Search This Blog

Thursday, December 6, 2012

Suami dipenjara 10 bulan akibat pukul isteri

Suami dipenjara 10 bulan akibat pukul isteri - Pahang - Sinar Harian:
KUANTAN - Hasrat seorang suami yang kini sedang menjalani hukuman penjara lima bulan atas kesalahan dadah untuk bebas lebih awal tidak kesampaian sebaliknya dia terpaksa meringkuk di dalam penjara lebih lama selepas  dihukum penjara 10 bulan lagi oleh Mahkamah Majistret Kuantan semalam setelah mengaku bersalah atas tuduhan memukul isteri, September lalu.

Majistret Rini Triany Muhamad Ali dalam keputusannya memerintahkan tertuduh, Mohd Faisal Ibrahim, 31, dari Kampung Chendering di sini menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia dijatuhkan hukuman semalam.

Tertuduh yang hadir dengan memakai baju penjara dan berkopiah putih juga diperintahkan  membayar denda RM1,000 atau berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Mohd Faisal didakwa sengaja mendatangkan kecederaan kepada isterinya dengan menggunakan batang penyapu di sebuah rumah di  Kampung Chendering kira-kira jam 12.45 tengah hari, 5 September lalu.

Akibat perbuatannya itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu tertuduh memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan dengan alasan dia sudah insaf akan perbuatannya itu malah dia kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.

“Saya memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan  isteri dan anak-anak masih memerlukan saya,” katanya.

Farahah memaklumkan bahawa tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman yang sewajarnya sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang ramai.

“Tertuduh  sepatutnya melindungi dan menyayangi isterinya dan bukan untuk dipukul atau disakiti,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh hilang sabar apabila mendapati isterinya pulang lewat ke rumah selepas mengambil anak mereka dari sebuah sekolah di sini.

Tertuduh kemudiannya bertindak memukul isterinya dengan menggunakan penyapu sebelum menendang dan menyepak pengadu.

Dalam kejadian itu, tertuduh turut mengugut untuk membunuh isteri dan anak mereka jika pengadu melaporkan kejadian  kepada polis.

Tidak tahan dengan sikap tertuduh, pengadu akhirnya membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading dan sepasukan anggota polis menahan tertuduh pada hari yang sama kira-kira jam 4.30 petang.
'via Blog this'

No comments:

Post a Comment