Search This Blog

Wednesday, January 18, 2012

Wanita ditemui mati dibunuh di taman permainan

NILAI - Seorang wanita ditemui mati dalam keadaan terlentang dengan kesan tikaman di leher di taman permainan di kawasan perumahan Taman Desa Melati, di sini hari ini.
Mayat wanita berusia 51 tahun itu yang lengkap berpakaian dan bertudung ditemui seorang penduduk pada pukul 7 pagi tadi ketika sedang berjoging di taman tersebut.
Ketua Polis Daerah Nilai, Supt. Mohd. Yusoff Awang berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh antara pukul 2 hingga 3 pagi.
"Pada mulanya orang awam berkenaan menyangka wanita tersebut sedang tidur, namun apabila ternampak darah dia terus menghubungi polis dan apabila sampai kita mendapati wanita tersebut telah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita di sini. - BERNAMA

Wanita jumpa mayat suami ketika datang melawat

KULIM: Seorang suri rumah berusia 28 tahun menemui mayat suaminya yang telah berbau dalam sebuah bilik di sebuah rumah pangsa di Taman Jati di sini, ketika datang untuk melawat suaminya petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata wanita itu menemui mayat suaminya G. Manivannan, 38, kira-kira pukul 4.50 petang dan kemudian memaklumkan kepada jiran yang memberitahu polis.
"Menurut isterinya, mangsa mempunyai empat orang anak hasil perkongsian hidup mereka tetapi mangsa dikatakan seorang yang kuat minum arak menyebabkan mereka tinggal berasingan sejak beberapa bulan lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun kedua-dua mereka tinggal berasingan, isteri mangsa sering melawat dan membawa makanan kepada mangsa yang dikatakan seorang penganggur.


Katanya polis yang tiba di lokasi mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan terlentang dan tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah ke atas mangsa.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Dalam satu kes lain, seorang pembantu kedai makan warga Indonesia berusia 36 tahun kerugian RM8,000 termasuk wang tunai, barang kemas dan dua telefon bimbit setelah biliknya di tingkat atas restoran tempat dia bekerja dimasuki orang.

Ghuzlan berkata pembantu kedai itu menyedari akan kehilangan wang tunai dan barang kemasnya selepas mendapati katil dan tilam dalam keadaan berselerak ketika memasuki biliknya.

"Apabila diperiksa tempat dia menyimpan wang tunai dan barang-barang kemas di bilik tersebut didapati semua telah lesap," katanya. -- BERNAMA 

110,218 tak disiplin

PUTRAJAYA: Seramai 110,218 pelajar terbabit dengan salah laku disiplin sepanjang tahun lalu dengan 72,873 daripadanya pelajar sekolah menengah manakala bakinya murid sekolah rendah, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.
Namun, katanya, secara keseluruhan statistik itu menunjukkan penurunan iaitu pada kadar 2.05 peratus berbanding 2.06 peratus pada 2010, malah purata kadar salah laku disiplin murid yang direkodkan dalam tempoh lima tahun ini 2.07 peratus setahun. “Kes disiplin berkenaan termasuk kes berat seperti kelakuan berunsur kekerasan, biadab, kelucahan, ponteng sekolah serta kes disiplin ringan seperti kekemasan diri, tidak pentingkan masa dan kurang sopan.

“Hal ini menunjukkan sekitar dua hingga tiga peratus bilangan murid yang masih perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid, di sini, semalam. Mesyuarat selama tiga jam itu meneliti isu berkaitan disiplin pelajar serta membincangkan strategi dan pelaksanaan program bagi tahun ini. Dr Wee berkata, ponteng sekolah masih isu utama yang diberi perhatian kerana ia antara penyumbang terbesar salah laku disiplin di sekolah.

Bakar gereja: Dua beradik boleh buat rayuan

PUTRAJAYA - Dua beradik, yang masing-masing dihukum penjara lima tahun kerana membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, dua tahun lalu, kini boleh meneruskan rayuan terakhir mereka terhadap sabitan dan hukuman.
Ini selepas panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Sulaiman Daud membenarkan permohonan Raja Muhammad Faizal Raja Ibrahim, 25 dan Raja Muhammad Idzham, 23, untuk melanjutkan masa untuk memfailkan petisyen rayuan mereka.
Hakim Sulaiman, yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad kemudian menetapkan 13 Feb ini untuk mendengar rayuan untuk menepikan sabitan dan hukuman penjara.

Ini merupakan rayuan terakhir dua beradik itu selepas gagal dalam rayuan mereka apabila Mahkamah Tinggi pada 27 Mei tahun lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.
Mereka kemudian memohon tempoh lanjutan masa menerusi peguam baru mereka Salim Bashir apabila petisyen rayuan difailkan pada 18 Nov tahun lalu selepas tempoh untuk memfailkan permohonan itu telah tamat.
Mahkamah hari ini juga membenarkan permohonan mereka itu supaya menggunakan petisyen 18 Nov itu dalam mendengar kes rayuan pada 13 Feb ini.
Pada prosiding terakhir pada 14 Dis tahun lalu, Salim memberitahu mahkamah beliau dilantik untuk mewakili dua beradik itu pada peringkat rayuan pada 15 Nov tahun lalu.
Katanya beliau tidak mengetahui bila rekod rayuan diserahkan kepada peguam sebelum ini yang mewakili dua beradik itu di Mahkamah Tinggi.
Raja Muhammad Faizal, seorang penghantar surat dan Raja Muhammad Idzham, 23, seorang pekerja bank, masing-masing  dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Ogos 2010, kerana melakukan khianat dengan membakar gereja tersebut.
Mereka didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut di Gereja Metro Tabernacle, Jalan 4/4C, Desa Melawati, Wang Maju, Kuala Lumpur pada pukul 11.50 malam, 7 Jan, 2010.

Mereka didakwa bersama beberapa orang lain yang masih bebas.

Mahkamah Sesyen itu juga membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut sehingga selesai rayuan dan dikenakan ikat jamin RM20,000 setiap seorang.
Pada 30 Julai, 2010, seorang rakan kepada dua beradik itu, Azuwan Shah Ahmad, 24, yang didakwa bersama dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen tanpa dipanggil membela diri.

Bangunan MRCB dalam pembinaan terbakar

KUALA LUMPUR – Bangunan pejabat milik Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) di kawasan KL Sentral di sini, yang sedang dalam pembinaan, terbakar kira-kira jam 3 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 3.53 pagi, sebelum jentera pertama dari Balai Bomba Pantai tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.

Beliau berkata, sebaik pihaknya sampai di lokasi kejadian, api sedang marak di tingkat 30 dan 31 bangunan terbabit.

Menurutnya, bomba menghadapi kesukaran untuk memadamkan kebakaran kerana bangunan terbabit tidak mempunyai sistem bomba sepenuhnya.

“Spesifikasi pembinaan bangunan baru perlu ada sistem bomba di setiap selang dua tingkat daripada keseluruhan bangunan yang dibina.
 
“Dalam kes ini, sistem bomba sepatutnya ada di tingkat 28. Namun hanya sistem bomba di tingkat 25 bangunan sahaja yang berfungsi menyebabkan kita mengambil masa satu jam setengah untuk menyambung hos bagi memadamkan api,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Azizan berkata, pihaknya juga terpaksa naik ke tingkat 38 Kondominium Saujana Sentral yang terletak berhampiran bagi memudahkan proses menyiram air.

Api berjaya dipadam dan dikawal sepenuhnya pada jam 7.40 pagi.

Menurutnya, siasatan menunjukkan minyak yang digunakan untuk pembinaan bangunan dan disapu pada papan dan kayu, dipercayai antara punca menyebabkan api marak dengan cepat, sebelum membakar keseluruhan tingkat 30 dan sebahagian dari tingkat 31 bangunan itu.

Perang siber ke atas Israel


Perang siber ke atas Israel

TEL AVIV - Dua minggu selepas Israel dikejutkan dengan insiden pendedahan maklumat peribadi kad kredit 400,000 orang Yahudi, sekali lagi kumpulan penggodam berpangkalan di Arab Saudi, OxOmar melancarkan perang siber ke atas dua laman utama di negara itu.

Dua laman sesawang rasmi yang menjadi sasaran, kelmarin dan tidak dapat beroperasi selama beberapa jam adalah laman sesawang sistem penerbangan El Al dan laman Bursa Saham Tel Aviv (Tase).

Jurucakap Tase menyatakan serangan tersebut tidak menjejaskan sistem dagangan saham sebaliknya hanya melumpuhkan laman utama.

Minggu lalu, aktivis berpusat di Gaza turut melancarkan serangan siber ke atas laman sesawang timbalan menteri luar, Danny Ayalon dan laman Perkhidmatan Pemadam Kebakaran dan Penyelamat Israel sehingga menyebabkan operasi kedua-duanya tergendala.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, kerajaan memuji tindakan berani kumpulan penggodam tersebut dan menyifatkannya sebagai simbol kreativiti golongan pemuda di rantau Arab yang menyerang Israel secara senyap menggunakan kepakaran mereka.

Dalam satu mesej yang dihantar oleh OxOmar, mereka telah memberi amaran bahawa ia adalah permulaan perang siber ke atas Israel dan turut berikrar untuk membocorkan segala maklumat mengenai rejim Zionis pada masa akan datang.

Penyamun salah pilih mangsa


Penyamun salah pilih mangsa

PONTIAN - Siapa sangka pengalaman menyertai lawatan ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) beberapa tahun lalu akhirnya menjadi sangat ber­guna bagi seorang pemuda untuk menyelamatkan dirinya ketika berdepan de­ngan dua penyamun di Pekan Nenas, di sini, kira-kira jam 6.30 pagi semalam.

Yeo Boon Kang, 23, diekori dua pemuda selepas keluar dari sebuah kedai serbaneka 24 jam dalam jarak kira-kira 100 meter.

“Saya berjalan, mereka bermotosikal. Mereka kemudian berhenti dan minta saya berikan rantai emas dan beg galas saya tetapi saya enggan,” katanya.

Seorang daripada pemuda itu kemudian mengeluarkan pistol lalu mengacu tepat ke muka Boon Kang.

Ketika itulah, penyamun berkenaan tidak sedar bahawa mereka sudah tersalah pilih mangsa.

“Awal lagi saya sudah rasa pelik. Pistol itu nampak terlalu ringan ketika dikeluarkan dari beg perompak itu. Saya juga nampak dia tarik picu beberapa kali tetapi peliknya, tak berbunyi,” kata pemuda itu lagi.

Boon Kang berkata, ketika itu, dia langsung teringat pengalamannya ketika melawat Pulapol di Melaka sewaktu masih bersekolah dahulu di mana dia pernah diberi penerangan dan memegang sendiri pistol.

“Walaupun sudah lama, saya masih ingat lagi. Itu bukan pistol sebenar. Kerana itu, saya jadi berani dan sengaja mahu lengah-lengahkan mereka. Saya pura-pura susah nak tarik keluar cincin emas yang saya pakai,” katanya.

Menurut Boon Kang, dia terpaksa lengahkan perompak itu kerana tiada orang lain yang berhampiran.

“Apabila nampak ada orang datang, saya terus tepis tangan penyamun itu dan kami bergelut. Ketika itulah, ada orang datang bantu dan akhirnya seorang daripada dua perompak itu dapat ditahan,” katanya.

Boon Kang kemudian membuat laporan di Balai Polis Pekan Nenas yang hanya kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian. Polis turut mengesahkan pistol yang digunakan perompak itu adalah pistol palsu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, dua lelaki terbabit dipercayai telah menyamun dua mangsa dalam tempoh tidak sampai dua jam, dipercayai menggunakan pistol yang sama.

Kira-kira jam lima pagi semalam, mereka menyamun seorang lelaki berusia 63 tahun yang dalam perjalanan ke kedainya di Taman Emas, di sini.

“Mereka berjaya merampas wang tunai RM200 dan sebuah telefon bimbit. Namun dalam cubaan kedua untuk merompak pemuda berhampiran kedai 24 jam itu, mereka gagal sebaliknya seorang daripada mereka berjaya ditahan,” katanya.

Mengenai rakan suspek yang berjaya melarikan diri, Zahaliman berkata, polis berjaya mengenal pasti lelaki itu dan sedang memburunya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun menggunakan senjata api dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana menyamun secara berkawan.

Selain itu, katanya kedua-dua suspek dipercayai terlibat dengan beberapa kes pecah rumah, ragut, samun, dan curi motosikal di daerah ini sejak beberapa bulan lalu.

Dalam pada itu, Zahaliman turut menyatakan bahawa enam suspek yang terlibat dengan pergaduhan melibatkan dua kumpulan lelaki di Taman Utama, Pekan Nenas, pada 9 September lalu, sehingga mengakibatkan kematian seorang bapa berusia 38 tahun, telah menyerah diri kelmarin.

“Kesemua suspek berumur lingkungan awal 20-an kini ditahan reman sehingga 19 Januari (esok) dan kes disiasat di bawah Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat,” katanya.

Sanggup curi kerana tiada tv di rumah

AYER KEROH - Hanya kerana di rumahnya tiada televisyen, seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sanggup mencuri sebuah televisyen LCD 32 inci di sebuah pasar raya, minggu lalu.

Akibatnya, Mohd Hasrullah Zulkifli, 23, dari Desa Taming Sari, Sungai Udang dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Hasrullah didapati mencuri sebuah televisyen LCD jenama Panasonic bernilai RM899 di Pasar Raya Jusco Aeon Bandaraya, Jalan Panglima Awang, kira-kira jam 8 malam pada 12 Januari 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mohd Hasrullah mengaku bersalah terhadap pertuduhan kes yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Muhather Mohd Kudus di hadapan Majistret MuhammadHazri Hanafi.

Dalam rayuannya untuk mengurangkan hukuman, Mohd Hasrullah memberi alasan dia tidak mempunyai televisyen di rumahnya.
-sh

Nelayan diberkas edar heroin

KUANTAN: Seorang nelayan yang dipercayai pengedar dadah kecil-kecilan ditahan di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kemunting di sini petang semalam.
Polis menemui satu paket yang dipercayai mengandungi serbuk heroin seberat 57 gram bernilai RM4,600 daripadanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supt Yap Thoon Kuan berkata suspek pernah ditahan dan dijatuhi hukuman penjara kerana memiliki dadah sebelum ini.

Suspek turut didapati positif morfin, katanya kepada pemberita.


Suspek kini ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -- BERNAMA

110,218 tak disiplin

PUTRAJAYA: Seramai 110,218 pelajar terbabit dengan salah laku disiplin sepanjang tahun lalu dengan 72,873 daripadanya pelajar sekolah menengah manakala bakinya murid sekolah rendah, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.
Namun, katanya, secara keseluruhan statistik itu menunjukkan penurunan iaitu pada kadar 2.05 peratus berbanding 2.06 peratus pada 2010, malah purata kadar salah laku disiplin murid yang direkodkan dalam tempoh lima tahun ini 2.07 peratus setahun. “Kes disiplin berkenaan termasuk kes berat seperti kelakuan berunsur kekerasan, biadab, kelucahan, ponteng sekolah serta kes disiplin ringan seperti kekemasan diri, tidak pentingkan masa dan kurang sopan.

“Hal ini menunjukkan sekitar dua hingga tiga peratus bilangan murid yang masih perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid, di sini, semalam. Mesyuarat selama tiga jam itu meneliti isu berkaitan disiplin pelajar serta membincangkan strategi dan pelaksanaan program bagi tahun ini. Dr Wee berkata, ponteng sekolah masih isu utama yang diberi perhatian kerana ia antara penyumbang terbesar salah laku disiplin di sekolah.

Jutawan gundah diburu along


BUNTU...Izham tertekan berikutan kesempitan kewangan dihadapi.
BUNTU...Izham tertekan berikutan kesempitan kewangan dihadapi.


KUALA LUMPUR: Seutas jam tangan bernilai RM200,000 dan ruang pejabat yang digunakan sejak enam tahun lalu. Itu harga perlu dibayar seorang ahli perniagaan berstatus jutawan yang kini hidup kebimbangan apabila gagal melunaskan bayaran kepada ceti haram selepas mengalami masalah kewangan sejak empat bulan lalu.
Jumlah keseluruhan pinjaman mencecah setengah juta ringgit, dia kini berdepan kemungkinan sebuah lagi ruang pejabat miliknya akan terlepas ke tangan along menjelang perayaan Tahun Baru Cina minggu depan jika gagal menjelaskan hutang terbabit.
Menurutnya, yang hanya mahu dikenali sebagai Izham, 36, kekalutan hidupnya bermula selepas dia mula meminjam daripada along awal tahun lalu ketika mahu membayar gaji pekerja syarikatnya pada Aidilfitri lalu, namun pinjaman itu dapat dijelaskan sepenuhnya tidak lama selepas itu.

Katanya, along yang juga kenalan baiknya sejak beberapa tahun lalu juga menawarkan pinjaman lain selepas mendapati dia membayar mengikut masa dijanjikan dan selepas itu, perniagaannya mengalami masalah dan jadual pembayarannya kepada ceti haram juga terganggu.


