Search This Blog

Thursday, December 13, 2012

PDRM bongkar 31 makmal

PDRM bongkar 31 makmal:

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Modal sedikit tetapi keuntungan diperoleh cukup lumayan sehingga mampu bergelar jutawan dikenal pasti punca sindiket pengedaran membuka makmal memproses dadah di negara ini.
Kegiatan sindiket itu terbukti berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merekodkan pembongkaran sebanyak 31 makmal memproses dadah milik sindiket tempatan dan asing berjaya ditumpaskan sejak Januari hingga September lalu.
Dalam tempoh sama, seramai 112 anggota sindiket yang terlibat dalam kegiatan memproses dadah di makmal berkenaan telah ditangkap.
Pembongkaran makmal dan tangkapan anggota sindiket terbabit bagaimanapun tidak menakutkan pengedar dadah lain untuk meneruskan kegiatan haram itu kerana menyedari ‘perniagaan’ dijalankan amat menguntungkan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, meskipun pihaknya memperhebatkan operasi terhadap sindiket pengedaran dadah, kegiatan haram itu masih sukar dibendung kerana akan wujud sindiket baharu.
“Kita sedar sindiket dadah walaupun ditumpaskan hari ini, esok tumbuh pula yang baru. Sebagai contoh, polis melumpuhkan 31 makmal memproses dadah dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, kemudian wujud makmal baharu sindiket lain.
“Walaupun sedar kegiatan itu mendatangkan risiko, sindiket sanggup memperjudikan nasib kerana keuntungan mampu membolehkan mereka bergelar jutawan asalkan tidak ditangkap pihak berkuasa," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Noor Rashid, untuk membuka sebuah makmal dadah, sindiket tidak memerlukan modal yang banyak asalkan ada bahan mentah yang digunakan untuk memproses dadah iaitu kebiasaannya heroin dan syabu.
Beliau berkata, sindiket hanya perlu membawa masuk bahan mentah dari luar negara seperti Myanmar dan Iran untuk diproses di makmal dengan menggunakan pelbagai taktik bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Katanya, lain-lain bahan sampingan boleh diperoleh di negara ini antaranya bahan kimia untuk memproses syabu iaitu ephedrine yang terkandung dalam pil selesema boleh dibeli di farmasi.
Tambahnya, kepakaran memproses dadah pula dipelajari sindiket melalui pengalaman, diajar rakan-rakan atau pembacaan di internet.
“Dadah yang siap diproses di makmal-makmal ini diedarkan kepada penagih tempatan dan juga luar negara seperti Indonesia dan Australia.
“Untuk menyeludup keluar dadah berkenaan ke luar negara pula, sindiket akan mendapatkan khidmat ‘keldai dadah’ yang sudah dilatih," katanya.
Beliau berkata, menerusi serbuan di 31 makmal yang dibongkarkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah iaitu candu seberat 1.56 kilogram (kg), heroin tulen (0.08 kg), heroin nombor 3 (33.40 kg), syabu (205.99 kg), cecair syabu (44.47 liter), pil ekstasi (336,091 biji), serbuk ekstasi (269.35 kg) dan eramin 5 (3,779,320 biji).
Turut dirampas, 45 biji pil psikotropik, yaba (1,315 biji), ketamin (60.88 kg), kafein (701.99 kg) dan ephedrine (59.61 kg).
Secara keseluruhannya, kata Noor Rashid, PDRM berjaya merampas dadah bernilai RM326.55 juta daripada ‘keldai dadah’ dan juga serbuan di makmal memproses dadah dalam tempoh berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121213/je_01/PDRM-bongkar-31-makmal#ixzz2Ew02De20
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment