Search This Blog

Thursday, January 19, 2012

Barang kemas ½kg dicuri

KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan berputih mata apabila rumah mewahnya di Taman Century, di sini, diceroboh penjenayah menyebabkan kerugian lebih RM300,000 termasuk pelbagai jenis barang kemas seberat lebih setengah kilogram, kelmarin.
Sebelum kejadian, mangsa yang mahu dikenali Lee, lingkungan 30-an dikatakan bersama ahli keluarga meninggalkan rumah itu kerana urusan perniagaan dan pulang jam 1.30 tengah hari.

Lee berkata, sebaik pulang ke rumah dan cuba membuka pintu, dia berasa seperti ada ‘sesuatu’ yang menghalang pintu masuk rumah itu.

Menurutnya, selepas beberapa kali ditolak, dia membuka pintu dan terkejut apabila mendapati barangan di dalam rumah berselerak.

“Saya memeriksa dalam rumah sebelum mendapati wang tunai RM50,000 dan mata wang asing bernilai RM150,000 (AS$30,000) turut hilang.

“Malah, perompak melarikan kunci kenderaan dan pelbagai jenis barang kemas seberat lebih setengah kilogram,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.


Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila perompak terbabit tidak melarikan peralatan elektronik seperti telefon bimbit, televisyen dan komputer riba.

“Saya yakin penceroboh perompak profesional kerana ‘memilih’ barang bernilai tinggi untuk dicuri dan pemeriksaan mendapati perompak mengumpil jeriji besi di tingkap belakang,” katanya.

Lee berkata, selepas melarikan barang berharga itu, penceroboh meletakkan kerusi di belakang pintu depan bertujuan menyukarkan pemilik rumah membuka pintu itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih diteruskan.

“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya.

APMM tahan 57 warga Myanmar di Langkawi

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 57 warga Myanmar, dipercayai pendatang tanpa izin, yang menaiki sebuah bot di 0.5 batu nautika dari Teluk Burau di sini semalam.
Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Kapten Maritim Abdul Rahim Abdullah berkata, bot ronda APMM yang ditugaskan membuat rondaan telah mengesan sebuah bot tanpa nombor di lokasi berkenaan pada 1.30 tengah hari.
"Pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa 57 orang warga negara Myanmar berumur antara 10 tahun dan 50-an, kesemuanya lelaki yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Perikanan di sini hari ini.
Abdul Rahim mereka dipercayai berada dalam perairan selama 20 hari sejak meninggalkan negara mereka untuk sampai ke sini.
Beliau berkata, bot berkenaan dibawa ke Jeti Perikanan Bukit Malut untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Mangsa rindu abang

PUCHONG: “Arwah rindukan abangnya dan sampai mati pun dia tidak sempat berjumpa,” kata pengawal keselamatan, Amir Elias, 45, bapa kanak-kanak berusia 12 tahun yang ditemui lemas dalam lombong berhampiran Flat PPR Kampung Muhibah, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Suria, di sini, Aekhmal Rizar, tergelincir ke dalam lombong berkenaan ketika memancing bersama rakannya sebelum mayat mangsa ditemui kira-kira dua jam kemudian oleh Unit Skuba, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Wilayah Persekutuan.

Menurut Amir, dia dimaklumkan mengenai berita buruk itu oleh isterinya, Suhaila Ghazali, 35, pada jam 5 petang ketika sedang bertugas sebelum ke lombong berkenaan dengan menaiki bas.

“Kali terakhir saya menemui arwah yang juga anak kedua daripada tiga beradik ketika menghantarnya ke sekolah pagi tadi (semalam). Arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap pelik dan berkelakuan seperti biasa.

“Cuma semalam (kelmarin) dia meminta izin daripada saya untuk ke Bandar Kinrara bagi mencari abangnya berusia 15 tahun yang sudah dua hari tidak pulang ke rumah kerana merajuk. Arwah cakap rindukan abangnya dan mahu cari sampai jumpa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Pegawai Kanan Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil, Che Shaari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.32 petang dan satu jentera bersama lapan anggota bergegas ke tempat kejadian.


“Kami dibantu lapan penyelam dari Unit Skuba bagi mencari mangsa sebelum mayatnya ditemui di dasar lombong sedalam kira-kira sembilan meter berhampiran tempat dia dikatakan tergelincir kira-kira jam 6.10 petang,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.

13 terbunuh hari ketiga Ops Sikap ke-25 semalam

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 kematian dicatat pada hari ketiga Ops Sikap ke-25 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula pada Isnin lalu kepada 39 orang.
Laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan jumlah kematian semalam meningkat empat orang berbanding hari kedua operasi itu dan pengguna kereta mencatatkan angka yang tertinggi.
Mereka yang terkorban melibatkan lapan pengguna kereta, tiga pengguna motosikal dan dua pejalan kaki.

Sebanyak 21,199 saman juga dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, kebanyakannya memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat dan memandu di laluan kecemasan.


Selain itu, sebanyak 1,198 kemalangan dilaporkan berlaku semalam dengan jalan bandaran mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 433 kes diikuti jalan negeri (283) jalan persekutuan (282), lebuh raya (78) dan 122 kes lagi di jalan-jalan lain.

Ops Sikap ke-25 yang akan berakhir 30 Jan dilancarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina bagi mendidik pengguna memandu secara berhemah dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya pada musim perayaan. - Bernama

Penduduk kampung di Temerloh bimbang ancaman harimau

TEMERLOH: Seramai 600 penduduk Kampung Bongsu, dekat Lanchang dekat sini, kini bimbang selepas seekor harimau dilihat merayau-rayau di kawasan berdekatan kampung mereka.
Menurut seorang penduduk, Adnan Mat Jail, 45, beberapa kesan tapak kaki dipercayai harimau belang ditemui di kawasan hutan berhampiran kampung berkenaan.
"Beberapa penduduk kampung juga terdengar bunyi mengaum berkali kali pada 11 pagi semalam," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Noor Mansur ketika dihubungi berkata penduduk kampung berkenaan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.


"Kita telah memaklumkan kepada pihak Perhilitan bagi memantau perkara berkenaan," katanya.

Beliau menasihatkan penduduk kampung terbabit dan kampung berhampiran terutamanya penternak supaya mengandang haiwan ternakan masing-masing kerana jika dibiarkan berkeliaran, ia boleh menyebabkan harimau itu masuk ke kampung. -- BERNAMA

Gempa bumi kuat landa pantai barat Pulau Selatan New Zealand

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.1 skala Richter melanda pantai barat Pulau Selatan New Zealand pada 2.48 petang tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata pusat gempa bumi tersebut terletak di 658km barat daya Christchurch, New Zealand.
Ia tidak membawa sebarang ancaman tsunami. -- BERNAMA

Imigresen Melaka tahan 7 warga asing di pasar borong

MELAKA - Jabatan Imigresen Melaka menahan tujuh pendatang tanpa izin dalam satu operasi di Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Batu Berendam, di sini awal pagi tadi.
Pengarahnya, Kamalludin Ismail berkata, mereka terdiri daripada lima lelaki warga Bangladesh dan dua rakyat Nepal berusia antara 20 dan 45 tahun.
Kesemua mereka ditangkap kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata dalam operasi 4.30 pagi itu, seramai 71 warga asing diperiksa.
“Ketika pemeriksaan dilakukan kesemua warga asing tersebut sedang sibuk bekerja dan melayan pelanggan namun mereka kemudiannya bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran pegawai imigresen,” katanya.
Kamalludin berkata, serbuan dilakukan susulan aduan orang ramai mengenai kehadiran ramai warga asing di kawasan tersebut. - BERNAMA

Penjual telefon bimbit bebas tuduhan dagang wanita Thai

KUALA LUMPUR - Seorang penjual telefon bimbit dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan memperdagangkan 15 wanita warga Thailand bagi maksud eksploitasi seks, tiga tahun lalu.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd. Zain membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Oleh itu mahkamah melepaskan dan membebaskan Leow Weng Seng, 37, daripada pertuduhan memperdagangkan wanita warga Thailand itu yang berumur antara 16 hingga 30 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di empat lokasi berlainan iaitu di dua buah rumah, sebuah premis dan satu unit kondominium di Taman Midah, Cheras di sini pada pukul 4.30 petang, 19 November 2009. - BERNAMA

Pelajar maut, rakan parah motosikal langgar kerbau

KUANTAN: Seorang pelajar lelaki tingkatan empat maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang tunggangi mereka melanggar seekor kerbau yang sedang melintas jalan.
Dalam kejadian 8 malam tadi di Km57, Jalan Temerloh-Pekan Awah, dekat Maran, Mohd Ikhwan Hamzah, 16, mati di tempat kejadian manakala rakannya, Hayatul Al Amin Ali, 21, yang patah kaki dan tangan kiri kini dirawat di Hospital Jengka.
Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata, kejadian itu berlaku ketika kedua-dua mereka dalam perjalanan dari arah Jengka 9 ke Hospital Jengka.

"Sampai tempat kejadian, dipercayai sekumpulan kerbau tiba-tiba melintas dari arah kiri ke kanan jalan, Hayatul yang membawa motosikal terbabit cuba mengelak namun terlanggar salah seekor kerbau itu dan menyebabkan mereka tercampak ke kanan jalan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Sementara itu di Kuantan, katanya seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditungganginya bergesel dengan dua buah lagi motosikal rakannya sebelum tercampak ke atas sebuah kereta dari arah bertentangan.

Dalam kejadian 7 malam di Km3, Jalan Chini-Kuantan dekat Chini, Nor Azwan Safuan Kasim, 19, dari Felda Chini 4, Pekan, mati di tempat kejadian manakala dua rakannya dan pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata difahamkan ketika kejadian, pemuda itu dan dua lagi rakannya sedang berlumba sesama sendiri dari arah Chini menuju ke Kuantan.

"Sampai tempat kejadian, dipercayai mereka telah bergesel sesama sendiri... pada masa yang sama sebuah kereta dari arah bertentangan lalu di situ menyebabkan mangsa tercampak ke atas kenderaan itu dan rakannya terjatuh ke atas jalan. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya. -- BERNAMA

Wanita rugi RM16,332 selepas ditipu jurujual kereta

GEORGE TOWN 19 Jan — Seorang eksekutif kanan sebuah perbadanan multinasional kerugian RM16,332 dan keretanya pula hilang selepas ditipu seorang jurujual supaya membayar pendahuluan bagi sebuah kereta baharu.
R.Thilagavathi, 42, dari Pekan Teluk Kumbar, berkata insiden itu berlaku pada Disember 2010 apabila beliau tertarik dengan sebuah kereta di sebuah pusat pameran kenderaan di Juru Auto city di Seberang Perai.
Katanya selepas memandu uji kereta itu, beliau membayar wang tunai RM1,000 sebagai cengkeram kepada seorang jurujual berusia 36 tahun dan memaklumkannya bahawa beliau mahu menukar beli kereta lamanya.
"Daripada memberikan resit bagi wang cengkeram saya, sebaliknya jurujual memberikan saya salinan tempahan jual beli di mana dia mendakwa ini membuktikan bahawa saya telah bayar,” katanya selepas mengadu di Biro Aduan MCA di sini, hari ini.
Selepas jurujual itu bersetuju menjual kereta lamanya dengan harga RM5,000, beliau menyerahkan kenderaan itu kepada seorang peniaga kereta tetapi cek dikeluarkan atas nama jurujual berkenaan yang mendakwa ia akan digunakan bagi kereta baharu yang ditempahnya.
Thilagavathi berkata sejak tarikh beliau menempah kenderaan itu dengan cengkeram RM1,000, jurujual terbabit memberikan pelbagai alasan atas kelewatan kenderaan itu yang menyebabkan beliau menunggu lebih lapan bulan.
Selepas menyerahkan lebih RM16,000 atas desakan jurujual itu untuk mempercepatkan pengeluaran kereta itu, akhirnya lelaki itu menyuruh beliau membatalkan tempahan kerana kualiti kereta itu tidak baik dan mendapatkan pembayaran balik.
Bagaimanapun, beliau terpaksa menunggu sebulan dan dalam masa sama, panggilan dan mesej kepada jurujual itu tidak dijawab dan apabila menelefon pejabatnya di Juru, beliau dimaklumkan lelaki itu telah berhenti kerja Ogos tahun lepas, katanya.
Timbalan Ketua Biro Aduan MCA Lim Thoon Deong berkata pihaknya telah menyiasat selepas menerima aduan itu dan dimaklumkan kes itu kini dalam siasatan polis.
Katanya MCA akan menghantar surat rasmi kepada syarikat kenderaan itu dan berharap pengurusan syarikat akan mempertimbang untuk membayar balik wang pendahuluan kepada Thilagavathi kerana kejadian itu berlaku semasa jurujual itu bekerja dengan syarikat itu.
— BERNAMA

Mayat lelaki ditemui di tempat pembuangan sampah

GEORGETOWN 19 Jan. - Mayat seorang lelaki dipercayai berusia 50-an ditemui di kawasan pembuangan sampah di Bandar Sri Pinang berhampiran Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu hari ini.
Mayat itu ditemui oleh beberapa pekerja Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ketika menjalankan tugas pembuangan sampah pada pukul 8.30 pagi ini.
Polis berkata, mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
"Kita minta waris terdekat yang kehilangan ahli keluarga tampil untuk memberi keterangan dan menuntut mayat lelaki itu di Rumah Mayat Hospital Pulau Pinang,” kata jurucakap polis ketika dihubungi di sini. - BERNAMA

Curi pistol polis



NORDIANA JOHARI
January 19, 2012
cari pistol
AYER KEROH – Sepucuk pistol jenis vector automatik dibawa lari penjenayah selepas rumah seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dipecah masuk.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kejadian berlaku jam 9 malam pada 12 Januari lalu, di taman perumahan di Batu Berendam.

Menurutnya, sewaktu kejadian, anggota polis terbabit sedang mandi dan rumahnya dipecah masuk oleh empat lelaki, berusia lingkungan 21 hingga 28 tahun.

“Mereka mencuri sebuah beg sandang belakang di bilik mangsa, yang mengandungi pistol berkenaan.

“Mereka memecah masuk melalui pintu depan rumah mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Justeru katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk rumah dan boleh dikenakan penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Manakala, Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan boleh dikenakan penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Menurutnya, semua suspek berjaya ditahan, semalam, dan pihaknya akan memohon supaya mereka ditahan reman, hari ini.

Semalam juga, sepasukan Unit Khas Skuba Bomba dan Penyelamat negeri mencari pistol yang dipercayai dibuang suspek di Sungai Melaka berhampiran Taman Rempah pada malam kejadian.

Bagaimanapun, usaha mencari gagal menemui pistol berkenaan.

Dibunuh kejam ditikam dileher



SARINAH MAT KASIM
January 19, 2012
Dibunuh kejam ditikam dileher
NILAI – Seorang wanita dijumpai maut, di Taman Permainan Taman Desa Melati Fasa 1, di sini, semalam, akibat ditikam di leher.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, mayat Raftah Abdul Samad, 51, ditemui seorang lelaki sedang berjoging kira-kira jam 7 pagi.

“Terdapat kesan tikaman dileher mangsa dan wanita itu dipercayai mati kira-kira selepas enam jam, akibat pendarahan teruk.

“Kami turut menjumpai telefon bimbit, kunci kereta, dokumen dan dompet dipercayai milik mangsa,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, di sini, semalam.

Mohd Yusoff berkata, pihak nya tidak menjumpai senjata dan kesan pergelutan atau dirogol.

“Kita menolak unsur samun kerana semua barangan mangsa tidak dilarikan,” katanya.

Menurutnya, penduduk mendakwa mangsa bekerja di sebuah resort di Port Dickson, dilihat meletakkan kenderaan di kawasan taman perumahan berkenaan, kira-kira jam 7 malam kelmarin.

“Kita sedang siasat untuk mengenal pasti motif kejadian dan tujuan mangsa pergi ke taman berkenaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.

Katanya, orang ramai mempunyai maklumat, diminta hubungi Balai Polis Nilai 06-7991222 atau balai polis berdekatan.

3 lelaki ditahan kematian penunggang motosikal



KOTA BHARU 18 Jan. - Polis menahan tiga suspek bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang meninggal dunia sehari selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di hadapan Masjid Badang di sini pada Ahad lalu.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 38 tahun ditahan berasingan semalam dan awal pagi ini bagi membantu siasatan polis.
Ini kerana terdapat kesan pukul, pijak dan tendang pada tubuh mangsa yang sebelum itu cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memberitahu, Idris Mamat, 54, dari Kampung Cabang Tiga, Kedai Buluh Padang meninggal dunia Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) pukul 8.15 pagi semalam.
Menurutnya, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan keretakan berganda pada tengkorak kepala dan pendarahan dalam otak.
"Polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki dua daripada suspek dan kita percaya ia mempunyai kaitan dengan kes kematian mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Jalaluddin, sebelum itu polis menerima aduan isteri mangsa, Zaiponi Lah, 43, yang mendakwa kematian suaminya itu disyaki akibat dipukul, ditendang dan dipijak selepas motosikal ditunggang suaminya terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan lain.
Jalaluddin berkata, salah seorang suspek membuat laporan kelmarin mendakwa dia sedang memandu kereta bersama abangnya dan ternampak mangsa menunggang motosikal ke arah Pantai Cahaya Bulan dan mengekori kenderaan itu.
Menurutnya, suspek dalam laporan itu mendakwa terlanggar motosikal mangsa lalu terbabas dan terlanggar tiang.
"Bagaimanapun, hasil siasatan awal mendapati, suspek dan mangsa pernah bergaduh sebelum ini dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara itu, Zaiponi ketika ditemui di HRPZII malam tadi berharap polis dapat melakukan siasatan segera kerana kematian suaminya amat meragukan.
"Saya lihat sendiri mayat suami saya mengalami kecederaan yang sangat teruk di kepala, lengan dan bahagian badan lain.
"Saya meragui bagaimana suami saya boleh mengalami kecederaan seperti itu. Saya berharap polis dapat melakukan siasatan segera untuk mengetahui punca kematiannya," katanya.

Anak 'Datuk' direman 7 hari



Jurujual kereta dipercayai suspek dalam kes bunuh dan rogol dibawa polis untuk mendapatkan perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, semalam.


SUNGAI PETANI 18 Jan. - Seorang jurujual kereta yang melarikan diri selama enam tahun ketika disiasat dalam kes rogol dan bunuh seorang gadis, akhirnya berjaya dikesan dan ditangkap polis semalam.
Suspek yang berusia 31 tahun dan merupakan anak seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' ditangkap sejurus tiba dari Perth, Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam.
Suspek dibawa ke Kedah dan direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes rogol dan bunuh seorang eksekutif pemasaran, Chee Gaip Yap, 25, di kawasan perumahan Kelab Cinta Sayang di sini pada 14 Januari 2006.
Perintah tahanan reman sehingga 23 Januari ini ke atas suspek dikeluarkan Majistret Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli, pukul 10.30 pagi ini.
Utusan Malaysia difahamkan, suspek pernah ditahan polis kira-kira enam tahun lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis semasa menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Bagaimanapun, dia bertindak melarikan diri ke Australia dan memegang taraf penduduk tetap di sana sejak itu.
Kes pembunuhan Gaip Yap pernah mendapat perhatian meluas masyarakat sebelum ini.
Mangsa yang merupakan siswazah Universiti Utara Malaysia (UUM) dibunuh dengan kejam selepas dipercayai dirogol dan mayatnya ditemui pada awal pagi 15 Januari 2006 dalam keadaan separuh bogel di Jalan Kelab Cinta Sayang.
Pembunuhan kejam itu berlaku semasa Gaip Yap keluar berjoging bersama adik perempuannya berusia 24 tahun.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut.
Beliau berkata, polis cuba mengesan suspek yang bertindak melarikan diri ke negara kanggaru itu sejak tahun 2006.
"Polis tidak pernah menutup kes ini dan sentiasa mengikuti perkembangan kes tersebut setiap dua bulan," katanya.
Beliau berkata, polis turut bekerjasama dengan rakan setugas di negara itu bagi mengawasi pergerakan suspek di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara.
"Bertindak atas maklumat berkenaan, polis berjaya menahan suspek di KLIA semalam selepas mendapat tahu dia memasuki negara ini melalui penerbangan dari Australia," katanya.
Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk siasatan lanjut.

Bapa mahu kematian anak gadis mendapat pembelaan

SUNGAI PETANI 18 Jan. - Bapa kepada eksekutif pemasaran, Chee Gaip Yap, 25, yang dibunuh dan dirogol dengan kejam enam tahun lalu, Chee Ah Sau, berharap lelaki yang ditahan polis semalam dibawa ke muka pengadilan jika benar-benar merupakan suspek utama dalam kes berkenaan.
Ah Sau, 56, berkata, setiap kali mengenangkan kes tersebut terutama berdekatan sambutan Tahun Baru Cina, hatinya bagai disiat-siat.
"Bapa mana yang sanggup melihat anak yang dididik dengan penuh kasih sayang, mati dibunuh dan dirogol dengan kejam.
"Kalau boleh saya mahu melupakan perkara ini secepat mungkin dan berharap agar kes ini berjalan dengan lancar dan pembunuhnya mendapat hukuman setimpal dengan apa dia lakukan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Polis semalam menangkap seorang jurujual kereta berusia 31 tahun sejurus dia tiba dari Perth, Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Suspek yang merupakan anak seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' itu dikatakan melarikan diri dan gagal dijejaki pihak berkuasa sejak enam tahun lalu.
Kes pembunuhan Gaip Yap pernah mendapat perhatian meluas masyarakat sebelum ini.
Mangsa yang ketika itu berusia 25 tahun merupakan anak ketiga daripada enam beradik ditemui mati dibunuh selepas dirogol di kawasan Kelab Golf Cinta Sayang dekat Taman Ria Jaya, pada awal pagi 15 Januari 2006.
Menurut Ah Sau, kes itu berjalan selama enam tahun dan dia serta ahli keluarga tidak berputus asa untuk melihat orang yang melakukan perbuatan kejam itu dijatuhkan hukuman.
Tambahnya, sebelum ini, lebih 10 suspek ditahan polis dalam kes tersebut tetapi dilepaskan kerana kekurangan bukti.
"Saya tidak akan berhenti memperjuangkan keadilan untuk anak saya dan saya mahu kematiannya terbela.
"Sebagai bapa, saya hanya mahu keadilan bagi anak saya yang dibunuh dan dirogol dengan kejam," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota polis terutamanya Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang sentiasa memberi perhatian kepada kes tersebut.

Wanita ditemui mati di taman permainan




Mayat seorang wanita dalam keadaan berlumuran darah dibawa menaiki kenderaan polis selepas dijumpai seorang lelaki di sebuah taman permainan di Taman Desa Melati, Nilai, semalam.


SEREMBAN 18 Jan. - Mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh seorang lelaki ketika sedang bersenam di sebuah taman permainan di Taman Desa Melati, Nilai dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi, lelaki tersebut yang pada mulanya menyangka wanita berkenaan pengsan di bawah sebatang pokok di taman berkenaan, terkejut apabila menyedari wanita itu sebenarnya telah meninggal dunia.
Dia kemudian membuat laporan polis selepas mendapati terdapat kesan tikaman pada leher mangsa.
Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, siasatan polis mendapati, mangsa ialah Raftah Abdul Samad, 51, berasal dari Kampung Pasir Putih, Labu dekat sini.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang belum berkahwin mati kira-kira enam jam sebelum mayatnya ditemui lelaki berkenaan.
"Terdapat kesan tikaman pada leher mangsa di percayai ditikam senjata tajam," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai hari ini.
Mohd. Yusoff berkata, polis turut menemui kereta jenis Proton Saga milik mangsa yang diletakkan kira-kira 50 meter dari lokasi mayatnya ditemui.
"Ketika dijumpai, mangsa memakai seluar jean, baju dan bertudung. Kita juga menemui telefon bimbit dan kunci kereta di dalam poket seluarnya.
"Polis menolak kemungkinan mangsa dirompak sebelum dibunuh kerana semua dokumen termasuk beg duit juga dijumpai dalam kereta mangsa," jelasnya.
Menurut Mohd. Yusoff lagi, seorang kakak mangsa memberitahu bahawa mangsa bekerja di sebuah hotel di Port Dickson dan tidak mengetahui di mana wanita berkenaan menetap.
Kali terakhir kakak mangsa menemuinya adalah petang kelmarin di rumah kakaknya itu di Labu, katanya.
Tambah beliau, polis sedang mengenal pasti suspek yang terlibat dalam pembunuhan itu dan mengapa mangsa berada di kawasan perumahan berkenaan.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Bangunan 33 tingkat terbakar




BANGUNAN yang dalam pembinaan terbakar awal pagi semalam di Brickfield, Kuala Lumpur. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI


KUALA LUMPUR 18 Jan. – Sebuah bangunan komersial setinggi 33 tingkat yang sedang dalam pembinaan dan bakal menempatkan pejabat syarikat petroleum terkemuka di KL Sentral, Jalan Tun Sambanthan di sini, terbakar awal pagi ini.
Kebakaran berlaku pukul 3.50 pagi dipercayai bermula di tingkat 30 sebelum api yang membakar kayu yang digunakan dalam pembinaan itu marak ke tingkat 26,27,28,29 dan 31.
Kebakaran di tingkat atas bangunan tersebut itu turut dapat dilihat penduduk di sekitar Petaling Jaya dan Cheras.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut pada pukul 3.53 pagi sebelum tiba di lokasi lima minit kemudian.
Menurutnya, bomba mengambil masa lebih satu jam untuk memadam api yang marak kerana tangga sementara yang dibina ke tingkat 26 dan di atasnya telah hangus.
“Namun, kita berjaya memanjat ke setiap tingkat yang terbakar untuk memadam api tersebut, anggota juga mendapat bantuan daripada kondominium bersebelahan yang membenarkan pancutan air dibuat daripada bangunan kediaman berkenaan.
“Bomba menggunakan air kolam renang kondominium tersebut untuk memadam api kebakaran selain daripada pili bomba di bangunan itu.
“Sepatutnya operasi memadam api ini mudah jika pembinaan dilakukan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dengan menyiapkan pili bomba di tingkat 27 hingga 28 ketika pembinaan di tingkat 30 sedang dibuat, tetapi saluran air kecemasan hanya siap hingga tingkat 25 sahaja,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Tambahnya, berikutan itu usaha untuk memadam api berpanjangan sehingga pukul 9.30 pagi termasuk menggunakan bantuan kren pencakar langit yang digunakan untuk pembinaan.
Katanya, akibat kebakaran berkenaan, Jalan Tun Sambanthan ditutup sehingga pukul 12 tengah hari bagi memastikan keadaan sekeliling selamat.
Pada akhir operasi, keadaan sedikit cemas apabila kayu yang terbakar di dinding bangunan itu mula melayang jatuh di kawasan anggota bomba melakukan tugas bantuan.
Azizan memberitahu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kebakaran itu manakala kerja pembinaan diarahkan berhenti sehingga siasatan daripada semua agensi kerajaan selesai dilakukan.
Sementara itu, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), pemilik bangunan dalam satu kenyataan kesal dengan kebakaran yang turut mengganggu aliran trafik di Jalan Tun Sambanthan itu.
Bagaimanapun, menurutnya, pihak MRCB mengucapkan terima kasih kepada pasukan Bomba dan Penyelamat yang bertungkus-lumus memadam api dan semua pihak yang terlibat membantu dalam kejadian berkenaan.

Polis rampas mercun seludup




Mohd. Sabri Muhamad (kanan) bersama anggotanya melihat beberapa jenis mercun yang dirampas di sebuah kedai runcit di Rompin, Jempol, semalam.


JEMPOL 18 Jan. - Polis merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api yang disorok dalam sebuah kedai runcit di Rompin dekat sini pada 13 Januari lalu.
Hasil pemeriksaan di premis tersebut pada Jumaat lalu, polis turut menahan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an disyaki terlibat dalam penjualan barang larangan berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad, serbuan dilakukan sepasukan anggota polis pada pukul 5.15 petang hasil maklumat orang ramai.
"Setelah memeriksa kedai tersebut, polis menemui dua peket mercun jenis happy bom, dua peket mercun ketupat dan pelbagai jenis mercun lain.
"Suspek disiasat mengikut Peraturan 76 bab 200, Peraturan-Peraturan Bahan Letupan dan jika disabitkan kesalahan, mereka yang terlibat boleh didenda maksimum RM500," katanya di sini hari ini.
Dalam satu perkembangan lain, Mohd. Sabri memberitahu, pihaknya merampas 114 karton rokok pelbagai jenama pada pukul 1 pagi semalam selepas menyerbu sebuah rumah di Mahsan di sini.
Ketika diserbu, katanya, seorang lelaki berusia lewat 50-an berada dalam rumah berkenaan.
Tambahnya, hasil pemeriksaan polis di rumah itu, polis berjaya menemui pelbagai jenis rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM2,000.
Kes ini, katanya, dirujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.

7 ditahan, pelbagai jenis dadah dirampas



KUALA LUMPUR 18 Jan. - Polis menahan tujuh lelaki termasuk dua beradik dan merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM21,000 dalam beberapa serbuan yang diadakan di sekitar Sri Petaling di sini kelmarin dan semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, dalam serbuan pertama di hadapan sebuah rumah di Taman Sri Petaling pukul 2 pagi kelmarin, polis menahan dua lelaki kerana memiliki pelbagai jenis dadah bernilai RM4,490.
Tambahnya, pada hari yang sama, polis menahan tiga lelaki dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Ceti, Kilometer 8, Seri Petaling dan menemui dadah seberat 37.2 gram yang dianggarkan bernilai RM800.
"Seorang daripada mereka ditahan di luar sebuah rumah selepas didapati menyelitkan satu bungkusan surat khabar yang mengandungi enam peket plastik berisi 19 gram heroin di celah punggungnya pada pukul 11.20 pagi.
"Selepas 20 minit kemudian, dua lagi lelaki berumur 52 dan 54 tahun ditahan selepas polis menemui 18.2 gram heroin di dalam rumah tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini.
Dalam serbuan seterusnya, polis menahan seorang lelaki di sebuah lobi hotel di Sri Petaling kerana memiliki sejumlah dadah dianggarkan bernilai RM15,000.
Katanya, dalam serbuan yang dilakukan semalam pula, dua beradik ditahan kerana memiliki dadah jenis heroin seberat 182 gram.
"Polis menahan seorang lelaki berumur 32 tahun di kawasan sebuah flat pada pukul 11.30 pagi manakala adiknya pula ditahan pada pukul 3 petang di hadapan sebuah kuil di Jalan Syed Putra," katanya.
Katanya, semua kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

Jenayah di Rompin meningkat




JOHARI Jahaya (kiri) menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada seorang anggota polis pada Majlis Perhimpunan Bulanan di perkarangan IPD Rompin, baru-baru ini.


ROMPIN 18 Jan. - Indeks jenayah di daerah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 102 kes iaitu 537 kes tahun lalu, berbanding 433 kes bagi tempoh yang sama pada 2010.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Johari Jahaya berkata, kadar penyelesaian kes jenayah pula adalah 49.5 peratus pada tahun lalu iaitu kurang 7.04 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 56.6 peratus.
Menurutnya, kemerosotan itu menunjukkan kegagalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin untuk mencapai sasaran Polis Pahang yang menetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus penyelesaian kes jenayah di negeri ini.
"Justeru itu, sempena Tahun Baru semua pegawai dan anggota IPD Rompin perlu meningkatkan usaha membanteras jenayah supaya kes-kes tersebut dapat ditangani dan diselesaikan dengan berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Perkarangan IPD Rompin di sini baru-baru ini.
Johari memberitahu, sebanyak 92 kes jenayah kekerasan dilaporkan pada tahun lalu berbanding 90 kes pada tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak dua kes.
Katanya, sebanyak empat kes jenayah menunjukkan peningkatan iaitu kes mendatangkan kecederaan sebanyak sembilan, cabul kehormatan (5), ugutan jenayah (4) dan merusuh (1).
Jelasnya, satu perancangan teliti akan dilakukan bagi meningkatkan pencapaian sedia ada ke tahap lebih baik dalam memastikan IPD Rompin terus maju ke depan dalam menyelesaikan pelbagai kes jenayah.
"Antara pendekatan yang akan diambil pada tahun ini iaitu mengadakan komuniti kepolisan secara berterusan, mendampingi masyarakat dan saling berhubung untuk mewujudkan kerjasama dua hala bagi membanteras aktiviti jenayah," katanya.

Sindiket curi motosikal tumpas




HARUN Idris melihat rangka dan beberapa komponen motosikal curi yang ditemui selepas tertangkapnya ahli sindiket curi motor di IPD Ledang dekat Tangkak, Johor, kelmarin.


LEDANG 18 Jan. - Satu sindiket curi motosikal di daerah ini tumpas setelah polis menahan tujuh lelaki yang berumur antara 19 hingga 24 tahun di dua lokasi berasingan, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, seorang suspek ditangkap pukul 9 pagi di Kampung Parit Kasan, dekat Bukit Gambir dan selebihnya pukul 2.50 petang di Kampung Serom, Sungai Mati.
"Antara yang ditahan ialah pelatih Giat Mara, pekerja kedai makan dan lain-lainnya menganggur. Dipercayai mereka sudah menjalankan kegiatan mencuri motosikal sejak tahun lalu.
"Hasil siasatan kita menemui banyak komponen motosikal terutama jenis RXZ yang telah dileraikan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, Tangkak di sini semalam.
Menurutnya, kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
Sementara itu, polis turut menahan dua lelaki berumur 43 dan 48 tahun apabila menemui sepucuk pistol tiruan, sebatang kayu besbol dan besi panjang di dalam kereta yang dinaiki mereka di Dataran Ledang di sini, baru-baru ini.
Dalam kes lain, empat lelaki Cina ditahan ketika leka bermain mahjong di sebuah rumah di Kampung Teratai, Sagil, dekat sini, baru-baru ini.
"Turut dirampas wang tunai RM100, 120 biji mahjong dan dua buah dadu. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

50 PATI ditahan dalam Ops Rantau




Sebahagian daripada PATI yang ditahan dalam operasi bersepadu oleh polis dengan kerjasama Rela di Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana di Hulu Klang, Ampang semalam.


AMPANG 18 Jan. - Polis telah menahan 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar kawasan Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana di sini awal pagi ini.
Penangkapan itu dilakukan dalam operasi bersepadu berikutan tiga kejadian pecah rumah berlaku di kawasan berkenaan dalam tempoh dua minggu ini.
Operasi bermula pukul 2.30 pagi itu diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Md. Nazri Zawawi bagi mengesan penjenayah yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Menurut Md. Nazri, serbuan yang disertai 220 anggota dan pegawai termasuk 70 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) telah menyerbu dua lokasi iaitu Kampung Sungai Sering dan Taman Ukay Club.
Katanya, operasi yang dikenali sebagai 'Ops Rantau' itu bertujuan membuat pemeriksaan ke atas pendatang asing selain pencegahan berkemungkinan mereka ini terlibat dalam jenayah.
"Sebanyak 50 PATI ditahan dan mereka terdiri daripada 37 warga Indonesia, lapan Bangladesh, tiga Nepal dan dua India," katanya selepas mengetuai operasi itu.
Tambah Md. Nazri, selain itu, pihaknya turut membuat pemeriksaan di kawasan berhampiran secara berskala.

Wanita ditikam bawah pokok

NILAI: Kemusykilan seorang lelaki yang berjoging apabila melihat seorang wanita ‘tidur’ di bawah pokok membawa kepada penemuan mayat seorang wanita dibunuh kejam dengan kesan tikaman pada lehernya, semalam.
Mayat Raftah Abdul Samad, 51, ditemui terlentang dan berlumuran darah oleh seorang lelaki yang sedang berjoging di taman permainan Taman Desa Melati Fasa 1 di sini, jam 7 pagi.
Pada mulanya, lelaki itu dikatakan menyangka mangsa yang berpakaian lengkap sedang tidur, namun tidak berani menghampirinya, lantas menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, bertindak atas maklumat diterima, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati wanita masih bujang itu sudah meninggal dunia.


“Terdapat kesan tikaman pada leher mangsa dan polis tidak menolak kemungkinan mangsa mati enam jam sebelum itu akibat pendarahan teruk. Satu telefon bimbit dan kunci kereta Proton Saga mangsa turut ditemui padanya.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berada 50 meter dari mayat mangsa, polis menemui beberapa dokumen dan dompet mangsa berisi wang tunai.

“Berikutan itu, kita menolak unsur samun berikutan semua barangan berharga mangsa tidak dilarikan penjenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, di sini, semalam. 

Datuk akur 4 tuduhan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman denda RM110,000 terhadap ahli lembaga pengarah koperasi yang juga seorang Datuk atas tuduhan menjalankan koperasi tanpa lesen dan perniagaan bercirikan skim cepat kaya, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Datuk Nabil Abdul Kadir, 49, yang mengaku bersalah atas empat pertuduhan dihadapinya.

Selain Nabil, seorang lagi ahli lembaga pengarah koperasi, Saiful Bakhri Abdullah, 30, turut mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan dan dikenakan denda RM50,000.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa menerima pinjaman RM500,000 bagi tujuan pembayaran modal kerja permulaan koperasi sedangkan syarikat itu masih belum didaftarkan secara sah antara 5 April 2008 dan 4 Mei 2008.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 10A (1) Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dan boleh dihukum mengikut seksyen 10A (2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Nabil dan Saiful didakwa menjalankan kutipan pelaburan dengan menjanjikan dividen 16 peratus setahun dengan nama Units@Neocyber dan sebanyak 15 peratus dengan nama ‘Gold Members’, walaupun koperasi itu belum mempunyai aktiviti yang mampu menjana pendapatan manakala akaunnya belum diaudit dari Mac 2008 hingga Mac 2009.


Oleh itu, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 45 (1) Akta Koperasi 1993 (Akta 502) dan boleh dihukum mengikut seksyen 45 (4) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM200,000 jika sabit kesalahan.

Nabil turut didakwa bagi pertuduhan keempat atas perbuatan tidak mengisytiharkan kepentingan wujud yang bercanggah dengan kepentingan anggota koperasi dalam mesyuarat yang diadakan pada 14 Jun 2008 dengan melantik Syarikat CFIS Sdn Bhd sebagai ‘Fund Rising’ bagi pelaburan dan menerima pelaburan bayaran caj perkhidmatan berjumlah RM83,253, sedangkan dia memegang jawatan dalam syarikat itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44B(1) Akta Koperasi 1993 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 44B(2) akta sama yang boleh didenda RM500,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semua perbuatan itu dilakukan di tingkat bawah, 1 dan 2, Blok A, Setiawangsa Business Suites, Jalan Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Abdul Rahman dan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kamarulzaman Mohamad Buhari.

Selepas janda, dua pelajar pula ditahan

KOTA BHARU: Selepas dua bekas isteri, dua pelajar lelaki berusia 16 tahun pula ditahan berhubung insiden seorang ejen insurans, Wan Hussin Wan Yusof, 52, yang melecur teruk di muka dan badan akibat disimbah sejenis cecair dipercayai asid, Sabtu lalu.
Dua pelajar itu ditahan di rumah masing-masing di Kampung Kutan, Wakaf Bharu, Tumpat, antara jam 2.35 dan 2.45 pagi, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua pelajar itu dijanjikan upah oleh seorang daripada bekas isteri mangsa.

Katanya, seorang pelajar sekolah menengah agama dikatakan menyimbah asid terhadap mangsa.

“Kedua-dua pelajar terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Curi 23 tan gula majikan

SUBANG JAYA: Lima pengawal keselamatan dan seorang pemandu di sebuah kilang gula di Batu 3, Shah Alam, berpakat mencuri 23 tan bahan makanan dianggarkan bernilai kira-kira RM58,000 daripada majikan mereka untuk mendapatkan wang tambahan.
Bagaimanapun, kelicikan enam pekerja terbabit yang berpura-pura datang bekerja macam biasa seperti tiada apa yang berlaku gagal mengaburi polis apabila mengesan perbuatan mereka. Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kecurian dilaporkan pengurus sumber manusia kilang itu yang menerima panggilan daripada kakitangan jabatan logistik mengenai kehilangan gula di gudang simpanan bahan makanan jam 9.30 pagi, Ahad lalu.

“Susulan laporan itu, polis segera ke tempat kejadian dan melakukan siasatan. Hasilnya, kami mengesyaki kecurian dilakukan orang dalam berikutan tiada kesan pecah masuk di kilang berkenaan.

“Berdasarkan rekod keluar masuk pekerja yang bekerja ketika kejadian disyaki berlaku, kami menahan lima pengawal keselamatan dan seorang pemandu kira-kira jam 8 malam sehari selepas kecurian ketika mereka sedang bertugas bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, semalam.

Pegawai polis dijel sehari

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis dijatuhi hukuman penjara sehari dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan kerja pembaikan di stor bekalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Seksyen 15, di sini, tujuh tahun lalu.
Hakim Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu terhadap Asisten Superintendan Samsudin Sirat, 56, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Mengikut pertuduhan pertama, Samsudin didakwa menggunakan dokumen palsu Surat Sebutharga Deng Engineering & Trading bertarikh 7 Januari 2005.

Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Cawangan Logistik Bekalan IPK Selangor, Seksyen 15, di sini, awal Februari 2005. Tertuduh didakwa atas pertuduhan kedua menggunakan dokumen palsu Invoice Deng Engineering & Trading No: 0222 sebagai tulen di tempat sama pada 14 Mac 2005.

Bagi dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Dia turut didakwa atas pertuduhan ketiga menggunakan dokumen Pesanan Kerajaan No Z 357830 dan Invois Deng Engineering & Trading No: 0222 bertarikh 14 Mac 2005 dengan niat memperdayakan Polis Diraja Malaysia. Ia mengandungi butiran palsu bahawa Deng Engineering & Trading sudah membuat kerja pembaikan di stor bekalan IPK Selangor sedangkan ia tidak dilaksanakan syarikat itu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama.

Mat Ghani menjatuhkan penjara sehari dan denda RM15,000 bagi pertuduhan pertama. Manakala, bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mahkamah menjatuhkan hukuman bon berkelakuan baik dengan jaminan RM10,000 tanpa cagaran.

Culik, bunuh

JOHOR BAHARU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan menculik dan membunuh seorang ahli perniagaan warga Singapura di bandar raya ini, November lalu.
S Periasamy, 36, dituduh dengan niat menahan Sim Chee Yong, 56, dengan cara melarikan dan menghalang mangsa bagi mendapatkan tebusan sebanyak RM800,000 di Jalan Tun Abdul Razak, di sini, pada jam 11 malam, 26 November tahun lalu.

Dia turut dituduh dengan niat membunuh Sim di muara Sungai Kong Kong, Masai pada jam 3 pagi, 30 November sehingga 11.30 pagi, 1 Disember lalu.

Dia bersama-sama lima yang lain yang sudah dituduh di mahkamah ini pada 11 Januari lalu.

Pertuduhan pertama mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Periasamy mengangguk faham terhadap kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Isa Mohamad namun tiada pengakuan direkodkan. Mahkamah menetapkan 1 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik. - Bernama

Barang kemas ½kg dicuri

KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan berputih mata apabila rumah mewahnya di Taman Century, di sini, diceroboh penjenayah menyebabkan kerugian lebih RM300,000 termasuk pelbagai jenis barang kemas seberat lebih setengah kilogram, kelmarin.
Sebelum kejadian, mangsa yang mahu dikenali Lee, lingkungan 30-an dikatakan bersama ahli keluarga meninggalkan rumah itu kerana urusan perniagaan dan pulang jam 1.30 tengah hari.

Lee berkata, sebaik pulang ke rumah dan cuba membuka pintu, dia berasa seperti ada ‘sesuatu’ yang menghalang pintu masuk rumah itu.

Menurutnya, selepas beberapa kali ditolak, dia membuka pintu dan terkejut apabila mendapati barangan di dalam rumah berselerak.

“Saya memeriksa dalam rumah sebelum mendapati wang tunai RM50,000 dan mata wang asing bernilai RM150,000 (AS$30,000) turut hilang.

“Malah, perompak melarikan kunci kenderaan dan pelbagai jenis barang kemas seberat lebih setengah kilogram,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.


Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila perompak terbabit tidak melarikan peralatan elektronik seperti telefon bimbit, televisyen dan komputer riba.

“Saya yakin penceroboh perompak profesional kerana ‘memilih’ barang bernilai tinggi untuk dicuri dan pemeriksaan mendapati perompak mengumpil jeriji besi di tingkap belakang,” katanya.

Lee berkata, selepas melarikan barang berharga itu, penceroboh meletakkan kerusi di belakang pintu depan bertujuan menyukarkan pemilik rumah membuka pintu itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih diteruskan.

“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457, Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya.

Tiga ahli kumpulan geng samun sasar warga asing dicekup

KUALA LUMPUR: Tiga ahli kumpulan sebuah geng samun yang bergiat aktif di sekitar Taman Bukit Angkasa, di sini, dengan mensasarkan warga asing sebagai mangsa dicekup di kawasan perumahan itu, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, semua tiga lelaki terbabit yang berusia 17 hingga 23 tahun dicekup di kawasan perumahan berkenaan.

Sebelum itu, tiga lelaki terbabit bersama empat lagi rakannya yang menganggotai satu kumpulan samun bertindak membelasah dua lelaki warga Bangladesh hingga mengakibatkan seorang daripada mereka cedera parah dan koma selepas menyamun mangsa.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata mangsa yang parah kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak 14 Januari lalu dan meninggal dunia semalam.

Menurutnya, hasil maklumat rakan mangsa yang turut mengalami kecederaan, pihaknya berjaya menahan tiga suspek di kawasan perumahan itu.

“Kami juga sudah mengenal pasti identiti dua lagi suspek yang terbabit dalam kes berkenaan dan akan menahan mereka dalam masa terdekat.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” katanya pada satu sidang media, semalam.

Kereta melambung

KUALA TERENGGANU: Empat lelaki maut manakala seorang wanita terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga kereta di Jalan Sultan Mizan berhampiran Taman Semarak, di sini, kira-kira jam 6.25 petang semalam.
Mangsa terbunuh dikenali sebagai Mohd Rizal Ibrahim, 30, dari Sungai Limau, Baling, Kedah dan rakannya, Mohd Faris Mohd Shaimi, 26, kakitangan Institut Latihan Perindustrian Kuala Terengganu yang menaiki kereta jenis Honda.

Dua mangsa lagi yang maut menaiki kereta Perodua Kancil dikenali sebagai Nor Azmi Mat Jusoh, 21, dari Felda Mengkawang, Kuala Berang, Hulu Terengganu dan Mohd Zaini Abdul Razak, 43, yang berasal dari Taman Ayer Keroh Height 1, Ayer Keroh, Melaka.

Semua mangsa cedera parah di kepala dan badan. Manakala mangsa terselamat ialah Noriani Mohamad, 36, dari Kampung Mengabang Telung, di sini, yang memandu kereta Proton Persona.

Menurut saksi, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Honda dari arah Stadium Sultan Mizan, di sini, terbabas dan melambung sebelum menghempap kereta Perodua Kancil yang dalam perjalanan dari arah bertentangan.

“Kejadian itu menyebabkan pemandu Proton Persona yang berada di belakang Perodua Kancil itu terkejut sebelum membrek secara mengejut menyebabkan bahagian hadapan kereta berkenaan remuk,” katanya.


Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Abdullah Zawawi Mamat yang mengetuai operasi berkenaan berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang ramai kira-kira jam 6.30 petang.

“Kami mendapati empat daripada lima mangsa yang terbabit dalam kemalangan terbabit sudah meninggal dunia dan mengambil masa kira-kira setengah jam bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Ketua Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam/Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Che Khazahari Amat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

4 maut nahas

KUALA TERENGGANU: Empat lelaki maut manakala seorang wanita terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga kereta di Jalan Sultan Mizan berhampiran Taman Semarak, di sini, kira-kira jam 6.25 petang semalam.
Mangsa terbunuh dikenali sebagai Mohd Rizal Ibrahim, 30, dari Sungai Limau, Baling, Kedah dan rakannya, Mohd Faris Mohd Shaimi, 26, kakitangan Institut Latihan Perindustrian Kuala Terengganu yang menaiki kereta jenis Honda.

Dua mangsa lagi yang maut menaiki kereta Perodua Kancil dikenali sebagai Nor Azmi Mat Jusoh, 21, dari Felda Mengkawang, Kuala Berang, Hulu Terengganu dan Mohd Zaini Abdul Razak, 43, yang berasal dari Taman Ayer Keroh Height 1, Ayer Keroh, Melaka.

Semua mangsa cedera parah di kepala dan badan. Manakala mangsa terselamat ialah Noriani Mohamad, 36, dari Kampung Mengabang Telung, di sini, yang memandu kereta Proton Persona.

Menurut saksi, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Honda dari arah Stadium Sultan Mizan, di sini, terbabas dan melambung sebelum menghempap kereta Perodua Kancil yang dalam perjalanan dari arah bertentangan.

“Kejadian itu menyebabkan pemandu Proton Persona yang berada di belakang Perodua Kancil itu terkejut sebelum membrek secara mengejut menyebabkan bahagian hadapan kereta berkenaan remuk,” katanya.


Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Abdullah Zawawi Mamat yang mengetuai operasi berkenaan berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang ramai kira-kira jam 6.30 petang.

“Kami mendapati empat daripada lima mangsa yang terbabit dalam kemalangan terbabit sudah meninggal dunia dan mengambil masa kira-kira setengah jam bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Ketua Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam/Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Che Khazahari Amat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Rotan jika salah, bukan belasah




ZULKEFLImenunjukkan laporan akhbar Kosmo! mengenai kejadian cucunya dibelasah sambil diperhatikan oleh isterinya, Rokiah Arshad di Teluk Intan semalam.


TELUK INTAN – Datuk kepada seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib di sini kecewa apabila cucunya yang mendakwa dipukul seorang guru sekolah kelmarin telah menjadi mangsa perbuatan pihak yang sepatutnya mendidik dan bukan bertindak di luar batas undang-undang.
Zulkefli Lope, 61, berkata, tindakan keterlaluan guru terbabit menyebabkan cucunya, Muhammad Ziqril Hakin Mohd. Farol pengsan dan terpaksa dirawat di Hospital Teluk Intan di sini.
Tambah mengecewakan Zulkefli ialah dia selaku penjaga pelajar itu hanya mengetahui kejadian tersebut daripada rakan sekelas Muhammad Ziqril Hakin selepas waktu sekolah.
“Sudahlah saya tidak dimaklumkan langsung, cucu saya itu pula ditinggalkan bersendirian di perhentian bas untuk pulang ke rumah selepas mendapat rawatan di hospital.
“Saya akui dia nakal sebab berkelahi di sekolah dan saya tak kisah dia dirotan tapi janganlah dibelasah sampai begitu sekali,” kata Zulkefli ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Batu 8, Jalan Changkat Jong di sini semalam.
Dalam kejadian kelmarin, Muhammad Ziqril Hakin mendakwa dipukul tiga kali di muka dan leher oleh seorang guru sehingga pengsan.
Kejadian pukul 12.30 tengah hari itu berlaku selepas pelajar berkenaan berkelahi dengan seorang pelajar lain hingga menyebabkan guru terbabit masuk campur.
Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Mohd. Rauhi Mohd. Isa memandang serius kejadian tersebut dan telah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak membuka kertas siasatan.