Search This Blog

Sunday, January 1, 2012

Empat beranak terpaksa hidup merempat 10 hari


Oleh : KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
Tarikh : January 1, 2012
Norma-membentangkan-kertas-surat-khabar-untuk-anaknya-tidur.

KANGAR - Tahun 2012 yang mula membuka tirainya menghadirkan memori duka buat empat beranak apabila mereka terpaksa hidup merempat di sekitar bandar ini, sejak 10 hari lalu, setelah dihalau keluar dari rumah sewa yang baru diduduki sebulan di Kampung Bakau, di sini, 20 Disember lalu.

Ibu tunggal, Norma Ahmad, 46, berkata, sejak dihalau tanpa alasan munasabah, mereka sekeluarga terpaksa tidur di kaki lima, surau, tandas dan padang Pavilion dengan beralaskan surat khabar dan bercahayakan lilin setiap malam.

Katanya, dia bersama tiga anak perempuannya Nurul Huda, 25, Nurul Fitrah, 16, dan Nurul Syamsinar Omar, 12, terpaksa terima hakikat hidup sebagai gelandangan setelah tidak mampu membayar deposit rumah yang mahal untuk menyewa rumah baru.

“Sejak bercerai tiga tahun lalu, saya terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan di beberapa syarikat dengan gaji tidak sampai RM600 sebulan.

“Wang itulah yang saya guna untuk menyara keluarga dan menampung belanja persekolahan anak bongsu saya,” katanya kepada Sinar Harian ketika merempat di Pavilion Dataran Datuk Sheikh Ahmad di sini, malam kelmarin.

Norma berkata, dia terpaksa bekerja dua syif selama 24 jam sehari untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga susulan anak keduanya, Nurul Huda baru bekerja, manakala anak ketiganya, Nurul Fitrah belum cukup umur untuk bekerja.

Menurutnya, sebelum ini, Nurul Huda sukar mencari pekerjaan kerana terpaksa menjaga seorang anak lelakinya berumur setahun setengah.

Norma turut berasa hiba apabila Nurul Fitrah tidak dapat menghabiskan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), selain tidak meneruskan persekolahan pada tahun ini disebabkan kekangan kewangan walaupun berpotensi besar.

“Nurul Fitrah bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri sehingga Tingkatan Dua, sebelum ditukarkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi, Simpang Empat setelah tinggal sementara bersama ayahnya.

“Dia hanya mampu menduduki PMR bagi subjek Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik dan mendapat keputusan A dalam ketiga-tiga mata pelajaran berkenaan,” katanya.

Norma turut berharap Kerajaan Negeri dapat memberikan bantuan rumah menerusi skim Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepadanya untuk dijadikan tempat berteduh memandangkan dua kali permohonan yang dikemukakan sebelum ini ditolak.

Difahamkan, dia dan anaknya Nurul Huda mendapat bantuan RM100 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi bantuan itu masih tidak mencupi bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.


MB mahu tindakan segera

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu bersedia mengambil tindakan penyelesaian segera terhadap keluarga Norma Ahmad yang terpaksa hidup bergelandangan sejak sepuluh hari lalu, termasuk menyerahkan rumah bantuan skim PPRT Pangsapuri Taman Sena,
di sini, jika terbukti tidak berkemampuan.

Md Isa mengarahkan beberapa pegawainya menyiasat perkara itu susulan tiada aduan berhubung perkara seumpama itu diterimanya sebelum ini.

Menurutnya, masalah rakyat yang masih hidup bergelandangan ditambah dengan keadaan anak-anak yang gagal menamatkan persekolahan adalah satu masalah serius yang perlu diambil perhatian segera oleh jabatan kerajaan terlibat.

“Kita akan siasat perkara ini terlebih dahulu, memandangkan saya tidak menerima aduan mengenai perkara seperti ini sebelum ini.

“Jika disahkan keluarga terbabit memang tidak berkemampuan, bantuan, kecemasan segera akan diberikan Kerajaan Negeri, termasuklah pemberian rumah dan bantuan lain yang dirasakan bersesuaian,” katanya selepas merasmikan Program Eskpedisi mendaki gunung sempena Tahun Baru 2012 anjuran Persatuan Belia Berwawasan Jelempok (PBBT) di sini.


Bakal dapat rumah esok

Setiausaha Akhbar Menteri Besar Perlis, Jamsari Jamaluddin berkata, masalah keluarga Norma mendapat perhatian segera Kerajaan Negeri apabila mereka bakal diberikan sebuah rumah di bawah skim PPRT, esok.

Menurutnya, hasil siasatan bersama pegawai JKM Perlis mengesahkan keluarga Norma layak untuk menduduki rumah PPRT di Pangsapuri Taman Sena, di sini, berdasarkan status kemiskinan dan pendapatan isi rumah yang di bawah taraf miskin tegar.

“Datuk Seri Dr Md Isa (Sabu) sendiri dijangka menyerahkan rumah PPRT itu kepada keluarga Norma, Isnin ini (esok) sekiranya bahagian perumahan mengesahkan masih terdapat kekosongan di situ.

“Tindakan pantas Menteri Besar dan agensi berkaitan yang menyelesaikan masalah keluarga Norma membuktikan Kerajaan Negeri serius dan prihatin dalam menangani masalah rakyat Perlis,” katanya.

Jamsari berkata, buat sementara mereka akan ditempatkan di sebuah rumah inap desa berdekatan, yang dibiayai secara sukarela oleh tuan rumah selain bantuan makanan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri kini sedang mencari jalan untuk memastikan anak keempat Norma, Nurul Fitrah kembali meneruskan pembelajaran.

Empat beranak terpaksa hidup merempat 10 hari - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

Wang pelaburan ternakan lintah lesap


Oleh : NURULFATHA MUAH
Tarikh : December 31, 2011
Wang pelaburan ternakan lintah lesap

SHAH ALAM - “Kami mahu duit kami semula. Mana wang yang kami laburkan dalam penternakan lintah seperti yang dijanjikan?”.

Itu antara luahan hati kira-kira 13 individu yang kerugian hampir RM400,000 selepas membuat pelaburan dalam projek penternakan lintah daripada seorang ahli perniagaan dan mendakwa mereka tidak mendapat pulangan.

Mereka yang diiringi Ahli Parlimen Kapar, S Manika­vasagam, semalam membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), di sini, berhubung perkara itu untuk menuntut pembelaan.

Manikavasagam berkata, semua mangsa membuat pelaburan itu sejak 2009 selepas mendengar taklimat yang menawarkan pelaburan projek itu di Kuala Lumpur.

“Penganjur menjanjikan pulangan lumayan bergantung kepada lot yang dilaburkan dalam tempoh antara enam hingga 18 bulan. Satu lot dilaburkan RM5,230.

“Selepas tempoh itu, bukan saja hasil pelaburan tidak diperoleh, malah wang pelaburan mereka juga tidak dikembalikan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu individu tersebut untuk memfailkan saman dan membawa perkara itu ke mahkamah.

“Difahamkan, kira-kira 450 orang melabur dalam projek itu, tetapi saya hanya dapat lebih 10 aduan saja di kawasan saya dan mungkin ada lagi individu lain di luar sana belum tampil membuat laporan dan dianggarkan jumlah kerugian mencecah RM2 juta.

Sementara itu, mangsa, Krishna Kumari, 53, seorang guru, berkata, dia tertarik untuk melabur kerana terpengaruh dengan ‘kata-kata manis’ yang ditawarkan.

“Saya dan rakan lain yang mendengar taklimat itu turut berpeluang melihat sendiri kawasan penternakan lintah di Dengkil. Kami terus tandatangan dokumen perjanjian selepas melihat semua bukti itu.

“Saya pinjam wang dari bank sebanyak RM10,000 untuk melabur dua lot penternakan lintah,” katanya.

Bagaimanapun, impian­nya untuk mendapatkan hasil pelaburan musnah apabila ahli perniagaan itu sentiasa berdolak-dalik apabila dihubungi.

“Kami juga pernah pergi ke pejabatnya di Klang, tetapi ia dikunci. Kami telefon berkali-kali, tetapi tidak dijawab.

“Saya tidak dapat satu sen pun wang yang dijanjikan, malah terpaksa pula bayar faedah dan hutang yang dipinjam,” katanya.

Wang pelaburan ternakan lintah lesap - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tidak sedar adik berkhalwat


Oleh : AMRAN ALI
Tarikh : January 1, 2012
rahimin

BANDARAYA MELAKA – Seorang abang tidak sedar adiknya membawa seorang wanita asing masuk ke dalam bilik rumah disewa mereka bersama sehingga kediaman mereka diserbu Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi di sebuah taman perumahan di sini, rumah berkenaan disewakan lelaki tempatan berusia 22 tahun bersama dua adik beradiknya yang lain.

Sepasukan anggota penguat kuasa Jaim bertindak menyerbu rumah berkenaan selepas mendapat maklumat orang ramai berkaitan seorang wanita dikesan masuk dalam rumah berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, sebaik saja anggotanya melakukan serbuan, pihaknya menemui seorang wanita warga Indonesia berdua-duaan bersama seorang lelaki di dalam bilik rumah berkenaan.

“Ketika pemeriksaan, wanita berusia 25 tahun itu didapati sedang berada di dalam bilik air dalam keadaan bogel dan mendakwa baru pertama kali datang ke rumah lelaki itu yang dikenalinya sejak tiga bulan lalu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Rahimin berkata, ketika serbuan juga, abang kepada suspek yang berada dalam rumah itu tidak menyedari adiknya membawa seorang perempuan ke dalam bilik.

“Pasangan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan denda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Rahimin berkata, Jaim kesal dengan kejadian itu dan menasihati umat Islam di negeri ini supaya tidak mengambil kesempatan terhadap warga asing yang bekerja di negara ini.

Tidak sedar adik berkhalwat - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Suami isteri maut, tiga cedera


Oleh : AMRULLAH ABDUL KARIM
Tarikh : January 1, 2012
kemalangan

KUALA KUBU BHARU – “Yang sedihnya dua-dua sekali pergi abang, yatim piatu abang,” rintih Mohd Fizree Mohd Zakri, 25, anak kedua kepada pasangan suami isteri, Mohd Zakri Othman, 56 dan Latifah Hashim, 48, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 419.5 Lebuhraya Utara Selatan dekat Bukit Tagar di sini kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Mohd Fizree cuba ditenangkan rakan serta ahli keluarganya ketika berada di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) kerana tidak dapat menahan kesedihan sebaik melihat jenazah ibu dan bapanya diusung ke dalam van jenazah untuk dibawa pulang ke kampung mereka di Felda Hulu Jempol, Jengka, Pahang.

Menurut Mohd Fizree, ketika kejadian ibu bapa bersama dua adiknya, Noor Fauzana, 22, dan Mohammad Fakhrul Razi, 17, serta seorang saudaranya, Mohammad Ramadan Firdaus Johar, 17, dalam perjalanan pulang ke kampung kerana mahu melawat neneknya yang sakit di Temerloh.

Menurutnya, mereka dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah setelah menghadiri kenduri perkahwinan sepupunya di sana.

Bagaimanapun, malang menimpa mereka apabila kereta Proton Waja dipandu adiknya terbabas sebelum melanggar bucu pengadang lebuhraya sehingga menembusi kereta itu.

“Ayah meninggal dunia di tempat duduk depan dan ibu tercampak keluar dan meninggal dunia di situ.

“Tapi alhamdulillah, dua adik dan saudara saya terselamat dan hanya cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Menurut Mohd Fizree, bapanya meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala akibat terkena bucu besi pengadang lebuhraya yang menembusi hingga ke bahagian tempat duduk belakang.

Sementara, ibunya maut akibat tercampak keluar kereta kira-kira dua meter dan kepalanya dipercayai terhantuk pada besi pengadang itu.

Menurutnya, dia menerima panggilan kira-kira jam 3 pagi dan kebetulan dia dan rakannya berada di Kuala Lumpur sebelum bergegas ke HKKB.

Sementara itu, abangnya, Mohd Farizq Mohd Zakir, 28, bersama saudara lain datang daripada Pahang untuk menuntut jenazah ibu bapanya di sini.

Turut kelihatan, ahli keluarga sebelah ibunya yang datang daripada Alor Setar dan kesemua mereka menyempurnakan solat jenazah berjemaah di bilik forensik HKKB.

Kedua-dua jenazah dibawa pulang ke Felda Hulu Jempol kira-kira jam 10.20 pagi untuk dikebumikan di sana.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikerah ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Suami isteri maut, tiga cedera - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Lelaki maut kereta putus dua


Oleh : NORFARHIZA MOHD ATAR
Tarikh : January 1, 2012
kereta terputus dua

KUALA LIPIS - Hasrat seorang lelaki yang menumpang kereta rakannya untuk pulang ke Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kemalangan di Kilometer 7 Jalan Lipis - Merapoh, kira-kira jam 1.05 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hasan, berkata, mangsa, Lee Weng, 60, bersama dua lagi kenalannya, Lee Tong Kee, 53, dan S Sasitharan, 25, dalam perjalanan dari arah Merapoh menuju ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian Proton Wira dipandu Sasitharan dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

“Pada masa sama, sebuah Pajero yang dipandu seorang lelaki datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Merapoh merempuh menyebabkan berlaku pertembungan dan kereta Wira tersebut terputus dua,” katanya semalam.

Abdul Razak berkata, Lee Weng yang duduk di bahagian sebelah pemandu mengalami kecederaan parah di kepada dan bahagian organ dalaman meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

“Selain itu, Tong Kee yang duduk di bahagian belakang kereta mengalami kecederaan parah di kepala, dibawa ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan dan kini dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh,” katanya.

Beliau berkata, Sasitharan dan pemandu Pajero, Juraidi Shahruni, 42, hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Lipis.

Menurutnya, mayat Lee Weng dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Difahamkan ketiga-tiga mangsa yang menaiki kereta itu bekerja di Stesen Hidro Empangan Kenyir dan ingin pulang bercuti hujung minggu sempena menyambut Tahun Baru 2012.

Lelaki maut kereta putus dua - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Awas kebakaran kenderaan


Oleh : FARAH SHAZWANI ALI
Tarikh : January 1, 2012
bomba

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri menggalakkan orang ramai untuk meletakkan pemadam api di dalam kenderaan, berikutan peningkatan kes kebakaran melibatkan kenderaan.

Pengarah JBPM Negeri, PPjB Md Salleh Sarbini berkata, sehingga November tahun ini sahaja, sebanyak 52 kes kebakaran melibatkan kenderaan, yang mana 27 kes daripadanya adalah disebabkan pendawaian elektrik.

Menurutnya, buat masa sekarang, hanya pengangkutan­ awam seperti bas persiaran, kenderaan berat seperti kontena dan teksi diwajibkan mempunyai pemadam api.

“Kita melihat perkara ini sangat serius kerana memang berlaku peningkatan terhadap kes kebakaran melibatkan kenderaan. Jadi kita harapkan langkah pencegahan seperti meletakkan pemadam api dalam kenderaan akan meminimumkan kerugian yang dialami mereka.

“Selain itu, kita juga mengharapkan orang ramai sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik setiap masa sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri di Hiliran, semalam.

Pada majlis itu, Md Salleh turut memberi penghargaan kepada PgB Mohd Elyas Hussin yang memenangi tempat pertama bagi Pertandingan Penulisan Esei kategori Pegawai Kanan dan Kumpulan MASA dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut yang memenangi tempat kedua Anugerah Inovasi Ketua Pengarah sempena Sambutan Hari Inovasi Tahun 2011 JBPM yang lalu.

Sementara itu, Md Salleh berkata, berdasarkan statistik kejadian kebakaran di negeri ini, berlaku penurunan yang agak ketara, iaitu sejumlah 780 laporan kebakaran yang diterima oleh jabatan itu, berbanding 1,027 pada 2010 sepanjang Januari hingga November.

Bagaimanapun, jumlah kerugian menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak RM21.7 juta bagi tahun 2011 berbanding RM13.2 juta bagi tahun 2010.

“Jumlah kematian akibat kebakaran pada tahun 2010 dan 2011 pula tiada peruba­han­ iaitu seramai dua orang.

“Walaupun jumlah kebakaran menunjukkan penurunan sebanyak kira-kira 24 peratus, usaha berterusan terus diambil, seperti meningkatkan faktor kesedaran masyarakat terhadap bahaya kebakaran dengan mengadakan kempen keselamatan kebakaran serta meningkatkan
tahap kemahiran dan pengetahuan pegawai supaya sentiasa melepasi ekspektasi masyarakat sepanjang masa,” katanya.

Awas kebakaran kenderaan - Terengganu - Sinar Harian:

'via Blog this'

Beli setokin umpan samun


Oleh : NIK AMIRULMU’MIN NIK MIN
Tarikh : January 1, 2012
samun-kedai

KUANTAN- Seorang penjenayah berpura-pura membeli sepasang setokin bagi mengelak disyaki pekerja dan pelanggan sebuah kedai kasut di sini sebelum bertindak menyamun juruwang yang bertugas di kaunter bayaran, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku di kedai kasut yang letaknya hanya kira-kira 30 meter dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Jalan Mahkota di sini.

Penjenayah bersenjatakan pisau itu bertindak berani apabila melakukan samun ketika beberapa pekerja wanita sedang sibuk melayan pelanggan yang datang untuk membeli kasut sekolah anak masing-masing.

Seorang pekerja, Nurul Huda Mohd Aziz, 20-an berkata, ketika itu dia dan pekerja lain sedang sibuk melayan pelanggan manakala juruwang dikenali sebagai Nor Azura berada di Kaunter bayaran.

“Saya ternampak lelaki itu masuk ke dalam kedai dan memilih sepasang setokin sebelum membawa ke kaunter kononnya untuk membuat bayaran.

“Saya sendiri tidak mensyaki sesuatu sebaliknya menganggap lelaki itu sebagai pelanggan biasa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Nurul berkata, dia ternampak seperti berlaku kekecohan di kaunter lalu cuba mendekati bagaimanapun lelaki itu terus melarikan diri.

“Berdasarkan cerita Nor Azura, lelaki tersebut mengacukan sebilah pisau kearahnya sebelum mengarahkannya membuka peti mesin bayaran.

“Nor Azura yang berada dalam ketakutan tidak mampu untuk bertindak manakala penjenayah yang berusia dalam lingkungan 30-an terus merampas wang tunai dari mesin bayaran sebelum melarikan diri,” katanya.

Dia berkata, selepas menyedari lelaki tersebut sebagai perompak, kami cuba mengejar bagaimanapun suspek sempat melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna kelabu yang dipandu seorang lelaki.

“Kami sempat mengecam nombor pendaftaran kenderaan terbabit yang menggunakan nombor pendaftaran Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan bagaimanapun dipercayai berjumlah RM2,000.

Sementara itu, Nor Azura yang masih terkejut dan trauma dengan peristiwa tersebut enggan ditemui bual.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar ketika dihubungi mengesahkan beliau menerima laporan berhubung kes tersebut dan siasatan kini sedang dijalankan termasuk mengenal pasti suspek terlibat.

Beli setokin umpan samun - Pahang - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bekas pemandu saman majikan


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : January 1, 2012
Bekas pemandu saman majikan

KEPALA BATAS - Tahap kesabaran 14 bekas pemandu bas henti-henti di laluan Bukit Mertajam-Parit Buntar berkenaan bayaran pampasan yang dijanjikan, sampai ke penghujungnya semalam, apabila mereka mengambil keputusan untuk memfailkan kes di Mahkamah Buruh kerana terasa ditipu majikan.

Mereka mendakwa pihak pengurusan gagal membayar sejumlah pampasan kepada setiap seorang seperti mana yang terkandung dalam perjanjian memorandum persefahaman (MoU), setelah ditamatkan perkhidmatan di laluan 97 itu hampir empat bulan lalu.

Menurut bekas pemandu berkenaan, keadaan hidup mereka terjejas kerana mereka berharap wang pampasan itu dapat membantu menyara keluarga masing-masing selepas kehilangan kerja.

Turut serta menyokong usaha kumpulan bekas pemandu terbabit ialah Kesatuan Pekerja Pekerja Pengangkutan Cawangan Pulau Pinang/Kedah dan Perlis (TWU) yang selama ini bertindak sebagai orang tengah menyelesaikan masalah berbangkit melibatkan dua pihak berkenaan.

Pegawai Perhubungan Perusahaan TWU, Musa Abdullah berkata, pihaknya turut terkilan dengan syarikat perkhidmatan bas berkenaan yang gagal memenuhi janji kepada pemandu terbabit.

“Sebelum ditamatkan perkhidmatan, pihak pengurusan menawarkan tiga pilihan kepada mereka iaitu, bersedia untuk ditugaskan di bawah anak syarikat lain, diserap bertugas di laluan lain atau menamatkan perkhidmatan dan menerima pampasan.

“Semua pekerja terbabit memilih menamatkan perkhidmatan dan menerima pampasan kerana tidak ingin lagi berpindah randah meneruskan perkhidmatan di kawasan lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, jumlah pampasan yang dituntut ialah RM222,747.21 dengan jumlah terendah RM4,163.33 dan terbanyak RM32,855.97.

Musa berkata, sebagai tanda persetujuan, satu MoU ditandatangani Ogos lalu, antara dua belah pihak dan bayaran pampasan mengikut gred gaji akan dibayar secepat mungkin dan TWU menjadi saksinya.

Katanya, selepas empat bulan berlalu dan berbagai usaha dilakukan untuk meminta pihak pengurusan menjelaskan pampasan itu namun gagal, pihaknya bersama bekas pemandu mengambil keputusan memfailkan kes di Mahkamah Buruh untuk mendapatkan keputusan pampasan berkenaan.

Bekas pemandu saman majikan - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Kes Rozana selesai


Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : January 1, 2012
Kes Rozana selesai

SHAH ALAM - Kes bunuh kerani bank, Rozana Mohd Yusak yang ditikam 15 kali di rumah sewanya di Puncak Desa, Kepong, Gombak selesai, apabila polis menahan lima suspek termasuk teman lelaki mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, mereka ditahan berasingan dengan tangkapan pertama dibuat terhadap dua lelaki berusia 19 tahun di Lembah Pantai, 29 Disember lalu.

“Kita menemui barangan dipercayai milik mangsa seperti motosikal, kad bank, thumb drive, beg tangan, baju dan kasut yang mempunyai kesan darah.

“Seterusnya seorang lelaki berusia 22 tahun positif dadah ditahan di Jalan Dato Keramat dan Bukit Bintang, 30 Disember lalu, juga menemui barangan milik mangsa seperti kad kredit dan komputer riba,” katanya pada majlis penghargaan kepada Asisten Superintenden Mohd Fadhli Minhat dari Ibu Pejabat Polis (IPP) Gombak dan Asisten Superintenden Ahmad Fauzi Mohamed Zin dari Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di IPP Kontinjen Selangor, semalam.

Usaha berterusan membuatkan seorang suspek, 23 tahun tidak keruan hingga dia menyerah diri di Balai Polis Gombak, kira-kira jam 4 pagi, semalam.

“Empat daripada suspek sudah ditahan reman sebelum ini.

“Kita percaya penahanan lima suspek ini dapat menyelesaikan kes pembunuhan terbabit,” katanya.

Kes Rozana selesai - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Tujuh maut kemalangan ambang tahun baru


Oleh : SH PERAK/ROSDALILAH ZAHARI
Tarikh : January 1, 2012

MANJUNG – Tujuh maut dalam kejadian membabitkan sebuah treler bermuatan tong gas memasak LPG dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta di Batu 6, Jalan Lekir, Sitiawan, lewat malam kelmarin.

Treler berkenaan dipercayai dari arah Port Dickson menuju ke Pulau Pinang manakala MPV tersebut dalam perjalanan ke Sitiawan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Superintendan Ismail Munajat berkata dalam kejadian jam 10.30 malam itu, enam mangsa maut serta merta di tempat kejadian manakala pemandu MPV jenis Honda Stream, Mohd Hisam Mat Zaki, 22, meninggal dunia di Hospital Seri Manjung (HSM) akibat cedera parah.

Menurutnya, mereka yang maut serta merta di tempat kejadian dikenali sebagai Mohamad Kamil Samsuri, 16; Ahmad Faizal Mohd Termizi, 16; Mohamad Shadan Mohd Arshad, 16; Muhammad Shafik Redzuan Yusof, 17; serta pasangan adik beradik Mohamad Hadi Sulaiman, 18, dan Badrul Isa Sulaiman, 20.

“Dua mangsa lagi masih dirawat di HSM iaitu penumpang MPV, Khairul Faiz Mohd Noor, 18, (cedera ringan) dan pemandu treler, Abdul Rashid Abdul Aziz, 50,yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat cedera parah,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, semalam.

Ismail berkata, kejadian berpunca apabila MPV yang dipercayai membawa 10 penumpang termasuk pemandu dalam perjalanan dari arah Sitiawan menuju ke Teluk Intan sebelum bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan.

Beliau berkata, berkemungkinan besar MPV itu dipandu laju sehingga mengakibatkan bumbung tercabut dan remuk teruk.

“Siasatan awal mendapati, MPV itu cuba memotong kereta jenis Honda Civic di sebelah kiri jalan dan masuk semula ke laluan di hadapan kereta tersebut secara mengejut.

“Tindakan tersebut menyebabkan pemandu MPV gagal mengawal kenderaan dan hilang kawalan lalu bertembung secara berhadapan dengan treler tersebut.

“Ia menyebabkan MPV tersebut berpusing dan terbalik beberapa kali sehingga penumpang di dalamnya tercampak keluar.

“Malah, salah seorang penumpang turut terpelanting di atas cermin hadapan kereta Honda Civic terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu treler berkenaan turut merempuh gerai buah-buahan yang berada di bahagian kanan jalan dan terbabas memasuki ladang kelapa sawit kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

“Lebih mengerikan apabila ada dalam kalangan mangsa yang ditemui dalam keadaan perut terburai, mata terkeluar malahan seorang daripada mereka putus kepala,” katanya.

Menurutnya, dua wanita yang dipercayai menaiki MPV dan pemilik Honda Civic setakat ini masih belum tampil untuk membuat laporan polis.

Beliau berkata, semua jenazah dibawa ke HSM untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan.

Tujuh maut kemalangan ambang tahun baru - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Polis tahan lapan Gro warga China


Oleh : BERNAMA
Tarikh : January 1, 2012

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menahan lapan wanita warga China berumur dalam lingkungan 20-an yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan, Jalan Kedah dekat sini,
semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata berdasarkan maklumat awam dan risikan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut turut menahan seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai berperanan sebagai pelindung kepada wanita terbabit.

"Siasatan awal mendapati GRO terbabit menyalahgunakan pas lawatan sosial. Hasil siasatan polis juga mendapati premis itu beroperasi tanpa lesen hiburan awam," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Katanya dalam serbuan itu polis turut menahan seorang pengunjung lelaki berusia 43 tahun yang mengeluarkan kata-kata kesat kerana berang dengan tindakan polis menahan wanita terbabit dan dibebaskan selepas diambil
keterangan.

Kesemua tahanan dibawa ke IPD Timur Laut bagi membantu siasatan. Katanya lelaki berumur 36 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 59/63 dan jika sabit kesalahan boleh didenda minimum RM5,000 dan
maksimum RM30,000 bagi setiap pendatang atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya.

Sementara itu, kesemua wanita warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Peraturan-peraturan Imigresen 59/63 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan dan denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Polis tahan lapan Gro warga China - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Premis tawar tarian tiang diserbu


Oleh : HIDAYAH HAIROM
Tarikh : December 31, 2011
Premis tawar tarian tiang diserbu

KUALA LUMPUR - Lagi premis hiburan tawar khidmat tarian tiang berunsur seks diserbu dan kali ini operasi melibatkan premis hiburan di, Taman Maluri, Cheras di sini awal pagi semalam.

Walaupun beberapa serbuan dilakukan ke atas premis lain yang menawarkan khidmat sama sebelum ini, ia dilihat bagai tidak terkesan sebagai ‘amaran’ kepada pemilik premis berkenaan.

Dalam serbuan pada jam 1.45 pagi itu, seramai 55 wanita tempatan dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) berusia antara 17 hingga 40 tahun antara ditahan.

Pada serbuan itu juga, seramai 64 lelaki tempatan diperiksa, manakala seorang remaja perempuan dipercayai pelanggan berusia 17 tahun ditahan kerana masih di bawah umur.

Pegawai Turus Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat, Deputi Superintendan Azman Mohd. Isa berkata, pusat hiburan tersebut dipercayai menyediakan khidmat seks kepada pelanggan berdasarkan modus operandi sebelum ini.

Malah, menurutnya, pelanggan berpeluang memperoleh perkhidmatan istimewa bergantung kepada jumlah belian kalungan bunga, mahkota atau jubah khas dengan konsep semakin besar jumlah dibayar, semakin istimewa perkhidmatan diberikan.

“Pelanggan juga boleh mendapatkan khidmat gadis-gadis di premis itu dengan membeli kalungan bunga, mahkota atau jubah khas yang ditawarkan pada harga RM20 hingga RM1,000.

“Pelanggan boleh melobi gadis-gadis itu dengan menghadiahkan mereka kalungan bunga yang boleh dibeli pada harga RM20, mahkota (RM300) ataupun jubah khas berharga RM1,000,” katanya.

Beliau berkata, tarian tiang berunsur seks dilihat sebagai trend semasa yang menjadikan tarikan utama pengunjung-pengunjung pusat hiburan.

“Premis hiburan berkenaan telah melakukan kesalahan kerana beroperasi lebih daripada masa yang ditetapkan iaitu lebih dari jam 1 pagi dan juga membenarkan pelanggan di bawah umur memasuki premis,” katanya.

Kesemua gadis ditahan dibawa ke menaiki trak polis untuk soal siasat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Premis tawar tarian tiang diserbu - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Anggota penguat kuasa cedera dirempuh


Oleh : HAMIZAH BASIR
Tarikh : January 1, 2012

SEREMBAN – Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera dirempuh sebuah motosikal ketika melakukan pemeriksaan, dalam Operasi Ambang Tahun Baru 2012, di Jalan Datuk Bandar Tunggal, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, pembantu penguat kuasa, Riduan Cheri, 27, cedera di kaki kiri selepas dirempuh penunggang motosikal yang cuba mengelak daripada ditahan dalam operasi berkenaan.

Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah berkata, anggotanya yang berkhidmat di Pejabat JPJ Daerah Jempol itu kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar dan dilaporkan stabil.

“Meskipun penunggang terbabit berjaya melarikan diri, kita telah mengenal pasti suspek berdasarkan nombor pendaftaran kenderaannya,” katanya.

Anggota penguat kuasa cedera dirempuh - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'