Mahal, tak munasabah
Mat Rawi, Mansor Jusoh dan Ketua-Ketua Agensi Penguatkuasaan Negeri meninjau harga makanan yang tidak dipamerkan di premis makanan sekitar Arked Niaga Padang Besar, semalam.
PADANG BESAR - Operasi bersepadu bagi memantau harga makanan di sekitar premis Arked Niaga Padang Besar telah dijalankan semalam berikutan menerima banyak rungutan dan aduan mengenai harga makanan yang dijual mahal.

Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mat Rawi Kassim berkata, operasi bersepadu itu adalah kali pertama dijalankan untuk memantau harga makanan di sekitar premis makanan yang didakwa orang ramai terlalu mahal.

Menurutnya, seperti sedia maklum Perlis terkenal dengan barangan serta makanan lebih murah berbanding negeri-negeri lain, namun harga yang dikenakan peniaga-peniaga di sini, tidak munasabah terutamanya kepada pelanggan dan pelancong.

“Justeru, dalam operasi yang melibatkan beberapa agensi ini akan menyiasat serta memantau harga makanan yang sengaja tidak dipamerkan selain tahap kebersihan dan status halal dalam menyediakan makanan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu akan diadakan secara berkala bagi memastikan pelancong dapat menikmati makanan yang enak dengan harga yang berbaloi memandangkan pekan Padang Besar menjadi tumpuan pelancong selain memastikan kepatuhan mereka terhadap Akta Kawalan Harga dan Anti pencatutan 2011.

“Harga yang dikenakan mereka ini bagi mengaut keuntungan yang cepat amat dikesali, seperti sedia maklum di negeri ini bekalan bahan mentah yang diperoleh lebih mudah dan lebih murah.

“Ketidakpatuhan mereka terhadap akta ini boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya pada sidang media di kawasan Arked Niaga Padang Besar, di sini, semalam.

Operasi bersepadu berkenaan melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips), Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Jabatan Imigresen, Jabatan
Pelancongan, Jabatan Penerangan, Jabatan Alam Sekitar (JAS),serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kebajikan, Hal Ehwal Pengguna, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Tugas-tugas Khas Negeri, Mansor Jusoh berkata, agensi berkaitan akan dicadangkan untuk mewujudkan pusat aduan di kawasan premis makanan bagi memudahkan pelanggan mengadu sekiranya harga yang dikenakan kepada mereka terlalu tinggi.

“Kita juga akan menyediakan talian untuk membolehkan pelanggan membuat aduan jika dikenakan caj yang tidak berbaloi dengan makanan yang dipesan bagi berhubung terus dengan pihak berkaitan,” katanya.

Katanya, dengan langkah-langkah yang diambil ini, beliau berharap agar imej negeri Perlis ini akan kembali seperti dahulu yang terkenal dengan barangan dan makanan yang murah.

Hadir sama dalam operasi berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar, Yip Sun Onn serta Ketua-Ketua Agensi dan Jabatan Penguatkuasaan Negeri.

Seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Norizah Muin, 42, berkata, harga makanan di premis sekitar Arked Niaga ini memang mahal terutama ketika musim cuti persekolahan kerana pernah beberapa kali datang ke Padang Besar.

“Saya mendapati harga makanan di sini berbanding harga makanan di bandaraya Kuala Lumpur tidak jauh bezanya lagi, jadi sudah tentu identiti negeri ini sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan harga murah terjejas.

“Saya berharap pemantauan yang dilakukan agensi berkenaan dapat menjadikan negeri Perlis terkenal dengan harga makanan yang sedap dan murah sekaligus menaikkan imej negeri ini,” katanya.