KOTA KINABALU - Polis Daerah Kota Kinabalu berjaya menyelesaikan beberapa kes ragut di sekitar bandar raya ini dengan penangkapan lima lelaki termasuk dua warga asing hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu Supt M. Chandra berkata kesemua suspek yang berusia antara 15 dan 34 tahun itu dipercayai aktif meragut sejak awal bulan ini termasuk enam kes di City Mall dan Wisma Melania, Luyang.
Tiga daripada mereka diberkas ketika menaiki sebuah kereta berhampiran Fohsang, Luyang pukul 1 pagi, manakala dua lagi ditangkap di kawasan Penampang pukul 9 pagi tadi, katanya pada sidang media, di sini.

Menurutnya polis turut menemui semula barangan dipercayai hasil kegiatan ragut bernilai RM72,000 daripada suspek.

Kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki suspek juga dipercayai dicuri dan digunakan untuk kegiatan jenayah mereka, katanya menambah dua warga asing yang diberkas itu bekerja sebagai pencuci kereta di Luyang.- Bernama