Search This Blog

Wednesday, December 19, 2012

Peluru tembus kening kiri



         
KOTA BHARU: Seorang lelaki warga Bangladesh maut dalam keadaan mengerikan selepas dua das tembakan yang dilepaskan penyerangnya mengenai belakang kepalanya sehingga menembusi kening sebelah kiri dalam kejadian di Lorong Tok Gading dekat Jalan Bayam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, Md Shah Jalal, 31, yang bekerja di kedai pendingin hawa dan aksesori kenderaan dalam perjalanan membeli makanan kira-kira 100 meter dari tempat kerjanya dengan menunggang motosikal apabila dia dipercayai ditembak dari jarak dekat oleh seorang daripada dua penyerang yang menunggang motosikal Honda EX-5 berwarna merah.


Tembakan itu menyebabkan mangsa yang dipercayai tidak memakai topi keledar, gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke arah tiang elektrik di tepi jalan sebelum meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pemeriksaan mendapati kesan luka pada kepala mangsa akibat terkena tembakan jarak dekat.


Katanya, mangsa dipercayai tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal kerana topi keledarnya ditemui dalam raga motosikal.


“Menurut saksi yang tinggal berhampiran, mereka terdengar dua das tembakan dan ada saksi melihat motosikal Honda EX-5 berwarna merah dinaiki dua orang meninggalkan tempat kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, motif kejadian masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


“Buat masa ini, kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk menyemak data dalam telefon bimbit mangsa.

“Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat,” katanya.


Mazlan berkata, mangsa bekerja dengan majikan berketurunan Siam sejak dua tahun lalu dan tinggal di tempat kerjanya.


“Mangsa tiada keluarga di negeri ini, namun mempunyai seorang rakan senegara, tetapi sudah dua minggu tidak berjumpa,” katanya.

No comments:

Post a Comment