Search This Blog

Sunday, January 8, 2012

Penduduk dihantui kes rompak


ROSDALILAH ZAHARI
January 8, 2012
penduduk

HULU KINTA – Serangan sekumpulan perompak ke atas seorang pemuda, A Ganesh Kumar, 24, di Lorong Bunga Raya 3, Kampung Tersusun Batu Lapan, di sini, pada awal pagi, Khamis lalu, menyebabkan penduduk kampung berkenaan tidak mampu lagi berdiam diri.

Bapa mangsa, C Arasu, 56 berkata, anaknya kini terlantar di hospital kerana mengalami kecederaan serius dalam kejadian yang berlaku pada jam 1.20 pagi itu.

Menurutnya, Ganesh Kumar baru pulang ketika itu selepas menghabiskan tugasnya di Loji Penapis Air Ulu Kinta dan terlihat kelibat empat lelaki dipercayai sedang mengumpil cermin tingkap rumah mereka.

“Melihat keadaan itu, anak saya segera mengambil kapak untuk mempertahankan diri, namun telah diserang kumpulan lelaki terbabit secara bertubi-tubi, menyebabkan dia mengalami kecederaan serius.

“Saya sedang tidur ketika itu dan tidak menyedari apa yang berlaku sehinggalah mendengar suara anak saya mengerang kesakitan dan terkejut melihat keadaannya dengan beg duit serta telefon bimbit bertaburan di lantai,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, Ganesh Kumar terpaksa dihantar dan ditahan di wad Hospital Pakar Ipoh (KPJ-ISH) pada hari kejadian dan dia bersyukur kerana jiran tetangga menyedari kejadian itu, sekali gus mengelak daripada berlaku kehilangan nyawa.

Kejadian berkenaan, secara tidak langsung menyebabkan Arasu serta lain-lain penduduk tidak dapat berdiam diri dan menggesa pihak bertanggungjawab untuk memandang serius kejadian berkenaan supaya tiada nyawa yang melayang selepas keja­dian­ itu.


Berlarutan sejak November

SEORANG penduduk yang pernah menjadi mangsa rompak di situ, G Vadiveloo, 54 memaklumkan kejadian rompak di situ telah berlarutan sejak November tahun lalu.

“Kejadian berkenaan semakin menjadi-jadi sehingga ke awal tahun ini dan sepanjang 15 tahun saya tinggal di sini, kejadian yang saya alami merupakan kejadian terburuk.

“Rumah saya pernah dimasuki empat lelaki bersenjata parang dan bertopi keledar pada kira-kira jam 10 malam, 10 November lalu dan saya mengalami kecederaan akibat ditetak oleh perompak terbabit,” katanya.

Vadiveloo berkata, dia menerima lapan jahitan di belakang bahu kanan akibat tetakan­ itu, namun anak perempuan serta isterinya terselamat.

Katanya, dalam kejadian berkenaan, sebuah kereta jenis Honda City milik anaknya, beberapa kad ATM, komputer riba, wang tunai, tiga telefon bimbit serta beberapa bara­ngan­ lain telah dilarikan dan kejadian telah dilaporkan kepada polis dalam kadar segera.

“Hasil rompakan tidak dijumpai hingga kini dan kerana kekurangan bukti semua perompak terbabit telah dibebaskan selepas ditahan reman selama 14 hari.

“Selepas mereka dibebaskan, kawasan perumahan ini sekali lagi didatangi sekumpu­lan­ perompak yang semakin aktif melakukan jenayah dan saya sekeluarga sentiasa dalam ketakutan kerana risau kejadian­ sama berulang kembali,” katanya.

Vadiveloo tidak menolak kemungkinan, kumpulan perompak yang semakin aktif hingga kini merupakan kumpulan sama merompak rumahnya berdasarkan gambaran beberapa mangsa lain di kawasan perumahan itu.


Akan ambil tindakan

Ketua Kampung (JKKK) Kampung Tersusun Batu Lapan/Bandar Baru Putra/Villa MDP, Mohd Tahir Zakaria memaklumkan, lima kes rompak telah berlaku di kawasan berkenaan sehingga Khamis lalu.

Menurut beliau, modus operandi yang digunakan kumpulan perompak terbabit dilihat sama dan mereka seolah-olah sudah biasa dengan keadaan di kawasan itu.

“Beberapa langkah keselamatan telah diambil dalam usaha mengelak kejadian sama berulang. Antaranya, menubuhkan pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Kampung Tersusun Batu Lapan.

“Kami telah menubuhkan KRT sebelum ini, namun belum didaftarkan secara rasmi dan kami akan menyegerakan pendaftarannya selepas ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut beliau, Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah dihubungi dan dimaklumkan akan memasang lampu jalan di kawasan berkenaan dalam masa terdekat.

“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga telah memaklumkan kami, yang mereka akan membersihkan kawasan semak berhampiran bagi me­ngelak ia dijadikan tempat persembunyian kumpulan perompak terbabit.

Luahan penduduk di kawasan berkenaan turut didengari Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran yang turut melawat kampung itu.Penduduk dihantui kes rompak - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Menggigil temui mayat


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 8, 2012
menggigil jumpa mayat

PONTIAN - "Pada mulanya, saya ingatkan bangkai haiwan kerana banyak anjing liar mengerumuninya.

"Namun, sangkaan saya meleset selepas terpandang kaki manusia, rupanya mayat yang berbau,” kata Mohd Ikrom Selamat, 30, yang menjumpai mayat seorang lelaki di kawasan tanah lapang di Kampung Sungai Burung, Pekan Nanas dekat sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, Mohd Ikrom yang terkejut dengan penemuan itu bertindak menghalau kumpulan anjing liar tersebut dengan membaling batu dan kayu ke arahnya.

“Selepas menghampiri, saya melihat mayat seorang lelaki terlentang tanpa memakai kasut. Mayat itu juga sudah berbau,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian.

Mayat mangsa yang ditemuinya dalam keadaan terlentang dengan berpakaian baju-T berbelang dan berseluar jean berwarna biru.

“Saya menggigil kerana tidak pernah melihat mayat seperti ini dan segera memberitahu penduduk kampung,” katanya.

Mohd Ikrom yang menemui seorang penduduk di situ, Razif Margono, 40, kemudiannya bertindak menghubungi Balai Polis Pekan Nenas.

Difahamkan, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahliman Jamin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.Menggigil temui mayat - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Siswi IKBN maut kereta dihempap pokok


08/01/2012 12:42pm

JOHOR BAHRU — Seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pontian maut manakala teman lelakinya parah apabila kereta yang mereka naiki dihempap dahan pokok tembusu di persimpangan Jalan Gertak Merah dan Jalan Datuk Menteri di sini, semalam.

Kejadian dalam keadaan hujan berhampiran Sekolah Kanak-Kanak Istimewa, di sini, itu berlaku pada pukul 3.30 petang ketika Sintayana Abas, 25, dan teman lelakinya yang hanya dikenali sebagai Farhan, 25, dalam perjalanan dari arah Zoo Johor ke pusat bandar raya.

Sintayana mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan Farhan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Kakak Sintayana, Kartini, 28, yang ditemui di rumah mayat HSA berkata, adiknya itu pulang bercuti di rumah keluarga mereka di Felda Bukit Aping, Kota Tinggi, tiga hari lepas.

Ibu Sintayana, Tuminah Abu Yamin, 56, yang dilihat masih terkejut dengan kejadian itu berkata anak ketujuhnya dari sembilan beradik itu akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Bukit Aping.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Zainuddin Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Lelaki Thai hilang di Sg. Golok ditemui mati


08/01/2012 2:26pm

TUMPAT — Lelaki warga Thai yang hilang di Sungai Golok selepas terjatuh dari bot yang dinaikinya ketika menyeberangi sungai itu semalam, ditemui mati lemas oleh pasukan penyelamat.

Ketua Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Ahmad Mazdan Jusoh berkata mayat remaja berusia 17 tahun itu ditemui pukul 6.15 petang semalam, kira-kira 30 meter dari tebing sungai di sebelah negara jiran.

"Dia warganegara Thai, kita bantu atas prinsip kerjasama dua negara dan kemanusiaan yang kita amalkan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Ahmad Mazdan berkata, lapan anggota bomba termasuk tiga dari Unit Skuba dan dibantu Pasukan Gerakan Marin, terlibat dalam operasi mencari yang turut melibatkan pasukan penyelamat dari negara jiran.

Beliau berkata, dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa dikatakan cuba menyeberangi sungai tersebut yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand, untuk memasuki negara ini dengan menaiki sebuah bot tetapi mengalami kekejangan otot dan terjatuh ke sungai sebelum dihanyutkan arus deras.

"Dia dikatakan cuba berpaut pada sebuah tong minyak tetapi gagal dan hilang dari pandangan orang awam yang menyaksikan kejadian itu,” katanya. — BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Lelaki maut dipercayai terlebih ambil ubat kuat


08/01/2012 3:34pm

JAKARTA — Seorang lelaki warganegara Malaysia ditemui mati di sebuah bilik hotel di sini pagi Ahad dan polis percaya beliau mati akibat terlebih mengambil ubat kuat (peransang seks).

Difahamkan mayat lelaki berusia 56 tahun itu dijumpai pada kira-kira pukul 5 pagi. Beliau berasal dari Selangor.

Polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat. Jenazahnya dihantar ke rumah mayat Hospital Cipto Mangunkusumo (RSCM) untuk bedah siasat.

Polis telah memaklumkan kejadian itu kepada Kedutaan Besar Malaysia di sini. — BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Ibu mangsa dera diminat bantu selesaikan kes


08/01/2012 3:46pm

ALOR SETAR 8 Jan. — Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) Kedah meminta ibu kepada kanak-kanak mangsa dera, Mohamad Akmal Hakimi, 5, tampil bagi mengembalikan kanak-kanak itu kepadanya semula.

Pengarah JKM Kedah, Zulkiply Ramli berkata, ibu kandung Mohamad Akmal yang dikenali sebagai Siti Haya Anuar, 38, beralamat terakhir di No.27 Jalan Sahabat, Off Jalan Tong Shin, Bukit Bintang, Kuala Lumpur berdasarkan sijil kelahirannya.

"Kita meminta ibu kandung Mohamad Akmal agar tampil bagi melengkapkan dokumen yang diperlukan oleh kanak-kanak tersebut kerana belum sah taraf,” katanya pada sidang media di pejabat JKM negeri di sini hari ini.

Zulkiply berkata, JKM memperoleh perintah jagaan sementara daripada Majistret Mahkamah Bagi Kanak-kanak Alor Setar selama sebulan bertujuan melakukan siasatan mencari serta mengesan ibu kandung Mohamad Akmal.

Jika waris atau ibu kandungnya gagal ditemui dalam tempoh itu kanak-kanak berkenaan akan ditempatkan di Rumah Kanak-kanak di Kepala Batas, Pulau Pinang atau JKM akan mendapatkan keluarga angkat yang sesuai untuknya.

Zulkiply menjelaskan, buat sementara waktu kanak-kanak itu dijaga bekas pengasuhnya yang pernah menjaga dan memelihara sejak berumur 45 hari hingga empat tahun sebelum diserahkan kepada keluarga angkatnya.

Penjaganya yang tinggal di Klang, Selangor telah menyerahkan Mohamad Akmal kepada keluarga angkat pada penghujung Sept. 2010 dan seterusnya mengangkat kanak-kanak itu pada 16 Mei tahun lalu di JKM negeri tanpa pengetahuan penama (ibu kandung).

Ibu kandung, waris atau mana-mana individu yang mengenali Mohamad Akmal boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak JKM Kota Setar di talian 04-7202370/ 7202351 (pegawai berkenaan iaitu Mohd. Basharudin Samsudin). — BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Dua maut dalam nahas di Kuantan


08/01/2012 5:42pm

KUANTAN — Seorang pemandu lori dan kelindannya maut apabila lori sayur yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori lain di Km14 Jalan Kuantan-Bypass di sini, awal pagi ini.

Pemandu lori, Kaswadi Jusoh, 51, dan kelindannya, Khairol Amirol Sollah, 19, kedua-duanya berasal dari Kemaman, Terengganu mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt. Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian 6.45 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Kemaman menuju ke Kuantan.

"Lori yang dipandu Kaswadi melanggar bahagian belakang sebuah lori yang bergerak dari arah yang sama. Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk mereka,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Jenazah mereka dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat. — BERNAMAKosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

‘Mat motosikal’ bergaduh


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 7, 2012
‘Mat motosikal’ bergaduh

ALOR GAJAH - Berpunca daripada wang pertaruhan kegiatan lumba haram sebanyak RM100, kira-kira 50 remaja belasan tahun sehingga awal 20-an terbabit dalam pergaduhan di persimpangan Pegoh, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, remaja dipercayai membabitkan dua kumpulan bermotosikal berkumpul di ruang jalan berdekatan sebuah kedai makan di kawasan berkenaan sehingga berlaku kekecohan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang ramai berhubung kejadian itu.

“Dua kereta peronda polis membabitkan beberapa anggota tiba di lokasi kejadian menyebabkan remaja yang memenuhi kawasan itu bertempiaran lari.

“Bagaimanapun sembilan remaja berusia lingkungan 20-an yang berada di situ ditahan, selain empat motosikal yang ditinggalkan kumpulan remaja terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pergadu­-han berkenaan tidak melibatkan sebarang kecederaan berikutan kepantasan anggotanya meleraikan kekecohan sebelum merebak.

“Bagaiamanapun, satu daripada empat motosikal dirampas itu, sebuah daripadanya jenis Yamaha 135 LC dilaporkan hilang di Nilai, Negeri Sembilan dipercayai dicuri,” ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis (IPD) Alor Gajah, di sini semalam.

Umar Ali berkata, kejadian terbabit bagaimanapun tidak membabitkan kecederaan dan tiada sebarang senjata atau alat digunakan.

“Kesemua sembilan remaja yang ditahan itu juga dilepaskan selepas polis berpuas hati dengan keterangan diberikan,” katanya.

Berdasarkan sumber, kekecohan berlaku berpunca daripada rasa tidak puas hati kumpulan terbabit dengan wang pertaruhan sebanyak RM100 untuk kegiatan lumba haram motosikal.

Sementara itu, seorang saksi kejadian berusia 37 tahun berkata, sebelum kekecohan berlaku, terdapat kurang sepuluh remaja dengan enam motosikal di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, bilangannya bertambah apabila kelihatan beberapa remaja bermotosikal tiba di tempat kejadian sehingga mencetuskan kekecohan.

“Mereka kelihatan menempelak serta tolak menolak antara satu sama lain sehingga polis tiba dan beberapa remaja kelihatan bersembunyi di belakang kedai,” katanya.‘Mat motosikal’ bergaduh - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ditetak dalam bas ekspres


MOHD TAHA YAACOB
January 8, 2012
ditetak

JERTIH - Seorang lelaki tidak dapat melupakan peristiwa menakutkan apabila dia ditetak seorang penjenayah dalam bas ekspres ketika dalam perjalanan dari Machang, Kelantan ke Jertih minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 5.10 pagi itu, bahu kiri mangsa yang hanya mahu dikenal sebagai Saiful luka sepanjang beberapa sentimeter akibat ditetak dengan sebilah pisau pemotong daging oleh lelaki tidak dikenalinya.

Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana memakai baju sebanyak dua lapis sementara tangan penjenayah dikatakan tersekat pada kerusi bas menyebabkan kecederaan dialaminya tidak parah.

“Saya tidak akan melupakan kejadian itu sampai bila-bila, hanya Tuhan yang melindungi saya ketika itu.

“Jika tidak, tetakan itu pasti terkena kepala saya dan sudah tentu saya berdepan risiko kematian,” katanya yang menerima empat jahitan akibat kecederaan tersebut.

Saiful berkata, pada malam Isnin lalu, dia bersama seorang rakannya menaiki bas ekspres tambahan dari Hentian Bas Putra, Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah ibu bapanya di sebuah taman perumahan di Kampung Padang Luas.


Sub-head: Hanya sedar bahu cedera ketika turun bas

Menurutnya, apabila tiba di Machang dia dikehendaki bertukar bas ekspres lain untuk ke Jertih berikutan bas pertama yang dinaiki akan menuju ke Pasir Mas, Kelantan.

“Saya dipindahkan menaiki sebuah bas ekspres yang ditetapkan manakala rakan saya menaiki bas pertama ke Pasir Mas.

“Saya mengambil kerusi kedua terakhir dan ketika itu penumpang tidak ramai manakala suspek duduk di kerusi belakang saya,” katanya.

Saiful berkata, tiba-tiba lelaki tersebut menendang kerusinya menyebabkan dia bertanya mengapa lelaki itu bertindak demikian.

Lelaki itu hanya berdiam diri dan selang tidak lama kemudian dia sekali lagi menendang kerusi Saiful malah lebih kuat berbanding sebelum itu.

“Apabila dia melakukan kali kedua saya bertanya kepadanya mengapa melakukan demikian sedangkan saya tidak berbuat apa-apa malah kerusi tempat duduk saya tidak dibaringkan ke arahnya.

“Sebaik saya marahkannya dia kata kepada saya ‘nak parang’,” katanya yang sama sekali tindak menyangka suspek ingin mencederakannya,” katanya.

Saiful kemudiannya berpindah ke tempat duduk lain selang beberapa kerusi di bahagian depan dan ketika bangun dia ternampak suspek seolah-olah mencari sesuatu di dalam begnya.

Sebaik dia duduk di kerusi suspek datang ke arah dan melibas bahunya dan Saiful melawan dengan menolak suspek sebelum suspek kembali ke kerusinya.

Namun, dia tidak menyedari suspek menetak bahunya sebaliknya menyangka dia hanya ditumbuk sahaja kerana ketika itu cahaya dalam bas samar-samar.

“Ketika saya hendak turun bas di tepi jalan berhampiran rumah saya, baru saya terasa pedih, berdarah, lenguh dan kemudian mendapati bahu saya cedera,” katanya mengenai kejadian yang berlaku di kawasan Wakaf Lichong, Pasir Putih.

Katanya, rupa-rupanya pisau yang digunakan suspek terlepas daripada tangannya selepas melibas Saiful dan disembunyi seorang penumpang wanita yang berada berdekatan.

Sebaik Saiful turun penumpang itu memberi pisau tersebut kepada wanita lain sebelum diserahkan kepada pemandu bas yang kemudiannya bertindak memberhentikan bas di Balai Polis Jertih dengan mengunci suspek di dalam kenderaan itu, suspek berumur 38 tahun itu kemudiannya berjaya ditahan.

Suspek yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur dikatakan Tahanan Buang Daerah (PCO) di Kampung Raja kerana masalah dadah selain mempunyai banyak rekod lampau termasuk samun.

Suspek kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Putih untuk tindakan seterusnya.Ditetak dalam bas ekspres - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Arak RM1.7 juta dirampas


SITI NOOR SEPEE
January 7, 2012
Arak RM1.7 juta dirampas

JOHOR BAHRU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) negeri berjaya menggagalkan dua cubaan seludup minuman keras dalam masa 10 minit, membabitkan nilai cukai kira-kira RM1.7 juta, di sini, kelmarin.

Pengarahnya, Datuk Ramli Johari berkata, pihak­nya menahan sebuah van kira-kira jam 7.15 pagi di laluan kereta di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

“Hasil pemeriksaan menemui 50 kotak minuman keras jenama Bacardi dan 39 kotak arak jenama Baileys tanpa cukai, ditutup menggunakan kain berwarna hitam untuk dibawa masuk ke negara ini,” katanya.

“Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM65,400 dengan nilai cukai RM93,269.91,” katanya dalam sidang media di Menara Jabatan KDRM, di sini, semalam.

Menurutnya, pemandu van berumur 24 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Selang 10 minit kemudian, kira-kira jam 7.25 pagi, kita menahan seorang lelaki berumur 30 tahun yang memandu sebuah van kerana cuba menyeludup masuk sebanyak 80 kotak minuman keras jenama Glenfidich Scotch,” katanya.

Katanya, suspek kedua juga menggunakan taktik sama iaitu menutup kotak berisi minuman keras tanpa cukai dengan kain berwarna hitam bernilai RM48,000, manakala cukai bernilai RM78,191.52.

“Kita percaya kedua-dua suspek mempunyai kaitan berdasarkan taktik yang digunakan. Mereka turut direman bagi membantu sia­satan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan kesemua suspek turut berdepan dengan hukuman denda maksimum 20 kali nilai atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan lain, Ramli turut memaklumkan pihaknya berjaya menggagalkan 687 kes penyeludupan dengan nilai dagangan RM39,027,472 membabitkan cukai sebanyak RM139,441,755.10 sepanjang 2011.Arak RM1.7 juta dirampas - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kondo jadi makmal proses dadah


HASNIZA HUSSAIN
January 7, 2012
Kondo jadi makmal proses dadah

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan tertangkapnya seorang pelajar lelaki warga Iran, dan merampas syabu bernilai kira-kira RM5.5 juta di kawasan Solaris Dutamas di sini, Rabu lalu.

Penahanan dibuat kira-kira jam 5.30 petang oleh dua anggota polis bantuan yang sedang menjalankan rondaan di kawasan bangunan, di situ.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pemeriksaan lanjut ke atas suspek berusia 22 tahun itu menemui sebanyak 12 plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kristal yang disyaki syabu seberat lebih 10 kilogram (kg).

Beliau berkata, hasil soal siasat ke atas suspek, polis kemudiannya menyerbu sebuah unit kondominium di kawasan sama kira-kira satu jam kemudian yang dipercayai dijadikan makmal memproses dan membungkus dadah.

“Siasatan dalam premis menemui sejumlah serbuk dan ketulan kristal dadah syabu yang diletakkan atas dua helai kertas dipercayai untuk proses pengeringan dadah itu.

“Kita turut rampas dua periuk nasi berisi bahan mentah yang dibekukan dalam peti sejuk disyaki syabu seberat 8,700 gram,” katanya pada sidang akhbar, semalam.

Mohmad berkata, pemeriksaan lanjut dalam premis menemui 10 botol plastik mengandungi dua liter cecair Acetone dipercayai digunakan suspek untuk membersihkan syabu agar kelihatan putih atau lebih tulen.

“Siasatan awal menunjukkan suspek aktif memproses dan mengedar dadah sejak beberapa bulan lalu untuk pasaran Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, semakan menunjukkan suspek berada di negara ini sejak 26 Oktober tahun lalu dan dijangka mendaftar untuk belajar dalam jurusan Bahasa Inggeris di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di ibu negara.

Katanya, ujian awal air kencing menunjukkan suspek positif syabu dan dia kini direman seminggu bermula kelmarin sehingga 11 Januari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.Kondo jadi makmal proses dadah - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kemalangan di New Jersey: Pelajar Malaysia stabil



January 8, 2012
Hospital Universiti Robert Wood Johnson

NEW YORK - Penuntut Malaysia yang disalah lapor oleh akhbar Amerika Syarikat sebagai terbunuh dalam kemalangan di New Jersey pada 2 Jan lepas, kini berada dalam keadaan stabil.


Doktor di Hospital Universiti Robert Wood Johnson di New Brunswick, New Jersey di mana Hennis Ling Tung sedang dirawat, dilapor berkata penuntut itu mengalami konkusi dan menjalani terapi bagi memulihkan ingatan.
Konsul Jeneral Malaysia di New York Syed Mohamed Bakri Syed Abdul Rahman turut melawat penuntut itu di hospital dan sempat bertemu dengan ibu bapa gadis tersebut.
"Tung telah sedar dan sudah boleh berkomunikasi secara perlahan-lahan.
Ibunya terpaksa berbisik kepadanya untuk memberitahu saya datang sebagai konsul jeneral Malaysia.
"Gadis itu menganggukkan kepala dan menyapa saya. Berdasarkan maklumat yang saya terima daripada hospital, beliau patah tulang rusuk," kata Syed Bakri.
Akhbar Republic yang berpangkalan di Columbus, Indiana telah melaporkan seorang penuntut Malaysia terbunuh apabila kereta yang dinaikinya bersama empat lagi terbabas di laluan Interstate 78.
Bagaimanapun, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengeluarkan satu kenyataan kemudian mengesahkan pelajar wanita itu selamat.
Tung, 20, merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Ohio.Kemalangan di New Jersey: Pelajar Malaysia stabil - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ibu hamil redha kaki dipotong


NURLIZA ELAMI
January 8, 2012

YAN - “Saya reda kaki kanan terpaksa dipotong asalkan kandungan selamat,” demikian kata ibu hamil tujuh bulan yang terpaksa berdepan dengan takdir apabila kaki kanannya terpaksa dipotong akibat cedera parah dalam kemalangan.

Siti Asma Abd Majid, 24, berkata, kaki kanannya terpaksa dipotong dalam satu pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, jam 3 pagi 1 Januari lalu, akibat cedera parah setelah dirempuh sebuah kereta.

Menurutnya, dia pasrah dengan apa yang terjadi dan kini berharap agar kandungannya selamat sehingga dilahirkan iaitu 11 Mac depan.

Mengimbau kembali kejadian yang berlaku pada 31 Disember tahun lalu, Siti Asma berkata, ketika itu dia dan suaminya, Mohd Maizrien Mat Tahar, 26, menaiki motosikal untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Keda Sungai Udang dan berhenti sebentar di tepi jalan untuk berbual dengan abangnya.

“Saya dan suami duduk di atas motosikal sambil berbual dengan abang yang baru pulang dari laut di tepi jalan berhampiran sungai itu.

“Pada masa sama, saya sedar sebuah kereta dari arah sama menuju Kampung Keda Sungai Udang sangat laju dengan bunyi enjinnya yang kuat dan kami sempat menoleh ke arah kereta itu dari belakang,” katanya.

Siti Asma berkata, kemudian mereka menoleh semula ke arah abangnya dan menyambung perbualan.

Menurutnya, sejurus itu mereka dirempuh kereta berkenaan dan hanya menyedari ketika mendapati dirinya sudah berada di atas jalan dengan cedera parah di kaki kanan.

Dalam perkemba­ngan sama, Mohd Maizrien yang juga anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan berpangkat Lans Koperal berkata, dia dan Siti Asma melambung apabila dirempuh kereta berkenaan namun bersyukur keadaan kandungan Siti Asma selamat.

“Walaupun isteri saya terpaksa melakukan pembedahan memotong kaki kanannya hingga paras atas lutut akibat kecederaan parah, namun kami bersyukur keadaan kandungan anak sulung kami selamat,” katanya.

Mohd Maizrien berkata, dia turut cedera parah pada bahagian kaki kanan dan kini mereka berdua dirawat di Hospital Yan.

Penyelaras Parlimen Jerai, Datuk Suhaimi Abdullah turut meluangkan masa melawat mereka berdua di Hospital Yan, kira-kira jam 11 pagi, semalam.Ibu hamil redha kaki dipotong - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Satu maut, sembilan cedera


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 8, 2012
kemalangan kereta

MARANG – Seorang pemuda maut manakala sembilan lagi cedera selepas sebuah kereta terbabas merintangi jalan sebelum dirempuh sebuah lagi kenderaan di Kilometer 36.5, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di selekoh Serating di sini, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa Mohd Tarmizi Mohamad, 29, yang beralamat dari Kampung Teluk Pasu, Manir, Kuala Terengganu itu disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospitak Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Dua lagi rakan mangsa yang menaiki Proton Wira Aeroback mengalami kecederaan pada badan, kaki dan tangan manakala pemandu Perodua Alza, Efendi Arif, 28, bersama enam lagi ahli keluarganya cedera seluruh anggota badan.

Difahamkan mangsa maut adalah penumpang Proton Wira Aeroback yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kemaman. Kereta itu terbabas dan merintangi jalan sebelum dirempuh Perodua Alza dipandu Efendi dari arah bertentangan.

Sementara itu, Efendi yang bersama ibunya, Wan Zaharah Wan Mohamad, 51, kakaknya, Maswina Arif, 29, dan isterinya, Noradia Che Kadir, 26, serta tiga kanak-kanak dalam perjalanan ke pusat bandar raya Kuala Terengganu untuk bersiar-siar.
“Abang tidak sempat brek”

Saksi kejadian, Abu Zaifah Arif juga merupakan adik kepada Efendi berkata, ketika tiba di tempat kejadian, abangnya terkejut apabila kereta Proton Wira Aeroback dinaiki lelaki terbabit yang berada di laluan kanan tiba-tiba membelok ke laluan kiri.

“Pemandu kenderaan itu dipercayai terbabas dan kereta itu merintangi jalan. Berikutan kejadian itu abang saya tidak sempat membrek lalu merempuh bahagian tengah kereta itu,” katanya yang berada di hadapan tidak jauh dari lokasi kejadian di sini, semalam.

Akibat rempuhan kuat itu, kesemua penumpang Perodua Alza dikatakan terhumban ke hadapan manakala pemandu dan dua penumpang Proton Wira Aeroback mengalami kecederaan pada anggota badan akibat rempuhan kuat kenderaan tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang, Mohd Zamri Awang Long berkata, seorang pegawai dan lima anggota berusaha membantu kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan selepas menerima panggilan kecemasan pada 11.57 pagi.

Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke HSNZ, Kuala Terengganu dan ke klinik kesihatan berdekatan untuk rawatan lanjut sebelum mangsa maut yang beralamat dari Kampung Teluk Pasu, Manir itu disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut bagaimanapun berkata, pihaknya masih menyiasat bagi mengenal pasti punca kemalangan tersebut.Satu maut, sembilan cedera - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lelaki sawan jatuh sungai

TUMPAT: Akibat diserang penyakit sawan, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Golok berdekatan Kampung Chenerong, Pengkalan Kubor, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi, Osman Ngo Lin yang berasal dari Kampung Talian, Takbai bersama dua lagi rakannya berusia 18 dan 19 tahun menaiki sebuah bot enjin galah untuk menahan pukat sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Rakan mangsa dikenali sebagai Man, 19, berkata, ketika kejadian dia mengemudi bot sebelum ternampak rakannya diserang sawan lalu terjatuh ke dalam sungai.
Katanya, melihat rakannya terjatuh, dia terjun ke sungai untuk menyelamatkannya, namun gagal berikutan arus deras.

“Rakan saya berbadan besar dan saya sukar memaut lengannya. Arus sungai deras menyukarkan saya menyelamatkannya.

“Setahu saya, dia boleh berenang tetapi akibat diserang sawan, dia tidak dapat mengawal dirinya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Sepupu mangsa, Satar Talibung, 40, berkata, sepupunya menghidap sawan sejak kecil dan tidak menyangka akibat penyakit itu, sepupunya jatuh ke dalam sungai.

“Sepupu saya memang suka menangkap ikan. Tak sangka pula hari ini (semalam) dia terjatuh ke dalam sungai akibat diserang sawan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor memaklumkan, pihaknya menerima laporan daripada penduduk kampung mengenai kejadian itu jam 10.21 pagi.

Katanya, walaupun mangsa penduduk negara jiran, pihaknya mengambil langkah bekerjasama dengan Polis Marin Takbai, Thailand bagi menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat.

“Lima anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor dikejarkan ke kawasan kejadian bersama satu Pasukan Penyelamat Di Air jabatan itu bagi mengesan mangsa.

“Operasi turut dibantu dua bot Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pengkalan Kubor,” katanya.

Sehingga jam 6 petang, mangsa belum ditemui.
myMetroLelaki sawan jatuh sungai:

'via Blog this'

Padah simpan kad kredit samun

JOHOR BAHRU: Tindakan bodoh seorang mat rempit menyimpan kad kredit milik mangsa samun dua tahun lalu sebagai kenangan sambil berjoli dengan rakannya membawa padah apabila dia ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

Suspek berusia 27 tahun bersama lima lagi rakannya berusia lingkungan 20-an ditahan di sebuah restoran di Taman Perling, di sini, jam 12.30 tengah malam Khamis lalu oleh sepasukan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ), Balai Polis Taman Perling bagi pemeriksaan rutin.


Seorang daripada mereka juga dipercayai ahli kumpulan samseng apabila menggunakan nombor pendaftaran JLJ3677 iaitu sinonim kepada kumpulan ‘36’ dan ‘77’ pada motosikal ditunggangnya, sebelum nombor itu disahkan palsu.myMetroPadah simpan kad kredit samun:

'via Blog this'