Padah ceroboh kawasan pembinaan
Zuki dipenjara lima bulan selepas mengaku bersalah menceroboh kawasan pembinaan.
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, kerana menceroboh masuk kawasan pembinaan di kawasan perumahan Taman Desa Putera, Manir.
Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu kepada Zuki Sulong, 39, dari Kampung Jeram, Manir, di sini, selepas dia mengaku bersalah melakukan pencerobohan jenayah iaitu dengan memasuki sebuah rumah tidak bernombor di kawasan pembinaan tersebut.
Zuki mengaku di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakuk.an pencerobohan di kawasan pembinaan berkenaan pada 19 November lalu, kira-kira jam 11 pagi.

Dengan itu, Zuki mengaku melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tindakan Zuki yang sedang memotong wayar di dalam sebuah rumah yang masih dalam pembinaan di kawasan berkenaan telah disedari oleh pengawal keselamatan, Wan Yusuf Hassan, 61, ketika melakukan rondaan keselamatan.