Search This Blog

Wednesday, January 11, 2012

Seorang doktor dituduh cabul wanita hamil



11/01/2012 4:09pm

KUALA LUMPUR - Seorang doktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang dekat sini hari ini kerana mencabul kehormatan seorang wanita yang sedang mengandung pada November tahun lepas.
Dr. Mohd. Suhaidin Che Ngah, 37, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan seorang pegawai pentadbir berumur 28 tahun yang sedang mengandung 16 minggu di Hospital Sungai Buloh pada pukul 2.15 petang, 22 November lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang mengenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau rotan atau mana-mana jika sabit kesalahan.
Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki mengenakan ikat jamin RM5,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mac ini untuk tarikh sebutan semula.
Timbalan Pendakwa raya Nur Hidayah Raihan Md Nasir mengendalikan pendakwaan sementara tertuduh tidak diwakili.
Abang tertuduh membayar ikat jamin. - BERNAMA

Cubaan seludup warga Afghanistan tumpas


11/01/2012 6:31pm

ALOR GAJAH — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup keluar 15 warga Afghanistan ke Indonesia di Perairan Lukut, Negeri Sembilan, malam tadi.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Kuala Linggi, Kapten Maritim Ibrahim Mohamed berkata, kesemua mereka yang berusia antara 23 dan 69 tahun itu ditahan pada 10.15 malam selepas bot APMM memintas sebuah bot pancung yang mencurigakan.

Bot pancung itu dikemudi seorang tekong dan dua awak-awak warganegara Indonesia berusia antara 19 dan 48 tahun, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati tekong dan dua awak-awak bot pancung tersebut dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki menyeludup warga Afghanistan terbabit keluar tanpa melalui jalan yang sah,” katanya.

Katanya, dalam operasi itu APMM turut merampas pelbagai mata wang asing termasuk Dolar, Rupiah, Riyal, Dinar dan Euro berjumlah RM63,000.

Siasatan awal mendapati warga Afghanistan terbabit dikenakan bayaran berjumlah antara US$2,000 hingga US$3,000 untuk ke Dumai, Indonesia sebelum meneruskan perjalanan ke Australia.

Beliau bagaimanapun berkata, warga Afghanistan berkenaan masuk ke negara ini secara sah pada 7 Januari lepas melalui pengangkutan darat dari Thailand. — BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang


11/01/2012 1:50pm

ALOR SETAR — Lapan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kayu dua tingkat yang mereka diami di Lorong Nyor Stali, Jalan Pegawai di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira 8.30 pagi ini.

Penghuni rumah, Mohd Zaki Jaafar, 45, berkata ketika kejadian dia sedang memasak nasi lemak di dapur untuk dijual manakala anak lelakinya berusia 14 tahun sedang tidur di ruang tamu rumah.

Katanya, ketika berada di dapur, dia terdengar bunyi dari atas rumah dan apabila pergi ke tangga, dia nampak api sedang marak dari tingkat atas rumah.

"Saya terus kejutkan anak saya, Mohd Afiq, yang sedang tidur dan kami terus keluar rumah. Kami tak sempat nak selamatkan apa-apa kerana api marak dengan cepat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya, dia hanya sempat mengangkat sebuah tong gas manakala sebuah lagi tong gas tidak sempat diangkat dan meletup. - BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Remaja tunggu keputusan SPM mati dikelar


11/01/2012 6:43pm

JOHOR BAHARU – Seorang remaja yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditemui mati dengan kesan kelaran di leher di rumahnya di Taman Kempas di sini, hari ini.

C. Sivaranjini, 18, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kempas, di sini, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dalam bilik tidur remaja itu oleh bapanya sejurus pulang dari tempat kerja di Singapura pada 10 pagi.

Mangsa berseorangan di rumah ketika kejadian kerana ibunya turut bekerja di Singapura dan dua adik lelakinya sedang bersekolah.

Siasatan awal polis mendapati, suspek dipercayai memasuki rumah mangsa melalui pintu belakang dan kemudian bertindak mengelar leher Sivaranjini dengan objek tajam sebelum melarikan diri menaiki motosikal.

Berdasarkan maklumat awam, polis mengesan dan menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 50 tahun di Kempas, Pasir Gudang dan Senai.

Ketua Polis Johor, DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata siasatan terperinci berhubung motif sebenar kejadian itu sedang dijalankan.

"Suspek akan mula ditahan reman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat. - BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

130 mesin judi dilupus


11/01/2012 5:31pm

POKOK SENA — Polis Daerah Kota Setar hari ini melupuskan 130 set komputer yang telah diubahsuai menjadi mesin judi yang dirampas dalam Ops Dadu Mesin Judi sepanjang tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan berkata, set-set komputer itu dilupuskan setelah mendapat arahan mahkamah.

"Terdapat banyak lagi set komputer yang kita rampas masih belum dilupuskan.

Kita menunggu arahan daripada mahkamah untuk melupuskan baki mesin-mesin tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melupuskan set komputer berunsurkan perjudian di Tapak Pelupusan Sampah di Jabi dekat sini hari ini.

Beliau berkata, pada tahun lepas, sebanyak 416 serbuan dilakukan oleh anggotanya di sekitar daerah Kota Setar dan daripada serbuan itu, pihaknya merampas 2,498 set komputer yang telah diubahsuai menjadi mesin judi.

"Jumlah rampasan yang dibuat itu meningkat sebanyak 656 peratus berbanding tahun 2010,” katanya.

Adzaman berkata, pada tahun lepas, pihaknya membuat 109 serbuan dan merampas 381 set komputer yang telah diubahsuai.

"Kita akan menggiatkan lagi operasi untuk merampas lebih banyak lagi set komputer tersebut dan seterusnya membanteras gejala sosial di sekitar bandar raya ini,” katanya.

Beliau berkata, kes-kes yang melibatkan set komputer itu disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997.

"Setiap set komputer itu bernilai kira-kira RM200 dan nilai yang kita lupus hari ini adalah kira-kira RM26,000,” katanya. — BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Pelajar UM dituduh halang tugas polis


11/01/2012 6:29pm

KUALA LUMPUR – Seorang penuntut Universiti Malaya (UM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan menghalang seorang anggota polis menjalankan tugasnya di Jalan Pantai Baharu pada 6 Jan.

Mohd Bukhairy Mohammed Sofian dituduh bertindak agresif menghalang Konstabel Rohaizat Akbar Ramlie dari Balai Polis Pantai menjalankan tugasnya di belakang Masjid Ar-Rahman pada pukul 11.35 malam hari berkenaan.

Penuntut jurusan sains politik tahun dua itu dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Parveen Hameedah Nachtiar menetapkan 16 Feb sebagai tarikh sebutan kes dan membenarkan Mohd Bukhairy diikat jamin RM2,000 oleh seorang penjamin.

Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping bertindak sebagai pendakwa, manakala tertuduh diwakili peguam Farhana Abd Halim. - BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Lelaki mati ditembak


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 11, 2012
Lelaki mati ditembak

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki mati ditembak di luar pekarangan Plaza Sentosa, di sini, pada jam 7.50 pagi semalam.

Mangsa, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an, melalui kawasan berke­naan sebelum ditembak.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, mangsa terkena tembakan di bahu kiri dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kita masih menyiasat motif pembunuhan dari pelbagai aspek, termasuk meneliti kamera litar tertutup (CCTV),” katanya, semalam.

Zainuddin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Sementara itu pengawal keselamatan premis berkenaan, Azman Mohd Nor berkata, dia sedang meronda di tingkat empat apabila mendengar bunyi letupan.

“Saya tak syak apa-apa kerana ingat ia adalah bunyi tayar lori pecah. Namun, apabila saya turun ke tingkat bawah, pasukan polis sudah sampai ke lokasi kejadian,” katanya.

Orang ramai yang mem-pu­nyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi hotline 07-2212999 atau balai polis berhampiran.Lelaki mati ditembak - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Mayat lelaki Afrika ditemui


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 11, 2012
Mayat

RAWANG – Mayat dua lelaki Afrika bangsa Botswana berusia 24 tahun ditemui tertiarap di kawasan kolam mandi Taman Templer dipercayai mati akibat tergelincir jam 6.40 petang kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Mokgetthi dan Olatetse merupakan pelajar Universiti Asia Pasifik dan Lim Kok Wing.
Ketua Umno Cawangan Persiaran Templer, Shamudin Mohd Khalid berkata, beliau dimaklumkan oleh adik iparnya yang kebetulan ke tempat kejadian untuk menyelam sebelum menemui mangsa yang tersangkut di batu tanpa pakaian.
Beliau berkata, ketika di tempat kejadian, didapati mayat antara satu sama lain hanya dipisahkan sejauh 10 meter bersama beg yang mengandungi kad pengenalan diri, topi, pakaian, dompet dan kasut mereka.
“Mangsa kerap datang ke taman rimba ini bersama dua lagi rakan lain sekitar jam 6 petang namun pada hari kejadian, hanya dua daripadanya ditemui.
“Selepas jam 6, kita tidak membenarkan pengunjung naik ke kawasan riadah itu tetapi mangsa mungkin masuk secara senyap untuk mengelak dihalang kami,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Shamudin berkata, kejadian lemas bukan pertama kali berlaku di sana malahan pernah membabitkan kes pelancong sesat, kegiatan maksiat dan samun.
“Insiden ini bukan kali pertama berlaku memandangkan Taman Rimba Templer tidak mempunyai pengawal untuk menjaga keselamatan pengunjung sebaliknya hanya bergantung kepada pemantauan penduduk berhampiran.
“Selepas diambil alih Majlis Perbandaran Selayang, tiada sebarang kadar bayaran dikenakan kepada pengunjung menyebabkan kita tiada pengawal tetap diupah untuk membuat rondaan atau pemantauan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat dikeluarkan oleh Hospital Selayang.Mayat lelaki Afrika ditemui - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Saman malu difitnah khalwat


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 11, 2012
Saman malu

PANTAI MURNI - Gara-gara malu apabila niatnya disalah erti, seorang ibu tunggal mahu mengambil tindakan saman malu terhadap individu yang menimbulkan kekecohan di rumahnya pada 29 Disember tahun lalu.

Ibu tunggal terbabit, Zalina Pazin, 38, berkata, tindakan saman malu itu bakal dibuatnya setelah melakukan perbincangan dengan Biro Bantuan Guaman untuk menyaman individu yang menimbulkan kekecohan di pekarangan rumah keluarganya di Kampung Pantai Murni, malam 29 Disember tahun lalu.
Menurutnya, kekecohan berlaku akibat salah faham individu terbabit terhadap niat dia dan keluarga yang menyewakan sebuah rumah milik mereka di belakang kediaman yang mereka duduki kepada pelancong asing dari Rusia.
“Pelancong asing dari Rusia itu berbasikal seorang diri hingga ke Pantai Murni. Dia bertemu saya dan bertanyakan mengenai tempat penginapan yang boleh disewanya untuk tidur sebelum menyambung perjalanannya.
“Saya mengesyorkan tempat penginapan di Titi Hayun namun, dia tidak berminat kerana harganya terlalu mahal. Kebetulan saya dan keluarga mempunyai sebuah rumah di belakang rumah kami yang disewakan kepada seorang pemuda dan saya mempelawa pelancong Rusia terbabit bermalam di rumah itu,” katanya.
Zalina berkata, kira-kira jam 6.30 petang 29 Disember lalu, pelancong Rusia itu menyewa rumah di belakang rumahnya dengan harga RM20 untuk satu malam dan pada masa sama dia keluar ke pekan atas urusan tertentu.
Menurutnya, dia pulang ke rumah lebih kurang jam 10 malam itu dan kemudiannya memadamkan lampu untuk tidur kira-kira jam 11 malam bersama ibunya, Zainab Hussin, 55, dan dua anaknya.
“Saya terkejut sebaik memadamkan lampu terdengar bunyi bising dan mendapati ada ramai orang di luar rumah. Turut kelihatan adalah beberapa anggota polis.
“Saya kemudiannya keluar rumah dan diberitahu individu terbabit bahawa tujuan mereka datang adalah untuk menangkap saya kerana disyaki berkhalwat dengan pelancong asing itu, sedangkan pelancong asing itu tidur di rumah berasingan,” katanya.
Berikutan itu katanya, timbul sedikit kekecohan dan rumahnya dikerumuni penduduk kampung hingga mereka sekeluarga menanggung malu kerana berita mengenai dirinya berkhalwat dengan pelancong asing itu menjadi buah mulut keesokan harinya.
Zalina berkata, dia mahu membersihkan namanya dan keluarga kerana ramai penduduk dan orang sekeliling salah anggap terhadapnya hingga menanggung malu.
“Saya turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Yan pada malam itu juga untuk mengambil tindakan saman malu terhadap individu terbabit,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu mengesahkan menerima laporan berkenaan.Saman malu difitnah khalwat - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Maritim patahkan cubaan seludup ganja


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 11, 2012
Maritim patahkan cubaan seludup ganja

KUALA KEDAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kedah, berjaya mematahkan cubaan menyeludup 10 ketulan mampat daun kering dipercayai ganja dalam operasi di perairan Kedah-Perlis, kelmarin.

Ketua Penguat kuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee berkata, dalam operasi kira-kira jam 12.20 tengah hari Isnin lalu, bot ronda Maritim dari Pangkalan Maritim Kuala Perlis Wilayah Maritim Utara, mengesan dua bot kayu berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, bot tanpa nombor pendaftaran itu dilihat berada hampir antara satu sama lain, dalam jarak kira-kira 200 meter dari pantai Kuala Jerlun, Kedah.

“Kedua-dua vesel (bot) ditahan untuk pemeriksaan. Siasatan seterusnya menemui 10 ketulan mampat daun kering disyaki ganja, dianggarkan seberat 10 kilogram, di­simpan di dalam guni berwarna putih dalam vesel pertama.

“Pemeriksaan ke atas vesel kedua mendapati terdapat satu plastik kecil mengandu­ngi daun kering disyaki ganja, namun berat sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Kok Kwee berkata, Maritim turut menahan empat suspek berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun, terdiri daripada dua warga tempatan dan dua warganegara asing, dipercayai dari Thailand, untuk membantu siasatan.

“Ini merupakan kes pertama tahun ini yang melibatkan penyeludupan dadah melalui perairan utara negara.

“Maritim akan terus membuat pemantauan terhadap penyeludupan atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang Maritim,” katanya.Maritim patahkan cubaan seludup ganja - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tak sangka mangsa ibu sendiri


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 11, 2012
Tak sangka mangsa ibu sendiri

JITRA - “Saya tidak sangka mangsa kemalangan itu ibu kandung saya.” Demikian luah seorang remaja, Mohd Azhar Abu Talib, 20, selepas melihat kemalangan atas jambatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Jitra-Bukit Wang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi semalam, ibunya, Ariza Daud, 39, yang menunggang motosikal bersama jiran sekampung mereka, Fatimah Dali, 48, masing-masing dari Kampung Padang Panjang, di sini maut di tempat kejadian selepas terlanggar sebuah pikap.

Difahamkan, kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar borang permohonan bantuan persekolahan anak mereka di Pejabat Zakat daerah Kubang Pasu.

Mohd Azhar berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Hospital Jitra (HJ) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan melanjutkan pengajian di Pusat Giat Mara.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, ketika melalui jambatan tersebut, dia dimaklumkan orang awam terdapat kemalangan membabitkan mangsa dari Kampung Padang Panjang.

“Saya segera menghampiri tempat kejadian dan terkejut melihat mangsa kemalangan adalah ibu.

“Saya terkedu seketika apabila melihat ibu yang sudah tidak bernafas diangkat menaiki kenderaan polis untuk dibawa ke hospital,” katanya di pekarangan Jabatan Forensik HJ.

Mohd Azhar berkata, dia pasrah namun reda dengan pemergian ibunya yang juga seorang penyabar itu.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa dengan ibunya ialah beberapa jam sebelum kejadian itu, namun tiada sebarang perubahan ditunjukkan.

“Awal pagi sebelum kejadian, ibu kejutkan saya untuk pergi membuat pemeriksaan kesihatan di HJ, namun tidak sangka itu kali terakhir bertemu dengannya,” katanya.

Suami Fatimah, Mohd Noh Abd Wahab, 53, ketika ditemui turut memberitahu kali terakhir dia bertemu isterinya pada jam 9 malam kelmarin sebelum keluar bekerja.

Mohd Noh yang bekerja sebagai pemandu lori kuari itu berkata, dia hanya dimaklumkan kejadian oleh rakan sekampung.

“Saya terkejut mendengar berita kematian isteri saya memandangkan tiada perubahan ditunjukkannya sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohamed Yusof berkata, kemalangan terbabit melibatkan sebuah kenderaan pikap jenis Nissan Navara dengan motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa.

Menurutnya, ketika kejadian pikap terbabit yang dalam perjalanan dari Malau ke Jitra membrek secara mengejut lalu terbabas melanggar tembok jambatan sebelum berpusing dan kemudiannya melintang di jalan bertentangan.

“Ketika itu keadaan jalan basah selepas hujan dan motosikal Honda EX5 yang datang dari arah Jitra ke Malau tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian pintu penumpang sebelah kiri sebelum terbabas.

“Kedua-dua mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya.

Beliau berkata, pemandu tempatan berusia lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.Tak sangka mangsa ibu sendiri - Komentar - Sinar Harian:

'via Blog this'

DSP disabit bersalah rasuah


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 11, 2012
DSP disabit bersalah rasuah

JOHOR BAHRU – Seorang anggota polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP) disabit bersalah meminta dan menerima rasuah berjumlah RM36,000 lapan tahun lalu di Mahkamah Seksyen, di sini, semalam.

Mansor Mohamad, 55, menghadapi enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada tiga individu yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram di Muar antara 21 April dan 5 Mei 2003 ketika menjadi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah tersebut.

Dia didakwa meminta rasuah sebanyak RM6,000 daripada Toh Ah Ban di sebuah hotel pada 21 April jam 2 petang bagi tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan itu.

Mansor juga meminta jumlah rasuah yang sama daripada Wong Choon Seng dan Lee Cheng Seng masing-masing di Plaza Tol Plus Tangkak dan di sebuah stesen minyak dekat Jalan Temenggung Ahmad pada 28 April jam 12 tengah hari dan 2 petang.

Dia didakwa menerima wang tersebut dari ketiga-tiga lelaki berkenaan di sebuah bilik hotel pada 9 Mei, 10.15 malam.

Untuk kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut nilai lebih tinggi.

Hakim, Mohamad Haidar Abdul Aziz menjatuhi hukuman empat tahun penjara bagi setiap kesalahan tersebut dan mengarahkan hukuman berjalan serentak mulai hari ini serta denda RM180,000 atau 12 bulan penjara jika gagal membayarnya.

Peguam tertuduh, Rosli Kamaruddin memohon hukuman terbabit ditangguh­kan bagi membolehkan rayuan dibuat terhadap keputusan itu dengan mengambil kira anak guamnya seorang penjawat awam yang berkhidmat cemerlang sepanjang 30 tahun perkhidmatannya.

Mohamad Haidar kemudiannya membenarkan penangguhan hukuman itu dan mengarahkan tertuduh mengemukakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjaminDSP disabit bersalah rasuah - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Diperintah bela diri

SEREMBAN: Dua saudara sepupu diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, terhadap tuduhan membunuh seorang wanita bakal pengantin dan cubaan membunuh ibu mangsa di Simpang Durian, Jelebu, pada Mei tahun lalu.

Hakim Datuk Zulkifli Bakar memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh iaitu seorang juvana berusia 16 tahun dan sepupunya, Mohd Azmi Ibrahim, 23.


Mengikut tuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa membunuh seorang wanita warga Indonesia, Christy Erny, 19, di Taman Desa Permai, Simpang Durian, Jelebu, kira-kira jam 5 petang, 12 Mei lalu. Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, mereka didakwa cuba membunuh ibu mangsa dikenali sebagai Sumirnah, 39, di lokasi, masa dan tarikh sama.


Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Mahkamah menetapkan perbicaraan kes itu disambung semula hari ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharudin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili Hanif Hassan.myMetro | Diperintah bela diri:

'via Blog this'

Tekan dada mayat

GEORGETOWN: “Saya tidak akan lupa sampai bila-bila kerana tidak pernah lihat mayat dalam keadaan ngeri begitu,” kata seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Raj mengenai kejadian seorang remaja dipercayai terjatuh dari tingkat enam sebuah pusat membeli belah, di sini, petang kelmarin.

Menurutnya, dia gementar melihat keadaan mayat terbabit dengan kesan darah, kaki patah dua, cermin mata dan kasut berselerak.

Katanya, situasi dihadapinya pengalaman pertamanya menyebabkannya terkedu dan terkejut.

“Beberapa pengunjung lain juga menjerit takut melihat mayat dalam ngeri begitu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Menurut Raj, mulanya dia sangkakan berlaku kemalangan jalan raya selepas terdengar bunyi dentuman sebelum meninjau kawasan sekitar dan melihat ada mayat di tepi pusat beli-belah itu.myMetro | Tekan dada mayat:

'via Blog this'

Cari mangsa

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki akan menunggu mangsa dalam kereta miliknya jenis Proton Wira kelabu seawal jam 7 pagi di luar kawasan sekolah dan memerhatikan setiap pergerakan pelajar.

Mana-mana pelajar perempuan bersendirian akan dihampiri sebelum dipeluk dan ditutup mulutnya daripada belakang. Suspek berusia 30-an itu akan mencabul mangsa sebelum memaksanya menyerahkan wang.


Itulah taktik seorang lelaki dipercayai ‘gila seks’ dikesan menyasarkan pelajar sekolah untuk melakukan perbuatan terkutuknya itu.

Bagaimanapun, dalam dua kejadian di sebuah sekolah perempuan sama di ibu kota, kelmarin dan semalam, seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun cedera di tangan dan lutut apabila terjatuh ketika melarikan diri selepas bergelut dengan lelaki terbabit.


Bimbang keselamatan pelajar, dua laporan polis dibuat guru sekolah itu di Balai Polis Tun HS Lee.


Dalam kejadian pertama kira-kira jam 2 petang kelmarin, lelaki itu dipercayai berang selepas gagal menemui mangsa dilaporkan menunjukkan kemaluannya kepada seorang pelajar perempuan baru hendak meninggalkan kawasan sekolah.

Menurut sumber, pelajar berusia 16 tahun itu yang terkejut dengan perbuatan suspek berlari masuk semula ke sekolah sebelum mengadu kepada guru kelasnya.


“Mangsa mendakwa seorang lelaki berada berhampiran kereta jenis Proton Wira tiba-tiba keluar sebelum menunjukkan kemaluan. Guru berkenaan membuat laporan polis,” katanya.

Dalam kejadian kedua kira-kira jam 7.30 pagi semalam, sumber berkata, seorang lagi pelajar berusia 17 tahun dalam perjalanan untuk masuk ke sekolah ‘diserang’ daripada belakang dipercayai oleh lelaki sama.


“Mangsa mendakwa dipeluk sebelum lelaki itu menutup mulutnya menggunakan tangan kirinya. Lelaki itu kemudian meraba tempat sulit mangsa.


“Lelaki itu memaksa mangsa menyerahkan wang kepadanya. Bagaimanapun, tindakan mangsa meronta-ronta dan melawan menyebabkan lelaki terbabit terpaksa melepaskannya,” kata sumber itu.


Mangsa yang melihat lelaki itu cuba mengejarnya menjerit meminta pertolongan dengan kuat menyebabkan lelaki berkenaan panik dan melarikan diri.


Sumber berkata, lelaki terbabit segera berlari ke keretanya berhampiran kawasan itu sebelum memecut.


Beliau berkata, mangsa kemudian berlari masuk ke sekolah dan mengadu kejadian menimpanya itu kepada pihak pengurusan sekolah.


Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian kedua itu, satu lagi laporan polis dibuat pihak pengurusan sekolah berkenaan di balai polis sama kerana bimbang lelaki berkenaan akan kembali mengganggu pelajar lain.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.myMetro | Cari mangsa:

'via Blog this'

Mesin gerudi hentak juruteknik

GOMBAK: Hanya kerana dituduh menjual mesin gerudi elektrik yang sudah dibaiki kepada orang lain, seorang juruteknik dibelasah pemilik barangan itu yang naik angin dalam kejadian di sebuah kedai barangan perkakasan am dan logam di Selayang Baru, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa yang berusia 24 tahun menyusun barangan di dalam kedai sebelum didatangi seorang lelaki berusia 20-an meminta dia menunjukkan rakaman litar tertutup (CCTV) dalam kedai itu.


Menurut sumber, pelik dengan sikap lelaki terbabit, mangsa cuba meminta penjelasan sebelum dia diberitahu ingin melihat bukti rakaman CCTV yang mendakwa mangsa menjual mesin gerudi elektrik kepada seseorang.

“Terkejut dengan tuduhan itu, mangsa menafikannya dan memberitahu sudah menyerahkan semula peralatan berkenaan sehari sebelum itu.


“Bagaimanapun, lelaki terbabit memberitahu mangsa berbohong kerana tidak menerima alat itu. Malah, sekali lagi mendesak mangsa membenarkannya melihat rakaman CCTV bagi membuktikan dia bercakap benar,” katanya.


Sumber berkata, mangsa memberitahu rakaman CCTV itu tidak boleh dilihat kerana kedudukan ia terhalang dengan kotak yang disusun tinggi.

“Jawapan mangsa menyebabkan lelaki terbabit naik marah lalu memaki-hamun. Mangsa meminta lelaki terbabit bertenang sebelum dia menunjukkan resit peralatan itu sudah diserahkan kepadanya.


“Namun tindakan mangsa itu menyebabkan lelaki terbabit gagal mengawal diri lalu mengambil mesin gerudi elektrik milik pelanggan lain dan cuba menghentak ke kepala mangsa,” katanya.

Menurutnya, terkejut dengan tindakan itu, mangsa mengelak dan memberitahu akan melaporkan kejadian itu kepada polis jika suspek memukulnya.


“Namun amaran mangsa tidak diendahkan sebaliknya lelaki itu menghentak mesin berkenaan ke kepala mangsa beberapa kali sebelum memukulnya.


“Sebaik lelaki itu beredar, mangsa yang cedera di kepala membuat laporan di Balai Polis Selayang,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.myMetro | Mesin gerudi hentak juruteknik:

'via Blog this'

5 sekawan didakwa

PETALING JAYA: Lima rakan dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan memecah masuk kedai kasut dan gambar selain cubaan merompak sebuah kedai pajak gadai di Sungai Way, di sini, lima bulan lalu.

Kelima-lima tertuduh itu bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.


Mereka adalah Chong Kui Song, 53, Chu Cher Ming, 46, Chiam Chee Wee, 34, Cheng Kar Yong, 43, dan Chia Kok Choon, 32.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Chong didakwa melakukan pecah masuk kedai kasut Juke Box dan kedai gambar YS Photo & Telecommunication, antara 11 malam 31 Ogos tahun lalu hingga 3.40 pagi pada 1 September tahun lalu di Jalan SS9A/1, Sungai Way.


Dalam kejadian itu, dia didakwa mencuri wang tunai RM15,000.myMetro | 5 sekawan didakwa:

'via Blog this'

Pengedar dadah Filipina menangis dihukum mati

SHAH ALAM: Seorang wanita Filipina hanya mampu menangis teresak-esak apabila dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah mengedar 2.4 kilogram (kg) kokain yang dilarutkan dalam tuala di Sepang, dekat sini, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Jeanette Congcan Opena, 32, yang juga pemilik kafe siber di negara asalnya selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Siti Mariah pada penghakimannya berkata, pihaknya mendapati keterangan wanita itu ketika membela diri amat meragukan, rekaan dan adalah penafian semata-mata. Beliau berkata, tertuduh bukanlah keldai dadah, tetapi sebaliknya mempunyai pengetahuan terhadap dadah yang ditemui dalam beg yang dibawanya. Menurutnya, pembelaan wanita itu bahawa dia diupah seorang wanita dikenali di Thailand bernama Mei untuk membawa barangan itu daripada Sao Paulo, Brazil adalah tidak masuk akal. “Mei boleh meminta pekerja syarikatnya untuk membawa balik dokumen sulit daripada Sao Paulo atau pun menggunakan khidmat kurier untuk tujuan itu,” katanya.

Selain itu, katanya, Jeanette sebagai orang berpendidikan seharusnya mencurigai niat individu ditemui di Sao Paulo yang kemudiannya memberi 10 tuala dan bukan dokumen sulit kononnya untuk dikirim kepada Mei. Menurutnya, keterangan tertuduh juga menyatakan tuala itu berbau busuk, tetapi dia masih membawa beg mengandungi barangan itu untuk dibawa dari Brazil ke negara ini.


Malah, katanya, wanita itu juga mempunyai kunci beg berkenaan pada masa tangkapan.


Mengikut pertuduhan, Jeanette didakwa mengedar dadah berbahaya itu di Aras 3, Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, jam 3.30 petang pada 4 Disember 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.myMetro | Pengedar dadah Filipina menangis dihukum mati:

'via Blog this'

Kekasih didakwa

SELAYANG: Teman lelaki kepada seorang kerani bank, Rozana Mohd Yusak, 36, yang dibunuh kejam di Kepong, bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam bersama rakannya atas tuduhan menyebabkan kematian wanita itu.

Kedua-dua tertuduh, pengawal keselamatan, Muhamad Faizul Mohd Ali, 27, dan penganggur, Muhammad Zal Haziq Razali, 23, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Isa Md Nor.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Rozana di kediaman mangsa iaitu di sebuah rumah kedai di Jalan Puncak Desa 2, Kepong, jam 12 tengah malam hingga 1.15 pagi, 21 Disember lalu. Bagi tuduhan itu, Muhamad Faizul, kekasih Rozana, dan Muhammad Zal Haziq didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Kedua-dua mereka berdepan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Hamzah.

Mohd Isa kemudian menetapkan kes itu disebut semula pada 28 Februari depan bagi menunggu laporan forensik, kimia serta bedah siasat. Harian Metro pada 22 Disember lalu melaporkan seorang kerani bank terpaksa mengesot sejauh lima meter dalam kesakitan bagi meminta pertolongan orang ramai menerusi tingkap rumah sewanya di Jalan Puncak Desa 2, Kepong.


Bagaimanapun, mangsa yang dihantar ke Hospital Selayang oleh seorang jiran, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan jam 2.10 pagi kerana cedera parah di bahagian badan selepas didapati ditikam 35 kali di seluruh tubuhnya.

Selepas kejadian itu, lima suspek ditahan polis bagi membantu siasatan, namun hanya dua saja iaitu Muhamad Faizul dan Muhammad Zal Haziq menghadapi pertuduhan, manakala tiga yang lain dibebaskan selepas ditahan reman.myMetro | Kekasih didakwa:

'via Blog this'