Search This Blog

Thursday, December 6, 2012

Dua maut, lima parah ketika ke tempat berkhatan

Dua maut, lima parah ketika ke tempat berkhatan:

SALAH sebuah kereta yang remuk setelah terlibat dalam kemalangan sehingga mengakibatkan dua maut di Kilometer 12.5, Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Loji Air Petronas Jerangau, Dungun, Terengganu, semalam.
DUNGUN 5 Dis. - Seorang kanak-kanak lelaki yang bakal berkhatan, parah apabila kenderaan yang dinaiki bersama ahli keluarganya bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 12.5, Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Loji Air Petronas Jerangau, di sini hari ini.
Nahas berlaku pukul 9 pagi apabila kereta Proton Wira dinaiki kanak-kanak itu, Tarmizi Ismail, 11, dirempuh sebuah kereta Honda Civic yang terbabas.
Pertembungan itu menyebabkan ibu saudaranya, Zainun Awang, 50, maut di tempat kejadian. Seorang lagi yang maut ialah penumpang kereta Honda Civic, Suzlina Ahmad, 40.
Selain Tarmizi, empat lagi yang parah ialah ibunya, Gayah Awang, 45, dan suami Zainun, Zulkifli Mamat, 53, yang memandu kereta Proton Wira tersebut.
Turut parah ialah anak Suzlina, Mohd. Ridwan Badiozaman, 21, yang memandu Honda Civic dan anak saudaranya, Nor Fatikah Samsudin, 17.
Menurut anak sulung Zainun, Mohd. Qoha, 19, semasa kejadian, ibu dan bapanya dari Kampung Jerangau Sungai dan mahu ke bandar Dungun untuk membawa sepupunya, Tarmizi berkhatan.
"Tidak lama kemudian, saya terkejut apabila ada orang beritahu yang mereka terlibat dengan kemalangan dan ibu saya meninggal dunia," katanya.
Sementara itu, anak sulung Suzlina, Mohd. Sabaha Badiozaman, 23, memaklumkan ibu dan ahli keluarganya yang lain dalam perjalanan mahu mengubati penyakit buah pinggang yang dihidapi Suzlina dengan pengamal perubatan tradisional di Machang, Kelantan.
Katanya, pada pagi sebelum kejadian, ibunya mengejutkan adiknya, Mohd. Ridwan kira-kira pukul 8 pagi dan memberitahu mereka sudah terlambat untuk pergi ke tempat itu.
"Ikutkan ini rawatan terakhir mak saya tetapi saya tidak sangka usianya tidak panjang dan meninggal dunia sebelum sempat berubat," katanya yang reda dengan kematian ibunya selepas pemergian bapanya kira-kira dua tahun lalu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Dahlan Mohd. Nor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kereta Honda Civic yang dalam perjalanan dari arah Dungun terbabas dan berpusing sebelum merempuh Proton Wira dari laluan bertentangan.
"Kemalangan berlaku dalam keadaan jalan licin kerana hujan tetapi punca sebenar kejadian masih disiasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121206/dn_13/Dua-maut-lima-parah-ketika-ke-tempat-berkhatan#ixzz2EHmv4TdA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment