ENDAU: Setiap kali ke dapur untuk menyediakan juadah keluarga, Mek Senik Kassim berdepan dengan biawak dan tikus yang sering menceroboh ruang masakan itu, selain keadaan dapur yang amat daif menunggu hari untuk roboh.Keadaan lebih memeritkan apabila Mek, 31, terpaksa masak di bawah terik matahari, selain masakan dimasuki air hujan kerana bahagian bumbung dapur kediaman usangnya itu rosak teruk dipukul ribut.Ribut dan angin kencang itu berlaku ketika Mek menyediakan makan malam untuk ahli keluarganya malam kelmarin itu turut menyebabkan beliau, suami, Abdul Mutalib Awang, 42, serta empat anaknya terpaksa berlapar semalaman.
“Sebaik saja angin kencang menerbangkan atap rumah, air hujan memasuki ke dalam kuali menyebabkan ikan yang digoreng serta nasi yang sedang ditanak tidak boleh dimakan lagi.
“Malah, hingga hari ini, atap dapur rumah kami belum dibaiki kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk tujuan itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung, di sini.
Katanya, mereka terpaksa meneruskan kehidupan di rumah terbabit kerana suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya bergantung pendapatan dengan melakukan kerja sendiri termasuk mengambil upah melakukan kerja rencam sekitar kampung.
Keluarga terbabit mendapat perhatian Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Nazri Murashid serta Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang diwakili Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian, Youzaimi Yussuf, 37, apabila mereka turun meninjau sendiri kesempitan keluarga itu, semalam.
Youzaimi berkata, melalui peruntukan Dr Abdul Latif, bahagian dapur rumah usang keluarga terbabit akan diganti baru bagi memberi keselesaan kepada mereka.
“JKM juga akan memberi pertimbangan terhadap bantuan yang sesuai kepada keluarga terbabit bagi meringankan beban hidup enam beranak ini,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan peribadi serta bantuan baucar pembelian pakaian sekolah kepada anak pasangan itu. Berita Harian Online | Rumah Mek dipukul ribut:
'via Blog this'