JOHOR BAHRU - Sebanyak RM800,000 terpaksa dibelanjakan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi menanggung kerosakan harta benda akibat masalah vandalisme dan kecurian dalam tempoh Januari hingga September ini.

Datuk Bandarnya, Burhan Amin berkata, pihaknya juga berjaya mengesan cubaan untuk mengambil tiang-tiang besi dan slap penutup jalan di kawasan lebuh raya Pasir Gudang dengan menggunakan pelbagai peralatan termasuk jentera berat.

Katanya, jika sebelum ini, kejadian berlaku pada waktu malam namun kali ini mereka berani melakukannya pada waktu siang malah berlakon seperti kontraktor yang sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Walaupun mereka berjaya melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak MBJB, namun saya percaya mereka akan sentiasa mencari peluang untuk mencuri  harta benda awam di lokasi berlainan.

“Kita telah membelanjakan sebanyak RM700,000 pada tahun lalu bagi menggantikan peralatan awam yang dicuri antaranya slap composite, Guard Rail, papan tanda nama jalan termasuk besi penutup longkang yang mempunyai nilai pasaran tinggi,” katanya pada Mesyuarat Bulanan MBJB, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, perkara berkenaan telah lama berlarutan dan pihaknya sentiasa mengambil pendekatan dengan mencari alternatif sama ada menggantikannya dengan yang baru atau menggunakan bahan ganti yang murah dan kos efektif.