Search This Blog

Thursday, December 6, 2012

Peti sejuk tiba-tiba terbakar

Peti sejuk tiba-tiba terbakar - Terengganu - Sinar Harian:


Peti sejuk tiba-tiba terbakar
Mohd Yusalhafizal menunjukkan peti sejuk rumahnya yang terbakar secara tiba-tiba dalam kejadian jam 11 pagi semalam, di Kampung Payoh, Kijal.
Peti sejuk tiba-tiba terbakar
Meskipun melalui detik cemas, Mohd Yusalhafizal bersyukur kerana anak, adik dan isterinya terselamat.
KEMAMAN – “Nasib baik saya masih belum pergi klinik, kalau tak, mungkin rumah kami sudah hangus terbakar,” kata ibu muda, Mushazdina Mustapha, 19, yang terkejut apabila peti sejuk rumahnya terbakar secara tiba-tiba dalam kejadian di Kampung Payoh, dekat sini, pagi semalam.

Kejadian itu nyaris menyebabkan rumahnya hangus terbakar namun dengan kepantasan penduduk kampung memadamkan api yang membakar peralatan elektrik itu, kebakaran dapat dipadamkan tanpa sempat merebak.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Mushazdina berada di rumah bersama anaknya, Muhammad Aqid Daniel Mohd Yusalhafizal, 4 bulan dan adik iparnya, Siti Yusalfatihah Yusof, 12, sementara suaminya, Mohd Yusalhafizal, 21, keluar bekerja.

“Ketika kejadian saya sedang memasak dan saya suruh adik ipar ambil asam gelugor dalam peti sejuk.

“Namun, ketika membuka peti sejuk, dia menjerit memberitahu ada api. Saya yang ketika itu cemas dan panik masih sempat mencabut plug peti sejuk untuk mematikan arus elektrik,” katanya ketika dikunjungi Sinar Harian semalam.

Bagi menyelamatkan diri, Mushazdina dan adik iparnya segera meluru ke ruang tamu rumah dan mendukung bayinya keluar dari rumah sambil menjerit meminta tolong.

Menurut Mushazdina, dia bercadang untuk pergi ke klinik bersama suaminya kira-kira jam 10 pagi, namun suaminya yang masih belum pulang dari kerja membuatkan dia terpaksa menunggu.

“Kalaulah kami sekeluarga keluar dari rumah jam 10 pagi, sudah tentu rumah sewa ini hangus terbakar kerana tiada orang di rumah,” katanya.

Sementara itu, Siti Yusalfatihah berkata, dia terlihat api membakar alat kawalan suhu dalam peti sejuk itu lalu menjerit dan membiarkan pintu peti ternganga kerana ketakutan.

Dalam pada itu, Mohd Yusalhafizal yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di tapak projek pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur di Seri Bandi melahirkan rasa syukur kerana mereka tidak menanggung kerugian teruk walaupun isteri, adik dan bayinya terpaksa menempuh detik mencemaskan.

“Kebetulan hari ini (semalam) saya banyak kerja pula dan saya merancang untuk pergi ke klinik agak lewat. Alhamdulillah rupanya semua yang berlaku ada hikmah.

"Kalau kami pergi awal ke klinik mungkin kebakaran akan merebak ke seluruh rumah yang baru sebulan kami sewa ini,” katanya.

Berikutan kejadian, dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh dengan kekuatan tujuh anggota tiba di rumah mereka sekeluarga namun kebakaran telah dipadamkan sepenuhnya oleh penduduk kampung.

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment