BUKIT KAYU HITAM – Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam merampas sejumlah 1,900 liter petrol dan 1,600 liter diesel daripada beberapa kenderaan di Kilometer 1.3 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Thailand dan di kawasan perindustrian di sini dalam operasi berasingan.
Timbalan Komander Operasi Negeri Kedah Noor Mohamed Shaik Alaudin berkata UPP menahan sebuah treler tanpa muatan Thailand di kawasan perindustrian berkenaan pada kira-kira 3 petang semalam dan mendapati kenderaan itu mempunyai tangki minyak tambahan dengan muatan diesel sebanyak 500 liter.
"Pagi tadi pula kita menahan enam kenderaan iaitu empat kereta jenis Proton Saga, sebuah van Thailand dan sebuah kenderaan jenis Ford (Thailand) semasa melakukan sekatan di Kilometer 1.3 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Thailand kerana disyaki cuba menyeludup minyak bersubsidi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati semua kenderaan itu diubah suai dengan meletak tangki tambahan dalam but dan menggunakan alas tempat duduk bagi melindungi tangki di tempat duduk belakang.
"Kenderaan yang telah diubah suai itu boleh memuatkan kira-kira 500 liter petrol atau diesel dalam satu masa.
"Tujuh orang ditahan iaitu lima rakyat tempatan dan dua warganegara Thailand. Berdasarkan siasatan awal, semua mereka tidak pernah ditahan untuk kes yang sama sebelum ini,” katanya sambil menambah nilai petrol dan diesel yang dirampas ialah RM6,480 manakala nilai kenderaan kira-kira RM260,000.
Beliau berkata kes itu diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Alor Setar serta Kubang Pasu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. - BERNAMAKosmo! Online - Terkini:'via Blog this'