Misteri bau busuk terjawab
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat
PETALING JAYA – Misteri bau busuk yang dihidu penduduk di Blok A Apartmen Saujana  membawa  kepada penemuan  mayat seorang wanita yang sudah kembung di sebuah rumah di tingkat tiga blok berkenaan.
Ketua  Polis  Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed  berkata,  anggota keselamatan apartmen yang melakukan pemeriksaan di rumah itu selepas mendapat aduan pada jam 10.30  pagi  terkejut lalu menghubungi polis  selepas ternampak tubuh terbaring di atas lantai sebaik pintu hadapan rumah dibuka.
Menurutnya, berdasarkan keadaan mayat mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak seminggu lalu.
“Mangsa dikenali sebagai Norliza Arsyad, 40, tinggal tinggal seorang diri  menyewa di unit berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

“Mayat ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dan polis turut menemui beg tangan yang mengandungi sejumlah dokumen peribadi milik mangsa,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut pihaknya mendapati mayat berulat dan kejadian setakat ini tidak mempunyai unsur jenayah, namun polis masih menunggu laporan bedah  siasat hospital.

Mayat  dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat  pada masa sama polis masih cuba mengesan waris mangsa.

Orang ramai mengenali atau waris terdekat mangsa diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian  03-79662222.