Tiba-tiba brek hilang kawalan
Anggota JPAM mengangkat mangsa untuk dihantar ke Hospital Alor Gajah.
ALOR GAJAH - Empat pelajar Kolej Unifield, di sini, mengalami kecederaan selepas dua motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Kemus, Simpang Ampat, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Indakala Abd Kadir, 21, membonceng motosikal Yamaha LC ditunggang rakannya, Rozairi Rauf, 18, dari arah Pulau Sebang menuju ke kolej untuk menghadiri kuliah.

Difahamkan, turut sama dalam perjalanan ke kuliah dua buah lagi motosikal dinaiki rakan mangsa, Mohd Azlizan Mirza, 19, bersama Mohd Solihin Mohd Razdi, 19, dan sebuah lagi motosikal dinaiki Mohd Asrul Abd Rahim, 19.

Mohd Azlizan berkata, ketika kejadian motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggangnya mengalami masalah brek dan berhenti secara tiba-tiba sebelum dirempuh motosikal dinaiki rakannya yang mengekori di belakang.

“Tiba-tiba motosikal saya seperti tersekat lalu hilang kawalan dan terhenti sebelum dirempuh pula dari arah belakang oleh motosikal dinaiki rakan hingga motosikal kami terseret beberapa meter selepas rempuhan berlaku.

“Kemudian saya dengar suara Indakala seperti menahan kesakitan dan saya terus bangun selepas dihempap motosikal. Saya mendapati mangsa terbaring di tepi jalan sambil mengadu kesakitan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, dia bersama lima lagi rakan cuba bantu mengangkat mangsa namun, mangsa yang sedarkan diri mengadu mengalami kesakitan pada bahagian pinggang dan menenangkannya sehingga ambulans tiba.

Rakan mangsa, Mohd Asrul Abd Rahim berkata, dia menunggang motosikal Honda Wave pada jarak sepuluh meter dari motosikal dinaiki mangsa melihat sendiri motosikal dinaiki rakan-rakannya terseret.

“Ketika motosikal ditunggang Mohd Azliza hilang kawalan dan berlaku rempuhan dari belakang oleh motosikal dibonceng mangsa, saya lihat kedua motosikal terseret hingga ke tepi  jalan raya,” katanya di sini.

Menurutnya, bagaimanapun dia dan rakannya bersyukur kerana kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jiwa meskipun terdapat sebuah kereta yang dipandu laju nyaris merempuh kedua-dua motosikal dinaiki rakan-rakannya itu.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Mohd Faisal Ahmad berkata, setiba di lokasi mendapati mangsa dalam keadaan terbaring mengadu mengalami kesakitan di bahagian pinggang.

“Tiga lagi mangsa yang mengalami kecederaan ringan diberikan rawatan asas di tempat kejadian manakala mangsa yang mengadu sakit di bahagian pinggang dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya.