January 5, 2012

SUNGAI SIPUT – Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) maut akibat tertembak diri sendiri selepas senapang patah yang dibawanya meletup di kawasan hutan di Kampung Lasah, dekat sini, pada Ahad lalu.
'via Blog this'
SUNGAI SIPUT – Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) maut akibat tertembak diri sendiri selepas senapang patah yang dibawanya meletup di kawasan hutan di Kampung Lasah, dekat sini, pada Ahad lalu.
SIBU 6 Jan — Polis percaya telah dapat menyelesaikan kes bunuh empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak di Jalan RTM di sini dengan penahanan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dan ibunya yang berumur 44 tahun malam tadi.
Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Law Heng Soon berkata, remaja lelaki itu bekerja sebagai kelindan lori dan ibunya suri rumah dan mereka tinggal agak dekat dengan rumah mangsa.
"Saya gembira mengumumkan kami telah berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh empat hari selepas kejadian berlaku pada Isnin.
"Suspek dan ibunya kini berada dalam tahanan kami untuk kami mendapatkan lebih banyak maklumat untuk menyiapkan kertas siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata polis menahan ibu remaja itu kerana dipercayai dapat membantu dalam siasatan kes itu.
Heng Soon berkata, sebaik sahaja kertas siasatan siap, ia akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan.
Law menjelaskan, dengan penahanan dua beranak itu, isteri Ling yang merupakan warganegara China , Li Xiao Lan, 28, yang sebelum ini ditahan reman untuk siasatan selepas mengaku melarikan diri menerusi tingkap untuk pergi ke rumah jiran ketika kejadian, telah dibebaskan hari ini.
Mengenai sama ada remaja lelaki itu menghidapi masalah mental, beliau berkata, perkara itu sedang disiasat dan menurutnya remaja itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah mahupun penyalahgunaan dadah. — BERNAMA
KANGAR 6 Jan. - Seorang remaja dihukum penjara tiga bulan dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di Kuala Perlis pada hujung tahun lalu.
Shawari Osman, 22, mengaku melakukan perbuatan tersebut di Jalan Kuala Perlis - Changlun dan Jalan Persisiran Pantai Kuala Perlis pada pukul 7.10 malam, 27 November 2011.
Majistret Zuhair Rosli juga memerintahkan remaja itu yang tidak bekerja dikenakan hukuman penjara sebulan lagi sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Sementara itu, tiga lagi rakan Shawari iaitu Amirul Azmi, 19, dan dua pelajar, masing-masing berumur 16 serta 17 tahun turut mengaku bersalah atas tuduhan yang sama dan Zuhair menetapkan 4 dan 8 Februari ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap mereka.
Seorang lagi rakan mereka, Noorhafidakmaal Zairi, 20, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dan.
Sebutan kes terhadapnya ditetapkan pada 8 Februari ini untuk memberi peluang remaja itu melantik peguam bela.
Zuhair membenarkan Amirul diikat jamin RM3,000 manakala dua pelajar tersebut masing-masing RM1,000 sementara menunggu hukuman dijatuhkan.
Noorhafidakmaal pula dibebaskan dengan ikat jamin RM3,500.
Dakwaan terhadap kesemua tertuduh dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Amir Irwan Yaakob mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya. - UTUSAN
KUALA LUMPUR 6 Jan. - Seorang pembantu kedai makan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, dekat sini hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada sambutan tahun baru lalu.
Mohd. Ismail Johan, 23 didakwa melakukan perbuatan itu di bilik No. 13, Hotel Melawati, No. 321-A, 1, Lorong Selangor, Bandar baru Taman Melawati, Ampang Jaya dekat sini antara pukul 1.30 petang, 31 Disember 2011 dan pukul 2 pagi, 1 Januari lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Fadzlin Abd. Zawawi mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Bagaimanapun, tertuduh memohon perintah hukuman ke atasnya ditangguhkan kerana keluarganya yang kini berada di Kelantan merancang untuk melantik peguam bagi mewakilinya membuat rayuan sebelum hukuman dijatuhkan.
Hakim Manira Mohd. Nor yang membenarkan permohonan itu turut menetapkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh sementara menunggu hukuman dijatuhkan pada 31 Januari ini. - UTUSAN
LOS ANGELES - Seorang lelaki warga Jerman yang disyaki menyebabkan kebakaran 53 rumah dan kereta di bandar Hollywood, Amerika Syarikat ditahan, kelmarin.
Harry Burkhart, 24, ditahan di bandar itu selepas seorang anggota polis melihat suspek memandu van yang diburu pihak berkuasa selepas siri kebakaran tersebut yang menyebabkan kerugian lebih AS$2 juta (RM6.3 juta).
Tiada kebakaran baru dilaporkan sejak suspek ditahan tetapi polis menegaskan siasatan masih berjalan.
Serangan itu berlaku di sekitar Hollywood, Jumaat lalu, dengan 11 kebakaran dilaporkan dalam tempoh dua jam .
Sejak itu, lebih 50 kebakaran dilaporkan sehingga awal pagi kelmarin.
KUANTAN - Lima perompak dipercayai warga asing yang menceroboh masuk kediaman seorang pesara guru merampas beberapa bilah pisau pemotong sayur di bahagian dapur rumah tersebut sebelum digunakan sebagai senjata untuk mengugut mangsa bersama lima anaknya dalam satu kejadian samun di Jalan Alur Gajah 2, Kampung Kempadang, Sungai Soi dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa berusia 56 tahun bersama lima anaknya berusia 13 hingga 28 tahun bukan sahaja diugut dan diacukan pisau malah turut diikat menggunakan tali kasut sebelum dikumpulkan dalam sebuah bilik.
Penjenayah yang turut menyelimutkan mangsa dengan kain bertindak menggeledah rumah terbabit sebelum melarikan wang tunai RM5,800, lapan telefon bimbit, tiga jam tangan, dua komputer riba dan sejumlah barang kemas membabitkan kerugian keseluruhan dianggarkan lebih RM20,000.
Salah seorang mangsa, Isma Haryati Yahya, 28 berkata, ketika kejadian, dia, ibu dan adik-beradiknya yang lain sedang tidur dalam bilik berasingan manakala bapanya tiada di rumah.
Menurutnya, mereka dikejutkan dengan kehadiran lima lelaki bersenjatakan pisau dalam bilik tidur sebelum dia dan adik-adik diheret masuk dan dikumpulkan dalam bilik tidur ibunya.
“Sebelum itu, penjenayah sudah menggeledah bilik tidur kami dan melarikan sejumlah wang tunai dan beberapa barang berharga yang lain.
“Mereka juga turut mengacukan pisau dan mengarahkan kami membuka serta menyerahkan semua barang kemas yang dipakai,” katanya ketika ditemui di kediaman itu, petang semalam.
Isma berkata, mereka tidak berani untuk melawan kerana takut dicederakan perompak memandangkan setiap seorang daripada mereka memegang sebilah pisau yang diambil di dapur.
“Penjenayah masuk melalui pintu depan selepas mengumpil besi jeriji pintu gelongsor yang baru siap dipasang semalam (kelmarin).
“Mereka dipercayai ke ruang dapur terlebih dahulu untuk mengambil pisau sebelum masuk ke dalam bilik kami semua,” katanya.
Dia berkata, penjenayah agak berani kerana bertindak tanpa memakai penutup muka, bagaimanapun wajah mereka sukar dicamkan kerana ketika kejadian semua berada dalam ketakutan.
“Selepas mendapatkan habuan, penjenayah melarikan diri dengan meninggalkan kami semua dalam keadaan tangan terikat.
“Bagaimanapun kami semua berjaya melepaskan diri kerana ikatan tidak terlalu ketat sebelum menghubungi polis menggunakan sebuah telefon bimbit yang terselamat daripada dikebas penyamun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes rompakan terbabit.
Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengesan suspek terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
BANDAR PEKAN – Seorang nenek mendakwa dipukau selepas menyedari beg tangannya dilarikan dua lelaki tidak dikenali ketika pergi ke bandar untuk menyelesaikan urusan peribadi kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.
Mangsa, Sadiah Awang, 66, yang berseorangan dari Nenasi ke bandar menaiki bas mendakwa dipukau ketika dalam perjalanan ke terminal bas untuk pulang ke rumah selepas membeli barang keperluan di sebuah pasar raya di sini.
Menurutnya, ketika tiba di kawasan pondok telefon awam terminal bas, tiba-tiba dia ditegur dua lelaki berusia lingkungan 30-an di mana seorang daripadanya kemudian mengeluarkan sebentuk batu permata berwarna kuning daripada poket seluar untuk ditunjukkan kepada mangsa.
“Selepas memegang batu permata itu, saya seperti lupa segala-galanya dan hanya menurut ajakan untuk pergi ke bahagian belakang pasar raya berhampiran kerana mereka mahu memberi penjelasan lanjut mengenai batu tersebut.
“Ketika berada di belakang pasar raya itu, lelaki terbabit mengarahkan saya menyerahkan rantai bersama loket dan cincin emas termasuk beg tangan berisi RM200,” katanya.
Sadiah berkata, seorang daripada mereka kemudian memberi RM10 yang diambil daripada beg tangannya sendiri dan menyuruh membeli sabun serta air mineral sebelum mendapati mereka melarikan diri.
“Saya hanya sedar dipukau apabila pergi semula ke belakang pasar raya untuk menyerahkan sabun dan air mineral seperti diarahkan dua lelaki terbabit. Ketika itu, hanya Tuhan tahu perasaan saya.
“Walaupun sedar harta benda hilang, namun ingatan mengenai kejadian itu masih samar-samar hinggalah anak menemui dan membawa saya membuat laporan polis,” katanya.
Dalam kejadian itu, Sadiah kerugian lebih RM2,500 apabila barang kemas termasuk wang tunai miliknya dilarikan dua lelaki yang dipercayai mahir memukau menggunakan permata berwarna kuning.
Dia berharap orang ramai terutama mereka yang sering menggunakan kemudahan awam lebih berhati-hati untuk mengelak kejadian sama berulang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada Sadiah berhubung kejadian itu, kelmarin.
Yahaya berkata, menurut rekod, pihaknya ada menerima aduan kes seumpama itu dan berusaha mengesan kedua-dua penjenayah terbabit yang dipercayai mempunyai kemahiran melakukan rompakan menggunakan ilmu hitam atau pukau.
“Saya menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran menjual barangan seperti batu permata untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Sikap waspada dan sentiasa peka dengan keadaan persekitaran dapat membantu kita mencegah risiko kejadian jenayah,” katanya.
GEORGETOWN - Berselindung di sebalik syarikat perunding, sindiket antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi berjaya ditumpaskan polis dalam dua serbuan serentak di Lorong Kinta dan Tanjung Tokong.
Difahamkan sindiket yang dikenali sebagai "Macau scam" berjaya mengumpan ratusan rakyat China dan Taiwan untuk dijadikan mangsa, dengan jumlah kerugian mencapai RM10 bilion.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, serbuan yang dilakukan itu adalah susulan serbuan yang dijalankan di sebuah premis di Bayan Baru September lalu.
Abdul Rahim berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi polis berjaya menahan 34 warga asing dan tiga warga tempatan yang dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan.
Menurutnya, dalam serbuan pertama ke atas sebuah pejabat di Lorong Kinta, polis menahan 30 warga China dan Taiwan yang dipercayai bertugas sebagai operator telefon untuk memperdayakan mangsa.
Dalam serbuan kedua di Tanjung Tokong, polis menahan tujuh lagi ahli sindiket termasuk tiga warga tempatan.
“Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah menggunakan warga kedua-dua negara itu yang akan membuat panggilan palsu kepada mangsa di negara masing-masing.
“Mereka yang menyamar sebagai wakil pasukan keselamatan atau pegawai bank akan mengarahkan mangsa membuat panggilan ke agensi kerajaan atau bank tempatan kerana terdapat masalah terhadap akaun bank mereka sebelum mangsa diarahkan memasukkan sejumlah wang ke akaun yang diberikan petugas sindiket,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi serbuan di sini.
Beliau berkata, serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan Pulau Pinang turut merampas beberapa unit komputer riba serta kelengkapan telekomunikasi di kedua-dua premis berkenaan.
Polis turut merampas pasport milik pekerja China dan Taiwan yang ditemui di lokasi kedua bagi membantu siasatan.
“Dalam serbuan tahun lalu, polis tidak berjaya menahan ahli sindiket yang terlibat namun kali ini hasil maklumat orang awam dan intipan yang dilakukan sejak lebih sebulan lalu, kita berjaya mematahkan sendiket ini.
“Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurutnya, serbuan yang dilakukan itu adalah yang terbesar bagi tahun ini melibatkan sindiket antarabangsa.
GEORGETOWN - Polis sedang menyiasat tujuan seorang pengarah syarikat pengurup wang, yang disamun di tempat letak kereta Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, semalam sanggup membawa RM700,000 secara tunai ke Singapura.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, polis masih tertanya-tanya mengapa mangsa membawa wang yang banyak untuk membuat pertukaran mata wang asing di Singapura sedangkan boleh berbuat demikian di bank tempatan.
Beliau berkata, mangsa yang sebelum ini sering ke negara itu setiap minggu untuk urusan perniagaan juga tidak pernah mengisytiharkan wang dibawa keluar kepada polis dan Jabatan Kastam Diraja di lapangan terbang.
Menurutnya, mengikut peraturan sedia ada, seseorang hanya dibenarkan membawa wang tidak melebihi RM10,000 dan perlu diisytiharkan.
“Dalam kes ini, ahli perniagaan itu sanggup mengambil risiko dengan membawa wang yang banyak hanya menggunakan beg galas dan tidak mengisytiharkan wang tunai yang dibawanya kepada pihak berkenaan.
“Kita hairan kerana di negara kita terdapat banyak teknologi dan kaedah untuk membuat transaksi pertukaran mata wang.
"Mengapa mangsa masih menggunakan kaedah lama untuk menukar mata wang dengan mengambil risiko ke Singapura,” katanya ketika ditemui media di sini.
Bagaimanapun, Abdul Rahim berkata, polis sudah mempunyai petunjuk positif yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan kes berkenaan.
Beliau juga menyeru orang ramai yang melihat kejadian tampil membantu siasatan.
Dalam kejadian awal pagi semalam, pengarah syarikat pengurup wang itu dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas untuk berlepas ke Singapura.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lapangan terbang, beliau diserang tiga lelaki yang memaksanya menyerahkan beg yang mengandungi wang tunai RM700,000.
Akibat pergelutan, suspek bertindak menyerang mangsa menggunakan senjata dan mengakibatkan kecederaan.
Kesemua suspek berjaya melarikan diri manakala mangsa dikejarkan ke hospital swasta berdekatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
KUALA TERENGGANU- Padah mencuri 10 helai kain batik yang bernilai RM280, seorang buruh terpaksa meringkuk dalam penjara selama seminggu dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.
Tertuduh, Mohd Khairi Noh @ Mohd Noh, 29, didapati bersalah setelah mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dihadapinya di hada-pan Majistret Noradila Ab Latif manakala pendakwaan dibuat oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi.
Berdasarkan pertuduhan pertama, kira-kira jam 11 pagi pada 1 Januari lalu, bertempat di kedai kain atas Pasar Kedai Payang, tertuduh telah melakukan curi dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat kediaman manusia dan tempat menyimpan harta curi bernilai RM280 daripada milikan Muhamad Ismail, 46, seorang peniaga.
Dengan itu, dia telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kali kedua atau kemudian, hendaklah diseksa dengan penjara dan bolehlah dikenakan sebat.
Setelah mendengar pengakuan bersalah tertuduh, Majistret Noradila kemudiannya menjatuhkan huku-man penjara selama seminggu dan denda RM2,000. Jika gagal membayar denda, hukuman sebulan penjara akan dikenakan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati gagal membawa kad pengenalan dan didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara tidak lebih tiga tahun dan denda tidak lebih RM3,000.
Majistret Noradila kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM200 bagi pertuduhan kedua. Jika gagal membayarnya, hukuman seminggu penjara akan dikenakan.
Mengikut fakta kes, pada 1 Januari lalu, kira-kira jam 11 pagi, pengadu iaitu Muhamad Ismail berada di kedainya iaitu di Pasar Kedai Payang manakala tertuduh datang ke kedai itu untuk membeli kain.
Pengadu kemudiannya telah pergi ke bahagian sebelah lagi kedai itu dan meninggalkan tertuduh untuk memilih kain. Bagaimanapun, selang beberapa minit, pengadu diberitahu oleh pemilik kedai sebelah lelaki itu bahawa tertuduh telah mencuri kain.
Pengadu kemudian terus memegang lelaki tersebut dan memeriksa begnya. Dia mendapati tertuduh telah mencuri 10 helai kain batik pelbagai warna, lalu menghubungi polis dan menyerahkannya kepada pihak polis.
ALOR GAJAH - Cubaan seorang daripada tiga lelaki berusia antara 40 hingga 50-an untuk melarikan diri ketika asyik melepas gian di belakang reban ayam gagal apabila dia berjaya ditangkap sepasukan anggota polis di Masjid Tanah, di sini, kelmarin.
Operasi berkenaan yang dijalankan kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, diketuai Inspektor Sobri Zakaria bersama tujuh anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Alor Gajah selepas dua minggu intipan dijalankan.
Dalam operasi itu, polis menemui 12 paket plastik lutsinar berisi heroin dan satu paket syabu dalam genggaman seorang daripada suspek yang sedang khayal.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, berkata, operasi yang dijalankan di belakang reban ayam milik seorang daripada suspek bagaimanapun tidak disedari dua daripada mereka.
“Ketika tangkapan dibuat, dua suspek yang ditemui sedang khayal dan tidak melawan.
“Seorang daripadanya yang separuh sedar cuba meloloskan diri, namun berjaya ditangkap berhampiran lokasi serbuan.
“Hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah,” katanya.
Sementara itu, Umar berkata, jumlah keseluruhan dadah jenis heroin dan syabu itu dianggarkan bernilai RM3,000.
“Pihak polis tidak menafikan lokasi serbuan yang berdekatan jalan besar berkenaan sememangnya merupakan port penagih untuk melepas gian.
“Polis juga percaya masih terdapat penagih lain yang menjadikan lokasi ini sebagai port melepas gian.
“Oleh itu, pemantauan dari masa ke semasa akan dilakukan bagi mengurangkan kadar jenayah di daerah ini,” katanya.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A2 Akta Dadah Berbahaya atas kesalahan memiliki dadah dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.