Search This Blog

Saturday, December 29, 2012

10 komputer Parlimen Klang hilang



Pelabuhan Klang: 10 unit komputer yang menyimpan pangkalan data maklumat peribadi pengundi bagi Parlimen Klang hilang selepas pejabat Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen itu, Datuk Teh Kim Poo di Jalan Pendamar, di sini, dipecah masuk.

Turut hilang, buku mengandungi pelbagai maklumat mengenai rekod dan aktiviti yang sudah dan akan dilaksanakan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, membabitkan kerugian kira-kira RM30,000.
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Datuk Ching Eu Boon, berkata kejadian itu disedari kira-kira jam 10 pagi semalam oleh seorang kakitangan ketika dia mahu memulakan tugas, apabila mendapati fail di dalam pejabat yang bersepah dan berselerak.

“Beberapa dokumen yang hilang ini amat berharga dan bernilai bagi pihak tertentu.

Ada kaitan isu politik

“Kami percaya, perkara ini ada kaitan dengan isu politik kerana penjenayah tidak mengambil barangan berharga lain seperti televisyen.

“Mereka hanya melarikan buku dan komputer yang menjadi pangkalan data semua maklumat pengundi berdaftar. Saya percaya, penjenayah memecah masuk pejabat kami selepas jam 1 pagi kerana saya ada di pejabat ini bersama dua lagi kakitangan bagi melakukan persiapan terakhir ‘Karnival Sayangi Selangor’ yang berlangsung esok (hari ini).
“Kami mendapati dua kunci mangga dipotong dan kesan pintu diumpil,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Eu Boon berkata, laporan polis dibuat di Balai Polis Pandamaran dan pihaknya sudah memberi maklumat diperlukan bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Supritenden Azman Abdul Razak ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dan polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, usaha BH untuk menghubungi Kim Poo gagal kerana berada di luar negara dan difahamkan beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh isterinya.

No comments:

Post a Comment