Search This Blog

Saturday, November 3, 2012

Tebuk dinding

KOTA KINABALU: Sekumpulan penjenayah memecah masuk restoran nasi ayam dan menebuk dinding premis itu untuk masuk ke kedai emas bersebelahan sebelum melarikan tujuh rantai emas bernilai lebih RM10,000, semalam.
Dalam kejadian jam 4 pagi di pekan Telipok, di sini, penjenayah terbabit dipercayai mengambil masa kurang 30 minit memecahkan dinding memisahkan restoran dan kedai emas yang hanya diperbuat daripada papan lapis.

Menurut sumber, pemilik kedai emas itu menyedari kejadian selepas alat penggera keselamatan berbunyi dan sebaik tiba di tempatkejadian dia mendapati kedai berselerak dan sebahagian barang kemas hilang.

“Turut ditemui di tempat kejadian adalah tukul dan pahat yang dipercayai digunakan penjenayah menebuk lubang pada dinding yang memisahkan kedai emas itu dengan restoran bersebelahan,” katanya.

Sementara itu, pemilik restoran, Laura Lady Dail, 25, berkata, dia diberitahu mengenai kejadian itu selepas dihubungi pemilik kedai emas.

“Saya dan suami terus ke restoran kami dan terkejut apabila mendapati jeriji kedai terbuka luas manakala dua mangga kunci dipecahkan.


“Sebaik memasuki restoran, saya melihat dinding kedai kami dipecahkan dan ada ruang kecil yang menembusi kedai emas berkenaan,” katanya.

Laura berkata, barangan di restoran tidak diusik dan dia percaya premis itu hanya menjadi laluan perompak untuk ke kedai emas bersebelahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek yang tidak bertopeng memecahkan rak pameran dan melarikan tujuh rantai emas bernilai lebih RM10,000.

“Polis masih melakukan siasatan sama ada kegiatan ini dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan,” katanya.

Kes rompakan ini yang kedua dalam tempoh tiga hari membabitkan kedai emas di bandar raya ini. Pada Rabu lalu, sebuah kedai emas di Wisma Merdeka dirompak tiga lelaki membabitkan kerugian RM34,000.

No comments:

Post a Comment