Search This Blog

Friday, January 13, 2012

Anggota Geng Bintik diberkas


13/01/2012 6:25pm

KUALA LUMPUR — Polis menyelesaikan 20 kes pecah kereta melibatkan kerugian RM30,000 berikutan penahanan dua anggota ”Geng Bintik”, yang dipercayai menjalankan kegiatan jenayah itu sejak 2009.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata, ekoran penangkapan kedua-dua lelaki, polis berjaya menahan seorang lagi yang dipercayai terlibat dalam sindiket jual beli barangan curi daripada kumpulan itu.

Suspek pertama yang berusia 28 tahun ditahan polis peronda ketika cuba melarikan diri selepas memecah sebuah kereta di Jalan Mega Mendung, Off Jalan Klang Lama pada Selasa lepas.

"Ekoran tangkapan itu, pada 12 tengah hari semalam, polis menahan seorang pembeli barangan curi berumur 31 tahun yang mengusahakan kedai telefon bimbit di sebuah pusat beli-belah di Jalan Tun Abdul Razak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut ke atas pembeli barangan curi itu, polis merampas dua komputer riba, sebuah komputer tablet I-pad, satu tag pintar, lima telefon bimbit, satu tetikus dan sebuah beg galas dipercayai barangan curi.

"Beberapa jam kemudian, polis menggunakan pembeli barangan curi itu sebagai umpan untuk memberkas seorang lagi anggota Geng Bintik. Dia ditahan ketika membawa sebuah komputer riba untuk dijual,” katanya.

Wan Abd Bari berkata, polis kini memburu seorang lagi anggota kumpulan itu.

Siasatan awal mendapati kumpulan itu terlibat dalam kes pecah kereta di sekitar kompleks beli-belah sekitar bandar raya dan kawasan perumahan Taman OUG.

Modus operandi mereka adalah menggunakan pemutar skru untuk memecahkan tingkap kenderaan sebelum mencuri barangan di dalam kereta mangsa.

Kedua-dua anggota Geng Bintik ditahan reman sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan manakala pembeli barangan curi dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan. — BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Resort tukar jadi pusat karaoke haram diserbu polis


13/01/2012 7:47pm

BACHOK 13 Jan. – Kegiatan sebuah premis di Kampung Kubang Golok yang menjalankan aktiviti karaoke haram dengan berselindung di sebalik papan tanda ‘Nick Resort’ di pintu masuknya terbongkar apabila diserbu polis awal pagi tadi.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dengan dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah pukul 2 pagi itu turut menahan 29 pengunjung dan dua pekerja premis tersebut.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ab. Rahim Che Ghani berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis itu yang asalnya sebuah resort telah mengubah suai menjadi pusat karaoke sejak setahun lalu.

“Polis turut merampas pelbagai jenis peralatan set karaoke di dalam lima buah bilik di situ yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM50,000.

“Kesemua pengunjung ditahan untuk diambil keterangan dan kami turut melakukan ujian air kencing untuk mengesan aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya kepada pemberita selepas serbuan tersebut di sini.

Jelas beliau, operasi pusat karaoke itu disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan Kerajaan Negeri Kelantan, manakala jika ada ditahan positif dadah, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ab. Rahim berkata, pihaknya kini mengesan pemilik pusat karaoke itu yang tiada di premisnya ketika serbuan.

Katanya, ini merupakan serbuan kedua ke atas premis itu setelah dikesan menjadi pusat karaoke, namun pengurusan beroperasi semula.

“Operasi itu terganggu pada mulanya apabila ada pihak memadam kesemua lampu di pusat tersebut sebaik sahaja menyedari kehadiran polis,” katanya. – UTUSANUtusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Kapal TLDM terbakar di Pasir Gudang


13/01/2012 6:32pm

JOHOR BAHARU 13 Jan. - Malaysian Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE) hari ini mengesahkan berlaku satu kebakaran membabitkan kapal KD Mutiara milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di limbungannya di Pasir Gudang, di sini semalam.

MMHE menerusi satu kenyataan berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 7.30 malam semalam yang menyebabkan kapal tersebut mengalami kerosakan di bahagian depan.

"Tiada sebarang kemalangan membabitkan kapal-kapal lain atau kemudahan di limbungan MMHE akibat kebakaran itu. Kebakaran itu berjaya dipadam pihak bomba dan penyelamat menjelang tengah malam dan jumlah kerugian sedang disiasat,” kata kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, KD Mutiara yang merupakan kapal mengukur hidrografi berada di MMHE untuk kerja-kerja baik pulih yang dijangka siap Mei depan.

Kebakaran terbabit tidak menyebabkan kecederaan atau pencemaran.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Johor, Hamid Suari ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu pada pukul 8.21 malam dan sampai ke tempat kejadian tujuh minit kemudian.

"Kebakaran di atas kapal empat tingkat dengan panjang lebih 70 meter itu berjaya dikawal satu jam kemudian sebelum pihak kami berjaya memadamkan api sepenuhnya kira-kira pukul 3.30 pagi,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 15 jentera termasuk kenderaan utiliti milik bomba dan penyelamat negeri dikerah ke tempat kejadian. — BERNAMAUtusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Wardina sorok bawah selimut

BERSELERAK...Wardina dan Ikhwan menunjukkan barang-barang milik mereka yang digeledah penyamun.
BERSELERAK...Wardina dan Ikhwan menunjukkan barang-barang milik mereka yang digeledah penyamun.

AMPANG: “Saya menyorok dalam selimut sambil memeluk tiga anak kerana takut dicederakan. Kami membaca ayat suci al-Quran minta dilindungi dan memohon tiga penyamun itu cepat keluar dari rumah.

“Tiba-tiba mereka menarik selimut dan minta saya serahkan barang kemas.
Ketika itu, saya hanya terfikir jika mereka sentuh saya, saya akan lawan dan pertahankan diri sampai mati,” kata Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot, 32.


Personaliti televisyen itu yang masih trauma dan menggigil ditemui selepas rumahnya di Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa, di sini, disamun tiga lelaki warga asing bersenjata pemutar skru, pada jam 3 pagi semalam.

Dalam kejadian lebih setengah jam itu, Wardina kerugian lebih RM20,000 membabitkan sebentuk cincin, dua komputer riba, satu iPad, empat telefon bimbit dan wang tunai.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama lima lagi ahli keluarga iaitu suaminya, Ikhwan Johari, 37, tiga anak, Amna Nafeesa, 8, Azra Sareera, 6, dan Imran Arrazi, 3, serta seorang saudara perempuannya tidur.myMetro | Wardina sorok bawah selimut:

'via Blog this'

Lelaki licik perdaya pemilik rumah, kaut untung ribuan ringgit


13/01/2012 7:50pm

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Seorang lelaki dikesan licik memperdaya pemilik-pemilik kondominium mewah di ibu negara apabila menyewa kediaman daripada mereka sebelum mengaut keuntungan dengan membuat perjanjian sewa pula kepada individu lain untuk jangka masa panjang.

Suspek yang menggunakan nama Steven berusia 30-an sehingga kini dikenal pasti telah menipu lebih daripada seorang mangsa sehingga mengakibatkan kerugian puluhan ribu ringgit.

Ahli perniagaan, Adlil Hafiz Ariffin, 27, berkata, dia menyewakan unit kondominium miliknya di Jalan Tun Razak di sini, hanya sehari kepada suspek pada 9 Januari lalu dengan bayaran RM400.

Menurutnya, dia sememangnya menyewakan unit kediamannya itu untuk jangka masa pendek atau panjang.

Katanya, namun pada keesokannya dia dihubungi pihak pengurusan kondominium itu yang bertanya jika ada melantik ejen untuk menyewakan unit kediamannya.

“Saya terkejut dan memaklumkan ada sewakan kepada seorang lelaki bernama Steven. Pihak pengurusan bagaimanapun mendakwa ada keluarga Arab datang dan telah menyewa unit kediaman itu untuk tempoh enam bulan.

“Saya lalu bergegas ke pejabat pengurusan dan hasil pemeriksaan mendapati keluarga yang merupakan Diplomat Iraq ke Amerika Syarikat itu telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM13,000 kepada suspek.

“Keluarga Arab itu tertarik untuk menyewa kerana harga yang diletakkan suspek murah iaitu RM1,600 sebulan berbanding unit-unit lain antara RM3,000 dan RM5,000 sebulan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Adlil Hafiz berkata, berikutan itu dia telah membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu dan kini memburu suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN

Peniaga ditahan bantu kes dera kanak-kanak


13/01/2012 8:05pm

GEORGETOWN – Seorang peniaga sate ditahan bagi membantu siasatan berhubung laporan kes mendera seorang kanak-kanak berumur setahun di sebuah gerai makan di Jalan Baru di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, wanita berumur 40 tahun itu ditahan pada pukul 11.45 malam selepas polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

"Pada mulanya pihak Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima aduan daripada orang awam tentang seorang kanak-kanak lelaki telah dipukul di gerai itu.

"Pegawai JKM yang kemudiannya pergi ke tempat kejadian mendapati kanak-kanak itu lebam di mata kirinya dan bercalar di belakang badan dipercayai akibat dipukul,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dimasukan ke wad bagi pemeriksaan lanjut.

Kong Meng berkata, susulan kejadian itu, polis menahan wanita berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001. – BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Dua pasangan diberkas edar dadah


13/01/2012 5:45pm

SHAH ALAM — Dua pasangan suami isteri yang disyaki memproses dan mengedar dadah secara kecil-kecilan dicekup polis di sebuah rumah di Setia Alam di sini, Isnin lepas.

Ketua Jabatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata, selain pasangan terbabit, polis turut menahan dua lagi rakan mereka iaitu seorang lelaki dan seorang wanita rakyat Myanmar dalam serbuan pada pukul 2 petang itu.

"Polis memberkas tiga lelaki dan tiga wanita dalam serbuan itu. Kesemua suspek yang ditahan berumur lingkungan 19 dan 31 tahun,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, dalam pemeriksaan terhadap rumah yang dihuni kesemua suspek itu, polis menemui empat plastik lutsinar dipercayai mengandungi heroin seberat 600 gram, sembilan paket syabu (145 gram) dan 50 biji pil eramin 5 yang kesemuanya bernilai RM46,000.

"Turut ditemui ialah paket-paket plastik kosong, satu sealer dan sebuah penimbang yang kami percaya digunakan suspek untuk membungkus dadah dalam kuantiti yang kecil sebelum diedar untuk pasaran setempat.

"Siasatan menunjukkan 600 gram heroin itu boleh dibungkus menjadi 20,000 tiub kecil dengan setiap satu tiup itu mengandungi 0.03 gram (heroin),” katanya.

Dua wanita yang ditahan termasuk wanita Myanmar itu bekerja sebagai pembantu kedai makan di kawasan berhampiran manakala suspek yang lain tidak bekerja.

"Lima daripada suspek itu juga positif dalam ujian air kencing dan tiga suspek lelaki terbabit mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah,” katanya.

Dalam serbuan berasingan, polis menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah didalangi lima lelaki rakyat Nigeria dan merampas 12 bungkus daun kering mampat disyaki ganja bernilai RM34,000.

Nordin berkata, kesemua suspek berumur lingkungan 27 dan 33 tahun itu diberkas di sebuah pangsapuri di Subang Jaya, Rabu lepas, dalam serbuan pada pukul 2 pagi. — BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Pengurus ditipu RM12,000


13/01/2012 6:27pm

GEORGE TOWN — Tertarik dengan tawaran faedah sebanyak 10 peratus setahun, seorang pengurus syarikat kerugian lebih RM12,000 ditipu sebuah syarikat yang menawarkan pelaburan dengan keuntungan yang tinggi.

M.Jegathesan, 44, berkata dia tertarik dengan iklan dalam akhbar Tamil yang menggalakkan orang India melabur dalam program Biotek Lembu Tenusu yang didakwa akan memberi faedah tinggi dan juga dalam projek Bio Desaru “The Organic Food Valley”.

Katanya, beliau membuat pelaburan pertama RM2,000 melalui cek yang dimasukkan ke dalam akaun bank syarikat berkenaan pada Ogos 2008 untuk Program Biotek Lembu Tenusu di bawah Koperasi Integrasi Nasional Selangor Berhad yang menjanjikan pulangan faedah tahunan 10 peratus.

"Setelah setahun, saya memasukkan RM10,000 lagi melalui cek untuk projek “The Organic Food Valley”, selepas mendapat faedah tahunan RM90 daripada pelaburan pertama,” katanya ketika membuat aduan di pejabat Biro Aduan MCA negeri di sini hari ini.

Jegathesan berkata, dia merasakan sesuatu yang tidak kena selepas setahun tidak mendapat faedah daripada dua pelaburan tersebut sementara pihak syarikat itu gagal dihubungi.

"Saya telah beberapa kali cuba menghubungi pemilik dan pegawai syarikat yang berpusat di Kuala Lumpur namun gagal,” katanya.

Timbalan Ketua Biro Aduan MCA, Lim Thoon Deong berkata, pihaknya telah menjalankann siasatan dan menghubungi pihak berkuasa mengenai perkara tersebut yang kemudian mendapat tahu daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang syarikat berkenaan tidak lagi aktif.

Menurut beliau, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga telah mengarahkan koperasi itu menghentikan operasinya kerana terlibat dalam penyelewengan.

Polis juga sudah menjalankan siasatan terhadap syarikat dan koperasi berkenaan dan dipercayai lebih ramai lagi telah menjadi mangsa penipuan tersebut. — BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Putus ibu jari angkara penyamun


13/01/2012 6:30pm

SEREMBAN — Seorang ahli perniagaan putus ibu jari kiri, selain mengalami kecederaan di bahagian lengan dan kepala ketika bergelut dengan penyamun yang memecah masuk rumahnya di Park Avenue, di sini dalam kejadian awal hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Hamdan Majid berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, empat penyamun dipercayai warga asing memecah masuk rumah itu ketika mangsa dan anggota keluarganya sedang tidur.

Beliau berkata, penyamun tersebut yang bersenjatakan parang, sabit, kayu dan pengunci stereng berjaya masuk selepas mengumpil pintu tepi rumah berkenaan.

"Bagaimanapun mangsa yang berusia 46 tahun bersama isterinya berusia 42 tahun dan dua anak lelaki mereka masing-masing berusia 17 dan 13 tahun terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi rumah mereka dipecah masuk,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Hamdan berkata, salah seorang anak mangsa kemudian menjerit meminta tolong, mengakibatkan salah seorang penyamun berkenaan marah.

Panik dengan jeritan itu, katanya, penyamun terbabit cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan antara mangsa dan isterinya dengan penyamun-penyamun tersebut.

Akibat pergelutan itu, mangsa mengalami kecederaan sehingga putus ibu jarinya selepas terkena sabit yang dibawa penyamun itu selain kecederaan lain, manakala isterinya cedera di jari manis.

"Penyamun berkenaan sempat meragut seutas rantai daripada salah seorang anak mangsa sebelum melarikan diri selepas pergelutan itu. Siasatan awal mendapati tiada barangan lain yang diambil dari rumah itu,” katanya.

Jeritan anak mangsa yang meminta tolong turut didengari oleh jirannya K.Jeganath, 51, yang kemudiannya pergi ke rumah mangsa.

"Ketika itu saya sedang tidur dan terdengar jeritan orang minta tolong dari rumah sebelah. Saya mendapati mangsa dan isterinya terbaring dan saya terus menghantar mereka ke hospital,” katanya. — BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Wanita ditemui mati dibunuh


13/01/2012 7:03pm

KUANTAN — Seorang wanita yang baru mendirikan rumah tangga enam bulan lepas ditemui mati dibunuh di rumahnya di Kg Chemang, Lipis.

Mangsa, Nornadia Abu Bakar, 21, ditemui berlumuran darah di ruang dapur rumahnya dengan beberapa kesan tikaman di badan serta kesan kelar di leher.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Abdul Razak Hassan berkata, mangsa ditemui suaminya kira-kira 5.40 petang semalam ketika ia pulang ke rumah.

"Hasil bedah siasat, mangsa didapati tidak dirogol atau disamun,” kata Abdul Razak ketika dihubungi di sini hari ini.

Ini berdasarkan siasatan awal yang menunjukkan barang kemas mangsa tidak dilarikan.

Beliau berkata, pihak polis telah menahan empat lelaki berusia 30-an bagi membantu siasatan kes itu.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. — BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Merusuh: 29 pelatih pusat serenti dipenjara


13/01/2012 8:11pm

BUTTERWORTH – Dua puluh sembilan pelatih pusat serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor dihukum penjara antara lima hingga 10 tahun tahun dan denda antara RM50,000 dan RM100,000 kerana merusuh dua tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Zairan Aman membuat keputusan itu setelah mengambil kira kepentingan awam.

Beliau mengarahkan pelatih terbabit menjalani hukuman di Penjara Tapah, Perak dari tarikh mereka ditangkap.

Mengikut pertuduhan, semua pelatih itu menyertai satu perhimpunan haram dengan tujuan bersama-sama melakukan khianat menggunakan api sehingga menyebabkan kerosakan tujuh blok bangunan di pusat berkenaan.

Ia meliputi blok bangunan pentadbiran, stor, dewan utama, kompleks terapi komuniti, pejabat aktiviti, balai pegawai bertugas dan pos polis bantuan.

Sebelum ini, akhbar melaporkan lebih 100 daripada 522 pelatih bertindak membakar beberapa bangunan termasuk blok pentadbiran di pusat serenti itu, dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan penahanan sekumpulan rakan mereka yang didapati positif dadah. – BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

‘Nanti beta datang lagi’

MISTERI...seluar dalam suspek sengaja ditinggalkan di belakang rumah mangsa di Gunung Rapat.
MISTERI...seluar dalam suspek sengaja ditinggalkan di belakang rumah mangsa di Gunung Rapat.
BUKTI...nota tulisan tangan ditinggalkan di rumah mangsa.
BUKTI...nota tulisan tangan ditinggalkan di rumah mangsa.

IPOH: Tindakan seorang lelaki yang memecah masuk beberapa rumah penduduk sebelum meninggalkan nota misteri dan seluar dalam yang sudah dipakainya, menggemparkan penduduk sekitar Gunung Rapat dan Taman Silibin, di sini.

Lelaki itu didakwa sengaja menakutkan-nakutkan penduduk kerana kandungan nota yang diletakkan memaklumkan dia akan datang semula ke rumah mangsa pada lewat malam.

Setakat ini, tiga gangguan dikesan dilakukan suspek di sekitar kawasan berkenaan termasuk kejadian terbaru, membabitkan rumah seorang pensyarah wanita di Gunung Rapat, semalam.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nonie, 37, berkata dia hanya menyedari rumahnya diceroboh suspek ketika bangun daripada tidur untuk menyiapkan persekolahan anaknya pada jam 6 pagi.


Menurutnya, pembantu rumah yang menyediakan sarapan di dapur memberitahu dia mendapati ada kertas diselitkan di bawah pintu belakang rumah.myMetro | ‘Nanti beta datang lagi’:

'via Blog this'

Kes pecah rumah: Remaja 15 tahun ditahan


13/01/2012 8:41pm

KUALA LUMPUR – Kegiatan pecah rumah kumpulan adik-beradik dinamakan ”Geng Kecil” tumpas apabila anggotanya, seorang remaja berusia 15 tahun ditangkap ketika cuba melarikan barangan curi bernilai RM6,000 di sebuah Kondominium di Sri Petaling, di sini Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abd Bari Wan Abd Khalid berkata, remaja itu bersama abangnya, 19, melakukan aktiviti jenayah sejak enam bulan lepas dan dipercayai terbabit dalam 10 kes pecah rumah di Bukit Jalil dan Sri Petaling dengan nilai barangan yang dicuri ialah RM30,000.

Beliau berkata, dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi Selasa lepas, dua beradik itu memecah masuk sebuah rumah dan melarikan pelbagai barangan, antaranya lima bentuk cincin emas, sebentuk cincin emas putih, MP3, pemain cakera padat muzik (Discman), teropong, empat utas jam tangan dan wang tunai matawang asing bernilai RM4,000.

"Pemilik rumah itu pulang ketika dua beradik itu ingin melarikan diri, dan memaklumkan kepada pengawal kondominium. Seorang daripada mereka berjaya ditangkap dan barangan yang dicuri itu ditemui dalam sebuah beg,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ekoran tangkapan itu, polis menahan dua pembeli barangan curi daripada ”Geng Kecil”, masing-masing berusia 27 dan 41 tahun, pada pukul 2.30 petang keesokannya di dua premis perniagaan di sekitar kawasan Endah Parade, Seri Petaling.

Remaja terbabit ditahan reman sehingga esok, manakala dua pembeli barangan curi itu diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis, katanya. – BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Port sembunyi diserbu


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 13, 2012
Port sembunyi diserbu

MUAR - Tindakan tiga lelaki bersembunyi dalam hotel di daerah ini untuk mengelak pihak berkuasa mengetahui kegiatan mereka menjual dadah gagal apabila kesemuanya diberkas polis pada 1 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asis­ten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, serbuan pada jam 8 pagi itu adalah hasil risikan yang juga merupakan antara operasi ce­gah jenayah sempena tahun baru.

Menurutnya, kepantasan pa­sukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, akhirnya berjaya menjejaki kesemua suspek yang sememangnya dikehendaki polis.

“Kesemua suspek yang dita­han berusia 23, 30 dan 31 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, hasil peme­­­­­r­ik­saan dalam hotel berkenaan, polis menjumpai dadah jenis heroin seberat 6.3 gram; syabu 22.2 gram, tujuh pil ecstacy dan 22 pil eramin-5 dalam sebuah beg.

“Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM5,000 dan dipercayai untuk dijual kepada pelanggan di sekitar Muar.

“Turut ditemui wang tunai RM5,000, dipercayai hasil daripada jualan dadah itu,” katanya.

Katanya, kesemua suspek adalah penganggur dan menjalankan kegiatan jual dadah sebagai pekerjaan utama mereka.

“Suspek berusia 30 tahun itu dipercayai sudah lama terbabit dalam kegiatan menjual dadah, manakala dua lagi suspek baru sahaja terbabit kegiatan ini beberapa bulan lalu.

“Suspek juga sudah ditahan reman pada 2 hingga 8 Januari lalu dan mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39a (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Port sembunyi diserbu - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ibu, anak dituduh main loteri haram


SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
January 13, 2012
Ibu, anak dituduh main loteri haram

AYER KEROH - Dua beranak bersama dua saudara wanita mereka dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, kerana menjalankan aktiviti loteri awam secara haram, empat tahun lalu.

Liu Kin Pau, 53; anaknya, Liu Yen Sap, 20; Shan Ai He Ong, 47, dan Liu Shu Yong, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didapati menjalankan satu loteri awam haram di sebuah kediaman di Jalan Gaung Piring, Malim, kira-kira jam 5.45 petang pada 30 Mac 2008.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh didenda RM20,000 hingga RM200,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan RM5,000 kepada setiap tertuduh selepas peguam bela membuat rayuan.

Majistret Syajaratudur Abdul Rahman membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 setiap seorang dan menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula.

Ibu, anak dituduh main loteri haram - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Satu serbuan, hasil berganda


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 13, 2012
Satu serbuan, hasil berganda

TEMERLOH – Polis menemui pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM40,000 ketika serbuan dibuat ke atas sekumpulan lima lelaki yang leka bermain judi di tapak pembinaan perumahan dekat Taman Damai Court, di sini, 7 Januari lalu.

Dalam serbuan jam 8 malam itu, polis turut menemui dan merampas sebanyak 22 pil kuda selain wang tunai dipercayai digunakan untuk pertaruhan judi haram bernilai RM11,000 serta dua kereta milik suspek.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zundin Mahmood berkata, serbuan itu pada mulanya dilakukan untuk menahan sekumpulan lelaki yang leka bermain judi di kawasan pembinaan perumahan tersebut.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan lima lelaki sedang leka bermain judi, namun terkejut apabila menemui 479 karton rokok seludup bernilai RM40,000 semasa menjalankan pemeriksaan ke atas dua kereta milik lelaki terbabit.

“Kita menahan lima lelaki berumur antara 33 hingga 48 tahun. Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam, Seksyen 7 (1) Akta Rumah judi Terbuka dan Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), semalam.

Zundin berkata, hasil siasatan juga mendapati rokok terbabit diperoleh daripada seorang lelaki di Bahau, Negeri Sembilan.

Menurutnya, polis sedang mengesan lelaki terbabit kerana percaya rokok seludup tersebut ingin dijual kepada warga asing yang bekerja di tapak pembinaan sekitar daerah ini, manakala pil kuda untuk kegunaan sendiri.

Satu serbuan, hasil berganda - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lima unit pangsapuri hangus


SARINAH MAT KASIM
January 13, 2012
PANGSAPURI-TERBAKAR

NILAI – Sebanyak lima unit kediaman di Pangsapuri Ta­man Semarak hangus dalam kebakaran, di sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, dipercayai bermula daripada kebakaran di sebuah bilik di tingkat tiga pangsapuri ber­kenaan.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Nilai, Zainal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.21 petang dan mengambil masa lapan minit untuk sampai ke lokasi.

Menurutnya, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin serta Nilai ke lokasi kejadian untuk mengawal kebakaran.

Katanya, tiba di lokasi, kea­daan api sudah marak, ditambah pula dengan keadaan angin yang kencang, menyebabkan api merebak dengan pantas.

“Ketika kami tiba, empat unit kediaman di tingkat atas telah musnah, menyebabkan bumbung di kawasan paling atas turut terbakar.

“Manakala, sebuah lagi unit yang berada di tingkat tiga terbakar di baha­gian bilik sahaja dan kami sempat mengawal api daripada merebak ke tempat lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Zainal berkata, semua unit di tingkat empat yang hangus itu tidak berpenghuni, hanya unit di tingkat tiga di­diami lima sekeluarga.

Api berjaya dikawal dalam masa tujuh minit dan padam sepenuhnya jam 4.10 petang.

“Tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Yaya, 41, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana bekerja.

Menurutnya, kira-kira jam 3 petang, dia menerima panggilan telefon daripada isterinya, memaklumkan rumahnya terbakar.

“Saya segera pulang dan mendapati sebahagian ruang bilik telah terbakar.

“Mujurlah kebakaran tidak merebak ke seluruh pangsapuri,” katanya.

Yaya berkata, dia bersyukur kerana isteri dan semua anaknya sempat keluar me­nyelamatkan diri bagi me­ngelakkan kejadian tidak diingini.

Lima unit pangsapuri hangus - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Penyamun bawa lari mesin wang


NUR FARHANA ABDUL MANAN
January 13, 2012
suspek-curi-atm

PUCHONG – Lagak bersahaja sekumpulan penyamun membawa lari dua mesin wang dari sebuah pasaraya di Taman Putra Prima di sini berakhir malang apabila ketiga-tiganya berjaya diberkas orang ramai yang melihat kejadian itu, tengah hari semalam.

Pengerusi Kepolisan Masyarakat (CP) Selangor, Kuan Chee Heng berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian oleh salah seorang ahlinya yang turut sama mengejar tiga suspek yang cuba melarikan diri.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari, tiga lelaki berusia lingkungan 20-an memasuki pasaraya manakala dua lagi rakan mereka dipercayai menunggu di dalam sebuah kereta yang diletakkan di luar kedai.

“Suspek membawa sebilah kapak dan sepucuk pistol dipercayai palsu mengumpil mesin wang yang diletakkan di kaunter pembayaran sebelum ketiga-tiganya menuju ke arah sebuah kereta yang menunggu mereka di luar.

“Pemilik kedai yang geram dengan perbuatan suspek, bertindak mengejarnya dan tindakan turut dituruti tiga lagi orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, menyedari aktiviti jahat mereka terbongkar, dua rakan suspek yang berada di dalam kereta memecut laju kenderaan dinaiki dan meninggalkan tiga lagi rakan mereka.

“Salah seorang daripada tiga yang melarikan diri berjaya dicekup orang awam sebelum dua lagi berjaya diberkas polis kira-kira 30 minit selepas itu di sebuah rumah kosong berhampiran.

“Mesin wang yang dibawa lari berjaya ditemui semula,” katanya yang memuji keprihatinan orang awam dan kepantasan pihak polis dalam memberkas penjenayah.

Penyamun bawa lari mesin wang - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mengaku rogol kanak-kanak dipenjara 10 tahun


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 13, 2012
Tersenyum---Sebelum-kejadian-Mohamad-Yuzwan-berjanji-mengahwini-pengadu

KOTA BHARU – Seorang pengawal keselamatan senyum bersahaja ketika diiringi polis keluar Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas dijatuhi hukuman 10 tahun penjara.

Hukuman diputuskan Hakim Azman Mustapha bersabit kesalahan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun 9 bulan di sini, dua tahun lalu, mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mohamad Yuzwan Hamat, 26, dari Kampung Bukit Tiu, Machang mengaku bersalah merogol kanak-kanak terbabit di sebuah bilik di kampung sama antara jam 11 malam, 20 Januari 2010 dan 1 pagi, keesokan harinya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa masuk ke bilik tidur bersama adik perempuan tertuduh di rumah kakak iparnya di alamat berkenaan. Tertuduh menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memberitahu ingin berjumpa mangsa sebelum masuk melalui tingkap serta merogol mangsa ketika adiknya sedang tidur.

Pada petang keesokan hari pengadu menceritakan kejadian itu kepada kakak iparnya dan pengadu kemudiannya membuat laporan polis. Tahu tentang laporan itu, tertuduh bertindak melarikan diri dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah bank di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, selepas dua tahun, tertuduh berjaya ditahan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 4 Januari lalu.

Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nor Hamizah Ghazali memohon hukuman berat terhadap tertuduh berdasarkan faktor usia mangsa yang masih di bawah umur.Mengaku rogol kanak-kanak dipenjara 10 tahun - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kepala hancur digilis lori


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 13, 2012
Kepala hancur digilis lori

SELAT KLANG - “Arwah sempat menyiapkan bekalan nugget pada adik bongsunya sebelum bertolak ke tempat kerja, bekalan itu hampir tertinggal, tetapi dia cepat-cepat mengambil lalu diserahkan kepada adiknya sambil tersenyum,” demikian cerita Mohd Fauzi Abdul Kadir, 54, bapa kepada Faziatul Zainiza yang maut dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Kampung Delek, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 8 pagi itu, Faziatul, 26, maut setelah kepalanya hancur digilis sebuah lori ketika dalam perjalanan ke rumah rakan untuk ke tempat kerjanya di kilang Ayamas, Pelabuhan Klang.

Mohd Fauzi berkata, sikap anak keempatnya itu agak menghairankan kerana kebiasaannya tidak berperangai sedemikian.

Menurutnya, pada hari kejadian, arwah Faziatul bangun awal dan menggoreng nugget, apabila ditanya, dia memberitahu untuk dijadikan bekalan adik bongsunya ke tempat kerja.

“Namun, belum pun sempat adik bongsunya itu menjamah hidangan, arwah terlebih dahulu meninggalkan kami,” katanya sebak kepada Sinar Harian, semalam.

Difahamkan, setiap kali ke tempat kerja, Allahyarham akan menunggang motosikal seorang diri ke rumah rakan sekerja di Kampung Sungai Sireh sebelum menumpang rakannya itu menaiki kereta untuk ke tempat kerja.

Allahyarham Faziatul yang juga ibu dua kanak-kanak masing-masing berusia lima tahun dan enam bulan dalam proses perceraian dengan suami.

Mohd Fauzi berkata, sebelum ini, arwah sempat mendaftarkan anak sulungnya yang mempunyai hilang keupayaan bercakap ke sebuah pusat pendidikan swasta berhampiran rumah mereka kerana teringin melihat anaknya itu bersekolah seperti kanak-kanak lain.

“Namun apakan daya, semua hasratnya tidak kesampaian, apa yang menyedihkan kami sekeluarga, dia meninggal dalam keadaan tragis dan menyayat hati.

“Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, kami reda dengan pemergiannya,” katanya.

Jenazah selamat dikebumikan di Jerantut, Pahang yang merupakan kampung halaman datuk dan nenek arwah, lewat petang semalam.

Sementara itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, insiden itu berlaku di Jalan Kunci Air, Jalan Kampung Delek menghala ke Kampung Sungai Sireh.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, motosikal ditunggang mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan lain menyebabkan mangsa terjatuh ke bahagian laluan jalan.

“Dia kemudiannya digilis sebuah lori yang membawa muatan gas yang dipercayai gagal mengelak menyebabkan kepala mangsa pecah.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan sehingga kini, kita masih mengumpul maklumat mengenai kejadian ngeri ini,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Kepala hancur digilis lori - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'