Rantai nenek diragut dua lelaki
Semah menunjukkan bagaimana rantai lehernya diragut penjenayah berkenaan.
ALOR GAJAH - Seorang warga emas kerugian kira-kira RM5,000 selepas rantai leher yang dipakai diragut dua lelaki menaiki motosikal di depan rumahnya di Kampung Sungai Petai, di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Semah Sarif,  60, berkata, kira-kira jam 6 petang ketika dia sedang leka menyiram pokok bunga di halaman rumah, dia didatangi dua lelaki menaiki yang motosikal.

Menurutnya, pembonceng turun dan mendekati pagar yang terbuka sedikit dan meminta dia datang bertemu mereka.

“Tiada beri salam, namun saya menyatakan jika ada jemputan perkahwinan letakkan sahaja kad jemputan dalam peti surat dan saya akan ambil kemudian.

“Lelaki itu terus berdiri di depan pagar rumah dan minta saya datang mendekatinya, saya mula berasa tidak selesa menuju ke arah lelaki itu namun, lelaki itu hanya mendiamkan diri tanpa kata apa-apa,” katanya.

Semah berkata, melihat reaksi lelaki terbabit tidak berkata apa-apa dia berpatah balik kerana hendak menyambung semula kerja menyiram pokok bunga dan membiarkan dua lelaki berkenaan.

“Apabila saya berpusing ke belakang lelaki berkenaan terus merentap rantai yang sudah dimasukkan ke dalam baju tetapi sedikit kelihatan di bahagian belakang leher dan saya hampir jatuh terlentang ke belakang.

“Terkejut dengan kejadian berlaku saya cuba mengejar lelaki itu namun, apa lah daya saya dan terus menjerit meminta tolong jiran berdekatan sebelum melihat motosikal dinaiki dua lelaki itu menuju ke arah pekan Alor Gajah.

Menurutnya, nasib tidak menyebelahi kerana semasa kejadian suami, Sapar Ujang, 65, sedang mengemas di bahagian belakang rumah manakala anak bongsu, Yahya Sapar, 38, baru sahaja keluar ke kedai berdekatan membeli barang.

Dia terkilan atas kehilangan rantai leher pemberian anak bongsunya itu yang dipakai sejak 16 tahun lalu hilang dalam sekelip mata.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan kejadian ragut berkenaan dan menasihati warga emas khususnya supaya lebih berhati-hati.

“Penjenayah akan mengambil kesempatan dan mencuri peluang apabila melihat warga emas sendirian sebelum melakukan kegiatan jenayah ragut dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.