Search This Blog

Thursday, December 20, 2012

Peragut lima sekawan


         
KOTA KINABALU: Lima pekerja pusat cuci kereta termasuk dua remaja yang melakukan ‘kerja sambilan’ dengan meragut beg mangsa di sekitar Luyang, di sini, tumpas apabila perbuatan mereka dihidu polis sebelum ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini.

Difahamkan, lima sekawan itu mula melakukan kegiatan itu sejak awal bulan ini membabitkan enam mangsa termasuk seorang daripada mereka bergelar Datin.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan M Chandra berkata, serbuan pertama dilakukan jam 1 pagi semalam apabila tiga suspek berusia antara 15 hingga 25 tahun termasuk seorang bukan warga tempatan ditahan di kawasan Foh Sang, di sini selepas didapati memandu dalam keadaan mencurigakan selain menggunakan kenderaan dipercayai dicuri.

“Ketika kejadian, semua suspek yang menaiki Perodua Myvi enggan memberhentikan kenderaan, sebaliknya memecut laju sebaik ditahan polis.


“Polis memintas dan semua suspek ditahan selepas bergelut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, semalam.


Chandra berkata, hasil siasatan membawa kepada penahanan dua lagi suspek terbabit dalam kejadian ragut.

“Dua suspek berusia 21 dan 34 tahun ditahan pada jam 9.10 pagi tadi (semalam) di sekitar Putatan di dalam kereta jenis sama.


“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, polis menemui barangan hasil ragut dilakukan suspek termasuk telefon bimbit, komputer riba dan beg berjenama bernilai RM72,000,” katanya.

Menurut Chandra, siasatan lanjut mendapati semua suspek berkenaan bekerja sebagai pencuci kereta dan terbabit dalam enam kes ragut.


“Antaranya kes ragut membabitkan Datin di pusat beli- belah selain menggunakan kenderaan curi ketika melakukan aktiviti mereka.


“Semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan meragut,” katanya.

No comments:

Post a Comment