“Saya membuat perjanjian untuk menjelaskan tunggakan bayaran sebelum Tahun Baru Cina kerana sepatutnya menerima wang hasil perniagaan syarikat. Malangnya, saya juga ditipu menyebabkan pejabat saya kini jadi taruhan,” katanya ketika membuat aduan di Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, semalam.

Penempatan Yahudi halang penubuhan negara Palestin

LONDON: Britain semalam mengecam penempatan Yahudi di wilayah Palestin yang dikuasai Israel dengan menyifatkannya sebagai ‘vandalisme yang disengajakan’ untuk menghalang penubuhan sebuah negara Palestin.
Ia juga memberi amaran, masa sudah semakin suntuk bagi proses damai Asia Barat.

Kenyataan mengenai penempatan Yahudi oleh Timbalan Perdana Menteri, Nick Clegg dan proses damai oleh Perdana Menteri, David Cameron mengukuhkan kedudukan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas ketika perunding berusaha menyambung semula rundingan damai.

Isu penempatan Yahudi menjadi penghalang utama dalam usaha meneruskan rundingan berkenaan. - Reuters

Duit susu beli dadah

SENGSARA...Ina bersama anaknya yang kini hidup tertekan.
SENGSARA...Ina bersama anaknya yang kini hidup tertekan.

JOHOR BAHRU: “Wang RM200 sumbangan Baitulmal membeli susu Syafiqah yang juga orang kelainan upaya (OKU) diguna suami bagi membeli dadah.
“Keadaan menjadi lebih teruk apabila suami ketagihan keluar rumah dengan alasan mahu membawa Syafiqah bersiar sebelum melencong ke tempat penagih,” kata suri rumah, Norazlina Samad atau Ina, 30, semalam.
Menurut Ina, sudah hampir setahun dia terpaksa memberi susu manis kepada anak perempuan bongsunya yang berumur empat tahun itu yang tidak sesuai bagi kanak-kanak seusianya.

Ina yang berkahwin suami hanya dikenali sebagai Amran, 35, sejak lapan tahun lalu, mempunyai dua anak iaitu Syafinah, 6, dan Syafiqah.


Menurut Ina, Syafiqah pernah menjalani pembedahan usus, jantung serta hati sejak dua tahun lalu dan pemberian susu manis kepada anaknya itu mungkin menyebabkannya mengalami masalah tumbesaran selain lemah pertuturan.

‘Saya tak buat’

SEREMBAN: “Saya tak buat”. Demikian kata bekas Pengarah Veterinar Negeri Sembilan yang mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas empat tuduhan berkaitan pemalsuan dokumen kenaikan gred jawatannya, sejak tiga tahun lalu.
Datuk Dr Noor Soeraya Norsham, 38, kelihatan tenang ketika tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.

Tertuduh yang berpakaian gelap kemudian menggelengkan kepala dan membuat pengakuan tidak bersalah.

Mengikut tuduhan pertama, Noor Soeraya didakwa memberikan kepada seorang ejen iaitu Pembantu Tadbir Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Siti Norhayati Md Yusof, satu dokumen bertarikh 27 Februari 2009 berhubung Arahan Kenaikan Pangkat dan Pengesahan Jawatan Pegawai Veterinar Gred G48 sedangkan dia masih memangku Gred G44 sekali gus memperoleh RM39,536.90 secara salah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Jalan Pantai di sini, pada 16 Mac 2009.

Seterusnya, pada 5 Januari 2010 di lokasi sama, dia didakwa memberi dokumen bertarikh 28 Disember 2009 kepada Siti Norhayati berhubung Arahan Memangku Jawatan Pegawai Veterinar Gred G52- Khas Untuk Penyandang (KUP) di Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.


Tindakan itu bagi menyelaraskan gaji dan elaun yang mana tertuduh mempunyai kepentingan serta mengandungi butiran palsu sedangkan dia tidak dinaikkan pangkat sekali gus memperoleh RM5,013.82 secara salah. Bagi tuduhan ketiga, dia didakwa melakukan perbuatan sama menggunakan dokumen bertarikh 1 Julai 2010 berhubung Keputusan Urusan Kenaikan Pangkat Pegawai Veterinar Gred G48 ke G52 sekali gus memperoleh RM5,764.86 secara salah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 2 Julai 2010.

Bagi tiga tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan keempat, tertuduh didakwa secara curang menggunakan dokumen bertarikh 31 Mac 2011 berhubung Keputusan Pemangkuan Pegawai Veterinar Gred G52 ke G54 yang dikatakan tulen bagi memperdaya Siti Norhayati di Bahagian Pentadbiran Jabatan Veterinar negeri pada 12 April tahun lalu.

Berikutan itu, Noor Soeraya didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan turut menawarkan tiga tuduhan pilihan terhadap tertuduh.

Nursinah kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 22 Februari depan.

Mahkamah membenarkannya diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

ditawarkan pendakwaan bagi semua pertuduhan dikurangkan kepada RM10,000 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Fairuz Johari manakala tertuduh diwakili Muhamad Faiz Fadzil.

Mangsa siram asid syukur tak buta

KOTA BHARU: “Saya bersyukur kerana masih dapat melihat,” kata ejen insurans, Wan Hussin Wan Yusof, 52, yang melecur teruk di muka dan badan akibat disiram sejenis cecair dipercayai asid, Sabtu lalu.
Menurutnya, dia enggan mengulas lanjut kejadian itu dan menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan.

“Saya menyerahkan kes ini kepada polis untuk tindakan lanjut. Tak perlulah memanjangkan berita ini (kejadian disiram asid),” katanya ketika ditemui di Wad Teratai Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, semalam.

Sementara itu, anak lelaki Wan Hussin yang enggan dikenali berusia lingkungan 20-an berkata, keadaan ayahnya semakin baik, tetapi perlu mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, ketika ini ayahnya hanya boleh makan makanan lembut dan perlu dijaga.

“Alhamdulillah, ayah semakin pulih, walaupun mengalami kecederaan di muka dan sedikit bahagian badan.


“Ayah juga dapat melihat dan tidak mengalami masalah teruk pada matanya,” katanya yang tidak membenarkan wajah ayahnya dirakam.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan, Wan Hussin baru keluar dari kereta untuk membeli rokok disiram sejenis cecair dipercayai asid sehingga melecur teruk pada bahagian muka dan badan.

Dalam kejadian jam 11.30 malam di Kampung Tendong, Pasir Mas, mangsa sempat menghubungi adiknya, Wan Sulaiman, 48, memaklumkan kejadian menimpanya sebelum dibawa ke HRPZ II oleh orang ramai.

Semalam, dua bekas isteri mangsa yang berusia 31 dan 42 tahun dilaporkan ditahan di rumah masing-masing di Kota Bharu dan Tumpat untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, dua lagi lelaki dipercayai terbabit dalam serangan itu masih diburu, namun setakat ini motif serangan masih dalam siasatan.

Dituduh cuba bunuh kekasih

AMPANG: Seorang penuntut kolej swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan cuba membunuh teman wanitanya dengan menikam perut mangsa, minggu lalu.
Osleh Osman, 20, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Dia didakwa dengan niat menikam Nor Azlin Yusuf, 20, menggunakan pisau di perut sebelah kiri mangsa.

dengan mengetahui perbuatan itu boleh menyebabkan kematian.

Osleh dituduh melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat, Kolej Ican di Menara Maxis Segar, di sini, pada jam 10.30 pagi, 11 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.


Manira menetapkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis setiap awal bulan.

sehingga perbicaraan selesai.

Mahkamah menetapkan 21 Februari depan bagi sebutan semula kes.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafizah Rajuni tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh dianggap serius dan ganas selain membabitkan senjata berbahaya.

Menurutnya, usus kecil dan besar mangsa cedera teruk dan masih di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang, di sini

Lepas gian dalam surau

KOTA BHARU: Tiga lelaki yang ditahan akibat menagih pil kuda bersikap keji apabila sanggup menggunakan sebuah surau di pusat snuker haram dekat Pasir Tumboh, di sini, sebagai tempat melepaskan gian.
Dalam operasi bersepadu Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada jam 1 pagi, kelmarin, tiga lelaki berusia 20, 26 dan 28 tahun itu ditahan dalam keadaan khayal di surau berkenaan, malah beberapa biji pil kuda ditemui di lantai surau.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Mohd Anis Hussin berkata, serbuan ke pusat snuker haram itu dibuat selepas menerima aduan daripada orang ramai.

“Ketika serbuan dilakukan, tiga lelaki itu ditemui dalam keadaan khayal di dalam surau. Ia sesuatu yang mengejutkan kerana mereka sanggup menggunakan surau sebagai tempat melepaskan gian.

“Perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan perlu dibanteras habis-habisan sebelum menjadi semakin parah,” katanya.

Menurutnya, seramai 10 pengunjung dan pekerja pusat snuker itu ditahan untuk menjalani ujian air kencing yang dilakukan pegawai AADK.


“Tiga daripada 10 pengunjung itu, iaitu lelaki yang khayal di dalam surau didapati positif dadah jenis methamphetamine. “Mereka yang positif dadah ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Kawalan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Stor ganja RM1.7 juta

SHAH ALAM: Polis Selangor menumpaskan satu sindiket pengedaran ganja yang aktif di Lembah Klang selepas merampas 79 ketulan daun kering mampat disyaki ganja seberat 153.9 kilogram (kg) bernilai RM1.7 juta yang disorok dalam stor sekolah memandu berhampiran Lebuhraya Karak, di ibu negara Ahad lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, stor berkenaan diserbu selepas polis menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di Lebuhraya Duta-Hulu Klang (Duke), Gombak, jam 2 pagi hari sama.

Tun Hisan berkata, lelaki berusia 30 tahun yang juga tenaga pengajar sebuah sekolah memandu sedang berjalan di tepi lebuh raya sebelum dihampiri sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Katanya, sebaik ditahan, polis menemui satu ketulan daun kering mampat ganja seberat 1.9kg bersama suspek.

“Penahanan suspek membawa polis ke sebuah stor sekolah memandu di tepi Lebuhraya Karak dan hasil pemeriksaan di premis berkenaan, polis menemui 153.9kg daun kering mampat ganja disorok dalam stor berkenaan jam 4 pagi hari sama.

“Polis turut menahan dua lelaki berusia 33 tahun dan 38 tahun di sekitar premis berkenaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.


Beliau berkata, seorang daripada suspek warga Indonesia bekerja sebagai pengawal keselamatan dan seorang lelaki warga tempatan tidak bekerja serta mempunyai rekod penyalahgunaan dadah.

Kaki berlipat hingga muka

GEORGETOWN: Mayat seorang pekerja kontrak ditemui dalam keadaan kakinya berlipat hingga ke muka selepas dihempap dinding konkrit pondok pengawal yang masih dalam pembinaan di kawasan perumahan di Sungai Ara, Bayan Lepas, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang dikenali sebagai Maksum, 37, berasal dari Jawa, Indonesia, meninggal dunia di tempat kejadian.

Rakan sekerjanya yang dikenali sebagai Dany, 24, pula parah apabila cedera di kaki, tangan dan kepala.

Mangsa terperangkap selepas tersepit di bawah dinding konkrit yang dibina untuk bumbung pondok pengawal keselamatan di kawasan pembinaan perumahan berkenaan.

Difahamkan, mangsa dan rakannya itu menampal simen sebelum dinding konkrit berkenaan runtuh lalu menghempap mereka.

Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Bayan Baru dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tertindih.


Ketika tinjauan di tempat kejadian, seorang rakan mangsa yang dipercayai tinggal sekampung dengannya di Indonesia bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat panggilan daripada rakan sekerja mangsa. Dia yang bekerja di Bayan Baru itu sedih dengan kejadian terbabit dan enggan ditemu bual.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

“Mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat, manakala rakannya dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Ketika ini kejadian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal didapati mangsa yang sudah berkahwin dipercayai baru seminggu ke sini untuk bekerja.

Saudara zalim

KUALA LUMPUR: Hasrat murni seorang adik mahu membetulkan kesalahan abang kandungnya mengundang padah apabila dia bukan saja dipukul malah kaki kirinya turut ditetak dengan parang dalam kejadian di kawasan flat di Jalan Kenanga, di sini, Sabtu lalu.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang berusia 26 tahun menasihatkan abangnya berusia 30-an supaya berhenti memburukkan nama adik perempuan mereka dengan menuduhnya sebagai pelacur hingga menimbulkan kemarahan lelaki terbabit.
Akibat perbuatan kejam itu, mangsa menerima 10 jahitan di kaki kirinya dan mengalami kecederaan di seluruh tubuh serta masih ditahan di wad hospital untuk rawatan lanjut.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa bersendirian ke rumah abangnya untuk berbincang mengenai masalah berkenaan.


Menurut sumber, sebaik tiba di rumah itu, mangsa memanggil abangnya keluar dan berbincang mengenai keceluparan abangnya itu yang sengaja menuduh adik perempuan mereka sebagai pelacur.

Tumpang tidur rumah kekasih

SEREMBAN: Dua lelaki memberi alasan menumpang tidur ketika ditahan ahli jawatankuasa surau Apartmen Seroja, Taman Tasik Jaya Senawang, dekat sini terhadap dakwaan berkurung bersama teman wanita masing-masing, semalam.
Kedua-dua lelaki berusia 24 dan 27 tahun dari Sikamat itu dikatakan memasuki rumah sewa teman wanita mereka berusia 20-an kira-kira jam 8 pagi, namun perbuatan itu dikesan penduduk berhampiran sebelum memaklumkan kepada ahli jawatankuasa surau.

Berikutan itu, empat ahli jawatankuasa menyerbu rumah berkenaan di Blok 1, kira-kira jam 8.30 pagi dan menahan kedua-dua pasangan itu.

Pengerusi jawatankuasa surau yang mengetuai operasi itu, Mohd Nor Jamaluddin, 41, berkata, selepas mendapat maklumat penduduk, beliau bersama tiga ahli jawatankuasa menyerbu rumah itu dan mengambil masa kira-kira lima minit sebelum berjaya masuk.

“Kami dapati dua lelaki dan dua wanita berada dalam rumah tetapi semua mereka berpakaian.

“Ketika disoal siasat, kedua-dua lelaki itu memberi alasan menumpang tidur dan mengaku wanita yang kedua-duanya berasal dari Port Dickson kekasih mereka,” katanya.

Pelajar mati lemas di Medan

IPOH: “Dia (mendiang) sepatutnya pulang bercuti pada 28 Januari depan, tetapi kami tidak menyangka sebaliknya akan menyambut mayatnya hari ini (semalam),” kata N Ramakrishnan, 21, abang kepada N Sethubathi, 20, pelajar Universiti Sumatera Utara (USU) yang lemas ketika mandi-manda di Air Terjun Dua Warna Sibolangit, Brastagi, Medan, Indonesia pada petang Ahad lalu.
Dalam kejadian 2 petang, Sethubathi yang juga pelajar tahun pertama jurusan pergigian USU lemas apabila ditarik pusaran arus air ketika mandi-manda bersama rakan sekampusnya di kawasan air terjun berkenaan.

Difahamkan, mendiang dikatakan mandi di satu bahagian paling dalam di kawasan air terjun berkenaan sebelum lemas dan ditarik ke dasar air terjun.

Ramakrishnan berkata, kali terakhir dia berhubung dengan adiknya adalah pada malam Sabtu lalu iaitu sehari sebelum perayaan Hari Ponggal.

“Pada malam itu, saya dan dia berbual dengan agak lama iaitu lebih setengah jam. Saya juga terkejut kerana sebelum ini, kami tidak pernah berbual lama seperti itu kerana kebiasaannya hanya berbual sekitar 5 hingga 10 minit saja,” katanya.

Hilang sabar kerenah Azwan

KUALA LUMPUR: Personaliti hiburan tanah air, Azwan Ali, 46, yang sering mencetuskan pelbagai kontroversi kini disiasat polis atas dakwaan mengugut mahu membunuh dan membakar adiknya, Ummi Hafilda Ali melalui laman twitternya.
Mendedahkan perkara berkenaan, Ummi berkata, dia menyedari ugutan dibuat abangnya itu pada minggu lalu apabila dimaklumkan anak saudaranya dan selepas mendapati ia benar sejurus membacanya sendiri, dia membuat laporan polis pada jam 6 petang Jumaat lalu.
Menurutnya, selama ini dia bersabar dengan cacian serta pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, namun ugutan itu sudah keterlaluan dan menggugat keselamatan diri, apatah lagi ia dilakukan abangnya.

“Siapa tidak sedih bila darah daging sendiri memburukkan dan mencaci kita hanya kerana perbezaan pendapat serta pendirian politik. Sebelum ini, saya masih mampu bersabar dan berdiam namun kini ia sudah melampau.


“Azwan mengajak pengikut twitternya membunuh saya dengan menulis ‘Jom ramai-ramai kita tangkap perempuan neraka ini...kita kerat-kerat dan kemudian kita bakar’.

“Begitulah lebih kurang ugutan Azwan terhadap saya. Ia sudah keterlaluan dan saya perlu diambil tindakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tauke butik nyaris ditetak perompak

KOTA KINABALU: Seorang peniaga butik pakaian menempuh detik cemas apabila ditetak dua lelaki berparang yang menerjah masuk ke dalam premisnya sebelum melarikan beg mengandungi wang RM2,000 dan telefon bimbit dalam kejadian di Jalan Kingfisher, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, Norezai Awang Sham, 36, nyaris putus jari kanan ketika cuba menyelamatkan beg tangannya, manakala pembantunya berusia 16 tahun yang turut berada dalam premis itu tidak cedera.

Difahamkan, sebaik berjaya menyamun, kedua-dua lelaki terbabit mengunci mangsa yang mengerang kesakitan bagi melengahkan usaha mendapatkan bantuan.
Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang pekerjanya sedang mengemas butik sebelum didatangi dua lelaki bersenjatakan parang.

Menurutnya, mangsa yang terkejut cuba berlari meminta bantuan, tetapi dihalang lelaki terbabit yang terus mengacu parang ke arah mangsa.

“Seorang daripada suspek yang melihat beg mangsa cuba merampasnya namun mangsa menghalang menyebabkan berlaku pergelutan sebelum suspek menetak jari hantu mangsa dan melarikan diri.
“Mangsa berjaya memecahkan pintu menggunakan batang besi bagi meminta bantuan sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Datin Zainab Yunus ketika ditemui berkata, beliau hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan anaknya yang menghubunginya mendakwa dirompak dua lelaki berparang.
“Saya bergegas ke butiknya dan mendapati anak saya cedera di jari lalu menghantarnya ke Hospital Likas.

Harian Metro difahamkan, mangsa anak kepada Timbalan Ketua Umno Bahagian Sandakan, Datuk Awang Sham Amit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan masih menjalankan siasatan.

Naib Presiden Peru letak jawatan ketika berdepan siasatan rasuah





2012/01/18

LIMA: Naib Presiden Peru, Omar Chehade yang dilihat sebagai penyokong terkuat Presiden Ollanta Humala, meletak jawatan pada ketika siasatan terhadap skim pinjaman penjaja dijalankan. 

Chehade, seorang daripada dua Naib Presiden negara itu, membuat keputusan berkenaan "bertujuan untuk tidak mencetuskan prejudis terhadap imej baik kerajaan", menerusi suratnya yang diumumkan oleh Kongres.
Chehade, 41, disiasat kerana didakwa menggunakan pengaruhnya bagi membantu konglomerat perniagaan pertanian berpengaruh Wong. - AFP

Kapten kapal persiaran diletak dalam tahanan rumah





2012/01/18

ROME: Kapal persiaran mewah yang terkandas berdekatan pantai Itali akan dibebaskan dari penjara tetapi diletakkan dalam tahanan rumah, kata peguambela tertuduh. 

Hakim Valeria Montesarchio memerintahkan Kapten kapal Costa Concordia, Francesco Schettino patut diletakkan dalam tahanan rumah, kata peguam, Bruno Leporatti.
Schettino kini menunggu perbicaraan atas dakwaan meny

Penyerang bunuh lima pelancong asing di Habsyah





2012/01/18

ADDIS ABABA: Penyerang yang tidak dikenali membunuh lima pelancong asing di timur laut wilayah Afar, Habsyah, lapor televisyen negeri. 

Identiti mangsa yang belum dikenali, dibunuh semalam di wilayah berdekatan sempadan, Eritrea, lapor televisyen Habsyah.
Laporan itu menyebut sebahagian pelancong mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital oleh tentera di wilayah itu tetapi tidak menyatakan jumlah sebenar. - AFP

Bekas pengarah veterinar dituduh menipu naik pangkat





2012/01/18

Datuk Dr Soeraya Norsham
Datuk Dr Soeraya Norsham
SEREMBAN: Bekas Pengarah Veterinar Negeri Sembilan, Datuk Dr Soeraya Norsham, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas empat pertuduhan memalsukan dokumen kenaikan pangkat dan gred sejak 2009.

Tertuduh, 38, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa mahkamah membacakan empat pertuduhan bersama tiga pertuduhan pilihan di depan Hakim Nursinah Adzmi.
Tiga tuduhan berkenaan adalah menyerahkan dokumen palsu Surat Arahan Kenaikan Pangkat dan Pengesahan Jawatan Pegawai Veterinar Gred G48, Arahan Memangku Jawatan Pegawai Veterinar Gred G52 Khas Untuk Penyandang (KUP) dan Keputusan Urusan Kenaikan Pangkat Pegawai Veterinar Gred G48 ke Gred G52 kepada seorang Pembantu Tadbir jabatan yang diketuainya.
Perbuatan itu masingmasing didakwa dilakukan pada 16 Mac 2009, 5 Januari 2010 dan 2 Julai 2010 di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Jalan Pantai di sini, bagi tujuan pelarasan gaji dan elaunnya.

Melalui tiga perbuatan itu, tertuduh yang kini bertugas di Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Putrajaya, didakwa memperoleh pendapatan keseluruhan berjumlah RM50,315.58 secara salah.

Bagi tiga pertuduhan berkenaan, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda RM10,000 atau tidak kurang lima kali ganda nilai kesalahan mengikut yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan bagi tiga pertuduhan berkenaan, iaitu didakwa mengikut Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 
Bagi pertuduhan keempat, Dr Soeraya didakwa menggunakan dokumen palsu Surat Keputusan Pemangkuan Pegawai Veterinar Gred G52 ke Gred G54 yang didakwa tulen bagi menipu Pembantu Tadbir sama di Bahagian Pentadbiran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, pada 12 April 2011.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Fairuz Johari, memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, tetapi peguam Muhammad Faiz Fadzil memohon dikurangkan kepada RM3,000.

Nursinah berpendapat jumlah pengurangan itu tidak munasabah, menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala sebutan semula kes pada 22 Februari depan.

Jumlah kematian nahas trak di Haiti kini 29 orang





2012/01/18

PORT-AU-PRINCE: Jumlah kematian dalam nahas trak yang mengalami kerosakan brek dan merempuh sebuah bas, kemudiannya terbabas di tepi jalan paling sibuk di sini kini meningkat kepada 29 orang dan 67 lagi mengalami kecederaan. 

Jurucakap Pejabat Pendakwaan Awam Haiti, Nadia Lochard berkata, nahas berlaku di Route Delmas apabila pemandu hilang kawalan trak berkenaan.
Pejabat media Presiden, President Michel Martelly mengeluarkan kenyataan berkata, pemimpin berkenaan meninjau ke tempat nahas yang berada di depan ibu pejabat televisyen kebangsaan. - AP

Anggota PGA antara dua maut dalam nahas dekat Slim River





2012/01/18

IPOH: Seorang anggota Pasukan Gerak Am di Ulu Kinta adalah antara dua mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 384, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Slim River awal pagi tadi. 

Anggota terbabit dikenali sebagai Azrul Hafizi Razak, 30, sementara mangsa seorang lagi ialah Faizal Nadli Mohamad, 30, dari Padang Besar, Perlis.
Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Osman Nayan berkata, kedua-dua mangsa meninggal di tempat kemalangan dalam kejadian pada kira-kira jam 4.45 pagi.
Beliau berkata, kemalangan berlaku ketika kereta yang dipandu Azrul Hafizi dalam perjalanan dari Kuala Lumpur dipercayai menuju ke Ulu Kinta, apabila kereta berkenaan gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh penghadang jalan. 

Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Slim River. - BERNAMA 

17 maut hari pertama Ops Sikap 25





2012/01/18

KUALA LUMPUR: Tidak sampai 24 jam Ops Sikap 25 dilancarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, kelmarin, 17 kematian dicatatkan pada hari pertama operasi itu di seluruh negara dengan 10 daripadanya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal. 

Jumlah kematian itu adalah peningkatan sekali ganda berbanding hanya lapan kematian pada hari pertama Ops Sikap 23 sempena Tahun Baru Cina 2011 dan penambahan tiga kematian berbanding 14 yang direkodkan dalam Ops Sikap 24, musim Aidilfitri tahun lalu.
Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu juga menunjukkan, selain penunggang dan pembonceng motosikal, tujuh kematian lain membabitkan lima pemandu dan penumpang kereta serta masing-masing seorang pemandu lori dan pejalan kaki.
Dalam tempoh itu, 1,303 kemalangan dicatatkan di seluruh negara dengan 647 berlaku di jalan bandaran, 265 di jalan persekutuan, jalan negeri (225), lebuh raya (109) dan 57 lagi di lain-lain jalan. 

Keseluruhannya, 13,813 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, kebanyakannya memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat dan memandu di laluan kecemasan. 

Kelmarin, Ismail berkata, pesalah trafik Ops Sikap hingga 30 Januari ini akan dikenakan saman serta-merta bagi mengurangkan kemalangan terutama membabitkan kematian. 

Beliau berkata, fokus kali ini adalah enam jenis kesalahan iaitu pematuhan had laju, operasi terhadap penunggang motosikal, pemandu mabuk, penggunaan lorong kecemasan, memotong barisan dan melanggar lampu isyarat. 

Ketua Geng 08 mati ditembak



Oleh Norhayati Umor

2012/01/18

GEORGETOWN: Ketua kumpulan kongsi gelap dikenali Geng 08 yang sangat dikehendaki kerana terbabit dalam kegiatan pemerasan, mati dalam kejadian berbalas tembak dengan polis dalam kebun durian di Paya Terubong, di sini, pagi semalam. 

Dalam kejadian jam 2.40 pagi, suspek dikenali sebagai Ah Jin, 52, mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
Ketua Siasatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah, berkata sebelum itu anggota polis mengesan suspek memandu kereta di Jalan Kampung Melayu selepas menerima maklumat awam.
Berikutan itu, polis mengekori kereta suspek sehingga lampu isyarat Flet Green Garden. Bagaimanapun, suspek bertindak memecut keretanya menuju Paya Terubong apabila menyedari dia diekori. 

Apabila tiba di sebuah pondok menjual durian, suspek melanggar kenderaan polis dan cuba melarikan diri ke dalam kebun durian selepas memberhentikan keretanya. 

“Ketika lari dia melepaskan tembakan ke arah polis. Anggota polis membalas tembakan bagi mempertahankan diri dan mengenai suspek. Dia mati di tempat kejadian,” katanya. 

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan aktif melakukan pemerasan di sekitar kawasan Air Itam, di sini. Polis turut menemui sepucuk pistol .38 bersama suspek. 

Pemain bola Perlis ditahan ‘caci’ polis





2012/01/18

JITRA: Seorang pemain bola sepak Liga Perdana Perlis, ditahan di sini, semalam, selepas memaki-hamun anggota polis dengan mengeluarkan kata-kata kesat selepas dia disaman kerana tidak memiliki lesen memandu. 

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff, berkata pemain berusia 26 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan di Jalan Jenan-Kepala Batas dekat sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, ketika menunggang motosikal Honda EX-5 hitam.
Apabila pemeriksaan dibuat, dia didapati tidak memiliki lesen memandu dan polis mengeluarkan saman POL 257.
Bagaimanapun, pemain yang berasal dari Bandar Darulaman dekat sini, dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan polis yang mengeluarkan saman ke atasnya dan menjerit dengan mengeluarkan kata-kata kesat serta memaki-hamun anggota terbabit. 

Anggota terbabit kemudian mengejar pemain itu kira-kira 200 meter dan menahannya di depan sebuah pasar raya di Bandar Darulaman. 

Difahamkan, pemain terbabit adalah bekas pemain bola sepak bagi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan kini beraksi dalam kesebelasan utama Liga Perdana untuk dua musim berturut-turut. 

Ibrahim berkata, pemain itu dibawa ke cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk dibuat laporan tangkapan dan ujian saringan air kencing mendapati dia bebas daripada dadah. 
Kesnya disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan pemain bola sepak itu dibebaskan dengan jaminan polis.