Rumah warga emas ranap
Zulkifli (kanan) bersama pemimpin masyarakat meninjau rumah Zaharah yang sebahagiannya ranap ditimpa pokok, semalam.
Zaharah Mamat
Zaharah Mamat
PASIR PUTEH - Sebahagian rumah usang yang didiami warga emas bersama cucunya ranap ditimpa pokok kelapa sawit tua yang tumbang di Kampung Bukit Abal Hilir, dekat sini, semalam.

Zaharah Mamat, 80, berkata, kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu agak mengejutkan kerana pokok itu tumbang tiba-tiba dan bukan disebabkan ribut atau angin kencang.

Cucunya, Mohd Azam Abdullah, 17, yang ketika itu sedang tidur terkena kayu bumbung yang runtuh tapi tidak mengalami kecederaan.
Zaharah yang uzur dan hanya mampu berjalan dengan menggunakan tongkat berkata, selepas menyedari pokok menimpa rumah, dia hanya teringatkan cucunya.

“Makcik takut sesuatu buruk menimpa dia (Mohd Azam) tapi saya tidak boleh berjalan untuk melihat keadaannya sehinggalah emak dia yang tinggal bersebelahan datang untuk menolong.

“Makcik terkejut dengan kejadian ini tapi tetap bersyukur kerana dia tidak cedera,” katanya kepada Sinar Harian.

Zaharah berkata, pokok itu tumbang mungkin disebabkan akar reput dan keadaan tanah terlalu lembab disebabkan hujan lebat sebelum itu.

Beberapa anggota Bomba dan Penyelamat kemudiannya bertungkus lumus mengalihkan pokok tersebut dan pihak Tenaga Nasional Berhad terpaksa membuat pemotongan bekalan kerana kabel elektrik ke rumah itu terputus.

Selain terpaksa bergelap, Zaharah juga mengalami kesulitan sementara kerana paip bekalan air patah dalam kejadian itu.

Kejadian itu menarik perhatian Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat, Zulkifli Ali yang membuat tinjauan segera bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Chrerang Rotan, Wahab Jusoh; Pengerusi JKKKP Bukit Abal, Md Yusoff Ahmad dan Bendahari Parti Progresif Penduduk (PPP) Cawangan Bukit Abal, Sasudin Mohd.

Zulkifli berkata, Zaharah bukan sahaja memerlukan bantuan akibat bencana tersebut, malah perlu mendapat bantuan lain yang sewajarnya kerana berstatus warga emas, miskin dan uzur.