Search This Blog

Thursday, December 20, 2012

Abhisit, Suthep mungkin berdepan 700 tuduhan cuba membunuh





         
BANGKOK: Ketua Jabatan Siasatan Khas (DSI) Thailand akan bermesyuarat dengan polis dari bahagian lain bagi mempercepatkan siasatan lebih 700 kes cubaan membunuh yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva, dan timbalannya, Suthep Thaugsuban.

Ketua Pengarah DSI, Tarit Pengdith, berkata mesyuarat itu diadakan bagi meminta semua pihak yang berkenaan menyegerakan semakan ke atas dokumen mengenai kes berkenaan. “Penyiasat kemudian akan merujuk kes itu kepada pendakwa raya sebelum dakwaan cubaan membunuh itu difailkan terhadap Abhisit dan Suthep,” katanya.


Menurut Tarit, kes kira-kira 1,500 orang yang cedera dalam ketegangan politik pada April dan Mei 2010 itu akan dibahagikan kepada dua kategori, masing-masing membabitkan cedera ringan dan serius. Bagi kes kecederaan serius, Abhisit dan Suthep berdepan tuduhan cuba membunuh, manakala bagi kecederaan ringan, mereka didakwa bagi kesalahan melakukan serangan fizikal ke atas orang awam.

Sementara itu, sumber berkata, kira-kira 700 orang cedera parah dalam keganasan berkenaan.


“Justeru, Abhisit dan Suthep akan menghadapi kira-kira 700 tuduhan cubaan membunuh di mahkamah,” katanya. Sumber itu berkata, Tarit meminta kes kecederaan dibahagikan kepada empat kumpulan, berdasarkan kepada tarikh dan lokasi. “DSI mungkin menunggu sehingga sesi parlimen akan datang berakhir pada 19 April sebelum mendakwa Abhisit dan Suthep,” katanya. - The Nation

No comments:

Post a Comment