Search This Blog

Monday, January 2, 2012

1,200 'hantu lebuh raya' terperangkap



Sebahagian motosikal ditahan oleh Unit Khas Trafik Bukit Aman di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan, semalam. - UTUSAN/AZWAN ZAHAR


KUALA LUMPUR 1 Jan. - Sekumpulan 1,200 mat rempit yang digelar 'hantu lebuh raya' kerana sering menjadikan Lebuh Raya Utara-Selatan iaitu dari Sungai Besi hingga Seremban, Negeri Sembilan sebagai litar lumba ditahan pihak berkuasa awal pagi ini.

Kumpulan 'hantu lebuh raya' itu berlumba sejauh 50 kilometer selepas menyambut Tahun Baru 2012 di ibu negara sebelum ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Unit Khas Trafik Bukit Aman di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah Selatan.

Dalam operasi awal pagi ini, puluhan kumpulan mat rempit terbabit terkial-kial untuk melepaskan diri ketika dikepung polis di hentian R&R Seremban yang dijadikan lokasi mempamer pelbagai aksi selepas penat berlumba.

Ketua Operasi, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit berkata, hentian R&R itu dikepung sejak pukul 10 malam sebelum kesemua jalan ditutup secara mengejut pada pukul 2.45 bagi menghalang mat rempit melepaskan diri.

"Berikutan itu, ratusan mat rempit berlegar-legar di atas lebuh raya untuk mencari jalan bagi melepaskan diri, namun mereka terpaksa akur dengan kepungan tersebut dan menyerah diri.

"Selepas semua dikumpul di kawasan lapang R&R, lebih 1,200 motosikal diperiksa dan dikesan melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan mengubah suai motosikal.

"Berikutan itu, 251 saman trafik dikeluarkan manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 112 saman serta mengarah 22 kenderaan termasuk kereta melakukan pemeriksaan semula," katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengetuai serbuan itu awal pagi ini.

Turut terlibat dalam operasi itu, anggota dan pegawai Ibu Pejabat JPJ dan anggota polis dari Kontinjen Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Kedah dan Selangor.

Khuzir menambah, dalam operasi yang tamat pada pukul 9 pagi ini, 12 motosikal disita atas pelbagai kesalahan.

Antara yang mencuri tumpuan dalam operasi itu, gelagat seorang pelajar tingkatan tiga yang memulakan persekolahan tidak lama lagi turut ditahan kerana berlumba menggunakan motosikal dipercayai milik bapanya.

Pelajar berusia 15 tahun itu yang mendakwa kehilangan kad pengenalan hanya mengemukakan surat beranak sebagai dokumen pengenalan diri untuk dikeluarkan saman pihak berkuasa manakala motosikalnya disita.Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Anggota JPJ cedera dirempuh motosikal


SEREMBAN 1 Jan. - Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri cedera selepas dirempuh penunggang motosikal yang cuba melarikan diri daripada ditahan dalam Operasi Ambang Tahun Baru 2012 di Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, Pembantu Penguat kuasa Riduan Cheri, 27, cedera di kaki kiri setelah dirempuh motosikal yang ditunggang seorang lelaki.

Utusan Malaysia difahamkan, Riduan cuba menahan lelaki terbabit selepas dia menunggang motosikal melawan arus sebaik sahaja menyedari terdapat sekatan jalan raya di hadapan.

Penunggang terbabit enggan berhenti sebaliknya terus memecut motosikalnya menyebabkan ia merempuh anggota JPJ itu.

Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah berkata, Riduan yang bertugas di Pejabat JPJ Daerah Jempol kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dan keadaannya dilaporkan stabil.

"Kita sedang mengesan penunggang terbabit berdasarkan nombor pendaftaran motosikal yang ditunggangnya," katanya di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Saiful Azzri memberitahu, 252 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak mempunyai lesen memandu, tidak memperbaharui cukai jalan kenderaan dalam operasi malam tadi.

"Kita mengeluarkan 84 notis arah periksa, 123 kesalahan tiada lesen memandu, 56 kesalahan tamat cukai jalan.

"Operasi yang bermula pukul 10.30 malam ini, kami turut menyita 52 motosikal dan 14 kereta atas pelbagai kesalahan," katanya.

Menurutnya, 750 kenderaan diperiksa dalam sekatan jalan raya di tiga lokasi iaitu di Jalan Datuk Bandar Tunggal, Jalan Sungai Ujong dan Jalan Berhala di sekitar Bandar Seremban.Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Lelaki bedah tambah ketinggian


LONDON 1 Jan. - Seorang ejen hartanah dari Kanada yang berumur 36 tahun sanggup membelanjakan 34,000 pound (RM167,259) untuk menjadikannya lebih tinggi bagi mencari jodoh.

Thomas Keeper hanya mempunyai ketinggian kira-kira 175 sentimeter sebelum menjalani pembedahan dua tahun lalu bagi menjadikannya kira-kira lapan sentimeter lebih tinggi.

Selepas menjalani pembedahan itu, dia menemui Maggie, 26, yang mempunyai ketinggian 181 sentimeter di laman web mencari jodoh.

Ketika mereka pertama kali bertemu, dia sudah mencapai ketinggian sama dengan isterinya.

Mereka kini sudah berkahwin dan Maggie baru melahirkan anak pertama mereka beberapa hari sebelum sambutan Krismas baru-baru ini.

"Keadaan yang dialami lelaki pendek amat menyakitkan kerana anda dilayan berbeza. Lihatlah pelakon, Tom Cruise dan Nicolas Sarkozy yang sering dipersenda,'' ujarnya.

Pembedahan itu dilakukan oleh pakar bedah kontroversi, Dr Jean-Marc Guichet, 50, di Marseilles, Perancis.

Guichet berkata, pembedahan itu sebelum ini hanya dilakukan ke atas mereka yang mengalami kecacatan tetapi kini semakin mendapat tempat sebagai pembedahan kosmetik.

"Permintaannya meningkat berkali ganda berbanding 10 tahun lalu. Namun ia bukan untuk semua orang kerana mereka perlu bersedia dari segi fizikal iaitu menguatkan otot di kaki.

"Saya menolak 70 hingga 80 peratus permohonan. Mereka yang menjalani pembedahan ini boleh meningkatkan ketinggian mereka sehingga 15cm ,'' katanya. - AGENSIUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Tragedi warnai Tahun Baru 2012 di Filipina



Seorang lelaki yang cedera akibat terkena tembakan peluru sesat dibawa ke Pusat Perubatan Jose Reyes Memorial bagi menerima rawatan di Manila, semalam. - AFP


MANILA 1 Jan. - Beratus-ratus penduduk cedera apabila terkena mercun dan peluru sesat, sementara berpuluh-puluh buah rumah hangus dijilat api dalam kebakaran di sini ketika kebanyakan penduduk meraikan sambutan Tahun Baru, semalam.

Pusat Pemantauan Jabatan Kesihatan melaporkan, seramai 454 penduduk dimasukkan ke hospital akibat terkena mercun dan kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak serta mereka yang mabuk.

"Saya melihat mata seorang kanak-kanak terkena mercun dan kecederaan sedemikian boleh menyebabkan kecacatan kekal," kata setiausaha jabatan itu, Enrique Ona.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 18 cedera terkena peluru sesat yang dilepaskan oleh penembak rambang tanpa menghiraukan amaran pihak berkuasa mengenai larangan penggunaan senjata api.

Seorang wanita hamil juga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan selepas terkena peluru sesat.

Wanita itu dan bayinya bagaimanapun terselamat.

Percikan mercun dan bunga api sempena sambutan Tahun Baru malam tadi turut menyebabkan sekurang-kurangnya 30 buah rumah terbakar di kawasan padat di sini. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

16 kedai, sebuah rumah terbakar


SEREMBAN 1 Jan. - Seramai 17 peniaga di Kampung Baru Batu 8, Labu dekat sini menyambut tahun baru dalam suasana hiba selepas premis perniagaan mereka musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu antaranya melibatkan tiga buah kedai kopi, masing-masing dua kedai buku, bengkel motosikal, kedai gunting rambut dan kedai runcit serta sebuah kedai elektrik, barangan logam, kedai fotostat, restoran, kedai bunga dan sebuah rumah kosong.

Pemilik kedai barangan logam, Peter Lee, 68, memberitahu, ketika kejadian, dia berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri satu majlis sebelum dihubungi oleh seorang rakan.

"Saya terkejut apabila diberitahu kedai yang saya usahakan lebih 30 tahun lalu terbakar. Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, saya hanya mampu menangis apabila melihat semua yang saya usahakan selama ini musnah," katanya.

Seorang pemilik pemilik kedai elektrik, Chong Lan Ho, 54, kejadian malang itu mengakibatkan dia mengalami kerugiaan kira-kira RM40,000 dalam kebakaran tersebut.

"Ketika kejadian, saya berada di rumah di Seremban sebelum seorang rakan memberitahu bahawa kedai saya terbakar.

"Habis semua barangan di kedai saya musnah dan kini saya tidak tahu bagaimana untuk memulakan semula peniagaan yang diusahakan lebih 30 tahun lalu," ujarnya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Nizam Sapaiee memberitahu, pihaknya mengambil masa lebih 15 minit untuk mengawal kebakaran selepas menerima panggilan kira-kira pukul 2.30 pagi.

Katanya, seramai 14 anggota bomba dan empat jentera dari balai bomba Mantin, Nilai dan Seremban dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran.

"Api merebak dengan cepat dan agak sukar dikawal kerana struktur bangunan ini diperbuat daripada kayu.

"Bomba terpaksa menggunakan air sungai berhampiran untuk memadamkan kebakaran berikutan tekanan air yang rendah di kawasan ini," katanya.

Menurutnya, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan dan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM600,000.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Rasah Datuk Hasim Rusdi yang melawat kawasan berkenaan turut mengumumkan bantuan kecemasan sebanyak RM1,900 akan disalurkan kepada setiap mangsa.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Pasir Puteh dilanda banjir kilat


PASIR PUTEH 1 Jan. - Seramai 98 mangsa banjir dari 21 keluarga di empat kampung di daerah ini dipindahkan ke pusat pemindahan, setelah rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat diikuti angin kencang sejak malam tadi.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata, mangsa terbabit dipindahkan dalam operasi menyelamat pada pagi ini dan ditempatkan di tiga pusat pemindahan.

Beliau berkata, pusat pemindahan tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil yang menempatkan 20 mangsa daripada tujuh keluarga dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Awang dengan 18 mangsa daripada tujuh keluarga serta SK Kampung Nara yang menerima 60 mangsa daripada 11 keluarga.

"Ini berikutan kediaman mereka di Kampung Wakaf Bunut, Kampung Bukit Awang dan Kampung Nara dinaiki air sedalam satu hingga dua meter," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah itu tidak termasuk seorang mangsa yang lumpuh yang dihantarkan ke Hospital Tengku Anis di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, beberapa jalan ditutup kepada kenderaan ringan termasuk jalan utama dari Pasir Puteh ke Jerteh, Pasir Puteh ke Semerak dan Pasir Puteh ke Kota Bharu.

Seorang mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan di SMK Kamil, Che Abdulah Che Mat, 72, berkata, halaman rumahnya di Kampung Wakaf Bukut dekat sini, dinaiki air hampir paras dada pada pukul tiga pagi ini.

"Air naik secara mendadak akibat hujan lebat dan kami tidak tidur malam tadi sehingga dipindahkan oleh pasukan penyelamat menggunakan bot," katanya yang lumpuh.

Jurucakap Pejabat Pengairan dan Saliran Pasir Puteh ketika dihubungi berkata, paras air di Sungai Semerak pada pukul 10 pagi ini mencatatkan bacaan 2.4 meter iaitu di peringkat berjaga-jaga.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

52 ditahan dalam operasi maksiat



ANGGOTA penguat kuasa JAIS menyoal siasat gadis yang menginap di sebuah hotel ketika membuat serbuan dalam Ops Anti-Zina di sekitar Shah Alam dan Serdang sempena sambutan tahun baru, malam semalam.


SHAH ALAM 1 Jan. - Seramai 52 individu ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu serbuan cegah maksiat yang diadakan pada sambutan tahun baru malam semalam.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Nur Hamizah Othman berkata, kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan berkhalwat di beberapa hotel murah yang diserbu di sekitar Shah Alam dan Serdang bermula dari pukul 1 pagi hingga 5 pagi tadi.

Beliau berkata, sebanyak 11 hotel bajet telah diserbu dalam operasi yang dikenali sebagai Ops Anti-Zina dan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali itu.

"Mereka yang ditahan adalah berusia di antara 15 hingga 45 tahun dan kesemuanya disyaki berkhalwat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

"Kesemua yang ditahan sudah dibebaskan dengan jaminan mulut dan akan dipanggil semula untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nur Hamizah berkata, hasil serbuan dan pemeriksaan itu, pihaknya mendapati ada di kalangan pasangan terbabit disyaki berkhalwat dengan pasangan bukan Islam.

"Namun, penguat kuasa JAIS tidak menahan pasangan mereka yang bukan Islam dan hanya mereka yang beragama Islam sahaja yang ditahan dalam serbuan itu," katanya.

Bagaimanapun, Nur Hamizah enggan mendedahkan jumlah sebenar lelaki dan wanita Islam yang ditahan dalam serbuan tersebut.Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

Bapa pilu hilang dua anak serentak


IPOH 1 Jan. - Tahun 2012 yang membuka tirainya hari ini mengundang rasa pilu kepada Sulaiman Din, 42, apabila kehilangan dua anak lelaki serentak dalam nahas ngeri yang meragut tujuh nyawa di Kilometer 9.6, Jalan Sitiawan-Teluk Intan dekat sini malam tadi.

Dua anak lelaki Sulaiman iaitu Badrul Isa, 19, dan Mohamad Hadi, 17, serta anak angkatnya, Mohd. Hisam, 22, adalah antara tujuh penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream yang maut dalam tragedi itu.

Sulaiman memberitahu, Mohamad Hadi yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 10 di Lekir, sepatutnya melaporkan diri dan menaiki bas di Sitiawan untuk mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) hari ini.

"Kemalangan ini sungguh memilukan kami sekeluarga. Ini adalah ketentuan takdir dan saya reda dengan pemergian mereka," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Seri Manjung (HSM) di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam tadi, tujuh remaja termasuk dua beradik itu terbunuh apabila MPV yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler ketika kebanyakan rakyat sedang menantikan detik menyambut tahun baru 2012.

Sementara itu, kemalangan tersebut menemukan Sulaiman dengan keluarga kandung Mohd. Hisam yang menjadi anak angkatnya sejak beberapa bulan lalu.

Sulaiman berkata, Mohd. Hisam tinggal dengan keluarganya sejak lima bulan lalu kerana bekerja di tempat yang sama dengan anaknya, Badrul di sebuah syarikat membuat kapal gerudi minyak di sini.

"Sebelum ini, saya tidak pernah berjumpa dan hanya bercakap dalam telefon dengan bapa kandung Mohd. Hisam, Mat Zaki Abd. Rahman. Selepas kejadian ini, barulah kami bersua muka," katanya.

Mat Zaki, 58, pula memberitahu, dia mendapat tahu mengenai kejadian menimpa anaknya pada pukul 12.30 tengah malam tadi dan terus bertolak dari Jeli, Kelantan dan sampai di sini pukul 7 pagi ini.

Katanya, Mohd. Hisam merupakan anak bongsu daripada enam adik beradik dan belajar di Yemen sejak berusia 16 tahun.

"Dia pernah berkahwin tetapi telah bercerai. Hasil perkahwinan itu, dia mempunyai seorang anak berusia setahun," katanya.

Sementara itu, Yusuf Said, 46, bapa kepada seorang lagi mangsa, Muhammad Shafik Redzuan, 16, tidak menyangka keengganan anaknya itu membeli pakaian sekolah baru merupakan petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.

"Saya suruh dia pergi beli baju sekolah baru kerana sekolah akan bermula tidak lama lagi tetapi dia cakap tidak perlu kerana baju lama masih boleh dipakai," katanya.Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

Tragedi awal pagi tahun baru


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : January 2, 2012
kereta-langgar-tiang

KAPAR - Sedang masyarakat menyambut tahun baru 2012 detik jam 12 tengah malam semalam, dua rakan terbunuh apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka dilanggar kenderaan lain sebelum merempuh tiang elektrik dalam kemalangan di Batu 8, Jalan Kapar.

Dalam kejadian itu, P Gobalakrishnan, 21, tersepit di tempat duduk kenderaan manakala S Kaliammah,25, tercampak keluar daripada keluar ke laluan bersebelahan turut dilanggar sebuah kenderaan lain dari arah itu.

Sebelum kemalangan, Gobalakrishnan yang bekerja sebagai jurujual, dari Setia Alam dipercayai ingin menghantar Kaliammah pulang ke kediamannya di Persiaran Hamzah Alang.

Menurut saksi kejadian, kereta yang dinaiki dia rakan itu dipandu Kaliammah telah dilanggar sebuah kenderaan lain dari arah belakang menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik yang berada di pembahagi tengah jalan.

Rempuhan kuat pada tiang itu menyebabkan Kaliammah tercampak ke laluan bersebelahan sebelum dia dilanggar sebuah jip yang kebetulan melalui jalan berkenaan. Berikutan itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dalam masa yang sama, kenderaan mereka yang melekat pada tiang elektrik menyebabkan rakannya, Gobalakrishnan tersepit.

Tambah mengejutkan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu apabila kenderaan yang melanggar kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa turut terbakar.

Anggota Bomba dari Balai Bomba Sungai Pinang dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mayat mangsa serta memadamkan kebakaran.

Walaupun kebakaran berjaya dipadamkan namun pemandu kenderaan itu hingga kini belum dapat dikesan dan dipercayai menghilangkan diri sejurus kejadian berlaku.

Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, kedua-dua mangsa yang menaiki kereta Perodua Viva dalam perjalanan dari Klang menghala Kapar telah melanggar tiang elektrik sebaik kenderaan mereka dirempuh di bahagian belakang oleh sebuah kenderaan lain.

“Akibat kejadian itu, kedua-duanya maut di tempat kejadian dan mayat kedua-duanya dihantar ke Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, hingga kini pihaknya masih mengesan pemandu kereta yang melanggar kenderaan dinaiki dua sekawan itu bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987 dan sesiapa yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran.

Tragedi awal pagi tahun baru - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Seret sejauh lebih 20 meter


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : January 2, 2012
kereta diseret treler

BUKIT BERUNTUNG – “Ya Allah, janganlah terkena pada aku,” demikian doa peniaga keropok, Zaihan Abdul Wahab, 29, apabila melihat sebuah treler mengheret kereta dinaiki lima sekeluarga yang meluru laju di belakang van dipandunya dalam kemalangan di Jalan Bukit Beruntung 2 menghala Taman Bunga Raya di sini kelmarin.

Zaihan berkata, ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, treler tanpa muatan tersebut dikatakan gagal mengelak kereta jenis Proton Iswara dipandu seorang wanita bersama empat anaknya ketika melalui kawasan tersebut.

“Saya bimbang treler terbabit melanggar van saya yang jaraknya hanya beberapa meter di belakang kerana terlalu laju.

“Tetapi, alhamdulillah, treler itu terhenti di hadapan pondok bas setelah kereta Proton Iswara terbabit diseret lebih 20 meter,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Zaihan sempat menceritakan keadaan itu kerana berada di tempat kejadian sehingga treler dan kereta tersebut dapat dialihkan.

Menurutnya, dia masih bernasib baik walaupun sedikit cemas kerana nyaris dilanggar.

Bagaimanapun katanya, nyawa lima sekeluarga yang terlibat dalam kemalangan itu lebih terancam dan nyaris digilis.

“Saya berdoa dan terselamat tetapi keluarga terbabit benar-benar melalui detik mencemaskan kerana diseret jauh.

“Anak-anaknya (pemandu Iswara) masih kecil dan nyaris digilis,” katanya.

Zaihan berkata, treler terbabit dikatakan gagal mengelak kereta Iswara yang sebelum itu cuba keluar ke lorong kedua kerana terdapat sebuah treler yang rosak di lorong pertama.

Menurutnya, akibatnya, kereta mangsa dilanggar dan diseret beberapa meter sebelum berhenti.

Katanya, keluarga terbabit baru pulang daripada membeli di sebuah pasaraya di Bukit Sentosa dan dalam perjalanan pulang.

Zaihan berkata, mangsa di bawa ke Balai Polis Bukit Beruntung untuk membuat laporan sementara pemandu treler terbabit turut membuat laporan sama.

Menurutnya, orang awam juga hampir bertindak membelasah pemandu treler terbabit namun dia sempat lari ke balai.

Seret sejauh lebih 20 meter - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Dua restoran diarah tutup


Oleh : HIDAYAH HAIROM
Tarikh : January 2, 2012
restoran diarah ditutup

KUALA LUMPUR - Kewu­judan dua restoran di bekas tapak Eye On Malaysia, Taman Tasik Titiwangsa, di sini sejak dua tahun lalu, yang menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar akhirnya diarahkan tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Notis arahan yang tamat tempoh 31 Disember 2011 dikeluarkan sejak enam bulan lalu itu bagaimanapun tidak diendahkan pemilik restoran, sehingga DBKL turun ke lokasi bagi operasi meroboh, semalam.

Tinjauan Sinar Harian di tapak berkenaan mendapati salah satu restoran sedang beroperasi dan pihak restoran berkenaan segera mengambil inisiatif ‘menyelamatkan’ peralatan perniagaan mereka daripada di sita, sebaik sahaja anggota penguat kuasa DBKL tiba di lokasi.

Bagaimanapun, atas budi bicara pihak DBKL, mereka diberi tempoh membuka sendiri khemah kekal yang disambungkan di restoran, serta mengemas barangan mereka dengan pemantauan DBKL.

Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Pemudahcara Pernia­gaan dan Peniaga Kecil DBKL, Saiful Mazli Ahmad berkata, DBKL banyak menerima aduan daripada penduduk sekitar yang terganggu dengan restoran yang beroperasi sehingga tengah malam itu.

Menurutnya, pihak restoran berkenaan juga didapati melanggar syarat ditetapkan iaitu beroperasi lebih masa, serta dikenal pasti melakukan kesalahan mencuri bekalan elektrik.

“Kita sudah memberikan mereka tempoh yang cukup untuk mengosongkan tapak ini dan mereka sepatutnya berbuat demikian sejak semalam (kelmarin).

“Empat lagi restoran di tapak berhampiran Istana Budaya menerima notis sama, disebabkan menimbulkan masalah kesesakan di situ dan operasi akan dijalankan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan, semalam.

Beliau berkata, DBKL juga menerima aduan bahawa restoran di situ menjadi punca masalah sosial kerana menjadi tumpuan lepak golongan remaja dan menjurus kepada aktiviti tidak bermoral.

Dua restoran diarah tutup - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

52 ditahan dalam Operasi Anti Zina


Oleh : RISWANDI RAZAK
Tarikh : January 2, 2012

SHAH ALAM - Seramai 52 orang ditahan dalam Operasi Anti Zina yang tertumpu di 11 hotel bajet di sekitar Shah Alam dan Serdang, awal pagi semalam.

Kesemua yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1995 atas kesalahan berkhalwat, .

Operasi yang diketuai oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali itu, turut disertai oleh pihak polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Rela, Imigresen dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jais dalam satu kenyataan memberitahu, operasi khas sempena sambutan ambang tahun baru itu telah dilakukan terhadap 11 buah hotel bajet yang telah dikenal pasti jadi tumpuan kegiatan maksiat oleh anggota penguatkuasaan Jais, sebelum ini.

“Operasi hari ini (awal pagi semalam) melibatkan 11 buah hotel baget di sekitar Shah Alam dan Serdang, 52 individu yang ditahan adalah dari lingkungan umur 15 ke 45 tahun,” katanya.

Ini merupakan serbuan kedua dalam tempoh dua hari setelah Jais melakukan serbuan terhadap dua pusat hiburan, di Mutiara Damansara dan Petaling Jaya, kelmarin.

Dalam Operasi Mungkar tersebut yang turut disertai oleh Hasan itu, Jais telah berjaya menahan seramai 18 individu termasuk enam wanita, atas kesalahan melibatkan minuman keras.

Hasan berkata, Jais sentiasa menjalankan tugas mencegah kemungkaran di negeri ini dan ianya dapat dibuktikan berdasarkan jumlah operasi yang telah dilakukan bagi 2011.

Dari September hingga Disember 2011, Jais telah melakukan 14 operasi yang melibatkan 116 kes yang dibawa ke mahkamah dan 23 kes menjalani sesi kaunseling.

52 ditahan dalam Operasi Anti Zina - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Misteri bekas orang minyak


Oleh : IZWAN ROZLIN
Tarikh : January 2, 2012
minyak yang dijumpai

GOMBAK – Tiga bekas berisi minyak hitam dan satu botol minyak zaitun ditemui dalam sebuah rumah kosong di Jalan Laksamana 1/5.

Barangan tersebut ditemui susulan maklumat yang diterima unit rondaan penduduk mengenai satu lembaga yang melompat ke rumah tinggal berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Penduduk, Norhan Shafiq, 22 berkata, dia memberanikan diri memasuki kawasan rumah kosong bagi membuat pemeriksaan sebelum terjumpa bekas minyak berkenaan.

“Saya jumpa bekas berwarna kuning di dalam tandas manakala dua lagi bekas minyak dan satu botol minyak zaitun ditemui di bilik utamanya,” katanya.

Sementara itu pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa helai pakaian di dalam rumah tersebut.

Penduduk mensyaki rumah kosong tersebut menjadi lokasi sementara suspek menyembunyikan diri dan bertukar orang minyak

Bagaimanapun rondaan sehingga jam 6.00 pagi tidak menemui sebarang perkara pelik di sekitar kampung tersebut.


Penduduk guna benang, jaring cekup orang minyak

GOMBAK – Benang dan jaring bakal digunakan penduduk Kampung Laksama dalam misi menangkap lembaga didakwa orang minyak.

Pengamal perubatan alternatif, Kamal Abu Zaman penggunaan bahan-bahan itu adalah sebahagian ikhtiar memberkas pengamal ilmu hitam yang menyebabkan kampung itu huru-hara sejak dua minggu yang lalu.

Menurutnya benang dan jaring yang sudah dibacakan ayat suci al-Quran itu akan direntangkan lokasi yang disyaki menjadi laluan orang minyak.

“Apa yang kita buat ini adalah antara ikhtiar yang dipraktikkan sejak zaman Rasullah dan ianya berkesan untuk menumpaskan pembuat sihir dan ilmu hitam menggunakan beberapa surah utama ayat suci al-Quran.

“Insya-Allah bila makhluk itu terpijak atau terkena jaring ini, kuasanya sihirnya akan hilang dan dianya akan bertukar menjadi manusia biasa kembali dan ketika itu kita boleh menangkapnya,” katanya.

Menurutnya mereka yang terlibat dalam mengamalkan ilmu hitam itu sebenarnya disumpah dan mereka perlu menjadi orang minyak untuk memastikan ilmunya bertambah kuat.

“Saya yakin gangguan ini akan berakhir tidak lama lagi kerana kuasa Allah tidak mampu ditandingi oleh sesiapa kerana kita semua adalah sebahagian dari makhluk ciptaan-Nya,” katanya.


Gangguan berterusan

GOMBAK – Gangguan didakwa perbuatan orang minyak semakin menjadi-jadi.

Terbaru, sebuah rumah di Jalan Laksamana 2, di sini dipercayai diganggu makhluk berkenaan sejak dua malam berturut-turut.

Mangsa, Sahimah Ismail, 40, berkata, rumahnya mula diganggu sejak Selasa lalu dan kejadian disedari anak saudara dan abang iparnya yang tidur di ruang tamu.

“Mereka terjaga selepas terdengar bunyi tombol pintu sebelum diikuti dengan ketukan pada pintu rumah selama kurang seminit sebelum bunyi itu lenyap,” katanya mempunyai anak gadis berusia 19 tahun.

Menurutnya, menyedari gangguan itu, pemeriksaan dilakukan namun tidak ada sesiapa dikesan berada di kawasan luar rumah.

Gangguan tidak berhenti setakat itu dan pada malam Jumaat lalu seisi rumahnya terjaga selepas dikejutkan dengan kejadian tingkap cermin tiiba-tiba pecah.

“Bunyi kaca pecah itu mengejutkan semua orang malah sebelum itu tombol pintu itu turut dipulas beberapa kali,” katanya.


Rela bergilir adakan rondaan

GOMBAK – Anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Kampung Laksamana dengan kerjasama Unit Amal Gombak akan mengadakan rondaan secara bergilir setiap malam bermula jam 1 pagi sehingga Subuh di kampung itu.

Ketuanya, Anuar Harun berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan orang kampung bagi menambah keanggotaan pasukan beruniform di kampung itu.

Menurutnya jika ramai yang menyertai rondaan secara bergilir dan bersistematik dapat diatur bagi memastikan tahap keselamatan kampung berada pada tahap yang terbaik.

“Platun di kampung ini meskipun masih baru ianya berperanan besar dan masalah terbaru di kampung ini ketika amat memerlukan penugasan anggota yang meronda berjalan kaki dan menunggang motosikal,” katanya.

Menurutnya terdapat 60 orang anggota Rela berdaftar di kampung itu dan jumlah itu diharap boleh bertambah dalam masa beberapa hari lagi.

“Anggota sebelum ini pernah menggagalkan cubaan memecah masuk rumah tahun lalu ,”katanya

Misteri bekas orang minyak - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bumbung tercabut, 7 maut


Oleh : SH PERAK/ROSDALILAH ZAHARI
Tarikh : January 1, 2012
Bumbung tercabut, 7 maut

MANJUNG – Tujuh maut dalam kejadian membabitkan sebuah treler bermuatan tong gas memasak LPG dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta di Batu 6, Jalan Lekir, Sitiawan, lewat malam kelmarin.

Treler berkenaan dipercayai dari arah Port Dickson menuju ke Pulau Pinang manakala MPV tersebut dalam perjalanan ke Sitiawan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Superintendan Ismail Munajat berkata dalam kejadian jam 10.30 malam itu, enam mangsa maut serta merta di tempat kejadian manakala pemandu MPV jenis Honda Stream, Mohd Hisam Mat Zaki, 22, meninggal dunia di Hospital Seri Manjung (HSM) akibat cedera parah.

Menurutnya, mereka yang maut serta merta di tempat kejadian dikenali sebagai Mohamad Kamil Samsuri, 16; Ahmad Faizal Mohd Termizi, 16; Mohamad Shadan Mohd Arshad, 16; Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 17; serta pasangan adik beradik Mohamad Hadi Sulaiman, 18, dan Badrul Isa Sulaiman, 20.

“Dua mangsa lagi masih dirawat di HSM iaitu penumpang MPV, Khairul Faiz Mohd Noor, 18, (cedera ringan) dan pemandu treler, Abdul Rashid Abdul Aziz, 50,yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat cedera parah,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, semalam.

Ismail berkata, kejadian berpunca apabila MPV yang dipercayai membawa 10 penumpang termasuk pemandu dalam perjalanan dari arah Sitiawan menuju ke Teluk Intan sebelum bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan.

Beliau berkata, berkemungkinan besar MPV itu dipandu laju sehingga mengakibatkan bumbung tercabut dan remuk teruk.

“Siasatan awal mendapati, MPV itu cuba memotong kereta jenis Honda Civic di sebelah kiri jalan dan masuk semula ke laluan di hadapan kereta tersebut secara mengejut.

“Tindakan tersebut menyebabkan pemandu MPV gagal mengawal kenderaan dan hilang kawalan lalu bertembung secara berhadapan dengan treler tersebut.

“Ia menyebabkan MPV tersebut berpusing dan terbalik beberapa kali sehingga penumpang di dalamnya tercampak keluar.

“Malah, salah seorang penumpang turut terpelanting di atas cermin hadapan kereta Honda Civic terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu treler berkenaan turut merempuh gerai buah-buahan yang berada di bahagian kanan jalan dan terbabas memasuki ladang kelapa sawit kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

“Lebih mengerikan apabila ada dalam kalangan mangsa yang ditemui dalam keadaan perut terburai, mata terkeluar malahan seorang daripada mereka putus kepala,” katanya.

Menurutnya, dua wanita yang dipercayai menaiki MPV dan pemilik Honda Civic setakat ini masih belum tampil untuk membuat laporan polis.

Beliau berkata, semua jenazah dibawa ke HSM untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan.

Bumbung tercabut, 7 maut - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

18 ditahan minum arak


Oleh : RISWANDI RAZAK
Tarikh : January 1, 2012
18 ditahan minum arak

SHAH ALAM - Seramai 18 orang ditahan dalam Operasi Mungkar yang dijalankan di dua premis hiburan, iaitu di Petaling Jaya dan Mutiara Damansara, semalam.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, semua yang ditahan atas kesalahan melibatkan minuman keras ditahan anggota penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan dibantu polis.

“Daripada 18, lapan kita berjaya tahan di Mutiara Damansara, manakala selebihnya di Petaling Jaya dan daripada jumlah itu, terdapat enam wanita dan 12 lelaki,” katanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan adalah dalam lingkungan usia 18 hingga 35 tahun dan diambil keterangan di Bangunan Jais, di sini, semalam, sebelum diikat jamin.

Bagi 23 orang yang dikenakan tindakan kaunseling, individu tersebut dikehendaki hadir pada 11 dan 12 Januari ini, bagi tindakan susulan.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada penglibatan Hasan dalam operasi serbuan kali ini sebagai jawapan terhadap kontroversi sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu berkata, dakwaan itu tidak benar.

Menurutnya, penyertaan beliau dalam operasi kali ini adalah sebahagian tugas yang dipertanggungjawabkan dalam portfolio exco, selain menggambarkan komitmen beliau dan Jais dalam usaha mencegah kemungkaran.

Beliau berkata, penyertaan julung kali dalam operasi yang dilakukan oleh Jais itu tiada kaitan dengan kontroversi yang dikaitkan dengan beliau, sebelum ini.

“Kehadiran saya dalam operasi ini penting dalam usaha memastikan proses serbuan itu mengikut prosedur dibenarkan.

“Kita tidak mahu mana-mana operasi yang Jais lakukan, tidak dapat dibawa ke mahkamah hanya kerana masalah teknikal seperti yang berlaku dalam kes sebelum ini,” katanya.

Hasan berkata, dari September sehingga Disember 2011, Jais berjaya memperoleh 116 kes yang melibatkan pelanggaran Enakmen Jenayah Syariah 1995, menerusi 14 serbuan di Negeri Selangor.

Menurutnya, antara operasi yang dijalankan termasuk Operasi Khas Pusat Hiburan, Operasi Premis Judi, Operasi Khas Hotel Bajet dan Operasi Rumah Urut.

Beliau berkata, kesemua 116 kes tersebut dibawa ke mahkamah untuk proses perundangan selanjutnya, manakala sebanyak 38 kes dibawa ke sesi kaunseling.

“Saya ingin menjelaskan bahawa Jais melakukan tugas mereka dalam mencegah kemungkaran, berdasarkan statistik 116 kes bagi empat bulan terakhir 2011.

“Oleh yang demikian, statistik ini dapat menghapuskan dakwaan sebelum ini bahawa tiada sebarang bukti menunjukkan Jais tidak melakukan tugas mereka,” katanya kepada media, semalam.

18 ditahan minum arak - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lelaki maut kereta terputus dua


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : January 1, 2012
Lelaki maut kereta terputus dua

KUALA LIPIS - Hasrat seorang lelaki yang menumpang kereta rakannya untuk pulang ke Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kemalangan di Kilometer 7 Jalan Lipis - Merapoh, kira-kira jam 1.05 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hasan, berkata, mangsa, Lee Weng, 60, bersama dua lagi kenalannya, Lee Tong Kee, 53, dan S Sasitharan, 25, sedang dalam perjalanan dari arah Merapoh menuju ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian kereta Proton Wira yang dipandu Sasitharan dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

“Dalam masa sama sebuah Pajero yang dipandu seorang lelaki datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Merapoh, menyebabkan berlaku pertembungan menyebabkan kereta Wira tersebut terputus dua,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abdul Razak berkata, Lee Weng yang duduk di bahagian sebelah pemandu mengalami kecederaan parah di kepada dan bahagian organ dalaman meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

“Selain itu, Tong Kee yang duduk di bahagian belakang kereta mengalami kecederaan parah di kepala, dibawa ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan dan kini dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh,” katanya.

Beliau berkata, Sasitharan dan pemandu Pajero, Juraidi Shahruni, 42, hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Lipis.

Menurutnya, mayat Lee Weng dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta berhubung dengan Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan di talian 09-312 2222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Difahamkan ketiga-tiga mangsa yang menaiki kereta itu bekerja di Stesen Hidro Empangan Kenyir dan ingin pulang bercuti hujung minggu sempena menyambut Tahun Baru 2012.

Lelaki maut kereta terputus dua - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'