Search This Blog

Thursday, December 6, 2012

Lokasi ibarat 'perangkap maut'

Lokasi ibarat 'perangkap maut':

Kereta yang dipandu oleh Hamdan Mohd. Ali terbabas selepas dilanggar oleh sebuah treler yang dipandu ke arah utara di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran RTC Gopeng, di Ipoh, Perak, semalam.
IPOH 5 Dis. - Kombinasi jalan berbukit, gelap terutamanya pada waktu malam dan hujan menjadikan laluan dari Kilometer 293 hingga Kilometer 310 Lebuh Raya Utara-Selatan yang merekodkan 19 kemalangan maut dengan 22 kematian tahun ini antara kawasan paling berbahaya di negara ini.
Malah, Kilometer 304.6 iaitu lokasi yang mengorbankan seorang pemandu bas ekspres semalam merupakan antara lokasi paling kerap berlaku kemalangan sepanjang tahun ini iaitu sebanyak tiga kes.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Ng Kong Soon berkata, keadaan laluan berbukit terutamanya berdekatan Gua Tempurung mendorong pemandu kenderaan untuk memandu laju bagi mendapat kuasa pecutan semasa mendaki namun begitu kenderaan akan bergerak lebih laju semasa menuruni bukit.
"Pemandu mungkin selesa untuk memecut di laluan itu tetapi kecelakaan boleh berlaku jika tidak sempat mengelak treler atau bas yang tiba-tiba memasuki lorong kanan untuk memotong kenderaan berat lain yang bergerak terlalu perlahan di lorong kiri ketika mendaki.
"Selain itu, kenderaan yang dipandu laju juga boleh terbabas dan hilang kawalan ketika menuruni bukit terutama pada waktu hujan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Kong Soon, selain itu, banyak kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu yang terlelap semasa memandu apatah lagi dengan keadaan jalan gelap di kawasan Gua Tempurung kerana tiada lampu jalan.
Katanya, keadaan jalan gelap turut menyukarkan pemandu untuk melihat treler terutamanya yang mempunyai lampu belakang yang kecil dan tidak terang.
"Mungkin PLUS Expressway Berhad (PLUS) perlu letakkan lampu jalan di situ dan kalau boleh letakkan papan tanda amaran dalam jarak lebih jauh untuk memaklumkan lokasi membaiki jalan atau lori rosak di tepi jalan," ujarnya sambil meminta pemandu meningkatkan tahap kewaspadaan semasa melalui lokasi tersebut.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di sepanjang laluan itu dari kedua-dua arah utara dan selatan mendapati fakta-fakta yang dikemukakan itu ada benarnya.
Walaupun tiada selekoh tajam yang merbahaya, kebanyakan pemandu kenderaan termasuk treler tanpa muatan dan bas dilihat memandu laju terutamanya sewaktu menuruni bukit termasuk ketika hujan lebat.
Tinjauan juga mendapati langsung tiada lampu jalan di kawasan berkenaan dan mungkin antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan.
Di samping itu, lokasi Hentian Rehat Gua Tempurung di laluan sebelah utara juga boleh mengundang bahaya kerana bas dan lori yang keluar dari kawasan itu akan bergerak perlahan sedangkan kenderaan di belakang bergerak laju untuk mendapat kuasa pecutan sebelum mendaki laluan berbukit di hadapan.
Semasa melakukan tinjauan tersebut, wartawan Utusan Malaysia turut terserempak dengan satu kemalangan membabitkan sebuah treler dan kenderaan pelbagai guna Honda Stream di Kilometer 291.2 iaitu kira-kira dua kilometer dari 'laluan maut' itu.
Namun, mujurlah kemalangan itu tidak meragut nyawa atau kecederaan serius kepada pemandu treler dan pasangan suami isteri di dalam MPV itu, Hamdan Mohd. Ali, 57, dan Adiba Hamid, 48.
Menurut Hamdan, kenderaannya yang berada di lorong kiri dirempuh dari tepi oleh treler tersebut yang sebelum itu terbabas dan melanggar penghadang besi di tengah jalan.
"Treler itu berada di lorong paling kanan dan dipandu laju semasa menuruni bukit. Saya ada dengar siaran radio mengenai pesanan oleh Ketua Polis Daerah Kampar supaya pemandu berhati-hati sewaktu melalui kawasan ini tetapi kita berhati-hati pun, orang langgar kita," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121206/dn_14/Lokasi-ibarat-perangkap-maut#ixzz2EHnG2Ft1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment