Search This Blog

Monday, December 31, 2012

Mayat mangsa rogol dibakar



New Delhi: Mayat pelajar India berusia 23 tahun yang menjadi mangsa rogol beramai-ramai dibakar pada satu upacara persendirian semalam, ketika kemarahan terhadap insiden itu semakin memuncak.

Upacara pembakaran dilakukan sejurus mayat tiba di Delhi dengan pesawat khas dari Singapura, selepas beliau diterbangkan ke republik itu untuk mendapat rawatan intensif akibat kecederaan parah yang dialaminya. Tragedi itu memaksa India menerima hakikat bahawa wanita yang menjadi mangsa keganasan seksual kerap dipersalahkan kerana jenayah itu manakala ramai mangsa terpaksa berdiam diri berikutan bimbang memalukan keluarga. Polis pula kerap kali enggan memfailkan aduan mangsa rogol dan pendakwaan jarang dilakukan.
Pasukan keselamatan mengawal ketat tempat pembakaran manakala media tidak dibenarkan memasuki lokasi.

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan cuba memecahkan sekatan polis dan berarak ke bangunan parlimen, tetapi berjaya dihalang. Mereka turut melaungkan slogan anti kerajaan.

Perdana Menteri, Manmohan Singh dan pemimpin Kongres, Sonia Gandhi berada di lapangan terbang untuk menerima mayat mangsa dan menemui anggota keluarganya yang berada di dalam pesawat.

Sonia dalam satu kenyataan memberi jaminan kepada penunjuk perasaan bahawa kematian mangsa rogol terbabit meningkatkan lagi keazaman kerajaan untuk menangani gejala sosial memalukan itu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Keganasan terhadap wanita tidak boleh diterima sama sekali dan tiada tolak ansur terhadapnya. Setiap gadis dan wanita mempunyai hak untuk dihormati, dihargai dan dilindungi, katanya.

Beberapa jam selepas mangsa meninggal dunia kelmarin, polis India mendakwa enam lelaki yang ditangkap berkaitan dengan serangan itu atas tuduhan membunuh.

Jurucakap Jabatan Polis New Delhi, Rajan Bhagat berkata keenam-enam suspek berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan di dalam kes yang mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara.

Selepas 10 hari berada di hospital di New Delhi, mangsa yang namanya tidak didedahkan, diterbangkan ke Hospital Mount Elizabeth di Singapura untuk menerima rawatan lanjut. Keadaannya bagaimanapun semakin teruk berikutan kecederaan otak dan serangan jantung.
AP

No comments:

Post a Comment