan melimpahi tebing berikutan limpahan air dari Gunung Tebu akibat hujan lebat tanpa berhenti sejak petang semalam. 

Banjir pagi ini juga menyebabkan beberapa lokasi di jalan utama dari Bandar Permaisuri ke Jerteh dekat Kampung Tok Dor dan Kampung Renek dinaiki air sehingga 0.4 meter, menyebabkan kesesakan lalu lintas. - BERNAMA 

Tiga terbunuh, tiga parah dalam nahas dekat Kuala Kangsar





2012/01/20

IPOH: Tiga orang terbunuh dan tiga cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 253.3 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kuala Kangsar awal pagi ini. 

Kejadian berlaku pada jam 1.20 pagi tadi ketika kereta yang dinaiki mereka dalam perjalanan dari selatan ke utara.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Ghaffar Muhammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan akan memberi kenyataan akhbar tengah hari ini berhubung kemalangan itu. - BERNAMA

Lelaki ditetak hingga mati selepas bantu mangsa kebakaran





2012/01/20

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mati ditetak beberapa jam selepas dia membantu menyelamatkan mangsa kebakaran di sebuah flat di Taman Ungku Tun Aminah di sini, awal hari ini. 

Tang Nyuk Yeow, 44, yang bekerja sendiri, ditetak di sebuah restoran mamak berdekatan dengan flat tersebut di Jalan Perkasa 3 di sini pada jam 1.20 pagi.
Difahamkan, Tang yang tinggal di blok 47, pergi dari rumah ke rumah untuk memberitahu penduduk blok 48 bahawa flat mereka sedang terbakar.
Ketua polis daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata ketika kejadian, mangsa sedang menikmati minuman bersama rakan-rakannya di restoran itu apabila sekumpulan lelaki menaiki dua motosikal mendatangi lalu menetaknya. 

"Mangsa diserang salah seorang daripada kumpulan tersebut dengan menggunakan parang di leher, lengan dan bahagian badannya," kata Ruslan. 

Mangsa cuba untuk melarikan diri namun gagal selepas ditetak berulang kali sebelum rebah dan mati di depan kaunter juruwang restoran itu. 

Mayat mangsa dihantar ke Sultanah Aminah Hospital di sini. 
Penyerang terbabit yang tidak menggunakan topeng muka tidak mengapa-apakan rakan mangsa. 

Siasatan awal bagaimanapun, mendapati kamera rakaman litar tertutup (CCTV) restoran berkenaan tidak berfungsi semasa kejadian. 

"Polis masih menyiasat punca sebenar kejadian itu dan tidak menolak kemungkinan motif disebabkan dendam," katanya. 

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi talian hotline polis di 07-2212-999 atau balai polis yang berdekatan bagi membantu siasatan. - BERNAMA 

Kastam Pulau Pinang berkas lelaki warga India seludup ketamin





2012/01/20

BUTTERWORTH: Seorang lelaki rakyat India yang cuba menyeludup masuk 3.3 kilogram dadah jenis ketamin bernilai RM100,000 ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) semalam. 

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Yahya, berkata lelaki berusia lingkungan 40-an dari selatan India itu, ditahan kira-kira 9.30 pagi selepas imbasan terhadap bagasinya menunjukkan imej meragukan.
"Pemeriksaan pegawai kastam cawangan penguatkuasaan narkotik menemui sebuah bungkusan mengandungi serbuk putih kristal dipercayai dadah jenis ketamin di dalam ruang rahsia bagasi itu," katanya di sini, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan pas pelancong dan memasuki negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa KL dari New Delhi, India sebelum tiba di LTAPP. 

Siasatan juga mendapati ini bukan kali pertama suspek memasuki negara ini. 

"Kami masih melakukan siasatan sama ada suspek digunakan sebagai keldai atau merupakan ahli sindiket pengedaran dadah antarabangsa," katanya. 

Katanya, suspek akan direman sehingga 2 Februari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 
Pada masa sama, Zulkifli turut menyeru orang ramai supaya berkerjasama dengan kastam dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan menerusi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Unit Narkotik Kastam di talian 04-3318920. 

"Kami memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan dan ganjaran dalam bentuk wang tunai akan diberikan bagi setiap maklumat yang berjaya menghasilkan kes," katanya. - BERNAMA 

Pelakon drama 'Roda-Roda Kota Raya' ditangkap terbabit dadah





2012/01/20

PEKAN: Seorang pelakon lelaki drama bersiri 'Roda-Roda Kota Raya' ditangkap polis, selepas dipercayai terbabit dalam penagihan dadah di sebuah rumah inap desa di Felda Chini 2, Pekan, di sini. 

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman, berkata pelakon berusia 39 tahun itu dan rakan lelakinya berumur 30 tahun, ditangkap jam 8.30 malam semalam.
"Berdasarkan maklumat, pihak polis memecah masuk bilik di homestay berkenaan, dan setelah diperiksa polis menjumpai dadah jenis syabu anggaran seberat satu gram di atas meja di bilik berkenaan," katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan ujian air kencing, kedua-dua mereka juga didapati positif penyalahgunaan dadah. 

Katanya, kedua-dua lelaki itu ditahan reman selama lima hari. 

"Kedua-dua mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - BERNAMA 

Cederakan Kugan, konstabel diperintah bela diri



SHAH ALAM 19 Jan. - Konstabel V. Navindran yang dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap tahanan, A. Kugan, hari ini diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini atas dua pertuduhan pilihan mencederakan mangsa, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum ini dengan alasan prima facie berjaya dibuktikan bagi pertuduhan itu.
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan yang bertindak sebagai perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd. Abbas manakala Navindran diwakili peguam Datuk P. M. Nagarajan.
Navindran, 30, didakwa atas dua tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Kugan, 23, yang merupakan suspek kes curi kereta mewah yang meninggal dunia ketika berada dalam tahanan polis.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di bilik soal siasat D9, Balai Polis Taipan USJ, Subang Jaya dekat sini pada pukul 7 pagi dan 4 petang, 16 Januari 2009.
Dia dibicarakan mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Konstabel itu turut didakwa atas dua pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan Kugan pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.
Selepas perbicaraan selama 25 hari dengan 24 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, Hakim Aslam Zainuddin melepas dan membebaskan Navindran daripada dua tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Kugan pada 28 Januari tahun lalu.
Beliau memutuskan untuk tidak memanggil anggota polis itu membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes berkenaan.
Kugan yang merupakan suspek dalam kes curi kereta meninggal dunia pada 19 Januari 2009, selepas empat hari ditahan di Balai Polis Taipan, USJ Subang Jaya dekat sini.
Keputusan bedah siasat pertama menunjukkan mendiang mati akibat paru-paru berair.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak dapat diterima oleh ahli keluarganya yang memohon agar mayat Kugan dibedah siasat kali kedua.
- UTUSAN

Rayuan pelajar bunuh penyambut tetamu ditolak



PUTRAJAYA 19 Jan. — Seorang bekas pelajar sekolah kekal ditahan di bawah ihsan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya terhadap kesalahan membunuh seorang penyambut tetamu, sembilan tahun lepas.
Dia yang kini berusia 25 tahun melakukan kesalahan itu ketika umurnya 16 tahun.
Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria yang mempengerusikan panel lima hakim mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah melakukan pembunuhan dengan memutuskan tidak terdapat merit bagi menimbang rayuan itu.
Hakim-hakim lain sebagai anggota panel terdiri Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datuk Hasan Lah.
Pemuda itu disabit kesalahan kerana membunuh Khadijah Abu Bakar, 22, di flatnya di Mak Mak Mandin, Butterworth, Pulau Pinang, antara pukul 1 dan 3.35 pagi, 23 Mac 2002.
Pada 1 Disember 2006, pemuda itu dibebaskan tanpa dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan.
Pihak pendakwa merayu kepada Mahkamah Rayuan, yang pada 3 Ogos 2008 mengetepikan pembebasannya dan memerintahkan pemuda itu membela diri atas pertuduhan membunuh.
Di akhir kes pembelaan, dia didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 4 Disember 2008 dan diperintahkan ditahan di bawah ihsan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
Dia membawa perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan selepas gagal di Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya pada 9 Mei tahun lepas.
Menurut kes pendakwaan, pemuda itu membunuh gadis tersebut yang merupakan jirannya kerana dituduh mengintai mangsa.
Gadis tersebut kemudian dijumpai mati terbaring berlumuran darah di bilik tetamu rumahnya. Pakar bedah mengesahkannya mati kerana kehilangan darah akibat luka ditetak sebanyak 139 kali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurulhuda Nuraini Mohd. Noor sebelum itu memberitahu panel, laporan asid deoksiribonukleik (DNA) pada satu sarung tangan koyak ditemui di tempat kejadian dan pada kain langsir menunjukkan pemuda itu berada di tempat pembunuhan.
Pendakwa raya berkata, perayu gagal menjelaskan bagaimana DNA miliknya ditemui pada kain langsir dan sarung tangan itu.
Nurulhuda berkata, kecederaan dialami perayu pada tangannya setanding dengan sarung tangan koyak dijumpai di tempat kejadian jenayah.
Katanya, Mahkamah Tinggi tidak menerima penjelasannya bahawa dia cedera akibat terjatuh, bermakna dia memakai sarung tangan itu dan mengalami kecederaan semasa berada di rumah mangsa.
Perayu mendakwa kesan DNA remaja itu berada di tempat kejadian kerana telah mengangkat mangsa dan meribanya selepas pergi ke situ menyiasat setelah mendengar jeritan mangsa bergaduh. - BERNAMA

Miliki harta samun, kerani dijel 3 tahun

PETALING JAYA 19 Jan. - Gara-gara memiliki harta samun milik seorang pengurus syarikat, seorang kerani wanita dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Yasmin Abdul Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Siti Azlina Abdul Aziz, 28, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.
Wanita itu didakwa memiliki harta milik Eric Chua Chee Hong, seorang warga Singapura yang disamun oleh empat lelaki ketika berada di Stesen Minyak Shell, Laserlight Enterprise, Lot PT 112, KM 15.2, Kelana Jaya, Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) di sini pada pukul 5.35 petang, 10 Oktober tahun lalu.
Harta-harta yang dimaksudkan adalah sebuah komputer tablet, seunit cakera keras luaran mini, seunit pemacu storan flash USB dan seunit pembaca kad (card-reader) yang kesemuanya jenama Samsung.
Siti Azlina didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan letak kereta Blok 43, Jalan Timun, Seksyen 24, Shah Alam dekat sini pada pukul 9.15 malam, 12 Oktober tahun lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chong Yin Xin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Siti Rohaya Mohd. Tajudin.
- Utusan

3,886 PATI, 106 majikan ditahan



KUALA LUMPUR 19 Jan. - Sejumlah 3,886 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 106 majikan ditahan dan dikenakan pelbagai tindakan oleh Jabatan Imigresen menerusi operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) yang bermula sejak 10 Oktober tahun lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam berkata, jumlah yang ditahan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 35,323 PATI yang diperiksa sepanjang operasi.
"Berdasarkan statistik, 823 PATI dan empat majikan telah didakwa di mahkamah, 580 PATI diusir dari negara ini, 257 PATI dan 24 majikan dikenakan kompaun dan 1,452 PATI serta 52 majikan masih dalam siasatan,'' katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Tambahnya, sebanyak 341,956 telah melalui proses pemutihan dan pengampunan manakala 26,760 majikan hadir di lapan pusat setempat operasi 6P.
Daripada jumlah tersebut, katanya, angka paling tinggi dicatatkan ialah di pusat setempat Jabatan Imigresen Putrajaya iaitu 15,391 permohonan majikan bagi pemutihan 126,960 PATI diikuti Kompleks KDN Seberang Jaya, Pulau Pinang (3,507 majikan, 11,057 PATI) dan Kompleks KDN Johor Bahru, Johor (2,122 majikan, 8,928 PATI).
"Selain itu, pusat setempat yang turut mencatatkan proses pemutihan tertinggi ialah Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya (2,125 majikan, 8,334 PATI); Jabatan Imigresen Presint 15 (823 majikan, 4,305 PATI); Kompleks KDN Kuantan, Pahang (1,339 majikan, 4,065 PATI); Kompleks KDN Jalan Duta (759 majikan, 4,036 PATI) dan Jabatan Imigresen Pelabuhan Klang (694 majikan, 2,483 PATI),'' katanya.

1,000 tertipu Skim Jala Ikan



BUKIT MERTAJAM 19 Jan. - Hasrat lebih 1,000 individu untuk menikmati hasil pelaburan terbantut malah mereka kerugian lebih RM1 juta apabila seorang pengusaha skim cepat kaya yang disertai mereka melarikan diri, baru-baru ini.
Semua peserta itu melabur wang tunai melalui skim diberi nama 'Pelaburan Jala Ikan' yang menjanjikan pulangan lumayan RM450 setiap bulan.
Bagi menerima bayaran itu, peserta perlu membuat pelaburan tunai RM1,450 dan hasil keuntungan hanya diberi untuk tempoh lapan bulan sahaja.
Ketika mereka sepatutnya menerima bayaran itu, pengusaha terbabit menghilangkan diri yang menyebabkan peserta pelaburan itu baru sedar yang mereka telah menjadi mangsa penipuan.
Salah seorang mangsa skim itu, N. Rajendaran, 51, daripada Taman Selasih, Kulim berkata, dia setuju menyertai skim itu dengan pelaburan sebanyak RM13,050 pada 30 November lalu.
"Saya diberi pelbagai janji manis supaya menyertai skim itu. Akhirnya saya buat pelaburan sebanyak itu dengan harapan mendapat keuntungan lebih besar," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dia antara empat daripada 1,000 orang yang membuat laporan polis setelah menjadi mangsa penipuan skim itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) semalam.
Skim itu mula diperkenalkan di sini bulan Februari tahun lepas dan disertai oleh ramai kakitangan kerajaan dan syarikat swasta.
Rajendran berkata, dia sanggup menyerah wang sebanyak itu kepada seorang wanita yang dikatakan menjadi kerani pada skim pelaburan tersebut.
"Sepatutnya saya menerima wang keuntungan itu pada masa yang ditetapkan malangnya, pengusaha berkenaan telah pun menghilangkan diri," katanya sedih.
Seorang lagi mangsa dikenali sebagai, Selvam, 42, dari Taman Kota Permai, Bukit Mertajam berkata, dia sedih kerana membuat pelaburan melebihi RM50,000 setelah membuat pinjaman dari sebuah bank tempatan.
"Saya sanggup buat pinjaman dari bank itu kerana pihak pengusahanya menyediakan dokumen perjanjian lengkap.
"Saya alami kerugian besar dan kena bayar balik pinjaman kepada bank selama 15 tahun," katanya.
Menurut Selvam, pengusaha lelaki terbabit sanggup datang ke rumahnya pada awal bulan November lalu dan menegaskan pelaburan diperkenalkan itu adalah yang terbaik untuk masyarakat India di negeri ini.
Seorang pelabur termuda dalam skim itu, Ang Seew Keing, 23, dari Kubang Semang pula berkata, dia sanggup menyerah wang sebanyak RM20,300 kepada wanita berkenaan sebelum ia menyerahkan kepada pengusaha skim tersebut.
"Saya hanya sempat melabur RM20,300 sahaja dalam skim itu dan sebanyak RM10,300 telah dapat semula dan sehingga ini bakinya RM9,000 dilarikan oleh lelaki itu," katanya.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial daerah, Asisten Komisioner Ridzuan Nor Ihsanketika dihubungi berkata, pihaknya menerima empat aduan daripada beberapa mangsa pelabur skim itu di negeri ini.
"Polis akan menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima aduan tersebut," katanya.

2 beradik ditemui mati tergantung



MIRI 19 Jan. - Dua beradik warga Indonesia ditemui mati tergantung masing-masing pada sebatang pokok dan dalam sebuah bilik asrama pekerja di sebuah kilang di Kuala Baram dekat sini, malam tadi dan pagi ini.
Kuatman Sukirman, 23, ditemui mati tergantung dengan menggunakan kain sarung pada pukul 7 pagi selepas adiknya, Suparmanto, 20, terlebih dulu ditemui tergantung di dalam bilik asrama pada pukul 9 malam tadi.
Kedua-dua beradik tersebut bekerja di kilang yang sama sejak lebih setahun lalu dipercayai bertindak sedemikian akibat dibebani masalah hutang berdasarkan nota tulisan tangan yang ditinggalkan di bilik mangsa.
Sementara itu, polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.15 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke tempat kejadian bagi melakukan siasatan.
Difahamkan, ketika kejadian berlaku, semua penghuni asrama pekerja kilang terbabit sedang tidur sebelum dikejutkan dengan penemuan mayat Kuatman yang tergantung di dahan sebatang pokok tidak jauh dari kediaman berkenaan.
Mayat kedua-dua beradik itu dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat manakala Konsulat Indonesia serta keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes kematian mengejut.